- TeRuS cInTaI aKu... -

October 28, 2011

CINTA tak berbalas, rasanya sakit sangat. Tapi malu yang terasa saat semuanya terbongkar, lebih menyakitkan sampai aku pernah berharap yang aku akan terus tidur, tidur dan terus tertidur selama tiga hari tiga malam, kalaupun bukan untuk selama-lamanya. Sungguh... hati di dalam sudah tidak mampu mengenang sesuatu yang sudah terlepas daripada genggaman. Atau lebih tepat lagi, tidak pun pernah ada di genggaman selama ini. Ya... aku hanya memuja bulan!

Tapi... alangkah indah jika bulan yang dipuja itu benar-benar menjadi milikku, milik yang abadi.

Sayang sekali hakikat hidup, tidaklah seenteng itu. Jarak aku dan bulan yang terlalu jauh tidak memungkinkan tangan menggapai. Kenyataannya, bukan semua keinginan akan jadi nyata. Aku reda, aku terima apa yang berlaku walaupun dalam reda, ada pelbagai rasa bergolak dalam diri. Bukan sehari, bukan sebulan, bukan setahun, bukan juga sepuluh tahun! Tapi hampir menjangkau 20 tahun aku menunggu dia. Menunggu dia yang langsung tidak ingat padaku setelah dia pergi.

Bertemu dia kembali, memang impianku selama ini, semenjak dia pergi. Tapi bertemu dia dengan hati yang sudah dipenuhi dengan nama gadis lain, mimpiku tiba-tiba jadi gerhana. Hampa yang terasa seperti tidak mampu kutanggung lagi. Namun... aku terus ke depan. Pada dia, aku cuba berlagak tenang walau dalam tenang aku menjadi pelarian.

Gambar itu... sekeping gambar itu, tanpa sedar membongkar hati yang lama kusimpan. Lantas, aku pergi... tak mungkin terus menunggu keajaiban tiba. Tapi, jika memang sudah tertulis dia milikku, tidak ada siapa mampu menghalang. Dan semalam... secara rasminya, dia... dia yang bernama Khilfie itu menjadi suami kepada aku yang bernama Nurzalis Najwa.

Untuk dia... saya mahu awak berjanji, berjanjilah yang awak akan terus cintai saya sehingga denyut nadi awak yang terakhir.

- BuKaN yAnG dIiNgInKaN tApI yAnG dIpErLuKaN -

October 24, 2011

"Kuminta kepada ALLAH setangkai bunga segar tetapi diberi-Nya kaktus yang berduri. Kuminta kepada-Nya kupu-kupu tetapi diberi-Nya ulat yang berbulu. Namun kemudian kaktus itu berbunga, indah sekali. Dan ulat pula bertukar menjadi kupu-kupu, cantik sekali. Begitulah jalan ALLAH, sentiasa hadir pada masanya. ALLAH tidak memberi apa yang kita harapkan, tetapi DIA memberi apa yang kita perlukan. Terkadang kita sering resah dan kecewa tetapi di sebaliknya ALLAH telah mengatur yang terbaik untuk kehidupan kita..."

Tak tahu kata-kata indah itu datang dari mana dan daripada siapa, tapi sungguh... maknanya terlalu besar untuk kita yang bergelar MANUSIA. Terima kasih tak terhingga pada entah siapa yang tentunya punya jalan fikiran yang sangat cantik dan pasti sangat menghargai sesuatu yang telah diberikan padanya. Pasti juga selalu bersyukur dengan segala sesuatu yang diturunkan oleh DIA yang MAHA TAHU.

Memegang kata-kata indah tersebut, saya cuba untuk menerima apa saja yang didatangkan pada saya dengan berlapang dada dan berlega hati. Saya yakin kalau dalam perjalanan yang agak panjang ini, saya terasa saya ‘sakit’ dengan segala onak dan ranjau yang terpaksa saya tempuhi, saya yakin pasti ada yang lebih sakit daripada saya, bahkan mungkin kesakitan mereka berlipat-lipat kali ganda jika hendak dibandingkan dengan saya. Dan... jika saya diletakkan di tempat mereka, saya pasti awal-awal lagi sudah rebah menyembah bumi kerana saya sebenarnya tidak sekuat mana.

