- Selamat Hari Lahir -

Kalau ditanya siapa yang dekat dengan aku selain mak dan abah, aku akan memilih dia... dia yang bernama Hasrul itu. Kalau mak dan abah berada di takhta teratas, dia akan duduk di bawah 2 insan kesayangan aku tu, tempatnya di nombor 2. Pilih kasih... entahlah, tapi memang aku tetap akan pilih dia. Benar, dia memang adik pada aku, adik yang kedudukannya betul-betul di bawah aku, nombor 5. Adik yang jarak usianya 4 tahun lebih muda daripada aku. Tapi ada masa-masanya, aku sendiri lupa yang dia sebenarnya adik aku kerana dibandingkan adik, dia lebih banyak berfungsi sebagai sahabat pada aku. Dan dia, dia memang kawan paling baik yang pernah aku ada kerana dia tak pernah tak mendengar setiap suka duka aku. Mungkin tak banyak yang boleh dibantu, tapi dia benar-benar seorang pendengar yang sangat baik.

Kalau ada masalah datang, dia yang ada dalam bayangan aku. Dia yang nak aku cari untuk luahkan beban yang memberat di kepala dan hati. Kalau gembira yang muncul, pun dia juga yang datang dulu dalam minda aku dibandingkan orang lain. Aku nak dia tahu kegembiraan aku, aku nak kongsikan dengan dia. Dan kalau lama dia tak hubungi aku, aku mula terasa seperti dilupakan. Bagi aku, cukup kalau dia hantar SMS berbunyi begini, ‘Wei... lu tengah buat apa tu?’. Adik bernama Hasrul itu, cakapnya selalu lepas dan bersahaja walaupun aku bertaraf kakak pada dia. Tapi aku tak pernah kisah sebab aku pun sama macam dia. Malah kalau difikirkan balik, aku memang ada ciri-ciri kakak yang suka membuli adik. Kalau aku nak suruh dia buat sesuatu untuk aku, aku akan terus cakap, semuanya ikut suka hati dan ayat yang paling aku suka cakap pada dia, ‘AKAK KAN KAKAK’. Dan dia, dia tak akan membantah selagi dia boleh buat dan aku pun memang tak suka dia kata TIDAK pada semua permintaan aku.

Tapi yang lebih mengharukan, mungkin dia pun tak sedar yang aku rasa sangat terharu. Pernah, aku dengan sengaja menyakitkan hati dia, mungkin masa tu tak ada kerja. Aku cakap macam-macam pada dia dengan tujuan untuk menyakitkan hati. Adik itu, walaupun nampak keras, hatinya mudah sangat terasa. Tepat dugaan aku, dia memang marah sangat, tapi marah tanpa kata-kata. Dia pergi macam tu aje. Bila isteri dia cakap, ‘Tak baik Kak Tam buat dia macam tu’. Aku dengan muka ego, ‘Aku peduli apa!’. Tapi dalam hati bercakap, ‘Habislah aku tak dapat makan kupang sebab aku dah sakitkan hati dia’. Sehari tak bercakap, aku tetap juga buat-buat tak peduli, berselisih pun macam tak nampak aje. Sehari sebelum balik KL, hujan turun... aku macam terdengar sesuatu kat luar rumah, aku jengah, aku nampak dia tengah bersihkan kupang yang beria-ia aku nak makan. Masa tu air mata aku dah terasa nak menitik, dia memang adik yang tak pernah simpan dendam. ‘Tengok... Kak Tam buat dia macam tu pun, dia sayangkan Kak Tam tau. Sanggup ambik kupang tu dalam hujan’. Itu kata adik ipar aku masa tu. Tapi kalau dah dasar ego, aku tetap juga buat selamba bila adik aku masuk. Tetap tak nak mengalah sampailah adik aku yang mengalah, ‘AKU KAN KAKAK’.

Tapi tak kiralah macam mana aku layan dia, tak kiralah macam mana aku buli dia, tak kiralah macam mana aku buat dia marah, tak kiralah apa pun dalam dunia ni, yang aku tahu sebagai kakak, aku sayangkan dia, sangat sayangkan dia. Untuk adik aku, HASRUL WAHAB, SELAMAT HARI LAHIR, Doa akak tak pernah dan tak akan pernah putus, Moga panjang umur, Murah rezeki dan Selalu ada dalam rahmat ALLAH.

