- RaMaDaN kE-25 -

RAMADAN KE-25! Rasanya Ramadan dah semakin ke penghujung. Lagi beberapa hari saja lagi, beberapa hari yang sudah boleh dikira dengan menggunakan jari-jemari sebelah tangan, Hari Raya Aidilfitri akan mengucapkan Selamat Datang Cinta [apa kaitan ucapan semacam ni? Tapi biarlah kan? Bukannya kena bayar pun!] pada seluruh umat Islam yang ada di seluruh dunia. Tanda kalau perjuangan kita semua selama sebulan di bulan penuh barakah ini akan sampai ke penghujung.

Dan sepanjang bulan Ramadan ini, saya tertanya-tanya juga apa sebenarnya yang telah saya lakukan? Setelah difikir-fikirkan dengan teliti, tolak dan tambah sesuka hati, sukat dan timbang sesedap rasa, jawapannya... saya masih menjalankan rutin harian yang sama. Yang berubah hanya bila sampai masa, saya pasti bergegas ke kantin DBP di tingkat 5 untuk bungkus lauk dengan kawan-kawan saya. Hajat tak nak beli lauk sepanjang bulan Ramadan tahun 2011 ternyata hanya tinggal hajat yang tak kesampaian. Bukannya tak boleh dicapai, hanya saya memalaskan diri sendiri untuk mencapai hajat yang sebetulnya tidaklah sesukar mana. Pemalas kan saya? Ya, saya mengaku!

Entahlah... kadang-kadang saya berkata-kata sendiri, “Kenapa perlu susah kalau ada jalan mudah?” Maksud saya, bukanlah sampai saya akan buat jahat atau buat apa saja asalkan hajat saya tercapai. Tidaklah sampai sekejam itu. Pertanyaan tu hanya untuk situasi, masak-memasak dan perkara-perkara yang seumpama dengannya. Lagipun, saya cuma sorang-sorang, tak perlulah nak masak beria-ia dan saya akui yang saya hanya akan masak bila saya terasa nak masak atau saya terpaksa masak sebab tak ada pilihan. Situasi terpaksa tu pulak lahir pada setiap hujung minggu. Jarak kedai makan yang memaksa saya bawa kereta kalau nak beli makanan, ataupun memaksa peluh saya keluar berjurai-jurai ke jalan raya semata-mata mahu mendapatkan sepinggan nasi, membuatkan saya rasa terpaksa memasak untuk diri sendiri. Hem... kalau macam tulah caranya, maka tak hairanlah kalau sampai ke saat ni skill memasak saya hanya meningkat 10% ke 15% kalau nak dibandingkan zaman dulu-dulu. Nak lawan Cef Wan atau pun Cef Ismail memang taklah. Dua cef tu masak sambil pejam mata pun tak tentu lagi saya dapat kalahkan dia orang tu.

Okeylah, saya nak tinggalkan dua cef glamor tu sebab tak ada kaitan dengan saya, melainkan dia orang nak ajar saya memasak sampai saya boleh jadi setanding dengan dia orang atau lebih hebat daripada dia orang. Memang bakal jadi sedara tanggang saya ni sebab derhaka dengan cikgu. Sekarang saya nak cerita fasal persiapan raya pulak. Persiapan saya tahun ni biasa-biasa aje. Sebelum buat persiapan untuk diri sendiri, saya pastikan persiapan kat rumah abah selesai. Kata mak, dia nak tukar langsir sebab tahun lepas tak tukar. Saya kata okey! Adik tanya nak cat warna apa tahun ni? Saya kata tak kisahlah warna apa pun. Bukannya nak cat luar pun sebab luar tahun lepas dah cat, yang nak dicat tahun ni cuma bahagian dalam rumah aje. Kuih pulak... saya order sana sikit, sini sikit sebab tak nak membazir macam tahun lepas dan bila dicantumkan sana sikit + sini sikit = sebenarnya macam banyak juga. Menu tambahan, biskut raya wajib mak saya, biskut makmur, biskut mazola dan tart bunga. Rajin benar dia membakar! Pembaziran sekali lagi berlaku dan saya harap tahun ni semuanya habis dimakan orang walaupun dengan rasa malu terpaksa saya akui yang budaya ziarah-menziarahi bukan hanya makin dilupakan di bandar, tapi di kampung saya juga, bahkan saya salah seorang daripada penyumbang kepada kelupaan itu. Dan paling penting, baju raya mak dan abah saya dah ada. Kiranya, persiapan kat rumah abah saya dah selesai walaupun kat Rumah Pink, apa pun saya tak buat, malah sebalang biskut raya pun tak ada.

Untuk diri saya sendiri, adalah baju raya yang saya beli siap. Ada juga yang saya tempah. Cumanya saya rasa agak tak puas hati dengan baju yang ditempah. Bukannya baju yang bermasalah, tapi kain. Kalau selalu lipat kain saya di sebelah kiri, tahun ni sebelah kanan. Padahal... yang jahit tukang jahit yang saya biasa pergi. Raya belum pun mula, tapi saya dah terbayang-bayang betapa susahnya saya nak melangkah nanti sebab saya rasa kekok dengan lipat kain di sebelah kanan tu. Jangan saya jatuh tersembam sudahlah ya! Kalau tak, saya saman tukang jahit saya tu sebab menyumbang pada kecederaan saya jatuh tersembam. Selain daripada baju, adalah kasut. Tapi tahun ni saya tak beli beg tangan sebab beg tangan tahun lepas tak guna lagi. Dan lagi... saya dah pun tukar duit raya untuk anak-anak buah saya seramai 8 orang tu, sepupu-sepupu yang masih kecil dan anak-anak saudara sepupu. Lain daripada dia orang, biasanya saya tengok-tengok orang juga nak bagi. Kedekut kan? Bukan kedekut, cuma berjimat. Hehehe. Lagipun biasanya abah saya dah bagi, cukuplah tu kan? Budak-budak tak elok pegang duit banyak-banyak tau!

Tapi tak kisahlah apa persiapan raya saya, persiapan keluarga saya dan persiapan semua yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ni, yang penting raya tetap raya. Nak sambut atau tidak, raya tetap juga akan datang dan semoga kedatangan raya mampu menggamit senyuman di bibir kita semua, ;-)

- ReViEw KASIH BENAR KASIH dArIpAdA lInLoNeLoVe -


Tajuk : Kasih Benar Kasih
Novelis : Aleya Aneesa
Terbitan : Alaf 21 tahun 2011
Bil. m/s : 496
Tagline : " Awak ni comel macam arnab sayalah." Dr. Dinzley

Ini kali pertama aku baca novel karya novelis Aleya Aneesa ni. Walaupun da byk jgk la rasanya karya beliau diterbitkan, inilah kali pertama aku mendekati karyanya. Aku bukanlah pakar dalam penulisan dan aku amat cemburu pd mereka yg dianugerahkan kelebihan ini. Apa yg aku boleh lakukan, adalah meneruskan membaca dan menyokong setakat termampu karya novelis tempatan dgn review spya mudah aku ingat jalan ceritanya nanti...

Kisah kena kahwin atas pilihan orang tua menjadi intipati dan rencah utama dlm novel ni. Kisah biasa yg sering diutarakan dlm cerita novel mahupun drama2 tempatan la. Tapi apa yg lebih menarik lagi ttg novel ni adalah kisah yg terjadi antara 2 watak utamanya iaitu Annura Farahin dan Dr. Dinzley Amrin. Dek krn nak merapatkan hubungan persahabatan antara Emran dan Safura dan Nurlaila dan Idham, Annura dan Dinzley terpaksa berkenal-kenalan. Sweet kan takdir jodoh macam ni, tak payah pening2 nak mencari. Dah ada depan mata, tp yg payahnya pulak bila sebarang keputusan melibatkan ibu bapa masing2. Mestilah serba salahkan....

Jom baca review aku pasal novel ni....>>>>>>.

Mula2 baca, novelis bawa kita prolog yg mana seorang gadis yg dihambat kekecewaan mengubat duka di tepi pantai dan ingin menanam semua kenangan lalu di situ. Setiap tingkah lakunya dilihat jelas oleh seorang lelaki yg kemudian mengambil kenangan tu...Kemudian, kisah antara Annura dan Dr. Dinzley seorang doktor veteriner dipaparkan. Mereka berkenalan atas desakan ibu bapa masing2.

Mulanya Annura memang jengkel dgn sikap Dinzley yg sering mempermainkannya sehingga Annura geram setiap kali bertemu. Masing2 tidak mengatakan "tidak" apabila diasak oleh ibu bapa mrk ttg hubungan yg akan dijalinkan ini. Hubungan mereka bertambah baik sehinggalah Annura nekad meneruskan perhubungan mrk ke tahap yg lebih serius dn menerima kehadiran Dinzley dlm kehidupannya. Kehadiran Syirin, kekasih lama Dinzley yg menghilangkan diri menggugah kepercayaan Annura apabila Dinzley ingin menangguhkan perkahwinan mrk yg akan berlangsung tak lama saja lagi. Rupa-rupanya Syirin ada agenda sbb tak mahu kehilangan Dinzley. Annura tetap nekad menerima Dinzley sbg suaminya wlwpn hatinya terlalu duka utk menerima Dinzley sbg suami. Kesabaran Dinzley melayan dendam Annura benar2 mengujinya, kedinginan Annura ttp perlu dilayan krn inilah harga yg perlu dibayar akibat memungkiri janjinya dahulu...

Sedutan babak menarik dalam Kasih Benar Kasih m/s 239-240:

Dinzley : Nanti, kita nk pakai baju apa masa bersanding?
Annura : Lama lagi, kan?
Dinzley : 4 bulan awak kata lama?
Annura : Tak lama, eh? Kita pakai warna biru boleh?
Dinzley : Biru? Alahai...Saya tak suka birulah. Kita pakai warna hijau ajelah.
Annura : Saya tak suka hijaulah.
Dinzley : Saya tak suka biru.
Annura : Saya tak suka hijau! Macam katak pisanglah. Tak kira!
Dinzley : Ah... Saya tetap tak peduli!

Whoops>>>>> Sweet kan....

*** Terima kasih tak terhingga pada LinLoneLove atas coretan di atas. Kawan-kawan yang budiman, kamu, kamu & kamu boleh melawat LinLoneLove DI SINI sebab ada banyak kisah yang menarik.

- Encik Gastrik, ToLoNg PeRgI jAuH! -

Awal-awal pagi, tak tahu apa melanda terasa macam ada yang tak kena dengan perut. Rasa tak best sangat dan saya beranggapan mungkin Encik Gastrik mahu datang melawat saya agaknya! Maklumlah, dah lama sangat saya tak didatangi kawan yang sangat saya tak suka ni. Tapi saya tahan dan gagahkan diri terus melangkah ke pejabat. Tak mungkin saya nak cuti hanya sebab sakit yang kejap terasa macam menggigit segala organ dalam perut saya, kejap hilang macam angin lalu.

Satu ketika dulu, satu ketika yang belum begitu jauh saya tinggalkan, sakit perut sampai ada masa-masanya terasa nak pitam memang dah tak begitu asing bagi saya. Bukannya saya tak makan atau minum, mestilah saya makan dan minum sebab saya adalah manusia yang rasa-rasanya tak boleh dipisahkan dengan makanan. Sampai ada kawan-kawan kata, mereka rasa nak makan sama bila tengok cara saya makan. Katanya, nampak sedap! Tapi bila ditanya sedap atau tidak, saya akan kata sedap untuk makanan yang memang sedap dan saya akan kata bolehlah daripada tak ada makan untuk makanan yang saya rasa sedang-sedang dan lebih kejam daripada itu, saya akan kata tak sedap bila makan yang saya makan tak kena dengan selera saya. Selera pun macam rasa suka juga, sedap pada saya mungkin tak sedap pada orang lain, sedap pada orang lain, mungkin aje tak sedap bagi saya.

Tapi saya nak tekankan di sini yang saya memang suka makan tapi saya bukan manusia gelojoh tau, bukan manusia yang pantang tengok makanan mula terasa kecur air liur. Tolong jangan salah faham! Dan lagi, saya manusia bermusim, sama macam saya dalam dunia penulisan. Sebabnya, ada masa-masanya saya akan makan banyak, makan apa aje yang ada kat depan mata saya dan ada masa-masanya saya tak lalu makan. Saya makan cuit-cuit aje, sekadar untuk memastikan supaya Encik Gastrik tak datang membuat lawatan tak rasmi tanpa salam. Maklumlah, Encik Gastrik datang bukan untuk membawa khabar gembira, tapi dia datang sekadar mahu menjatuhkan hukuman atas kesalahan saya yang sengaja tak makan atau terlebih makan.

Encik Gastrik ni ada masa-masanya saya rasa sangat pelik. Tahu kenapa? Ada masa-masanya, perut saya kosong dia datang dengan riang rianya. Ada masa-masanya, perut saya sedang-sedang aje dia datang dengan senyuman manis dan ada masa-masanya, perut saya terlalu kenyang pun dia datang dengan ketawa besar. Belum lagi masuk bab saya makan makanan yang saya tahu akan buat perut saya rasa sebu dan dalam sekelip mata aje perut terasa macam belon yang tentu aje tak boleh buat tubuh saya terapung-apung ke udara dengan bebas.