Dan saya tahu, ALLAH tidak akan menguji hamba-NYA melebihi kemampuan yang dimiliki kerana itu janji DIA pada yang bernama manusia. Buktinya, sebagai hamba yang selalu mengikut kata hati dan selalu juga berajakan nafsu dalam diri, sering kali saya rasa saya dah tak cukup kuat dengan ujian demi ujian yang didatangkan pada saya, dan ada masa-masanya saya seakan-akan mahu mengangkat kedua-dua tangan sambil berkata, “Saya menyerah sebab saya dah tak tahan lagi”. Tapi pada akhirnya saya mampu menghadapi segala-galanya, walaupun ketika dalam proses menghadapi apa yang berlaku, bibir seakan-akan tidak mampu lagi mengukir segaris senyum pun.

Ya... saya hanya manusia biasa yang didatangkan dengan pakej yang lengkap oleh DIA. Maksudnya, ada baik dan buruk, ada kurang dan lebih, sama macam orang lain juga. Kalau hari ini saya berkata yang saya cukup kuat, esok-esok tidak mustahil bibir yang berkata ‘cukup kuat’, akan berkata ‘tidak kuat lagi atau tidak cukup kuat’.

Kelihatannya saya seperti tidak tetap pendirian kan? Ya... saya akui ada ketikanya saya memang tidak tetap pendirian. Semakin banyak ujian didatangkan pada saya, semakin goyah pendirian yang saya pegang. Tapi mujur juga, dalam goyah itu... masih ada tangan-tangan yang sentiasa bersedia menarik saya daripada terus tersungkur mencium tanah, menyerahkan bahu mereka untuk saya bersandar untuk beberapa ketika, setidak-tidaknya sehingga saya mampu berdiri tegak seperti hari-hari yang sudah pun saya lalui selama hayat saya.

Saya tahu dan saya yakin kalau yang menghulurkan tangan dan bahu itu adalah mereka-mereka yang ikhlas dan tidak pernah berbelah bahagi menjadi tulang belakang saya. Sampai ke saat ini saya selalu berusaha untuk mengikhlaskan hati menerima mereka semua dalam hidup saya, meletakkan mereka di sudut hati saya yang paling dalam sebagai tanda kalau saya menghargai kehadiran mereka dalam hidup saya.

Saya yakin setiap orang menunjukkan keikhlasan mereka dengan cara yang berbeza. Ada yang membuktikan keikhlasan dengan kata-kata, ada juga yang lebih senang dengan perbuatan semata-mata kerana bibir terlalu berat hendak menjadi penghubung pada dua jiwa. Tapi saya tak kisah dan tak mahu peduli, cukup jika orang baik dengan saya dan saya seboleh mungkin mahu membalas keikhlasan mereka walaupun tidak pada semua keadaan dan masa.

Benar, saya tahu keikhlasan itu terlalu sukar untuk diselami. Bahkan ada yang berkata kalau mencari keikhlasan sama seperti mencari seekor semut hitam di malam hari. Agak mustahil! Tapi biarlah... walau sesukar mana pun, walau tidak semudah menaiki tangga menuju ke tingkat 2, saya tetap mahu berterima kasih pada yang selalu ada di sisi saya selama ini. Keikhlasan memang tidak dapat disukat ditimbang dengan neraca, tapi cukuplah kalau hati di dalam merasakan wujudnya ikhlas dalam diri. Kecil atau besar skalanya, tidak apa-apa kerana kuncinya adalah IKHLAS.

Dan saya tahu, tanpa mereka-mereka, sebenarnya saya sendiri tidak pasti sama ada saya mampu terus bertahan sampai ke tahap ini atau tidak. Walau jatuh dan bangun bagaikan ‘makanan’ bagi saya, saya tetap bersyukur. Walau ada kalanya saya rasa terkilan kerana selalu tidak mendapatkan apa yang saya inginkan, saya tetap mahu bersyukur kerana sesungguhnya ALLAH memberi BUKAN YANG DIINGINKAN TAPI YANG DIPERLUKAN. Hanya sebagai manusia biasa, kita sering terlupa akan hakikat itu, kalau pun kita ingat sering kali juga kita buat-buat lupa kerana sememangnya, inilah fitrah manusia biasa seperti kita semua, ;-)

