- TDS, tAk SaBaR tUnGgU kAmU! -

February 28, 2011

TDS... (bukan nak bagi surprise bila tak sebut judul lengkap untuk manuskrip saya yang bakal terbit tu, dan bukan juga sengaja nak terus bermain-main dengan tiga huruf tu, jauh sekali pilih kasih dalam memilih huruf-huruf yang kita semua tahu ada sebanyak 26 itu, tapi sebab masih tak pasti sama ada itu judul final atau tak makanya saya memilih untuk menggelarkan manuskrip tu sebagai TDS), mungkin hanya sebuah kisah biasa kerana yang menulisnya juga orang biasa yang tentunya akan menulis karya-karya yang biasa-biasa saja.

Tapi saya percaya sebahagian kisah biasa itu masih berlaku dan akan terus berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Lantaran itu, saya yakin golongan penulis dengan pakej biasa seperti saya akan terus merintis dan cuba meneroka dalam cara masing-masing dengan harapan akan ada sedikit ilmu yang dapat membantu mereka yang kebuntuan, atau yang mencari alasan bagi menutup segelintir mulut manusia yang gemar bertanya sesuatu yang kita tak ada jawapannya. Manusia yang kadangkala lupa bahawa semua yang berlaku di dunia ini bukan atas tangan kita, tapi ada DIA sebagai perancang utama.

Dan seperti yang kita semua tahu, tiap orang ada kurang dan lebih. Kalau DIA memberi, DIA juga boleh menarik kembali apa yang diberikan pada kita dalam sekelip mata atau tanpa perlu berkelip mata. Bersyukurlah dengan apa yang diberikan pada kita kerana kita tak akan tahu bila saatnya kita akan kehilangan apa yang sudah pun ada di dalam genggaman. Selamat membaca pada yang mahu membaca, harap kamu, kamu dan kamu akan setia menanti kelahiran novel tersebut, insya-ALLAH dalam beberapa bulan lagi. Semoga pertolongan dari DIA tak akan pernah berhenti.

- HiDuP kUcAr-KaCiR -

February 25, 2011

Oh... saya sihat, cukup sihat dan sangat sihat sebenarnya. Tapi dalam dua minggu kebelakangan ni, hidup yang saya mahu atur macam dalam n3 di sini, terasa sedikit kucar-kacir. Tidak dilanda todak, jauh sekali disapa geroda yang datang tanpa diundang. Tidak sekali-kali! Tapi itulah dia, yang dinamakan manusia memang tak pernah lepas daripada dugaan. Dan saya anggap, inilah dugaan buat saya kerana saya tak mungkin akan sentiasa berada di atas. Ada masa-masanya, saya harus juga berada di bawah supaya saya sedar apa maknanya bermuhasabah diri dan bersyukur dengan semua nikmat yang pernah saya kecap.

Apa yang membuatkan hidup saya bergelombang, tentu saja manusia dan bukan alien. Siapa manusia tu? Ramai... dan yang ramai itu tentu saja ada kaitan dengan diri saya, bukan diri orang lain. Kalau saya tak kenal mereka dan mereka tak kenal saya, mana mungkin mereka mampu membuatkan hidup saya yang memang tak berapa nak tenang, beriak, kemudian berkocak dan selepas itu bertukar menjadi gelombang yang akhirnya mereda juga sedikit demi sedikit setelah berhempas pulas saya cuba berenang sambil menggamit tangan-tangan yang lain supaya tak terus lemas. Untuk melihat orang-orang itu lemas, tak mungkin dan tak akan mungkin selagi saya mampu menarik mereka.

Wah... saya nampak macam sangat penting bagi segelintir orang kan? Kalau tidak, tak mungkin peranan saya yang tak berapa besar ni nampak sangat besar? Ya, ya dan ya tapi bukan untuk semua orang kerana bagi banyak orang lain, saya mungkin bukan siapa-siapa. Hanya seorang penulis kecil yang cuba membesarkan diri dalam dunia penulisan novel yang penuh dengan rencah dan asam garam. Ada atau tidak saya, tak akan ada kesan apa-apa. Tapi saya tak ambil hati kalaupun orang tak kenal saya, bagi saya... cukuplah hanya orang-orang yang mampu menggegarkan hidup saya terus menghargai saya tak kira apa juga yang saya akan dan dah pun buat.

Selain orang-orang itu, saya sedikit tersemput-semput membaca pruf manuskrip TDS yang dah dikirim editor Alaf 21 dua minggu sudah. Kerja saya kali ini, memang sangat, sangat lambat. Entahkan sebab saya suka bertangguh kerana merasakan masa yang masih panjang, entahkan saya masih berusaha berenang melawan arus yang menggila. Tapi bila akhirnya pruf TDS bertemu titik akhir, saya kembali mampu menarik nafas panjang. Saya tak berharap judul TDS yang membawa maksud - - - - - - - - _ - - _ - - - - - - itu ditukar kerana sampai ke hari ini saya masih gagal mencari judul lain. Tapi kalau tetap juga memerlukan pertukaran, mahu atau tidak saya terpaksa memerah otak sekali lagi.

Apa pun, jatuh bangun, atas bawah... saya tetap mahu menjalani hidup ini seadanya. Saya mahu ketawa pada sesuatu yang patut saya ketawakan. Saya mahu tersenyum pada sesuatu yang memerlukan senyuman saya. Saya mahu marah pada sesuatu yang patut menerima kemarahan saya. Saya mahu menangis pada sesuatu yang patut saya tangisi. Dan pendek kata, saya mahu menjalani hidup saya seperti orang lain juga. Orang lain yang sentiasa berbahagia melalui hari-hari yang patut dilalui, ;-)

- Oh, SaYa TeRkIlAn -

February 24, 2011

- KADANG-KADANG -

Kadang-kadang
kesepian ini memaksa aku
menyelak kembali lembar demi lembar
kisah kita yang ditinggalkan masa

Akukah terlalu memuja?
Mengangankan yang indah-indah
Yang hanya ada dalam dongeng
Yang cuma ada dalam mimpi
Lalu… akukah yang alpa?
Lupa kau hanya insan biasa
Ada lebih ada kurang

Sayangnya…
Kasih itu membunuh silapmu
Rindu itu menyingkir egomu
Sayang itu menyirna lemahmu
Pada mata hati ini

Kadang-kadang…
Kesunyian ini menjadikan aku benci
Pada kau dan kenangan itu
Pada masa dan kelalaianku

Tapi kadang-kadang
Aku tetap jua bersyukur
Tanpa kau
Mungkin aku tak kan jadi aku
Apalagi jadi seperti hari ini.

Oleh : Marwati Wahab, 2006

Sebenarnya saya tak tahu sama ada, bait-bait di atas boleh digelar sebagai puisi atau bukan, barangkali lebih kepada luahan perasaan semata-mata. Tapi... tak peduli sama ada puisi atau bukan, yang jelas itu hasil karya saya. Saya yang memikirkan diksi demi diksi sebelum melakarkannya di atas kertas putih dan kemudian memindahkannya di komputer dengan menggunakan jari-jemari saya yang gemuk-gemuk ni sebagai perantara.

