- HIDUP NI TAK MUDAH, TAPI TAK JUGA SUSAH -

July 5, 2012

1] Aktiviti : Seminar Sejarah Perlembagaan Malaysia : ‘Di Antara Sejarah & Tuntutan Semasa’

2] Tempat : Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman Putera, Jalan Sato’ Onn, Kuala Lumpur.

3] Masa : 9.00 pagi – 40.30 petang.

4] Tindakan : Puan Marwati, puan dicalonkan menghadiri seminar ini. Terima kasih.

Item No. 1, No. 2, No. 3! Sungguh, saya langsung tak ada masalah. Bahkan kalau ada sesiapa aje dalam dunia ni nak buat seminar, bengkel, kursus, wacana atau apa saja yang sewaktu dengannya, selagi sesuatu itu berkaitan dengan ilmu pengetahuan, memang saya alu-alukan dengan penuh kasih sayang.

Tapi... melihat pada item No. 4, rasa lemah mula mengambil tempat. Adoilah... saya ni memang teruk sikit. Bukanlah saya tak suka menambahkan ilmu pengetahuan. Tentulah saya suka sebab saya ni manusia yang tak berapa nak berilmu walaupun sepanjang hidup tak henti-henti belajar. Tapi tidaklah secara formal sebab pelajaran secara formal saya dapat kali terakhir pada tahun 2003. Cumanya, nak keluar daripada ‘sini’ pada hari bekerja, memanglah saya sangat-sangat tak rela. Ada begitu banyak yang nak saya buat. Cumanya, bila namanya arahan.. okey, saya pergi ajelah tanpa banyak bantahan. Saya siapa kan? Kalau dah orang ‘bawah’ tu buat ajelah cara orang ‘bawah’.

Dengan bantuan seorang adik baik hati, bergeraklah saya ke sana tepat pukul 8.00 pagi. Mujur ada seorang kawan di sana. Maka, dengan dialah saya duduk. Kalau dia tak ada, mahu juga saya mati kutu. Itu pun, penceramah buka aje mulut, seperti biasa mata saya pun tertutup rapat. Entahlah, saya ni pantang orang berceramah, mulalah mata tertutup rapat. Memang mata saya tak boleh berkompromi langsung. Jadinya, tak hairanlah bila cikgu saya tegur, katanya virus dah masuk dalam kepala saya sampai saya mudah mengantuk. Apalagi, line U-mobile macam hidup segan mati tak mahu ketika di sana. Pelik betul, tengah-tengah bandar line tu boleh pulak macam nak tak nak aje adanya.

Dapat SMS daripada seorang kakak, mata saya kembali segar. Kemudian berbual dengan kawan di sebelah, bercerita tentang hidup dan kehidupan. Tentang mulut-mulut orang yang ada masa-masanya seperti tak berhati dan berperasaan. Saya tahu, dia ada kesusahan sama seperti saya. Berkahwin 6 tahun tapi tak ada anak dengan tak berkahwin pada usia dah mencecah ke bongkok tiga, ‘kesusahannya’ tetap sama, kan? Masalahnya tetap sama, kan? Mulut orang!

Benar kata dia, dalam kes saya dan dia, ada dua jenis manusia. Jenis pertama, bertanya tanpa ada maksud apa-apa. Pertanyaan jenis ini disertakan dengan nada dan intonasi yang di dalamnya tak sinis dan tak berbaur ejekan. Memang sekadar bertanya semata-mata. Malah langsung tak mengundang rasa rendah diri dan kecil hati. Tak seperti pertanyaan jenis kedua yang niatnya memang seperti menghina. Mungkin, mungkin juga tak berniat nak menghina. Tapi sebab intonasi dan nadanya yang berlainan, tetap juga kedengaran seperti hinaan. Kemudian, perlahan-lahan rasa terhina itu bertukar menjadi rasa marah, geram, kecil hati dan serba kurang.

Tapi... inilah hidup dan kehidupan. Mengawal atau hendak menutup mulut manusia bukannya mudah seperti menutup mulut tempayan. Itu pun, di banyak rumah sekarang ini, tempayan pun tak ada. Kebanyakannya dah digantikan dengan bekas lain yang tak memerlukan tenaga yang banyak ketika mengangkat. Untuk kakak tu, bersabar dan bertabahlah. Insya-ALLAH rezeki dia untuk punya anak akan ada suatu hari nanti. Saya doakan yang baik-baik untuk dia, ;-)

No comments:

Post a Comment