Dan Ramadan ke-19, akhirnya Encik Gastrik datang juga mengunjungi saya. Kalau setakat menyapa lepas tu pergi, tak apa juga, saya terima sebab saya dah terlalu biasa. Hanya kali ni dia datang macam ribut taufan. Rasanya saya macam dah lama tak kena gastrik yang agak teruk. Mulanya memang saya boleh tahan. Saya bercakap, senyum dan ketawa macam biasa dengan harapan dia pergi. Tapi ternyata semua kesibukan tu gagal mengusir Encik Gastrik supaya tinggalkan saya. Bahkan makin lama, dia terasa makin melekat kuat sampai satu tahap saya cabut ke klinik sebab saya takut makin melarat dan masa tu tak boleh ditolong dengan hanya menyapu minyak pada perut.

Antara yakin dan tak yakin, saya melangkah juga ke klinik. Saya hanya berjalan kaki sebab jarak klinik dan DBP bukannya jauh sangat. Tapi rasa yang mencucuk-cucuk dalam perut semakin hebat dan saya terus juga bertahan dengan harapan saya tak pitam tengah-tengah jalan. Teruknya saya sebab tak minta bantuan kawan untuk temankan saya. Bukannya tak sudi, cuma tak mahu menyusahkan kawan-kawan selagi saya rasa saya mampu bertahan. Mujur saya sampai dengan selamatnya dan lebih mujur lagi bila tak ada sesiapa di klinik. Doktor periksa mana-mana yang patut dan doktor sahkan andaian saya. Memang betul, Encik Gastrik sah datang berkunjung! Ah... Encik Gastrik yang jahat kenapalah dalam bulan-bulan puasa masih juga nak kejam pada saya?

Selesai ambil ubat, saya kembali berjalan balik. Masa tu rasa bukan setakat mencucuk-cucuk aje dalam perut tapi dah terasa macam perut kena rodok dengan pisau. Dalam perjalanan tak jauh mana tu, yang terdetik di hati saya, “Tolonglah... tolong jangan pitam dan tolong jangan muntah kat sini! Tolonglah bertahan...” Mujur tak walaupun saya tergocoh-gocoh berlari pergi toilet bila rasa nak termuntah sangat. Alam masa tu rasa dah gelap-gelita. Aduhai jahatnya Encik Gastrik! Tapi tak termuntah pun sebenarnya. Balik semula di tempat duduk saya, saya dah tak boleh angkat kepala, hanya letakkan kepala atas meja. Anggota dalam badan terasa nak lerai satu demi satu. Kaki dan tangan terasa nak tercabut bergelimpangan. Mahu tak mahu, saya terpaksa telefon Fida, minta supaya Fida bawa saya balik sebab saya memang dah tak larat nak bawa kereta dan memang nasib menyebelahi saya bila Fida ternyata ada di Times Square.

Jarak DBP dan Times Square tak jauh mana, tapi bila rasa sakit yang amat sangat terasa, jarak yang dekat terasa jauh yang amat. Sekali lagi saya berharap supaya cepat-cepat Fida datang sebab saya memang tak tahan. Kalau tak fikir rasa malu, nak aje saya baring atas karpet dan berguling-guling macam bantal golek asalkan rasa sakit yang kejam tu pergi tinggalkan tubuh saya. Kalau kat kampung, kalau mak saya tengok keadaan saya masa tu tentu dia akan panik semacam sebab dia pernah nak dukung saya sedangkan masa tu saya dah tingkatan 3 ke 4 semata-mata sebab saya diserang Encik Gastrik dan tak boleh berjalan balik. Masa tu saya dan mak pergi ke satu majlis. Bayangkan masa tu berat saya berapa dan berat mak saya berapa? Tapi dek kasih seorang ibu, mak saya jadi lupa kalau saya bukan lagi anak kecil dia yang boleh digendong sesuka hati.

Fida sampai agak lambat sebab jalan sesak dan saya faham sebab ada banyak traffic light yang mengambil masa yang lama. Kesian dia sebab saya ganggu dia yang nak shopping, tapi saya memang dah tak ada pilihan lain lagi. Sebelum saya nangis atau betul-betul berguling-guling kat pejabat dan seterusnya memalukan diri saya bila saya naik kerja nanti, lebih baik saya balik. Bukan juga tak ada kawan yang offer diri nak hantar saya balik, tapi saya lebih selesa dengan Fida yang memang dah biasa dengan Rumah Pink. Fida belikan saya banyak roti dan air untuk saya makan dan minum sebelum makan ubat dan kemudian saya suruh dia tinggalkan saya di Rumah Pink sebab saya nak tidur dan berehat dengan janji saya akan call dia kalau ada apa-apa hal. Sebenarnya, saya rasa bersalah sebab ganggu dia dan akhirnya dia pergi juga dengan wajah risau sebab tengok muka saya yang pucat.

Menjelang petang, saya rasa dah semakin okey walaupun sebenarnya sangat tak mudah Encik Gastrik pergi lepas datang berkunjung. Dua atau tiga hari, rasa sakit tak akan hilang. Kalau hilang pun sakit sikit-sikit tentu akan terasa juga. Tapi biarlah, biar rasa sikit-sikit daripada rasa banyak-banyak. Tapi yang lebih saya harapkan, Encik Gastrik pergi dan saya kalau boleh nak cakap macam ni pada Encik Gastrik, “ENCIK GASTRIK, TOLONG PERGI JAUH!” Sebab saya dah tak mahu kawan dengan Encik Gastrik lagi, tidak hari ni, esok, lusa dan tidak juga untuk selama-lamanya.

- SaYa NaK aBaNg SaYa [4] -

“Kalau tayar kereta pancit, macam mana? Macam mana ya pula rasanya tayar kereta pancit ya? Dan lagi, apa yang aku nak buat kalau kereta betul-betul tayar kereta pancit?”

Selalu pertanyaan-pertanyaan macam tu berlegar-legar di kepala saya sepanjang saya mula pegang stereng kereta lepas empat tahun. Malah, pertanyaan yang sama boleh dikatakan selalu saya tanyakan bila melangkah aje kaki masuk kereta. Entah kenapa, saya rasa takut kalau ditakdirkan tayar kereta saya betul-betul pancit. Tak kiralah pancit sebelum berjalan, tengah jalan atau sebaik saja sampai ke destinasi. Dalam apa pun situasi, saya tetap takut kalau ditakdirkan tayar kereta saya pancit. Sebabnya, bila pancit saya tak tahu pada siapa saya nak berharap. Abang-abang saya tak ada, adik-adik saya pun tak ada. Kawan-kawan memang ada, tapi seboleh mungkin saya tak nak susahkan kawan-kawan sebab saya malu. Rasa-rasanya, macam dah kerap benar saya menyusahkan atau dalam erti kata lain, mengharapkan kawan-kawan yang tentu aje ada life sendiri.

Dan Ramadan ke-17, akhirnya yang saya takutkan berlaku juga. Tayar kereta saya betul-betul pancit! Itu pun saya memang tak tahu macam mana rasanya bila tayar kereta pancit sebabnya itulah pertama kali pengalaman tu saya rasa. Kalau tayar motor pancit saya memang dah tahu sebab dah biasa sangat. Adik saya pernah kata, naik aje motor dengan saya, tayar motor dia mesti pancit. Bukannya adik pertama saya, tapi adik bongsu saya juga. Malah, dengan abang-abang saya pun saya pernah rasa pengalaman tayar kereta pancit.

Pernah satu hari, motor adik saya pancit kat Highway Perling. Jauhnya kami berdua berjalan, TUHAN aje yang tahu. Rasanya macam kaki saya nak tercabut aje. Ada orang nak tolong tapi adik saya tak mahu sedangkan kalau ikutkan saya, terima ajelah. Tapi adik saya degil, dia nak tunggu juga adik dia yang bermaksud adik bongsu saya. Katanya, jangan mudah benar terima pertolongan orang. Bagi saya apa salahnya terima memandangkan saya dah penat, sedangkan bagi adik saya, kami perlu berhati-hati dalam apa pun keadaan. Betul! Apa yang dia cakap tu memang tak ada salahnya. Sudahnya, menjelang senja barulah adik bongsu saya datang. Bukannya dia datang sendiri, habis diangkutnya sepupu-sepupu saya sekali. Jadilah kami selonggok manusia di tepi jalan. Bila dah ramai, kerjanya asyik menyembang dan kerja menukar tiup motor jadi lambat berkali-kali ganda daripada biasa. Nak dijadikan cerita, tiba-tiba kereta polis berhenti depan kami dan mata dua orang anggota polis tu asyik tertumpu pada saya. Melihat banyak motor, mesti dia orang curiga, apalagi cuma saya sorang aje perempuan. Agaknya dalam kepala dua polis tu, adik-adik saya dan sepupu saya tu nak berlumba motor dan tentu aje saya makanan mereka. Oh... tidak, saya tak rela dianggap b_h_i_ okey!

Dan berbalik pada tayar kereta saya yang pancit. Memang saya terasa macam ada yang tak kena dengan kereta saya sepanjang jalan, tapi saya ingatkan kereta saya ada masalah pada enjin. Langsung tak terdetik di hati saya yang tayar kereta saya pancit. Saya hanya tahu pancit sebaik aje sampai pejabat bila tengok tayar belakang dah tak serupa tayar dah. Ya ALLAH... paniknya saya hanya DIA yang tahu. Dalam keadaan tayar kempis macam tu saya sampai ke pejabat, saya sungguh-sungguh tak dapat terima kenyataan. Tapi syukurlah sebab saya selamat sampai ke pejabat juga.

Kat Bahagian, saya relaks aje macam biasa. Tapi hanya pada muka sedangkan hati saya, memang gedebak-gedebuk memikirkan macam mana saya nak buat. Saya bisikkan kat Diana kata tayar kereta saya pancit, tak nak kawan-kawan yang lain dengar. Saya tahu Diana sama macam saya, tak tahu apa-apa fasal kereta, tapi saya perlukan seseorang untuk luahkan kebimbangan dan kegusaran saya. Tak dapat tolong pun tak apa asalkan saya dapat ringankan sikit beban perasaan saya. Masa pula makin berlalu, jadi saya tanya pada Kak Noni sebab dia pandai sikit fasal kereta dan masa tulah kawan-kawan yang lain tahu. Kak Noni pula jenis kaki menyakat dan dia menyakat saya sebab dia kata dia suka menyakat saya. Saya yang malu bercampur segan, merah mata sebab rasa sedih sangat. Air mata saya rasa macam nak gugur sebab saya rasa saya sorang-sorang aje dalam dunia ni.

Kalau ada abang saya, tentu dia akan berkejar tolong saya kalau tahu saya ada masalah. Tapi jarak JB dan KL, bukan macam jarak DBP ke Desa Petaling. Saya tak mungkin akan menyusahkan abang saya sampai ke tahap tu sebab saya bukan adik yang tak berhati perut. Tapi saya capai juga telefon dan call abang saya sebab saya nak tanya fasal tayar spare yang tak pernah saya ambil peduli. Malangnya, baru dia kata ‘hello’ aje, air mata saya titis juga. Tiba-tiba aje saya terasa yang SAYA NAK ABANG SAYA masa tu juga supaya rasa risau dan gusar saya cepat-cepat pergi, supaya saya tahu saya bukan sorang-sorang dalam dunia ni. Lepas abang saya cakap tayar spare tu okey walaupun mungkin kurang angin sebab lama tak pam, saya terus tak boleh cakap apa lagi sebab air mata saya dah banyak gugur. Saya dengar abang saya asyik cakap ‘hello’ tapi saya terus diam dan terus putuskan talian sebab saya bimbang kalau-kalau saya meraung kuat. Mana nak letak muka kalau jadi macam tu?

Lepas cuci muka dan mata yang dah merah macam biji saga, balik tempat duduk dan Kak Noni ajak saya turun tengok kereta. Kat lobi jumpa Along, kawan yang pernah satu Bahagian dengan saya dulu. Kak Noni ajak Along turun sama dan sudahnya Along yang tukarkan tayar. Tengok Along yang lelaki tu berpeluh-peluh, macam mana agaknya kalau saya yang kena tukar tayar spare tu? Aduhai! Akhirnya tayar berganti dengan pesanan, perkara pertama saya kena buat ialah isi angin dalam tayar spare sebab angin dah kurang. Dan, itulah yang saya buat sebaik saja balik. Bukan hanya tayar spare tu yang saya isi angin, semua sekali sebab saya dah pandai isi angin dalam tayar, macam dalam SAYA NAK ABANG SAYA [2] yang boleh dibaca [DI SINI] kalau ada yang sudi menjengah lembaran dulu-dulu kala. Lepas tu saya terus pergi bengkel dekat-dekat dengan rumah. Tayar kereta yang bocor ditampal sebab tayar tu baru aje abang saya tukar dan bunganya langsung tak terjejas. Takkanlah saya nak tukar yang baru kan? Buat rugi aje!

Buat Diana yang sudi jadi pendengar, Kak Noni yang sanggup membantu walaupun dia dah sakat saya sampai merah mata dan Along yang sudah keluarkan peluh untuk saya, terima kasih tak terhingga. Kalau saya tak dapat balas budi korang bertiga, harap ALLAH akan selalu tolong kalau korang ada masalah kelak.

- BoLeH sAyA sAyAnG aWaK? [PROLOG] -

Dalam cinta tak ada istilah ‘try and error’. Sekali terjebak, harus menelan istilah, ‘I love you’ sampai hujung nyawa.

“BERHENTI buat apa?” tanya Ilham dengan suara yang tidak begitu kuat. Terjegil matanya memandang Najid yang berhenti di pertengahan tangga. Kukuh dua tangannya memegang pinggang sendiri. Sekejap Najid pandang ke atas, sekejap kemudian Najid pandang pula wajahnya yang berdiri tegak di bawah. Najid nampak macam serba salah. Resah tidak menentu. Entah apa yang ada di benak Najid ketika ini, dia sungguh-sungguh tidak tahu.

