- CUBA TANYA APA NAMA DIA? -

Dia mak cik saya, mak cik yang sangat rapat dengan saya satu ketika dulu. Tapi bila saya sebut satu ketika dulu bukanlah bermakna sekarang ni kami dah tak rapat lagi. Masih rapat dan sampai bila-bila pun, Insya-ALLAH akan tetap rapat walaupun mak dia, yang bermakna nenek saya dah tak ada lagi. Tapi apa kaitan kami rapat atau tak rapat dengan arwah nenek saya ya? Hem… tentulah ada kaitannya, hanya… saya tak tahu nak berkisah bagaimana.

Berbalik pada mak cik saya tadi, dia mak cik yang sangat baik dan seingat saya, sejak saya tahu apa itu ertinya marah, saya tak pernah dengar mak cik saya ni marah-marah. Dia di mata saya, sangat kelakar dan selalu tau mencuit hati saya dan orang lain yang ada di sekeliling dia. Dari dulu sampai ke hari ni, saya lihat dia tak pernah berubah. Dia tetap mak cik yang merangkap kawan kepada anak-anak buah dia. Dan yang lebih aneh, masa Kak Long saya kahwin, saya cuma rasa sedih. Tapi bila mak cik saya ni kahwin, saya nangis beria-ia sebab saya terasa saya akan kehilangan dia. Macam ada hak saya yang diambil orang.

Terukkan saya? Tapi… perasaan kan sesuatu yang sangat rumit untuk dimengertikan? Dan rasa-rasa macam tu, datangnya memang begitu-begitu aje tanpa dipaksa-paksa. Hahaha. Apa yang pasti, sejak mak cik saya berkahwin [Masa tu saya masih belajar di UPM] dan berpindah, kami agak jarang berjumpa. Dalam setahun boleh dikira dengan jari-jemari tak runcing saya ni, sebabnya… bila saya balik, dia tak balik dan bila dia tak balik, saya pula yang balik. Kalau sama-sama balik pun, masa hari raya ataupun ada antara kenduri-kendara yang melibatkan keluarga kami. Kalau sama-sama balik, itu memang satu kebetulan, macam hari ni walaupun esok saya dah nak balik ke Rumah Pink. Tapi kata orang… biar dapat jumpa sekejap daripada tak dapat jumpa langsung?

Okey, berbalik pada apa yang nak saya kisahkan dalam N3 ni, lepas mak cik saya sampai tadi, dia pun datang rumah saya jumpa dengan kakak dia [mak saya]. Masa tulah kami berpeluk cium macam selalu. Tapi sebelum tu, disebabkan jarak rumah abah saya dengan nenek saya dekat yang amat, saya ada dengar adik dan abang saya sebut yang mak cik saya bawak balik kucing cantik. Tapi disebabkan saya bukan pencinta kucing yang tegar, saya buat acuh tak acuh. Mungkin kalau saya penggemar kucing, saya dah berkejar keluar rumah.

Tiba-tiba mak cik saya kata, “Kau tau kucing tu nama apa?” Manalah saya tau kucing tu nama apa sebab tak ada orang pernah bagitahu saya. Mak cik saya kata lagi, “Cuba tanya Chik Aziz.” Malas cakap banyak saya pun keluar, dari beranda… saya jerit sikit, “Chik Aziz, kucing tu nama apa?” Suami mak cik saya ketawa. Kata dia, “Nama kucing ni Emira. Emelda tinggal kat rumah. Jaga rumah…”

Mendengar dua nama tu, saya ketawa sakan. Rasa macam kelakar aje bila pak cik saya namakan kucing-kucing dia sempena nama-nama watak dalam novel KASIH ANTARA KITA. Lepas tu saya tanya dia, “Kenapa bagi nama-nama tu?” Pak cik saya balas, “Sebab dapat kucing tu masa hari pertama CINTA BUAT EMELDA [CBE] tayang kat TV.” Kali ni bukan saya aje yang ketawa besar, tapi semua yang ada di kedua-dua buah rumah ketawa juga. Ada-ada ajelah mak cik dan pak cik saya tu.

Apa pun, yang penting… hari ni saya dapat tengok CINTA BUAT EMELDA dengan keluarga saya, walaupun kesempatan untuk menonton bersama-sama mereka hanya datang selepas episode 21. Aduhai… dalam tak sedar, lagi 3 hari CBE akan sampai ke penghujungnya. Terasa cepat juga kan masa berlalu? Minggu depan Seindah Sakura dah nak start, ;-)

- KAMU, SUDAH BERUBAH, DIK... –

Sejak blog yang dah lama tak berganti cat ni saya buat tanpa ada paksaan daripada sesiapa, jarang benar saya berkisah tentang adik bongsu saya yang keluarga saya beri nama HALMI. Bukannya saya tak suka dia, tapi... entah kenapa saya tak tahu nak berkisah apa tentang diri dia. Bukannya tak ada apa yang menarik tentang dia, tentulah ada... kalau pun tak di mata orang, di mata saya dan keluarga saya pastilah ada.

Cumanya... mungkin, sikap dan raut muka dia yang selalu aje serius buat saya rasa tak tahu bagaimana nak bercerita tentang dia. Opsss... kelihatannya saya sangat suka berkisah tentang keluarga saya, kan? Yup, memang tak dinafikan saya suka bercerita tentang keluarga saya. Bukannya ada niat apa-apa bila saya rajin tulis N3 tentang keluarga saya, sekadar mahu mengabadikan setiap apa yang berlaku dan apa yang saya rasa supaya saya tak lupa apa yang berlaku dan supaya saya ingat setiap rasa yang datang, biar pun masa berlalu meninggalkan apa yang berlaku.

Sebab saya suka mencatatkan sejarah keluarga saya dan saya tau tak semua orang suka baca kisah keluarga, makanya... saya wujudkan beberapa LABEL untuk pilihan pembaca. Bagi yang nak tau dunia penulisan saya, boleh klik pada label “DALAM PROSES” dan “DUNIA NOVEL”. Bagi yang nak tau apa yang saya buat dan apa yang dah jadi dengan diri saya, boleh pula klik pada label “KISAH SAYA”. Pada yang mahu tau betapa kalutnya saya dan anak-anak buah saya, juga serabutnya saya dan ipar-ipar saya, atau meriahnya saya dengan adik-beradik saya dan sayangnya saya pada Mak dan Abah saya, bolehlah klik label “DIARI KELUARGA”.

Pendek kata, saya tak pernah paksa kalau orang tak mahu baca blog atau setiap N3 yang saya tulis kerana saya memang bukan jenis orang yang suka memaksa. Hidup tanpa paksaan, bukan ke lebih indah? Kalau kena paksa, dah tentu-tentu dalam hati wujud rasa tak ikhlas.

