-Coretan Si Penulis Cabuk-

Terkadang terasa diri zalim
Tak punya kudrat
Dalam diri yang terkepung tembok-tembok berbisa
Namun masih mahu memeluk gunung
Sedang yang dipeluk rupanya hanya segumpal bayang
Tanpa wajah tanpa suara

Pun bukan salah insan kerdil ini
Yang hanya insan biasa
Sarat dengan keinginan yang terhampar
Di pantai yang ditemani gelombang

Kenyataannya, tika kucoretkan bait demi bait
Keinginanku melonjak naik
Lalu hari demi hari
Kususuri dada kertas dengan jiwa riang
Sehari diam aku bak puteri kehilangan putera
Terasa seperti sang masa sedang galak memburuku
Hingga tanpa sedar
Kutolak sebuah hakikat

Sayangnya, Belum pun sampai ke garisan akhir
Selera menyusun kata hilang
Walau jerih mendekatkan jari di daerah putih suci itu
Yang tak pernah mengerti hati seorang aku
Aku tetap gagal
Hati seakan-akan telah tawar
Rajuk dengan kerenah sekitarku
Lalu jadilah aku si perengus
Merengus pada sesuatu yang aku sendiri tak pasti

Lantas kubiarkan kertas putih itu sepi sendiri
Membilang hari berlalu dengan pertanyaan tak sudah
Sungguh, aku kasihan padanya
Terlalu amat kasihan
Tapi desakkan hati tak juga harus dipandang ringan
Lalu aku ini harus bagaimana lagi?

-Kak Long-

Suatu ketika dulu aku langsung tak pernah rasa yang Kak Long tu begitu penting dalam hidup aku. Bagi aku, dia hanya seorang kakak dan hanya pada nama semata-mata. Tak ada fungsi lain yang boleh membuatkan dia dekat di hati ni. Jauh sekali boleh jadi tempat aku meluahkan perasaan marah dan gembira. Apalagi tempat menyandarkan bahu setiap kali kaki tersadung akar. Aku lebih rela mencari kawan-kawan daripada dia. Dan, aku selalu melebih-lebihkan atau memenangkan kawan-kawanku dibandingkan dia, satu-satunya kakak kandung yang aku ada baik dulu, kini, dan selamanya. Malah aku sanggup bergaduh demi membela nasib kawan-kawanku di mata Kak Long. Tak pedulilah walaupun diakhir pertengkaran itu aku dapat sekali cubitan daripada Kak Long. Tak kiralah walau pedih sekali pun lengan aku sebab Kak Long bukannya cubit main-main.

Entah kenapa dan apa puncanya, aku sendiri tak tahu. Cuma mungkin jarak umur hampir 10 tahun itu membuatkan aku dan Kak Long tak rapat. Masing-masing sibuk dengan dunia sendiri. Anehnya, dalam bab-bab bertekak aku tak ingat pula kalau Kak Long tu lebih tua banyak daripada aku. Sepatutnya aku hormat Kak Long sama macam orang tua aku sebab dia orang ketiga tertua dalam keluarga aku selain mak dan abah. Teruknya aku waktu itu. Sebenarnya bukan tak ada masa nak bersembang atau yang sewaktu dengannya, tapi rasanya memang ada jarak dan jurang yang agak lebar antara aku dengan Kak Long. Ditambah lagi dengan sikap Kak Long yang agak pendiam, langsung tak sama dengan aku yang memang terkenal satu kampung sebagai seorang yang agak nakal.

Tapi tu dulu, sejak aku habis sekolah menengah dan sejak Kak Long kahwin rasanya hubungan kami dah banyak berubah. Jarak dan jurang yang ada sedikit demi sedikit jadi kecil, kecil dan terus mengecil. Bila anak Kak Long yang pertama lahir, jarak dan jurang itu langsung dah tak ada. Masa tu aku dah masuk U, berjauhan dengan keluarga walaupun tak berapa jauh juga menjadikan aku lebih tahu apa itu ertinya mak, abah, Kak Long, Abang Ngah, Abang Chik dan adik-adik dalam hidupku. Aku semakin sedar kalau aku benar-benar perlukan keluarga kecilku itu sebab aku tahu kalau ada orang yang akan membantuku masa susah nanti, itulah orang-orangnya. Mungkin akan ada orang lain sama, tapi orang-orang itu tentunya akan menjadi orang yang pertama menghulurkan tangan untuk menarikku setiap kali aku terjatuh.