Seingat saya, saya menulis puisi itu, (kalau boleh saya gelarkan sebagai puisi kerana definisi puisi di mata saya tak terlalu tinggi), semata-mata mahu meluahkan apa yang terbuku di hati saya selama bertahun-tahun. Ditujukan pada seseorang? Ya... memang ditujukan pada seseorang yang pernah rapat dengan saya satu ketika dulu. Seseorang yang membuatkan saya belajar banyak dalam hidup dan lebih tepat lagi, menjadikan saya sekuat hari ini. Kuat bukan dari segi tenaga fizikal kerana saya tak mungkin dapat mengangkat sebuah kereta atau menghumbankan sebuah rumah ke mana-mana. Tapi kuat dalam erti kata tak takut lagi pada kegagalan walaupun berkali-kali jatuh tersembam mencium tanah. Kini, saya dan seseorang itu... kami memilih jalan masing-masing kerana memang itu pun yang telah tersurat. Seseorang itu pun sudah lama pergi dari hati dan fikiran saya. Tapi sesekali jika kenangan dulu menyentuh minda dan hati, saya kira itu sesuatu yang normal kerana saya hanya manusia biasa sama seperti kamu, kamu dan kamu. Makanya, disebabkan sentuhan kenangan itulah puisi di atas saya lakarkan. Tanpa niat apa-apa, hanya sekadar menulis semata-mata kerana saya dan tulisan ibarat lagu dan irama.

Yang sebetulnya, puisi itu saya pernah hantar di sebuah majalah 5 tahun lalu. Disebabkan tidak ada khabar berita, saya fikir tidak diterima ataupun ditolak. Tapi semalam di YM, Fatin Nabila mengatakan pernah membaca puisi saya. Masa tu dia masih tak kenal saya. Saya tak percaya, bahkan saya kata yang FN sudah tersilap orang. Dalam masa yang sama saya semak email saya kerana saya masih ingat yang saya pernah menghantar sebuah puisi saya. Mujur masih ada dan sebaik melihat judul puisi tersebut, saya mula beramah mesra dengan En. Google. Hasilnya... ya, FN tak buat salah. Memang puisi tersebut sudah pun diterbitkan pada tahun yang sama iaitu 2006.

Terkilan! Itu yang saya rasa sebab saya hanya tahu tentang itu setelah 5 tahun masa berlalu dan tahu pula dalam keadaan yang tak dijangka begitu. Mungkin saya silap sebab saya tak beli majalah tu setiap minggu. Tapi... saya kira apalah salahnya jika penulis diberi tahu supaya kami boleh mendapatkan majalah tersebut untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi. Setidak-tidaknya, bila tua kelak saya boleh tunjukkan pada anak cucu saya (tak kira anak cucu betul atau anak cucu sedara). Dan bukanlah apa-apa sangat, tapinya melihat hasil karya yang ditulis bertukar rupa, saya atau sesiapa aje tentu akan rasa puas hati. Bayaran untuk puisi itu pun bukanlah saya tagih, saya hanya mahu menyimpan majalah tersebut yang kini saya rasa sangat mustahil kerana dah terlalu lama. Tidak mungkin ada di jual di kedai, kalau ada pun mungkin sudah dijual longok kerana sudah boleh dianggap sebagai barang antik yang kemudiannya bakal dilupuskan. Tapi sungguh, kalaulah ada yang masih menyimpan majalah tersebut, saya masih berharap saya dapat memiliki majalah tersebut, ;-)

- PaTaH tUmBuH hIlAnG bErGaNtI -

February 21, 2011

... AkHiRnYa DiA bEnAr-BeNaR pErGi. MeLiHaT lAnGkAh YaNg MaKiN mEnJaUh, RaSa KeHiLaNgAn. Di MaNa PuN dIa SeLePaS nI, MoGa TaLi SiLaTuRaHiM tAk PuTuS ...

Itu status saya di FB hari ni yang bertarikh 21 Februari 2011 bersamaan dengan 18 Rabiuawal 1432. Melankolik kan kelihatannya? Sekali pandang macam status yang ditujukan pada orang tersayang yang mahu pergi, mahu meninggalkan saya kan? Orang tersayang yang bermaksud, ehem... ehem, alah... yang gitu-gitu tu, sambil mata terkelip-kelip ala-ala tak keruan gitu. Macam tu kan kelihatannya?

Tapi tidak, kata-kata tu tak ditujukan pada orang tersayang yang seumpama dengannya, seperti yang ada dalam bayangan kamu, kamu dah kamu juga. Tapi kata-kata tu memang ditujukan pada seseorang yang selama ini saya panggil Kak Nor atau yang sebenarnya bos saya sejak saya menjadi warga DBP lebih 5 tahun dulu. Walaupun, dalam 3 bulan pertama, bukanlah dia yang jadi bos saya, sebaliknya orang lain. Ketika itu Kak Nor hanya editor biasa dengan pangkat yang memang dah pun tinggi.

Saya sedang mengampu dia? Tidak! Tidak dan tidak sama sekali. Sebabnya, kalau nak mengampu pun dah tak guna sebab dia bukan lagi bos pada saya bermula daripada hari ini. Kalau betul saya nak mengampu dia atas tujuan untuk kepentingan diri sendiri, baik saya buat sepanjang 5 tahun yang lalu. Tapi saya tak buat sebab saya bukan pengampu dan tak mahu pun jadi pengampu. Bagi saya, bila saya mengampu itu bermakna saya sedang memalukan diri sendiri dan perkara terakhir yang tidak mahu saya lakukan dalam hidup ialah menjatuhkan air muka sendiri. Benar-benar tak mahu saya lakukan selagi saya masih waras.

Terpulanglah orang mahu menggelarkan saya apa, asal saja saya tahu apa yang ada dalam hati saya. Tapi sungguh, hari ni ketika melihat dia berdiri di jabatan lain dalam Perhimpunan Bulanan DBP, terasa seperti ada sesuatu yang hilang. Bila dia bersalaman dan berpeluk sambil berlaga pipi seperti kebiasaan orang perempuan termasuk saya sendiri, saya bukan lagi terasa seperti kehilangan, sebaliknya benar-benar sudah kehilangan dia. Dia yang walaupun seorang perempuan, bukanlah seorang bos cerewet seperti bos perempuan yang banyak diceritakan banyak orang di luar sana. Sebaliknya, dia bos yang sangat perhatian dan prihatin walaupun air mukanya sedikit serius, dalam erti kata lain tampak garang. Bahkan tidak pernah marah pada anak-anak buah, kalau pun ada yang nak ditegur, dia akan menegur dalam cara yang paling berhemah. Satu cara teguran yang membuatkan darjat dia nampak tinggi di mata saya kerana saya tak suka atau sangat benci pada orang yang menegur ikut suka hati tanpa memikirkan air muka orang lain walaupun orang lain itu bergelar bawahan. Jadi... kalau kamu, kamu dan kamu mahu dipandang tinggi oleh saya, maka jangan sesekali menegur kesalahan orang lain dengan cara yang tidak wajar kerana yang ditegur itu juga punya hati dan perasaan.