Berbalik pada adik bongsu saya tadi, dia adik yang sangat serius, tak banyak cakap dan tak banyak senyum dan ketawa. Tapi dalam pada seriusnya muka dia, kadang-kadang ada juga lawak yang dia buat secara spontan. Cumanya, dia tak ketawa bila dia buat lawak, yang ketawanya orang lain dan tentulah saya yang lebih-lebih ketawa sebab saya memang suka ketawa. Kadang-kadang pulak, dalam saya duduk diam-diam, tiba-tiba aje saya terasa rambut saya ditarik orang atau bahu saya ditumbuk dia. Kadang-kadang pulak, dia mengutuk saya sesedap rasa macam hati saya dibuat daripada kayu. Kesimpulannya, cara dia bergurau memang kasar dan saya pula, tak pernah tak membalas balik bila saya dikasari, tapi kesudahannya... sayalah yang terjerit sebab saya selalu aje kalah.

Tapi... itu dulu! Sejak dia berkahwin dan ada anak yang diberi nama Muhammad Hafiy Darwisy, saya sebagai kakak melihat banyak perubahan berlaku pada dia dan perubahan itu semuanya ke arah positif. Dia dah jadi lebih banyak cakap walaupun masih tak sebanyak saya. Dia dah boleh diajak ke mana-mana pada bila-bila masa aje. Kalau dulu, dia jarang-jarang benar nak ikut ke mana-mana, ajak pergi Melaka cuci mata tanpa keluarkan duit walaupun sesen, macam nak bergaduh baru dia nak pergi. Bila pergi pulak, muka macam tak siap. Memang nampak ketara muka tak nak pergi dia tu. Sekarang ni bila ajak datang KL, dia siap cakap kat isteri dia supaya tinggal aje kalau rasa tak nak pergi, dia tetap nak pergi rumah kakak dia [Sayalah tu].

Kalau dulu nak bergurau-gurau dengan anak-anak buah saya pun agak payah, tapi sekarang... dia jadi suka menyakat anak-anak buah saya. Kadang-kadang, disakat sampai menangis. Bila dah nangis, siap diejek-ejek lagi supaya tangisan yang ada bertambah hebat. Malah, dia jadi selamba aje dukung anak-anak buah saya. Kalau dulu, jangan harap dia nak buat. Dan lebih buat saya tersentak, bila dia dengan selambanya tanya pada sepupu saya bagi pihak anak buah saya yang sibuk nak main PSP sedangkan charger tertinggal kat rumah. Kalaulah dulu situasi yang sama berlaku, mati hidup semula pun dia tak akan tanyakan pada sepupu saya semata-mata sebab anak-anak buah saya.

Dan perubahan yang paling saya suka, dia jadi lebih rajin kerja sebab dia tahu tanggungjawab sebagai suami dan anak tak begitu mudah. Bahkan dia tak peduli dengan rasa penat asalkan anak isteri tak susah dan dia sangat pandai berjimat cermat. Malah, saya pernah berkali-kali suruh dia berhenti kerja bila melihat betapa penatnya dia kerja tapi tak dihargai orang. Berkali-kali juga saya kata cari kerja lain sebab hati saya yang lebih-lebih rasa sakit bila adik saya dizalimi orang. Saya siap kata, banyak lagi kerja dalam dunia ni walaupun saya tahu bukannya mudah nak mencari kerja sekarang ni. Tapi... akhirnya dia berhenti juga, bukan sebab paksaan saya tapi sebab dia sudah tak ada hati bekerja di bawah lembayung ketua yang tak pernah tahu menjaga hati anak-anak buah. Kalau dulu, dia tak kisahkan soal kerja sebab nak apa aje, mintak pada saya dan Kak Long saya. Mintak motor, saya belikan motor, mintak jam tangan, saya belikan, baju raya pun saya bagi duit sebab kalau saya belikan, sah-sah tak kena dengan selera dia. Malah, jam tangan dia berganda-ganda lebih mahal daripada saya. Kalau dah semudah itu, buat apa kan nak kerja teruk-teruk? Dan saya pula, memanglah pantang kalau adik-adik saya merengek mintak dibelikan apa-apa.

Sungguh, saya sukakan perubahan adik bongsu saya tu dan saya harap perubahan tu akan kekal untuk selama-lamanya. Harap juga adik saya dan keluarga dia akan berbahagia dunia dan akhirat, ;-)

- MAK TAM... SAYANG PAPA TAK?-

Setiap orang dalam dunia ni, punya sikap dan sifat yang pelbagai. Ada orang, begitu mudah mengungkapkan rasa sayang pada orang yang memang disayangi, tak kiralah pada siapa pun, paling penting orang yang menerima ucapan sayang itu memang sangat-sangat disayangi. Ada pula orang, dalam hatinya memang penuh dengan rasa sayang pada orang-orang di sekelilingnya yang tentu saja turut menyayanginya, tapi... rasa sayang yang disimpan tidak pernah mampu diungkapkan walaupun sekali-sekala ada juga rasa-rasa mahu mengungkapkan rasa sayang itu.

Saya pula, mungkin jatuh dalam golongan kedua, golongan yang dalam hati penuh dengan sayang, tapi tak pernah mampu mengungkapkan rasa sayang saya walaupun yang bertanya itu, pihak ketiga, bukannya pihak kedua yang bermaksud orang yang saya sayang. Entahlah... yang jelas, saya memang tak pernah mampu mengatakan rasa sayang, walaupun pada Mak dan Abah sendiri. Rasa sayang saya hanya saya jelaskan melalui perbuatan dan air muka. Kadang-kadang mulut mahu juga menyebut, tapi... rasa malu yang tebalnya setebal Tembok Besar China selalu buat lidah saya kelu untuk menyebut sepatah perkataan itu. Jadinya, rasa sayang itu hanya kekal dalam hati dengan harapan orang-orang di sekeliling saya tahu betapa saya sayangkan mereka semua.

Kenapa ya saya jadi macam tu? Entah, saya sendiri sukar untuk menjelaskan. Hanya... mungkin Mak dan Abah saya tak pernah kata mereka sayangkan saya [Masa saya kecil-kecil mungkin ada, hehehe], kakak saya tak pernah kata dia sayangkan saya, abang-abang saya tak pernah kata mereka sayangkan saya, adik-adik saya tak pernah kata yang mereka sayangkan saya, maka... saya pun tak pernah kata yang saya sayangkan mereka. Tapi, meskipun masing-masing saling tak meluahkan rasa sayang, saya tahu dan selalu dapat rasa betapa mereka sayangkan saya, sama macam saya tak pernah tak sayangkan mereka. Cumanya, kami menyayangi dengan cara tersendiri dan hanya kami yang memahami.

Saya juga percaya, dalam dunia yang sarat dengan manusia, bukannya semua orang mampu meluahkan rasa, sama macam saya. Bahkan saya tahu, ramai orang di luar sana yang sarat dengan rasa segan demi meluahkan rasa sayang yang ada. Bukan hanya saya, Mak dan Abah saya dan adik-beradik saya semata-mata.

