- MaJlIs KaHwIn AnGaH dI sAnDaKan (1) -

June 18, 2010

*** Mungkin cerita basi, tapi aku tetap nak abadikan kat sini sebab mood menconteng blog baru sampai ***

11 Jun 2010 - awal pagi, dalam erti kata lain, subuh lagi kami dah berangkat ke airport Senai sebab tiket pukul 9.30 pagi. Kalut... itu yang berlegar-legar dalam kepala aku masa tu. Mana taknya, mungkin hampir separuh daripada isi kapal terbang, rasanya keluarga aku. Semua keluarga Wahab, kecuali abang ipar aku sebab dia ada kursus, ikut serta dalam rombongan kahwin angah ke Sandakan, Sabah. Maknanya, dari atuk, sampai ke cucu yang paling kecil, semuanya ada. Termasuk keluarga aku yang lain, jumlahnya kira-kira dalam 40 orang lebih. Dan untuk jumlah 29 orang, aku yang jadi kepalanya.

Bila adik ipar aku sebut, “Janganlah ada yang tak lepas”, aku telan liur dalam diam. Otak dah mula memproses macam-macam, kalaulah ada yang tak kena, kalaulah ada yang terpaksa balik, macam mana? Aku tak nak disalahkan sebab aku tahu diaorang dah berkobar-kobar nak pergi tempat orang. Baru rasa kesal datang sebab aku macam tak semak sangat nama dan kad pengenalan masa DD hantar email kat aku. Bila nama Long betul-betul salah, jantung aku rasa macam dah tak nak berdenyut lagi. Mujur masa tanya, nama tu bukan masalah besar. Pucat muka mak cik aku tu, pucat lagi muka aku rasanya sebab dari proses awal sampai akhir, aku yg bertanggungjawab bagi keluarga aku yang 29 orang tu.

Hijau biru kuning muka awek kat kaunter bila tengok ada 40 keping lebih IC kat tangan, tapi dah tugas, terpaksa juga diuruskan. Selesai urusan tu, rasa lega bila tiket ada kat tangan. Tapi jantung aku tetap berdegup laju tanpa pengetahuan sesiapa. Terfikir, ‘Kalau Darwish, Arissa, Zakuan, Danish & Tini tiba-tiba mengamuk tak nak naik kapal terbang macam mana? Kalau diaorang nak balik macam mana?’. Akhirnya, lega lagi bila diaorang tak nangis pun, walaupun Darwish ada juga buat konsert beberapa kali.

Tepat pada masa yang sepatutnya, kami sampai ke Lapangan Terbang KK. Sampai aje, sekali lagi berkejar sebab tiket ke Sandakan pukul 1.30 tengah hari. Sekali lagi jantung nak gugur ke lantai & muka aku masa tu memang dah tak boleh nak kontrol, teruk gila sebab 30 minit aje masa yang ada, sedangkan banyak lagi yang beratur kat kaunter Imigresen. Dapat aje IC diaorang, aku jalan macam kena kejar hantu, hantar kat Ina, Ila dan sesiapa aje, lepas tu jalan lagi, ambil IC lagi dan hantar lagi. Beberapa kali buat benda yang sama sampai semuanya selesai. Dah duduk betul-betul dalam kapal terbang ke Sandakan, penat dan segala macam rasa terhambur keluar. TUHAN... syukur!

- Nampak muka macam segar ye, mungkin sebab baru sampai kat airport Senai. Semangat tengah berkobar-kobar...

- Ini pulak, bukan anak terbiar, tapi... dia yang sengaja membiarkan diri nampak macam terbiar, penat mungkin...

- Ini pula, wajah segar dah bertukar macam apam basi, masing-masing macam dah penat walaupun baru sekali naik kapal terbang, ada sekali lagi perjalanan...

- Syukur... hajat akhirnya tercapai bila semua ahli keluarga Wahab aku dapat bawa pergi Sabah kali ni...

- Aqqif & Arissa... hebat, sebab tak nangis... padahal, diaorang bukannya tahu apa-apa. Tidur aje sepanjang perjalanan...

- Alahai... cerianya dia, termasuk abah kat belakang...

- Entah bila dapat peluang macam ni lagi. Pastinya... bila ada umur dan rezeki...

- Kenapa muka Darwish macam tu & kenapa muka Tini putih dengan bedak? Apa pun... kenakalan Tini yang mengalahkan budak lelaki buat darah rasa menyirap, tapi... anak sepupu aku ni, hem... ada masa-masanya kelakar juga...