Dan Kak Long, kenapa aku tiba-tiba teringatkan Kak Long? Hem.. pastinya sebab panggilan yang Kak Long buat. Kak Long mengkhabarkan berita yang mungkin dah lama aku dan keluargaku tunggu-tunggu. Kesudian Abang Ngah pula buat kegembiraanku jadi berlipat kali ganda walaupun semuanya masih belum jelas. Sekurang-kurangnya itu satu berita gembira buat aku di sini. Yang paling penting, selagi ada nyawa kat badan, jangan pernah berhenti berusaha dan berharap. Tapi apa yang membuatkan aku benar-benar terharu, Kak Long hanya menyampaikan berita gembira itu padaku. Kiranya aku orang pertama yang tahu. Alasan Kak Long, semuanya masih belum pasti.

Pasti atau tidak bagiku bukan persoalannya. Yang penting kesudian Kak Long tu. Dan, tiba-tiba saja aku terasa aku begitu penting dalam hidup Kak Long. Mungkin rasa terharu itulah yang mendorong aku menulis tentang Kak Long saat ini. Kakak yang aku sayang, walaupun sebagai adik aku tak pernah mengatakan apa-apa padanya kerana sememangnya aku bukan jenis orang yang meluahkan apa yang kusimpan. Biar menanah di kolong hati. Cuma yang aku tahu, sejak aku rapat dengan Kak Long, aku tak sedar yang aku sebenarnya banyak mengikut apa yang Kak Long buat dan cakap. Kalau Kak Long kata kain ni bagus, aku akan beli. Kalau Kak Long kata pencuci muka ni elok, aku beli juga. Kalau Kak Long kata kasut ni cantik, aku terus capai. Kalau Kak Long cakap benda ni bagus untuk aku yang akhir-akhir ini kerap mengeluh kalau dah ramai benar manusia mengatakan aku semakin berisi, aku akan ikut juga. Dan yang paling kelakar, baru-baru ni Kak Long bagi aku CD aerobik untuk mengatasi masalah keluhan aku tu. Malangnya aku tak pernah guna, bila dia tanya aku cuma cakap aku dah guna 3 @ 4 kali. Takut kena marah.

Buat Kak Long, betapa banyaknya kesalahanku padanya, aku tetap sayang pada kakakku itu. Moga kegembiraan dan kebahagiaan sentiasa melingkari hidup Kak Long. Amin!

-Sedikit Tentang Segalanya Untukmu-

Jangankan di alam sedar, di alam mimpi pun Jehanna Aisya tidak pernah berhajat untuk punya suami. Baginya, pengalaman lalu adalah guru yang paling jujur. Api dendam yang marak terhadap lelaki tidak pernah padam walau tahun demi tahun berlalu. Selagi terdaya, dia akan berlari dan terus berlari walaupun ke hujung dunia.

Katalah apa pun, Fahem Ammar tetap tidak memerlukan wanita bergelar isteri dalam hidupnya. Dia bukan jenis lelaki yang akan tunduk pada kehendak hati. Baginya, perkahwinan itu ibarat satu perjudian. Menang atau kalah hanya bergantung kepada nasib. Selagi boleh dielak, dia akan cuba mengelak seberapa daya yang mungkin.

Tapi, itu kata Fahem dan Jehanna yang punya cerita tersendiri, sedangkan janji ALLAH jauh lebih baik daripada itu. Dalam hangatnya mentari yang memancar, mereka dipertemukan dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Ada ego yang tercalar, ada hati yang terbakar dan ada pula bibit-bibit rindu yang hadir tanpa disedari.

Namun, bukan hidup namanya jika berjalan di atas garis lurus semata-mata. Bersaksikan Pulau Redang, Fahem melafazkan cinta. Malangnya, pantai yang sama juga menjadi saksi luka di hati Jehanna kembali berdarah. Semuanya kerana Fahem!

Benarkah kepercayaan itu umpama sebuah kristal, cantik memukau mata, tapi sekali terhempas tak mungkin akan dapat bercantum kembali?

