- Diana & Nor -

Hem... cepatnya masa berlalu, sedar-sedar hari ni dah hari rabu. Lagi berapa hari, tahun 2009 dah nak sampai. Aduh... banyaknya lagi azam yang tak tercapai. Tapi soalnya, apa azam aku untuk tahun ni? Aku tak ingat dan tak tahu dengan jelas apa yang aku nak. Cuma, tahun 2008 dah jadi saksi betapa manusia bernama Marwati Wahab @ Aleya Aneesa ini pernah jatuh dan bangun berkali-kali dalam tahun ni.

Hendaknya nanti, pengalaman dan kenangan jatuh dan bangun itu akan menjadikan aku seorang manusia yang kuat, tabah dan cepat sedar diri. Bak kata orang, 'kalau tangan tak sampai... jangan pernah bermimpi nak memetik bintang di langit.

Dan sempena hari baik dan cuaca yang cerah ni, mood pun sangat selesa hari ni, aku nak ucapkan ‘SELAMAT HARI LAHIR’ untuk Diana dan Nor. Semoga manusia-manusia yang baik dengan aku ni, panjang umur, murah rezeki dan sentiasa ada dalam rahmat ALLAH. Umur berapa ye cik kak dan cik adik? Oh... sentiasa seventeen! Tak kisahlah kan, janji rasa muda selalu.

- Selasa Yang Tak Menentu -

Menjengah ke satu blog yang dah lama tak dijengah. Hati rasa tersentap, bersalah sangat-sangat. Tapi benarkah memang aku bersalah? Kalaulah dapat diundur masa... tapi yang akan terjadi? Apa yang nak dibuat? Atau, kesudahannya akan lebih elok atau sebaliknya? Soalan-soalan tu asyik bermain-main di kepala aku. Rasanya lebih banyak rasa kesal datang, lebih banyak keinginan untuk undur masa timbul. Malah seringnya kata, ‘kalaulah aku tak buat macam tu’, ‘kalaulah aku buat macam ni’, ‘kalaulah tau jadi macam ni’ dan segala-galanya bermula dengan kata ‘kalau’ semata-mata dan berakhir dengan sesuatu yang tak dijangka. Tapi yang pasti, mesti seronok kalau masa dapat diputar kan? Tentu yang berakhir dengan kesan baik akan dipilih dan itu bererti kesan buruk akan ditolak jauh-jauh. Sayangnya, siapa manusia nak cabar takdir yang datang?

Tapi sungguh, kalau memang boleh diundurkan masa, ada banyak perkara silap yang akan aku betulkan supaya apa yang berlaku hari ini tak berlaku dan tak akan berlaku sepanjang hayat. Supaya apa yang aku kesalkan kini, tak akan pernah singgah dalam kamus hidup seorang manusia bernama aku. Bukan bermakna tak ada rasa syukur dengan apa yang aku rasakan saat ini. Bukan itu maknanya, sebab masih ada begitu banyak perkara yang boleh dikatakan bukan kesilapan dan aku rasa bersyukur sangat berlaku dalam hidup ni.

Cumanya ada sesetengah perkara yang bila difikirkan balik, rasa agak kesal, perkara yang sepatutnya tak pernah terjadi, yang kalau diberi pilihan sekarang ini, aku lebih rela tak buat. Bukan juga tak suka atau benci, tapi kesal kerana banyak keputusan yang pernah aku buat dan pilih satu ketika dulu menyebabkan rasa terhukum hari ini sebab tak dapat lari lagi walaupun terasa sangat nak lari jauh-jauh tanpa perlu menoleh ke belakang sambil berkata, ‘lantaklah, apa nak jadi, jadilah’. Malah lebih dari itu, orang lain yang tak sepatutnya terlibat turut terseret sama dan mendapat kesannya pada hari ini.

