- Bengkel Perolehan Manuskrip Novel -

March 31, 2008

Akhirnya Bengkel Perolehan Manuskrip Novel yang dibuat oleh Bahagian Penerbitan Sastera selesai sudah minggu lalu seperti yang dirancang. Bagi aku, bengkel tu memang bagus. Banyak ilmu yang boleh dikutip walaupun sebahagian daripada yang disampaikan itu dah aku pelajari semasa belajar dulu. Tapi bukan senang juga nak dapat ilmu secara percuma daripada penulis-penulis dan pembimbing yang dah berpengalaman dan kaya dengan ilmu seperti Azizi Haji Abdullah, Dato’ Dr. Anwar Ridhuan, Tuan Haji Malim Ghozali dan Dr Hashim Ismail. Pendek kata, bengkel tu memang sangat berguna untuk aku sebagai seorang penulis walaupun aku tak pernah menghantar karya ke DBP. Bos pun ada cakap masa bengkel tu, ‘Lepas ni Mar kena buat 1 manuskrip untuk DBP’. Dengan sengihan yang kelat aku cakap pula, ‘Saya cuba’. Tapi aku tak berjanji, paling tidak bukan dalam jangka masa terdekat ni disebabkan banyak benda. Akan datang aku tak tahu sebab itu bukan kerja manusia. Kalau hati dah tergerak, aku percaya tak ada apa yang boleh menghalang. Hanya kini, aku berani cakap satu hari nanti insya-Allah aku akan buat juga novel untuk DBP, tarikhnya saja yang tak mampu aku beri.

Pertama kali menjadi urus setia dalam bengkel penulisan rupa-rupanya tidak sama rasanya seperti menjadi peserta. Aku rasa lebih relaks dan santai. Tak ada tekanan, tak perlu banyak berfikir kecuali menjadi pendengar yang baik kerana aku tidak mahu ilmu yang berguna terlepas begitu saja dan pembawa laptop ke mana-mana saja aku nak pergi termasuk pergi mengisi perut.











Tapi di sebalik bengkel itu, terdapat begitu banyak cerita yang mulanya bagiku tak langsung lucu. Bila bengkel selama tiga hari itu berlalu, barulah terasa hendak ketawa bila dikenang-kenang kembali. Terus terang aku katakan, aku agak berat hati bila disuruh mencari peserta dalam bengkel tersebut. Pastilah alasannya, aku penulis dan kenal ramai penulis walau hakikatnya bukan macam tu. Memang ada kawan-kawan tapi yang tak menulis di DBP. Tapi aku cuba juga dan akhirnya dapat juga menarik nafas lega setelah beberapa kali hampir terduduk sebab ada peserta yang kejap hendak dah kejap pula tidak dapat hadir kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Hingga di saat-saat akhir pun, setelah semuanya beres masih ada yang menolak walaupun pada awalnya sudah memberikan persetujuan. Pening juga aku jadinya, bimbang gagal mencari. Mujur kawan-kawan banyak membantu dengan memberikan nama-nama penulis yang pernah menulis di DBP.

Tiga hari sebelum bengkel tu diadakan pula, aku tiba-tiba naik angin gara-gara seorang kawan mengatakan pada bos yang aku menawarkan diri untuk buat ‘sesuatu’ hari bengkel nanti. Tapi masalahnya aku tak cakap macam tu. Tapi bila sekali lagi disebut di hadapan aku, darah terasa naik ke kepala secara tiba-tiba. Muka pulak... hem tak tengok cermin jadi tak tahu rupa macam mana masa tu. Mungkin merah padam atau juga hijau biru kuning. Tapi badan aku dah menggigil semacam sebab terlalu geram. Pertama kali aku rasa macam tu sejak jadi warga kerja DBP hampir 3 tahun. Nak menjerit pun ada juga sebab minggu tu memang aku letih sangat terkejar ke sana dan ke sini sambil bimbangkan dua pruf yang setinggi gunung. Bagi mengelakkan aku jadi kurang ajar pada orang yang lebih tua, aku cepat-cepat belah.