-Buah Tangan 2008-

Salam untuk sesiapa saja yang sudi menjengah blog yang tak seberapa ini. Harap semuanya ceria, tak macam cuaca di luar sana. Alhamdulillah… akhirnya proses akhir untuk novel terbaruku dengan Alaf 21 hampir siap sepenuhnya. Auen, editor Alaf 21 kata, novel itu kini sudah ada di kilang untuk dicetak. Itu juga yang Kak Wan katakan menerusi telefon tengah hari tadi. Dan, ketika masuk ke sini tadi pula aku melihat apa yang Kak Dhiya Zafira tinggalkan di Cbox. Dia mengucapkan tahniah kerana novel terbaruku dah keluar. Biar betul sebab aku ingat lambat lagi. Macam tak cukup tangan aku klik web Alaf 21 lepas habis meeting yang agak menyerabutkan kepala. Bukannya apa, rasanya pagi tadi macam tak ada, tapi tak tahulah kalau-kalau aku terlepas pandang. Hem... rupa-rupanya memang dah ada cover di situ. Tertinggal kereta apilah pula aku kali ni.

Lama juga aku menilik-nilik cover itu. Kali pertama melihat cover itu biarpun aku bukannya orang pertama melihatnya sebab terlambat. Tak ada apa yang cacat, semuanya kelihatan sempurna di mata. Tapi aku terus juga menilik dan menilik macam orang yang sedang meneguk air tapi tetap tak hilang dahaga. Kemudian dalam diam-diam aku bertanya dalam hati. Apa yang aku rasa bila melihat cover novel itu? Tapi beberapa minit berlalu, tak ada jawapan yang muncul. Minda seakan-akan beku untuk memberikan jawapan. Adakah sebab minda aku ni telah beku gara-gara dipaksa menjadi MC untuk acara Pertemuan Pagi Jabatan Sastera tadi atau gara-gara meeting yang tak ada kata putus? Dan kesimpulannya, sampai saat jari-jemari yang tak runcing ni mengetuk keyboard ni pun, aku tetap juga tak pasti apa yang aku rasa. Cuma yang pasti ada debaran yang bukan calang-calang melanda hati. Mungkin ini juga debaran yang aku rasa tiap kali novel baru keluar. Atau ini juga debaran yang melanda kawan-kawan seangkatanku. Gusar dengan penerimaan pembaca yang pelbagai cita rasa terhadap novel itu, gusar dengan komen-komen yang menyengat yang ada kalanya suka dan ada kala sebaliknya, gusar dengan perbandingan demi perbandingan yang bakal dibuat dengan novel-novel yang pernah aku hasilkan sebelum ini dan gusar dengan bermacam-macam perkara lagi. Semuanya ada dalam hati saat cover yang berlatarbelakangkan pantai itu kutatap.

Kalau nak diikutkan, aku memang nak buat yang terbaik walaupun terbaik padaku belum tentu jadi baik untuk orang lain. Tapi aku tahu, untuk memuaskan hati ramai orang memang mustahil. Jadi aku masih dan tetap berharap novel SEGALANYA UNTUKMU akan dapat diterima. Kalau ada kekurangan di mana-mana, harap dimaafkan sebab aku masih dalam proses belajar bagaimana untuk menjadi penulis yang baik walaupun dah menulis beberapa buah novel. Boleh juga hantar komen di sini aleyaaneesa@yahoo.com.my. Tapi bukan sekaranglah sebab belum terbit lagi. Tak juga salah kalau nak hantar komen novel-novel sebelum ni. Mungkin novel ni akan terbit pada awal bulan Mac atau hujung bulan Februari. Untuk Auen, editor untuk keempat-empat novelku terima kasih tidak terhingga, nampaknya aku benar-benar dah serasi dengan dia. Untuk pembaca yang masih mahu membaca karyaku, terimalah buah tangan terbaruku ini dan terima kasih atas sokongan yang diberikan.

Salam sayang,
-Marwati Wahab @ Aleya Aneesa-

-Santai Saja-

Sabtu malam, seperti yang dijanjikan, aku, Shanika, Bikash, Hairul dan Fida melaksanakan misi yang dirancang beberapa minggu lalu. Misi apa lagi kalau bukan misi menonton wayang di Mid Valley. Huh... entah sejak bila aku betul-betul tak berapa pasti, tapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini aku memang dah jadi kaki wayang. Bukan juga bermakna aku langsung tak jejakkan kaki ke daerah gelap-gelita itu. Cumanya sebelum ini, boleh dikira dengan jari berapa kali aku jejakkan kaki ke situ dalam setahun. Terlalu memilih cerita atau terlalu malas sehingga aku sering ke belakang bila kawan-kawan mula membuka cerita.