“Tadi Najid kata okey, ni kenapa tak okey pulak?” rungut Ilham geram. Dia mengetap bibir kuat. “Macam lalang betullah dia ni,” sambung Ilham. Tetap juga memegang pinggang. Kalau Najid dapat dicapai, memang dicepuk kuat-kuat.

“Pak su...”

Najid tetap juga berdiri di atas tangga. Tangan kanannya memegang anak tangga. Tangan kiri pula kukuh memegang empat biji belon berwarna-warni. Bimbang kalau-kalau belon itu terbang bebas ke udara sebelum sempat diserahkan pada Najihah. Ikutkan hati dia memang mahu terus memanjat sampai ke puncak, tapi separuh lagi hatinya seperti tidak yakin. Bukannya dia gayat berada di tempat tinggi, jadi lelaki mesti berani. Tapi dia bimbang penerimaan Najihah. Takut makin dia mendekat, makin Najihah menjauh.

“Kalau Jiha mengamuk macam mana?” bisiknya perlahan. Tidak mahu kata-kata itu singgah di telinga Ilham yang seperti sudah mahu mengamuk di bawah.

“Teruskanlah panjat tangga tu Najid! Najid nak tunggu apa lagi kat tengah-tengah tu? Kepala pak su dah sakit ni asyik terdongak-dongak. Karang berkecai impian pak usu nak ke London kalau kepala pak usu senget. Cepatlah panjat Najid!” suruh Ilham dalam nada suara yang sama. Sakit pula hatinya bila Najid tetap juga kaku. Ikutkan hati dia mahu saja menjerit kuat biar Najid takut dan kembali meneruskan langkah yang terhenti, tapi dia tidak mahu kalau-kalau jeritannya sampai ke telinga Najihah. Bimbang lain yang dia dan Najid rancang, lain pula yang bakal terjadi. Silap-silap gaya, Najid bakal ke hospital kalau Najihah mendengar jeritannya. Dia tahu benar yang ketika ini hati Najihah benar-benar bengkak dengan tingkah dan kata-kata Najid.

“Kalau Jiha jawab tak boleh macam mana? Kat mana Najid nak letak muka nanti? Kalau dia tambah meradang macam mana?”

Ilham merengus. Kalau kaki Najid boleh dicapai, dia akan capai. Biar Najid jatuh menyembah rumput, biar tangga besi yang tidak seberat mana itu menghempap badan Najid yang dirasakan sangat menyebalkan. Tadi dilihat Najid seperti sudah berkobar-kobar dengan rancangan yang dibuat. Kononnya sanggup berbuat apa saja demi Najihah. Kini, baru separuh tangga besi yang susah payah diusung dari stor belakang rumah tadi dipanjat, Najid kelihatan seperti hendak mengalah. Kalau dia tidak ada di situ, pasti awal-awal lagi Najid sudah turun kembali agaknya.

Buat penat aku atur rancangan aje, rengus Ilham dalam hati.

“Belum cuba belum tahulah, Najid!”

“Kalau dia kata tak boleh macam mana? Pak su nak ke bertanggungjawab kalau Jiha kata tak boleh?” ulang Najid lagi. Ada risau dan gusar dalam nada suaranya.

“Najid cuba ajelah dulu. Pak su yakin yang Jiha tak akan kata tak boleh. Dia mesti kata boleh tu.”

“Kalau tak macam mana?”

“Najid!” Tinggi sedikit nada suara Ilham. Semakin geram dengan tingkah Najid yang tidak tetap pendirian.

Najid terus pandang wajah Ilham tanpa berkelip mata. Dia tidak takut kalau tiba-tiba Najihah muncul dari balkoni, kemudian dengan senyuman sinis menolak tangga yang sedang dipijak. Yang dia takut kalau-kalau kata ‘tak boleh’ muncul dari ulas bibir comel milik Najihah. Itu yang dia tidak ingin dengar. Baginya, biarlah dia jatuh tersembam di atas rumput daripada harus menerima penolakan Najihah. Bahkan kalau dengan cara menolaknya ke bawah Najihah akan berkata ‘boleh’, dia sanggup ditolak berkali-kali.

“Najid tak beranilah pak su...”

“Pengecut!” marah Ilham dengan wajah merah padam. Bersusah payah dia memikirkan jalan untuk Najid. Sekarang, setelah separuh usaha mereka hampir berjaya, boleh pula Najid kata tidak berani. “Najid lelaki kan?”

“Habis tu pak su ingat Najid perempuan ke?”

“Dah tu kenapa pulak tak berani? Kalau tau Najid tu lelaki, mana boleh muncul perkataan tak berani tu.”

Mata Najid membuntang. Sakit hati bila Ilham seperti sengaja mahu mengejeknya. Lain yang dia maksudkan, lain pula yang Ilham fikir. Bapa saudara Najihah itu memang suka bercakap dan berfikir yang bukan-bukan.

“Kalau Najid bukan lelaki, Jiha tu tak akan...”

“Baik Najid panjat tangga tu sekarang juga!” potong Ilham pantas. Tidak mahu mendengar Najid terus membebel sedangkan kaki tetap juga terpaku tidak bergerak di anak tangga seterusnya. Dia sudah memegang tangga besi berwarna silver di hadapannya itu dengan hati mendongkol marah. Kalau dia jahat memang ditolak tangga itu supaya Najid tahu langit itu tinggi atau rendah.

Najid sama aje macam Jiha, suka menyakitkan hati aku, suka buat aku marah. Tapi kalau ada apa-apa hal, aku juga yang dicari mereka berdua, desis hati kecil Ilham sakit hati.

“Kalau Najid tak nak terus panjat, pak su tarik tangga ni biar Najid jatuh tergolek ke bawah. Kalau Najid dah jatuh nanti, pak su pijak Najid sampai muntah air sebab Najid dah sakitkan hati pak su,” ugut Ilham dengan wajah serius.

“Hah?” Dahi Najid berkerut. Tidak percaya Ilham sanggup mengugutnya dengan ugutan kejam begitu.

“Najid cuba nak cabar pak su ya?”

“Mana ada!” bantah Najid pantas. Hatinya berdebar-debar dalam diam. Berkali-kali dia menelan liur tanpa pengetahuan Ilham yang tetap berwajah serius. Dia tahu kalau dia terus berdegil, Ilham akan mengotakan apa yang dikata kerana marah Ilham padanya masih belum reda walaupun Ilham bersedia membantunya.

Dia tidak mahu dipijak Ilham, tapi dia tidak juga mahu mendengar penolakan daripada Najihah sebentar saja lagi.

“Najid...”

“Ya... ya! Kejaplah, bagi peluang Najid tarik nafas dulu. Lepas dah okey nanti Najid terus panjatlah tangga ni.”

“Nafas apa lagi yang Najid nak tarik? Pak su suruh Najid panjat tangga tu, bukannya pak su suruh Najid terjun gaung ataupun lompat api.” Ilham tunduk, dia mencapai beberapa biji batu yang ada di bawah kakinya. Kalau Najid terus berdegil, dia akan membaling Najid dengan batu tersebut. Najid memang degil dan Najid tidak akan sedar kalau tidak disedarkan.

“Macamlah Najid nak kalau pak su suruh Najid terjun gaung ataupun lompat api!”

Semakin kuat Ilham menggenggam batu di dalam tangannya. Tidak percaya dalam keadaan darurat begitu pun, Najid masih sempat menjawab kata-katanya. Najid seperti sengaja mahu mencabar kesabarannya yang memang senipis kulit bawang. Sengaja menyuruh dia bertindak kasar.

“Najid cabar pak su ya?”

“Mana ada!”

Sebiji batu Ilham layangkan ke atas, tepat terkena belakang Najid yang sudah memandang ke atas.

“Apa pak su baling Najid dengan batu ni?”

“Padan muka Najid!”

Masam mencuka wajah Najid. Geram bila Ilham masih berwajah selamba walaupun selepas membaling dia dengan batu. Langsung tidak ada tanda-tanda bersalah pada wajah Ilham. Mujur juga tidak sakit, kalau sakit tentu pegangannya pada tangga terlepas dan kemudian dia bakal jatuh tersembam ke bawah. Kalau tersembam di atas badan sasa milik Ilham tidak mengapa juga, mungkin keadaannya selesa dan dapatlah dia membalas dendam pada Ilham. Tapi buatnya tersembam atas rumput walaupun tebal, mahu sakit juga pinggangnya nanti.

Kalau dipijak pula oleh Ilham sesudah dia jatuh, tidakkah nasibnya nanti lebih malang daripada Lebai Malang?

“Pak su kira sampai tiga! Kalau Najid tak panjat pak su baling lagi Najid dengan batu. Kali ni pak su akan pastikan batu ni kena atas kepala Najid. Biar Najid jatuh dan lepas tu pak su nak pijak Najid.”

“Pak su ni jahat betul!”

“Satu...” Ilham menunjukkan satu jari ke atas.

“Pak su kejam!”

“Jangan cakap banyak sangat Najid! Pak su tak suka dan tolong jangan buat pak su marahkan Najid lagi.

“Pak su memang teruk pun. Itu kenyataan yang pak su kena terima. Mana boleh asyik pak su aje yang nak menang kan? Pak su kena juga ambik kira pendapat orang lain sama tau. Barulah boleh hidup dengan adil,” bebel Najid terus seakan-akan lupa kalau mata Ilham yang sudah besar semakin besar kerana mendengar kata-katanya yang seperti tidak mahu berhenti.

“Dua...”

Satu batang lagi jari Ilham naikkan ke atas. Wajahnya tetap juga serius kerana dia tidak main-main dengan apa yang dia katakan tadi. Kalau Najid tetap berdegil, dia memang akan membaling Najid dengan batu yang ada di tangannya. Bukan sebiji-sebiji, tapi semua sekali akan dilayangkan ke tubuh Najid. Biar Najid sakit kerana Najid sudah pun menyakitkan hati banyak orang, bukan hanya Najihah semata-mata.

“Najid tak tahulah macam mana Jiha boleh tahan hidup dengan pak su selama ni. Kalau Najid jadi Jiha, dulu lagi Najid dah lari dari rumah. Patutlah Jiha selalu merungut kata pak su buli dia selama ni. Rupa-rupanya pak su memang layak pun kalau digelar kaki buli. Kalau kat sekolah, dah lama pak su kena buang sekolah. Kalau dekat jalan raya, dah lama pak su kena belasah sampai lembik. Kalau...”

“Ti...”

“Okey! Okey... Najid panjat sekarang juga,” potong Najid pantas. Tajam matanya menatap wajah Ilham yang sudah pun menjongketkan kening. “Tapi kalau Jiha kata ‘tak boleh’ macam mana?”

“Tiga!”

Pantas kaki Najid memijak satu anak tangga lagi. Dia tidak mahu dibaling dengan batu oleh Ilham kerana dia percaya Ilham tidak main-main dengan apa yang dikata. Melihat tampang Ilham saat ini pun dia tahu Ilham benar-benar sudah bersedia menarik tangga yang dipijak, kemudian memijak pula tubuhnya kalau dia terjatuh.

- ReZeKi RaMaDaN -

PEREMPUAN – Hai, nama saya Jehanna Aisya tapi kawan-kawan boleh panggil saya Jehan sebab dalam SEGALANYA UNTUKMU, saya digelar macam tu. Saya anak kepada Basir, adik kepada Haled Halmy dan kakak kepada Nina Aina. Dan yang lebih penting, saya isteri kepada Fahem Ammar. Saya seorang yang dingin, dingin pada abang saya dan dingin juga pada adik saya. Doktor kata saya trauma lepas kejadian umi saya ‘pergi’. Saya tak percayakan lelaki lepas apa yang berlaku pada umi saya, tapi bila Fahem datang... pandangan saya berubah. Fahem baik, sangat baik. Cumanya, Fahem dah buat saya rasa kecewa. Sangat kecewa sebab saya bukannya barang yang boleh dijual. Faham kata, “Macam sistem barter. Bagi duit dapat Jehan.” Saya tak boleh terima tu okey! Jadinya... saya mula memberontak. Salah saya ke bila rasa kecewa buat saya nak balas rasa sakit hati saya pada Fahem? Biar sama-sama sakit! Salah saya ke?

LELAKI – Hai juga, nama saya Fahem Ammar. Saya digelar Fahem dalam novel SEGALANYA UNTUKMU. Saya suami Jehanna Aisya. Mula-mula jumpa Jehan, saya tak suka dia. Saya rasa dia seorang yang sinis dan agak menjengkelkan. Bukan hanya pada saya tapi pada Haled Halmy, abang dia sendiri. Saya rasa dia tak pandai hormatkan orang lain, macam dia aje yang bagus. Tapi bila tengok dia selamatkan seorang budak lelaki daripada kemalangan, saya dapat rasa yang Jehan tu taklah sejahat yang saya sangka. Saya rasa dia jadi dingin macam tu tentu ada sebabnya. Dan entah kenapa, dalam saya tak sedar hati saya macam dah dicuri Jehan. Saya tak tahu nak dapatkan dia macam mana, jadi saya gunakan kuasa duit. Mana saya tahu kalau perbualan saya dengan Haled Halmy sampai ke telinga Jehan. Padahal... masa tu saya hanya bergurau dan Jehan yang tak tahu apa-apa, terus percaya. Jadinya... dia jatuhkan hukuman yang bagi Jehan ringan tapi bagi saya sangat berat. Saya cuba terangkan segala-galanya tapi Jehan tak pernah nak percaya. Dia langsung tak sedar kalau sikap dingin dia bagaikan hukuman maut untuk saya, sedangkan dia adalah nadi, nafas dan nyawa saya. Kalau tujuan dia nak buat saya rasa sakit, dia dah berjaya! Tapi saya nak tanya, salah ke kalau saya gunakan duit untuk memiliki Jehan sedangkan dalam hati saya memang ada cinta untuk dia?