Untuk dia yang bernama Kak Nor, di jabatan mana pun dia kini, saya tahu dia akan jadi bos yang baik juga. Untuk kami di bahagian yang bakal bekerja dengan bos yang baru yang juga kami kenali semasa di Jabatan Sastera dulu, moga kami semua baik-baik juga. Patah tumbuh hilang berganti. Itu ungkapan biasa dan sudah pun sampai ke tahap klise. Kalaupun yang datang tak serupa, saya percaya setiap orang pasti ada kelebihan tersendiri. Untuk kamu, kamu dan kamu juga... semoga kita semua diberkati ALLAH, ;-)

- RiNdU tErUbAt -

February 20, 2011

Seingat saya, baru beberapa minggu lepas saya tanya pada Angah yang saya macam dah lama tak tengok Jean-Claude Van Damme dan Mel Gibson kat TV. Angah saya kata, dua-dua tu dah tua sebab tu dah tak jadi hero. Entahkan betul Angah saya tu, entahkan tak betul, saya terima aje jawapan dia. Tapi memang masa tengah tengok DVD dengan Angah dan familiy yang lain, tiba-tiba aje saya teringat kat dua aktor yang memang sangat-sangat saya minta satu ketika dulu. Rindu nak tengok aksi mereka. Bahkan sampai ke hari ni pun rasanya minat saya pada mereka tak pernah hilang, walaupun pelakon dalam dunia ni silih berganti. Aksi-aksi mereka memang sentiasa melekat kuat dalam ingatan saya dan bagi saya, mereka berdua sukar nak dicari ganti. Itu, bagi saya, pendapat orang lain mungkin aje berlainan kerana minat itu hak masing-masing.

Nak rindu apa? DVD kan banyak! Oh... itu mungkin yang ada dalam benak kalian. Ya, saya akui yang teknologi hari ini cukup canggih. Beli aje, pasti rindu terubat. Cumanya, kebanyakan CD dan DCD lakonan dua aktor tu dah dibeli satu ketika dulu. Hanya sekarang ni, semuanya dah tak ada lagi gara-gara anak-anak buah saya yang terlalu gemar menjadikan CD dan DVD yang dibeli sebagai piring terbang. Kalau saya beli sekali lagi, nampak sangat yang saya jenis suka membuat pembaziran walaupun akhir-akhir ni saya dan boros memang seperti tak dapat dipisahkan lagi.

Dan saya benar-benar tersenyum lebar bila Astro Prima dan TV2 telah menayangkan filem lakonan Jean-Claude Van Damme dan Mel Gibson. Dua stesen TV tu bagaikan mengerti apa yang ada di hati saya. Hahahaha... perah santan! Tapi sungguh, melihat filem Braveheart (1995) lakonan Mel Gibson dan The Hard Corps (2006) lakonan Jean-Claude Van Damme pada hari Jumaat dan Sabtu, rindu saya terubat. Memang betul-betul macam pucuk dicita ulam mendatang. Pendek kata, kedua-dua filem tersebut berjaya membuatkan mata saya terus melekat di kaca TV dan secara tak langsung mengabaikan pruf manuskrip TDS. Harap-harap lepas ni, akan ada filem lain lakonan mereka menghiasi kaca TV. Sesekali menonton filem lama, seronok juga rasanya, ;-)


- CuTi-CuTi Di RuMaH sEnDiRi (3) -

February 18, 2011


Kali pertama dan terakhir saya pergi ke Sunway Lagoon, 15 tahun dulu. Lepas tu, berkali-kali merancang tapi jadinya tak sekali pun dengan alasan dan sebab yang tentunya kalau dikumpulkan sudah berbakul-bakul. Tapi satu hari, entah berapa bulan lepas, anak buah saya yang pertama dan kedua cakap pada saya. Katanya, “Sunway Lagoon tu jauh ke dari rumah Mak Tam?” Saya kata, “Tak jauh. Kenapa?” Dia orang balas, “Kawan kita orang kata nak pergi masa cuti sekolah nanti.” Hem... saya seperti tahu apa sebenarnya yang ada dalam benak mereka berdua. Tentu aje anak-anak tu nak pergi juga kalau diberi peluang. Saya balas lagi, “Kakak dengan Adik nak pergi ke?” Tengok dua beradik tu angguk bersungguh-sungguh, saya senyum dan kata, “Okey... Tahun Baru China nanti kita pergi.” Bila dia orang kata, nak... nak... saya yang ada di ruang yang sama terasa macam diberi bulan dan bintang. Oh... saya sekarang ni bukan hanya memanjakan adik-adik saya, anak-anak buah saya pun sama. Hendaknya, saya tak merosakkan mereka semua.

Dan seperti dijanjikan, pada 5 Februari 2011, saya dan rombongan saya, yang bermaksud keluarga saya pergi ke Sunway Lagoon. Asalnya nak pergi pagi sebab Sunway Lagoon dah buka seawal pukul 10.00 pagi. Tapi bila mata masing-masing dah melekat di kaca TV, langkah jadi semakin memberat. Sudahnya kami hanya bergerak seawal pukul 11.30 pagi. Ramai memang ramai orang masa tu, tapi untuk mendapatkan pas masuk yang berbentuk jam tangan, tidaklah sesukar mana sebab kaunter pun banyak juga.








Masuk ke dalam, oh... saya terasa ada rindu yang tertinggal lama dulu. Teringat kawan saya pernah menjerit meminta maaf pada mak dia semasa kami main satu permainan (saya tak ingat semua nama permainan di situ). Saya fikir masa tu, mesti dia banyak dosa, hahahaha. Tapi saya pernah ada kenangan buruk di sana dan pernah pun kata taubat tak nak naik lagi lepas mak saya marah bila tengok muka saya pucat sebaik saja turun. Orang tua, kalau boleh hanya mahu anak-anak duduk di sisi semata-mata. Dan sudahnya, baru-baru ni saya naik lagi sekali. Saya baru tersedar, rupa-rupanya saya bukanlah jenis penakut pada sesuatu yang kelihatan seperti bahaya dan mampu membuatkan rasa kering darah. Cumanya kalau dulu saya main banyak permainan, kali ni saya hanya main beberapa jenis aje sebab masa yang cemburu. Itu pun buntang mata mak abah saya bila tengok, saya, Abang saya dan Adik Ipar saya seperti tergantung di atas. Apa pun, saya seronok dapat membuatkan anak-anak buah saya seronok. Ada umur, ada rezeki, kami pasti akan datang lagi, ;-)













- MaIn TuLiS-tUlIs LaGi! -

February 17, 2011

SEBEBAN kertas yang diletakkan Annura di atas meja dipandang dengan wajah bersahaja. Langsung tidak membantu walaupun dia sudah melihat betapa terkial-kialnya Annura membawa kertas-kertas itu tadi. Siap diberikan arahan lagi kepada gadis itu supaya berhati-hati agar tidak terjatuh. Sengaja membalas dendam gara-gara Annura begitu liat ketika diajak datang ke rumah papanya minggu lalu sedangkan jarak rumah mereka bukannya jauh mana. Hampir-hampir saja dia mengangkat bendera tanda mengalah tapi mujur juga Emran mula campur tangan. Mahu atau tidak, hari ini Annura harus pulang bersama-samanya ke Melaka. Pagi tadi pun memang dia yang membawa Annura ke tempat kerja.