Sungguh, saya memang mampu mengatakan saya sayangkan orang lain. Tapi anehnya, kalau dengan anak-anak buah saya, senang pula mengaku atau mengatakan sayang bila ditanya. Yang paling suka bertanya sama ada saya sayangkan dia atau tidak, Arissa yang hampir berumur 3 tahun dan Aqqif yang sudah pun mencecah usia 4 tahun.

Dan entah apa mimpi Si Arissa bila satu hari dia tanya saya menggunakan telefon bimbit, “Mak Tam sayang Icha?”.

Dalam keadaan gelak-gelak, saya kata, “Tak sayang”. Kalau selalu, saya jawab “Sayang”.

Lepas tu dia tanya saya balik, “Kenapa tak sayang?”.

Saya balas, “Mak Tam sayang orang lain.”

Dia balas lagi, “Lah...”.

Lepas tu dia bukak cerita lain dan akhirnya dia tanya saya, “Mak Tam... sayang papa tak?”

Papa yang Arissa maksudkan tu abang kedua saya. Dan lidah saya terus terkelu bila ditanya macam tu. Hati kata ‘sayang’ tapi mulut tak terucap sepatah perkataan tu. Bukan sebab saya tak jangka dia akan tanya soalan tu, tapi... kalau ditanya sekali, dua kali atau lapan kali sekalipun, saya tetap juga tak mampu nak kata. Sudahnya, sampai selesai berborak dengan dia, soalan yang ditanya tetap juga terbiar macam tu aje. Bila tengok HP kat sisi, saya bertanya kat diri sendiri sebab kat Rumah Pink memang ada saya aje pun, “Susah sangat ke nak jawab soalan Arissa tu? Bukannya ada orang lain yang dengar pun. Abang aku pun tak dengar. Budak kecik yang belum masuk umur 3 tahun pun yang tanya soalan tu, kenapa tak terkata ya?”

Sampai ke hari ni, saya sebenarnya masih rasa betapa susahnya mengungkapkan perasaan pada orang, walaupun pada orang yang sangat rapat dengan kita, ;-)

- MAHU MEMBELASAH ARIL FATAH... -

- Patut tak... kalau sebagai penulis novel KASIH ANTARA KITA, saya terasa nak TINJU muka ARIL FATAH dalam drama CINTA BUAT EMELDA hari ni? Agaknya... ini juga ke perasaan pembaca sepanjang menghadamkan KAK? –

Itu… status saya dalam PAGE hari ni masa saya layan CINTA BUAT EMELDA [CBE] episod 20. Entah kenapa, tengok CBE hari ni, saya rasa sangat EMO. Malah, muncul pulak rasa-rasa macam nak membelasah orang [Ooo… awak, sangat kelakar dan nampak macam tak logik pun ada juga ALEYA ANEESA. Hahaha…] dan orang yang nak saya belasah, tentu aje Si ARIL FATAH. Satu watak yang saya sendiri wujudkan, kemudian saya berikan dia watak dan perwatakan seperti mana yang saya nak, bukan seperti mana yang orang lain nak. Dan bila watak yang saya cipta seperti mampu buat saya geram hari ni, saya ada jugalah rasa-rasa malu dengan diri sendiri. Hahaha.

Sepatutnya… rasa-rasa yang memalukan tu tak perlu wujud sebab saya dah tahu dengan jelas Aril Fatah itu jenis orang yang bagaimana. Tapi tulah… kalau dah emo tu, tetap jugalah emo. Kan? Dan saya mula berfikir, kalaulah saya boleh jadi SEGERAM ini sampai terasa mahu MEMBELASAH [Walaupun hakikatnya saya tak sekuat Si Badang] Aril Fatah, tentu juga pembaca KAK pernah merasakan perasaan yang sama pada orang yang sama sepanjang proses menghadamkan buah tangan saya tu? Agaknya, mungkin ada juga yang terasa mahu membaling KAK ke dinding sebab sakit hati yang melampau dengan tingkah watak hero dalam KAK tu.

Aduh... baru saya tahu macam mana rasa sakit hati dan geramnya dengan watak yang saya sendiri buat? Ataupun, saya sebenarnya patut membelasah diri sendiri sebab tergamak buat watak Aril Fatah sampai macam tu sekali? Hahaha... saya memanglah nampak macam kartun dalam TV kan?

Sebenarnya, Aril Fatah yang saya cipta dalam KAK dengan Aril Fatah yang dicipta dalam CBE, memang masih orang yang sama. Cumanya, saya tak dapat nafikan terdapat juga beberapa perbezaan dalam perwatakan kedua-duanya. Kata pembaca KAK, Aril Fatah dalam KAK lebih panas baran. Kerjanya asyik MENCENGKAM lengan Emelda bila dia marah. Kerjanya asyik MARAH-MARAH Emelda bila dia sakit hati. Kerjanya juga asyiklah CEMBURU dengan Maliki. Dalam CBE pula, dia tak panas baran sangat, tak marah-marah sangat dan cemburu pun cuma sikit-sikit aje. Kiranya, bagus jugalah perangai Aril Fatah dalam CBE ni kan? Tapi... dalam KAK, walaupun dia agak GANAS, dia tak tipu Emelda, dia tak LONGLAI hanya disebabkan Zalida dan dia bertegas bila berdepan dengan Zalida lepas dia bergelar suami Emelda. Memanglah dia layan kerenah Zalida sebagai kawan aje, tapi... tetap juga buat kita yang melihat rasa geram.

Hem... itulah [kebaikan dia melayan kerenah Zalida] yang sebenarnya buat saya rasa nak membelasah dia. Hahaha, saya sangat teruk kan? Tapi... rupa-rupanya bukan saya aje yang geram, penonton pun geram dan lebih daripada itu, ABAH saya pun geram juga. Siap kata macam ni, “Eh... awak tu dah kahwin? Kenapa melayan perempuan lain!” Hampir bergolek-golek saya bila mendengar cerita daripada MAK saya seketika tadi.

Apa pun, setakat episod 20 tadi, saya masih enjoy melihat CBE di TV3, harap-harap biarlah sampai ke sudah saya rasa perasaan yang sama. Minggu depan episod 21, episod 22, episod 23 dan episod 24 akan ditayangkan. Selepas itu, segala-galanya selesai, ;-)

- NOMBOR RUJUKAN STATUS KIRIMAN NOVEL [3] -

Maaf... maaf... kali ni memang saya sangat-sangat minta maaf sebab masih belum pos novel yang diorder daripada saya, walau pun dalam N3 sebelum-sebelum ni saya pernah tulis yang saya hanya akan pos novel seminggu sekali [Jumaat macam terlalu lambat kan?]. Minggu ni saya sangat sibuk dengan urusan acara di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012. Nak pergi ke Pejabat Pos tak sempat. Tapi... saya dah bungkus novel-novel tersebut, bahkan saya dah tulis pun borang Pos Laju.

