- Novel Comel...-


Syukur, alhamdulillah... pertolongan daripada ALLAH memang tak berhenti dan pasti tak akan berhenti selagi manusia tahu bagaimana nak memanfaatkan & menghargai setiap pertolongan yang diberikan. Novel comel dengan judul “SUDI JADI CINTAKU” ini mungkin hanya sebuah kisah biasa, tentang sepasang anak ADAM, sama seperti kisah-kisah dalam novel yang lain. Tapi bagi aku yang menghasilkannya, aku tahu di dalam novel secomel ini ada kasih sayang, ada persahabatan, ada pengharapan, ada kekecewaan & ada rasa yang pelbagai.

Menghasilkan novel secomel ini, sebetulnya bukan kepakaran aku. Tangan mula menaip, tapi terasa ada kurang di sana sini, ada lompang di sana sini & yang paling ketara, tidak ada kepuasan seperti menghasilkan novel-novel sebelum ini. Tapi aku gagahkan juga, tetap juga mencabar kebolehan diri sendiri. Hasilnya, lahirlah novel comel yang hanya setebal 119 halaman ini.

Untuk mereka yang ada dan selalu ada di sisi, terima kasih sangat, untuk pembaca budiman, sokongan kalian sangat dihargai. Tegurlah dengan ikhlas & berhemah jika ada kurang di mana-mana supaya aku dapat memperbaiki kelemahan diri, tapi jangan dikeji sehingga semangat yang ada merundum jatuh. Memang bagi penulis, teguran itu asam garam sebuah kehidupan, tapi tidak mustahil juga teguran yang berbaur kejian itu hanya membunuh jiwa seorang penulis. Dan selebihnya, jika satu jari menuding ke arah orang, jari yang selebihnya menghala ke arah kita. Salam sayang buat semua, sekian...

- Bertahun Sudah...-

Kalau nak dihitung, rasanya sejak kita dilahirkan hingga ke saat ini kita sudah bertemu dengan begitu banyak orang. Ada yang kita hanya berjumpa sekali, kemudian pertemuan sekali itu berakhir begitu saja tanpa ada pertemuan demi pertemuan seterusnya. Ada juga yang kita berjumpa selama bertahun-tahun sehingga tak mampu dihitung dan kesudahannya, tetap juga berakhir sampai setakat hari terakhir. Ada yang dulunya kita berjumpa selama bertahun-tahun, kemudian hilang begitu saja seiring dengan putaran masa yang bergerak dan akhirnya tanpa disangka-sangka, kita kembali bertemu tanpa perlu dirancang kerana perancangan manusia tak mungkin dan tak akan mungkin dapat mengatasi perancangan DIA Yang Lebih Tahun.

Itulah yang berlaku pada aku atau mungkin ramai juga di luar sana. Lebih 12 tahun aku tinggalkan Sekolah Menengah Engku Tun Aminah (SETA) dan lebih 10 tahun zaman Maktab Sultan Abu Bakar (EC) dah pun berlalu. Habis sekolah, habis semuanya termasuk erti sebuah persahabatan. Dan aku terus juga melangkah walau sesekali hati tercuit saat kenangan-kenangan manis bergelar pelajar sesekali melintas di mata dan minda. Ada begitu banyak kenangan manis yang aku tinggalkan dan ada masa-masanya langsung aku lupakan begitu saja kerana tuntutan masa dan keadaan.

Hanya beberapa bulan kebelakangan ini, ramai daripada kawan-kawan yang dah aku lupakan kembali muncul. Semuanya gara-gara FB! Ya... teknologi moden memang tak dinafikan ada begitu banyak kepentingan dan kebaikan. Setelah bertahun-tahun masa berlalu, bagi aku tak perlu bercakap berjela-jela atau mengungkit semua cerita lalu, cukup hanya saling bertanya khabar walaupun hanya di alam maya. Itu pun dah cukup menggembirakan aku, dah sebagai bonusnya... yang dulunya tak begitu rapat pun masih saling boleh bertegur sapa dan ingat-mengingati. Ada juga yang dah lupa pun yang kami pernah satu kelas, nak bertanya malu dan yang jadi mangsa gambar kelas yang masih dalam simpanan.

Tapi terkilan masih juga ada, sampai sekarang aku gagal cari kawan-kawan rapat aku. Entah kat mana agaknya Haizah, Siti Hajar, Nani dan Mas ada sekarang ni? Sungguh, aku rindukan diaorag.

Dan cakap fasal pertemuan tak disangka, dua hari lepas, aku jumpa balik dengan cikgu Sastera aku masa tingkatan 6, Puan Syamsul Mardiah kat DBP. Kebetulan dia jumpa dengan seorang kakak di bahagian aku dan aku cam juga muka dia. Puan Syamsul masih sama macam dulu, hanya selepas 10 tahun masa berlalu, dia jadi agak kecil atau sebenarnya aku yang dah membesar dengan jayanya. Ah... tak kiralah apa pun, yang penting aku jumpa balik dengan cikgu aku walaupun dia mungkin dah tak ingat aku. Terlalu ramai murid dia, tak mungkin ingat semuanya. Dalam pertemuan singkat tu, kami sempat bertanya khabar dan cerita tentang suami dia yang dah ‘pergi’ sebenarnya bukan cerita baru untuk aku kerana aku memang pernah dengar cerita itu. Sekarang dia dah menetap di KL. Dan yang lebih membuatkan aku terkedu, rupa-rupanya Kak Gee (Fauziah Ashari) itu adik ipar dia. Hem... kecilnya dunia ni.