Masam kelat wajah Annura ketika ditegur bakal bapa mentuanya itu, sampai sekarang seperti terbayang-bayang di matanya.

Itulah... ada hati nak lawan cakap bakal suami, kan dah bengang sendiri.

“Nanti kita nak pakai baju apa masa bersanding?” Tidak sempat minda menapis, mulutnya sudah meluah kata. Sudahnya, saat melihat mata Annura mencerun tajam ke arahnya, Dinzley hanya mampu tersengih-sengih sambil tangan mencapai kertas-kertas yang dibawa Annura tadi dan disusun elok di atas meja. Tidak cukup dengan itu, segala perhiasan Annura yang ada di situ dikemas-kemas walaupun hakikatnya semuanya tidak ada yang tidak kena, sempurna saja di mata yang memandang.

“Lama lagi kan?” Annura memilih untuk tidak marah-marah walaupun memang ada terasa hendak marah bila Dinzley hanya memandang dia mengangkat kertas-kertas yang entah berapa kilo tanpa sedikit pun membantu. Kini masih ada hati pula bertanya tentang baju perkahwinan. Sudahlah tidak kena tempat, salah pula masa yang dipilih, gerutu hati kecil Annura.

“Empat bulan awak kata lama?” Terjegil biji mata Dinzley. Wah... mudahnya Annura!

“Tak lama eh?” Annura buat-buat senyum seperti orang tidak bersalah. Sebenarnya tempoh empat bulan itu memang tidak lama. Pejam celik pejam celik saja pasti sudah sampai masanya.

Kahwin? Kahwin dengan Dinzley? Jadi isteri Dinzley? Dinzley jadi suaminya?

Huh... dia menelan liur dalam diam. Bimbang tetap juga tidak mahu pergi. Yakin tetap juga enggan mengunjunginya.

Dinzley yang mendengar pertanyaan itu semakin mendekati Annura. Ikutkan rasa geram, mahu saja dia mencubit bibir Annura. Gadis itu seperti sengaja hendak membalas dendam padanya. Tapi kalau dia mencubit bibir Annura, silap-silap dia dapat penampar gadis itu. Kalau tidak berhati-hati kecoh sampai ke rumahnya nanti dan kesudahannya di mana dia hendak meletak muka? Belum ada apa-apa sudah berani menyentuh anak dara orang.

“Kita pakai warna biru boleh?” Annura memberi cadangan.

“Biru? Alahai... saya tak suka birulah. Kita pakai warna hijau ajelah,” bantah Dinzley serta-merta. Biru dan dia, kalau dipadankan memang tidak serupa langsung. Memang ramai lelaki yang sukakan warna biru, termasuk Annura, tapi dia sejak dari kecil lagi tidak begitu gemarkan warna biru. Boleh dikatakan dia tidak ada koleksi baju berwarna biru. Kalau ada pun hanya tidak lebih sebesar ibu jari. Biru yang dia suka, hanya pada langit dan laut. Lain-lain dia memang tidak berkenan.

Mulut Annura melopong sesaat sebelum dia menutup dengan tangannya sendiri. “Saya tak suka hijaulah,” protes Annura sambil menggeleng. Di matanya terbayang-bayang warna katak pisang yang pernah meloncat di atas ribanya ketika tinggal di kampung neneknya di Melaka dulu. Berbelas-belas tahun masa berlalu, alerginya pada kejadian itu membuatkan dia jadi tidak suka pada warna hijau.

“Saya tak suka biru!”

“Saya tak suka hijau! Macam katak pisanglah...”

Katak pisang disamakan dengan warna kesukaan aku? Sabar ajelah, Annura ni! “Tak kira!”

“Ah... saya tetap tak peduli!”

“Ehem...”

Sepantas kilat Annura dan Dinzley yang sedang berusaha memenangkan diri sendiri berpaling. Melihat seraut wajah lelaki di situ, Dinzley hanya tenang bercampur serius. Sekelip mata hilang wajah ceria yang selalu dipamerkan untuk hidangan Annura dan keluarganya.

Sedangkan Annura yang melihat Razlan terasa seperti tidak tertelan air liur sendiri. Tidak percaya melihat lelaki itu ada di situ pada jam sebegitu. Selalunya, tamat saja waktu kerja Razlan terus berlalu tanpa banyak bunyi. Tapi hari ini memang luar biasa kerana sangkanya semua orang sudah balik. Dia pula masih kekal di pejabat selewat ini, pukul 7.00 malam gara-gara menyiapkan kerja yang penting kerana bercuti hari Isnin. Rasa seram tinggal sendiri di situ terus hilang bila Dinzley menawarkan diri menunggu dia sebelum mereka pulang ke kampung. Mujur akhirnya siap juga.

“Bergaduh?” perli Razlan dengan senyuman sinis.

“Tak. Tengah bergurau senda. Anyway, this is Dinzley, my fiance.” Annura membalas selamba. Dia sudah jelak memberi muka pada Razlan.

Dua tangan saling berjabat selepas diperkenalkan. “I got to go now... lain kali kalau nak bergaduh pun, carilah tempat lain. Bukan di pejabat bapa mentua I,” katanya pada Dinzley tanpa mengenalkan diri. Kemudian dia berlalu pantas tanpa berpaling lagi. Hatinya berbuku mendengar status Dinzley pada Annura.

“Kenapa tu?”
“Datang bulan!” Acuh tidak acuh saja Annura membalas. Cara Razlan pergi memang sangat kurang ajar. Sudahlah begitu masih sempat memperli Dinzley yang langsung tidak dikenali.

Dinzley yang mendengar jawapan Annura ketawa besar, geli hati dengan lawak spontan gadis itu. “Itulah ya mamat yang awak kata iri hati kat awak dulu? Nama dia Razlan kan?”

“Bila? Saya ada cerita ke? Tak ingat pun,” sangkal Annura. Dia memang tidak ingat dia ada menceritakan tentang Razlan pada Dinzley.