Saya rasa bersalah sangat pada yang dah buat bayaran, tapi saya memang tak dapat nak mencuri masa langsung. Insya-ALLAH... saya akan pos pada hari esok. Cumanya... entahkan lepas ni nak ambil order atau tak lagi, saya masih berfikir sebab kesian bila pembeli terpaksa menunggu lama.

Kat bawah ni nama-nama yang sanggup pos novel pada saya semata-mata nakkan sign saya; dan juga nama-nama yang beli novel daripada saya. Nombor rujukan Pos Laju juga saya sertakan, tapi... JANGAN tanya status novel tu kat Pejabat Pos hari ni sebab saya baru nak pos esok pagi. Akhir kata, MAAF SANGAT-SANGAT-SANGAT ya...

Nurathira Abd Malek - KAK [EM 200683733 MY]
Rossie Hirnizah Sani – TCA [EM 200683818]
Maslihan Che Mansor – TCA [EM 200683781 MY]
Eizda Amani – KAK & KAK [EM 200683795 MY]
Rosliah Kassim – KAK [EM 200683747 MY]
Salma Mohd. Ali – TCA [EM 200683755 MY]
Zulliana Jaafar – TCA [EM 200683747 MY]

- * Yazrina Yasin
- * Faezah Abdullah
- * Nur Aishah Mohd Fauzi
- * Nursyafawani Fatin
- *Asmi Dahari

TERIMA KASIH pada yang beli novel-novel saya, kalau ada masalah dengan novel-novel yang dikirim, inform aje. Dan, kalau rasa nak komen boleh email supaya saya dapat perbaiki mutu penulisan saya, ;-)

PESANAN PENTING LAGI - Saya hanya buat penghantaran SEMINGGU SEKALI SAHAJA. Jadinya, kalau terasa tempoh saya pos dengan tempoh bank in agak lama, minta maaf ya...

- 15 MINIT DARIPADA SEKARANG! -

Selepas lebih setahun, hari ni baru betul-betul ada kat TV1. Beberapa minggu lalu, segmen TAMU KITA dah tersiar di TV1. Tapi... saya hanya mampu pandang selama beberapa saat sebelum ambil keputusan padamkan sebab saya rasa malu tengok muka sendiri kat skrin. Dan hari ni, untuk segmen DARI RAK BUKU pula. Dalam segmen ni, novel TANPAMU AKU RINDU yang dikupas. Tak banyak mana, tapi memang agak sukar juga nak menyudahkannya sebab saya asyik nak ketawa. Kepada yang berpeluang tengok, selamat menonton dan kalau ada yang terasa tak kena, diam-diam aje okey! Saya sendiri, dah tentu tak tengok sebab sekarang ni saya masih ada di pejabat, meneruskan rutin yang makin lama terasa makin menyerabutkan kepala. Kalaulah saya banyak duit, tentu dah lama saya... ;-)

- SAHAM DR. ARIL FATAH, JATUH KEDEBUK! -

DRAMA CINTA BUAT EMELDA [CBE], episod 17 dah pun selesai semalam. Hari ni, akan masuk episod 18 pulak. Hem... macam mana dengan episod semalam? Sakit hati tak? Sakit jiwa tak? Marah tak? Geram tak? Rasa tak nak tengok CBE lagi sebab menyampah? Atau... ada tak rasa-rasa macam nak lempang balik muka Aril Fatah lepas dia lempang muka Emelda?

Kalau ada perasaan macam tu, sila pendamkan dalam hati kejap-kejap. Tak pun, sila balas rasa sakit hati tu dalam mimpi semata-mata sebab saya tak berharap ada yang datang di hadapan Fizo Omar dan menghadiahkan dia hadiah yang paling tak best dalam dunia. Mana ada orang suka kena lempang, bukan? Silap-silap, baru nak angkat tangan, tangan Fizo dulu yang sampai ke muka. Lagipun... itukan hanya sebuah drama, drama yang diadaptasi daripada novel KASIH ANTARA KITA [KAK].

Kan, saya dah tulis dalam N3 semalam yang dalam episod 17, kebenaran bakal terungkap? Kebenaran yang Emelda bukannya perempuan yang Aril jumpa 7 tahun lepas dan seterusnya bukan ibu kandung kepada Dania. Nampak jahat kan Aril semalam? Dan... saya yakin dan sangat pasti ada yang rasa menyampah dengan Aril selepas episod semalam. Yalah, kalau dalam episod-episod sebelum ni, pada awalnya Aril nampak macam serabut sebab dibebani dengan rasa bersalah dia, kemudian bila Emelda setuju terima dia, jelas kelihatan air muka dia yang ceria dan sentiasa tersenyum. Dan kita sebagai penonton, tengok dia senyum, terasa nak senyum juga. Cumanya... lepas semalam, mesti ada juga yang rasa tak nak senyum bila tengok dia. Betul tak?

Melalui komen-komen yang saya baca di FB malam tadi, ramai yang marahkan Aril, tak setuju dengan tindakan dia. Bahkan, ada juga yang terasa sakit sama bila tengok scene kejam tu. Saya senyum aje bila baca komen-komen tu sebab masa KAK keluar dulu pun saya dah terima komen-komen macam tu. Malah, rasanya saya kena lebih teruk lagi sebab Dr. Aril Fatah dalam KAK jauh lebih teruk dibandingkan Dr. Aril Fatah dalam CBE. Dalam KAK, Aril lebih sukar diramal sikap dan sifatnya. Kadang-kadang dia okey, kadang-kadang dia tak okey. Dia sakit hati, dia lepaskan rasa sakit hati dia pada Emelda, sampai pembaca pun jadi sakit hati sama. Pendek kata, dia memang mampu buat orang jatuh cinta, tapi dalam masa yang sama meluat macam nak rak kat dia.

Ada yang tanya, kenapa sampai lempang? Kenapa tak bawak berbincang? Macam mana nak jawab ya? Bila ada adegan macam tu, bukan bermakna saya sukakan keganasan. Tidak dan tidak akan! Saya dibesarkan tanpa keganasan, kalau kena cubit sikit-sikit tu biasalah sebab saya sangat-sangat nakal masa kecil. Itu pun yang mencubit hanya mak saya, sedangkan abah saya kekal maintain dengan sikap cool dia. Makanya, saya tak perlukan bidang penulisan sebagai medium untuk membalas dendam kerana masa silam yang saya lalui. Tak ada apa yang nak balas kalau semuanya kelihatan indah.

