- HaRaP aDa LaGi KeSeMpAtAn -

Kalau diberi peluang, saya yakin dan percaya kita mahu melakukan apa aje yang kita nak dalam hidup selagi punya kesempatan kerana kata orang, ‘Peluang jarang berlaku berulang-ulang kali. Kalau pun berulang, kesan dan situasinya mungkin tak akan sama lagi’. Kerana, sememangnya fitrah semula jadi manusia, punya keinginan yang besar dan ada kalanya tahap besar itu melebihi besar kepala sendiri ataupun lebih besar daripada dunia tempat kaki sendiri berpijak ini. Sayangkan, kalau dah namanya manusia, tetap juga manusia. Hebat macam mana pun, kehebatan itu tetap juga terbatas. Untuk melawan DIA yang mencipta kita, TIDAK MUNGKIN!

Tapi bukanlah soal manusia punya kehebatan yang mahu saya conteng hari ini. Yang saya mahu conteng, tentang beberapa keinginan saya yang baru aje dilunasi dengan jayanya. Bukanlah bermakna saya dah puas dengan keinginan-keinginan itu sebab saya juga sebenarnya punya keinginan dan kehendak yang tak boleh dibilang dengan jari kaki dan tangan yang berjumlah 20 ini. Ya, kehendak dan keinginan saya ada begitu banyak! Cumanya... saya berfikir, saya MUSTAHIL dapat memenuhi semua sekali, sekali gus. Kalau pun dapat, selepas masa berlalu saya percaya akan wujud keinginan dan kehendak yang baru, baru dan baru, lagi... lagi dan tentunya lagi. Bukankah, yang dinamakan manusia itu mana pernah kenal erti PUAS?

Jadinya, atas tiket ‘mana pernah kenal erti PUAS’ itu, makanya saya tak hairan kalau selepas ini keinginan dan kehendak saya akan jadi lebih berkali-kali ganda. Untuk itu, usaha saya nampaknya harus juga berlaku berkali-kali ganda supaya beberapa keinginan dan kehendak mampu dipenuhi, dalam masa terdekat ini, atau juga akan mengambil masa seumur hidup yang akan saya jalani kelak.

Dan salah satu keinginan saya yang dah jadi kenyataan, nak makan aiskrim Tutti Frutti. Lawakkan, bila orang lain dah mula rasa jemu nak makan aiskrim ‘mahal’ ni, saya baru first time mencuba. Terkulat-kulatlah juga sekejap sebab tak tahu macam mana nak beli. Tapi... mujur juga ada beberapa ‘adik’ yang nampak begitu teruja berbaris demi mengisi yang dinamakan aiskrim dengan segala macam aksesori di dalam mangkuk. Jadi, ‘I follow’ aje dan hasilnya, eh... tak susah pun. Hanya saya sebenarnya tak tahu mana yang perisa yang sedap dan mana yang tak sedap sebab saya main hentam aje. Mungkin, bila ada kesempatan lagi, saya akan jadi lebih pandai. Manusiakan memang cepat belajar, apalagi bagi manusia yang suka makan macam saya.

Mi Udang, ini pun keinginan saya juga. Makanan dari belah utara ini jadi kegilaan saya sejak tahun 2009 lepas saya pergi outstation di Penang dengan dua orang kawan. Saya tak tahu masa tu kami makan di mana sebab saya hanya ‘I follow’ aje dan sememangnya saya ni jarang ambil tahu soal tempat dan jalan. Tapi sungguh, memang sedap gila! Walaupun saya tak makan Mi Udang tu setiap hari, setiap bulan, tapi saya tahu saya sukakan Mi Udang. Makan di Kedah hari tu pun, rasanya sedap juga. Hanya tak sesedap yang saya makan di Penang dulu. Dan Mi Udang Mak Jah yang terletak Wangsa Maju yang baru saya makan semalam, rasanya masih boleh dilayan walaupun masih belum menepati selera saya. Dan di KL ni, agaknya di manalah Mi Udang yang sedap agaknya? Kalau pun tak terlalu sedap, kena dengan selera saya yang taklah besar macam gajah ni. Kalau ada, mohon cakap ya kawan-kawan sebab saya nak cuba juga.

Satu lagi keinginan saya, menonton wayang filem The Twilight Saga : Breaking Dawn Part 1. Dan itu pun, dah berjaya dipenuhi. Gembira sangat! Dah 4 siri [Twilight, New Moon, Eclipse dan Breaking Dawn] saya tengok di wayang, harapnya nanti dapatlah saya tengok Breaking Dawn Part 2 yang tak tahulah bila akan keluarnya. Tapi yang jelas, inilah satu-satunya siri yang saya terasa nak tengok kat wayang setiap kali keluar. Tak kiralah walau apa kisahnya, saya tetap juga nak tengok sebab saya tak baca novelnya. Lagipun, saya memang selalu teruja mahu melihat Bella Swan [Kristen Stewart] dan Edward Cullen [Robert Pattinson] di skrin besar. Dan lagi, saya sangat suka melihat pemandangan yang ada dalam setiap siri sebab memang sangat-sangat cantik.


Tiga keinginan dah jadi nyata, saya memang agak puas. Sekarang ni, yang saya nak buat ialah menonton filem Ombak Rindu di pawagam. Hendaknya, adalah kesempatan sebab saya memang nak tengok sangat. Satu, sebab saya suka sangat novel Ombak Rindu. Dua, sebab saya kenal dan minat Fauziah Ashari [Kak Gee] yang juga beli dan baca novel saya. Tiga, saya suka [taklah sampai tahap gila] tengok lakonan Aaron Aziz [bukan juga semua drama lakonan dia saya tengok, tapi filem memang semua] dan Lisa Surihani [tapi saya tak suka dia pegang watak Mila sebab macam tak sesuai di mata saya]. Dan empat, sebab yang paling penting, Mahu lihat perbezaan antara novel dan filem. Saya tahu akan ada banyak perubahan sebab antara filem/ drama dengan novel, memang wujud perbezaan yang ketara. Makanya, saya dah bersedia kalau yang saya bakal lihat tak seperti apa yang pernah saya baca. Tapi hendaknya, janganlah terlalu mengecewakan sangat. Kesian saya!

Dan untuk Tutti Frutti dan Mi Udang, HARAP ADA LAGI KESEMPATAN sebab saya masih nak makan kalau ada umur dan rezeki. Untuk Breaking Dawn Part 2, pun sama juga sebab saya masih mahu melihatnya di pawagam. Untuk keinginan-keinginan yang lain, TUNGGULAH YA, akan sampai giliran nanti bila diizinkan ALLAH.

- NaNtI dAtAnG lAgI yA bUkIt TiNgGi & GeNtInG hIgHlAnD -


Ya, mari sambung lagi membebel kisah cuti hujung minggu selama tiga hari [Sabtu, Ahad dan Isnin ( Awal Muharam)]. Opsss... kisah jalan-jalan kuruskan kaki di China tak habis lagi kan? Baru Part 1 aje kan? Aduhai, banyak betul hutang dengan diri sendiri! Tapi tak apalah, biar berhutang dengan diri sendiri daripada berhutang dengan orang lain [Tiba-tiba aje teringat pada beberapa wajah yang hilang begitu saja tanpa ada khabar berita. Tak apalah, bukan rezeki... hendak diapakan lagi kan? Pengajaran untuk yang manusia yang punya hati macam jeli kelapa. Padan muka!].

Ya… tak cukup dengan Jumaat malam, hari ni - Ahad [Sabtu, kami berdua hanya pergi Pasar raya Hero untuk beli barang. Beli barang lagi! Berapa banyak barang dah?] yang penuh kasih sayang, sekali lagi saya dan Fida membuat ‘plan gila’ bila kami tiba-tiba aje tergerak hati hendak ke Bukit Tinggi. Asalnya memang niat nak ke sana ada, hanya yang saya tahu niat tu tak akan dapat direalisasikan dalam jangka masa yang dekat. Maklumlah, cuti 3 hari ini [Sabtu, Ahad & Isnin], baik saya mahupun Fida, kami masing-masing ada kerja yang harus dibuat. Tapi… kerja hanya tinggal kerja bila seorang kawan [Ana] kata nak jumpa kami. Cepat aje kami berdua memutuskan nak ke Bukit Tinggi. Alang-alang nak lepak, baiklah lepak di tempat yang tentunya akan menimbulkan kenangan. Bukan juga di kedai mamak tak boleh, boleh aje walaupun saya agak kurang dengan kedai mamak. Tak apa, asalkan dapat menyembang dengan kawan-kawan.

Dan memang bukan rezeki, bila akhirnya hanya saya dan Fida aje yang pergi sebab kawan kami ada kerja yang harus dibuat di saat-saat akhir. Frust memanglah frust sebab ‘plan gila’ tu kami buat sebab mahu berborak sampai muntah dengan dia, tapi kami memahami. Berjalan memanglah boleh berjalan pada bila-bila masa aje, tapi kerja yang harus didulukan patutlah didulukan terlebih dahulu. Hidup ni kan, mudah kalau kita menjadikannya mudah? Dan jika kita fikir susah, maka susahlah yang akan kita rasa. Tak apalah, di lain kesempatan saya percaya kami masih dapat lepak-lepak lagi.

Pagi tadi, awal kami berdua bangun sebab menyiapkan mana-mana yang patut. Sebenarnya kami, konon-kononnya nak berkelah. Jadinya, Fida goreng nuget dan sosej. Saya pulak buat sandwich [Adoi... makan sandwich lagi. Semalam kan dah makan?]. Ya... memanglah semalam kami makan sandwich sebagai makan tengah hari. Tapi tak salahkan kalau kami nak makan sandwich selama 30 hari berturut-turut? Tak kena tangkap kan? Dan lagi... dah namanya berkelah, mestilah kena ada sandwich sebab nak goreng-menggoreng mihun, kami memang tak rajin. Lagipun, cuma makan berdua apa perlunya beria-ia kan?

Pukul 9.00 keluar rumah, bergerak terus ke Bukit Tinggi. Cuaca pun cerah macam hati saya yang ada rama-rama warna-warni yang tengah terbang bebas. Sampai aje, kami terus makan-makan tak ingat dunia, makan yang bermaksud konon-kononnya kami tengah berkelah dan sudah semestinya berkelah dalam Cik Viv milik Fida. Orang tengok semacam pun, kami hanya ketawa-ketawa sambil mempelawa orang tu sesama sendiri. Dan orang yang memandang, sudah semestinya tak dengar pelawaan kami kerana kami mempelawa dengan tingkap dan pintu kereta yang terkunci rapat.




Sebenarnya seumur hidup saya yang setua ini, memang saya tak pernah jejakkan kaki ke Bukit Tinggi. Entah apa yang ada di sana, saya sendiri pun tak tahu dan tak juga hendak ambil tahu. Tapi bila kaki benar-benar sampai, ya... saya kagum dengan binaan bangunan ala-ala Perancis. Perasan sekejap macam ada kat luar negara. Sekejap ajelah bila tiba-tiba kulit tak putih milik saya tiba-tiba aje terasa terbakar sebab panahan matahari yang terik. Malaysia... kalau tak hujan tentulah panas kan? Jadi, tak perlulah saya nak perasan lebih-lebih macam ada kat negara orang tu.