Okey... berbalik cerita pasal wayang tadi, inilah cerita yang aku dan kawan-kawanku tonton. Dunia Baru The Movie... Seperti Siri Dunia Baru yang menjadi kegilaan aku setiap hari Isnin ( tapi sekarang dah habis dah siri ke 3), Dunia Baru The Movie juga tidak menghampakan aku. Boleh dikatakan dari mula cerita hingga habis, tak henti-henti aku dan kawan-kawan gelak. Orang kiri kanan pun macam tu juga. Cerita bermula apabila Opie (Elyana) mendapat surat yang ditulis oleh Anizah (Anita Baharom). Dalam surat itu Anizah menyatakan hasratnya untuk kahwin lari dengan Fazley (Mohd Hafiz), di Thailand. Menurut kandungan surat itu, Anizah sanggup melepaskan tawaran melanjutkan pelajaran di UK. Perkara ini menggusarkan teman-teman rapatnya iaitu Opie, Madihah (Ann Ngasri), Suzanna (Almy Nadia), Adif (Pierre Andre) dan Tajol (Wan Elyas). Mereka berpakat untuk mengejar Anizah dan mengubah fikirannya kerana mereka tidak percaya Anizah sanggup membuat tindakan nekad begitu. Disebabkan itu mereka mengambil keputusan untuk menjejaki Anizah. Dan, pengembaraan mencari Anizah rupa-rupanya menjadi suatu perjalanan yang begitu sukar dan meletihkan. Mereka tidak henti-henti diduga. Tapi rasanya duga-dugaan itulah yang menjadikan cerita ini terus hidup. Apa pun aku benar-benar terhibur.

David Rice merupakan seorang "Jumper" yang boleh menjelmakan dirinya di mana-mana tempat yang diinginkan. Dia baru menyedari kebolehan yang ada padanya ketika berusia 15 tahun, sedangkan ibunya sudah mengetahuinya sejak dia berusia 5 tahun lagi sehingga memaksa ibunya itu meninggalkan dirinya. Kebolehan yang ada padanya itu membolehkan dia pergi lebih dari satu tempat ke satu tempat yang lain dalam masa beberapa saat sahaja. Dan, kelebihan yang ada juga telah membuatkan dia mendapatkan kesenangan dengan cara yang mudah iaitu merompak dengan sewenang-wenangnya tanpa dapat dikesan oleh pihak Polis. Pendek kata, memang duit yang dirompak tu banyak sangat. Tak payah kerja teruk-teruk. Tapi seperti cerita-cerita yang lain, tentu Si David ni tak boleh terus hidup senang lenang sampai bila-bila, setiap antagonis, harus ada protagonisnya, begitu juga sebaliknya. Itukan lumrah dalam setiap cerita tak kira filem, cerpen, drama atau novel sekalipun. Kebolehan David itu akhirnya dapat dikesan oleh satu organisasi yang misinya menghapuskan "Jumper". Cerita ni pun okey juga, tapi disebabkan pergerakan watak terlalu pantas, sebab bergerak dari satu tempat ke satu tempat tanpa ada batas, mata jadi agak letih dan penat.

Dan ini pulak filem yang aku tonton dengan kak Azie masa cuti Tahun Baru Cina baru-baru ni. Cuci mengisahkan penglibatan empat sahabat Khai (Hans Isaac), Fairil (Afdlin Shauki), C’Tan (Ac Mizal) dan JOJO (Awie) dalam memperbaiki kehidupan mereka sebagai pencuci tingkap banggunan tapi punya wawasan yang tinggi. Dalam mencari kemajuan mereka telah memasuki “Window Washing Olympic” satu pertandingan berprestij yang akan menempatkan syarikat mereka CUCI CUCI SERVICES di antara syarikat2 professional. Pertandingan ini juga merupakan satu langkah bagi mereka untuk mendapatkan kontrak besar mencuci tingkap banggunan banggunan pencakar langit di Kuala Lumpur. CUCI ni pun okey juga sebab memaparkan semangat di antara empat sahabat karib dalam mengharungi rintangan hidup dengan mengekalkan nilai jati diri dan kualiti kerja yang baik. Filem ini banyak mengadunkan adegan-adegan menarik yang dipersembahkan dalam bentuk komedi ringan dan penuh aksi.