Cumanya, saya percaya secara realitinya... dalam dunia ini, bukan semua manusia mampu menghadapi apa pun juga situasi yang datang dengan tenang. Kalau semuanya cool, datang daripada mana perkataan panas baran? Penjara pula, kena ada ke kalau semua manusia ada sikap yang terpuji? Kalau semua boleh dibuat berbincang, samseng atau gengster akan ada ke? Dan Aril... dia bukanlah manusia yang terlalu sempurna. Sebab tu dia buat salah 7 tahun dulu. Tapi... dia menyesal dengan apa yang dah dia buat hingga sanggup bertanggungjawab terhadap perbuatan tu. Dia tolak semua yang dia ada atas sebab salah yang dia buat, termasuk cinta hatinya, Si Zalida yang sangat comel dalam CBE. Sayangnya, bila dia sedar yang dia bertanggungjawab pada orang yang salah, dia rasa tertipu, dia rasa marah, dia rasa tak berbaloi dan selebihnya dia keliru dengan apa yang dah pun terjadi.

Kalau kita di tempat dia, tak marah ke kita? Tak geram ke kita? Atau... tak kecewa ke kita? Mesti marah dan kecewa walaupun taklah sampai ke tahap angkat tangan. Kalau ada yang kata tak kisah atau tak rasa apa-apa lepas sedar diri ditipu, saya tak tau nak kata apa. Hanya yang saya tahu, tipu orang tak sesukar tipu diri sendiri. Sedangkan kenyataannya, ditipu sikit pun kita rasa sakit, apalagi kalau sampai melibatkan soal hidup dan kehidupan panjang yang harus dijalani jika panjang umur.

Memanglah semua perkara dalam dunia ni boleh dibawa berbincang. Tapi soalnya, berapa orang yang boleh dibuat berbincang pada saat hati tengah marah? Berapa orang boleh terus berlagak profesional pada saat marah dan sakit hati merasuk diri? Untuk itu, kalau ada orang yang marah dengan kita dan kita sedar ada salah yang dah kita buat, jangan disapa atau ditanya sehingga kita yakin orang tu dah cool, bimbang kita pun kena lempang sama macam Emelda nanti. Dan saya juga berharap, tak akan ada perempuan dalam dunia ni yang disakit lelaki, lebih-lebih lagi perempuan yang bergelar isteri sebab "PEREMPUAN DIJADIKAN DARI TULANG RUSUK LELAKI BUKAN UNTUK DISAKIT TAPI UNTUK DISAYANGI". Apa pun... mari kita sama-sama ikuti episod 18 hari ni, mana tau hati yang geram dan marah bakal terpujuk petang ni, ;-)

PESANAN PENUH KASIH SAYANG - Gambar tu saya pinjam daripada [DI SINI], Page CINTA BUAT EMELDA. Boleh aje kalau nak like dan kemudian tanya atau komen apa-apa yang patut sebab dia orang yang buat CBE tu... ;-)

- CINTA BUAT EMELDA, KEBENARAN TERUNGKAP! -

Hoye... hoye... hari ni CINTA BUAT EMELDA [CBE] dah masuk episod 17. Memang masa sekarang ni bergerak sepantas kilat, kan? Habis minggu ni, kemudian minggu depan, maka... CBE hanya tinggal kenangan untuk kita semua, terutama saya dan kawan-kawan yang mengikuti drama yang diadaptasi daripada novel KASIH ANTARA KITA [KAK] tu.

Tapi bukanlah bermakna CBE tak akan diulang tayang lagi di TV3, insya-ALLAH akan ada seperti drama-drama lain yang pernah TV3 siarkan sebelum ini. Cuma... bila masanya, itu yang tak mampu saya jawab sebab saya tak bekerja di TV3 tu, ada kawan-kawan di sana pun tak juga ya. Tapi kalau saya dengar-dengar ura-ura nanti, saya akan maklumkan untuk perhatian mereka yang berminat.Okey berbalik tentang CBE yang masih ada 8 episod lagi, minggu lepas Emelda & Aril Fatah dah pun selamat menjadi sepasang suami isteri. Yang anehnya, saya sebagai penulis KAK, ikut rasa lega melihat mereka diijabkabulkan. Tak ke kelakar tu? Tapi tak apalah kan? Kiranya saya sudah meletakkan diri saya di tempat penonton CBE, bukan penulis KAK. Yang lebih mengharukan, ada masa-masanya saya terasa seperti nak meramas-ramas mulut Si Huda yang sangat lancang tu. Asyik mencari salah orang, sampai lupa nak menilik kekurangan diri sendiri. Hendaknya dalam dunia ni, tak akan ada orang seperti dia. Dan sesungguhnya, Rebecca Nur Islam dah berjaya melakonkan watak dia dengan berkesan sampai menimbulkan kemarahan banyak orang termasuk adik ipar saya, Ika dan adik yang baik hati, Fida – mereka bercadang hendak membelasah Huda kalau ada di depan mata.

Dan minggu ni pulak, rasa-rasanya [rasa ke, kenyataan ke?] Aril dah tahu kebenaran yang Emelda bukan perempuan sama yang dia jumpa 7 tahun dulu. Apa yang terjadi selepas itu, tak perlulah saya kisahkan dengan panjang berjela sebab pembaca KAK tentu dah tahu apa yang berlaku, tak banyak beza mana kedua-dua versi tu. Jadinya, mari kita sama-sama biarkan penonton CBE yang tak pernah baca KAK berteka-teki sendiri. Tak lama mana pun teka-teki yang wujud sebab sekarang ni dah melebihi separuh episod. Kalau masih berpusing-pusing, bila baru CBE ni akan habis ditayangkan kat TV3 tu kan? Lagipun... drama kita bukannya macam drama Indonesia yang menelan masa yang lama dan panjang.

Dalam minggu ni juga, banyak perkara terungkap, satu demi satu walaupun masih ada yang berbaki sampai ke episod akhir. Apakah itu yang masih berbaki, kita tengok sama-sama ya? Karang kalau cerita semua, bimbang pula mulut saya kena gam dengan gam UHU atau gam gajah. Tak pun, jari-jemari tak berinsurans ini dipotong macam leher ayam yang dipenggal. Lagipun... nanti kalau semua dah tahu, ada pulak yang tak nak tengok lagi sebab dah tahu apa kesudahan bagi CBE tu. Tak naklah macam tu, kesian kat drama CBE dan yang buat skrip CBE yang sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk hasil kerjanya. Bahkan, saya sendiri pun mengharapkan yang baik-baik juga kerana CBE itu, akarnya datang daripada KAK. Kalau baik CBE, bermakna baik juga untuk KAK kerana KAK dan CBE tu, bagi saya adalah satu yang tak boleh dipisahkan sampai bila-bila, macam cincin dengan permata. Untuk itu, kepada kawan-kawan... selamat menonton CBE untuk minggu ini dan kalau boleh biarlah sampai keluar perkataan ‘TAMAT’. Untuk yang mahu atau sedang membaca KAK, selamat membaca. Semoga apa yang ada di dalam KAK dan CBE, mampu dijadikan iktibar untuk semua. Kalau ada yang tidak elok, tolaklah sejauh mungkin dan kalau ada yang elok, simpanlah kejap-kejap dalam hati dan ingatan, ;-)

- APA KHABAR TERUS CINTAI AKU, SETELAH HAMPIR SEBULAN YA? –

Oh... tak sedar ya dalam diam, dah dekat sebulan novel TERUS CINTAI AKU [TCA], novel ke-9 saya ada kat pasaran. Itu kalau ikut tarikh ada kat kedai-kedai buku di seluruh Malaysia, tapi kalau ikut keluaran bulan berapa, dah sebulan dah pun sebab TCA dan tiga lagi kembarnya merupakan novel terbitan Alaf 21 [Grup Buku Karangkraf] keluaran bulan Mac 2012.