- JaNgAn TaK bElI tAu KaWaN-kAwAn! -

October 20, 2011


Mini Karnival Karangkraf nampaknya datang lagi. Kali ini diadakan di tanah kelahiran saya yang sangat-sangat saya sayang. Sebabnya, di sana... bukan hanya saya yang dilahirnya, tapi mak abah, adik-beradik, ipar-ipar dan semua anak buah saya dilahirkan tanah yang sama. Wah... kelihatannya, kami anak-beranak memang orang Johor sejati ya? Tapi sebenarnya, dilahirkan di mana-mana negeri pun sama aje, asalkan masih di bawah payung yang sama, iaitu MALAYSIA. Macam patriotik ya saya ni? Hem... taklah sampai macam tu sekali rasanya! Tapi kalau ditanya, saya akan katakan yang saya SANGAT CINTAKAN MALAYSIA dan JOHOR, lebih-lebih lagi JOHOR BAHRU.

Bertempat di Plaza Angsana, Mini Karnival Karangkraf ini akan berlangsung selama 3 hari [28-30 Oktober 2011]. Kalau dilihat pada jadual penulis di bawah ni, agak ramai penulis yang hadir dan saya, salah seorang daripada mereka walaupun saya hanya bertugas 1 hari [29 Oktober 2011] bermula pukul 12.00 tengah hari sampai pukul 5.00 petang.

Sebenarnya ditawarkan bertugas di tempat sendiri, bagaikan bulan jatuh ke riba untuk saya, walaupun ketika dihubungi tak adalah saya sampai nak melompat macam ‘lompat si kata lompat, lompatlah tinggi-tinggi, cepatlah adik cepat, cepatlah bangun pagi-pagi’. Kalau salah lagu tu, tolong jangan disaman saya sebab saya sekarang ni dah membesar bagai johan, makanya tak perlah lagi nyanyi lagu rakyat tu.

Kali terakhir saya bertugas di sana mungkin tahun 2007 atau 2008, saya sendiri dah tak berapa ingat. Tapi memang dah bertahun-tahun jugalah. Hendaknya nanti, ramailah yang akan datang. Beli buku dan majalah terbitan Karangkraf, dan jangan lupa juga beli novel-novel saya dengan ALAF 21 dan novelet Siri MERAH CINTA KITA yang saya dan kawan-kawan tulis dengan BUKU PRIMA. JANGAN TAK BELI TAU KAWAN-KAWAN!

Kepada yang mahu berjumpa saya dan kawan-kawan nanti, silalah datang ke Mini Karnival Karangkraf kat Plaza Angsana tu. Peluang macam ni tak datang selalu, setahun sekali pun belum tentu. Kalau pun tak mahu jumpa penulis, rebutlah diskaun yang ditawarkan sebab bukannya selalu ada. Jadi... kepada yang dah pasang niat nak ke sana, harap dapat bertemu dengan kalian, ;-)


- AdA tArIkH lUpUt Ya [Siri MERAH CINTA KITA] -

October 17, 2011

Kecoh, cathcy, paparan kehidupan remaja masa kini! Tetap berpegang kepada tatasusila adab ketimuran. Tiada unsur jenayah atau keganasan, tetapi pembaca tetap enjoy!

Setiap buku ada 5 cerita pendek, ditulis oleh 5 penulis. Kisah berkisar kehidupan remaja. Ada unsur kekeluargaan, kasih sayang, konflik di sekolah, konflik bersama rakan sebaya.

Buku dicetak berwarna-warni, dihiasi ilustrasi anime & manga style! JANGAN TANGGUH LAGI! CEPAT!



Hadiah-hadiah kat sebelah ni, nampak macam menarik kan? Mesti mampu buat kita rasa teruja kan? Yang dah ada tentulah tak rasa teruja, saya maksudkan pada yang masih belum miliki. Kalau tanya saya, tentu cepat-cepat saya jawab yang saya pun nak juga alat-alat komunikasi yang canggih tu. Maklumlah... saya ni tak berapa canggih orangnya. Nak beli selalu fikir dua tiga kali sebab harganya bukannya semurah membeli sehelai t-shirt di SOGO. Kalau nak kata saya kedekut pun, okey aje dan tentu aje tak ada masalah.