Dinzley menepuk perlahan tangan Annura yang berlabuh di atas meja. Bibirnya mencebik mengejek gadis itu. “Itulah banyak sangat makan semut sebab tu mudah lupa, semua perkara tak ingat,” usiknya pada Annura yang nampak bersungguh-sungguh memerah ingatan. “Alah yang buat sampai meja cium dahi awak tu?” Dia cuba mengembalikan ingatan Annura yang seperti sudah jauh tersesat.

Annura tepuk dahi perlahan, baru ingat. “Nampakkan muka dia yang iri hati?”
“Bukan iri hati, tapi cemburu.”

“Cemburu? Takkanlah... mana ada kami ada hubungan.”

Dinzley jongket bahu. Dia lelaki, Razlan lelaki, kalaupun tidak semua dia tentu dapat memahami gerak tubuh dan bicara Razlan. Annura saja yang tidak sedar perasaan Razlan yang diselindungkan dengan menyakiti hati gadis itu. “Cara dia pandang awak, saya tahu dia simpan hati pada awak,” kata Dinzley yakin. Dia pasti nalurinya tidak menipu kerana riak Razlan memang ketara.

“Ya ke?” Annura tetap juga tidak percaya. Selama ini tanda-tanda itu tidak ada pada Razlan. Dinzley saja yang membuat andaian tidak tentu hala.

“Takkanlah tak pula?”

“Tak tau... tapi nanti diam-diam saya nak tengok dia,” ujar Annura dalam senyuman. Ketika itu mereka sudah menghampiri pintu pejabat.

Langkah Dinzley terhenti. “Jangan... jangan sesekali pandang dia atau lelaki lain...”

“Tapi...”

“Dah jangan banyak cakap, mari...” Terus dicapai tangan Annura, diheret sedikit kasar. Annura baru berkata-kata, tapi kenapa dadanya terasa seperti dirempuh todak?
----------------------------------------------------------------------------------------
“Warna hijau eh?” pujuk Dinzley dengan suara yang lunak ketika mereka berdua dalam perjalanan balik ke Melaka. Perbincangan yang boleh juga dikategorikan sebagai berbincang sambil bertengkar disambung kembali selepas dirosakkan Razlan. Tempoh empat bulan sudah semakin hampir. Mamanya pun sudah mula bertanya itu dan ini padanya sedangkan dia hanya boleh memberi jawapan yang dia akan berbincang dengan Annura sebelum membuat apa-apa keputusan. Yang hendak berkahwin dia dan Annura, maka dia tidak mahu hanya membuat keputusan sendiri. Untuk itu dia mahu bersikap adil pada Annura yang tentu juga ada idea lain. Jangan gara-gara hal itu Annura terasa hati dan akhirnya membawa rajuk panjang padanya. Dia tidak berharap sepanjang mereka hidup bersama kelak, Annura hanya memendam perasaan yang berbuku.

“Saya tak suka hijaulah Dinzley.” Lunak juga suara Annura berkata. Dia betul-betul tidak suka, bukannya buat-buat tidak suka. Kalau dia tidak ada permusuhan dengan warna hijau dia juga tidak akan keberatan mengikut cadangan Dinzley. Tapi masalahnya sampai ke hari ini dia dan warna hijau masih belum berbaik-baik. Masih saling tidak boleh memandang kerana rasa gelinya masih belum hilang.

“Tapi saya suka...”

“No!”

“Nura...”

“Kalau macam tu kita tak payah ber...”

“Kita pakai warna gold! Tak ada biru tak ada hijau. Biar sama-sama tak dapat warna kesukaan masing-masing. Biar sama-sama tak sakit hati dan dapat berikan pose paling cantik kat pelamin nanti,” potong Dinzley pantas. Tidak membenarkan Annura selesai berkata-kata kerana dia seperti dapat membaca jalan fikiran gadis itu. Sedangkan mamanya dan Delaila sudah beria-ia menggambarkan suasana semasa majlis perkahwinan mereka nanti.

“Menyampah! Dia aje yang nak menang,” rungut Annura geram. Dia terus mengalihkan pandangan ke luar sebagai tanda protes walaupun dia yakin kalau dikerat jari pun Dinzley tidak akan tunduk pada permintaannya. Jika dilihat pada tahap tidak suka Dinzley pada warna biru, lebih kurang sama saja seperti dia tidak sukakan warna hijau. Tapi dia lebih rela memakai warna gold daripada warna hijau. Cuma dia tidak puas hati kerana tidak dapat mengenakan warna biru pada hari bersejarahnya nanti sedangkan warna itu sudah menjadi kesukaannya sejak di sekolah tadika lagi.

Lama masing-masing diam. Sengaja membiarkan sepi bermaharajalela. Namun sekali-sekala Dinzley menjeling juga pada Annura yang sudah pun memejamkan mata rapat-rapat. Mungkin letih, mungkin mengantuk atau mungkin juga masih mahu menunjukkan protes padanya.

“Awak kata dulu Razlan tu baik dengan awak masa baru-baru kerja kan?” tanya Dinzley, mengalah kerana tidak suka mereka diam bila berdua-duaan kerana untuk pasangan seperti mereka, banyak komunikasi diperlukan berbanding pasangan yang akan berkahwin kerana suka sama suka. Dengan komunikasi itu barulah saling memahami.

“Ya.”

“Kenapa dia tiba-tiba berubah?” Soalan lain pula yang muncul. Tipikal yang hendakkan jawapan sampai ke akar umbi.

“Manalah saya tau. Tiba-tiba aje dia dah buat perangai. Tapi... rasanya dulu dia baik sikit sebelum dia terserempak dengan saya dan Haffez....”

“Haffez? Siapa Haffez?”

Annura ketap bibir. Tidak sedar dia ada menyebut sebaris nama itu. Kepala digeleng sedikit. “Bukan siapa-siapa...” Lirih saja nada suaranya. Dia jadi ingat pada Haffez ketika ini.

Mendung di wajah Annura buat bibir Dinzley terkunci. Banyak yang ingin ditanya, tapi sudahnya dia tetap diam.

- KeMbAlI mEnGaTuR hIDuP -

February 16, 2011

Oh... bila saya buat tajuk n3 begitu, taklah bermakna hidup saya kucar-kacir dan tunggang-langgang macam diserang geroda. Tidak! Hidup saya selama ni, hanya biasa-biasa aje macam kamu, kamu dan kamu juga. Bahkan ada masa-masanya terlalu datar kerana dunia saya hanya pergi dan balik kerja setiap hari. Bila sampai masa, saya pergi Bukit Jalil ambil tiket balik ke JB. Malah, ada juga yang kata saya melalui hidup yang agak membosankan. Tapi saya tak kisah dan tak pernah nak kisah pun sebab saya rasa saya cukup berbahagia dengan apa yang saya lalui. Daripada saya asyik merambu tak tentu hala dari malam sampai menginjak pagi, lebih baik saya habiskan masa saya tengok TV ataupun menari-narikan jari-jemari saya kat keyboard dan lebih penting daripada itu tidur sebab saya rasa tidur dan saya memang sangat sepadan kalau dibuat DNA.

