- Imbasan Puasa Pertama -

Salam Ramadan kepada sesiapa yang sudi menjengah. Hari ke-25 puasa, terasa ada banyak benda yang nak aku buat pada awal puasa hari tu tapi sampai dah hampir ke penghujung puasa, terasa macam tak ada benda yang aku dah buat. Rutin terasa tak berubah, niat pula... tentu saja jauh tercicir ke belakang.

Hem... masa berlalu lagi seperti mana yang dijanjikan tapi aku macam merasakan baru semalam puasa pertama tahun ni berlalu. Aku macam masih ternampak-nampak, wajah emak yang lesu, wajah adik bongsu aku yang pucat dengan badan menggigil sambil baring di katil, wajah abang ipar aku yang tak tahu nak digambarkan macam mana dan wajah sendiri yang langsung tak bermaya dan berdaya. Tapi tetap juga meneruskan ibadah puasa walaupun masa tu terasa macam tinggal nyawa-nyawa ikan. Malah, nak bercakap dengan mak yang ada di dapur pun aku tak larat, sudahnya aku telefon mak walaupun jarak bilik dan dapur tak jauh mana. Sudahnya, lepas baik aku diketawakan semua orang. Semuanya gara-gara demam yang melanda keluarga aku.

Tapi dalam pada demam tu, ada kisah yang agak mencuit hati. Tahun ni merupakan tahun pertama Adik Nana, anak buah aku yang kedua puasa. Dia tak buat lawak tapi aku rasa dia kelakar sangat. Apa taknya, pagi masa nak mandi dengan muka selamba dia tanya, ‘Boleh tak kalau adik minum air?’. Aku yang dengar pertanyaan tu cuma ketawa. Mak aku jawab, ‘Tak boleh’. Aku tak nampak muka dia masa tu tapi aku dengar dia cakap, ‘Adik bukan nak makan, nak minum air jer.’ Mak aku tetap kata tak boleh. Sudahnya dia tak minta air lagi.

Dua jam lepas tu, dia tanya lagi. ‘Lama lagi ke nak berbuka ni? Adik dah tak tahan ni.’ Muka dia yang lesu masih lekat di kepala aku sampai ke hari ni. Rasa kesian juga sebab dia agak kurus dan nampak letih, apalagi dia memang jenis tak suka makan. Setiap kali suruh makan mesti dia nangis sebab dia kena paksa dan kena ugut. Tapi nak buat macam mana, dia kena juga puasa sebab tahun ni umur dia dah 7 tahun. Pak ngah dia jawab, ‘Tak lama lagi, dik... dua jam aje lagi’. Sebenarnya lama lagi masa tu, tapi tak nak dia rasa berat. Nak lekakan dia, kami adik-beradik beri aje apa yang dia nak. Dia kata nak main game kat laptop, kami ikut, nak dengar lagu kat hp guna earphone, kami turutkan, nak apa saja kami beri kecuali buka puasa. Tapi semua tu ternyata hanya bertahan sekejap. Dia tetap juga bertanyakan soalan yang sama berulang-ulang kali.

Dalam pukul 5 lebih, dia dah tersadai macam ikan kering di lantai. ‘Tolonglah... adik dah tak tahan dah ni. Air liur ada dah tak ada. Dah kering sangat ni. Bagilah adik minum air...’. Kali ni dia dah sampai ke tahap merayu. Kesian memang kesian tapi kami semua ketawa sebab geli hati. Takkanlah teruk sampai ke tahap tu sekali? Sudahnya adik pertama aku bawa dia naik motor pusing kampung. Lama sikit lepas tu, dia tanya lagi, giliran angah aku pula yang bawa dia ronda kampung. Hilang sekejap niat nak berbuka puasa dia. Tapi bila balik rumah, dia kembali jadi ikan kering. Akhirnya pak cik aku pula yang bawa dia dan budak-budak lain naik kereta. Entah ke mana diaorang pergi, aku tak tahu, mungkin kat jeti hujung kampung.