Pusing sekejap sambil posing-posing macam biasa, kami pun naik menara [Saya main hentam aje panggil menara] sebab nak tengok pemandangan dari atas, asalnya nak naik lift tapi lift rosak. Maka mendakilah saya dan Fida tersemput-semput macam siput. Penatnya rasa TUHAN yang tahu. Tapi... penat mendaki tangga menara tu taklah sepenat mendaki bukit menuju ke Japanese Village. Hampir-hampir saya angkat tangan tanda kalau saya menyerah. Tapi malu pulak rasa bila tengok orang tua pun still maintain aje walaupun saya dapat rasakan kepenatan mereka kerana saya dan mereka, kami berkongsi rasa yang sama. Beratnya langkah saya, lebih berat daripada langkah gajah. Nafas pula laju macam nafas lembu. Mujur aje tak termuntah pelangi. Baru saya sedar betapa saya dah lama tak buat senaman sampai stamina saya benar-benar hancur.



Jalan-jalan sekejap, kami pun turun dan bergerak pula ke Genting Highland. Sampai di tempat parking, sekali lagi kami berkelah dalam kereta. Adoi... kenyang sampai rasa nak pecah perut. Di Genting Highland, kami sekadar pusing-pusing dan makan waffle. Selepas 5 tahun, keadaan Genting Highland macam tak ada apa yang berubah di mata saya dan saya jadi ingat pada kenangan tahun 2006. Masa tu saya datang ke sini dengan Shanika Latisha. Ya... ada rindu menderu-deru dalam hati. Kenangan, lama mana pun berlalu, tetap juga segar dalam ingatan. Sungguh... saya rindu!



Ada umur, ada rezeki, NANTI SAYA DATANG LAGI YA BUKIT TINGGI & GENTING HIGHLAND

- kUrUsKaN kAkI dI dOwNtOwN cHeRas -

Fida [Hafirda Afiela] datang Rumah Pink! Macam selalu, bila saya bertemu Fida, kami selalu membuat ‘plan gila’ yang ringkas dan dalam masa yang singkat. Maka Jumaat malam [semalam], kami berdua pergi ke Giant Taman Midah [Eh, betul ke Taman Midah? Hem... saya tak pastilah]. Fida kata dia nak cari barang dan saya pula ‘I follow’. Tak mungkin kan, Fida masuk dalam Giant dan saya dengan senang hati tunggu di kereta? Tak mungkin kan? Kalau mungkin pun, saya tak mahu tunggu sebab saya pun nak cuci mata juga sebab saya sangat suka pergi ke Giant, Tesco, Jaya Jusco, Kipmart, Sogo dan yang sewaktu dengannya. Sudahnya, barang yang Fida nak cari tak ada, saya yang dapat ‘skop aiskrim’. Jauh ya saya cari ‘skop aiskrim’?

Sebenarnya ‘skop aiskrim’ tu saya nak bawa balik kampung. Bukanlah juga di JB tak ada jual, hanya saya takut terlupa. Maklumlah, saya kan dah agak tua, bila dah tua tentu aje banyak minum jus semut campur air manis [air kosong tak mungkin sebab saya nampak kalau ada semut]. Sebenarnya, saya perlukan ‘skop aiskrim’ tu sebab saya nak meniaga aiskrim bila balik kampung nanti. Opsss... jangan salah faham ya! Saya bukan nak meniaga aiskrim di seluruh kampung, tapi nak meniaga aiskrim di Rumah Pak Wahab a.k.a abah saya. Dan pelanggan saya, tentu aje anak-anak buah saya, abang-abang saya, adik-adik saya dan kakak-kakak saya. Ya... saya sangat suka bila dia orang beratur semata-mata nak dapatkan aiskrim daripada saya [Walaupun sebenarnya, kakak ipar saya yang masukkan aiskrim ke dalam kon dibandingkan saya sebab saya bukannya rajin benar]. Lepas ni, senanglah kerja dia sebab tak perlu buat guna sudu lagi sebab saya dah dapatkan ‘skop aiskrim’ berharga RM19.90 [Macam harga sebuah novel aje kan?].

Lepas dapat ‘skop aiskrim’, kami bergerak ke tempat barangan basah sebab kami sepakat nak makan sandwich esok pagi [ Ya ke pagi? Ke, tengah hari?]. Sempat juga capai semangkuk jeruk sebelum bergerak pergi. Kemudian, kami menuju ke Downtown Cheras dengan alasan mahu makan di ‘kedai kita’. Sebenarnya bukan nama kedai tu ‘kedai kita’, tapi sebab kami berdua suka makan kat sana, kami pun dengan tak malunya menggelarkan kedai orang sebagai ‘kedai kita’ [Di Desa Petaling pun ada satu kedai yang kami panggil ‘kedai kita’] yang merujuk kepada saya dan Fida. Kalau tuan kedai tahu, mungkin kami berdua bakal ditempelak sebagai ‘muka tak malu’. Mujur juga tuan kedai tak tahu, jauh sekali adik yang selalu ambil order kami, yang selalu menyebut ikan siakap sebagai ikan siakat.

Malangnya, ‘kedai kita’ tu dah tak wujud lagi. Bila ditanya, kakak yang saya anggap sebagai tuan kedai kata, “Sekarang hanya jual air dan makanan goreng-goreng”. Dengan hati yang hampa, kami pun makan apa saja yang ada sebab nak ke kedai lain, macam malas sebab dah pukul 10.00 malam. Lagipun, kami bercadang nak membuat senaman kaki sesudah makan supaya kaki kami kekal kurus, yang bermaksud mahu mencuci mata ke deretan kedai yang ada sebab kebanyakan kedai dah pun dibuka. Aduhai... sup daging di kedai baru nyata tak menepati selera kami dan kami sebulat suara menjatuhkan hukuman reject pada kedai tu. Kami tentu tak akan datang lagi ke sana.

KURUSKAN KAKI DI DOWNTOWN CHERAS atau Uptown Danau Kota, memang kegilaan saya. kadang-kadang, ada barang yang saya beli. Ada masa-masanya, saya hanya melihat-lihat sambil memandang gelagat pengunjung yang pelbagai ragam. Ada antara mereka yang datang bersama kawan-kawan, ada datang dengan keluarga sambil membawa anak-anak kecil. Bahkan, ada juga yang datang sendiri. Kalau saya, datang sendiri pasti tidak mungkin sebab hari dah terlalu malam dan selebihnya, saya segan.

Kali ni, saya berniat mencari barang untuk anak saudara saya. Jenuh saya menapak dari satu kedai ke satu kedai, tapi barang yang dicari tak jumpa sampai saya ada rasa macam nak putus asa. Kalau ada pun, tak memenuhi selera saya sebagai mak saudara. Tapi di hujung-hujung pencarian saya bertemu juga dengan apa yang dicari. Kemudian, saya mencuba juga sehelai baju. Hanya muat-muat badan saya dan yang buat saya angin, tiba-tiba tuan kedai tu suruh saya kecilkan badan. Malu siot bila orang kata macam tu. Macamlah saya gemuk benar! Padahal, bukan saya yang gemuk tapi baju tu yang tak besar [Boleh ke kata macam tu?]. Sebab saya dah bengang, sambil tergelak-gelak dengan Fida, saya pun pergi. Sebenarnya, saya tak marah pun pada tuan kedai, kata-kata macam tu langsung tak berkudis bagi saya. Tak ada apa pun yang nak dimarahkan, memang baju tu bukan saiz saya. Lagipun, saya tau saya tak gemuk, cuma chubby aje.

Lepas tu, saya dah Fida capai juga seluar dan sehelai baju yang konon-kononnya cantik dan nampak sangat feminin. Saya rasa, mesti ayu gila kalau pakai baju tu [perah santan weh!]. Tapi malangnya, bila balik... oh, ternyata baju yang dibeli bukanlah ‘kegilaan’ saya. Saya sendiri tak pasti sampai bila agaknya baju tu akan tersarung kat badan saya. Mungkin dalam masa terdekat ni, atau juga baju tu akan lama tersimpan dalam almari, atau juga akan tersarung di badan orang lain sebab saya beri pada orang tu. Tengoklah dulu macam mana. Tapi nak pakai esok, tak mungkin kot! Sebab saya, sangat selesa pergi ke pejabat dengan mengenakan baju kurung, sama ada baju kurung riau atau pun baju kurung biasa. Kebaya pun, dah bukan lagi ‘kegilaan’ saya sebab saya rasa saya dah tak sesuai lagi menyarung kebaya.

Dan saya menutup hari Jumaat dengan membelasah steamboat yang sempat saya capai di tepi jalan ketika meninggalkan Downtown Cheras. Rasanya agak kurang, tapi bolehlah selagi ada kuah kacang sebab selain daripada kuah kacang, saya memang tak berapa gemar makan steamboat.

- KASIH BENAR KASIH, sElEpAs 6 BuLaN –

Cepat benar ya masa berlalu? Sedar-sedar aje... Cik November yang hanya berbaki 6 hari lagi, akan berakhir begitu saja dan kemudian digantikan pula dengan Cik Disember yang entah bagaimana agaknya keadaannya. Yang jelas, setiap kali Cik Disember datang, saya jadi ingat dan wajib ingat pada hari lahir bf saya - abah [27], Muhammad Hafiy Darwish – anak buah saya [22], Ryn – kakak ipar [29] dan Rahmat – sepupu yang mak saya jaga tapi di hati saya, dia tetap adik saya [16].

Berbalik pada KBK, ya... bulan depan genap 6 bulan usianya [Tak termasuk yang terbit bulan Mei masa PBAKL]. Lagi 6 bulan akan datang, bolehlah saya ucapkan ‘happy birthday’ kat KBK kan? Aduhai... saya buat novel-novel saya macam manusia. Tapi tak apalah sebab bukan salah dan bukan kena bayar pun kan?

Doa saya, biar pun setahun masa berlalu, KBK masih dicari orang dan akan terus dicari oleh pembaca yang sentiasa dahagakan bahan bacaan untuk santapan jiwa di saat keletihan menjerut rasa [Ceh, ayat novel lagi!]. Bahkan saya mengharapkan sedikit nilai yang ada dalam KBK akan mampu memandu mereka [Termasuk saya] yang ada masa-masanya lelah dengan cubaan dan dugaan yang datang, sampai-sampai terasa juga putus asa hingga terasa tak mahu buat apa-apa melainkan tidur sampai mata jadi lebam.

Ya, lumrah hidup dalam masyarakat. Kita begini, dikata orang begitu. Kita begitu, dikata orang begini pulak. Kesimpulannya, hendak memuaskan hati sendiri pun sukar, apalagi hati orang lain yang sudah semestinya tak mungkin mampu diselami dengan sedalam-dalamnya. Kalau rambut pun pada zaman ni dah tak sama warna [Padahal, saya pernah juga menyimpan angan-angan nak warnakan rambut saya, walaupun kenyataannya sampai ke saat ini rambut saya masih kekal hitam dan dalam seumur hidup, saya memang tak pernah pun warnakan rambut], apalagi hati manusia kan? Makanya, menjaga tepi kain orang bagaikan satu hobi yang digemari banyak orang.