- AnGaH -

June 3, 2010

Tak ada kata apa yang mampu diucapkan saat tengok angah duduk atas pelamin. Terharu, sedih dan gembira bergaul jadi satu dalam diri dan pasti juga rasa yang sama bergolak dalam diri ahli keluarga yang lain. Akhirnya mimpi jadi nyata. Impian jadi kenyataan. Nampak macam kata-kata di atas macam berlebih-lebihan, tapi hakikatnya... hanya kami yang tahu apa sebetulnya yang pernah terjadi. Hanya kami yang kenal angah dan seluruh hidup angah. Hanya kami yang berkongsi segala sesuatu rasa dan yang pasti, angah dan hidup angah punya 1001 kisah yang tak mampu untuk diucapkan. Angah ketawa, angah menangis, tapi angah tetap juga meneruskan kehidupan yang perlu dijalani seadanya.

Tahniah, bro... akhirnya Alid jadi suami orang juga! Tak ada kata lain yang mampu seorang adik ucapkan, melainkan “Ami doakan ikatan perkahwinan Alid & Ryn kekal sampai syurga. Ami sayang gila kat Alid!”

- BeNaR-bEnAr SeTeNgAh TaHuN-

Jun @ setengah tahun 2010 benar-benar dah menjelma. Syukur sampai ke saat ini, aku masih mampu bernafas dan meneruskan hidup yang tak pernah sunyi daripada cubaan dan dugaan. Dan aku tetap berharap, selepas ini aku mampu juga mengharungi hari-hari yang mendatang dengan hati yang lebih lapang kerana yang dinamakan manusia itu tidak pernah tidak diuji oleh DIA yang Lebih Tahu.

Hari ni, genap seminggu aku duduk di rumah baru. Hanya sebuah rumah kecil yang punya banyak tingkat, tapi aku tetap mampu tersenyum senang. Akhirnya selesai juga segala-galanya. Letih memang sangat letih, tapi aku tahu aku bahagia, sangat bahagia. Bila merenung setiap isi rumah, senyuman aku jadi tambah lebar. Hati sering berdetik, “Itu semua aku beli dengan tulang empat kerat sendiri, dengan susah payah tanpa bantuan daripada sesiapa.” Ya, kalau bukan berusaha sendiri, pada siapa lagi nak berharap? Pada orang tua? Mungkin tidak sebab aku tahu tahap kemampuan mereka setakat mana. Lebih daripada itu, cukup-cukuplah selama ini mereka memberi segala yang mereka punya untuk manusia yang bernama anak-anak. Biarlah yang dinamakan anak-anak pula yang memberi pada mereka.

Dan kegembiraan aku tak habis setakat itu bila bonusnya, aku akhirnya kembali berani pegang stereng kereta, setelah bertahun-tahun hanya mampu pandang kereta yang ada dengan hati yang berbuku di dada. Sakit rasanya bila kita ada sesuatu yang patut dan boleh digunakan, tapi kita tak mampu hanya gara-gara peristiwa kecil. Lemah rasanya bila kita ada kereta tapi terpaksa berharap bantuan orang lain. Tapi sungguh, aku memang fobia nak sentuh stereng kereta. Nak kata aku tak bijak, ikut sangat rasa takut atau apa saja, aku tak peduli sebab yang rasa hanya aku, bukan orang lain. Mana ada orang yang beli kereta semata-mata nak pandang?

Tapi sekarang ni, syukur... kemahiran memandu aku memang masih lintang-pukang, parking pun terkial-kial, bawa kereta pun macam siput sedut, kena hon pun tak payah ceritalah, tapi aku tak kisah sebab itu lebih baik daripada langsung tak bawa. Sekurang-kurangnya, aku tak lagi sakit hati setiap kali tengok kereta tu tersadai kat rumah abang aku. Lagipun kesian dia, nak jaga kereta sendiri, nak jaga kereta aku lagi. Dia tak kata apa, tapi aku tak tergamak nak terus bebankan dia. Banyak lagi kerja yang dia boleh buat selain daripada menjaga kebajikan kereta tu. Thanks ya... jagakan kereta Ami selama 3 tahun lebih. Mesti Danish sedih tengok kereta tu tak ada kat garaj rumah dia.

Dan untuk dunia penulisan aku, selepas kisah Zuyyin & Yazzer bertemu titik akhir, aku masih belum memulakan kisah Annura & Dinzley yang drafnya dah lama selesai. Memang akhir-akhir ini aku dah mula menjinakkan diri dengan dua watak utama tu. Harap semakin dekat dengan mereka, semakin mudah untuk aku menyelesaikan misi yang aku cipta untuk mereka. Tapi dalam keadaan sibuk dengan majlis kahwin Angah, mahu atau tidak, aku baru boleh memulakan perjalanan manuskrip tanpa tajuk itu bulan Julai nanti. Harap aku mampu siapkan kisah mereka dalam masa tiga bulan selepas itu dan harap segala-galanya akan berjalan dengan lancar.