Sebetulnya, sejak beberapa minggu kebelakangan ni dunia saya cukup penuh dengan warna-warni, yang bermaksud saya tak sendiri. Bermula dengan balik JB, kemudian keluarga saya pula turun ke KL. Memang hidup saya ceria dan disebabkan rasa itulah, maka saya macam tak dapat terima kenyataan bila mereka akhirnya terpaksa balik ke tempat asal yang bermaksud balik ke JB.

Pagi tu, hari terakhir mereka di KL hati saya dah rasa lain macam. Sebak macam menderu-deru dalam hati. Tapi saya gagahkan juga bersikap biasa. Selamba aje ikut abang saya pergi servis kereta. Balik aje daripada servis kereta, saya lihat beg-beg sudah siap di tepi dinding dan adik saya bahagia muka aje vakum rumah. Masa tu hati rasa makin tak tentu arah. Pun saya cuba bersikap biasa, laju aje jari-jemari menekan huruf-huruf di keyboard. Tapi bila sampai masa balik, masing-masing dah pun menggalas beg di bahu, saya dah tak boleh nak kawal diri. Saya masuk dalam bilik yang menjadi tempat tidur mak saya. Tak suruh, tapi air mata saya murah aje meluncur keluar. Saya kata, “Mak tak payahlah balik.” Huh... rekod, bila tangisan saya bertukar menjadi esakan panjang sampai Mak saya tak terkata apa, hanya duduk di sebelah saya. Oh... saya dah buat dia menangis. Tak niat, tapi saya memang tak boleh nak berlakon tak rasa apa sedangkan hati saya memang dah tak boleh tahan. Dah lama riuh, tiba-tiba aje kembali sendiri, rasa yang ada dalam hati memang sangat tak best. Sudahnya, saya, mak dan abah melambai tangan pada adik-beradik, ipar dan anak-anak buah saya. Mak dan Abah tak sampai hati nak tinggalkan saya bila tengok keadaan saya teruk macam tu sekali.

Cengengkan? Bolehlah! Tapi saya percaya siapa pun di tempat saya akan melalui perkara yang sama dan merasakan kesakitan yang sama. Ditinggalkan memang sangat sakit, berbanding meninggalkan. Kalau tak percaya, bolehlah kamu, kamu dan kamu mencuba. Anak manja? Boleh juga! Tapi taklah terlalu manja, kalau saya anak manja tentu aje saya tak dibenarkan tinggal di KL seorang diri tanpa ditemani adik-beradik yang lain. Saya dah lama berdikari, apalah salahnya sekali-sekala saya diberi peluang yang lebih untuk menghabiskan masa dengan kaum keluarga saya. Kalaupun bukan semua, cukup jika ada mak dan abah saya.

Sepanjang 5 hari bila saya balik kerja, yang saya lihat melalui pintu yang terbuka, wajah Mak dan Abah saya, saya rasa gembira. Kalaulah setiap hari saya akan melalui situasi yang sama, alangkah indahnya hidup saya, hahaha. Tapi saya tak mahu jadi manusia yang pentingkan diri sendiri. Dengan rasa berat hati, Mak dan Abah terpaksa juga saya lepaskan balik JB semula. Bukan sebab mereka dah jemu, malah Mak dan Abah saya suka duduk rumah saya. Tenang, kata mereka dan kalau tak sebab ‘itu’, duduk beberapa bulan pun mereka mahu. Mak dah Abah saya tak bela ayam itik, maka mereka tak perlu risau. Tapi perkara ‘itu’ yang tak memungkinkan mereka tinggal lebih lama sebab bimbang jika lama ditinggalkan akan ditarik kembali. Itu pun Mak dan Abah saya hampir-hampir aje nak tambah seminggu lagi lepas tengok mata saya yang merah bila soal balik JB diungkit. Huh... mereka memang orang tua yang baik, sanggup ‘kehilangan’ hanya dengan melihat air mata saya.

Saya bukan ratu air mata. Selama ni pun bukan saya tak biasa hidup sendiri. Saya dah jadi manusia lali. Ditemani sunyi dan sepi, hanya masalah enteng bagi saya kerana ada masa-masanya saya memang suka dibiarkan sendiri. Hanya bila mengenangkan yang saya akan melambai tangan sambil melihat kereta meninggalkan saya dengan membawa Mak dan Abah, saya benar-benar tak sanggup nak hadapi. Jadi, hanya ada satu aje cara yang memungkinkan saya tak menitiskan air mata melihat mereka pergi. Saya perlu ikut mereka balik ke JB. Akhirnya, memang saya ikut walaupun saya akui yang saya rasa sangat letih sejak beberapa minggu melalui hidup yang kecoh kerana tidur saya tak pernah cukup dan tak menentu. Tapi saya tolak ke tepi rasa letih tu.

Semalam, saya benar-benar boleh melangkah menaiki bas dengan hati yang lapang. Melambai tangan pada mereka sambil bibir masih mampu mengukir senyum. Saya tak tahu apa perasaan mak dan abah saya bila ditinggalkan begitu, tapi yang saya tahu ditinggalkan memang sangat sakit dibandingkan meninggalkan. Untuk Mak dan Abah, terima kasih atas semua yang pernah kalian buat untuk saya selama ni. Kalau bulan dan bintang boleh dipetik, saya tahu kalian pasti akan melakukannya untuk saya dan adik-beradik saya yang lain.

Dan hari ni, saya sudah pun kembali melalui hari-hari saya seperti biasa. Semoga dalam setiap langkah yang saya ambil, ALLAH akan selalu melindungi saya, Mak Abah saya, keluarga saya dan semua yang ada di dalam dunia ini.

- DiA sUdAh 11 TaHuN -

February 15, 2011

Hari ni 15 Februari 2011! Itu bermakna Nurul Husna, anak buah saya yang sulung sudah genap mencecah usia 11 tahun. Ya... sedar tak sedar Kakak rupa-rupanya sudah besar. Tingginya aje sudah hampir menyamai ketinggian saya. Cepatnya masa berlalu, langsung tak mahu menunggu manusia walaupun sedetik.


Kakak... itu gelaran yang kami anak-beranak gelarkan untuk dia kerana dia cucu yang sulung. Saya ingat lagi, ketika dia lahir saya memang gembira. Tapi seiring rasa gembira itu, ada juga rasa tak gembira bertapak. Bukan sebab saya tak suka dia, tidak sama sekali! Anak-anak buah saya, semuanya saya sayang. Hanya ketika itu, bila dia lahir saya terasa macam ada sesuatu yang hilang. Mungkin selepas ini perhatian Kak Long saya akan lebih banyak padanya dan saya pasti akan sedikit tersisih. Tapi saya silap, kehadiran Kakak sebenarnya dah membuatkan ikatan saya dan Kak Long jadi lebih erat kerana Kak Long selalu bercerita tentang dia. Saya pun selalu excited nak tahu perkembangan dia. Bahkan saya jadi lebih rajin tidur di rumah Kak Long bila cuti semester hanya dengan alasan mahu bermain dengan dia.