Malah bila ada yang bertanya pada saya sama ada KBK mewakili luahan hati saya sendiri, saya tak bercadang pun untuk menafikannya. Sebabnya, memang itu kenyataannya! Saya tak menujukan novel itu pada sesiapa, walaupun dah terlalu kerap ditanya tentang soal jodoh sampai saya hilang diksi hendak menjawab. Tak seronok sebenarnya ditanyakan perkara yang kita sendiri tak ada jawapan. Bukankah sepatutnya soalan ditanya pada yang sudah ada jawapan? Bukan yang tak ada jawapan. Dan yang bertanya bukannya tak tahu kalau soal jodoh itu bukan kerja manusia, tapi kerja DIA YANG SATU. Hanya entah apa tujuannya, sengaja membalikkan hati daripada hakikat itu. Memang ada yang bertanya dengan tujuan mahu bertanya semata-mata, tapi ada juga yang bertanya dalam nada yang sinis sehingga terasa agak menyakitkan. Tapi biarlah... hak masing-masing. Mereka mungkin terlupa kalau setiap yang ada di tangan tu, tak semestinya akan terus kekal di tangan. Dugaan ALLAH datang dalam pelbagai cara, siapa tahu kalau sebelumnya hidup berdua, tiba-tiba aje jadi sendiri, atau bertiga, berempat atau juga berlima [kongsi-kongsi loh]. Jadinya, bersyukurlah dengan apa yang sudah pun dipegang tapi dalam masa yang sama tak perlu riak dan tak perlu juga memandang enteng perasaan orang lain.

Dan KASIH BENAR KASIH, SELEPAS 6 BULAN... alhamdulillah, dah pun diulang cetak sebanyak 3 kali. Tidaklah diulang cetak sekerap sesetengah novel yang ada di pasaran. Tapi tak apa-apa. Rezeki juga bukan kerja manusia. Saya selalu percaya, kalau memang dah rezeki kita tetap juga akan jadi milik kita, kalau bukan rezeki kita, sudah ada di mulut pun tetap juga bukan rezeki kita dan kalau memang rezeki KBK begitu, saya tetap juga menerima seadanya. Biarlah begitu daripada langsung tak dibeli orang.

Dalam masa hampir 6 bulan ni, ada yang berkata sangat sukakan KBK. Suka pada jalan ceritanya, suka pada nilai yang mahu disampaikan, suka pada karakter setiap watak yang ada di dalamnya, suka pada endingnya, suka pada Annura dan lebih ramai yang kata sukakan watak Doktor Dinzley yang kaki sakat dan sangat sabar. Ada yang kata setakat suka pada KBK. Dan lumrah hidup bila ada yang suka, tentu juga ada yang tak suka. Tapi tidaklah mereka mengatakan tidak suka secara terang-terangan, hanya berkias dengan kata-kata seperti, “Best lagi KASIH ANTARA KITA”, “SEGALANYA UNTUKMU lebih menarik”, “Watak Zean dalam HANYA DIA TAHU lebih memukau”, “Saya lagi suka SEMUSIM RINDU”, “AKU MAHU KAMU lebih sedih” dan banyak lagi kata-kata lain.

Tapi saya tidaklah melatah dengan komen-komen semacam itu dan saya menerima seadanya kerana komen-komen itu menunjukkan yang karya-karya saya dibaca orang. Lebih daripada itu, komen-komen itu sebenarnya mencabar saya supaya sentiasa menghasilkan karya yang lebih bermutu pada masa akan datang. Bagi saya, tanpa pembaca tak akan ada saya di dunia penulisan. Buat apa penat-penat menulis sedangkan yang nak membaca tak ada kan? Cumanya seperti yang saya selalu kata, “Komen memang saya tak kisah tapi biarlah komen yang diberikan berhemah”. Benar... berikan kami [penulis-penulis], komen yang adil dan jujur. Bukan hanya berat sebelah kerana kerjaya penulisan setiap penulis itu bergantung pada komen-komen yang diberikan. Jatuh dan bangunnya kami, kalianlah yang menentukan.

Dalam masa hampir 6 bulan ni juga, ada yang sukakan cover KBK dan ada juga yang tak suka sebab bila memegang KBK terasa seperti memegang cerita kartun dan agak malu kerana sudah terlalu tua untuk dianggap membaca cerita kartun. Dan saya sendiri, pada awalnya memang agak cuka melihat cover KBK. Hati tertanya-tanya, ‘Tak lari ke pembaca saya bila tengok cover kartun macam tu?’. Saya bimbang jika pembaca kata saya menulis karya remaja atau kanak-kanak. Comel memang sangat comel gambarnya, warna pink terang pula nampak menarik dan arnab yang cute tu pula rasa macam nak korek-korek matanya. Tapi bila ramai yang kata sukakan cover tu masa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 hari tu, rasa cuak saya hilang diganti dengan rasa kembang setaman. Maklumlah, KBK rasa saya adalah novel pertama terbitan alaf 21 [Grup Buku Karangkraf] yang gunakan cover sebegitu. Sekarang ni dah banyak dan tak ada apa yang perlu digusarkan. Siapa tahu cover macam tu sebenarnya mampu menarik remaja untuk membaca KBK dan seterusnya dapat meningkatkan jumlah pembaca karya saya.

Apa pun, terima kasih pada yang sudah mendapatkan dan bakal mendapatkan KBK, juga novel-novel tulisan saya sebelum KBK [Sokong juga novel BUKAN MEMUJA BULAN – mungkin terbit awal tahun depan, hanya tak tahu bila tarikh yang tepat]. Setiap sokongan yang diberikan saya hargai sangat-sangat. Semoga kita semua dapat mengutip nilai dalam setiap karya-karya saya dan seterusnya meninggalkan mana-mana yang dirasakan tidak wajar dipraktikkan. Terima kasih berjuta-juta lemon ya!

- HaNgZoU – sUzHoU – sHaNghAi [1] -

Hai kawan-kawan yang cantik-cantik dan kacak-kacak [ada ke lelaki tengok blog yang entah apa-apa ni ya?] belaka! Sihat? Tentulah sihat kan? Sama macam saya saat ni. Alhamdulillah saya sihat dan sangat sihat sebenarnya. Sihat yang mungkin bermaksud sihat tubuh badan [gemuk?], atau sihat fizikal [tak sakit], atau juga sihat di hati [mental]. Tak kisahlah kan, asal saja namanya SIHAT.

Baru beberapa hari tak menconteng di sini, rasa rindu macam menggebu-gebu aje dalam hati saya pada blog yang menjadi tempat saya menconteng kisah suka dan duka seorang saya bernama Marwati Wahab @ Aleya Aneesa [ceh... ayat novelis, tak boleh blah kan?]. Tapi sungguh... saya sangat-sangat rindukan blog saya yang taklah cantik mana sebenarnya. Hanya sedap mata saya memandang. Padahal, hanya 5 hari saya tak menjengah. Sawang pun, saya kira tak sempat nak menempatkan diri. Memanglah saya ni seorang yang suka sangat berlebih-lebihan.

Syukur... perjalanan pergi dan balik saya, bahkan sepanjang berada di China [HANGZOU – SUZHOU – SHANGHAI] selama 5 hari 4 malam, berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah yang saya hadapi. Hanya dua hari di sana, Encik S [selesema] tetap juga tak mahu meninggalkan saya. Makanya, terpaksalah saya bawa bersama dan saya berusaha membunuh Encik S bermati-matian dengan makan ubat selesema siang dan malam. Masuk hari ketiga, Encik S ternyata pergi juga. Saya sangat gembira bila bangun pagi, Encik S ternyata dah tak ada. Kalau Encik S itu orang, dah tentu saya lambat sepuluh jari dengan senyuman paling manis. Maklumlah, hampir 2 minggu Encik S melekat di hidung saya. Padahal, kawan-kawan dia semuanya dah pergi lepas saya bunuh.

Dan China [tiga tempat tu], sebenarnya saya tak tahu nak memulakan kisah di sana dari mana dan bagaimana. Ada begitu banyak yang mahu saya conteng, kalau nak ikutkan hatilah. Tapi... semuanya terasa serba tak kena. Kalau tak diconteng pula, saya bimbang lama-kelamaan saya akan lupa semua yang saya alami di sana sedangkan kenangan dan pengalaman itu mungkin tak akan terulang sampai bila-bila. Kalau pergi tempat yang sama sekali lagi pun, kesannya tak akan sama lagi dan tentu aje berlainan sama sekali. Yalah, saya bukan lagi muda dan maknanya memori saya semakin lemah kerana dah agak banyak digunakan.

Eh, tiba-tiba aje saya teringat ‘jalan-jalan habiskan duit’ saya di Korea tahun lepas. Rugi rasanya sebab saya memang tak mencatat perjalanan ke sana di sini. Entah atas alasan apa, saya sendiri tak tahu. Tapi memang rasa terkilan berladung juga di hati. Sibukkan apa agaknya tahun lepas, sampai-sampai kenangan yang memang semanis madu tu saya abaikan begitu saja. Patutnya saya menconteng walaupun sedikit. Bukannya dengan tujuan apa-apa, hanya sekadar mengabadikan apa yang dah saya alami. Kalaupun bukan untuk tatap semua orang, sekurang-kurangnya untuk tatapan orang-orang yang dekat dengan saya. Tak apalah, ada masa dan ada kesempatan saya akan imbas juga kenangan di Korea di blog ni. Cumanya... tidaklah semua sebab dah agak lama kan, minda pun dah tak berapa nak segar. Hanya yang segarnya, udara sepanjang di sana sentiasa aje buat saya terasa bila saya tengok gambar-gambar saya dan kawan-kawan yang pelbagai gaya.

Berbalik pada kisah di China, awal-awal Subuh saya dah bertolak ke DBP. Kenapa DBP ya, macamlah LCCT terletak sebelah DBP kan? Tapi sungguh, memandu dalam keadaan kenderaan orang lain ‘tidur’ di garaj memang menakutkan. Hati di dalam, TUHAN saja tahu betapa kencang debarannya. Bila jantung dah memalu, kaki yang tak berapa comel milik saya pun semakin galak menekan pedal minyak. Tiba-tiba aje saya jadi lupa yang selama ni saya seorang pemandu yang sangat berhemah. Apa yang saya tahu, saya mesti sampai DBP sesegera mungkin kerana kawan saya dah menunggu di sana. Syukurlah akhirnya saya sampai juga walaupun ketika melangkah keluar dari kereta, jantung saya masih berdenyut kencang.

Sampai di LCCT, tak ramai yang dah tiba. Masing-masing buat hal sendiri sebab saling tak mengenali. Dalam kapal terbang pun, masih juga dengan dunia masing-masing. Mujur juga saya ada dua kawan rapat [Kak Odah & Kak Lah], jadinya tak adalah rasa canggung dan janggal. Tetap juga mampu ketawa dan tersenyum dengan lawak yang tak berapa cerdik kami bertiga buat.