Setakat hari ni, ada beberapa komen yang saya terima dan sempat saya baca. Ada yang positif dan bila ada positif tentu juga ada yang negatif. Bagi seorang penulis, komen positif memang sangat diharapkan kerana positif bermaksud novel tersebut diterima dengan baik. Komen negatif pula, kalau pun tak banyak tentu akan meninggalkan kesan di hati. Maklumlah, mana ada manusia yang suka pada hal-hal negatif. Hanya tergantung bagaimana seseorang penulis itu menghadapi komen negatif itu.

Bagi saya sendiri, apa juga komen yang datang saya terima seadanya kerana mahu atau tak, memang bidang yang saya pilih ini tak dapat lari daripada komen-komen pembaca. Bila ada komen, itu bermakna novel saya dibaca, walaupun bukan semuanya komen berbentuk pujian. Sebaliknya kalau tak ada komen, mungkin novel tersebut tak dibaca orang atas beberapa sebab yang mungkin hanya pembaca aje yang tahu.

Hanya... dalam setiap karya yang saya hasilkan, saya sentiasa cuba berusaha untuk melakukan yang terbaik. Cuba lari sedikit daripada karya-karya sebelum ni supaya tak dilabel ‘sama’ aje yang ini dengan yang sebelum ni kerana memang menjadi lumrah manusia terlalu suka membanding-banding. Bahkan saya sendiri pun cenderung melakukan perkara yang sama. Cumanya, baik pada saya belum tentu baik pada pembaca kerana saya mahu menyampaikan ‘sesuatu’ sedangkan pembaca pula inginkan sesuatu yang mungkin lebih segar dan bertenaga.

Dan sebenarnya hendak memuaskan hati pembaca di tengah-tengah lambakan novel yang ada di pasaran, rasanya sangat sukar walaupun TCA bukanlah novel pertama saya. Lantaran itu, sampai ke saat ini dan hari ini pun saya menganggap saya masih lagi dalam proses pembelajaran dalam menghasilkan karya yang baik. Hanya... saya terpaksa maklumkan yang saya tak pandai buat novel yang penuh dengan komedi. Mahu lari macam mana pun, tetap juga gaya penulisan saya begitu-begitu juga.

Apa pun, kepada yang sudah membaca TCA, tak kira apa komen yang diberikan, saya tetap berterima kasih kerana sudi menghadamkan karya terbaru saya tu. Kepada yang belum mendapatkan TCA tapi berniat mahu mendapatkannya, saya tetap berharap TCA tak akan menghampakan. Insya-ALLAH... saya akan terus memperbaiki mutu penulisan saya dari semasa ke semasa, ;-)

- PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2012 -

Hoho... tentunya bagi peminat buku yang sanggup tak makan, tak tidur dan tak mandi [termasuk saya] menunggu-nunggu detik ini. Detik di mana berkumpulnya penerbit buku yang ada di seluruh Malaysia di bawah satu bumbung PWTC pada tarikh yang sama iaitu 27 April – 6 Mei 2012.

Seperti tahun-tahun lepas, tahun ni saya dipanggil sekali lagi untuk bertugas oleh Alaf 21 [Karangkraf]. Cuma kali ni saya hanya bertugas untuk SATU HARI dan untuk SATU SESI aje, iaitu pada 6 MEI 2012. Kalau tak ada aral, mungkin seawal 10.00 PAGI saya akan ada di sana dan mungkin tengah hari atau petang, sesi saya akan berakhir untuk memberikan peluang kepada kawan-kawan yang lain pulak.

Tapi untuk DBP pula, Bahagian saya ada dua acara yang harus dijayakan dan bermakna saya juga terlibat dan diwajibkan hadir. Antaranya,

1 - “SEPETANG BERSAMA SASTERAWAN NEGARA KE-11 DATO’ DR. AHMAD KAMAL ABDULLAH (KEMALA)” pada 3 Mei 2012 (Khamis), 3.45 petang bertempat di Pentas Legar Putera Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

2 - “SEJAM BERSAMA PENERIMA S.E.A WRITE AWARD TUAN SYED MOHD ZAKIR SYED OTHMAN (S.M. ZAKIR)” pada 5 Mei 2012 (Sabtu), 2.45 petang bertempat di Pentas Legar Putra Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Untuk kali ni, saya disuruh menjadi pengurus projek untuk acara kedua. Kerana saya tak pernah lagi memegang tugas seberat itu, maka bila dilantik, terasa seperti ada batu besar duduk diam di atas bahu saya. Mujur juga kami satu Bahagian saling berganding bahu dalam menyiapkan kerja yang ada. Kalau tak ada mereka dan saya harus melakukan kerja sendiri-sendiri, memang tak mustahil ada yang meraung tiga hari tiga malam.

Jadinya, di kesempatan ini saya mahu mengundang sesiapa saja yang berkelapangan dan berminat untuk hadir ke acara tersebut. Siapa tahu ada banyak ilmu yang boleh dikutip dalam acara selama 1 jam itu. Selebihnya, bukannya selalu acara sebegini diadakan, agak rugi kalau peluang yang ada tak digunakan dengan sebaik-baiknya. Kan?

Dan menjelang aje PBAKL, saya sekali lagi terkenang kepada PAK CIK baik hati yang pernah membantu saya 6 tahun lalu. Di mana dan apa pun yang PAK CIK baik hati tu buat, saya mengharapkan rahmat ALLAH selalu ada untuk dia.

- ADA ORANG MAIN PINGPONG KAT KEPALA -

Tak pasti kenapa, tapi akhir-akhir ni memang sering terasa macam ada orang main pingpong di kepala. Kejap boleh dipukul ke kanan, kejap dipukul ke kiri dan kesudahannya tak ada sesiapa pun yang menang. Permainan pingpong tu benar-benar berakhir lepas saya menelan sebiji pil sakit kepala. Memang teruk betullah yang bermain pingpong kat kepala saya tu. Langsung tak simpati pada saya yang tak ada buat apa-apa kesalahan.