Alangkah baiknya kalau mulut begitu mudah mengatakan ‘ya’ pada perkara yang memang boleh kupikul di pundak dan ‘tidak’ pada perkara yang memang dah dikenal pasti tak dapat terus memegangnya satu ketika nanti. Sekurang-kurangnya tak perlu rasa terbeban dan membebankan, tak perlu rasa terikat dan mengikat, tak perlu rasa salah dan dipersalahkan. Tapi aku, selalu tak pernah atau kurang memikirkan hari depan. Hanya tahu menghadapi hari ini dengan anggapan itulah titik tapi lupa yang titik hari ini bukannya hanya bertanda satu kerana esok masih ada, tapi bertanda tiga yang bererti kehidupan bukan berakhir hari ini, sebaliknya bersambung sehingga nadi masih berdenyut.

- Jumaat Yang Bingung -

“Tu kat luar tu, composer lagu ke?” Aku tanya Diana sambil berkemas barang. Cadangnya, aku dan Diana nak pergi KL Sentral masa rehat.

“Siapa?” Diana tanya aku balik.

“Alah… siapa nama dia tu… Marzuki Ali.”

Dengar aje nama tu, Diana ketawa sambil tengok muka aku. “Marzuki Ali tu bukan penulis awak ke?”

Kali ni aku pun ketawa sama. Teringat muka Marzuki Ali yang buku puisinya berjudul ‘Bungkau Rimba Hujan Tropika’ yang baru aje terbit. Entah macam mana nama penulis tu yang aku ingat sedangkan dah sah muka yang berdiri di kaunter bahagian bukan muka penulis yang dah beberapa kali aku jumpa. “Habis tu siapa?”

“Fauzi Marzuki la,” kata Diana confident. Padahal, dia pun belum tengok siapa yang aku maksudkan. Tapi aku anggap aje apa yang Diana cakap tu betul walaupun tak pasti betul atau tidak. Lepas tu, kami pun mula keluar lepas cakap dengan Nadia ke mana destinasi kami. Bimbang kalau ada yang tercari-cari, tak pun bimbang sampai lewat ke pejabat.

“Hah… tulah dia.” Aku berbisik sambil kami masuk ke dalam lift. Kebetulan memang orang yang aku maksudkan ada di sana. Entah kenapa agaknya, aku rasa muka orang tu sangat biasa aku tengok. Cumanya, aku tak ingat siapa. Dalam lift pun kami senyap aje sambil otak terus berfikir tentang perkara yang sama. Tapi kosong, memori aku langsung tak ingat siapa sebenarnya orang tu. Tapi yang pasti aku tahu aku pernah tengok.

Keluar aje lift. “Saya dah tahu siapa orang tu?” Diana dah tak sabar-sabar kejar aku yang keluar dulu.

“Siapa?” Aku memang dah tak sabar. Otak rasa sakit sebab tak dapat jawapan bagi soalan yang ada kat hati.

“Itu bukan staf DAWAMA ke?”

Macam digeletek-geletek, pecah ketawa kami di lobi DBP hari ni. Hilang rasa malu sebab memang dah tak boleh nak tahan lagi. Pantas ingatan aku melayang kat meja bulat yang ada di DAWAMA setiap kali meeting visual kulit buku diadakan. Sah… memang betul apa yang Diana katakan. Patutlah aku rasa pernah jumpa, rupa-rupanya memang pun. Macam mana boleh lupa, aku tak pasti. Hanya yang pasti, sepanjang-panjang jalan pergi ke KL Sentral ketawa kami memang tak berhenti. Sampai Diana kata, dia terasa macam nak ketawa guling-guling macam ikon yang ada kat YM. Sampai tiba masa nak balik rumah pun, sempat lagi kami ketawa. Harap-harap lain kali, kami tak teka orang yang bukan-bukan selagi tak pasti. Kalaulah orang tu tahu, alangkah malunya.

- Sekali Lagi -

Diana kata… kalau aku tukar lagi cat rumah ni, ‘jaga’. Aku sengih aje macam biasa sebab rasanya taklah kot sebab aku dah agak penat hari ni. Tapi... aku sempat juga cakap kat dia, ‘hanya untuk hari ni aje aku tak tukar, esok-esok tak tahu lagi’. Manalah tahu balik nanti aku jalan-jalan buang masa, jumpa cat lain yang aku cari-cari. Eh, tapi taklah... sebab aku nak tukarkan cat rumah Diana balik nanti sebelum mula menulis macam biasa. Kesian kat dia sebab bila tengok cat aku yang terang, dia rasa cat umah dia dah buruk walaupun ada kereta mewah.