5 jam dalam kapal terbang [saya tak suka naik kapal terbang sebab saya rasa sangat bosan, tapi baru 5 jam, kalau 24 jam macam mana ya keadaan saya?], kami pun sampai di lapangan terbang Hangzou dan kedatangan kami disambut tourist guide berbangsa Indonesia yang dilahirkan di China bernama Eric dan seperti resmi tourist guide yang lain, dalam bas Eric mula membebel itu dan ini di dalam bas dalam perjalanan kami menuju ke destinasi seterusnya [Masjid Phoenix] yang tentu aje ada di Hangzou. Mujur juga dah biasa tengok sinetron Indonesia, maka taklah susah sangat nak memahami kata-kata Si Eric. Tapi ada jugalah kata-kata yang saya langsung tak faham dan buat-buat ajelah faham. Dan saya pada masa tu, terasa benar nak tidur sebab malam tu saya tak dapat tidur lena kenangkan saya harus bangun pagi-pagi. Sama macam apa yang saya rasa saat jari-jemari ni ketuk keyboard, jadinya... saya sambung contengan saya di lain kesempatan ya [Kalaulah awak tu rajin Marwati @ Aleya]. Tapi hendaknya, janganlah saya malas menyambung nanti sebab ada banyak yang mahu saya kisahkan. Makanya... BERSAMBUNG ya dalam N3 - HaNgZoU – sUzHoU – sHaNghAi [2]. Doakan saya diberikan kerajinan ya kawan-kawan.






* Sila lihat beg biru di sisi saya tu, ada tulisan bertulis begini, 'Cintailah Bahasa Kita' [kecil sangat kan sampai tak boleh baca]. Wah... di mana-mana rupa-rupanya, ada kampen supaya sayangkan bahasa. Bangganya rasa! [Padahal... yang bawa tu orang DBP, beg tu buat isi telekung]. *

- PaK mAt JuAl ToPi… -

Tajuk apa tu ya yang saya buat di atas tu? Mesti itu yang ada di kepala sesiapa aje yang membaca dengan sengaja atau membaca secara tak sengaja N3 kali ni. Ya, nampaknya sekali lagi saya menconteng blog yang akan saya tinggalkan untuk beberapa hari. Hanya untuk beberapa hari ya, beberapa hari yang bermaksud tak berapa lama dan tak sampai pun seminggu.

Tajuk tu saya pilih sebagai sambungan tajuk untuk N3 MALAM YANG SEPI… PIPI… [lagu kanak-kanak] yang saya tulis beberapa hari lalu. Tapi suka nak saya ingatkan, hanya lagu yang bersambung sedangkan saya mahu mengisahkan sesuatu yang lain. Bukan lagi kisah kenakalan saya semasa zaman kanak-kanak. Hanya yang menjadi persamaan N3 itu dan N3 ini, saya masih mahu menceritakan kisah-kisah yang pernah saya alami. Bukan mengisahkan tentang orang lain kerana kisah orang lain, milik orang lain dan kisah saya adalah milik saya. Saya tidak mungkin dapat mengisahkan tentang sesuatu yang bukan milik saya dengan baik. Kalau pun saya boleh kisahkan, tidak mungkin akan jadi secantik pengisahan tuan punya kisah itu sendiri.

Kalau hari tu saya menyentuh tentang zaman kanak-kanak, kali ini saya mahu mengisahkan tentang zaman universiti saya kerana saya baru tersedar yang saya amat jarang berkisah tentang saya di zaman universiti. Seolah-olah, zaman universiti saya bukanlah salah satu daripada kenangan terindah saya. Seolah-olah, antara saya dan zaman universiti telah wujud permusuhan yang sangat dahsyat yang berkesudahan saya ke timur dan zaman universiti saya ke barat.

Tapi tidak! Kalau zaman kanak-kanak saya indah, zaman sekolah menengah saya indah [nanti saya akan kisahkan zaman ini pula], zaman bergelar student universiti saya juga indah dan penuh dengan warna-warni yang tak dapat digambarkan dengan jelas warna apa kerana terlalu banyak warna. Hendak menyamakan dengan warna pelangi juga tak boleh kerana pelangi hanya ada 7 warna, sedangkan warna zaman universiti saya ada lebih daripada itu.

Yang sebetulnya, saya tak pernah simpan niat nak ke universiti sebab awal-awal lagi saya dah bertekad nak belajar sampai tingkatan 5. Terukkan saya kerana tak bercita-cita tinggi? Tapi itulah saya! Hendak menghabiskan tingkatan 5 pun saya dah terasa azab sengsara, apalagi nak menghabiskan lagi banyak tahun menghadap buku. Mungkin itulah padah bila dah berani main mata dengan anak teruna orang pada saat umur yang ada tak memungkinkan hal itu terjadi. Ceteknya akal masa tu, memang buat saya rasa malu bila ingat. Tapi bila difikirkan kembali, itu semua asam garam hidup yang akhirnya mampu membuatkan saya belajar banyak benda dalam hidup.

Ya, hidup sebenarnya tak seenteng yang saya fikir. Bermimpi boleh, tapi siapa kata setiap mimpi bakal jadi nyata kan? Akhirnya, saya melangkah juga ke tangga universiti. Masa tu fikiran saya dah berubah. Niat tak nak belajar dah saya lemparkan jauh-jauh sebab memang tak ada apa lagi yang hendak saya harapkan [cakap ajelah, awak tu frust, kuikuikui]. Mungkin juga kot!

Lambaian tangan mak dan abah 11 tahun dulu, masih ternampak-nampak di ruang mata saya sampai ke saat ini. Kalau Kak Long nangis masa ditinggalkan di MPTB, saya pulak tetap tersenyum sambil tangan terus melambai. Tapi saat bayangan mak dan abah hilang, setitis air mata saya menitis keluar. Nampak macam cengeng kan? Ya, saya pun terasa macam tu juga. Tapinya, sebagai anak yang tak pernah berjauhan dengan mak dan abah, bukannya mudah untuk untuk hidup sendiri. Mujur juga di kolej tak perlu memasak bagai, kalau tak mesti ada yang meraung sebab kelaparan. Eh… Aleya Aneesa tak reti masak? Yup, memang pun dulu saya tak pandai masak. Mungkin sebab mak saya suri rumah sepenuh masa dan setiap kali balik, memang makanan selalu dah tersedia, maka saya jadi ‘Apa pun tak boleh!’ Sekarang pun tak adalah reti sangat, tapi bolehlah kalau nak dibandingkan daripada dulu. Nak berguru dengan Chef Wan atau Chef Ismail takut orang tak sudi. Jadinya… bergurulah saya dengan buku resepi.

Berbalik soal di universiti, asalnya terasa juga canggungnya. Mujur saya sama kolej dengan kawan rapat saya. Tapi bila dapat bilik berlainan, saya murung juga. Berat aje langkah kaki saya menaiki tangga demi tangga. Berdiri di bilik berangka 309, saya menghela nafas panjang. Hati tertanya-tanya, ‘Kawan jenis apa yang bakal aku dapat?’ Sebaik melangkah, melihat belah kiri [satu bilik ada 4 katil, 2 kanan dan 2 kiri] ada dua orang kawan sedang bergelak-ketawa. Cara cakap mereka senada tapi saya tak tau mereka berasal daripada mana. Saling menyapa dan tersenyum, saya terus ambil tempat di sebelah kiri, katil di sisi saya masih kosong.

Sejak itu, saya tak banyak cakap. Tak tahu macam mana nak masuk dengan kawan bernama Aniem dan Wanie tu, apalagi bila mereka berdua berasal dari negeri yang sama. Perak! Baru saya tahu macam tu rupa-rupanya cakap orang Perak [Selama ni saya hanya bergaul dengan orang Johor]. Mereka sangat riuh, tapi saya tetap tak reti nak bercampur. Kalau diberi pilihan saya akan pilih bilik lain. Tapi ‘kesunyian’ saya tu ternyata tak bertahan lama, genap beberapa hari saya kembali mendapat suara. Itu pun bila Aniem dan Wanie selalu cuba mencipta ruang bual dengan saya. Tak lama lepas tu, datang pula Yatie yang lebih diam daripada saya. Tempat dia di sisi saya. Akhirnya… jadilah kami berempat kawan yang sangat rapat.

Sungguh! Saya sangat sayangkan mereka bertiga. Merekalah kawan saya ketika ketawa dan menangis. 3 tahun tinggal di bilik kesayangan kami bernombor 309, kami menerima diri masing-masing seadanya. Saling berkongsi segala sesuatu yang kami ada, walaupun ada masa-masanya, kami bertingkah juga. Sedangkan lidah lagikan tergigit, apalagi kami yang ada sisi hitam dan putih. Tapi kemudian kami berbaik lagi. Katil mereka jadi katil saya, katil saya jadi katil mereka. Dan bila tilam saya koyak gara-gara kecuaian Aniem masa guna iron baju saya hanya ketawa. Tak terkata bila kadang-kadang saya pun cuai juga.

Sebenarnya ada begitu banyak lagi yang mahu saya conteng, tentang kami naik sampan dan selepas naik ke darat, baru sedar ada papan tanda bertulis dilarang menaiki sampai kerana bocor, tentang kami yang panjat pagar beramai-ramai dan saat angkat muka, kelihatan berbaris budak-budak lelaki yang bersorak sakan, tentang kami yang jadi ahli Kelab Teater yang berkesudahan kami menarik diri walaupun perjuangan masih belum selesai, tentang kami naik lori pergi ke dusun dan macam-macam kisah lagi. Ttapi biarlah dulu, mungkin di lain kesempatan saya conteng lagi tentang kenangan zaman universiti yang sangat manis.

Jadinya, saya stop di sini dulu. Nanti-nanti sambung lagi. Untuk kawan-kawan, doakan perjalanan pergi dan balik saya dan kawan-kawan selamat. Moga China yang tak pernah saya jejaki akan menambahkan lagi koleksi kenangan saya. Harap juga biarlah kenangan di sana nanti akan jadi semanis kenangan di Korea. Tapi hendaknya, janganlah saya sekali lagi didatangi penyakit ‘yang sama’ seperti di Korea. Saya sungguh-sungguh tak sanggup! Tapi sebelum tu, jom sambung nyanyi lagi kanak-kanak, Malam yang sepi… pipi… PAK MAT JUAL TOPI… [nanti malam lain sambung lagi ya].

- QiEsYa NuRqAsRiNa. SeLaMaT dAtAnG -


- Sorry ya Mak Tam, Qiesya tak diet lagi, sebab tu nampak macam kembang. Nanti, Mak Tam & Qiesya, kita diet sama-sama ya sebab masa dalam perut Qiesya selalu dengar abang panggil Mak Tam anak gajah. Dan lagi... sorry juga sebab Qiesya pakai lipstik lebih tebal daripada Mak Tam. Qiesya cari juga lipstik warna pink, tapi tak ada sebab tu pakai warna maroon ni -

Kalau dia dah boleh berkata-kata, dia mesti cakap macam ni, “Hai... semua! Nama saya Qiesya Nurqasrina. Umur saya, tak sampai sehari lagi. Saya dilahirkan di Hospital Besar Ungku Tun Aminah, Johor Bahru. Berat saya 3.4 kg dan masa lahir saya pukul 1.00 pagi. Nama mama saya Mazlina Saaban, nama papa saya Hasrul Wahab dan nama abang kesayangan saya, Mohammad Aqqif Najmie. Saya ada seorang mak cik yang comel [mak cik perasan] nama Marwati Wahab atau Aleya Aneesa, tapi saya panggil dia Mak Tam. Saya juga...”