Tapi itu dulu. Sekarang ni Kakak dah besar dan disebabkan badan dan tingginya yang hampir menyamai saya, selamba aje dia rembat baju dan seluar saya. Bahkan dengan muka tak malunya, dia bawa balik baju yang saya beli dengan harga yang mahal dan baru pakai 3 kali. Saya yang terkedu, hanya mampu ketap bibir. Sabar ajelah anak buah sulung saya ni. Tapi nak marah pun tak guna sebab dia kata dia suka baju tu. Takkanlah saya nak bergaduh dengan budak umur 11 tahun hanya sebab baju? Sedangkan kalau boleh, saya pun nak memberi bulan dan bintang pada dia dan anak-anak buah saya yang lain. Lagipun, dulu-dulu pun saya suka rembat baju ibu dia. Cumanya, jari saya tak naik macam ketam untuk ketip lengan dia macam yang pernah Kak Long saya buat pada saya. Entahlah... ketika itu, saya rasa semua baju Kak Long cantik dan ketika ini, mungkin itu jugalah yang Kakak fikir.


Tapi tak kisahlah macam mana pun dia rembat baju saya dan selepas rembat baru bagi tahu, saya akan tetap mendoakan yang terbaik buat dia. Harapan saya, satu hari nanti dia akan jadi anak yang baik, sangat baik dan benar-benar baik bukan hanya untuk orang tua tapi untuk semua orang yang akan ditemui dalam seumur hidup dia. Untuk Kakak, Selamat Hari Lahir, moga seluruh rahmat ALLAH akan jadi milik Kakak, ;-)

- DiA sUdAh 27 TaHuN -

February 11, 2011

Hari ni hari ulang tahun kelahiran adik saya yang ke-27 tahun. Oh... dalam tak sedar, adik saya sudah tua rupa-rupanya dan bila dia sudah setua itu, bermakna usia saya juga sudah semakin ke depan sebab saya lebih tua daripada dia. Kalau saya lebih muda, tentu dia yang mak saya lahirkan, tapi dibandingkan dia, saya lebih dulu melihat indahnya bumi ALLAH dan sayalah yang menghirup segarnya udara milik DIA. Dan lagi, kalau saya adik, tak mungkin saya akan gelar dia adik dan dia akan gelar saya kakak. Itu bermakna, memang sahihlah yang pangkat saya pada dia adalah kakak. Bagus juga pangkat tanpa pingat ni tapi mengalir dalam darah. Kalau saya adik, saya yakin saya akan menjadi mangsa buli sebagaimana saya sering membuli dia.

Saya jahat? Tidak! Buli yang saya maksudkan adalah buli yang mudah-mudah sebab setakat ni saya tak pernah pun suruh dia panjat langit, redah Laut China Selatan, tidur atas bumbung rumah dan sebagainya. Kalau saya suruh dia buat aksi-aksi terlampau macam tu pun saya yakin dia tidak akan menurut, silap-silap saya pula yang dapat penampar sulung daripada adik sendiri. Yang selalu saya suruh dia buat, pergi belikan akak itu, pergi belikan akak ini, ambilkan itu, ambilkan ini, angkatkan yang di sana, angkatkan yang di sini dan sama jenis dengannya. Tak terukkan saya membuli dia? Bahkan tak layak pun dipanggil buli, tapi lebih tepat lagi kalau saya gelarkan, cara adik-beradik berkasih sayang, mengeratkan ikatan yang memang sedia erat. Betul tak apa yang akak cakapkan ni? Apa? Tak betul? Okey tak apa, ada lori ada bas, ada hari akak akan terus balas dan balas.

Hem... tak tahu nak tulis apa lagi, sebab di mata saya sebagai seorang kakak, dia tak ada kekurangan langsung walaupun sebenarnya mustahil. Tak ada manusia dalam dunia ini yang sempurna kerana semua manusia di dalam dunia ini didatangkan dengan pakej yang lengkap iaitu ada lebih dan ada kurang. Malah manusia yang hampir kepada kesempurnaan pun tidak ada. Kalau ada pun entah berapa kecil agaknya jumlahnya dan tidak pernah saya jumpa. Yang saya selalu jumpa, lebih di sini tapi kurangnya tetap ada di sana. Tapi untuk adik bernama Hasrul ini, saya tetap katakan yang dia tidak ada kekurangan di mata saya, saya ulangi sekali lagi, di mata saya dan bukannya di mata Kiah jiran saya tu ya. Tahu kenapa? Sebab semua kebaikan yang pernah dia lakukan dalam seumur hidupnya, sudah menutup semua kekurangan yang dia ada.


Untuk adik saya ini, akak mungkin bukan kakak yang sempurna, tapi dalam setiap doa-doa akak, akak tak pernah lupa pada adik-adik. Jadi, akak nak ucapkan SELAMAT HARI LAHIR, moga panjang umur, murah rezeki dan selalu ada dalam rahmat ALLAH.

- CuTi-CuTi Di RuMaH sEnDiRi (2) -

February 10, 2011

Kalau disuruh memilih tempat yang paling cantik di Malaysia, saya akan pilih Putrajaya. Itu bagi saya, orang lain saya tak tahu kerana seperti rambut yang dah tak sama warna, hati manusia juga tentu saja tak serupa. Makanya, sebagai rakyat Malaysia kita bebas memilih mana tempat yang kita suka dan mana tempat yang kita tak suka.

Kenapa? Kenapa saya pilih Putrajaya? Jawapannya... bila mata memandang, hati terus terpaut. Ceh... entah apa-apa kan dia tu Kiah? Suka sangat main-main. Sejujurnya, memang saya sukakan Putrajaya, eh... bukan suka tapi sangat-sangat suka atau dalam erti kata lain, suka gila pada Putrajaya. Disebabkan Putrajaya bukannya manusia, jadi tidak salah kalau dengan sewenang-wenangnya saya mengumumkan yang saya dah jatuh cinta pada Putrajaya. Bukan hanya pada hari ini atau beberapa hari lepas, tapi sejak lama dulu, entah berapa tahun lepas saya sendiri tak ingat. Tapi sungguh, kalau disuruh pilih saya tetap akan memilih Putrajaya sebagai destinasi yang menarik.