Balik sekali lagi dia berjaya mengundang ketawa aku bila dia cakap, ‘Ibu cakap kat nenek, buka puasa nanti adik nak makan 10 biji telur’. 10 biji? Gila... ular sawa pun tak gelojoh macam tu. ‘Adik cakaplah sendiri,’ balas Kak Long aku dalam senyuman. ‘Tadi dah cakap nak 5 tapi sekarang nak 10 pulak’. Alahai anak buahku, takkanlah lapar sampai macam tu sekali? Dan, masa berbuka puasa, macam yang aku agak, dia cuma makan sikit aje. Hari kedua pula dia tak puasa sebab demam dan sudahnya dimasukkan ke hospital.

Itulah puasa pertama Adik Nana. Puasa pertama aku? Aku sendiri tak ingat berjalan macam mana. Mungkin lebih teruk dari itu. Hanya yang aku pasti, sebelum mula sekolah aku memang tak puasa. Umur enam tahun, tak sekolah tadika sebab tak ada tadika di kampung, terus masuk darjah 1, masa tu aku masih makan dengan gembiranya masa bulan Ramadan. Sayangnya, semua ingatan aku ketika puasa pertama dah hilang, langsung tak boleh nak ingat lagi. Orang lain macam mana pula agaknya ya?

- Kuantan dalam Kenangan -

Masa Bikash ajak berbuka puasa bersama kawan-kawan penulis di Syarikat Fajar Pakeer, aku agak teruja. Maklumlah, ketika itu aku masih belum pernah berjumpa dengan penulis yang bernama Eny Ryhanna dan Teja Irzara. Seperti yang dirancang, hari Sabtu, pukul 7.30 pagi, aku, Bikash, Fieda atau nama pena Hafirda Afiela dan adik Fieda, Adan pun bertolak ke Kuantan. Tiba di hentian Gambang (betul ke tempat ni?), kami tunggu Kak Eny sebab kami semua tak tahu jalan nak menuju ke rumah Teja @ Ira @ Queen. Kalau nak suruh redah, entahkan sampai entahkan tidak.

Melangkah ke rumah Ira, aku lebih selesa memanggil namanya begitu dibandingkan nama lain, sama seperti dia yang lebih memilih memanggil nama aku lain daripada orang lain Hem... memang aku mengaku, ketika masuk rumah Ira aku rasa agak canggung, janggal sebab aku tak kenal dia. Masa tu kat rumah ada Roy dan Aida, adik Ira. Lama lepas tu barulah aku dapat menyesuaikan. Tapi yang paling aku tak boleh lupa, bermula dengan tengok TV, akhirnya TV yang tengok kitaorang kecuali Bikash. Bila mak Roy datang, barulah kelam-kabut bangun. Sudahnya, aku tertanya-tanya apa kesudahan cerita hindustan yang kami tengok.

Petang, Ira dah booking tempat makan, tapi aku tak ingat nama tempat tu. Tempah pukul 8.00 malam. Jadi, berbuka puasa di pandang dulu. Kagum sangat bila aku pandang di sekeliling padang yang luas tu, penuh dengan manusia, ada yang bawa anak kecil, ada yang tua dan ada yang muda duduk di atas tikar. Rupa-rupanya memang pandang tu digunakan untuk berbuka puasa. Apalagi di hadapan padang tu ada masjid yang cantik dan bazar Ramadan pun ada di situ. Kami tak beli banyak, cuma beli kuih dan air sebab nanti nak makan nasi. Roy pun ada bawa pizza. Tapi agak terharu juga bila seorang mak cik menghulur nangka. Moga, mak cik tu sentiasa dilimpahi dengan kebahagiaan hendaknya.

Kemudian kami bergerak ke tempat makan. Kenyang, itulah yang bermain-main di kepala aku sebab perut dah penuh dengan air. Tapi aku gagahkan juga. Habis makan, mulalah masing-masing merapu yang bukan-bukan. Ada yang mengutuk dan ada yang kena kutuk. Lepas tu tangkap gambar yang bukan-bukan. Habis makan kami pergi pula ke Teluk Cempedak sebab Bikash kata dia nak pergi pantai dan nak baring kat pasir. Malam, memang tak banyak yang boleh dilihat tapi aku rasa selesa. Keadaan orang yang ramai pula nampak macam pesta pantai. Memang meriah. Tapi lebih meriah bila kami jumpa banyak lilin yang tertanam di pasir. Kami nyalakan unggun api dengan menggunakan lilin dan sesi bergambar merapu datang lagi.