Kawan-kawan... dua perenggan di atas bukannya sinopsis atau blurb untuk novel terbaru saya. Tidak dan tolong jangan terpedaya. Kalau masih ada yang terpedaya, bukan salah anak Pak Wahab ya. Itu hanyalah sesi perkenalan untuk watak utama dalam novel ke-4 saya iaitu SEGALANYA UNTUKMU. Novel SU tu terbit pada tahun 2008, bermakna tiga tahun lepas. Saya tahu ada yang dah dapatkan novel SU tu, terima kasih daun keladi, lain kali dapatkan novel saya yang lain sama. Yang masih belum dapatkan lagi, bolehlah dapatkan di kedai-kedai berhampiran dan saya akan menghargainya. Tak malukan penulis ni? Tak kisahlah! Saya tak paksa kan? Hanya... saya sangat mengalu-alukan dengan rasa gembira.

Kenapa saya nak cerita fasal SU ni? Kalau novel baru tak apa juga, ni novel yang dah lama. Bukanlah ada apa-apa sangat sebenarnya. Hanya... saya baru aje dapat naskhah SU yang menandakan kalau SU baru aje diulang cetak. Syukur.... saya sebenarnya tak jangka sebab SU dah agak berusia kan? Dah agak tua juga. Bila diulang cetak, tandanya masih dicari pembaca. Terima kasih ya kawan-kawan.

Dan SEGALANYA UNTUKMU, sebenarnya dalam banyak-banyak novel yang dah saya hasilkan, SU yang paling banyak tinggalkan kesan di hati saya. Bukannya novel lain tak tinggalkan kesan, ada dan selalu ada sebab semua novel yang saya hasilkan di mata dan hati saya, saya ulang ya, di mata dan hati saya, ada keistimewaan dan kisah tersendiri. Tapi entah kenapa, saya macam dapat merasakan kepedihan Jehanna Aisya yang hidupnya tak seindah orang lain lebih dibandingkan watak-watak lain. Saya juga bagaikan terasa kesedihan Fahem Ammar bila Jehanna Aisya hilang rasa percaya padanya. Kedua-dua watak itu memang sangat tinggalkan kesan di hati saya. Macam perasankan kedengarannya? Tapi biarlah, tak kisahlah! Itu hanya pendapat saya sebagai penulis dan pembaca mungkin ada pendapat yang lain. Apa pun, syukur pada ALLAH atas REZEKI RAMADAN yang diberi ni. Terima kasih tak terhingga pada yang sudah membeli, begitu juga yang bakal membeli... ;-)

- SaYa NaK aBaNg SaYa [ 3 ] -

Setiap kali bercerita tentang masalah kereta, yang ada di fikiran saya adalah SAYA NAK ABANG SAYA. Teruk kan saya? Saya macam tak pandai berdikari. Dulu saya nak abang saya sebab saya tak reti nak pasang road tax sendiri. Kalau rasa nak tahu macam mana cara saya pasang road tax buat pertama kali, bolehlah baca [DI SINI]. Lepas tu saya nak abang saya sekali lagi bila saya terasa ada orang pandang-pandang kereta saya sebab saya rasa tayar kereta saya pancit. Ceritanya pun boleh dibaca di [DI SINI].

Tapi minggu lepas, bila seorang kawan bertanya pada saya, saya pandai tak nak check minyak hitam, air bateri dan sewaktu dengannya. Kebetulan pula pagi tu masa saya test wiper kereta, tak ada air yang keluar dan saya beranggapan kalau air tu dah habis. Dalam benak saya, balik karang nak call abang saya dan tanya dia macam mana nak buat sebab saya memang tak pernah buat dan tak sedar langsung air tu memang dah habis terus. Katalah saya apa dan macam mana pun, saya memang tak pandai dan saya mengaku ketidakpandaian saya tu.

Bila kawan saya bertanya, adalah kawan-kawan saya yang lain bercerita tentang pengalaman-pengalaman yang pernah didengar. Ada kata, kereta berasap, ada yang kata kereta meletup dan sebagainya. Hati saya berdebar-debar sebab saya memang tak pandai semua tu. Yang saya tau, hanya start enjin kereta lepas tu bawa pergi pejabat, sampai masa balik semula ke rumah. Perjalanan saya dari pejabat ke rumah antara 15-20 minit aje, kalau jalan okey mungkin hanya 10-15 minit. Dan lagi yang saya tahu, macam mana nak isi minyak dan isi angin dalam tayar lepas berpeluh-peluh masa pertama kali buat beberapa bulan lepas. Lain daripada itu memang saya agak dungu. Bukan saya b_d_h, tapi... sebab saya tak pernah belajar dan tak tahu macam mana nak belajar dan terasa perlu ke saya belajar.

Ya... saya tahu saya memang driver paling teruk dalam dunia ni, tapi tolonglah jangan kutuk depan-depan saya sebab saya pun tahu malu dan ada rasa malu juga. Kalau nak kutuk, silalah kutuk kat belakang saya sebab setiap kutukan tu bagaikan hadiah tak ternilai untuk saya. Kan orang kutuk kita, kita dapat pahala kan? Tapi sila buat di belakang saya ya, kawan-kawan.

Lepas yang bertanya tak ada, saya pergi pada kawan saya, seorang perempuan sebab dengan kawan lelaki saya segan. Saya tanya pada dia sama ada dia free atau tidak, kalau free saya nak ajak dia turun kat basement. Saya kata lagi yang saya tiba-tiba jadi takut bila bercerita fasal kereta tadi. Sebenarnya saya mintak tolong dia tengok-tengokkan air bateri, minyak hitam dan semua sekali sebab dia kata dia pandai. Alang-alang saya memang tak pandai, saya mengaku ajelah yang saya memang tak tahu apa-apa. Kakak tu dengan senyum ikut saya walaupun saya tahu dia banyak kerja nak dibuat.

Sampai kat kereta, dia tanya saya itu dan ini, saya jawab saya tak tahu dan betul-betul tak tahu. Jadinya, kakak tu buat semuanya. Saya siap kata pada dia yang saya rasa air wiper dah habis. Dia tengok minyak hitam dan benda-benda lain. Bila tengok tangki air wiper, memang dah kering pun. Terhegeh-hegeh saya capai air yang memang ada dalam kereta untuk isi semula. Mujur kereta tu tak apa-apa dan semuanya nampak macam terkawal. Itu apa yang kakak tu bagi tahu saya.

Balik semula ke bahagian, saya dah boleh berlapang dada. Tapi bila hal kereta tu disebut-sebut sekali lagi, entah kenapa saya tiba-tiba jadi sedih, jadi malu sebab saya apa pun memang tak tahu apa-apa kalau berkaitan dengan kereta. Tiba-tiba saya kembali jadi adik cengeng yang nak nangis macam anak kecil. Dan nak kata, SAYA NAK ABANG SAYA supaya dia boleh buat semua untuk saya dan kalau dia ada, dia pasti akan buat untuk saya. Dia tak akan gelak-gelakkan saya dan buat saya malu dan segan dengan diri sendiri dan orang lain juga. Memang tak malu betul! Tapi taklah sampai air mata saya gugur ya, kawan-kawan. Saya terus juga senyum-senyum dan ketawa-ketawa perlahan sambil bawa rasa malu sama. Memanglah saya dah kenal kawan-kawan saya dah lama dan saya tahu mereka memang tak ada niat apa pun, niat dia orang baik. Saya pun bukannya kisah pun dengan apa yang dia orang cakap selalunya. Hanya saya yang terlebih emo minggu lepas tu.

Tapi sungguh, saya memang agak segan hari tu. Rasa macam b_d_hnya saya ni. Entahlah! Setiap kali mula memegang pemegang pintu kereta, yang terdetik di hati saya hanyalah saya tawakal dan serahkan segala-galanya pada ALLAH. Berharap dan berdoa agar perjalanan pergi dan balik saya dilindungi DIA yang lebih tahu dibandingkan manusia. Kalau bukan keadaan mendesak, mungkin sampai sekarang ni saya tak akan bawa kereta sebab saya memang tak cukup berani lepas apa yang terjadi. Di sini, saya tak ada sesiapa selain kawan-kawan, tapi saya juga bukan jenis suka menyusahkan kawan-kawan sebab saya segan. Persahabatan bukan tiket untuk saya meminta pertolongan sesuka hati sebab saya bimbang kelak terjadi sesuatu, budi yang ditabur menjadi sebutan. Bukan berprasangka tapi resam manusia memang begitu kan? Itu lumrah hidup yang sesiapa pun pasti tahu dan awal-awal lagi dah dapat tebak.

Memang tak begitu mudah ya hidup sendiri ni? Segala-galanya kena buat sendiri, segala-galanya kena fikir sendiri, kena berhati-hati selalu dan kena ada banyak rasa takut daripada berani, termasuk rasa takut pada hantu sampai tak ada rasa pun nak tengok cerita hantu, apalagi bagi orang yang tak berapa nak berani macam saya ni. Semua ni, semua rasa ni... saya percaya tak semua orang rasa, yang mengalami aje yang boleh tahu macam mana rasanya. Yang tak pernah rasa akan rasa mudah sebab mereka berkata-kata berdasarkan apa yang mereka lihat, bukan yang mereka rasa. Bercakap memang mudah sebab dasar lidah memang tak bertulang, tapi... bila sampai satu hari nanti mereka yang pandai bercakap tu terpaksa melalui apa yang tak pernah dirasa, barulah mereka akan rasa betapa tinggi langit tu tak seperti yang mereka fikir dan bayangkan. Hidup ni ibarat roda, kawan-kawan. Berada di atas bukan jaminan yang kita akan terus kekal begitu selagi hayat dikandung badan. Tidak! Siapa tahu, yang ada di tangan tiba-tiba satu hari nanti tak akan ada lagi di tangan dan yang tak ada tiba-tiba aje boleh ada di tangan. Kuasa ALLAH... siapa manusia nak mencabar?

- RaMaDaN kE-15 -

Hem... tak sedar yang dalam diam-diam dah 15 hari umat Islam di seluruh dunia berpuasa dan secara tak langsung sudah RAMADAN KE-15 rupa-rupanya. Entahkan masa yang cepat berlalu, entahkan kita semua yang leka dengan rutin seharian. Rutin yang kadang-kadang memang harus dan kena dilakukan dan kadang-kadang pula tak harus dilakukan tapi sengaja dilakukan sebab kita sendiri yang nak lakukan demi puaskan hati sendiri. Pendek kata, buat tak apa dan kalau tak buat pun tak apa-apa sebenarnya.

Dalam 15 hari puasa ni saya tertanya-tanya, semua orang dah buat persediaan untuk raya ke tak ya? Tapi bila difikir-fikirkan balik, orang dewasa biasanya memang tak berapa kisah sangat dengan persiapan raya, maksud saya macam kasut raya, beg tangan raya dan baju raya. Alahai... beg tangan raya pun ada ke? Tak ke lawak tu? Tapi okey apa kalau semuanya baru, barulah semangat nak raya. Tapi memang macam tulah, orang dewasa sebenarnya memang tak ada apa sangat bila raya menjelang, mereka lebih mementingkan soal persiapan rumah dibandingkan persiapan diri sendiri. Mungkin mereka lebih berfikir soal cat rumah, langsir rumah, kuih raya, tukar itu ini dan segala macam bagai asalkan ada kemampuan.

Bagi kanak-kanak pula, mereka tak perlu fikirkan soal rumah dan persiapan yang harus dilakukan, jauh sekali soal kuih yang tiap-tiap tahun asyik naik harga seiring dengan harga tepung, minyak dan bahan-bahan lain. Yalah... kalau bahan-bahan nak buat kuih pun naik harga, takkanlah harga kuih tak pernah berubah kan? Kalau tak pernah berubah, nampak sangat penjual kuih betul-betul nak buat sedekah amal jariah pada bulan mulia ni. Tapi soalnya, ada ke penjual macam tu? Tak ada sebab nak hidup perlukan duit juga kan? Saya percaya mereka bukannya terlalu berkira, tapi hendak atau tidak, harga kuih perlu juga dinaikkan, belum lagi ambil kira mereka uli dan bakar kuih lagi.

Okey berbalik pada soal kanak-kanak tadi, saya yakin setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Saya tidak ada anak, tapi saya ada ramai anak buah. Saya melihat, adik-adik, abang-abang dan kakak saya selalu mendahulukan anak-anak mereka sebelum diri mereka sendiri. Saya nampak mereka bawa balik baju dan kasut raya untuk anak-anak mereka dengan wajah lega, padahal dalam masa yang sama mereka masih belum beli apa-apa untuk diri sendiri. Kata mereka, yang penting anak-anak! Dan saya percaya bukan hanya adik-beradik saya yang macam tu, semua ibu bapa yang sayangkan anak-anak mereka juga macam tu.