-Keluarga Kecilku-

Muhammad Aqqif Najmi... 22 Januari 2008 hari tu dia mula menjengah dunia buat pertama kali. Masa tu mungkin aku dah bersiap-siap nak tidur. Tak sempat pun nak balik minggu tu juga. Jadi aku cuma tengok dia masa balik cuti TBC baru-baru ni. Cute... sama aje macam bayi-bayi yang baru lahir, tak kira apa bangsa dan warna kulit sekalipun, tetap comel di mata aku. Dia ni anak buah aku yang keempat, kiranya mak dan abah ada dua cucu perempuan dan dua cucu lelaki. Hem... diam tak diam, keluarga aku yang dulunya hanya 8 orang dah jadi 15 orang. Maksudnya yang duduk di rumah abah bila cuti-cuti Malaysia, tak termasuk keluarga lain sebab aku masih ada ramai lagi kaum kerabat.

Hem... cepatnya masa berlalu sampai kadang-kadang langsung tak sedar. Teringat masa Kak Long mula kahwin dulu, tak siapa pun tahu jauh kat sudut hati aku, sebenarnya ada rasa kurang senang. Terasa macam hak aku dirampas orang lain sampaikan masa dia bertunang, aku nak tidur rumah kawan aku kat bandar dengan alasan merapu sebab terasa keluarga aku diganggu-gugat. Sudahnya aku tak jadi pergi, cuma pergi sekolah rendah. Lepak sambil teringat pokok tumbang yang hampir menimpa aku dalam perjalanan. Nasib baik... kalau tak dah lama aku jalan.

Bila anak buah aku yang sulung dan kedua lahir, sekali lagi aku terasa perasaan yang sama walaupun rasa yang dulu tu dah pulih. Tapi sekejap aje, lepas tu aku pulak yang lebih-lebih suka. Atau mungkin juga sebab masa tu aku dah duduk jauh dengan keluarga. Dah lebih matang, tapi anehnya bila abang aku kahwin pula, sekali lagi rasa tu datang. Pun sekejap juga sebab sekarang aku dan kakak ipar aku dan macam kawan. Lepas anak buah aku yang ketiga lahir, aku dah tak rasa macam tu lagi. Begitu juga dengan yang keempat ni, tak ada rasa apa kecuali rasa syukur.

Gilanya aku bila difikir kembali, tapi yalah... masa tu aku masih belajar, seorang remaja yang suka memberontak dan merajuk bila ada yang tak kena. Padahal masa tu pun aku bukannya rapat mana dengan Kak Long, selalu aje bercakar walaupun dia jauh lebih tua berbanding aku. Tapi sekarang semuanya dah berubah. Yang tak rapat itulah kini yang aku cari kini. Masa mmg mampu mengubah manusia. Orang lain aku tak tahu, tapi itulah yang berlaku pada aku.

Dan Muhammad Aqqif Najmi... anak kecil itu dah berjaya membuatkan keluarga kecil aku itu huru-hara. Masing-masing sibuk mahu memanggil apa. Mama dan papa dia panggil adik, mak dan Kak Long tetap mahu panggil dia Aqqif, anak-anak buah aku dan pak cik-pak cik dia juga Mak Cik Ila dia pulak sibuk mahu memanggil dia Jimi, abah pulak nak panggil Mat. Tapi aku tak kasi, teringat nama aku yang dia orang gelar. Ei... geramnya sebab nama tu buat aku selalu kena ejek dengan kawan-kawan kat kampung. Semuanya gara-gara aku berpenyakit masa tu. Huh... macam-macamlah keluarga aku tu. Dan aku? Setakat ini aku hanya menjadi pemerhati. Kadang-kadang aku panggil Jimi, kadang-kadang aku panggil Aqqif. Nak panggil Mat... tak mungkin, biar abah panggil sorang-sorang. Adik pulak... tak mungkin juga sebab dah ada yang dipanggil adik, anak bongsu Kak Long. Itu pun aku yang membawa virus 'adik' tu sehingga mak terpaksa akur dengan memanggil nama yang sama. Apa pun aku tetap mendoakan kebahagiaan buat kami sekeluarga.