Lepas tu pergi pula ‘ngeteh’ sebab masa terhad, jadi kena guna dengan sepenuhnya. Dengan sekeping roti canai, cerita pun bermula. Dari satu topik ke satu topik, sampai satu saat Bikash tanya, ‘Nampak tak mak cik 4 orang kat tepi jalan pakai baju kurung?’. Mak cik tu tahan kereta dia. Aku, Aida, Fieda dan Kak Eny naik satu kereta. Kami memang tak nampak mak cik tu. Tapi kami menyangka yang baik di bulan-bulan puasa ni. Tapi yang aku tak boleh tahan, bermula dari situ, cerita hantu pun bermula dengan galaknya. Berjam-jam topik hantu tu kami bualkan. Dari satu cerita ke satu cerita, bila ubah topik sekejap, tetap topik hantu tu juga yang kami bualkan balik. Macam-macam versi hingga kadang kala terasa bulu roma meremang walaupun cerita kami bersulam dengan ketawa yang agak keterlaluan @ melampau. Hati aku berdetik, ‘jangan-jangan lepas ni ada yang menangis’. Tapi syukurlah, tak ada apa yang berlaku sehingga sampai ke rumah Ira. Masa tu dah pukul 3 lebih. Ira kata tak payah tidur, terus sahur jer dan kami memang tak tidur pun, lepas subuh barulah masing-masing mencari bantal sebab dah terlalu mengantuk, esok pula nak bangun awal sebab nak bertolak balik KL awal pagi, walaupun sebab terlalu asyik bercerita, kami bergerak pukul 11.00 pagi.

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Aku betul-betul seronok berjumpa dengan mereka. Ira yang gila-gila, Kak Eny yang best, Aida yang sempoi dan Roy yang okey. Harap di masa akan datang aku dapat berkumpul lagi dengan mereka semua. Tapi entah bila agaknya ya?

- Kuantan dalam Kenangan -
















- Aleya Aneesa Junior -

Tiga hari lepas, dapat telefon daripada nombor yang aku tak kenal, jadi aku tak jawab. Esoknya, masih nombor yang sama, pun aku tak jawab. Entah kenapa akhir-akhir ni rasa malas nak jawab telefon orang, apa lagi nombor yang tak pernah tengok sebelum ni. Fobia ke? Atau ada panggilan yang aku tak jangka dah muncul? Hehe... entahlah! Sebab dah dua kali, aku pun SMS guna ayat standard, ‘Salam. Sape ye?’. Yatie! Huh... pantas aku telefon dia sebab dah lama aku cari Si Yatie ni tapi semua nombor dia dah tak ada dalam perkhidmatan. Entah kenapa hobi Yatie bertukar-tukar nombor telefon sekarang ni, aku sendiri tak faham. Tapi mujur juga dia simpan nombor aku.

Rupa-rupanya Yatie nak bagi tahu aku yang dia dah selamat lahirkan anak perempuan pada 10 September 2008. Syukur, segala-galanya selamat walaupun sama dengan Aniem, dia juga terpaksa dioperation. Tak kisahlah asalkan anak dan ibu sihat, itu pun dah cukup baik.

Tapi apa yang membuatkan aku tergelak besar, Yatie dan Ikan @ Muhammad Rezuan (Ikan nama yang kawan-kawan gelar untuk husband Yatie) sepakat menamakan anak diaorang sempena nama pena aku ‘ALEYA ANEESA’. Mulanya aku ingat dia tipu, rupa-rupanya betul. Sabar ajelah! Yatie dan Ikan betul-betul kelakar sebab pilih nama tu. ‘Macam dah tak ada nama lain’, kata aku kat Yatie, Yatie cakap ‘biarlah’. Jawapan yang selalu aku berikan masa belajar dulu kalau rasa aku suka dengan apa yang aku buat dan orang lain rasa tak puas hati atau pelik. Mendengar sepatah kata Yatie tu, terasa macam telan batu kerikil, menepuk air ke dulang. Yatie tentu ingat setiap tutur kata aku dulu.