Dulu-dulu... masa saya kecil, saya tak sebertuah anak-anak buah saya. Bukanlah hidup saya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Taklah sampai macam tu sekali! Tapi hidup sebagai anak nelayan, terpaksa bergantung pada rezeki yang tak menentu. Ada hari-harinya, dapat lebih daripada biasa, ada pula hari-hari yang pergi tangan kosong, balik pun tangan kosong juga. Macam kata abah saya, “Duit minyak pun tak lepas hari ni”. Untuk orang yang punya anak 6, kesukaran semakin bertambah dan bila raya menjelang, saya yakin tentu abah dan mak saya susah hati memikirkan persiapan anak-anak. Kata mak saya, “Mak tak ada apa-apa tak apa, asalkan anak-anak dapat baju raya baru”. Ya... setiap tahun, sekurang-kurangnya kami adik-beradik ada baju raya baru sepasang seorang, kalau lebih mungkin dua pasang. Tapi... ada beberapa tahun, baju raya saya [hanya saya] dibelikan nenek saya. Tak tahu atas sebab apa, tapi saya beranggapan mungkin nenek yang ketika tu bekerja di estet kelapa sawit nak bantu abah dan mak saya. Saya tak nak kata nak ringankan ‘beban abah’ sebab saya percaya bagi mak dan abah, kami adik-beradik bukan beban mereka tapi sebaliknya anugerah mereka.

Kini, syukur... kehidupan kami dah banyak berubah kalau nak dibandingkan dulu. Mak abah pun tak perlu lagi fikirkan tentang anak-anak mereka kerana kami semua dah besar dan tahu bagaimana nak mengatur hidup sendiri. Sebaliknya ketika ini, kamilah yang perlu memikirkan mereka. Dan saya... bolehlah berlega hati dan berlapang dada sebab keperluan mak dan abah saya, dah saya selesaikan. Semalam... mak saya kata dia dan abah saya dah beli baju raya. Baju Melayu abah pulak, saya yang pilih sebelum balik KL semalam. Persiapan rumah di kampung pun dah selesai, sedangkan rumah saya tak ada apa-apa persiapan pun. Tak payahlah! Bukannya saya beraya kat Rumah Pink pun. Sekarang ni, saya hanya nak tunggu kuih-kuih yang diorder sampai. Saya rasa tahun ni saya macam tak beli banyak kuih untuk bawa balik ke kampung, tapi bila kira-kira macam banyak pula. Entah apa-apa saya ni1 Itu pun... mak saya ada biskut wajib buat setiap tahun, makmur, tart dan mazola dia.

Aduhai... siapalah yang nak makan kuih-kuih tu semua? Sudahlah budaya ziarah-menziarahi sekarang ni dah makin ditinggalkan, bukan hanya di bandar tapi di kampung-kampung juga. Tapi... nak buat macam mana kan? Itukan harga kemodenan yang kita semua rasa hari ini, ;-)

- AkHiRnYa DaPaT jUgA! -

Hari ni saya dah kembali daripada kampung lepas tinggalkan Rumah Pink beberapa hari. Rindu tak saya pada rumah ni? Tentulah rindu sebab di rumah ni saya makan, tidur, membaca, tengok TV dan lebih daripada tu, saya menulis manuskrip baru. Pendek kata, di rumah ni ada ketenangan dan kedamaian yang mungkin tak ada di mana-mana. Tapi bagi sayalah!

Kat kampung dan di rumah abah saya, dah tak ada tenang dan damai sebab sekarang ni rumah kesayangan saya tu dah jadi macam taska. Tahu kenapa? Sebab cucu mak dan abah saya dah ada 8 orang, 4 lelaki dan 4 perempuan. Bila ada 8, bermakna ragam dan kerenah pun ada 8 juga. Kejap-kejap kakak menjerit sebab kena usik dengan abang saya, kejap-kejap Adik Nana mengaum macam harimau sebab kena sakat dengan kakak ipar dan adik-adik ipar saya. Tak lama lepas tu, Danish main bola sampai cermin tingkap pecah. Lepas tu Aqqif dan Naqib main lari-lari sambil menjerit macam kena kejar dengan hantu polong. Beberapa minit lepas tu, Arissa dan Darwish berebut barang sambil menangis dan bertolak-tolakan sesama sendiri. Akhir sekali, Umaira nangis sepanjang malam sebab siang dah puas tidur. Oh... walaupun baru berusia 15 hari, Umaira sudah pandai membuat perangai. Habis masa tidur mak saya dia curi dan benar kata orang ... seorang nenek akan sayangkan cucu lebih daripada 5 kali ganda.

Kedengaran macam meriahkan? Bukan kedengaran lagi, tapi memang sangat meriah sebenarnya. Jangan harap nak tenang dan damai dan jangan pernah bermimpi nak cari damai dan tenang kalau di rumah di kampung. Novel Juara Carta Cinta yang saya bawa balik pun tak sempat saya nak hadamkan. Cuma dapat selak sampai halaman 2. Tapi biar tak ada damai, biar tak ada tenang... saya sangat menikmati keriuhan yang ada. Mungkin keriuhan anak-anak buah saya yang buat saya selalu rasa tak sabar nak balik kampung. Mungkin juga jerit-pekik mereka dah jadi bayang-bayang buat saya. Kiranya, jauh mana pun saya pergi, rajuk macam mana pun saya, marah dan kecewa pun... tetap juga saya tak pernah tak rasa nak balik kampung. Lagipun... selagi mak dan abah saya ada, biarlah saya balik sekerap mungkin walaupun akhir-akhir ni macam dah tak berapa kerap sebenarnya. Tapi tak apalah, asal ada kesempatan saya tetap akan balik.

Tiga hari tiga malam di rumah yang dah membesarkan saya, taklah puas mana sebenarnya. Tapi biarlah ada peluang daripada tak ada langsung kan? Dan berbuka puasa di kampung, biar pun makanan yang mak saya masak biasa-biasa aje, tetap juga terasa istimewa. Mana tak istimewa bila masa makan, tiba-tiba air ditumpahkan anak buah saya, ada juga yang berjalan sampai nak masuk dalam lauk sebab sambil berjalan, sambil bawa pinggan. Ada juga yang riuh-rendah dalam buai mintak dikeluarkan sebab tak tahan tengok orang yang tengah makan. Ada juga yang memendam perasaan sebab tak boleh makan [merujuk pada kakak ipar saya yang masih dalam pantang].

Dan yang paling penting, AKHIRNYA DAPAT JUGA saya pergi Bazar Ramadan Gelang Patah. Pertama kali pergi sejak mula berpuasa sebab kat KL saya tak pernah pergi. Sebabnya, kat kawasan rumah saya tak ada bazar, kalau nak pergi juga saya kena pergi kat kawasan rumah sewa saya dulu. Tak jauh mana, tapi saya rasa malas dan sudahnya tak pernah pergi. Kalau pergi, saya yakin saya akan berbelanja lebih dan beli makanan lebih sedangkan saya tak makan sebanyak saya beli. Membazir! Jadi, baiklah saya tak payah pergi langsung.

Di Bazar Ramadan Gelang Patah pun saya tak beli apa sangat, cuma beli air tebu dan air durian belanda yang saya cuma dapat minum setengah gelas sebab anak-anak saudara saya berebut nak air tu. Sebagai orang dewasa yang dah banyak kali minum air tebu, bagi ajelah. Bulan-bulan puasa, saya tak larat nak bergaduh dengan budak-budak kecik yang bukannya tahu nak mengalah walaupun dengan orang tua bongkok tiga macam saya ni. Biar ajelah bulan-bulan tak puasa saya lawan dengan dia orang tu. Selebihnya, saya hanya nak tengok suasana bazar. Bukanlah tak pernah pergi sebelum ni, pernah dan selalu. Cuma... tahun ni tak pernah pergi dan mungkin lepas ni tak pergi lagi sebab saya dah balik KL, balik JB nanti pun bila dah nak dekat-dekat raya. Sekurang-kurangnya, tak adalah terkilan sangat bila tiba-tiba teringat atau teringin nak pergi Bazar Ramadan.

Macam budak-budakkan? Tapi biar macam budak-budak pun... yang penting, AKHIRNYA DAPAT JUGA saya pergi Bazar Ramadan biar pun saya pergi yang nun jauh dari KL. Tak kisahlah, Johor Bahru atau Kuala Lumpur, yang penting saya masih rakyat MALAYSIA dan mahu terus menjadi rakyat MALAYSIA sampai bila-bila sebab saya sangat sayangkan MALAYSIA yang TERCINTA ni.

Selain dapat pergi Bazar Ramadan, saya sempat pergi Jusco Bukit Indah. Beli baju Umaira yang sangat kecil dan masih merah tu sampai 5 ke 6 pasang, siap dengan sarung tangan dan sarung kaki sekali. Sempat juga mencuci mata dan sempat juga mencapai barang-barang sendiri. Dan yang paling bahagia, akhirnya dua daripada perkara yang nak saya buat saya dapat buat hari Jumaat tu, iaitu... beli kamera compact dan buat cermin mata baru. Oh... saya sudah berjaya memberi kawan pada kamera DSRL saya yang saya gelar sebagai Cik D yang baru berusia beberapa bulan aje tu. Kamera compact jenama Panasonic warna hitam dan Olympus warna merah, jangan ditanya ke mana pergi. Semuanya dah saya bagi adik-adik saya pakai. Tahniah Marwati @ Aleya... awak memang sangat pandai membazir dan tak boleh diragukan lagi.


Sabtu malam pulak, sekali lagi saya keluar. Kali ni destinasi yang saya tuju Angsana. Nak cuci mata lagi dan saya memang suka cuci mata tapi tak guna air, sebaliknya cuci mata guna duit. Kali ni saya capai baju, saya capai kasut dan bila balik saya mengeluh sendiri dengan ayat, "Hem... beli lagi!" Tapi... padanlah dengan muka saya! Jumaat dah beli kasut, Sabtu beli lagi. Apa nak jadi ni Marwati @ Aleya?

- BuKaN mEmUjA bUlAn @ TeRuS cInTaI aKu [BaB 12] -

CINCIN di tangan dipandang lama dengan hati yang lapang. Senyuman lega terpamer di wajah lelakinya. Akhirnya setelah lebih lima tahun menyulam cinta, kini dia dan Jaznita terikat juga. Meskipun baru ikatan pertunangan, bukan perkahwinan, dia tetap berpuas hati. Bertunang bererti sebelah kakinya sudah melangkah ke gerbang perkahwinan. Hanya menanti lafaz ijab dan kabul lagi enam bulan dari sekarang bagi membolehkan sebelah lagi kakinya melangkah.

Manis wajah Jaznita yang mengenakan kebaya berwarna merah muda awal petang tadi, sampai ke saat ini terbayang-bayang di ingatannya.

Kalau ditanya pada hati, dia sebenarnya sudah tidak sabar-sabar hendak menjadi suami Jaznita. Tempoh enam bulan itu dirasakan terlalu lama. Namun bila Jaznita beria-ia minta diberikan waktu, rela dalam paksa dia akhirnya akur juga. Bukannya dia gelojoh benar, tapi mereka berdua sudah terlalu lama menjadi pasangan kekasih. Lagipun, dia tahu tempoh bertunang adalah tempoh yang sukar bagi banyak pasangan kerana akan wujud banyak rintangan. Dia bimbang semakin lama masa diambil, semakin dia dan Jaznita akan berdepan dengan halangan yang besar-besar sehingga akhirnya, dia ke timur, Jaznita pula ke barat dan sudahnya mereka tidak mungkin bergelar suami isteri.

Tapi Jaznita, tetap juga Jaznita. Tunangnya itu memang keras kepala. Kalau hitam kata Jaznita, dia terpaksa juga mengikut. Jika tidak entah berapa lama masa yang diperlukan demi memujuk sekeping hati yang sangat mudah tergores itu.

“Khilfie...” sapa Raudah perlahan. Dia melabuhkan punggung di hadapan Khilfie yang tadinya dilihat leka dengan cincin di jari. Mungkin anak saudaranya itu teruja dengan pertunangan yang baru saja berlangsung.

Khilfie yang masih leka membelek cincin di jari berpaling. Segaris senyuman dihadiahkan pada ibu saudara yang selama ini sudah membesarkannya selepas orang tuanya meninggal dunia. Ibu saudara yang begitu banyak berjasa kepada anak tidak beribu dan berayah sepertinya.

“Mak usu,” balasnya ringkas. Senyum tetap tidak hilang di wajahnya.

Raudah membalas senyuman anak saudaranya itu. “Bahagia?” usik Raudah yang memang suka menyakat Khilfie.

“Tak lagi.”

Wajah Raudah berubah. Khilfie mungkin hanya anak kepada kakaknya, namun sudah lama dia menganggap anak itu seperti anaknya sendiri. Bahkan dia pernah menyuruh Khilfie memanggilnya mama seperti anak-anaknya yang lain, namun Khilfie tidak pernah mahu melakukannya. Alasan Khilfie, kekok mahu mengubah panggilan mak usu kepada mama. Sudahnya dibiarkan saja asalkan Khilfie tidak menganggapnya orang luar.

“Tak lagi? Apa maksud Khilfie dengan tak lagi tu?”

“Selagi Nita tak jadi isteri Khilfie, Khilfie tak boleh rasa betul-betul bahagia. Kalau dah jadi, barulah boleh mak usu,” ujar Khilfie tenang.

“Oh... mak usu ingat apalah tadi. Tapi kiranya dia dah terikatlah tu. Enam bulan aje lagi kan? Dah tak sabar ya?” usik Raudah pada Khilfie yang kelihatan tersipu-sipu segan.

Khilfie sengih, sedikit segan dengan pertanyaan mak usunya yang diketahui bertujuan mahu menyakatnya. Rapat macam mana pun dia dengan Raudah, ada masa-masanya dia tetap tidak boleh bersikap selamba di hadapan ibu saudaranya itu. Tidak seperti saat dia berhadapan dengan arwah ibunya. Ditegur dan dimarahi macam mana pun, dia tetap selamba.

Ya ALLAH... rindunya aku pada ibu!