Hari kedua bengkel pula, bos datang di tempat makan dengan usikan yang langsung aku tak duga. Bila bos bergabung dengan seorg kawan dan aku sedar ke mana arah perbualan mereka, aku cepat-cepat bangun. Tahu kalau aku terus di situ, aku memang menempah malu. Tak nak aku terus jadi bahan usikan orang. Sah, seperti yang aku duga, di dalam bilik bengkel diadakan, kawan aku tu sekali lagi datang. Bos pula asyik senyum semacam sampai aku nak segan sendiri. Hari Jumaat lepas, sekali lagi aku ditanya dengan soalan yang sama dan aku nekad menamatkan semuanya. Hari ni pula, setelah seminggu berlalu, aku masih lagi disakat dengan usikan yang sama juga walaupun kata penamat sudah diberi. Huh... seronok sangat dapat menyakat aku agaknya ye. Kesiannya aku...

-Rasa-rasa...-

March 27, 2008

'Masa adalah penawar yang paling baik bagi sesiapa saja yang pernah mengalami mimpi ngeri dalam hidup'

Itu kata ramai orang yang ada di luar sana yang tidak pernah kenal erti berhenti memujuk bila melihat orang yang dikenali tersepit dengan soal hati dan perasaan, juga kasih sayang yang tidak ada titik akhir. Kata-kata yang sama yang diluahkan kawan-kawan setiap kali duduk berkumpul atau berborak tentang sesuatu yang kadang-kadang mudah difahami dan kadang-kadang begitu sukar untuk ditafsirkan makna di sebalik kata-kata itu.

Kata-kata yang sama yang aku bisikkan pada hati jika sesuatu mengejar jejak langkah yang makin menjauh demi memujuk hati sendiri. Malah kata-kata yang sama yang tidak pernah lupa dan jemu untuk aku selitkan dalam setiap novel-novel yang pernah aku hasilkan selama ini. Ada juga dalam cerpen-cerpen dan cerita-cerita panjang yang aku nukilkan setiap kali idea datang.

Tapi... rupa-rupanya, tidak begitu mudah menipu diri sendiri seperti menipu orang lain. Memberi nasihat agak senang, tapi menerima nasihat itu begitu payah rasanya. Dan, bila kenyataan terbentang di hadapan mata, barulah segala-galanya teruji dengan jelas. Barulah rasa sakit itu datang lagi sedangkan semuanya terasa seperti sudah berlalu seiring dengan putaran waktu yang tidak pernah menunggu manusia yang sering terlupa. Apalagi bila apa yang tidak diduga itu tiba-tiba saja dibangkitkan sedangkan langsung tidak ada persediaan yang dibuat. Jauh sekali pertanyaan itu datang daripada orang yang langsung tidak terduga.

Bila lidah terkelu, barulah diri tersedar daripada lena yang panjang dan hati berkata sendiri, 'Kenapa begitu sukar memadamkan semuanya?' Sayang, jawapan yang dicari sering tercicir ditinggalkan masa kerana tidak ada siapa pun yang ada alasan, walaupun setiap yang berlaku itu ada sebab dan akibatnya. Ya, begitulah kejadiannya. Begitulah kehendak DIA yang lebih memahami dan mengerti setiap sesuatu itu ada hikmahnya yang tersembunyi. Cuma tergantung bagaimana mahu mencari di manakan hikmah yang tersembunyi itu. Atau, diri yang sebetulnya sering membutakan mata dan hati sedangkan sudah tahu semuanya. Hanya perlu menerima kenyataan, hanya itu semata-mata...

Dan seperti kata Kak Sa'adi... bila kekuatan benar-benar datang, tulislah tentang itu, kisah itu punya nilai yang tidak terhingga...