Dan Ikan, aku betul-betul tak sangka Ikan mengotakan gurauan dia dalam telefon beberapa bulan lepas. Aku ingat dia main-main bila dia cakap nak namakan anak dia sempena nama pena aku kalau anak dia perempuan. Kini, hajat dia benar-benar dah tercapai. Bagi aku pula, tak kira nama apa dipilih... aku tetap mendoakan yang terbaik untuk Yatie dan Ikan, semoga kebahagiaan akan kekal menjadi milik mereka sekeluarga. Cuma rasa begitu terharu, rasa dihargai. Tiba-tiba jadi ingat Yatie. Yatie yang pendiam tapi paling rapat dengan aku sebab dia tidur di katil sebelah aku. Yatie yang lebih banyak senyum daripada bercakap dan ketawa. Yatie yang aku gelar zirafah kerana terlalu kurus dan tinggi. Dan Yatie yang sama, yang pernah menangis depan aku sebab merasakan hubungan dia dan Ikan seperti tak dapat diselamatkan lagi. Huh... rindunya kat Yatie, Aniem dan Wanie.

- Selamat Ulang Tahun Ke-3 -

Hari ni 15 September 2008, genap 3 tahun aku kerja di DBP. Ini bermakna genap juga 3 tahun aku kenal kawan-kawan di DBP. Jelas lagi kat ingatan aku, pertama kali bertemu kawan-kawan di Bahagian Penerbitan Sastera. Kak Odah yang bergaya ala-ala datin, Kak Lah yang bermuka serius, Diana yang kecik molek, Kak Zai yang brutal, Encik Mat yang suka menyakat, Kak Yan yang suka ketawa, Kak Nor yang masih belum menjadi bos, Kak Shima yang tenang selalu, Kak Filzah yang sama-sama masuk di bahagian dengan aku, Abang Mie yang bagi aku kerja pertama sekali dan Encik Salleh yang jadi bos.

Sekarang ni ramai antara mereka yang dah bertukar bahagian dan cawangan, Abang Mie dah jadi bos di AFTI, Kak Shima dah jadi bos di Hak Cipta, Kak Odah di Penerbitan Bahasa, Kak Zai di Sarawak, Encik Salleh dah jadi pengarah di BKK, Kak Filzah di PURNAMA dan Kak Yan yang dah jadi penyelia. Tempat-tempat mereka digantikan pula dengan Kak Fatin, Lan, kak Yan Ahmad, Abang Hanif, Along dan Nadia. Dan yang paling penting, Kak Nor jadi bos bahagian aku.

Tuhan saja yang tahu betapa cuaknya aku ketika pertama kali kaki melepasi pintu utama. Bertukar tempat baru, rasa-rasanya siapa pun akan mengalami keadaan yang sama. Apalagi aku yang memang pasif, tapi sebab dah tak ada pilihan lagi aku gagahkan juga. Akibatnya, jadilah aku batu sepanjang hari. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Mujur juga diaorang dah tahu yang aku penulis, entah siapa yang menyebar aku tak tahu, mungkin kawan aku atau juga yang interview aku, tapi memang sangat membantu aku sebab banyak soalan yang ditanyakan berkaitan dengan dunia penulisan aku. Hilanglah juga rasa gementar yang datang entah dari mana.

Kini... walaupun dah 3 tahun di sini, beberapa minggu lepas, masih ada yang bertanyakan soalan yang sama pada aku, ‘Staf baru ke?’. Sungguh, telinga aku dah lali dengan soalan seperti tu. Mungkin silap aku sebab kebanyakan masa aku hanya dihabiskan di bahagian, jarang benar ke mana-mana. Memang tak hairan kalau soalan tu kerap keluar dan aku pun tak ambil hati. Tak tahu kan gunanya bertanya? Tapi malulah juga, dah tiga tahun tapi dikatakan baru, nampak sangat tak melibatkan diri dalam aktiviti di DBP.

