- CiK dIs, HeLlO! -

December 1, 2011

Hem... Cik Dis di atas bukan merujuk pada perempuan ya, jauh sekali perempuan yang cantik jelita bak puteri kayangan. Tapi Cik Dis itu merujuk kepada Cik Disember, bulan Disember yang baru aje menjengahkan wajah sejak beberapa jam yang lalu. Disember atau bulan 12 yang membuktikan bahawa tahun 2011 yang tercinta ni bakal pergi berganti dengan tahun 2012 bila Cik Dis benar-benar berada pada angka 31. Bila detik itu tiba, maka... terpaksalah diucap selamat tinggal pada tahun 2011, dikerat mati berkali-kali pun kita tidak akan bertemu dengan yang dinamakan 2011 sekali lagi.

Masa nyata begitu cepat berlalu ya? Dalam tak sedar, tapi sebenarnya sedar memang Cik Dis sudah pun menjengukkan wajah. Syukur... sampai ke saat ini saya masih diberikan kesempatan untuk menghirup segarnya udara di bumi ALLAH, masih dapat merasakan hangatnya kasih sayang keluarga, masih dapat beramah-mesra dengan kawan-kawan dan lebih daripada itu, dapat terus menggerakkan jari-jemari demi melakarkan kisah-kisah di dada kertas yang kemudiannya berakhir dengan menjadi sebuah novel yang lengkap dengan cover pelbagai warna dan di belakangnya pula ada tulisan-tulisan halus yang diberi nama blurb.

Syukur sangat! Meskipun perjalanan tahun 2011 taklah terlalu enteng seperti membaca ABC bagi yang memang sudah pandai membaca [Bagi yang tak pandai, tentulah begitu sukar], tapi ada juga yang entengnya sehingga mampu membuahkan senyum dan ketawa. Hidup ini bukankah adil? Ada pasang tentu ada surutnya. Seperti roda yang berputar, mustahil kita akan berada di bawah pada setiap masa kecuali bagi roda yang sudah tidak boleh berfungsi. Begitulah hidup yang kita lalui sepanjang tahun 2011 ini.

Untuk diri saya sendiri, tahun 2011 masih saya jalani seperti saya jalani hidup pada tahun-tahun yang sudah pun berlalu. Mungkin tahun 2012 dan seterusnya nanti, saya tetap juga akan menjalani hidup yang sama. Hendaknya, kalau pun saya akan diuji dengan ujian daripada DIA, saya yakin ujian yang didatangkan pada saya berada dalam kemampuan saya kerana DIA tak akan menguji seseorang hamba itu melebihi kekuatan yang dimiliki. Walau saya akan rasa sakit dan seperti tak berdaya sehingga terasa hendak putus asa, saya tahu saya tetap mampu melalui segala-galanya. Dan sememangnya, kita tidak akan tahu apa-apa sehinggalah kita melalui detik itu. Hendaknya juga, bila ujian melanda akan ada tangan yang menarik saya supaya tidak terus rebah. Kerana saya, sememangnya manusia lemah yang perlukan seseorang di sisi, tak kira apa status sekalipun seseorang itu dalam hidup saya sebab kata kuncinya ialah; saya perlukan seseorang untuk bersama-sama memberi semangat dan dorongan pada saya.

Lemah ke saya bila saya yang sedewasa ini masih bergantung harap pada orang? Mungkin! Tapi saya percaya tak ada manusia dalam dunia ini yang mampu menjalani hidup sendiri yang bermakna tak ada hubungan langsung dengan orang lain termasuk yang digelar keluarga atau kawan-kawan. Jika masih ada orang sebegitu, tolong tunjukkan pada saya supaya saya boleh mengangkat tabik padanya dengan mengatakan ayat, “Kawan, awak sangat kuat tapi... kawan, saya kesian pada awak kerana saya seperti dapat merasakan betapa sepinya awak selama ini, walaupun awak nampak ceria dan riang.”

Dan Disember... seperti bulan-bulan yang lain, saya mengharapkan Disember akan mampu saya lewati dengan mudah. Biarlah saya mengakhiri tahun 2011 tanpa ada coretan kenangan yang tak best kerana saya mahu mengenangkan tahun 2011 sebagai salah satu tahun terindah dalam hidup saya [Saya sangat melankolik kan?] meskipun tak banyak perkara berlaku. Tak apa dan tak apa-apa asalkan saya gembira dan bahagia menjalani hidup dalam tahun 2011 yang akan meninggalkan saya dan semua orang dalam masa 30 hari lagi.

Hendaknya juga, saya, mak abah saya, keluarga saya, kawan-kawan saya dan semua orang yang ada di dalam dunia ini akan diberikan kesihatan dan kegembiraan sepanjang masa walaupun perkataan kegembiraan sepanjang masa itu terlalu mustahil untuk dikaitkan dengan yang dinamakan manusia. Kerana hidup tanpa air mata [Tanpa kisah sedih], pasti saja tak lengkap bukan? Makanya, kalau perlu menangis, menangislah sehingga kita tak lagi rasa hendak menangis. Kalau perlu ketawa, ketawalah kerana orang di sekeliling kita akan turut merasakan kegembiraan kita. Kalau perlu tersenyum, tersenyumlah kerana senyum itu satu sedekah yang tak memerlukan kita mengeluarkan modal walaupun 1 sen. Untuk itu, kepada yang sudi berkunjung ke sini, terima kasih. Semoga kita semua akan diberkati sepanjang melewati Cik Dis yang tentu aje tak akan pernah mengerti sekeping hati yang kadang-kadang kita sendiri gagal menyelami. Untuk CIK DIS, HELLO!

No comments:

Post a Comment