-Kelam-kabutnya Rasa-

March 19, 2008

Boleh tak kalau aku andaikan bulan Mac adalah bulan yang agak memenatkan? Tapi secara jujurnya memang aku agak letih sedikit bulan ni. Dua minggu berturut-turut aku berkejar ke Johor. Kemudian dua kali pergi ke Alaf 21 dan secara tidak langsung dalam bulan ni saja aku sudah ambil cuti sebanyak 3 hari. Dua hari untuk Alaf 21 dan 1 hari lagi masa kat kampung hari tu. Dalam masa yang sama di pejabat sibuk memburu penulis DBP untuk bengkel seminggu yang akan diadakan di PD bermula hari Isnin ni. Dan, aku selaku urus setia terpaksa hadir sekali nanti. Hem... letihnya rasa sebab di saat akhir ada-ada saja peserta yang menarik diri disebabkan halangan yang tidak dapat dielakkan. Mujur juga tengah hari tadi masalah yang dah dua minggu aku hadapi tu dah selesai. Harap-harap semuanya akan berjalan lancar hendaknya. Biar penat dan letih minda yang aku dan kawan-kawan rasa berbaloi

Bukan itu sebenarnya yang nak aku ceritakan di sini. Yang nak aku conteng ialah apa yang dah jadi dengan aku hujung minggu lepas. Aku balik kampung hari Jumaat tu semata-mata kerana kenduri cukur jambul Aqqif walaupun minggu sebelumnya baru aje balik. Keluar pejabat pukul 3.30 petang dengan harapan cepat sampai, tapi malang memang tak berbau. Aku sampai agak lewat juga daripada masa sepatutnya sebab bas buat hal di tengah jalan. Nak buat macam mana, nasib badanlah katakan.

Sampai saja di Larkin, aku terus tanya boleh tak kalau aku nak tukar tiket hari Isnin kepada hari Ahad sebab aku tak jadi balik KL hari Isnin sebab nak pergi Alaf 21. Dengan muka tak berperasaan, yang jaga kaunter tu cakap tak boleh tukar. Tiket ketiga yang dah aku sia-siakan rasanya. Beli tapi sudahnya aku tak naik. Lepas tu aku ajak Abang Chik dan Ila pergi Angsana sebab nak cari baju macam yang Faizal suruh pakai sebab dah tak ada masa lagi nak keluar. Tapi puas berpusing macam tak ada aje. Abang aku pun nampak dah bengang, aku lagilah bengang. Dah dekat-dekat Angsana nak tutup, abang aku panggil aku, di tangan dia ada baju warna merah. Malas nak cakap banyak aku capai, cuba dan bayar. Habis cerita...

Dan, kenduri cukur jambul tu pun berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Aqqif pun sepanjang dicukur jambulnya, cuma tidur aje sampai Pak Long aku cakap, kalau budak lain dah melalak dah. Nak buat macam mana, Aqqif jenis tidur siang tapi malam berjaga. Saja nak dera mama dan papa dia tu. Apa pun, walau agak memenatkan, semuanya puas hati. Tak cukup dengan penat yang dah sedia ada, pukul 10 malam tu, aku, Ila dan Ina sempat lagi buat kek coklat sebab Ina yang nak makan sangat. Mak pun dah herot wajah sebab geram dengan kami bertiga, maklumlah kami sepahkan balik meja yang dah kemas. Tapi lepas tu kami kemaslah balik. Saja nak cari penyakit, itu pun kek tu cuma sempat bakar 2 kali aje sebab masing-masing dah mengantuk. Satu lagi tu simpan esok ajelah. Itu kata Ila malam tu...

- 10 jam di Shah Alam -

March 18, 2008

Semalam... seperti yang dijanjikan dengan Kak Wan dan Faizal, pukul 8.45 pagi aku dan Shanika dah terpacak di hadapan Alaf 21. Lewat 15 minit dari masa sepatutnya. Sebenarnya aku kena pergi Alaf 21 sebab ada photoshoot untuk katalog Alaf 21. Dah lama sebenarnya Kak Wan suruh aku buat benda ni, tapi ada aje alasan yang aku beri. Tapi hari Selasa lepas, bila aku pergi Alaf 21 untuk tandatangan novel Segalanya Untukmu, aku dah tak boleh nak mengelak lagi. Dengan senyuman masam-masam manis aku terpaksa akur sebab dah tak boleh nak lari. Seganlah aku nak menghadap kamera. Itu pun aku cakap pada Kak Wan nanti aku bagi jawapan hari apa aku boleh datang. Malangnya Kak Wan macam dah tahu helah aku, mungkin dah biasa sangat dengan setiap jawapan yang aku beri agaknya. Dia siap cakap aku kena bagi jawapan sebelum aku balik. Hem... memang kena kali ni. Segala jalan yang ada bagaikan dah tertutup.