Sayangnya, dia masih tak boleh berkata-kata [kalau dia boleh bercakap, memang dia bayi ajaib] dan satu hari nanti, insya-ALLAH dia akan berkata-kata dan akan tumbuh menjadi anak manis yang akan menjadi penyejuk di mata dan penyeri di hati, bukan hanya bagi keluarga, tapi pada seluruh yang ada di muka bumi ini, yang tentunya akan saling berkaitan dengan hidupnya.

Syukur alhamdulillah, ibu dan anak selamat dalam proses melahirkan dan kelahiran. Dan bagi saya sebagai kakak ipar dan mak cik, tak ada yang lebih penting daripada itu. Ketika melihat nama adik ipar saya terpapar pada skrin telefon malam tadi [bermaksud pagi], saya dah senyum kerana saya dapat agak apa yang mahu disampaikan. Bila mendengar suara adik saya, saya ketawa perlahan. Saat adik saya sebut, “Girl”, saya hanya membalas dengan sebutan, “Alhamdulillah”. Syukur kerana kedua-duanya selamat, syukur kerana segala-galanya dipermudahkan dan syukur kerana impian adik saya mahukan anak perempuan kali ini sudah tercapai. Tapi katanya, kalau diberikan anak lelaki sekali lagi pun, dia tetap bersyukur kerana tiap anak itu adalah anugerah dan setiap satunya pembawa rezeki tersendiri.

Untuk QIESYA NURQASRINA, SELAMAT DATANG ke dunia yang penuh dengan warna-warni ini. Bila besar nanti Qiesya akan kenal dengan sepak terajang dunia. Qiesya akan jatuh dan bangun berkali-kali. Tapi Mak Tam harap Qiesya akan kuat, akan jadi seteguh karang kerana dunia ni bukan tempat orang yang lemah, sayang. Bila kita lemah, kita akan mudah dipijak orang. Untuk Mohammad Aqqif Najmie, tahniah sebab Aqqif sekarang dah jadi abang. Mak Tam harap Aqqif akan jadi abang yang paling best dalam dunia untuk Qiesya, abang yang akan selalu ada untuk Qiesya. Kalau Qiesya kena kuat, Aqqif juga harus lebih kuat sayang kerana Aqqiflah yang akan menghulurkan tangan setiap kali Qiesya jatuh tersadung akar. Untuk anak-anak yang lain, Kakak, Adik, Danish, Naqib, Arissa, Awish & Umaira, doa untuk kalian tak pernah tak ada. Moga kalian semua [9 orang] akan jadi anak-anak yang membanggakan keluarga.

- MaLaM yAnG sEpI... pIpI...-

Salam dan selamat malam pada yang belum tidur dan mungkin bakal tidur beberapa detik lagi. Tak kiralah pukul berapa kalian tidur, saya berdoa dan berharap kalian akan mendapatkan mimpi yang indah-indah dan lebih penting daripada itu, kalian akan mendapatkan tidur yang berkualiti. Sedangkan saya sendiri tak ingat dan tak tahu bila agaknya kali terakhir saya mendapatkan tidur yang berkualiti kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya sedar saya tidur dan saya lebih sedar yang saya tak pernah tak terjaga ketika tidur. Kadang-kadang saya terjaga selepas 30 minit saya tidur, kadang-kadang selepas 1 jam, kadang-kadang setiap satu jam, kadang-kadang saya terjaga lima kali sehari, kadang-kadang 4 kali dan kadang-kadang saya langsung tak dapat tidur sampai ke pagi. Hanya berpusing ke kanan dan ke kiri dengan rasa resah dan gelisah. Maklumlah, otak dah kata nak tidur, tapi mata enggan terpejam [sebenarnya otak yang masih mahu bekerja]. Dan saya dah lali dengan keadaan itu dan disebabkan itu juga saya sangat menghargai waktu tidur dan saya sangat suka tidur. Tapi seumur hidup saya, saya tak pernah ambil ubat tidur dan tak berharap untuk mengambilnya.

Okeylah, saya tinggalkan soal tidur saya yang bermasalah. Malam ni saya sekadar mahu menconteng apa yang mahu saya conteng. Tak ada kisah penting pun sebenarnya, hanya jari-jemari gemuk ini [tak runcing] terasa nak menconteng sesuatu di sini, di blog kesayangan saya. Ya… dibandingkan blog dan fb, saya memang lebih sayangkan blog yang ada masa-masanya meriah dengan conteng-contengan saya dan ada masa-masanya pula usang bagaikan tak berpenghuni. Bukannya tak ada tuan rumah, ada dan selalu ada. Hanya tuan rumah lebih selesa menyorok di dalam rumah semata-mata sebab tak ada jiwa nak menconteng.

Bila saya kata saya lebih memilih blog dibandingkan fb, saya kelihatan seperti pilih kasih kan? Ya, saya pun rasa macam tu juga! Tapi nak buat macam mana bila rasa sayang, rasa suka, rasa kasih dan rasa cinta itu datangnya begitu-begitu saja. Tak perlu dipaksa dan tak akan ada yang mampu memaksa, sama macam kita tak suka atau kita bencikan seseorang yang sebenarnya tak ada salah atau masalah dengan kita. Dan saya percaya, semua rasa itu adalah anugerah, tak kira rasa yang positif mahupun negatif. Hanya kalau boleh, rasa negatif tu janganlah dihadirkan dalam jiwa kita. Kalau masih dihadirkan juga, pandai-pandailah kita mengatasinya.

Cara saya menulis macam orang baik-baik aje kan? Tapi sebenarnya, saya bukanlah baik benar [tapi saya juga bukan orang jahat ya]. Saya manusia yang banyak kekurangan dan boleh dikatakan kerap melakukan kesalahan dalam hidup. Sehabis tenaga pun saya cuba mengusir sikap dan sifat buruk dalam diri saya, tetap juga ada. Hanya jahat saya tak adalah sampai mencuri, merompak, membunuh dan yang sewaktu dengannya. Tapi kalau diberi pilihan, saya lebih memilih mempunyai sikap dan sifat yang baik jika dibandingkan dengan sikap dan sifat yang buruk.

Duduk-duduk di Rumah Pink sambil ditemani TV [saat dan ketika ni, saya sebenarnya sedang menanti tayangan Hawaii Five-0 (S2) kat AXN – episode pertama hari ni], sambil menyanyi lagu kanak-kanak [MALAM YANG SEPI... PIPI, Pak Mat jual nasi...], saya teringat apa yang saya tanyakan pada kawan baik saya, Diana petang tadi, petang sebelum kami berdua menyaksikan teater kanak-kanak yang berjudul “Sang Kancil dengan Gergasi” di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka. Syabas buat adik-adik yang telah menjayakan teater tersebut. Sekolah mana, saya sungguh-sungguh tak ingat. Tapi yang pasti, saya sungguh-sungguh terhibur dan kagum dengan bakat yang ditunjukkan mereka semua. Saya percaya suatu hari nanti, adik-adik inilah yang akan memastikan tanah air tercinta kita ni akan terus maju dan makmur seiring dengan dunia di luar sana.

Balik semula apa yang saya bualkan dengan Diana. Saya tanya dia, “Antara burung dengan rama-rama, mana yang lebih cantik?”. Diana kata, “Saya selalu jumpa dengan rama-rama yang warnanya kusam.” Saya kata, “Masa kecil-kecil dulu, kita jumpa dengan rama-rama yang berwarna-warni.”

Ya… satu ketika dulu, ketika saya masih anak-anak hingusan [sekarang pun berhingus juga sebab selesema], saya dan sepupu-sepupu saya memang suka tangkap rama-rama dan belalang kunyit juga belalang padang. Saya tangkap guna penyeduk [alat yang digunakan untuk menangkap udang] pak cik saya yang saya ambil secara diam-diam. Banyak rama-rama yang kami tangkap, kemudian letakkan dalam plastik. Mula-mula rama-rama tu nampak cantik sangat tapi lama-kelamaan rama-rama tu keras dan kaku sebab tak boleh bernafas sebabnya, ada masa-masanya kami buat lubang pada plastik tu tapi kadang-kadang kami lupa. Jahatnya saya dulu sebab jadi ‘pembunuh’. Tapi masa tu, saya bukannya bijak benar. Yang ada dalam kepala saya, rama-rama tu cantik dan bila dah cantik, haruslah ditangkap dan disimpan. Tapi kalau tindakan saya kejam, saya tau masih ada yang lebih kejam sebab saya pernah tengok rama-rama yang sengaja diawetkan dan dibingkaikan cantik-cantik untuk dijadikan perhiasan. Saya bunuh sebab saya kecil dan otak tak berapa berkembang [ayat bela diri betullah awak ni Aleya Aneesa @ Marwati Wahab], tapi saya percaya yang membingkaikan rama-rama itu tentu aje orang dewasa yang punya akal yang lengkap.

Itu rama-rama, belalang kunyit pula, saya tanggalkan ketingnya sebab keting tu biasanya akan menyebabkan jari-jemari saya luka. Belalang padang pula saya tak tahu apa yang saya buat dengannya, yang pasti saya tak makan ya. Tapi betul, saya suka tangkap belalang padang dengan tangan. Kadang-kadang dapat tangkap, kadang-kadang pula tak dapat tangkap langsung. Tak cukup dengan rama-rama, belalang kunyit dan belalang padang, saya juga tangkap berudu dan macam-macam lagi, kecuali ulat dan seluruh ahli keluarganya. Maaf ya haiwan-haiwan kecil, kalian sangat comel. Tapi maaf, dulu tu… saya bodoh sikit, tak macam sekarang!

Jahat kan saya masa kecil? Atau sebenarnya nakal? Tapi itulah saya, saya yang membesar dengan sungai dan hutan yang tak begitu tebal. Sakit dan luka masa tu, memang tak ada apa-apanya bagi saya. Tiap kali jatuh tersadung akar, saya bangun [akar sebenar, bukan akar yang bermaksud sepak terajang dunia]. Budak kampung, kalau mudah mengaduh memang tak layak digelar budak kampung. Dan seiring dengan putaran waktu, saya membesar macam anak-anak yang lain. Sedikit demi sedikit kenakalan zaman anak-anak saya tinggalkan begitu saja, zaman yang banyak mengajar saya supaya jadi kuat, sekuat tangan kecil saya yang bergayut macam tarzan pada dahan pokok getah di atas bukit. Mujur yang jatuh ke bawah sampai patah tangan kanan sebab dahan patah, kawan saya, bukan saya. Mujur juga turn saya jadi tarzan masa tu dah lepas. Kalau tak mesti abah saya tambah lagi kesakitan saya bila dah baik [orang tua kan memang macam tu, walaupun abah saya bukanlah jenis pantas tangan]. Dan bila satu hari saya balik didukung mak usu saya sebab kaki saya disengat ikan, tak pulak abah saya tambah dengan mencubit atau memukul saya, sebaliknya cepat-cepat saya dibawa ke klinik. Tapi saya bukannya jenis cepat serik, esok-esok saya buat lagi.