Jadinya... pada adik-adik atau mak ayah adik-adik yang terasa nak dapatkan hadiah-hadiah lumayan tersebut, bolehlah beli SIRI MERAH CINTA KITA tu secepat mungkin. Sebabnya, peraduan yang ditetapkan ada TARIKH LUPUT, bukannya bertahan untuk SEUMUR HIDUP. Pada yang bakal dapat hadiah-hadiah tersebut, saya ucapkan tahniah. Pada yang tak dapat, terima kasih sebab sudi beli buku-buku comel tersebut. Kalaupun tak dapat hadiah, saya percaya ada nilai dan pengajaran yang mampu kita jadi iktibar dalam hidup, tak kira pada adik-adik yang manis atau mak adik-adik yang cantik & ayah adik-adik yang kacak bergaya, ;-)

- MaNa JaNjI mAnIsMu? -

October 14, 2011

Sejak-sejak saya dah pandai berangan konon-kononnya nak memiliki barang mahal yang saya gelar sebagai CIK P, saya macam dah pandai berjimat cermat walaupun sikit-sikit. Kan orang kata, sikit-sikit lama-lama jadi bukit? Sebab saya bukannya dilahirkan atas dulang emas, maka saya harus berusaha sendiri. Kalau tak, angan-angan nampaknya memang akan tinggal angan-angan semata-mata. Tapi bolehkah saya digelar sedang berusaha sedangkan di kiri, kanan, depan dan belakang, tak ada langsung tabung cap ayam yang saya sediakan. Itukah yang saya gelarkan sedang mengumpul, duit, duit & duit?

Tapi, siapa kata kumpul duit kena masukkan dalam tabung kan? Tak semestinya! Mungkin saya sorokkan bawah bantal kat rumah abah saya, atas siling pejabat saya, kanan toilet rumah mak cik saya, atau kiri sofa rumah pak cik saya. Banyak lagi kan tempat lain nak simpan duit? Ataupun... bank milik orang lain tu? Jadinya, saya tak boleh sedih walaupun tak ada tabung cap arnab kat sekitar saya. Kan? ;-)

Dan sejak ada angan-angan itu, saya dah jarang beli beg tangan, kasut, baju, tudung dan semua keperluan yang lain. Sebelum tu tak adalah kerap sangat, cuma lepas pandai berangan-angan, tahap kekerapan tu jadi makin mengecil, kecil, kecil dan kecil. Saya hanya gunakan apa yang ada sebab semuanya masih elok. Lagipun, saya ni jenis bila sukakan yang satu tu, saya akan gunakan yang satu tu melebihi saya gunakan yang lain. Anehnya, kalau dah suka yang satu tu, kenapa beli yang dua, yang tiga, yang empat dan yang seterusnya kan? Tulah... saya pun pelik sebenarnya. Tapi nak buat macam mana, saya kan juga manusia biasa yang sukakan sesuatu yang saya rasa cantik. Bila mata dan hati dah kata cantik, maka tangan pun cepat saja menyambar dan bila dah sampai rumah barulah hati yang bergabung dengan akal berkata, “Kenapa beli ya? Bukannya cantik sangat pun!” Jadi saya andaikan, masa tengok barang tu saya ada dalam keadaan lapar sebab kawan saya kata, “Bila kita lapar, nafsu kita untuk berbelanja sangat besar.” Betul atau tidak kata kawan saya tu, saya tak ada jawapan. Mungkin dia buat analisis terhadap diri sendiri agaknya dan dia dapat hipotesis tu.

Cumanya, hari ni saya dah langgar dasar berjimat cermat yang saya sendiri lancarkan tanpa ada paksaan daripada sesiapa. MANA JANJI MANISMU Mar @ Aleya? Sebabnya saya dah berbelanja lebih daripada sepatutnya. Aduhai... tiba-tiba aje terasa macam nak membelasah diri sendiri. Dan kalau betul nak belasah diri sendiri, tak tahu nak bermula dengan anggota mana. Mungkin cubit kuku ajelah kot dulu. Kalau masih tak mahu melupakan dasar tu, mungkin boleh dipotong hujung rambut. Kalau tetap sama juga, hem... nantilah saya fikirkan apa yang patut saya buat.

Tapi dalam pada nak membelasah diri sendiri saya rasa puas walaupun saya terpaksa membuat kira-kira lepas tu, apalagi sekarang ni baru nak masuk pertengahan bulan. Dan hasilnya seperti di bawah;

1 – Novel 5 buah [RM 115.9], tapi sebab dapat diskaun 20%, jadilah [RM92.72]. Yang ni... dah kira murah kan?