“Bukan tak sabar tapi dalam masa enam bulan tu macam-macam boleh jadi. Manalah tahu Khilfie tiba-tiba berubah hati. Tak ke haru macam tu?”

Tangan kanan Khilfie, Raudah tepuk kuat. Bibirnya diketap perlahan dengan mata sedikit mencerun. Kalau boleh mulut Khilfie yang mahu ditepuk kerana terlalu celopar. Dia tidak suka Khilfie mengeluarkan kata-kata seperti itu kerana dia percaya setiap yang lahir dari bibir adalah doa. Manalah tahu ketika Khilfie berkata-kata tadi, pintu langit terbuka, tidakkah Khilfie juga yang menerima kesannya kelak? Bukannya dia tidak tahu betapa sayangnya Khilfie pada Jaznita.

“Ada ke cakap macam tu,” tegur Raudah tidak senang.

Meletus perlahan ketawa Khilfie. “Khilfie main-main ajelah mak usu. Janganlah serius sangat. Tak lawalah nanti,” usiknya pada Raudah yang masih menunjukkan rupa tidak puas hati.

“Kalau betul-betul jadi macam mana?”

“Kalau betul-betul jadi mak usu tetap bermenantu. Tapi mungkin dapat menantu lainlah,” usiknya terus. Suka melihat Raudah yang beria-ia.

“Kamu jangan Khilfie... mak usu sayang kat Nita tu. Khilfie jangan pandai-pandai nak gantikan tempat Nita dengan orang lain. Mak usu tak nak,” kata Raudah semakin tidak senang hati. Selama mana Khilfie kenal Jaznita, selama itulah dia kenal pada gadis itu kerana Khilfie tidak pernah tidak memberitahunya dengan siapa anak itu berkawan. Jaznita pun selalu datang ke rumahnya dulu jika ada masa terluang. Lantaran itu, dia sudah menganggap Jaznita seperti anaknya sendiri walaupun dia akui yang sikap gadis itu ada kalanya sangat keanak-anakan. Ada masa-masanya juga agak memeningkan kepala Khilfie.

Tapi Jaznita itu anak tunggal, hidup pun dalam kalangan keluarga kaya. Jadi, dia memahami kalau tingkah gadis itu agak berbeza dengan gadis-gadis lain. Dan yang lebih penting lagi, Khilfie sayangkan Jaznita. Itu sudah cukup untuk dia menerima Jaznita dalam keluarganya.

“Jodoh kat tangan ALLAH, mak usu. Sayang macam mana pun Khilfie pada Nita, kalau memang tidak berjodoh, nak kata apa kan?”

“Itu mak usu tahulah. Tapi kita boleh berdoakan? Berdoa supaya jodoh kamu tetap dengan Nita?”

Khilfie angguk dengan senyuman, mengiakan apa yang dikatakan Raudah kerana kata-kata itu memang tidak ada salahnya. Namun jauh di sudut hatinya, dia sendiri terasa aneh bila dia berkata-kata seperti itu. Padahal dia tahu dia sangat ingin hidup di sisi Jaznita. Tapi tidak juga dia mahu meluahkan keanehan yang dirasakan ke telinga Raudah. Bimbang mak usunya itu berfikir yang bukan-bukan. Biarlah persoalan itu hanya berlegar-legar di kepalanya saja.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
“Tak ada pula Zalis ikut tadi. Padahal mak usu dah ajak dia malam tadi,” kata Raudah sambil menghela nafas panjang. Lega segala-galanya sudah selesai untuk saat ini. Selepas ini dia harus memikirkan soal majlis perkahwinan Khilfie yang akan berlangsung enam bulan lagi. Hendaknya majlis itu nanti pun akan berlangsung tanpa ada halangan juga. “Abang-abang dia pun tak ada juga,” tambah Raudah sedikit terkilan.

Dia memang berharap keluarga Haizah ikut ke rumah Tuan Haji Iman, bapa saudara Jaznita yang juga menetap di Johor Bahru. Jaznita pun memang mahu majlis pertunangan itu diadakan di selatan tanah air kerana tidak mahu keluarga mereka berulang-alik ke Kuala Lumpur. Cukuplah hanya majlis perkahwinan nanti yang diadakan di rumah ayahnya di ibu kota.

“Bertunang aje mak usu, bukannya kahwin pun.” Khilfie tidak mahu Raudah terlalu memikirkan tentang itu.

“Mak usu tahulah bertunang aje, tapi kita ni bukannya ada ramai keluarga kat Johor Bahru ni. Yang ramai dekat Muar tu. Dia orang itulah keluarga kita sekarang ni. Pada mereka sekeluargalah kita berharap,” luah Raudah tetap terkilan. Memang lama dia sudah tidak berhubung dengan Haizah, tapi dia tidak pernah lupakan Haizah sekeluarga. Bukan juga tidak mahu menjenguk Haizah, Khilfie yang tidak pernah bersedia kembali ke rumah yang kini diduduki dia dan suaminya.

“Mak cik dan pak cik ikut kan tadi? Cukuplah tu,” pujuk Khilfie sambil mematah-matahkan jari sendiri.

Bukan hanya Raudah yang terkilan, dia lebih-lebih lagi. Hanya dia tidak mahu menunjukkan rasa terkilannya pada mak usunya itu. Tidak mahu perkara remeh kelak akan dibesar-besarkan. Tapi hatinya tetap tertanya-tanya juga mengapa Zalis dan abang-abang Zalis tidak ikut. Sedangkan Zulhan dan Zahfir beria-ia mahu ikut rombongannya ketika diajak sebelum kenduri malam tadi. Hampa hatinya bila yang muncul di muka pintu rumah hanya Haizah dan Fadzil.

Ada apa sebenarnya yang telah berlaku?

Atau, Zalis sebenarnya bukan hanya lebih pendiam, tetap sudah sombong dan berlagak juga?

Tapi... takkanlah Zalis seteruk itu?

“Yalah... mama dan papa Zalis ada. Bukannya tak ada langsung. Mak usu malu juga sebab dia orang tetap layan kita dengan baik walaupun berbelas-belas tahun kita tak jenguk muka. Datang ke Johor Bahru selalu, tapi kaki tak pernah tergerak nak datang ke rumah mereka. Segan mak usu, tapi... nak buat macam mana lagi, mereka aje yang dekat dengan kita.”

“Bukan salah mak usu. Khilfie yang tak pernah nak ke sini. Bimbang teringat kat arwah ibu dan ayah,” luah Khilfie lirih. Tidak mahu Raudah menyalahkan diri sendiri, sedangkan mereka sama-sama tahu yang dialah punca mengapa keluarga mereka terus terputus hubungan dengan keluarga Zalis. Kini bila Zalis terasa jauh, dia sewenang-wenangnya pula mahu menyalahkan gadis itu. Padahal selama ini tidak ada Zalis pun hidupnya tetap berjalan sempurna.

Huh... aku ni memang tak logik!

“Khilfie pun tak salah juga. Mak usu faham keadaan Khilfie. Tak ada sesiapa pun yang bersalah. Dah begitu takdir yang didatangkan, kita kena terima sebab dah tertulis pun dalam rukun Iman yang kita kena percaya pada qadak dan qadar. Kita tak boleh lawan kuasa ALLAH.”

Khilfie senyum. Bohonglah kalau dia kata dia sudah tidak ingat pada ibu dan ayahnya yang sudah lama pergi. Sampai ke hari ini dan detik ini pun dia tidak pernah lupakan mereka. Tapi semakin masa berlalu dia semakin dapat menerima kenyataan bahawa setiap yang hidup di atas muka bumi ini, akan sampai masanya pergi juga. Hanya masa ibu dan ayahnya pergi agak awal.

“Esok kita pergi rumah Zalis nak?” tanya Khilfie pada Raudah. Hatinya teringin berbual-bual dengan teman masa kecilnya itu. Terasa ada begitu banyak yang mahu diceritakan pada Zalis kerana dia bukannya hilang setahun dua, tapi sudah menjangkau hampir 20 tahun. Dia teringin juga tahu bagaimana hari-hari Zalis selama dia tidak ada di sisi gadis itu.

“Memang mak usu nak ajak kamu ke sana pun esok. Mama Zalis dah berkali-kali mengajak.”

Zalis... entah kenapa seraut wajah suram Zalis melintas mata Khilfie ketika ini. Tapi yang dia ingat, dalam muram begitu pun Zalis masih sangat cantik pada pandangan matanya.

*** SeCeBiS kIsAh DaLaM kIsAh BuKaN mEmUjA bUlAn @ TeRuS cInTaI aKu [MASIH BELUM PILIH TAJUK APA NAK DIBUBUH SEBAB BELUM MUNCUL DALAM MIMPI], SeLeBiHnYa BoLeH mEnJeNgAh Di SiNi.

- KeInGiNaN tAk KeSaMpAiAn -

Hari ni Ramadan Kelapan! Cepat betul masa berlalukan? Sedar tak sedar dah 8 hari umat Islam berpuasa. Syukur sebab kita diberikan kesempatan menjalani bulan ini sampai ke hari ini. Tak seperti moyang saya yang baru saja pergi pagi tadi. Kata mak saya, dia pergi semasa sedang berbual-bual dan ketika duduk. Mudah! Sangat mudah sama seperti nenek saya dua tahun lepas. Saya pun tak balik sebab cuti yang memang tak berapa nak ada. Hanya mendoakan yang terbaik untuk dia.

Sebenarnya, dia bukanlah moyang sebenar saya. Maksud saya bukan mak kepada nenek saya, tapi mak sedara nenek saya dan bagi saya dia tetap moyang saya. Apalagi, nenek saya dan mak sedara dia ni sangat rapat dibandingkan orang lain. Saya tak ingat bila kali terakhir saya tengok dia dekat-dekat. Mungkin hujung tahun lepas agaknya masa sepupu saya kahwin sebab lepas tu saya jarang keluar rumah bila balik kampung. Masa saya lebih banyak saya habiskan bersama keluarga saya.

Dia ada asma dan orang tua macam dia memang sekejap baik sekejap sakit. Lumrah hidup! Satu hari nanti, kalau panjang umur kita semua pun akan rasa keadaan yang sama. Tapi mengikut cerita mak dan nenek saya, sebenarnya dia tidaklah tua sangat. Umur hampir sebaya dengan nenek saya. Orang dulu-dulu kan? Bila mak mengandung, anak pun mengandung sama sebab masing-masing berkahwin pada usia yang sangat muda. Abang saya yang ketiga pun sebaya dengan ucu saya, bahkan sepupu saya pun sebaya dengan mereka berdua. Dapat saya bayangkan mesti kelakar bila anak buah dan mak sedara duduk satu kelas. Tapi yang ada dalam kepala saya, kalau abang dan sepupu saya dibuli, tentu ucu saya akan jadi penyelamat, macam tulah sebaliknya. Dan yang pasti, ucu saya pernah dukung saya dari sungai sampai ke rumah yang jaraknya agak jauh sebab kaki saya terkena sengat ikan masa kita orang mandi sungai. Larat pulak dia, padahal dia hanya 3 tahun aje tua daripada saya.

Dan saya... memang nakal teruk dulu. Saya tak melawan cakap nenek saya [tak tahu kenapa, mungkin sebab mulut dia kot], walaupun ada sesuatu yang terbuku di hati. Saya hanya merungut-rungut di belakang nenek saya. Tapi moyang saya ni... ada kata-katanya yang saya lawan dengan muka selamba badak, atau badak pun tak selamba macam saya. Mungkin mulutnya lebih bising daripada nenek saya agaknya. Bukan hanya saya, tapi Jaja dan Lin juga sebab dalam keluarga memang kami bertiga 'kacang hantu'. Bahkan kami pernah tak tegur dia sebab masa tu kami bertiga masih tak pandai guna otak dengan baik sangat. Bagi saya masa tu, bila orang tegur tandanya orang tak sayang, orang benci dan orang marah. Budak-budak lagi kan, semua yang dibuat terasa betul walaupun jelas-jelas salah.

Tapi makin lama masa berlaku, saya makin dewasa. Saya mula sedar, orang tegur, orang marah, itu... tandanya orang saya. Kalau orang tak sayang, orang hanya pandang, tengok, lihat dan dengar, kemudian orang buat macam tak ada apa-apa. Saya berubah bukan kerana teguran tapi saya berubah kerana dah sampai masa saya untuk saya berubah. Melangkah ke universiti, semua kenakalan saya, saya tinggalkan begitu saja. Sampai-sampai ada orang cakap pada saya, "Tak sangka jadi orang bila dan besar." Saya nakal, itu... saya akui tapi saya bukan jahat dan saya tak pernah buat jahat yang melewati batas. Nakal saya setakat di kampung dan kalau di kampung, apa sangatlah yang boleh dilakukan.

Hubungan saya dengan moyang saya pun pulih dengan sendirinya, bila masanya saya tak sedar tapi sedar-sedar kami dah boleh berbual-bual dan bergelak-ketawa macam saya dengan nenek saya juga. Dan yang paling kerap ditanya pada saya, “Bila kau nak kahwin?”. Macam biasa bila ditanya, saya tergelak-gelak sambil cakap, “Nantilah.” Dia kata lagi, “Tunggu nanti kau, aku dah mati agaknya. Aku teringin nak tengok kau kahwin.” Saya terus juga ketawa bila dengar ayat tu. Saya tahu mati itu pasti sebab tak ada manusia pun dalam dunia ni yang boleh tongkat dunia.