Dalam pukul 9.00 pagi, Jojie datang ke Alaf 21 dengan lengang-lengoknya. Jojie ni sebenarnya ditugaskan menepek segala macam warna kat muka aku. Hampir dua jam juga dia kerjakan muka aku. Mula-mula aku seram juga dengan dia, maklumlah... nampak macam tak mesra alam. Lepas beberapa minit, aku dah mula selesa. Maka keluarlah lawak antarabangsa aku. Mujur juga dia ni pun sama lebih kurang aje orangnya sebab loyar buruk juga. Agak senang bekerja dengan dia ni. Itu pun kalut juga sebab Faizal cuti tiba-tiba. Lupa yang aku ada photoshoot pagi tu. Terpaksalah Mun yang memakaikan aku tudung sebab aku siap cakap, aku x reti nak menggayakan tudung, kalau suruh pakai macam mak cik pergi pasar aku memang tak ada masalah besar.

Dalam pukul 11 lebih, aku, Kak Molly, Shanika (dia pergi sekali dengan aku sebab aku yang ajak, terlanjur dia pun cuti), Ozie, Jojie dan jurugambar mula buat apa-apa yang patut di Tasik Shah Alam. Huh... baru aku tahu susahnya nak berdiri depan kamera. Selama ni yang aku tahu senyum aje, lentok kepala sikit, pegang itu ini, lepas tu nampaklah cahaya tanda gambar dah ditangkap. Tapi semalam, hem... dalam cuaca panas kesabaran aku agak teruji juga. Siapa cakap senang ye? Paling kelakar bila diaorg kata aku senyum macam plastik, senyum palsu, senyum tak ikhlas, senyum buat-buat dan sebagainya. Anehnya, diaorg kata, bila tak depan kamera aku nampak lebih ikhlas kalau senyum dan ketawa. Sudahnya, tiap kali jurugambar tu nak tangkap gambar aku, tiap kali itu jugalah Jojie jerit cakap perkataan 'palsu', sebanyak mana gambar ditangkap, sebanyak itu perkataan tu keluar dari mulut dia. Sebabnya, tiap kali dia jerit aku rasa kelakar, aku pun senyum dan ketawa aje macam tak ada kamera depan mata. Mungkin perkataan tu yang membantu aku.

Terima kasihlah pada Jojie yang dah buat kerja aku lebih cepat, Kak Molly yang pegang lampu, Ozie yang tak henti-henti suruh aku betulkan kepala dan sebagainya, jurugambar yang sabar dan paling penting Shanika yang dah sia-siakan cuti dia semata-mata nak temankan aku yang segan dalam banyak hal. Tq ye mek...

Lepas makan tengah hari, balik semula kat Alaf 21. Tukar baju lebih kurang dan mula tandatangan novel sambil berbual-bual dengan Shanika. Bercerita itu dan ini sambil sesekali disampuk oleh Kak Ziana dan kawan-kawan lain. Lawak sangat bila Kak Zaina menyakat nak tengok tulisan aku. Cepat-cepat mengelak sebab aku tahu dia nak cakap tulisan aku tak cantik. Memang pun tak berapa elok tulisan aku. So... kepada yang dapat tandatangan aku, minta maaf sebab itulah tulisan aku. Tak berapa cantik tapi tak buruk juga kan? Hehehehe...

Selesai semuanya, pergi pula Seksyen 9 jumpa dengan kawan Shanika. Borak-borak sampai hampir pukul 6.30 petang. Balik pula hari hujan, jalan pun sesak macam nak rak. Tapi seperti kata Shanika, 'syukur pada hujan dan jalan yang jem'. Kenapa? Hem... dalam masa hampir dua jam dalam kereta, banyak benda yang aku dan dia bualkan atau bincangkan. Berbicara dari hati ke hati sebagai seorang kawan yang cuba memahami hati seorang kawan. Lebih tepat lagi meluahkan sesuatu yang selama ni tak mampu untuk diluahkan kerana banyak sebab. Betul kata Shanika dan kata seorang kawan aku satu ketika dulu... hidup aku dan hidup Shanika atau penulis lain, perjalanannya sama seperti yang terdapat dalam kebanyakan novel di pasaran. Aku akui itu, walaupun entahkan suratan entahkan kebetulan aku tak dapat pastikan. Tapi memang itulah keyataannya. Apa pun, semoga saja aku, dia, dan semua orang dalam dunia ini terus tabah. Dugaan dan cabaran hanyalah asam garam dalam sebuah kehidupan.