Dan, bila genap 3 tahun di DBP, bermakna genap juga 3 tahun aku meninggalkan lantai MPJBT yang dah banyak beri aku pengalaman dan kenangan. Kak Azie yang terlalu baik hati, Kak Murni yang kelakar, Anu yang selalu membakar perasaan aku, Kak Niza yang selalu menguji kesabaran aku tapi baik, Kak Gee yang bercakap ikut sedap mulut, Abang Hanan dan Abang Hassan yang ada perangai sendiri, Encik Yusof yang menyebalkan, Kak Leha yang banyak cerita, Kak Ruby yang banyak dugaan, Fizal yang kena tolong aku, Fadil yang rajin dan bos-bos yang sibuk dengan kerja sendiri. Sampai sekarang ni pun, walau dah tak kerja di sana aku tetap ingat pada mereka. Moga-moga mereka semua selalu ada dalam lindungan ALLAH. Hem... rindunya kat diaorang semua, entah bila agaknya boleh berjumpa lagi? Hanya masa saja yang tahu...

- Datang & Pergi -

Hari ke-12 puasa. Huh… macam tak percaya pula rasa, tapi percaya atau tidak, memang itulah yang sebenarnya. Masa memang tak pernah menunggu manusia walaupun sesaat, apalagi seminit atau sejam. Dan sepanjang bulan Ramadan ni, banyak benda dah berlaku, menambahkan terus catatan kenangan dalam lipatan hidup ini. Ada yang datang ke dunia yang penuh warna-warni ni dan ada pula yang pergi ke alam abadi, silih berganti macam musim.

Tadi, 5 minit lepas, alhamdulillah... Diana selamat melahirkan anak kedua, seorang bayi lelaki yang masih belum tahu akan diberikan nama apa. Tak sempat bertanya banyak sebab dia baru saja bersalin, cuma dia janji akan telefon lagi kemudian. Tapi bagi aku, tak kisahlah sama ada dia telefon lagi atau tak, cukup jika tahu dia dan bayi selamat, tak kisah juga walaupun dia tak sempat melahirkan anak di Kelantan seperti anak pertama dulu sebab tercepat 2 minggu, walaupun dia dah mohon cuti lebih awal daripada tarikh jangkaan melahirkan. Tahniah untuk Iman yang dah dapat adik.

Dua hari lepas, dalam pukul 11.00 malam, juga ada khabar gembira sampai pada aku. Aniem... kawan rapat aku, kawan yang tinggal selama tiga tahun dalam bilik yang sama masa belajar di UPM dulu, selamat melahirkan anak sulung, seorang bayi perempuan yang diberi nama Qaseh Alisha. Nama yang cantik. Tahniah untuk Aniem dan Imran.

Tapi adat kehidupan, ada suka... tentu juga ada duka. Dua hari lepas juga, anak seorang staf DBP meninggal dunia dan semalam pula ibu Kak Nazmah, juga seorang staf Jabatan Sastera pergi menghadap Ilahi. Aku turut pergi menziarahi jenazah yang dikebumikan di Segamat. Melihat keadaan Kak Naz dengan air mata yang tak henti-henti mengalir saat memeluk seorang demi seorang rakan-rakan yang turut hadir, rasa sayu mengetuk pintu hati. Rasa macam nak menangis sama, tapi aku tahan seberapa daya yang mungkin. Seboleh mungkin tak mahu menambahkan kesedihan Kak Naz yang tentunya dah sampai ke tahap pasrah sebab ibu Kak Naz memang dah lama sakit.

Tiba giliran aku memeluk sekujur tubuh milik Kak Naz, tak tahu kata apa yang perlu aku luahkan, lidah jadi kelu tiba-tiba, sudahnya aku hanya bisikkan kata ‘takziah dan sabar’. Saat Kak Naz mengucapkan terima kasih sebab sudi menziarahi, saat itu juga air mata yang aku tahan-tahan tadi akhirnya menitis juga walaupun cepat saja aku lap supaya Kak Naz tak nampak. Simpati aku jadi berlipat kali ganda ketika itu. Ibu pergi... siapa pun tentu sukar menerima kenyataan tak kira ditinggalkan ketika kecil mahupun dewasa. Ibu pergi... siapa pun kalau boleh tidak mahu ditinggalkan ibu kerana carilah di mana-mana, tak akan ada ganti ibu. Ibu pergi... siapa pun pasti akan hilang rasional dalam diri untuk masa beberapa detik, selagi seseorang itu bernama manusia. Kalau pun tak ada titisan air mata di pipi, tentu hati di dalam terlebih dulu meraung memanggil nama ibu...