Tapi yang buat aku ketawa besar, dia tanya aku macam mana nak tulis novel (bukan aku cakap aku penulis novel sebab aku tak pernah cakap pada orang, kakak tu yang bagi tahu dia). Aku jawab. ‘Saya buat macam yang cikgu ajar’. Dan soalan bonus, ‘Dah kahwin?’. Sekali lagi aku ketawa besar, ‘Tak ada orang nak saya’. Habuannya, aku dapat cubitan kat lengan. Puan Syamsul... aku dah begitu dewasa masih juga nak cubit. Tapi bila difikirkan balik, ini bukan pertama kali aku kena cubit dengan dia, dah berkali-kali masa kat kelas dulu dan rasanya dalam kelas tu aku sorang aje yang kena cubit. Malu kan umur 18-19 tahun masih kena cubit?

Tapi nak buat macam mana, bila ditanya aku jawab tapi macam nak dengan tak nak aje, muka bosan memanjang, bila disuruh baca ke depan, aku ke depan dengan buku di tangan tapi mata terjegil, muka garang dan mulut berkicau-kicau marahkan seorang kawan yang dari mula masuk hingga habis sekolah suka sangat menyakat aku. Ada aje salah aku yang dicari dan pantang pula kalau tengok aku duduk diam. Sampai aje aku kat muka pintu, dia dah tersengih macam kerang busuk, nampak jahat dan bencinya aku masa tu TUHAN aje yang tahu (dari hari pertama pun aku memang dan ‘meluat’ kat dia, meluat dengan cara dia memandang, kenapa... sampai sekarang ni aku tak ada jawapan, hanya dendam dan benci tu dah tak ada). Yang tak masuk akal, dia kata, ‘Wah... Mar pakai beg baru tapi... ada bau minyak bot!’, ‘Semalam aku nampak kau kat KOMTAR, kau pegang tangan adik kau eh? Berdosa tau buat macam tu!’ dan ‘Encik Anuar... Mar jatuh cinta kat cikgu?’ Kurang asam kan bunyinya tu, taulah aku pergi sekolah naik bot, mana ada aku pegang tangan adik aku dan paling penting, tak ada pula aku kata suka kat cikgu Sejarah Asia Tenggara tu. Pendek kata, dia akan jadi sejahat-jahat makhluk kalau aku datang dan sebaik-baik umat bila aku tak datang. Kata Net, ‘Kesian dia, kau tak ada dia nampak bosan aje’. Aku pula dengan muka sombong, ‘Eh... pergi matilah dengan dia!’. Macam selalu Net ketawa, dia cakap satu hari nanti aku akan kahwin dengan ‘dia’ tu dan aku pula, ‘Tak ingin!’.

Tapi tu cerita lama, bertemu semula dengan Puan Syamsul aku jadi ingat semua kenangan dulu-dulu dalam beberapa hari kebelakangan ni. Sungguh... jasa Puan Syamsul, Encik Romli dan Puan Zaleha, aku akan ingat sampai mati. Itulah 3 orang cikgu Sastera yang mungkin dah buat cinta aku pada dunia PENULISAN makin bercambah. Semoga semua guru-guru yang pernah mengajar aku dulu akan selalu ada dalam lindungan ALLAH. Amin!

-AMK, Selepas 33 Hari-

Aduhai... makin lama makin jarang aku tulis N3, bermakna makin usang juga blog ni. Bukan tak ada cerita, bukan sibuk mengalahkan PM, tapi perkataan ‘M’ terasa makin besar di kepala. Puas dinyahkan, akhirnya tetap juga nak jadi teman setia yang tak perlu dibayar gaji.

Hari ni genap 33 hari AMK ada di pasaran. Setakat ni, banyak feedback yang aku terima daripada pembaca. Alhamdulillah... AMK nampak macam boleh diterima. Ada yang memuji, tapi syukur masih belum ada yang mengeji. Tapi macam SR, KAK, JB, SU, US, BDH dan HDT, AMK juga ada kekurangan yang tersendiri. Itu pun aku dapat daripada pembaca juga, pembaca yang tentu sekali peka. Maklumlah... mana ada penulis yang perfect sebab yang bernama penulis itu pun tetap manusia biasa yang tak terlepas daripada membuat kesalahan. Jadi, aku anggap kekurangan itu sebagai satu komen membina yang perlu aku ambil perhatian supaya pada masa akan datang ia tak terulang lagi.

Kepada sesiapa yang sudi membaca AMK dan sudi pula buat review tentang AMK, terima kasih sangat dan usaha yang dilakukan sangat dihargai dan dialu-alukan. Hendaknya pada masa-masa akan datang, sokongan daripada semua tetap akan berterusan sebab dunia penulisan penulis bernama Aleya Aneesa @ Marwati Wahab, tak akan ke mana-mana jika tidak ada sokongan daripada anda.