Sabar ya... nanti kita gantikan kereta volvo tu dengan gitar. Untuk Lan pulak... relaxlah, kaki kartun jer tu, bukan kaki perempuan betul pun...

- Aku & Ceritaku -

Tukar lagi? Hem... macam tulah nampak gayanya. Dah jumpa yang berkenan dan sesuai dengan jiwa, ada pula yang tak kena. Sudahnya tengok itu tak kena dan tengok ini pun tak kena, jadi ambik ajelah yang ni. Tapi bila pandang balik, nampak meriahlah pula. Esok sure kena kutuk dengan Diana, silap-silap dia kata macam kebun. Tapi tak apalah, nak guna juga yang ni untuk sementara waktu yang masih belum ada tarikh luput yang pasti.

Tapi kali ni bukan pasal rumah yang asyik bertukar cat ni yang nak aku coretkan, sebaliknya tentang Jumaat yang baru saja berlalu. Hem... kalau selalu, aku hanya duduk di rumah, tapi hari tu aku, Bikash, Fieda dan Fauzi (adik Bikash) mencemarkan kaki ke Mid Valley semata-mata nak tengok wayang. Macam sebelum-sebelum ni, kali ni kami tengok dua cerita juga. The Day Earth Stood Still dan Twilight. Apa pendapat aku tentang kedua-dua cerita ni ya? Entah, cuma dua-dua cerita bagi aku ada kekuatan dan kelemahan. Kalau tak percaya kena pergi tengok. Apa pun, okeylah sebab aku memang pun dah lama tak tengok wayang. Lagipun kedua-dua cerita tu tak mampu buat aku mengantuk walaupun aku memang tak cukup tidur masa. Tahniahlah pada mata ni. Minggu depan nak tengok lagi, ceh... Cuma masa tu nanti, harapnya kami tak akan buat kesilapan yang sama sekali lagi. Kesilapan yang betul-betul kelakar bila dikenang semula. Kepada semua yang berminat, selamat menonton...

- Sayang Si Mawi & Siti -

Mawi dan Siti, hem… bukan Mawi dan Siti penyanyi tu, tapi Mawi dan Siti sepupu aku. Perbezaannya, seorang anak pak cik aku dan seorang lagi anak mak su aku, seorang lelaki dan seorang perempuan. Persamaannya, kedua-duanya baru berusia tiga tahun, kedua-duanya sangat comel, kedua-duanya sepupu aku dan kedua-duanya dilanggar kereta semalam kat depan rumah aku ketika melintas jalan nak ke kedai. Yang sadisnya, orang yang melanggar tu tak ada lesen dan mengatakan kedua-duanya bermain di jalan raya atau lebih tepat lagi jalan kampung yang kecil, yang biasanya orang tak bawa laju, kecuali dia. Yalah, agaknya dia aje yang ada kereta, orang lain tak ada. Orang lain cuma ada dua kaki, ada motosikal, ada beca, ada bot, ada kereta lembu, ada entah apa-apa ajelah kecuali kereta.

Sebenarnya mak cik aku ada di belakang diaorang, cumanya... budak-budak tu lari terlalu pantas. Budak-budak... excitednya selalu lebih bila teringatkan jajan yang pelbagai. Bukannya diaorang main kat jalan macam yang didakwa, tapi nak pergi kedai, nak beli gula-gula katanya. Tapi nak kata apa, benda dah nak jadi. Bukannya nak menuding jari, menegakkan siapa yang betul dan siapa yang salah. Hanya rasa tak adil bila orang yang menuduh tak ada di tempat kejadian. Masing-masing nak menegakkan benang yang basah demi memenangkan diri sendiri dan menyelamatkan diri sendiri, walaupun ada mata yang melihat, ada saksi yang boleh berdiri tegak mengatakan apa sebenarnya yang berlaku.