-Hujung Minggu Lepas-

March 13, 2008

Cuti hujung minggu lepas aku balik kampung. Bukanlah sebab nak mengundi sebenarnya. Tapi sebab sepupu aku melangsungkan perkahwinan. Dia ni sepupu belah abah, masa kecil aku kira rapat dengan dia, tapi bila dah besar jadi renggang. Paling aku suka tidur rumah dia sampai mak bengang. Yelah, mana ada mak yang suka anak dia tidur rumah orang. Tapi aku, memang suka buat apa yang orang tak suka. Rasa seronok agaknya masa tu dapat cabar kesabaran orang. Lagi orang kata jangan, lagi aku suka nak buat. Lebih-lebih lagi masa tu nenek belah abah masih ada, tapi atuk dah lama tak ada. Aku selalu rebut nak tidur sebelah nenek aku tu dengan Kadijah, Aminah, Fatimah dan Halimah. Kononnya tidur sebelah nenek selamat, hantu takut. Kadang-kadang sampai gaduh-gaduh dan kesudahannya, aku balik rumah tengah-tengah malam sebagai tanda protes.

Cuma bila masa dan jarak semakin menjauh, hubungan yang rapat pun mula semakin menjarak sedikit demi sedikit. Seiring dengan putaran waktu, aku jadi rapat dengan sepupu sebelah mak pula tak kira lelaki atau pun perempuan. Dan, sampai ke hari ini pun aku masih rapat dengan sepupu belah mak. Cuma sekali-sekala aje bertegur sapa dengan sepupu sebelah abah, aku yang kecoh jadi beku bila berada di tengah-tengah diaorg, hilang rentak nak beramah-mesra. Jauh sekali nak berkongsi cerita macam masa kecil. Kenapa sampai boleh jadi macam tu, aku tak begitu pasti. Mungkin ada cerita yang dah semakin hilang dalam ingatan atau pun aku yang sengaja menghilangkannya. Hem... buat apa nak diingat kisah-kisah lalu kalau hari depan menjanjikan sesuatu yang lebih indah.

Apa pun, aku tumpang gembira masa majlis tu. Dah bertahun-tahun tak menolong melayan orang dalam majlis kahwin, tiba-tiba hari tu aku dengan rela hati menyingsing lengan baju. Penatnya TUHAN saja yang tahu. Tapi di tengah-tengah keseronokkan, rasa sedih dan takut melanda aku dan keluarga sebab pak cik masuk hospital sebab sakit. Ada nanah dalam paru-paru dia, kata doktor. Tapi alhamdulillah, selepas operation semuanya beransur pulih. Nak menangis juga masa tengok dia di hospital sebab adik mak aku ni memang dah lama sakit. Dan, yang paling aku terharu sekali, lepas pak cik aku ni dioperation, adik aku dan sepupu-sepupu yang lelaki bergilir-gilir jaga dia, ada yang siang dan ada yang malam. Sampai cengkung-cengkung mata adik aku sebab dia asyik kena jaga malam je. Tengok dia ketawa masa aku buat lawak bodoh kat hospital yang dah dipenuhi dengan kaum kerabat aku tu, aku jadi bertambah lega. Pasti sakit dia dah beransur baik. Harap-harap dia cepat sembuh dan boleh balik semula ke rumah.

-Kembar Segalanya Untukmu-

March 7, 2008

KERANA kasih yang mendalam, Syed Khaled sanggup melarikan Normala daripada dipaksa berkahwin dengan lelaki tua. Mereka sanggup menempuh perjalanan yang panjang semata-mata untuk membuktikan cinta mereka cinta sejati. Mungkin jodoh telah tersurat, Normala dan Syed Khaled berjaya diijab-kabulkan. Dalam manisnya mengecap bahagia, Normala dikejutkan dengan berita yang benar-benar mencabar emosi wanitanya. Dia kini bergelar madu!

Bagi Syed Khaled, walaupun ada dua suri dalam hatinya, nama Normala tetap bertakhta di tempat paling atas. Tiada siapa pun yang dapat memisahkan mereka kecuali maut. Normala adalah cinta pertama yang akan dikenang sampai bila-bila. Tanpa Normala, hidupnya ibarat malam tanpa siang. Tiada arah tujuan dan tiada sebarang harapan.

Sayangnya, panas yang disangka berpanjangan bertukar gerhana sekelip mata. Berita kematian Syed Khaled bagai langit menimpa kepala. Apatah lagi kebenaran yang selama ini tersimpan rapi terbongkar satu demi satu. Anak-anak yang diharap menjadi penyambung kasih antara dua keluarga kini bertelagah. Semuanya gara-gara harta. Madu yang selama ini begitu dingin, mula menunjukkan taringnya. Normala sedih bukan kepalang.

Tapi, sampai bila dia dapat bertahan jika hatinya sering terusik? Dan, mampukah wasiat itu mendekatkan kembali jurang yang semakin luas? Baginya, duka di hati siapalah yang tahu...

JANGANKAN di alam sedar, di alam mimpi pun Jehanna Aisya tidak pernah berhajat untuk punya suami. Baginya, pengalaman lalu adalah guru yang paling jujur. Api dendam yang marak terhadap lelaki tidak pernah padam walau tahun demi tahun berlalu. Selagi terdaya, dia akan berlari dan terus berlari walaupun ke hujung dunia.

Katalah apa pun, Fahem Ammar tetap tidak memerlukan wanita ber-gelar isteri dalam hidupnya. Dia bukan jenis lelaki yang akan tunduk pada kehendak hati. Baginya, perkahwinan itu ibarat satu perjudian. Menang atau kalah hanya bergantung kepada nasib. Selagi boleh dielak, dia akan cuba mengelak seberapa daya yang mungkin.

Tapi, itu kata Fahem dan Jehanna yang punya cerita tersendiri, sedangkan janji ALLAH jauh lebih baik daripada itu. Dalam hangatnya mentari yang memancar, mereka dipertemukan dalam keadaan yang tidak diduga. Ada ego yang tercalar, ada hati yang terbakar dan ada pula bibit-bibit rindu yang hadir tanpa disedari.

Namun, bukan hidup namanya jika berjalan di atas garis lurus semata-mata. Bersaksikan Pulau Redang, Fahem melafazkan cinta. Malangnya, pantai yang sama juga menjadi saksi luka di hati Jehanna kembali berdarah. Semuanya kerana Fahem!

Benarkah kepercayaan itu umpama sebuah kristal, cantik memukau mata, tapi sekali terhempas tak mungkin akan dapat bercantum kembali?

KARISSA LISA diceraikan kerana cuba menduakan suaminya. Hidupnya semakin tertekan apabila bekas suami menafikan hak penjagaan dua orang puteri kembar mereka, Puteri Qayrina dan Puteri Qistina.

Pertemuan dengan Tommy Yadees memberikan keyakinan kepada Karissa. Lelaki itulah pembangkit semangatnya, juga merawat kepedihan hidupnya selama ini. Dia sedar kini, kebahagiaan bukan boleh dibeli dengan harta kemewahan.

Lantaran itu, Karissa kembali menjadi wanita yang 'digeruni'. Dendam kesumat terhadap seorang lelaki bernama suami memaksanya bertindak nekad. Lantas, bermulalah detik-detik penyamaran-nya yang penuh makna!
Datuk Mukhris pula semakin resah. Satu rahsia yang telah terpendam sekian lama berjaya dibongkar oleh wanita yang pernah bertakhta di hatinya itu. Ternyata, Karissa bukan calang-calang wanita yang boleh diperbodohkan!

Namun, wajarkah Karissa berdendam sebegitu rupa sehingga tergamak memerangkap ayah kepada anak-anak sendiri? Tercapaikah impian seorang ibu yang ingin membuktikan kasih sayang terhadap sang puteri atau mungkinkah segalanya itu akan hanya membuka pekung di dada dan mencalar maruah insan yang pernah dikasihi?