Dan akhirnya... semalam dia pergi juga bersama keinginan yang tak kesampaian. Tapi apakan daya, saya memang tak dapat nak penuhi keinginan dia sebab memang soal jodoh pertemuan dan ajal maut bukannya ada kat tangan manusia. Jadi sebagai cicit dia, yang mampu saya buat, mendoakan moga rohnya selalu ada dalam rahmat ALLAH. Untuk moyang saya dan nenek saya yang sangat saya rindui, lebih-lebih lagi di bulan mulia ni, AL-FATIHAH...

- ToLoNg JaNgAn MaKaN sAyA! -

Hari ni saya sudah ceria kembali, sudah tidak mempamerkan wajah apam basi hanya gara-gara saya DIPAKSA potong barisan semalam. Apa makna potong barisan dalam hidup saya, bolehlah dirujuk [DI SINI]. Kalau tak mahu klik situ, tengok N3 semalam pun dah boleh, bukan jauh sangat, hanya di bawah N3 ni aje. Alah... yang saya beri tajuk SAYA SURUH IKAT AJE!

Kenapa saya ceria hari ni, sebab saya dah tak rasa malu dan rasa bersalah lagi atas beberapa sebab. Pertama, sebab saya tahu saya tak salah, kalau orang tak tahu saya tak salah pun tak apa sebab saya tahu DIA tahu bukan niat saya macam tu. Kedua, saya dah meluahkan rasa malu saya dalam blog petang semalam. Itu buatkan separuh daripada yang terhempuk di pundak terasa ditarik ke luar. Ketiga, saya dah bercerita pada kawan saya, Diana dan Kak Zuri tentang apa yang berlaku. Dan keempat, sebab hal semalam sudah pun menjadi sejarah yang tetap meninggalkan kenangan dalam hidup saya.

Semalam, saya rasa saya dah tak nak lagi pergi ke kantin tu dengan alasan saya malu kalau-kalau terserempak dengan kawan-kawan yang sudah saya potong semalam. Tapi hari ni, saya pergi juga selepas menolak ke tepi rasa malu dan rasa bersalah saya yang menggebu-gebu. Bahkan hari ni saya pergi lebih cepat daripada semalam dan masih pergi dengan kawan-kawan yang biasa. Kebetulan lauk sampai cepat, bagus juga.

Tekad saya, saya tak mahu makan ikan bakar hari ni sebab dah dua hari berturut-turut saya makan ikan bakar [hari pertama ikan kembung, hari kedua ikan cencaru] dan kalau ikan tu boleh bercakap, pasti ayat yang keluar berbunyi begini; “TOLONG JANGAN MAKAN SAYA!” Ikan tu keluarkan ayat macam tu sebab dah jemu tengok saya yang asyik makan ikan bakar. Tapi mujur juga ikan tu tak berkata-kata dan kalau ikan tu tiba-tiba berkata-kata, saya rasa mulai hari ni semua orang DBP termasuk saya akan jadi orang yang rajin masak walaupun tak sempat sebab tak nak pergi kantin, kat kantin tu ada yang ‘menakutkan’.

Masa tengok lauk, saya nampak ada satu kakak yang biasa jual kuih dan saya sukakan setiap kuih yang dia bawa sebab sedap. Kebetulan sepanjang 4 hari puasa saya tak pernah beli kuih, saya pun beli dua jenis kuih. Bila saya tengok, macam banyak. Tapi lepas tu saya pujuk hati kata sebab esok dan lusa cuti, saya tiba-tiba terasa nak makan banyak-banyak. Gelojoh eh, Marwati Wahab @ Aleya Aneesa? Boleh tahanlah! Lagipun kalau banyak punya kena bawa balik juga sebab saya dah bayar. Kalau saya pulangkan, saya takut bila balik ke bahagian mata saya bertukar lebam sebab dapat buku lima, ;-)

Puas hati dengan kuih Jadi... saya pun ambillah lauk yang saya terasa nak makan masa berbuka nanti. Kemudian saya pun beratur. Kali ni saya pastikan kakak semalam tak ikat lauk-lauk saya, biarlah diikat kemudian aje. Saya memang tak nak memalukan diri sendiri buat kali kedua sebab saya jenis cepat serik. Mujur juga barisan tidak sepanjang semalam. Cepat aje giliran saya sampai. Tiba pada cashier, mata saya asyik pandang ikan bakar, tapi saya tak telan air liur ya sebab saya tahu saya puasa. Dengan muka resah, saya pun tanya; “Ikan apa tu?”. Cashier jawab; “Pari dengan ikan kembung.” Saya senyum dan kata lagi; “Bagi saya ikan pari!”. Dalam hati saya kata sabar ajelah aku ni, tadi berkobar-kobar tak nak makan ikan bakar. Sudahnya tunduk juga pada yang dinamakan si ikan pari. Maknanya, hari ni adalah hari ketiga saya makan ikan bakar secara berturut-turut.

Terukkan saya ni? Tapi nak buat macam mana, saya memang jenis akan makan makanan yang sama kalau hati dah suka. Contohnya, kalau hari ni pergi pasar malam, saya akan beli nasi kerabu. Minggu depan pun saya pasti beli nasi kerabu lagi. Minggu depan, minggu depan dan minggu depan lagi saya tetap juga akan beli makanan yang sama sampai saya rasa jemu.

Ikan bakar... saya memang penggemar tegar ikan bakar. Mungkin sebab saya anak nelayan, makan ikan memang jadi kegilaan saya. Bukan bila dah dibesarkan dengan ikan saya patut jemu makan ikan ke bila dah besar? Entah! Tapi saya memang tak jemu makan ikan, apalagi ikan bakar. Makanan kegemaran saya masa kecil dulu sebab bukannya susah nak masak ikan bakar. Mak saya pula, selalu tak tolak bila disuruh bakarkan ikan sebab mak saya mak yang sangat baik [kat mata saya ya]. Kalau ada orang kata mak saya tak baik, saya tak peduli sebab seorang ibu tak mungkin jahat pada anak-anak dan mak saya memang bukan orang jahat. Buktinya, dia sudah mendidik saya sehingga saya tak jadi orang yang juga jahat. Tapi nakal, tu memang adalah masa saya remaja dan kanak-kanak dulu. Tapi soalnya, ada ke remaja dan kanak-kanak yang tak nakal? Kalau ada... tahniah! Bagus betul tu.

Dan petang ni, insya-ALLAH saya akan berbuka puasa dengan makanan-makanan yang saya beli, tapi kena masak nasi dululah. Kalau pun ikan pari tu kata macam ni; “TOLONG JANGAN MAKAN SAYA!” pun, saya tetap akan makan juga sebab saya tak beli ikan tu dengan susah payah semata-mata sebab nak tengok aje. Lagipun saya tak bayar guna duit daun ya, jadi saya tentu aje boleh makan.

Kepada kawan-kawan yang sudi berkunjung, SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA. Moga kita selalu dalam lindungan DIA.

- SaYa SuRuH iKaT aJe! -

Hari ni saya tak rasa nak bercerita tentang Ramadan Ketiga saya kerana saya merasakan tak ada apa-apa yang menarik. Kecuali, ketika balik daripada kerja semalam, saya dihon bertalu-talu. Bukan sebab saya buat salah di jalan raya. Tidak dan saya pun tak berharap saya akan buat salah di jalan raya pada saat saya sendiri masih terkial-kial memandu kereta. Opsss... cara macam bila dah tak terkial-kial lagi, bolehlah buat salah kat jalan raya kan? Oh, tidak! Saya selalu mengingatkan diri bahawa di jalan raya bukan hanya ada kereta saya, ada juga kereta orang lain yang mahal dan cantik yang mampu buat saya pandang berkali-kali [gaya pandang kereta macam pandang lelaki good-looking aje kan?]. Bukan hanya saya yang bayar road tax, orang lain pun bayar. Hendaknya orang lain pun sentiasa berhati-hati di jalan raya kerana kadar kemalangan di jalan raya kat negara kita dah cukup tinggi. Harap sangat saya tak akan jadi penyumbang pada kadar itu.

Berbalik pada cerita saya dihon bertalu-talu tadi. Sebenarnya saya dihon sebab SAYA NAK IKUT PERATURAN JALAN RAYA. Masa belajar dulu yang saya tahulah, lampu hijau bermakna jalan, lampu kuning bersedia [tak kira berhenti, tak kira makin laju, hahahaha] dan lampu merah sudah semestinya berhenti. Nak dijadikan cerita, saya pun berhentilah kat traffic light tak jauh daripada rumah saya sebab lampu dah sah-sah tunjukkan warna merah. Saya mungkin rabun tapi saya bukan rabun warna. Kalau rabun warna, mesti awal-awal lagi saya tak dapat memiliki sekeping lesen yang dipanggil Lesen Memandu, walaupun hanya Lesen Memandu Kelas D yang membawa maksud, saya hanya boleh memandu kereta, bukan motor, lori, bas, traktor, kereta api, komuter, LRT, monorail, LRT PUTRA, jauh sekali treler dan jengkaut. Tapi basikal boleh ya.

Malangnya, HANYA SAYA aje yang nak ikut peraturan jalan raya sedangkan PEMANDU VAN di belakang saya tak mahu. Ada ke patut, saya dihon bertalu-talu macamlah saya dah buat salah besar, macamlah saya jalan masa lampu tunjukkan warna merah. Dan lampu isyarat kat tempat saya tu memang pelik, sangat pelik sebenarnya sebab kalau saya jalan pun memang tak ada kesan apa-apa, langsung tak ganggu laluan lain. Tapi saya tak faham kenapa lampu tu dibuat macam tu. Tak percaya, nanti boleh tengok sendiri. Sebab tak tahan dihon macam orang baru bawak kereta satu hari, saya pun jalan jugalah. Memang tak ada kaitan jalan tu dengan lampu merah. Betul! Lagipun, saya tengok pemandu van tu macam dah tak sabar-sabar, macam nak sondol kereta saya pun ada. Tapi saya buat andaian, dia dah tak sabar nak ke toilet. Cumanya, saya bukanlah baik sangat. Dalam pada puasa, terlepas juga perkataan yang tak sepatutnya kat mulut sebab saya rasa geram. Bukannya tak boleh sabar sikit pun!

Itu cerita semalam yang hangat. Dan hari ni, saya terasa macam nak LETAK MUKA SAYA DALAM KARUNG GUNI dan HANYUTKAN KE LAUT supaya saya BOLEH BERKAWAN DENGAN SI LUNCAI YANG TERJUN DENGAN LABU-LABUNYA. Pukul 10.00 lebih saya ke kantin dengan kawan-kawan sebab saya semakin malas masak dan saya dah buat keputusan untuk masak hujung minggu aje. Tapi nasi saya masaklah! Macam orang lain, saya pun capai plastik dan masukan lauk yang saya nak. Orang masa tu dah beratur panjang nak bayar. Selesai masukan dua jenis lauk, saya pun pergi kat kaunter. Tujuan saya nak suruh kakak tu, [bukan cashier] ikat lauk-lauk yang saya ambil tu sebab saya nak pergi beratur lepas tu dan itu jugalah yang saya cakap. Kakak tu ikat dan terus serahkan kat cashier dan saya jadi terkedu. SAYA CUMA SURUH IKAT PLASTIK TU, BUKAN NAK BAYAR sebab saya tahu juga peraturan. Kalau saya tak suka orang potong barisan, saya tahu orang lain pun tak suka juga tengok saya potong barisan. Tapi saya nak buat macam mana bila cashier dah mintak duit dekat saya. Itu pun saya buat lengah-lengah sebab muka saya dah terasa tebal berinci-inci, malu sangat.

Akhirnya saya keluarkan juga duit dan bayar bila cashier dah tanya berkali-kali pada saya yang sengaja melambat-lambatkan pergerakan, macam saya tak nak bayar. Perasaan saya, ALLAH aje yang tahu. Kalau saya tak kenal setiap wajah yang beratur tu, saya masih boleh terima sebab saya mungkin tak akan jumpa dia orang lagi. Tapi saya kenal dan pusing ikut mana pun, saya pasti akan jumpa lagi dengan dia orang. Dia orang pun bukannya tahu yang saya bukannya saja-saja nak potong barisan tu. Malunya! Sampai ke saat ni pun malu saya macam tak habis lagi, asyik-asyik berputar-putar dalam kepala saya perkara yang sama. Saya rasa bersalah! Emo kan saya? Ya... saya memang manusia yang mudah terasa dan mudah rasa bersalah. Esok lusa, saya tak pasti sama ada nak pergi ke kantin di tingkat 5 tu, atau duduk diam-diam aje kat meja sebab malu kalau bertembung dengan wajah-wajah yang beratur tadi, walaupun saya yakin saya akan jumpa juga dengan mereka bila balik nanti. Uwaaaa... :-(

Untuk mereka yang beratur tadi tu, MAAF SANGAT-SANGAT! SAYA CUMA SURUH IKAT, BUKANNYA NAK BAYAR TERUS. Tolong jangan marah saya, tolong jangan benci saya tau sebab saya tak sengaja!

- RaMaDaN kEdUa -

Wah... tahniah lagi! Saya dah melalui Ramadan kedua pun dengan jayanya. Horey... horey! Weh... mak cik, bulan puasa pun nak nyanyi juga ke? Alah relakslah... saya bukannya menyanyi sambil Goyang Inul. Saya cuma menyanyi dalam hati aje. Tapi... ada jugalah saya menyanyi-nyanyi kecil dengan tujuan untuk hiburkan hati sendiri, bukan hiburkan orang lain. Sebabnya, saya memang sangat suka nyanyi. Nyanyi yang bermaksud bukan di atas pentas sehingga mengundang banyak mata. Tidak! Bukan itu.