Sekarang… kenangan tu dah berpuluh-puluh tahun saya tinggalkan, tapi segala-galanya masih segar dalam ingatan, walaupun saya akui ada yang kian hakis kerana faktor usia yang makin meningkat. Hendaknya kalau umur panjang, saya masih berharap saya masih mampu mengingatkan kenangan-kenangan manis zaman kanak-kanak, biarpun untuk masa 10, 20 atau 30 tahun lagi supaya saya dapat kisahkan segala-galanya pada orang-orang yang dekat dengan saya kelak. Biar mereka mengambil iktibar dan pengajaran atas apa yang pernah saya lalui dulu. Dan lagi, sekarang ini saya tak pernah lagi tengok budak-budak tangkap rama-rama, belalang ataupun main sungai. Sangat rugi!

- 11.11.11, KeSiAn AdIkKu SaYaNg -

11.11.11, cantikkan tarikh tu? Ada orang kata, tarikh tu tarikh keramat. Tapi saya tak percaya, bagi saya, tarikh hanyalah sekadar tarikh semata-mata. Kalau dah namanya hanya tarikh, mana mungkin dapat mempengaruhi hidup manusia sebabnya hidup mati kita di dunia ini ditentukan DIA YANG SATU. Mahu yang buruk-buruk untuk hidup kita, maka buruk-buruk jugalah yang akan kita dapatkan. Tapi soalnya, siapa yang hendak yang buruk-buruk berlaku dalam hidupkan? Kalau ada juga, tak tahulah saya nak kata apa pada orang itu.

Jika mahu yang baik-baik berlaku dalam hidup, kita mintalah pada DIA kerana hanya DIA yang dapat memperkenankan permintaan kita. Tapi jangan pula kita meminta semata-mata hingga mengabaikan yang dinamakan usaha. Sebabnya, dalam dunia ini mana ada yang mudah kan? Apalagi jika kita mempunyai impian besar macam impian saya dalam N3, [SAYA PUN ADA IMPIAN TAU!]. Selepas berusaha macam nak rak, kita tawakal lagi kepada DIA. Dengan tawakal itu, saya percaya sama ada usaha yang kita buat akan berjaya atau gagal, sudah tak menjadi soal lagi kerana kita percaya setiap yang berlaku tentu ada hikmah yang hanya akan kita ketahui sehingga detik itu tiba.

Jadinya, saya tolak 11.11.11 sebagai tarikh keramat sebab memang tak ada keramatnya tarikh tu. Tapi saya tak menolak yang tarikh tersebut sangat cantik dan tentu aje sangat mudah untuk diingatkan oleh sesiapa saja [walaupun saya sendiri tak ingat ‘tarikh hari ini’ masa daftar sim card kat Times Square, terpejam celik mata saya sebab nak ingat sampai adik kat kaunter tu senyum simpul]. Sangat sesuai untuk dipilih untuk perkara besar dalam hidup seperti mengadakan majlis pertunangan, perkahwinan dan mungkin banyak lagi. Tapi bila dah dipilih tarikh ‘secantik itu’ dan gagal untuk diingati pada tahun depan atau tahun-tahun berikutnya, memang nak kena belasahlah kan?

Dan berbalik kepada tajuk N3 di atas, 11.11.11, KESIAN ADIKKU SAYANG, memang kesian kat adik pertama saya yang bernama HASRUL tu. Sebenarnya sepanjang hari Jumaat tu, saya menunggu-nunggu juga khabar gembira dari Johor Bahru. Masuk aje hari Sabtu, 12.11.11, saya terasa nak ketawakan adik saya tu sampai guling-guling. Nampak sangat yang adik saya tu tak ada bakat jadi Nujum Pak Belalang [tulah, tak mahu menuntut dengan saya yang pernah jadi guru pada Nujum Pak Belalang]. Saya rasa geli hati sebabnya, masa cuti Hari Raya Aidiladha hari tu, yakin aje dia kata yang anak dia [anak kedua] akan lahir pada 11.11.11. Bila orang kampung kata, orang lain dah bersalin dan ada juga yang dah pergi ke hospital sebab dah sampai masa, itu juga yang dia jawab. Kononnya, anak dia yang masih belum diketahui jantina [kalau perempuan saya suruh letak QISYA macam dalam novel AKU MAHU KAMU tu, tapi belakang bukan KHALESA] tu akan lahir tarikh tu. Sudahnya, sampai ke hari ni adik ipar saya belum bersalin walaupun sedang menunggu hari.

Apa adik saya ingat, memilih tarikh bersalin sama macam memilih tarikh nak bertunang atau nak berkahwin, walaupun memang ada tarikh jangkaan? Kalaulah boleh saya percaya tentu ramai yang dah pilih tarikh-tarikh yang mudah diingat macam 11.11.11. Sayangnya tak boleh! Mak saya kata, “Tak payah risau, sampai masa mesti keluar”. Saya pula tanya adik saya soalan yang tak berapa cerdik, “Kalau sampai 5 tahun tak keluar macam mana?”. Adik saya dengan muka blur kata, “Yang Kak Tam tanya soalan bodoh kenapa?”. Sudahnya saya ketawa besar, saya memang selalu cakap merapu bila dengan adik-beradik saya, dengan kawan-kawan pun saya suka juga cakap yang entah apa-apa macam tu.

Saya tahu dalam beberapa hari lagi, tak pun esok lusa, anak saudara saya yang ke-9 [kopaklah Mak Tam tiap kali menjelang raya, ataupun Mak Tam kurangkan jumlah duit raya tu ya sayang?] akan menjengah dunia. Hendaknya perjalanan melahirkan si emak dan kelahiran si anak, kedua-duanya akan dipermudahkan ALLAH. Harap juga DIA pelihara kedua-duanya nanti. Biarlah emak dan anak, kedua-duanya sihat hendaknya.

- SaYa PuN aDa ImPiAn TaU! -

Semua orang dalam dunia ni saya kira ada impian, kecuali anak-anak kecil sebab mereka terlalu kecil. Hendak memikirkan perkara kecil pun masih tak mampu, tak mungkin dapat berfikir impian yang besar-besar macam orang dewasa. Tapi seiring dengan masa yang beredar, anak-anak kecil itu akan tumbuh menjadi anak-anak remaja dan kemudian dewasa yang pasti ada impian yang indah-indah.

Saya pun sama, saya ada begitu banyak impian yang ada antaranya sudah pun dapat dipenuhi. Tapi ada banyak lagi yang belum jadi kenyataan kerana hakikat hidup, manusia ni sebenarnya tak pernah puas. Bila satu keinginan dipenuhi, akan ada banyak lagi keinginan lain yang datang menderu-deru. Kadang-kadang datang macam angin taufan, kadang-kadang datang macam hembusan bayu.

Dan salah satu daripada impian saya ialah mahu MEMILIKI KERETA BARU [Yang konon-kononnya berjenama luar negara]. Hanya MAHU, sedangkan KEMAMPUAN buat masa ni memang TAK MAHU. Puas saya korek-korek, tolak ke sana dan tolak ke sini, kurangkan di situ dan lebihkan di sinun [Ada ke di sinun?] pun, memang tak cukup dan tak akan cukup untuk masa terdekat ini atau mungkin juga setahun dua lagi. Mahu memejamkan mata dan redah aje, saya tak berani kerana saya bukannya jenis suka berumah di tepi pantai. Saya tak memegang prinsip, “Biar papa asalkan bergaya” kerana saya tak boleh hanya memikirkan diri saya semata-mata, ada yang lain-lain harus saya fikirkan. Mereka adalah keutamaan saya dan saya selalu memikirkan mereka melebihi saya memikirkan diri saya kerana tanpa mereka, saya tak mungkin akan menjadi saya seperti hari ini. Tak ada mereka, tak adalah MARWATI WAHAB @ ALEYA ANEESA yang bermakna tak ada juga karya-karya saya.

Macam mengada-ngada kan saya ni? Ada hati mahu kereta baru, padahal Encik Wir saya masih elok walaupun dah banyak dah usianya dan lagi, masih begitu sedikit jasanya pada saya sebab saya hanya menggunakan dia selama 1 tahun 8 bulan kebelakangan ni aje. Itu pun masih ada hati mahu menukar kereta baru.

Dulu-dulu saya sebenarnya tak peduli pun pada yang dinamakan kereta. Lepas beli Encik Wir pula, saya jadi lebih tak peduli pada kereta. Pandang kereta, saya rasa sakit hati! Apa ertinya saya peduli pada kereta kalau kereta yang ada pun saya tak boleh nak bawa? Balik-balik hanya menumpang kereta orang dan kalau dah hidup menumpang, kadang-kadang menjeruk rasa sendiri selama bertahun-tahun. Sampai masa bila dah tak tahan, terpaksa berpaling pada kawan yang lain.

Tak tahu nak tulis apa lagi. Jom... kita cuci mata sebab nak memiliki mungkin tak semudah kita membeli sebungkus kacang cap tangan kat kedai. Dan saya sendiri, MUNGKIN akan dapat memiliki salah sebuah daripada kereta tersebut [Entah bila kurun agaknya kalau dapat pun?], ataupun langsung TAK MUNGKIN sebab saya kena ukur baju kat badan sendiri. Berangan tak salah kan? Tak kena bayar pun. Kalau dapat, saya kira saya bertuah dan kalau tak dapat pun tak apa-apa. Ini cuma sebahagian daripada impian saya dan setiap impian, siapa kata akan berakhir dengan kita menggenggam impian itu kan?







- KeCuAlI dOkToR dInZleY -

Hari ni saya cuti! Eh... bukan cuti tapi MC. Kiranya ini adalah MC saya yang kedua, yang bermaksud dah 2 kali dalam tahun ni, tahun 2011, saya terpaksa menjejakkan kaki ke lantai klinik. Padahal habis aje tahun 2010 dulu, saya bertekad tak mahu berjumpa dengan yang dinamakan doktor kerana kalau boleh saya tak mahu ditimpa sakit. Tapi pertengahan puasa tahun ni nampaknya tekad hanya tinggal tekad bila Encik G atau nama penuhnya GASTRIK tanpa segan silu mendatangi saya tanpa ada sebarang alasan.

Ya... didatangi Encik G memang tak seronok langsung. Takkanlah seronok kalau sampai ada rasa-rasa nak berguling-guling sebab tak tahan. Ada juga rasa-rasa nak termuntah tapi bila pergi singki tak ada pula yang keluar. Ada pulak rasa-rasa nak meraung-raung macam orang kehilangan orang tersayang [Selalu dengar orang sebut mati laki]. Dan lebih daripada itu, ada juga rasa-rasa nak radak perut sendiri, mengambil Encik G dan memijak-mijak Encik G yang jahat itu sambil menyanyi lagu hip hop [Ya sangatlah tu nak menyanyi lagu hip hop, padahal nak menyebut perkataan hip hop terasa macam tak sampai hati aje aku ni] dengan harapan Encik G tu akan pergi dan tak akan toleh lagi ke belakang. Sayangnya, itu hanya impian. Hakikatnya, bila saya terlebih makan, terkurang makan, tak makan atau makan seperti biasa, ada masa-masanya tetap juga Encik G datang menyapa. Cuma kedatangannya taklah teruk macam hari tu dan selagi tak teruk, selagi tulah saya boleh berlapang dada dan berlega hati. Yang penting, masih mampu berdiri dan berjalan. Kalau dah sampai rasa tak mampu nak berdiri dan berjalan, saya memang takut. Maklumlah, saya kan sebatang kara di sini, menumpang pula di negeri orang [Ya-ya sangatlah kau tu!]. Tapi betul, jujurnya saya sangat takut kalau sakit di sini, walaupun saya tahu ada kawan-kawan yang mungkin akan peduli pada saya. Kalau di Johor Bahru rasa takut tu taklah banyak mana sebab ada keluarga. Saya tak malu mahu menyusahkan mereka [Benar-benar anak, adik & kakak yang jahat kan?].