Langsung tak terkeluar perkataan ‘maaf’ walaupun sepatah kata tu bukan terlalu sukar nak diungkapkan. Masih lagi sempat bergelak ketawa macam yang dilanggar tu anak kucing yang tak tahu siapa mak bapak. Memang kalau nak dikira, sepatah kata tu tak berharga langsung jika nak dibandingkan dengan kecederaan yang budak-budak tu alami. Setidak-tidaknya, mampu menyejukkan hati family aku yang dah memang tak boleh nak dikawal masa tu. Maklumlah, Si Mawi dah masuk bawah kereta, hati siapa yang tak meradang kalau anak sendiri dah ada dalam keadaan macam tu? Mujur juga dalam pada panas, ada yang mampu menyejukkan.

Anehnya, si pemandu yang sangat ‘cerdik’ tu kata, dia dah brake dari jauh lagi lepas nampak budak-budak tu melintas. Soalnya, kalau betul dah brake, kenapa sampai boleh terlanggar juga? Entahlah... tak tahu nak kata apa, hanya terbayang muka mak su aku yang baru aje minggu lepas aku peluk cium sebelum balik KL, mesti mak su sedih sebab Si Siti tu ajelah satu-satunya anak dia. Terdengar-dengar juga kat telinga aku apa yang Siti cakap hari selasa lepas, ‘Mak Tam dah nak balik eh?’. Aku angguk sambil cium pipi dia. Bagi aku, tak kisahlah dia nak panggil aku apa, mak tam ke kak tam ke... asal bukan ketam. Huh... sedih pulak rasa.

Sekarang ni, kedua-duanya ada di hospital sebab kecederaan yang parah. Harapnya tak ada apa-apa kecederaan yang boleh membawa kepada... ah, aku pun tak tergamak nak fikirkan yang bukan-bukan. Hendaknya, budak-budak tu masih boleh panggil nama aku bila aku balik minggu depan. Tapi dalam kepala aku sekarang ni mula berfikir, teringat jiran aku yang ‘tersayang’ tu, yang tegar menyalahkan budak-budak tu semalam, sebab yang langgar tu anak saudara dia, baru saja dirompak 5 orang Indonesia dan habis dalam 30 ribu. Kalau hari tu aku rasa kesian, hari ni, detik ni... perlu ke aku terus rasa simpati atau campak aje rasa simpati tu jauh-jauh? Ah TUHAN... jiran yang satu itu... kenapa tak pernah ada rasa insaf?

- Cat Baru, Rasa Baru -

Yeah… akhirnya siap juga kerja cat-mengecat rumah yang tak berapa baru ni. Sekian lama, baru jumpa yang berkena di hati. Bukannya apa, sayang sangat kat cat merah dengan strawberry tu. Beberapa hari lepas, Diana yang dah kembali bertugas, tanya bila aku nak tukar cat? Nor pun ada tanya-tanya juga. Aku jawab selagi tak jumpa yang boleh buat aku terpesona, aku tak akan tukar. Sudahnya, dua hari lepas, dah puas jalan-jalan cari cat… inilah dia warna yang buat aku rasa nak tukar cat rumah ni tiba-tiba. Dan, inilah dia hasilnya lepas aku buang banyak masa selama dua hari ni. Cantik tak? Tak cantik tak apa, janji tak buruk kan?

Hem... rasanya ini ajelah untuk hari ni, tangan tak boleh nak terus menaip sebab beku. Sejuk sangat kat sini, entah berapa suhunya, aku tak tahu walaupun nak sangat tahu. Tapi rasa memang teringin nak buat sesuatu kat ‘cik puan’ air-cond tu, biar tak boleh berfungsi lagi. Tapi rasa ajelah... tak mungkin dan tak akan boleh buat kan? Lagipun, kalau panas... nanti-nanti aku juga yang mengeluh dan merungut. Kan best kalau sejuk-sejuk macam ni pergi tidur? Apalagi bagi aku yang malam tadi tidur pukul 3.00 pagi. Huh... mujur juga tak mengantuk hari ni, kalau tak... masak juga. Dan, kepada yang menjengah... selamat berhujung minggu.