-Selamat Hari Lahir Sayang ( 2 )-


Untuk anak buah aku nombor lima, anak buah paling kepoh mulutnya bercakap Thailad, tak begitu suka nangis, letih nak mendukung dan anak buah yang baru pandai berjalan, Mohamad Naqib Zakwan, SELAMAT HARI LAHIR 1 TAHUN. Semoga Zakwan panjang umur, murah rezeki, selalu ada dalam rahmat ALLAH dan tetap jadi anak yang mampu menjadi penyeri di hati dan penyejuk di mata ibu, ayah, kakak-kakak dan semua yang ada di sekeliling Zakwan...

- Syukur Dengan Kurniaan-NYA-


Tinta Penulis

Salam sekali lagi buat yang masih membaca dan mahu terus membaca nukilan saya kali ini. Ketika orang sibuk membuat e-novel, saya pun ikut sama sibuk dengan alasan mahu mencabar kebolehan diri sendiri, sama ada e-novel saya akan diterima pembaca atau sebaliknya. Ketika e-novel orang sampai ke penghujung, e-novel saya masih tersemput-semput di tengah jalan. Ketika e-novel orang hadir dalam bentuk novel, e-novel saya tetap juga tidak bertemu titik akhir. Bahkan, e-novel saya hanya kekal suku tanpa ada kesudahan. Banyak e-mel saya terima, antara ayat-ayat itu, “Bila nak sudahkan cerita Cinta Sebatang Pen Oren?”, “Tak ada entri baru ke untuk cerita Cinta Sebatang Pen Oren?”, “Cerita Cinta Sebatang Pen Oren tergantung macam tu aje ke?” Sudahnya, saya diam sebab saya memang tak ada kesempatan nak sudahkan cerita tu. Hanya setelah 4 tahun, barulah saya kotakan apa yang patut saya kotakan lama dulu. Ya, janji saya sudah lunas walaupun mengambil masa yang panjang, sangat panjang.

Cinta Sebatang Pen Oren, memang itulah asal tajuk yang saya letak sebab idea timbul hanya gara-gara sebatang pen oren pendek dengan badan yang agak gemuk. Pen itu saya dapat daripada seorang pelanggan ketika saya bekerja di MPJBT dulu. Pelanggan yang saya tak tahu di mana dan apa terjadi padanya sekarang ni kerana usai urusan, biasanya usailah segala-galanya. Tapi di mana pun dia, terima kasih saya ucapkan, gara-gara pemberian dia, saya dapat tulis sebuah cerita yang kalau hendak diikutkan, langsung tak ada kaitan dengan pen tersebut. Cuma saya akui, pen oren itu adalah pencetus bagi novel ini.

Dalam novel ini, saya masih mengekalkan tema yang sama, hanya kali ni saya cuba terokai dan selami, walaupun tak sepenuhnya, perasaan orang yang pernah kehilangan kerana saya percaya, dalam dunia ni, semua orang pernah mengalami kehilangan. Cuma mungkin kehilangan itu didatangkan oleh Dia Yang Lebih Tahu dengan cara yang berbeza-beza bagi setiap orang. Dan kehilangan anak, walaupun saya tak ada anak, saya tahu sangat menyakitkan kerana saya selalu melihat betapa kasih sayang antara anak dan orang tua itu tidak ada batas sempadan, tidak ada kayu ukur yang jelas kerana melibatkan hati dan perasaan.

Sepanjang tempoh menyiapkan novel ini, saya sering tertanya-tanya, jika kehilangan anak, siapa yang lebih menderita? Ibu atau ayah? Bila saya tanya beberapa orang yang saya kenali, rata-rata menjawab tentu saja ibu kerana dibandingkan ayah, ibu biasanya lebih dekat dengan anak-anak. Betul atau tidak, hanya orang-orang yang telah mengalami kehilangan saja yang tahu. Dan dalam novel ini, saya biarkan pembaca menjadi hakim, antara Qisya Khalesa dan Ziyad Fallah, siapa sebenarnya yang lebih menderita akibat kehilangan Faiq Fallah. Untuk itu, selamat membaca juga menyelami hati dan perasaan setiap watak yang saya persembahkan dalam novel Aku Mahu Kamu ini. Semoga pertolongan dari DIA tak akan pernah berhenti dan semoga sokongan pembaca buat saya akan berterusan. Sekian.

Salam Sayang,
-Aleya Aneesa-