Dan semalam... sekali lagi saya mencemar duli memijak lantai klinik sebab tak sihat. Rasanya sejak Selasa lagi saya dah rasa ada yang tak kena dengan diri sendiri. Terjaga tengah malam, tekak rasa sakit yang amat. Gelojoh aje cara saya minum air masak. Bila bangun pagi tetap juga rasa yang sama. Saya yakin saya Encik S atau lebih mesra dipanggil SELESEMA sebab selalunya memang macam tu. Rabu tu [semalam], saya melangkah ke pejabat dengan Encik S yang dah melekat kat hidung. Aduhai... saya sangat tak suka pada Encik S, sama macam saya tak suka pada Encik G. Tapi nak buat macam mana, Encik S nampaknya begitu sukakan saya sampaikan dihembus berkali-kali dengan tujuan menghalau pun, tetap juga tak mahu pergi. Sampai ke petang pun saya masih cuba bertahan di pejabat, walaupun terasa ada orang main pingpong dalam kepala. Balik aje terus mandi, ambil ubat dan saya terus tertidur sakan. Sedar-sedar dalam pukul 4.00 pagi. Tengok hp di ruang tamu yang saya tinggalkan macam tu aje, ada miss call, ada SMS. Saya hanya memandang tapi tak membalas apa-apa sebab dah terlalu lewat dan kepala saya pun masih tak boleh berfungsi dengan baik.

Sudahnya saya tak pergi kerja tadi pagi sebab saya tak larat. Kepala sakit, tekak sakit, hidung berair, batuk, sakit bahu dan demam bagaikan berjanji-janji datang menyerbu saya. Akhirnya, sekali lagi saya terpaksa menjejakkan kaki ke lantai klinik dengan muka berserbai sebab siap ala kadar aje. Karang kalau saya bersolek sakan, doktor pulak sakit sebab terkejut beruk [Macamlah selama ni kau jenis bersolek bagai kan?]. Lagipun saya tak laratlah nak bersolek dalam keadaan rasa tak tentu arah.

Itu pun baran juga rasa dalam hati bila doktor tak ada, katanya doktor cuma ada pukul 10.30 pagi. Saya tak faham kenapa klinik bukak pukul 9.00 pagi, doktornya pula datang pukul 10.30 pagi. Kalau bukak pukul 9.00 pagi, doktor datanglah pukul 9.00 pagi juga. Ini tak, mentang-mentanglah dia doktor, ikut suka hati aje nak datang pukul berapa. Nak datang pukul 10.30 pagi, bukaklah klinik pukul 10.30 pagi juga. Macamlah pesakit tak ada kerja nak menunggu dia aje. Kalau ada rasa nak mati, agaknya dah mati dalam klinik tu sebab menunggu doktor. Tapi sebab saya malas dah nak ke klinik lain, saya tunggu jugalah dengan hati berbuku dengan rasa geram dan sakit hati. Dan si doktor bertuah itu bukannya datang pukul 10.30 pagi, tapi pukul 11.00 pagi.

Lepas ambil ubat, saya pun balik sebab yang ada dalam kepala saya hanyalah bantal, katil dan selimut. Hati bertekad lagi, kalau boleh sampai hujung tahun ni saya tak mahu jumpa doktor lagi, KECUALI DOKTOR DINZLEY [Apa kaitan?]. Ya... ya... saya tahu Doktor Dinzley tu doktor haiwan dan lagi hanya wujud dalam novel saya, KASIH BENAR KASIH, tapi... alahai, sekali-sekala bagilah saya peluang untuk berangan sikit. Insya-ALLAH saya tak akan jatuh macam Mat Jenin sebab saya tak panjat pokok kelapa. Memang dulu-dulu saya suka panjat pokok, saya panjat pokok rambutan, jambu, manggis, mangga, getah dan banyak lagi. Tapi tak pernah sekali pun saya panjat pokok kelapa sebab pokok kelapa macam susah aje nak panjat sebab tak ada cabang-cabang. Jadinya, tugas panjat pokok kelapa saya serahkan pada MONYET secara rasminya.

Dan ketika N3 ini ditulis, demam saya dah kebah, batuk dah kurang. Hanya sakit kepala dan Encik S aje yang masih setia. Apa pun, saya harap semuanya pergi sebelum saya ke China nanti sebab saya tak larat nak menggendong mereka nanti. Tolong pergi dengan segala hormatnya ya kamu berdua...

- WuJuD kE BFF yA? -

Saya tak ingat banyak tentang zaman kanak-kanak saya, walaupun saya akui bukan semua kenangan masa tu saya dah lupakan. Ada yang masih segar dalam ingatan sampai ke hari ini dan pastinya tak akan saya lupakan sampai bila-bila sebab memang tak boleh pun kalau nak dilupakan. Hanya faktor umur yang dah makin beranjak ke depan dan faktor masa yang dah makin jauh meninggalkan saya, membuatkan banyak kenangan tak begitu penting sudah saya terlupakan.

Tapi… biar banyak kenangan dah semakin pudar daripada ingatan, biar masa semakin jauh ke depan, satu hal yang saya selalu pahatkan di hati, ikatan persahabatan itu letaknya juga di tempat yang tinggi. Hanya mungkin letaknya di tangga kedua, selepas ikatan kekeluargaan. Dan sampai ke hari ini, walau kawan saya bersilih ganti kerana saya sudah melalui banyak fasa perubahan dalam hidup sama seperti orang lain juga, saya tetap ingat pada setiap yang pernah menggelar saya sebagai kawan mereka. Ada yang saya akui, saya hanya ingat pada wajah mereka tapi tidak pada nama. Ada juga yang saya ingat nama semata-mata sedangkan wajah mereka langsung tak mampu mata dan minda saya imbas. Bahkan ada juga yang asalnya jadi kawan, kemudian tak lagi jadi kawan. Dulunya bukan kawan, kini dah pun jadi kawan baik.

Satu ketika dulu, saya mengaku yang saya pernah mengagung-agungkan sahabat dan ikatan persahabatan. Dan sekarang ini pun sebenarnya saya masih memandang tinggi pada yang dinamakan sahabat dan persahabatan kerana ikatan mulia itu bukannya boleh dijual beli semudah kita membeli ikan di pasar. Hanya kini rasa tu dah tak sama lagi kerana saya percaya dalam apa pun keadaan, perlu ada had dan batas yang tak boleh dilanggar sesuka hati. Saya dah tak mahu melanggar batas-batas had yang ada macam dulu-dulu. Cukup-cukuplah satu ketika dulu saya memegang ikatan persahabatan terlalu ketat sehingga saya lupa ada ikatan yang lebih penting daripada itu.

Lebih daripada itu, saya bukan lagi anak-anak kecil mahupun anak remaja yang baru hendak mengenal hidup kerana dalam umur sebegini, macam orang lain juga, saya dah pun melalui banyak perkara yang ada masa-masanya memang dah dijangka hadirnya, di masa yang lain pula langsung tak diduga. Jatuh dan bangun tanpa saya sedar dah pun jadi asam garam dalam hidup saya dan semua itu membuatkan saya lebih matang hari demi hari dalam menempuh sebuah kehidupan.

Itu, saya yang sudah pun hampir bongkok tiga. Bukan anak saudara saya yang baru hendak belajar hidup. Belajar untuk mengenal kawan dan dalam masa yang sama ikut kenal lawan. Tapi memandang dia, saya jadi ingat pada diri sendiri. Hendak menyalahkan dia kerana dia yang menyebabkan diri sendiri dianiaya orang dan ditikam kawan sendiri dari belakang, terasa tak adil kerana dalam seumur dia dulu, saya juga selalu menganggap kawan segala-galanya. Ditikam berkali-kali dari belakang pun, tetap juga saya akan melebihkan kawan daripada adik-beradik dan orang tua sendiri. Bagi saya, bila saya susah merekalah yang akan tampil membantu, sanggup susah dan senang bersama-sama saya. Saya lupa pada peribahasa, “carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga”, lupa pada “air dicencang tak akan putus”, lupa pada ‘cubit paha kanan paha kiri terasa” dan banyak lagi.

Tapi biarlah... yang berlaku dah pun berlaku. Walaupun anak saudara saya menangis dikerjakan kawan baik sendiri, masa yang dah berlaku tak mungkin dapat dibalikkan kembali. Mujur juga warna yang hitam dah saya putihkan walaupun sehari semalam saya mencari jalan sebab jalan yang ada bagaikan dah tertutup rapat. Satu yang saya pegang, kalau kita benar ALLAH pasti akan tolong dan sepanjang membuat ‘kerja-kerja’ pembersihan semalam, saya memang menempuhi kesukaran. Saya tak kenal kawan dia dan saya tak boleh nak cam muka kawan-kawan dia dengan baik dan saya hanya mengikut gerak rasa semata-mata. Tapi hati saya dalam masa yang sama berdetik, “Ya ALLAH... kalau anak saudara aku tak salah, tolonglah mudahkan segala-galanya.”

Dan ALLAH itu memang MAHA BERKUASA, akhirnya saya berjaya juga dengan bantuan daripada DIA. Hendaknya anak saudara saya akan mengambil apa yang berlaku sebagai pengajaran. Berkawan memang tak salah, tapi janganlah sampai meletakkan 100% kepercayaan pada yang dipanggil kawan. Simpanlah sedikit untuk diri sendiri supaya tak mudah dijatuhkan orang. Tapi hati saya di dalam bertanya, benar-benar WUJUD KE BFF YA? Kalau betul ada, kenapa ada istilah kawan makan kawan ya?

- TaKkAn AdA yAnG sEpErTiNyA lAgI –

Saat jari-jemari tak runcing ni ketuk keyboard untuk tulis N3 kali ni, sebenarnya saya terasa sangat letih. Kalau sekarang ni saya ada di rumah saya pasti dah terlepek kat mana-mana sudut kat rumah saya. Mungkin atas katil, mungkin atas sofa, mungkin kat lantai dan mungkin juga buka-buka aje pintu, saya terus landing depan pintu tanpa fikir panjang atau senonoh atau tak senonohnya perbuatan saya tu, sebab saya betul-betul dah tak larat lagi. Macam tak logik kan bunyinya? Macam teruk benar aje keadaan saya kan?