2 – Bedak muka [RM165.00], pakai untuk masa setahun dan bila dibahagikan dengan 12 bulan, baru [RM13.75]. Yang ni... kira berjimat cermat juga kan?

3 – Kasut [RM99.00], sebenarnya saya bukanlah nak beli sangat kasut tu sebab kasut raya ada dua pasang yang masih belum pakai dan tinggal kat kampung, tapi... budak tu kata kasut baru sampai dan mata saya agaknya memang dah terpukau, maka saya ambil juga sambil tutup mata. Yang ni... saya mengaku memang salah sayalah!

4 – Air berjenama Auntie Anne’s [RM5.50]. Huh... kalau beli kat kafe kat DBP, boleh dapat dengan nasi dan lauk sekali. Yang ni... salah saya juga sebab memang tekak saya agak mengada-ngada siki hari ni.

5 – Tiket bas pergi dan balik kampung untuk Hari Raya Aidiladha [RM62.20]. Yang ni memang nak ke tak nak kena beli juga. Yang ni... kalaupun terpaksa mengemis simpati orang pun, saya kena buat. Kalau tidak, kalau bukan mak saya yang menangis, mungkin saya yang nangis sambil gigit jari.

6 – Tambang [RM10.8]. Yang ni pulak memanglah salah saya sebab saya ada kereta dan boleh bawa kereta tapi masih nak menumpang kereta orang yang berwarna merah tu yang orang panggil ‘teksi’. Yang ni juga... tak tahu nak komen apalah.

Dan kesimpulannya, dalam masa tak sampai sejam saya dah habiskan RM434.7. Tapi masa jari-jemari ni menaip huruf demi huruf, saya masih senyum dengan senang hati. Sebabnya, saya sebenarnya masih belum begitu tekad. Tapi tak apalah! Disebabkan CIK P bukannya sesuatu yang mudah untuk orang macam saya miliki, maka saya hanya menyerahkan segala-galanya pada DIA. Kalau memang dah tersurat saya dan CIK P berjodoh, adalah jodoh kami. Kalau tak, maknanya pasti tersirat hikmah yang lebih baik. Saya juga, sebenarnya tidaklah terlalu berharap, apalagi bila yang dah saya miliki sebenarnya masih elok. Syukurlah kan? Kata orang, ‘Baiklah ada daripada tak ada’. Betul tak kawan-kawan yang baik hati?

-MuJuR tAk ToLaK @ tArIk DiRi -

October 8, 2011

Ketika dapat panggilan daripada editor Alaf 21, saya terpinga-pinga juga. Tak tahu, sama ada perlu rebut peluang yang diberikan atau pun tidak. Maklumlah, selama ni saya lebih cenderung tulis kisah dewasa walaupun saya akui, sebelum ni bukannya tak pernah tulis kisah kanak-kanak @ remajal. Novel ATIRAH dan CUBIT KANAN CUBIT KIRI adalah bukti kalau saya pernah masuk ke dalam dunia kanak-kanak atau remaja selepas jadi dewasa. Entah kenapa, saya rasa sukarnya nak meletakkan diri menjadi kanak-kanak @ remaja pada saat saya dah melepaskan zaman itu lama dulu. Tapi memandangkan peluang tak datang berkali-kali, saya sambut juga ‘lamaran’ yang datang. Mana tahu, sekali saya menolak peluang yang muncul dan selepas itu peluang tak sudi lagi menjengah saya.

Kata orang, ‘Tak cuba tak tahu’. Maka berpegang pada kata orang yang entahkan siapa itu, saya tekad pergi ke Karangkraf bersama Bikash Nur Idris. Mendengar taklimat yang diberikan, saya terkedu tapi tak kelu lidah sebab ketika tu saya masih mampu berbisik dengan kawan-kawan lain. Sangka saya, saya perlu buat sebuah novel kanak-kanak macam yang pernah saya buat, tapi rupa-rupanya tidak. Sebaliknya, saya dan kawan-kawan yang lain perlu siapkan sebuah kisah dalam 40 halaman dan dalam satu buku nanti aka nada 5 orang penulis. Jadi saya simpulkan, buku-buku yang terbit nanti akan digelar antologi kerana menggabungkan karya beberapa orang penulis.