Memanglah sejak kebelakangan ni hidup saya huru-hara sikit sampai-sampai selera makan macam tak ada, badan pun rasa sakit-sakit aje. Tapi... bukanlah sakit teruk mana sangat pun, sakit sikit aje. Kata orang macam kena gigit dengan semut. Hanya yang leganya, setiap kali bangun pagi tak pula ada rasa malas nak pergi kerja macam beberapa waktu dulu.

Entahlah, minggu ni memang minggu huru-hara sikit. Mana tidaknya, saya memulakan hari Isnin dengan mood yang tak berapa best, maklumlah... hari Isnin, kan jarang ada yang berkobar-kobar sebab masih dicengkam cuti Sabtu dan Ahad. Bahkan saya sendiri selalu kata kat diri sendiri, “Kan bagus kalau hari bekerja cuma empat hari dan tiga hari lagi tu cuti”. Berangan kan? Tapi... tak apalah, berangan mana ada kena bayar pun. Sesekali saya nak menyedapkan hati sendiri, takkanlah itu pun nak dihalangkan?

Okey berbalik pada hari Isnin, dengan mood tak best, saya keluar rumah. Tekan alarm kereta terasa macam ada yang tak kena. Kalau selalu bunyi alarm kuat, hari tu perlahan aje. “Sudah! Apa lagi yang tak kena dengan kereta ni?” Itu yang saya tanyakan bila dah duduk dalam kereta. Saya lock pintu dan start enjin, malangnya... tak mahu hidup dan lock pada pintu terbuka secara automatik. Saya dah makin panik, bimbang ada yang tak kena. Saya start lagi dan, alhamdulillah boleh. Saya pun mula bergerak ke pejabat dengan harapan tak ada apa yang berlaku pada kereta. Tapi bila balik, sekali lagi perkara yang sama berlaku. Hati saya kata, “Kalau nak buat hal pun biarlah sampai di bengkel kereta dulu”. Mujur lepas beberapa kali percubaan, kereta kembali ok.

Di bengkel, bateri problem dan kena tukar. Mulanya saya teragak-agak, tapi bila telefon abang saya, dia suruh tukar sebab dia kata dah lama juga tak tukar. Saya pun ikut aje dan dengan minyak brake sekali saya tukar sebab dah patut ditukar bila warnanya dah tak macam asal. Pukul 6.00 petang, segala-galanya selesai dan saya kembali boleh bernafas dengan lega.

Selasa pula, ada yang tak kena dengan hati saya. Mengenangkan tugas yang ter hempuk di bahu, saya rasa tension sangat. Bila kita tak ikhlas, semuanya serba tak sempurna. Badan dalam bilik meeting, hati saya dah lama melompat ke luar sebab saya rasa sesak dengan tanggungjawab yang diberi.

Rabu, rasa tension dah bertukar jadi stress yang seperti tak dapat dikawal. Meeting lagi, lagi dan lagi. Kemudian jumpa penulis, cuba memahamkan apa yang patut difahami dan ternyata yang nak difahamkan seperti pula tak mahu memahami. Stress jadi berganda-ganda dan kesudahannya, saya terasa semuanya kosong dan tak berseri lagi. Kepala kembali berdenyut-denyut dan dahi macam dicengakam-cengkam. Hati berdetik lagi, “Kalau aku kaya, memang dah lama aku pencen”. Tapi sekali lagi berangan, sedangkan kemampuan tak cukup dan saya ada berpuluh-puluh tahun lagi untuk sampai ke hari pencen. Itu pun... kalau umur saya panjang.

Khamis, rasa tension yang disatukan dengan stress yang melampau, akhirnya pergi juga. Entah keajaiban apa yang ALLAH berikan, saya tak tahu tapi saya sangat bersyukur sebab saya rasa lebih tenang dan damai. Masih buat kerja seperti hari sebelumnya, tapi memang tak ada langsung rasa nak marah-marah dan mengamuk macam si ibu singa. Benarlah... bila kita berdoa, ALLAH tentu akan mendengar doa kita. Dan doa saya semalam “Ikhlaskanlah saya, buangkanlah rasa terbeban yang saya rasa.” Sampai ke saat nak balik kerja dan walaupun ada yang merungut-rungut dengan kerja yang diberikan, saya tetap juga mampu senyum dan ketawa. Harap-harap untuk majlis 3 Mei 2012 dan 5 Mei 2012 di PWTC nanti, segala-galanya berjalan dengan lancar. Biarlah segala penat lelah saya dan kawan-kawan berbaloi-baloi, ;-)

- BILIK 309, ARAS 3, BLOK P1, KOLEJ 12 -

Rasa-rasanya, macam dah lama benar tak didatangi mimpi best. Jadinya bagaikan mengerti, beberapa malam lepas saya mimpikan wajah-wajah yang nak sangat saya jumpa. Cumanya, bila bangun aje daripada tidur, mata saya bergenang dengan air bila saya tersedar satu hakikat. Ternyata Aniem, Yatie dan Wanie tak ada pun di sisi saya. Yang baru aje saya alami, hanya mimpi semata-mata.

Kalau ditanya pada hati, sungguh... saya rindukan mereka bertiga yang dah lama sangat saya tak jumpa. Entahkan memang masa dan keadaan yang menjadi pemisah, entahkan saya sendiri yang sengaja menyisihkan diri, saya sendiri jadi tak pasti lagi. Tapi kalau direnung-renung dalam diri, sepertinya... memang saya yang menyisihkan diri. Ya, saya akui kadang-kadang, rasa rendah diri dan rasa kekurangan diri, buat manusia mahu menyepikan dan mengelakkan diri daripada orang-orang yang dikenali, bahkan pernah sangat rapat.

Terus terang saya kata, mereka bertiga sangat istimewa dalam hidup dan hati saya. Tinggal sebilik ketika di UPM dulu, hanya 3 tahun! Tapi 3 tahun tu benar-benar bererti buat saya kerana mereka bagi saya bukan hanya sekadar kawan semata-mata, tapi mereka juga seperti adik-beradik saya sendiri. Kami ketawa dan menangis bersama, berkongsi bantal dan makan minum memang rutin kami. Kiranya, hak saya, hak mereka dan hak mereka, hak saya juga. Kami sentiasa berkongsi apa aje yang kami ada.

Sepanjang menghuni bilik bernombor 309 itu, seingat saya, kami berempat lebih banyak ketawa daripada sedih. Setiap hari, ada aje cerita atau lebih tepat lagi gosip yang kami dengar dan kisahkan semula. Dalam pada berkisah, kami kerap ketawa dan bertepuk tampar, juga bertolak-tolakkan sesama sendiri. Tak cukup dengan tu, kemudian sesi kutuk-mengutuk sesama kami pun bermula, yang akhirnya berkesudahan dengan ada yang menjerit walaupun di tengah-tengah malam sebab kebiasaannya kami tidur bila subuh menjelang.