Saya hanya suka menyanyi sambil-sambil buat kerja dan saya paling suka nyanyi bila basuh pinggan. Tak tahu kenapa, tapi yang jelas dari dulu sampai sekarang bila saya pegang aje span basuh pinggan, mulut saya terus nak menyanyi. Orang kata kalau basuh pinggan sambil nyanyi nanti dapat laki [suami] tua. Tapi Kak Long saya kata; “Tak adalah! Akak kahwin dengan orang sebaya apa.” Kakak kat pejabat saya pula kata; “Taklah! Akak kahwin dengan orang yang lebih muda banyak tahun daripada akak.” Dan kata saya pula; “Boleh percaya ke? Sebabnya sampai sekarang saya masih tak kahwin-kahwin. Hahahaha...

Saya nak tinggalkanlah kisah nyanyi-menyanyi tu. Saya nak membebel kisah Ramadan Kedua saya yang bermaksud semalam. Semalam, saya sekali lagi makan kari daging [Saya memang teruk sikit, bila dah suka saya akan ulang makan benda yang sama sampai saya jemu]. Tapi saya tak beli nasi dan tak juga beli sayur macam Ramadan Pertama. Nasi dan sayur saya masak dengan gembiranya dalam keadaan yang tenang-tenang aje dan langsung tak tergesa-gesa macam orang yang tak cukup kaki tangan. Bukan susah pun masak nasi kan? Ceh... berlagak! Kalau tak ada rice cooker mahunya muka saya hijau biru kuning sambil disalut dengan warna pelangi. Maklumlah... masak-memasak bukan keahlian saya. Kalau saya ahli masak, dah tentu saya tak jadi ahli tulis novel. Saya tak hebat macam Kak Norzailina Nordin yang boleh jadi chef sekali gus novelis terkenal. Saya hanya Marwati Wahab @ Aleya Aneesa yang punya impian besar, walaupun kemampuan saya agak terbatas. Tapi... tak salahkan kalau saya punya impian yang besar sebab saya pun manusia yang tahu bermimpi, walau mimpi saya tak selalu jadi nyata.

Berbalik pada sayur tadi, saya pilih sayur kailan. Bukan bermakna saya nak masak sayur kailan ikan masin ya. Tidak. Cuma nak masak kailan tanpa ikan masin. Masak sayur... ya, saya sangat suka masak sayur sama macam saya suka makan sayur. Kalau tak ada sayur, saya rasa ada yang tak lengkap dengan makanan saya. Selain tu, saya juga suka ratah sayur, banyak pun saya boleh habiskan. Semalam, lepas sediakan bahan-bahan nak masak sayur, saya rehat-rehat dulu. Dah nak dekat waktu berbuka puasa, barulah saya balik semula ke dapur yang hanya sekangkang kera. Saya main campak-campak aje sebab saya masak sayur kailan goreng aje. Bukannya masak gulai kawah pun. Siap semua saya pun tutup api dapur dengan bangga, tapi saya tak angkat sayur tu. Sengaja tak hidang atas meja dengan makanan-makanan yang lain. Kenapa? Hahahaha...

Azan aje, saya pun minum air. Lepas tu balik semula ke dapur, capai sudu dan masukan sayur dalam mulut. Wow... masinnya! Pandainya anak Pak Wahab masak kan? Malas nak basa-basi, saya bubuh air sikit dalam sayur tu untuk meneutralkan rasa. Itulah sebabnya kenapa saya tak angkat sayur tu, sebab saya dah agak, kalau tak masin mesti tawar. Kiranya saya dah bersiap sedia awal-awal lagi. Pahit? Takkanlah kot. Terus terang kata, masak-memasak memang bukan keahlian saya dan saya memang tak begitu pandai, apa lagi nak mengagak sukatan garam dan gula [kalau yang memerlukan saya letak gulalah]. Jadi bila sayur saya masin, saya okey aje dan tak ada pulak rasa nak malu. Bulan puasa, jadi saya pun tak nak rasa sayur tu masa masak. Kalau bulan tak puasa, PASTI [ya ke pasti?] sayur kailan tu tak semasin semalam. Dah bubuh air sikit, sayur tu tak masin tau!

Tapi tu cerita semalam yang dah saya tinggalkan dan saya berbahagia sebab dapat menyudahkan puasa saya dan dapat makan kenyang-kenyang macam orang tak makan selama tiga hari tiga malam. Harap hari-hari seterusnya saya akan diberikan kesihatan yang baik, ;-)

- RaMaDaN pErTaMa -

Ramadan pertama berjaya saya lalui dengan jayanya. Yahoo! Huh... gaya macam budak-budak baru pertama kali berpuasakan saya ni? Tapi betullah, memang gembira dapat melalui Ramadan pertama dan harap dapat juga melalui Ramadan kedua, ketiga dan seterusnya tanpa ada apa-apa halangan. Bukannya hari-hari pun bulan Ramadan datang kan? Cuma sekali dalam setahun, apalah salahnya kalau menghargai.

Sebab semalam dalam peti ais rumah saya tak ada apa-apa, saya terpaksa juga ke Giant dengan rasa malas yang menggebu-gebu. Kalau tak pergi pun boleh sebenarnya, tapi kenalah rajin buat aktiviti beli-membeli. Tak payah pergi jauh-jauh sebab DBP pun ada jual lauk untuk dibungkus. Bungkus tau, bukannya makan kat kantin di tingkat 5. Jangan salah faham!

Agaknya disebabkan saya tak begitu rajin buat aktiviti beli-membeli, maka saya pun jejakkan kaki ke Giant tu. Saya capai apa yang patut aje sebab saya kejar masa. Itu pun banyak lagi yang saya terlupa [maklumlah dah senja]. Bimbang makin banyak masa diambik, makin saya tak cukup masa. Ditakdirkan sepanjang jalan balik tak ada makanan dijual, haru saya sebab kena masak. Tukang masak tak profesional memang bimbang kalau tak cukup masa, walaupun untuk memasak hidangan yang paling simple [tolak goreng telur atau masa maggi].

Mujur juga ada kedai makan dan saya pun beli kari daging, sayur nangka dan nasi [alang-alang dah beli kan, beli ajelah dengan nasi sekali]. Kiranya aktiviti saya hanya bersihkan udang, ayam, ikan dan sotong ajelah. Tapi... tengok masa masih ada, saya pun racik bawang, potong daun bawang, kopek kulit udang, cendawan butang, pecahkan telur, ambik mentega dan ambik sekali lada sulah. Tiba-tiba aje terasa nak buat omelet, dalam bahasa lainnya telur dadar. Saja bubuh omelet sebab bunyinya macam bagus aje banding telur dadar. Hahaha... hampeh!

Malam tu pula tengoklah CSI : Miami [S9]. Saya dah tahu Jesse Cardoza lakonan Eddie Cibrian tu akan mati siri 9 ni sebab dah pernah cuba-cuba tengok kat Internet, kawan baik saya Bikash pun ada bagi tahu juga. Tapi bila tengok betul-betul malam tadi, rasa sedih pulak. Macam tiba-tiba aje ada rasa kehilangan. Terukkan? Emo pun ya kan? Tapi memang itulah yang saya rasa. Masa Walter Simmons lakonan Omar Benson Miller tengok Si Jesse tu kat makmal [betul ke makmal?], saya dah rasa sebak. Tapi air mata saya keluar masa Si Walter main basketball sorang-sorang dan masa dia lempar bola. Yang buat saya lebih terharu bila semua kawan-kawan dia datang, main sama-sama dengan dia. Sungguh saya terharu yang amat!

Lepas tu Angah saya hantar gambar anak dia, anak buah saya yang baru dua hari menjengah indahnya bumi TUHAN. Wah... pipi dia merah dan bila saya kata pipi dia merah, Angah saya kata memang nak letak nama Humairah. Hem... nama yang bagus dan harap si kecil nanti juga akan bagus tak kira dalam apa pun keadaan kerana saya pasti mendoakan yang baik-baik untuk dia, sama seperti saya mendoakan yang baik-baik juga untuk anak-anak buah saya yang lain. Dan yang jelas.... jumlah duit raya yang harus saya berikan pada anak-anak buah saya, bertambah lagi. Hoho...;-)

- RaMaDaN dAtAnG lAgI! -

Syukur... tahun ni sekali lagi saya diberikan kesempatan menyambut manisnya kedatangan bulan mulia, bulan Ramadan yang tentu sekali penuh dengan berakah, walaupun tahun ni, selepas tiga tahun masa berlalu, saya kembali menyambut Ramadan pertama seorang diri. Tapi tak apalah, saya sudah terlalu dewasa dan sebentar lagi akan jadi bongkok tiga untuk rasa sedih sebab tak ada keluarga di sisi yang boleh diajak bersahur dan berbuka puasa dengan saya. Maknanya, mulai hari ni saya kena sahur sendiri [Kalau rajinlah sebab saya jarang bersahur beria-ia, biasanya saya hanya minum air dan tiga biji kurma. Anehnya... bila raya tetap terasa berat badan macam dipam-pam], berbuka sendiri dan lebih penting daripada itu masak [Kalau saya tak belilah] dan makan pun sendiri. Tak apa dan pasti tak akan apa-apa.

Kalau dulu baru-baru duduk KL saya akui yang mata saya bergenang dengan air bila kenangkan saya tak menjalani ibadah puasa di kampung. Yang ada hanya kawan-kawan di rumah sewa semata-mata yang boleh dijadikan kawan. Opsss... saya bukan anak manja dan tolong jangan tuduh saya anak manja. Hanya saya beranggapan, kalau kita ada keluarga, buat apa nak sahur dan berbuka sendiri kan? Ayat cover bengang ya? Taklah... ayat tu sungguh-sungguh datang dari hati.

Kalau tiga tahun berturut-turut saya dapat lihat gelagat anak-anak buah saya yang pelbagai. Ada yang mintak minum air aje sebab tekak dah tak ada air. Ada yang mintak dibawa berjalan-jalan. Ada yang berpura-pura macam ikan masin yang tersadai. Ada juga yang ugut supaya dibawa ronda jalan kampung kalau tak nak dia buka puasa. Macam-macam kan kerenah anak buah saya? Tapi kerenah yang macam-macam tulah yang buat saya rindu nak sambut puasa pertama dengan mereka. Sayangnya... apa kan daya! Tahun ni tak ada rezeki dah harap-harap tahun akan datang masih ada kesempatan.

Tahun ni juga, merupakan tahun kedua saya berpuasa di Rumah Pink kesayangan saya. Tak adalah hebat mana berpuasa di rumah Rumah Pink ni, hanya biasa-biasa aje. Bukanlah bermakna duduk di Rumah Pink saya tak perlu masak dan tahu-tahu dah ada hidangan tersedia atas meja kaca hitam + jernih untuk sahur dan berbuka. Tidak, tidak & tentu sekali tidak. Tapi kalau memang ada, rasanya pelik dan saya pasti akan mengandaikan yang bukan-bukan yang tentu sekali pada akhirnya, akan menakutkan diri saya sendiri. Jadi... walaupun kedengaran agak senang, saya tak mahu tiba-tiba ada makanan atas meja rumah saya. Saya tak harap pun!

Tahun ni juga, semalam petang saya mendapat lagi seorang anak buah perempuan yang saya masih tak tahu akan diberikan nama apa. Tapi yang jelas, Angah saya ketika menghubungi saya di telefon bimbit, kedengaran suara dia sangat teruja dan gembira. Ya... mana ada bapa yang tidak gembira bila mendapat cahaya mata kan? Bapa yang tak mengharapkan wujudnya cahaya mata dalam hidup atau bapa yang belum bersedia tak masuk dalam kategori yang saya maksudkan tadi ya.

Tahun ni juga adalah tahun kedua saya dan keluarga menyambut Ramadan dan tentu juga Hari Raya nanti tanpa kehadiran nenek tersayang. Ya... cepat benar masa berlalu, sedar-sedar dah masuk tahun kedua nenek kesayangan saya pergi. Saya kelihatan berat sebelah kan bila hanya menyebut nenek? Bila ada nenek, saya tentu ada nenek dua dan atuk pun dua. Tapi saya tak menyebut tentang mereka kerana saya tak begitu kenal dengan mereka. Atuk belah mak saya meninggal ketika saya belum dilahirkan. Atuk belah abah saya meninggal ketika saya berusia 3 tahun dan nenek sebelah abah saya pula pergi ketika saya berusia 8 tahun. Sungguh... memang tak banyak memori saya tentang nenek saya tu, jauh sekali kedua-dua atuk saya. Tapi sebagai seorang cucu, saya selalu berharap atuk-atuk dan nenek-nenek saya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Tahun ni juga, 1 Ramadan yang mulia, genap 5 tahun, dia yang pernah rapat dengan saya menemui PENCIPTA ABADI. Seiring dengan masa yang berlalu, saya tahu dia dah semakin jauh dari hati dan ingatan saya. Saya dah tak lagi sedih dan kecewa dengan apa yang jadi kerana saya percaya setiap yang berlaku, pasti ada hikmah. Awalnya memang sakit, tapi lama-kelamaan, sakit pasti sembuh juga kerana masa mampu menjadi penawar paling baik, apalagi bagi penyakit yang dialami hati.

Untuk atuk-atuk dan nenek-nenek saya, juga dia yang sudah pergi, saya hanya mampu menghadiahkan al-Fatihah. Untuk seluruh umat Islam di seluruh dunia, terutamanya yang menjengah blog saya tanpa paksaan, SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA sepanjang bulan Ramadan ni. Semoga ibadah kita akan diterima dan kita semua mendapat keberkatan daripada ALLAH.