Masa tu saya dah rasa berat hati. Memendekkan cerita memang bukan saya ahlinya, tapi kalau panjangkan insya-ALLAH saya mampu buat. Rasa saya membuat kisah panjang lebih mudah daripada kisah pendek. Tapi mendengar deadline yang diberikan, mulut saya hampir-hampir menyebut yang saya mahu menarik diri. 40 halaman memang kedengarannya sangat sikit, tapi kalau 40 didarabkan dengan 5 kerana setiap orang harus menyiapkan 5 kisah, tidakkah menjadi banyak. Dan dalam tempoh tak sampai sebulan, saya benar-benar terasa seperti ‘Tak ada beban batu digalas’. Tapi mujur juga mulut tak tersebut perkataan itu. Malu pulak rasa menarik diri pada saat kawan-kawan lain kelihatan teruja, dan lebih malu bila nama saya asyik disebut-sebut dalam perjumpaan tersebut.

Akhirnya, dalam keadaan tak yakin saya cuba bertahan. Menyiapkan 5 buah sinopsis dalam masa yang singkat memandangkan minggu tersebut saya balik kampung, saya sangat berharap sinopsis saya diterima tanpa ada pembetulan. Susahnya memikirkan hendak membuat cerita apa, ALLAH saja yang tahu. Saya ikut mengimbas kenangan-kenangan masa di bangku sekolah rendah dan menengah. Dan tak malu saya katakan bahawa apa yang saya tulis, ada yang benar-benar berlaku dalam hidup saya sendiri. Dan bila harapan jadi kenyataan, saya rasa sangat bersyukur. Tak perlulah saya baiki sebab saya bimbang akan jadi seperti ‘Tikus membaiki labu’.

Sebaik saja sinopsis diterima, saya mula menggembara. Tekad saya dah bulat, sekali saya melangkah saya tak akan berpatah balik semula. Bila kisah pertama siap, diikuti kisah kedua, ketiga, keempat dan kelima, saya sudahnya mampu menarik nafas lega. Kelima-lima kisah itu saya sudahkan dalam masa sampai 17 hari saja. Tapi dalam masa 17 hari tu, saya terasa yang saya macam dah tak serupa orang. Saya tak pernah menulis ikut deadline, jadi bila harus akur, saya sungguh-sungguh terasa susah hati. Masa tu, makan minum, tidur dan mandi pun jadi lintang-pukang. Sebiji macam orang dipanah cinta. Tu… kata orang juga ya, bukan saya.

Dan bila Siri MERAH CINTA KITA [set pertama] siap dicetak walaupun belum diedarkan dan dalam siri kali ini, 3 daripada air tangan saya bakal terbit [siri pertama ada 5 buku], saya betul-betul rasa gembira. Syukur… sebab saya tak tolak tawaran yang diberikan dan tak juga tarik diri di saat-saat akhir. MUJUR TAK TOLAK @ TARIK DIRI! Kalau saya tolak dan tarik diri, mungkin saya tak dapat lihat nama saya tercatat di kulit buku kanak-kanak @ remaja yang digelar sebagai ‘novelet’ itu.

Dalam setiap buku, ada cerita yang turut dilampirkan dengan gambar-gambar dalam bentuk anime seperti yang terdapat dalam komik. Ada pelbagai kisah yang tentunya ada nilai dan pengajaran. Saya harap buku-buku comel itu akan diterima pembaca, khasnya kanak-kanak @ remaja kerana apa yang ditulis itu sangat dekat dengan mereka. Tapi bukan bermakan golongan dewasa tak boleh baca kerana saya percaya kita yang dewasa pernah melalui fasa itu dan tentu masih ingat cerita masa indah itu. Tak salah kan jika kita mahu mengimbas kenangan dulu-dulu?

Di bawah ini, ada tiga buku yang tangan saya tulis sendiri. Buku yang lain akan saya tepekkan di lain hari berserta dengan hadiah lumayan yang bakal diberikan kepada mereka yang membeli kelima-lima buku dalam siri MCK ini. Tapi bukannya setiap orang boleh dapat hadiah percuma tersebut, hanya mereka yang bertuah saja mampu memilikinya.

MCK 1

MCK 2

MCK 5

- BuKaN cErItA bAsI! -

October 7, 2011

Cerita minggu lepas, tapi bagi saya BUKAN CERITA BASI kerana bila terus ingat, kita akan jadi lebih berhati-hati. Okey, saya dah mula nak menconteng ni! Selalunya... yang kita dengar, orang cetak rompak CD atau DVD kan? Tapi... sekarang ni, novel pun dah berani dicetak rompak. Entahlah! Entahkan dunia semakin maju, ataupun manusia yang makin hilang kemanusiaan, dan lepas tu mula bertindak sewenang-wenangnya sampai lupa berfikir tindakan yang dibuat itu betul atau salahnya. Dan isu itu memang agak kecoh minggu lepas. Masing-masing jelas terkejut dengan berita yang disampaikan. Mungkin tak terfikir sampai jauh begitu sekali tindakan yang mampu dibuat manusia hari ni, walaupun memang tahu semua tu tidak mustahil berlaku.

Saya sendiri, terasa macam blur-blur aje bila dapat tahu berita yang agak mengejutkan tu. Masa tu yang heboh dikatakan buku Cinta Yang Kurasa yang ditulis Kak Anis Ayuni. Marah dan geram bagi pihak Kak Anis pun ada juga rasanya. Yalah... saya juga penulis dan saya juga bernaung di bawah periuk Alaf 21 [Karangkraf]. Pendek kata, saya macam cubit paha kanan, paha kiri ikut terasa sakitnya. Saya tahu, kalau CYK dicetak rompak orang, saya percaya novel-novel lain juga tak terkecuali daripada menerima nasib yang sama. Entah berapa banyak yang si pencetak rompak tu ambil daripada penat-lelah penulis, saya juga tak tahu tapi kalau boleh saya sungguh-sungguhlah nak tahu.

Dan esoknya... bila KASIH BENAR KASIH diberitahu ikut dicetak rompak, saya terkedu juga walaupun saya memang dah bersedia dengan berita keji macam tu. Naluri saya nampaknya sekali lagi dah bekerjasama dengan jayanya. Marah memang marah, nak memaki pun memang ada juga rasa-rasanya. Bersama-sama KBK, novel lain yang juga menerima nasib yang sama, Bukan Kerana Sayang dan Dan Sebenarnya. Tapi itu yang dapat dikesan, yang tak dapat entah sudah berapa banyak agaknya.

Hendaknya, apa yang berlaku cepat diselesaikan dan yang bersalah harus dihukum sebab bagi saya, bila berani buat tentu aje kena berani bertanggungjawab. Yang kesian pun, bukan hanya penulis semata-mata, tapi penerbit dan juga pembaca sendiri. Dah bayar dengan harga mahal, tapi kualiti yang dapat pula hancur. Kalau CD atau DVD cetak rompak selalunya dijual murah, hebatnya kuasa sebuah novel... walau cetak rompak tetap juga dijual mahal.

Sebagai pembaca, saya pun tak pernah berkira kalau dalam bab membeli novel. Mahal macam mana pun saya akan usahakan untuk dapatkan. Tapi bila dah beli mahal begitu, saya mengharapkan duit yang saya keluarkan berbaloi. Kalau halaman aje sudah berkecai-kecai, tentu aje saya akan mengamuk mengalahkan harimau kehilangan anak. Untuk itu, kepada kawan-kawan pembaca yang baik hati di luar sana, marilah kita sama-sama berhati-hati supaya kita tak makan hati bila tengok novel yang kita beli tak serupa novel. Dan di bawah ni adalah ciri-ciri novel yang dicetak rompak, mungkin berguna di masa hadapan.

Ciri-ciri novel cetak rompak adalah seperti berikut:-

1. Kandungan teks dalam difotostat.

2. Gambar objek seperti bunga, cermin mata, cermin solek di bahagian permulaan setiap bab tidak jelas kerana difotostat.

3. Warna cover di bahagian depan dan belakang agak kelam daripada cover yang asli.

4. Barcode di cover belakang tidak jelas. Ini menyebabkan pekedai tidak boleh scan barcode ini ke dalam sistem untuk urusan pembayaran.

5. Novel yang tiruan digam saja dan ini menyebabkan muka suratnya mudah tercabut. Manakala novel yang asli dijahit dan tidak tercabut.

P/S - SEBARANG ADUAN MENGENAI CETAK ROMPAK INI BOLEH DIAJUKAN DENGAN MENGHUBUNGI, 03 5101 3888 SAMBUNGAN ALAF 21 3692/3683/3684.