Tapi betul... bila saya kata saya letih, maknanya saya memang benar-benar letih. Letih yang bukan hanya sekadar di fikiran semata-mata, tapi bersambung sampai ke tubuh yang kemudiannya mula menjejaskan hati saya. Sebab itu saya sangat berharap pada saat-saat ‘kecederaan’ macam ni, adanya pengertian daripada apa dan siapa aje yang ada di sekitar saya. Apalagi bila letih ni pun bukannya baru hari ni atau minggu ni saya pegang, tapi sejak sebulan yang lalu. Letih yang macam penyakit menular, yang sesuka hati menular dalam diri walaupun seboleh mungkin menolak.

Dan yang membuatkan saya letih, tak lain dan tak bukan adalah ‘kerja’ yang saya galas selama ni. Mesti ada yang kata, apalah yang penat sangat dengan kerja edit-mengedit manuskrip kan? Bukannya kena angkat kayu balak pun. Bukan kena pecahkan batu pun. Ya... sangat betul! Saya setuju dengan kata-kata tu sebab selama ni saya pun anggap kerja yang saya buat sejak 6 tahun dulu taklah sesusah mana walaupun ada masa-masanya, mulut marah-marah juga dan hati merungut-rungut juga. Tapi... manuskrip kali ni memang sangat-sangat menguji kesabaran. Kalau silap pertimbangan, memang menitis air mata. Bukan sebab sedih, tapi sebab saya tak tahu macam mana nak perbaiki apa yang dah pun dihidangkan di hadapan saya. Betulkan begini, tak kena. Betulkan begitu, maksudnya hilang. Malah ada ketikanya saya jadi tertanya-tanya, apa yang nak disampaikan? Kalau saya yang mengedit susah nak faham, macam mana dengan pembaca?

Ada begitu banyak juga ayat yang perlu diteliti dan ada sangat banyak perkataan yang tak pernah saya dengar sepanjang umur saya hingga memaksa saya berteman sentiasa dengan Si Maroon atau nama manjanya Kamus Dewan Edisi 4. Belum lagi masuk perkataan Indonesia yang sangat banyak sampai-sampai saya fikir, yang menterjemah ni rakyat Malaysia, atau rakyat Indonesia? Tapi... mujur juga saya sangat akrab dengan Sinetron Indonesia, maka sedikit sebanyak memang membantu saya dalam pemilihan kata-kata yang sesuai.

Awalnya ketika memegang kerja tu, saya senyum. Saya sangka masa sebulan tu dah sangat panjang. Tapi baru baca perenggan kedua, saya dah terasa susah nak tarik nafas. Saya tak boleh betulkan ayat yang ada. Kata hati saya, “Baru dua bab dah sesusah itu, macam mana saya nak selesaikan untuk beratus-ratus bab yang lain?’. Dan ternyata kata hati saya tepat, dalam sebulan ‘bermesra’ dengan kerja ni, saya terasa saya hilang kebebasan. Gaya saya memang tetap bebas, tapi hati dan fikiran seakan-akan terkurung dalam ruang yang penuh dengan wayar berselirat di mana-mana. Tiap langkah yang saya ambil, fikiran saya asyik berfikir cara macam mana nak ‘mencantikkan’ sesuatu yang ‘sangat buruk”. Bahkan dalam senyum dan ketawa pun, minda saya masih berjalan. Bimbang kalau-kalau saya tak mampu menyudahkan tugas yang diberi, apalagi masa pelancaran dah semakin dekat.

Sampai sejam yang lepas, saya masih juga terasa berdebar-debar sebab janji hantarnya hari ni. TUHAN aje yang tahu betapa kalau boleh saya mahu menarik diri di saat akhir dan berkata yang saya tak mampu menyudahkan kerja saya. Tapi tak boleh, mahu atau tidak kena juga teruskan sebab saya dah bersetuju sejak awal.

Dan sepanjang sebulan ni, entah berapa puluh kali agaknya saya terasa nak termuntah kerana tekanan yang datang dari dalam diri, walaupun hakikatnya tak ada pun apa-apa yang mampu saya keluarkan. Bahkan bukan hanya saya tapi yang memegang ‘projek’ ni, semuanya terasa mahu muntah dan sentiasa dikejar bimbang. Lebih teruk lagi, jadual makan saya yang memang tak terurus, jadi semakin hancur. Kadang-kadang tengah-tengah membaca, badan saya menggigil dan terasa panas tiba-tiba. Ya, saya tahu itu tandanya Encik G mahu menyapa. Terpaksalah cepat-cepat saya bancuh air milo dan buat muka kesian sebab mintak biskut kering kawan. Kadang-kadang pula saya cepat-cepat sumbat coklat dalam mulut, walaupun saya sebenarnya bukanlah peminat coklat. Tapi tak kisahlah, paling penting Encik G tak terus ikut langkah saya. Sebabnya, Encik G bila datang, tiga hingga empat hari pun belum tentu pergi walaupun dah dihambat dengan rotan bernama ‘ubat’.

Tapi mujurlah, sejam yang lepas kerja saya sampai juga ke titik akhir. Saya dah pun menyerahkan kerja tersebut kepada yang berhak. Rasa sangat lega, walaupun di sisi lega ada rasa penat tak terhingga yang entah berapa hari agaknya akan hilang. Ini pun di kedua-dua bahu saya, ada rasa pedih menjalar. Mungkin saya kena ikut cakap seorang kakak di sini. Katanya, balik nanti ambil lada hitam, bunga cengkih dan garam batu, kemudian goreng tanpa minyak, letak dalam sehelai kain dan tuamkan ke bahu saya ni. Saya akan cuba dan saya kena juga cari penawar untuk ulser di bawah lidah yang juga nak ‘bermesra’ dengan saya. Cemburu ulser tu pada rasa pedih di bahu saya, sebab tu dia datang walaupun saya tak panggil.

Tapi tak kisahlah, yang penting kerja saya dan selesai. Cuma saya harap, pada masa-masa akan datang, ‘TAKKAN ADA YANG SEPERTINYA LAGI’. Sepertinya di sini tentulah merujuk kepada manuskrip yang dah saya cuba cantikkan seberapa cantik yang mungkin. Kalau pun masih ada cacatnya, saya akan cuba baiki masa pruf nanti. Dan terlanjur dan menconteng ni, saya ambil kesempatan ni untuk ucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA kepada semua umat Islam tak kira di mana saja berada. Hendaknya kita semua diberkati ALLAH dalam semua perkara yang kita buat.

- BeRaKhIr SuDaH yA! -


Seperti yang dirancang, Mini Karnival Karangkraf [MKK] yang bertempat di Plaza Angsana, BERAKHIR SUDAH pada 30 Oktober 2011, dua hari lalu. Saya yang diminta hadir pada 29 Oktober 2011 [Sabtu], sesungguhnya rasa sangat bertuah. Bukan aje sebab Johor Bahru tu tanah kelahiran saya yang membolehkan saya ‘menyelam sambil minum air’, pergi MKK, dapat juga balik jumpa mak, abah dan kaum keluarga yang lain, tapi bertuah sebab dapat melihat betapa meriahnya suasana MKR. Itu pun saya hanya menjejakkan kaki pada hari Sabtu, sedangkan saya mendapat tahu yang hari Jumaat juga sambutan daripada pengunjung sangat menggalakkan. Bahkan hari Ahad juga dengar-dengarnya pembaca tetap juga ramai yang datang.



Awalnya terasa cuak juga bila diminta hadir, maklumlah KASIH BENAR KASIH sudah pun berusia 4 bulan. Bukan novel baru dan sebab bukan novel baru tentu tak ramai yang akan mendapatkannya kerana yang menggelar diri mereka pembaca novel ALEYA ANEESA mungkin [mungkin ya] sudah mendapatkan KBK awal-awal. Kalau ada pembaca novel ALEYA ANEESA, yang tak sempat mendapatkan KBK awal-awal, jangan marah ya sebab dalam kurungan tu saya dah menulis perkataan ‘mungkin ya’, [;-)]. Tapi sebab Siri MERAH CINTA KITA [MCK] yang 3 daripada 5, ada karya yang ditulis saya [MCK 1, MCK 2 & MCK 5], rasa cuak tu saya tepis ke tepi, ke depan, ke belakang dan ke mana-mana aje. Lagipun, bukan setiap bulan pun ada MKK ni dan inilah pertama kalinya diadakan di Johor Bahru, walaupun saya pernah juga hadir di tempat yang sama atas jemputan kedai buku BADAN CEMERLANG bersama-sama kawan-kawan ALAF 21 yang lain.

Pada hari yang dijanjikan, rasa cuak saya hilang juga. Ternyata saya sebenarnya hanya takut pada bayang-bayang sendiri. Fikir saya tak akan ada orang yang mahukan tanda tangan saya, tapi saya silap. Malah, ada juga pembaca yang membeli 2 ke 4 buah novel hasil tangan saya sekali gus. Tak kurang juga anak-anak remaja yang comel-comel dan manis-manis berdiri di hadapan saya semata-mata minta saya conteng sesuatu pada Siri MCK bertajuk “ELLA GADIS PENCEGAH MAKSIAT”, “SELAMAT TINGGAL TOKIO HOTEL” & “TOLONGLAH JANGAN HUKUM DIA”. Kenapa tiga buah saja? Sebabnya, dalam ketiga-tiga buku tersebut, ada tertulis nama ALEYA ANEESA. Tapi kalau ada yang bawa MCK 3 & MCK 4, mahukan tandatangan saya, saya tetap akan melakukannya dengan senang hati. Tak kisahlah kalau tak ada nama saya pun. Yang penting, Siri MCK laku macam goreng pisang panas, ;-)



Dan antara ramai-ramai yang datang, saya rasa terkejut melihat orang yang tak saya jangka kehadirannya turut ada sama, semata-mata sebab saya. Rasa kaku seketika, sebelum saya cepat-cepat bangun menerpa dia. Saya cium tangan dia, saya dakap tubuh dia dan saya cium pipi dia macam saya cium pipi mak saya. Saya lihat mata dia bergenang dengan air jernih. Dan penghujungnya, saya juga merah mata sebab sebak melihat dia yang seperti dah makin jauh, jauh dan jauh daripada jangkauan tangan saya. Ini bukan pertama kalinya, situasi sama berlaku. Dah beberapa kali dan kali terakhir dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Itu pun saya dan dia terserempak secara tak sengaja di Kip Mart Tampoi. Saya dapat rasakan dalam hati dia ada rasa ralat yang bukan sedikit, mungkin sama macam perasaan yang saya galas bertahun-tahun lamanya. Perasaan yang dalam tak sedar sebenarnya mampu membuatkan semangat terasa seperti jatuh ke takat paling rendah. Tapi... apa nak dikata bila yang dinamakan manusia itu tugasnya hanya mampu merancang sedangkan ada DIA sebagai perancang utama. Saya reda dengan apa yang berlaku dan harap rasa ralat yang ada di hatinya juga akan beransur-ansur pergi biarpun 12 tahun masa dah pun berlalu. Bagi saya, dia tetap saya anggap seperti ibu sendiri biarpun impian yang saya pegang kejap-kejap dulu, kini dah saya lepaskan bebas ke udara.


Apa pun, saya ucapkan terima kasih berjuta-juta lemon pada yang sudi menjengah saya di MKK tempoh hari. Harap kalau ada lagi dan kalau saya dipanggil lagi, sudi-sudikanlah diri menjenguk-jenguk saya lagi ya... ;-)