Hari ni pula, baru tadi diberitahu yang tiga lagi staf DBP kehilangan keluarga tercinta. Innalilahi wa inna ilaihi rajiun. Tentu mereka sedih dan ada dalam situasi Kak Naz semalam, tapi apakan daya, janji antara ayah tersayang dengan ALLAH hanya tertulis sampai setakat itu saja. Tak akan ada sesiapa yang dapat menghalang walaupun tangan terasa nak berbuat begitu. Dan kenyataannya, siapa manusia nak mencabar takdir yang datang? Apa pun, semoga mereka yang telah pergi ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah...

- Aku, Ramadan dan Ceritaku -

Salam… salam Ramadan buat semua yang ada di dunia ni. Hari ni, hari ke sembilan Ramadan dan sepanjang tempoh itu, inilah N3 aku yang pertama. Cepatnya masa berlalu, langsung tak menunggu walaupun tangan terasa seperti nak menahan.

Seperti Ramadan tahun-tahun lalu, tak ada apa yang berbeza. Cuma Ramadan kali ni aku bolehlah dianggap bertuah kalau nak dibandingkan dengan dua tahun kebelakangan ni. Niat untuk sambut puasa pertama bersama keluarga tercapai juga dan bonusnya pula, satu hari tu akhirnya bertukar menjadi enam hari. Semuanya gara-gara demam yang melanda. Sakit memang sakit, tapi sakit tu terubat bila doktor bagi aku MC dan angka tu menjadikan jumlah cuti aku di kampung daripada empat hari kepada sembilan hari.

Benar-benar macam bulan jatuh ke riba. Baik demam, aku tak henti-henti senyum dan ketawa sebab terlalu seronok. ‘Ketawa-ketawalah sekarang, balik nanti habis kena timpa dengan kerja sebab dah lama tinggal.’ Itu kata angah setiap kali aku ketawa masa main karom dengan adik dan adik ipar aku. Memang seronok sampai tak ingat dunia. Sekejap aku kutuk diaorang sebab main macam hampeh, sekejap aku pulak kena kutuk. Lepas tu gamat rumah abah dengan suara kteorang, ditambah perisa suara angah, mak dan adik bongsu aku.

Hem... dah lama tak main karom, rasanya dah lebih dua tahun, semuanya rasa tak kena. Aku main agak teruk kalau nak dibandingkan dengan dulu. ‘Prestasi jatuh merundum dengan teruk’, kata adik bongsu aku. Kalau Jaja, abang ipar dan pak ucu aku tengok, mesti kena gelak sebab dulu aku selalu kalahkan diaorang. Tapi nak buat macam mana, memang skill tu dah hilang. Lagipun aku bukannya ada bakat semula jadi dalam bidang tu. Bertahun-tahun main, barulah pandai sikit. Bila dah lama tinggal, itulah hasilnya. Mujur juga, aku main lebih baik daripada adik ipar aku. Heh... perasan!

Tapi di penghujung cuti tu, aku agak tak seronok sebab anak buah aku, Si Adik Nana masuk hospital gara-gara demam panas yang berulang. Tapi semalam mak kata dah elok, dah boleh gaduh dengan kakak dia kat atas katil hospital. Mungkin juga hari ni dah keluar hospital sebab aku masih belum telefon mak. Alhamdulillah, syukur sangat. Rasa tak sampai hati bila tahu budak kurus kering tu di tahan di wad. Patutlah dia suruh aku picit-picit badan dia hari tu. Rupanya badan rasa tak selesa. Harap-harap lepas ni Adik Nana akan sihat sampai bila-bila dan tak sakit lagi.

Dan, seperti Ramadan tahun lalu, tahun ni genap dua tahun ‘Dia’ pergi menghadap Pencipta yang abadi. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah...