- Dua dalam Satu -

Dua dalam satu? Kenapa ya mesti tajuk tu macam tu? Tak kisahlah tapi yang pasti hari ni aku rasa gembira sangat. Bukannya apa, sebenarnya tarikh hari ni 15 Jun 2008, itulah yang buat aku senyum sendiri sejak dari pagi tadi lagi dan masa menaip ni pun aku tetap juga senyum. Sebenarnya hari ni merupakah hari lahir mak yang ke 54 dan hari ni juga merupakan hari bapa. Sebab itulah aku gelarkan dua dalam satu. Cuma yang tak bestnya, aku tak balik Johor sebab nak kena pergi bengkel di PD selama seminggu. Aku dah pun ucapkan Selamat Hari Lahir pada mak dan Selamat Hari Bapa pada abah. Tapi, bercakap di telefon rupa-rupanya tak sama rasanya dengan bercakap secara berhadapan sebab aku hanya boleh dengar suara dan ketawa mak dan abah. Kalau berdepan, boleh juga aku menyakat-nyakat diaorang tu dan tengok riak wajah tu. Ah... mak dan abah, memang selalu mampu mencuit hati aku.

Hem... tak kisahlah, ada rezeki bila balik nanti aku sambutlah kedua-dua hari tu sebab bagi aku, tak ada istilah terlambat dalam hal-hal yang macam ni. Yang penting aku boleh tengok senyuman manis dua insan kesayangan aku ni. Tapi untuk hari ni dan hari-hari seterusnya, aku ucapkan ‘SELAMAT HARI LAHIR’ buat mak dan ‘SELAMAT HARI BAPA’ buat abah, yang tak pernah jemu memberikan kasih sayang dah selalu berusaha menjadi orang tua yang paling sempurna buat aku dan adik-beradik yang lain. Semoga mak dan abah dipanjang umur, dimurahkan rezeki dan sentiasa berada dalam rahmat ALLAH. Amin!

- Kilau di Wajahmu -

Mak...
Beberapa musim lalu
Ketika usiaku hanya sejengkal jari
Kulihat di wajahmu ada kilau indah
Gilang-gemilang persis sebutir mutiara di celahan pepasir putih
Yang tak pernah pudar dek pukulan bahang mentari
Meski ketika itu begitu banyak kerenah harus kau ladeni
Begitu banyak ragam yang adakalanya terlalu memeningkan
Menguji kesabaran yang hanya senipis cuma

Mak...
Kemilau wajahmu masih tetap kulihat
Tetap cantik berseri-seri
Saat aku semakin mengenal erti hidup
Walau ketika itu tingkah anak-anakmu semakin rencam
Tapi kau tetap juga tersenyum
Kasihmu tak pernah surut walau sebesar zarah

Mak...
Semalam dalam tidurku yang lena
Aku masih melihat kilau indah berseri itu masih ada
Tetap diam di tempat yang sama
Di wajahmu yang kian dimamah waktu
Anehnya, di mata ini
Kilau itu lebih menawan di balik garis-garis usia
Tapi aku pasti
Banyak mana pun garis-garis itu
Takkan terlawan banyaknya sayangmu
Pada anak-anak tercinta yang kian dewasa

Mak...
Esok menjelang
Aku masih berharap dan akan terus berharap
Kilau di wajahmu akan tetap ada
Buat menemani anak-anakmu yang tak pernah puas
Tetap dahaga kasihmu biarpun masa dan keadaan
Tak pernah kekal di ruang yang sama.

~15 Jun 2008~

- Abah -

Saat jemari kasar abah kugenggam hangat
Melintas panorama pilu
Dalam terik panas mentari yang membakar
Tubuh abah lencun dibasahi rintik-rintik peluh

Saat kudakap tubuh abah
Kurasa kasih sayangnya mengalir deras
Sederas air sungai yang mendewasakanku
Mengisi hari-hari yang kulewati selama ini

Saat kurenung wajah tua abah
Kulihat ada ukiran halus diam di situ
Terbit seiring putih di celah rerambut itu
Tanda kalau usia abah semakin ke senja

Saat kudengar tawa garau abah yang jarang amat
Aku senyum sendiri
Teringat betapa aku punya abah yang unik
Tapi aku tetap bangga dengannya
Yang bila sesekali menyusun kata
Mampu membuatkan buraian ketawa di bibirku
Atau mencebik menahan perasaan

Saat jauh dari abah
Aku terasa dilindungi kesunyian
Tapi sayangku padanya tetap utuh
Kerana jasa abah takkan terbalas olehku

~2 Mac 2007~

- Sejarah Yang Bukan Sejarah -

Manusia belajar daripada sejarah dan sejarah pula akan membuatkan kita ingat sapai bila. Hem... kiranya hari ni aku telah mencipta sejarah sendiri walaupun sejarah yang tak gempak langsung, hanya mungkin akan menjadi ingatan aku sampai bila-bila. Sebenarnya tak boleh dianggap sejarah pun, cuma hari ni... buat pertama kalinya aku jadi orang pertama sampai di Bahagian Penerbitan Sastera setelah hampir 3 tahun bekerja di sini. Selalunya, aku mungkin akan jadi orang yang terakhir sebab aku masuk kerja pukul 8.30 pagi, waktu terakhir. Tapi tadi, 7.05 minit aku dah terpacak di hadapan pintu. Malangnya, pintu tertutup dan dari bawah pintu tu, hanya ada gelap. 'Alamak... belum ada yang sampai'. Silapnya aku juga, sepatutnya aku pergi tanya Bahagian Keselamatan sama ada kunci tingkat aku sudah diambil atau belum. Tapi aku biasalah, main redah aje sesuka hati. Maklumlah, dah biasa sangat datang-datang tengok pintu terbuka luas, sambut kedatangan aku. Ceh... perasan seh...

Disebabkan rasa malas nak ambil kunci, aku pun pergi beli makanan kat kantin, pun hanya ada beberapa orang. Awal lagi, siapa yang berselera nak mengisi perut. Lepas beli, aku naik balik bahagian aku, huh... pintu masih juga tertutup dan masih berada dalam keadaan yang sama. Nasiblah! Jadi dengan perasaan nak ke tak nak, aku kena turun juga untuk ambil kunci. Dalam hati, kutuk diri sendiri sebab kalau dari tadi aku pergi ambil mesti dah tak payah nak ulang-ulang banyak kali. Tapi tak apa juga, boleh exercise pagi-pagi, terlanjur aku pun memang dah tak rajin keluarkan peluh sekarang ni. Bukak pintu pertama, gelap... hem, pantas juga jantung aku bergerak masa tekan suis lampu. Dalam hati, janganlah hendaknya ada yang menyergah dalam gelap-gelita tu. Hem... biasalah, otak manusia ni memang suka fikir yang bukan-bukan dan tak elok.

Masa duduk beberapa minit, barulah Kak Fatin sampai dan dia pun agak terperanjat juga tengok aku dah ada di tempat sambil pandang PC ni. Dan, sampai ke saat ini pun masih belum ada lagi yang lain sampai. Agaknya hari ni ramai yang cuti kot, bahagian sebelah (sama tingkat) yang selalunya awal pun masih gelap, sengaja aku tak bukak pintu diaorang sebab malas nak duduk dalam gelap sekali lagi. Isyh... penakut juga kiranya aku ni.

Hem... bos baru sampai, Kak Lah pun baru sampai, Kak Fatin dah hilang entah ke mana, mungkin beli makanan agaknya dan aku pula dah tak ada idea nak tulis. Tadi tu tiba-tiba saja terasa nak merepek sedikit pagi ini sebelum mula buat kerja, jadi aku pun tulislah N3 ini. So... terlanjur dapat peluang emas ni, aku nak ucapkan selamat pagi kepada semua yang hidup di atas bumi bertuah ini. Semoga perjalanan kita sepanjang hari ini dan hari-hari seterusnya akan diberkati ALLAH hendaknya.

Dan, untuk seorang kenalan yang telah pergi ke rahmatullah semalam, semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas arwah dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin! Untuk arwah Rohaya Mohd Yusof, Al-Fatihah...

- Panas dalam Dingin -

‘Panas dalam dingin’. Macam mana agaknya ya rasa bila keadaan itu melanda manusia? Hem... mungkin sama macam apa yang bahagian aku rasakan hari ini dan saat ini. Hangat dalam sejuknya penyaman udara. Sekali fikir, rasanya macam sedang ikat tali di tiang, naik atas kerusi, suakan kepala ke dalam lingkaran tali dan tolak kerusi sepantas mungkin, atau lebih tepat lagi dan lebih manis atau seronok... begini bunyinya, ‘seperti kacang lupakan kulit’. Tepatkah penggunaan peribahasa itu dalam keadaan ‘panas dalam dingin’ ini? Sebetullah aku pun tak berapa pasti sejauh mana ketepatannya. Aku hanya mengandaikan apa yang ada di fikiran dan hati aku saat jari-jemari ni rancak menari-nari di atas daerah putih yang sarat dengan huruf-huruf halus ni. Bolehkah digelar begitu pada saat sebegini dan dalam kes ini? Kalau tak boleh, maknanya aku yang kurang mahir dalam bab penguasaan peribahasa, jadi aku minta maaf awal-awal.