-Hati dan Aku-

Salam buat sesiapa yang sudi menjengah. Lama tak menulis, terasa pula nak menulis setelah lama hidup dalam ruang dan dunia sendiri yang agak berbeza dari dunia-dunia sebelum ini. Dunia TV, CD dan DVD, dunia cerpen yang sudah bertukar cerita panjang tapi masih belum ada kesudahannya, dunia novel yang tersekat separuh jalan walaupun ada kalanya hajat di hati begitu berkobar-kobar, dunia bola sepak yang tidak berapa aku minati terpaksa layan sebab tak ada benda nak buat masa di kampung hari tu, dunia keluarga yang pelbagai ragam dan cara dan bermacam-macam dunia lagi. Tapi terlalu keterlaluan rasanya kalau aku perincikan setiap satu sebab bukan itu pun sebenarnya yang nak aku tulis.

Sebenarnya kerja dah semakin kurang selepas naik cuti ni. Banyak yang dah dihantar untuk bacaan pruf dan kerja-kerja seumpamanya. Cuma ada kerja-kerja kecil yang perlu diselesaikan dalam masa beberapa hari ini. Jadi seperti biasa aku pun mula merayau-rayau ke blog kawan-kawan yang pelbagai kaler, corak dan jenis. Bila tak ada kerja, bosan juga rasanya. Sedangkan selama ini minda selalu mengatakan, 'Bestnya kalau tak ada kerja'. Rupa-rupanya langsung tak best. Manusia... siapa kata manusia mudah rasa puas? Bila satu keinginan terpenuhi, satu lagi keinginan akan muncul.

Dan, dalam banyak-banyak blog yang aku pergi, aku paling suka masuk blog Kak Rose Harissa. Cantik sangat, pergi berkali-kali pun aku tak pernah rasa jemu. Setiap kali itu juga aku rasa tertarik, pendek kata jatuh hati berkali-kali. Tapi aku selalunya hanya gemar tengok dari jauh saja, sesekali baru menyapa sebab tak tahu nak tulis apa. Cuma kali ni, aku bukan hanya tertarik dengan blog Kak Rose yang sangat cantik menawan tu semata-mata, tapi dengan n3 yang Kak Rose tulis juga. Paling aku suka ayat, 'Dan seperti biasa, penyakit aku takmo cakap dengan sesapa, bersikap 'kejam' datang lagi' (sori Kak Rose, pinjam ayat). Bukan apa, sebenarnya apa yang Kak Rose rasa tu sama benar dengan apa yang aku rasa. Macam aku terasa aku yang tulis ayat tu. Sikit pun tak kurang sebab aku pun akan jadi 'kejam' kalau hati aku terasa. Kadang kala jadi lebih buruk dari itu. Lepas tu mulalah aku bertapa. Langsung tak ada khabar berita.

Hem... itulah manusia. Atau lebih tepat lagi, itulah aku yang hari demi hari terasa semakin tawar hati dengan banyak benda yang ada dalam hidup aku. Ada kalanya aku tak lagi terasa gembira pada apa yang selama ini aku gembirakan sangat dan sepatutnya aku gembirakan buat selama-lamanya. Ada masanya aku tak lagi suka pada apa yang pernah aku suka satu ketika dulu. Ada ketikanya aku tak lagi tak suka pada apa yang aku pernah tak suka sedangkan dulu memang aku tak pernah suka. Hati... kalau ALLAH nak balikkan hati manusia, memang tak ada apa yang dapat menghalangnya. Hari ini suka, esok boleh jadi tak suka. Hari ini tak suka, esok boleh jadi suka sangat sampai tak boleh nak dipisahkan. Tapi boleh jadi juga, hari ini suka, esok suka dan sampai bila-bila pun suka, begitu juga sebaliknya. Hanya... aku masih berharap hati yang dah tawar ni boleh jadi manis, masam, pahit, payau dan pelbagai rasa lagi supaya aku dapat terus menikmati apa ertinya hidup yang tak pernah sunyi kecuali manusia yang merasakan kesunyiannya. Tapi buat mereka yang sudi membaca hasil karyaku selama ini, terima kasih dan tentunya ada sesuatu yang menanti kalian. Salam sayang...