Yang pasti ada hati yang terluka... ada jiwa yang menderita!

-Akhirnya Keluar Juga-

March 6, 2008

Salam buat semua yang sudi menjengah ke blog yang tak lama lagi akan mencecah usia setahun. Tetap setia membaca coretan demi coretan dari si penulis cabuk ini yang adakalanya ok dan adakalanya ko dek perjalanan hidup yang penuh dengan liku-liku yang sentiasa ada di hadapan. Tetap mahu bersama-sama berkongsi segala sesuatu rasa yang pelbagai. Kadang kala senyum, kadang kala pula sebaliknya, sama seperti jalan yang hidup terentang, kadang lurus dan kadang pula berliku-liku. Semoga kegembiraan dan kebahagiaan sentiasa melingkari hidup kita semua kerana dalam hidup ini tidak ada yang lebih kita harap-harapkan berlaku kecuali dua perkara penting tersebut.

Buat pembaca novelku, ada berita baik yang ingin aku sampaikan di sini. Tadi aku baru saja mendapat panggilan telefon dari Auen, editor Alaf 21. Auen kata novel SEGALANYA UNTUKMU dah keluar. Keluar bagaimana maksudnya, aku tak berapa pasti. Mungkin keluar dari kilang atau mungkin juga keluar ke kedai-kedai atau juga keluar dengan erti kata dah siap dicetak. Cuma yang aku benar-benar pasti kerja-kerja yang berkaitan dengan novel terbaruku itu sudah pun selesai sepenuhnya dari A hingga Z.

Lega! Lega benar rasanya bila berita itu akhirnya sampai juga pada aku sebab dah beberapa minggu juga aku tunggu. Bukannya apa, sejak Tawaran Pra-Terbit novel tu keluar kat web Alaf 21 dan aku pun tempelkan juga cover dan blurb novel tu di sini sebab rasa tak elok pula kalau aku hanya biarkan Alaf 21 aje yang buat promosi tanpa aku campur tangan sedangkan itu novelku. Sejak itu, aku sebenarnya tak tahu macam mana nak menjawab bila tarikh sebenar novel tu akan keluar setiap kali kawan-kawan di luar atau di sini bertanya. Dari dulu, aku memang tak berapa gemar buat orang tertunggu-tunggu, tak sampai hati sebenarnya. Mungkin disebabkan itu juga aku tak pernah cakap apa-apa tentang novel aku pada orang secara detail, sama ada tengah buat, bila nak siap, bila nak keluar, bila nak hantar dan sebagainya. Aku hanya akan cakap dalam proses sebab dalam proses itu membawa banyak maksud. Mungkin dalam proses menulis, dalam proses mengedit, dalam proses mencetak atau apa-apa yang berkaitan dengan itu. Bukannya lokek atau malas nak layan tapi tak suka buat orang macam tu selagi aku tak dapat kepastian. Aku cuma berani bercakap atau menulis di sini bila benar-benar pasti atau benar-benar keluar.

Apa pun, bila dah tahu novel tu dah keluar, aku jadi makin takut dari sebelum ni. Takut kalau-kalau mengecewakan, takut kalau-kalau tak dapat menepati apa yang diinginkan pembaca, takut kalau-kalau novel ini lebih teruk dari novel-novel sebelumnya dan takut kepada komen-komen yang pelbagai. Tapi walau apa pun, kalau ada yang tidak kena dan ada kekurangan di mana-mana, kritik dan tegurlah aku dengan cara yang benar dan berhemah supaya semangat yang ada dalam diri ni tak jatuh merundum, supaya aku tak terduduk dan kemudiannya langsung tak boleh bangkit walaupun aku ingin, supaya aku tahu di mana salah dan silap, supaya aku tidak melatah dan yang penting supaya aku dapat memperbaiki segala kelemahan yang ada. Insya-ALLAH aku boleh menerima kritikan jika kritikan itu benar-benar ikhlas sebab aku tak nak jadi manusia yang hilang keyakinan disebabkan orang lain. Sekian...