Bagi saya, di Putrajaya ada keindahan dan kedamaian yang ada juga di tempat lain. Hanya di mata saya, diulang sekali lagi, di mata saya Putrajaya punya keistimewaan tersendiri yang tak ada di mana-mana, jauh sekali pasar borong dan pasar tani yang memang tak pernah sunyi dan sepi daripada hiruk-pikuk. Tempat yang bersih dan cantik benar-benar memukau mata saya. Tidak keterlaluan kalau saya katakan yang setiap reka bentuk bangunan di sana tak mampu menarik mata saya untuk berpaling ke sisi lain. Ya... saya sangat sukakan Putrajaya. Satu destinasi yang tak pernah jemu untuk saya lawati. Bahkan ada masa-masanya, malam-malam buta, saya dan Fida boleh ke sana. Tak berhenti, hanya berlegar-legar di sekitar situ semata-mata mahu menikmati lampu-lampu jalan dan suasana yang tenang. Dan lebih daripada itu, di sana juga memantapkan skil memandu saya. Terima kasih tak terhingga pada Fida yang comel lagi baik hati, jasa Fida dikenang sampai mati.

Dan atas alasan Putrajaya istimewa di mata dan hati saya, jadi saya ambil keputusan untuk bawa keluarga saya ke sana sekali lagi. Sebelum ni pernah pergi, tapi tak ada sekeping gambar pun yang ditangkap sebab kamera, telefon bimbit, semuanya habis bateri pada masa yang sama macam sengaja berjanji. Ternyata mereka juga sangat menikmati suasana di sana dan berharap akan datang lagi bila ada masa.














- CuTi-CuTi Di RuMaH sEnDiRi (1) -

February 9, 2011

Kalau orang lain memilih pulang ke kampung, pergi ke tempat-tempat menarik di dalam atau di luar negara, saya pula memilih bercuti di rumah sendiri pada CNY baru-baru ni. Tapi... bukannya saya bercuti sorang-sorang, sebaliknya semua ahli keluarga saya bawa sekali bercuti di rumah bertingkat 7 berwarna pink putih yang terletak di Kuala Lumpur. Kalau keluarga saya tak datang, tak mungkin saya dengan rela hati duduk di rumah yang menjadi tempat teduh saya selama ini. Cuti empat hari, tapi saya masih sendiri di rumah, oh tidak... saya pasti tak akan bertindak segila itu. Kalau boleh cuti dua hari pun saya nak balik kampung, cumanya jarak yang ada antara KL-JB tak memungkinkan saya bertindak segila itu.

Apa? Dekat aje jarak tu? Yup... memanglah tak jauh mana ke London. Tapi saya rasa agak tidak berbaloi atas beberapa alasan yang bagi saya kukuh. Pertama, saya tak akan puas duduk kampung hanya dengan cuti hujung minggu tu, paling tidak pun saya mahu cuti empat hari. Kedua, buat membazirkan duit aje. Ketiga, saya tak mahu letih sedangkan hati saya tak puas, walaupun memang bukan saya yang bawa bas. Saya tetap rasa letih, apalagi bukannya saya boleh tidur sepanjang jalan. Ada-ada saja yang mahu bertandang di kepala. Keempat... nantilah saya fikirkan lagi.



Sepanjang empat hari di rumah saya, tidaklah kami hanya melepak di rumah semata-mata, walaupun saya memang suka sangat duduk kat rumah tu. Ada beberapa tempat yang kami pergi. Dan destinasi pertama saya pilih I-City. Kenapa itu yang jadi pilihan, saya sendiri tak tahu. Hanya saya kira, kat JB tak ada lampu yang secantik di sana, jadi baik saya bawa mereka melihat. Tapi sebenarnya, bukanlah saya yang bawa mereka, lebih tepat lagi, abang saya yang bawa sebab saya sendiri pun tak pernah pergi I-City. Saya cuma tahun I-City tu di Shah Alam, saya tunjuk jalan ke Shah Alam. Tak tahu pun di mana I-City tu, hanya berharap pada signboard yang ada. Tapi sudahnya sebab tak yakin, saya telefon kawan dan tanya lokasinya. Mujur... walaupun keadaan jalan sedikit sesak, kami sampai juga. Dalam keadaan tiga buah kereta, saya cukup risau kalau-kalau ada yang tersesat entah ke mana-mana. Maklumlah... kecuali saya (itu pun saya hanya tahu jalan pergi dan balik kerja semata-mata), yang lain-lain semuanya tinggal di JB yang tentu saja bermaksud mereka tak arif dengan jalan-jalan yang sangat jarang dilalui.




Dan I-City, di mata saya yang tak berapa nak seni ni, sangat cantik dengan lampu yang pelbagai warna dan pelbagai bentuk. Tapi... saya hampir-hampir menangis, bila tiba-tiba terdengar jeritan seorang perempuan. Masing-masing dah terkedu bila perempuan tu nampak sangat kasihan bila tersedar anak dia hilang. Hilang anak di tengah-tengah orang yang sesak dan gelap pula tu, walaupun tak ada anak saya dapat selami perasaan perempuan tu. Silap pertimbangan mungkin boleh jadi gila. Semakin dia terjerit-jerit panggil nama anak dia, semakin hati saya rusuh. Tak tahu macam mana nak cari anak kecil yang entah ke mana. Pandang dan kira anak-anak buah saya, tujuh orang. Cukup! Saya dengar perempuan tu jerit panggil nama Marsha, mak saya dengar dia panggil Arissa dan sangka cucu dia bernama Arissa itu yang hilang sebab Arissa bukan jenis budak yang tahu duduk diam. Sedangkan Aqqif pula dengan perempuan tu jerit panggil pocong. Ya ALLAH... anak buah saya memang tinggi imaginasinya. Semuanya gara-gara bila dah berkumpul kami suka sangat tengok cerita hantu yang selalu merapu.

Melihat perempuan yang masih kalut tu, kami langsung memakukan langkah. Tak ke mana-mana dan tak juga mahu ke mana-mana, hanya menjadi pemerhati kerana kami berada di bahagian atas. Nak tolong cari, kami bukannya kenal siapa yang mahu dicari, silap-silap kami yang kalut saling mencari sesama sendiri. Tapi saya berharap, sangat berharap si ibu yang kasihan itu akan bertemu anaknya kerana saya melihat dia yang pada mulanya agresif menjerit, akhirnya terkulai layu sebab terlalu sedih dan takut barangkali. Mujur akhirnya, anak yang dicari ketemu juga. Jarak tak begitu jauh, tapi kanak-kanak yang saya andaikan berusia setahun lebih itu, tak mengerti apa-apa, jauh sekali faham rusuh hati seorang ibu.



Kemudian dengan rasa lega dan abang-abang dan adik-adik saya yang kukuh memegang anak-anak sendiri, kami bergerak. Terus meneroka I-City. Hujan yg pada asalnya renyai akhirnya reda bagaikan memahami yang kami tak mungkin bergerak dengan anak-anak kecil yang mudah terkena penyakit. Tapi sungguh... cukup hanya dengan melihat lampu, saya sudah pun terhibur. Lain kali ada umur, ada rezeki, saya pasti akan datang lagi.