Hem, kenapa ya... setiap pengorbanan atau jerih perih yang diberikan selalu tak dihargai? Mengucapkan kata terima kasih jauh sekali, malahan tanpa perasaan dan rasa segan silu mahu ‘memakan’ orang yang membantu. Entahlah aku kurang tahu tentang itu... cuma yang aku pasti, semakin masa berlalu, semakin banyak kerenah manusia yang dapat dilihat dan semakin banyak pengajaran dan pengalaman yang dapat aku kutip hari demi hari. Yang aku tahu dan kesimpulan yang aku cuba cerakinkan, dalam senyuman, ada tangisan, dalam baik, ada jahatnya, dalam elok, ada buruknya, dalam ikhlas ada keluhan yang ke luar dari bibir dan ada begitu banyak lagi yang jarang-jarang benar aku ambil peduli.

Tapi syukur, sampai ke hari ini pun aku masih lagi aku seperti aku walaupun bukan begitu sempurna. Dan, aku masih berharap 10 tahun atau 20 tahun lagi, aku masih begini. Masih juga kenal asal usul, masih tahu di mana bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung. Pendek kata, aku tak mahu jadi manusia yang cepat melatah dan lupa diri. Terasa megah sendiri hanya dek pujian-pujian yang entahkan benar, entahkan tidak, wujud keikhlasannya. Lantas dengan angkuh mendabik dada, konon-kononnya, ‘AKULAH YANG PALING HEBAT DAN BAGUS’ sedangkan realitinya, tanpa disedari bersusun-susun orang mengata dan mengeji di belakang.

Lalu... perlukan berbangga dengan keadaan itu? Perlukan kita terus mendabik dada? Dan usia... nyatanya makin hari bukankah makin meningkat? Jadi kenapa masih ada manusia yang sering lupa diri. Bila sudah berada di atas, kenapa mudah benar melupakan rumput yang tetap setia menunggu di bawah? Tapi bukankah adat manusia begitu? Cuma salahkah kalau kita belajar menghargai usaha dan jasa orang pada kita walaupun hanya sebesar hama?

Dan, sempena dengan rasa ni... jika tersilap kata dan tersalah menilai, maaf... hanya, kadang-kadang kita memerlukan seseorang atau sesuatu untuk meluahkan apa yang berbuku di hati sebagai ‘wakil’. Malah sekali-sekala memang perlu mengambil tindakan yang drastik, bukan bertujuan untuk menghukum pada kesalahan yang telah dilakukan tapi ada kalanya, manusia-manusia yang celik pandangan tapi masih kelam di dalam perlu juga ditunjukan lorong-lorong supaya tidak terus hanyut. Tapi tidak juga bermakna, kerana susu setitik akan rosak susu sebelanga. Bukan salah sesiapa, hanya ‘dia dan dia’ semata-mata. Sekian...

* * *

Ilmu kian banyak, makin luas, makin tinggi; tetapi ada dua pertanyaan: Adakah benar, dan berapa dalamnya? Kerana sebelum kita berbicara tentang “tahu” gunakan ilmu, lebih dulu kita perlu uji benar atas salah, dan ukur berapa dalamnya ilmu yang kita tahu, terlebih dahulu.

- SN Arena Wati -

- Ibarat Lilin -

Lilin di rumah nenek telah lama padam
Tapi aku masih diam di situ
Membayangkan lilin yang sama
Masih menerangi suram rumah nenek
Yang kini hanya ditemani biasan bulan dan bintang
Menerobosi celah-celah lubang halus

Lilin di rumah nenek telah lama padam
Tapi aku masih kaku di situ
Melihat lilin kaku itu terus berdiri
Tegak di lapik piring tanpa serinya

Lilin di rumah nenek telah lama padam
Tapi aku masih bungkam di situ
Membandingkan hidupku dengannya
Yang nyatanya begitu banyak iras

Sepertinya...
Aku ini ibarat lilin
Piring itu ibarat hatiku
Dan… ruang sepi itu adalah mereka
Yang ada kalanya rebah dalam tabah
Tapi aku ingin bangunkan mereka
Walau terkadang aku ditimpa mereka tanpa sedar
Pun aku tetap rela
Kerana tanpa mereka untuk apa aku terus di sini?

- A@A@@ + @@I@ = A@A@@ = HAMPA -