Dan istimewanya kami berempat bila masing-masing ada nama khas. Saya digelar burung pungguk sebab saya kerap berjaga malam. Wanie, digelar gajah sebab dia lebih besar berbanding kami bertiga. Aniem digelar kancil sebab dia selalu rasa dia bijak, sedangkan bagi saya, kami gelar dia kancil sebab dia kecil. Yatie pula zirafah sebab dia kurus dan tinggi. Dan yang kelakarnya, Wanie sibuk mencari ubat menguruskan badan, Yatie sibuk mencari formula menggemukkan badan.

Tapi itu dulu, sekarang ni semuanya hanya tinggal kenangan dan saya yakin kenangan tu tak akan pernah berulang lagi sebab antara kami, masing-masing sudah ada hidup sendiri. Mereka bertiga sudah punya keluarga, sedangkan saya masih kekal dengan dunia saya sendiri. Mungkin mereka anggap saya sudah jauh ke hadapan, sedangkan saya pula selalu menganggap kalau saya tercicir di belakang dibandingkan mereka bertiga. Namun yang pasti, saya sangat sayangkan mereka bertiga, biar apa pun yang terjadi. Doa saya, moga mereka dan keluarga akan selalu ada dalam rahmat ALLAH, tak kira di mana mereka berada.

- AKU MAHU KAMU! YA, ITU... NOVEL SAYA -

Akhir-akhir ni, mungkin sejak CINTA BUAT EMELDA [CBE] ditayangkan di TV, saya sering aje dapat email daripada pembaca. Ada yang email nak beli novel KASIH ANTARA KITA, ada yang hantar email sekadar berkisah tentang CBE tu. Ada yang email hanya ingin mengenali saya dan dunia penulisan saya. Bahkan ada juga yang email cuma untuk menyatakan pada saya tentang kesamaan dan ketaksamaan CBE dengan KAK.

Semua email tersebut saya balas seadanya. Tapi kalau ada yang saya terlepas pandang, harap dimaafkan ya sebab saya tak sempurna. Kadang-kadang dalam pada tak nak buat silap, ada-ada-ada aje silap yang dah saya buat. Manusia buat silap, biasakan? Kalau tak pernah buat silap sejak lahir lagi, itu barulah boleh digelar luar biasa sebab yang dinamakan manusia itu mana pernah terlepas daripada melakukan kesilapan.

Tapi dalam banyak-banyak email, ada juga yang bertanya soalan yang langsung saya tak jangka. Katanya, “Novel AKU MAHU KAMU [AMK] tu karya awak ke?” Aduhai... terkedu sesaat saya dengan soalan tu sebelum ada rasa-rasa macam nak pengsan [bombastiknya] sebab terkejut gila. Yalah... novel tu novel ke-6 saya dan terbit pada tahun 2010, sebelum novel TANPAMU AKU RINDU dan sesudah novel HANYA DIA TAHU [HDT]. Malah, yang bertanya tu pula tak pernah tak beli novel-novel saya sebelum ni.

Bila ada yang tak tahu kewujudan novel tu, rasa sedih sangat sampai terasa macam nak nangis guling-guling. Penat saya buat novel tu, tapi orang tak tahu. Hehehe... tipu aje, takkanlah saya emo sampai tahap tu kan? Tak logik betul! Memanglah saya tak boleh jadi pelakon sebab ‘terlebih sudah’.

Saya sungguh-sungguhlah tak tahu kenapa dan sebab apa ada yang tak tahu tentang AMK tu. Mungkin ke sebab covernya yang sekali pandang sebiji macam novel HDT sampai orang susah nak membezakan kedua-dua novel tersebut, atau novel tu tak best benar sampai tak ada yang memperkatakan tentang novel tu, atau juga sebab AMK tak ada kat kedai, atau... apa-apa ajelah alasan yang lain. Saya terima aje semua alasan yang ada dalam dunia ni, kecuali... alasan nombor 2 tu. Penat tau buat sebuah novel, kecik hati saya kalau ada yang kata AMK tak best benar. Kalau kata tak best aje, saya masih boleh terima, kalau sampai tak best benar, sedihnya rasa, hehehe...

Tapi sebenarnya, ketika mula-mula diterbitkan dulu, AMK nampak seperti diterima pembaca saya dengan baik. Cuma... bila dah dua tahun berlalu dan saya pun dah ada novel-novel baru [TANPAMU AKU RINDU, KASIH BENAR KASIH dan TERUS CINTAI AKU] selepas itu, AMK semakin jarang disebut-sebut. Novel lama, siapa yang nak sebut kan?

Apa pun, kepada yang bertanya, terima kasih sebab sudi bertanya. Kata orang, tak tahu bertanya supaya kita tak sesat jalan dan saya lebih suka orang yang bertanya daripada orang yang nak tahu tapi tak mahu bertanya. Kalau kat sekolah, memang kita tak faham kan kalau tak tanya?

Dan AMK... kisah tentang Qisya Khaleesa dan Ziyad Fallah. Mereka pasangan yang bahagia hinggalah Faiq Fallah, putera yang sangat mereka sayangi pergi menemui PENCIPTA ABADI. Baik Qisya, mahu pun Ziyad, masing-masing seperti tidak dapat menerima kenyataan hingga saling memendam rasa. Akhirnya Qisya nekad pergi daripada hidup Ziyad kerana terasa diri seperti tak diperlukan lagi. Sedangkan di pihak Ziyad, dia tak pernah menyuruh Qisya pergi, makanya... dia tak pernah mencari bila Qisya benar-benar hilang dari matanya. Dan seperti mana lumrah hidup, manusia hanya mampu merancang sedangkan ada ALLAH sebagai perancang utama. Dalam pada Qisya mengelak, mereka akhirnya dipertemukan juga hanya disebabkan si comel Firyal Ibtisam.

- CINTA BUAT EMELDA, HARI KE-13 -

Opsss... untuk yang mencari link Cinta Buat Emelda (CBE) Episod 13, sila buang rasa keterujaan [kalau ada yang terujalah, kalau tak ada, tak apa-apa] itu dan silalah jangan rasa hampa sebab anda ternyata dah salah masuk rumah ni. Tau kenapa? Sebabnya... di blog ni tak ada satu pun link yang saya sediakan untuk menonton drama CBE itu untuk hidangan mereka yang terlepas menonton di TV3. Tapi di blog-blog lain ada, jadinya... boleh aje melihat-lihat kalau terasa nak lihat. Di Tonton pun ada juga walaupun ada masa-masanya terasa sukar yang amat nak tengok di situ. Cuma yang untungnya, tak ada iklan, ;-)

Sebab lain pulak, episod 13 memang belum ditayangkan lagi di TV3 dalam Slot Akasia tu. Kalau ada pun, pukul 7.00 malam nanti sebab hari ni CBE dah masuk episod ke-13. Maknanya, kalau saya nak muatkan link untuk episod 13 sekarang dan saat ini, nampak benarlah saya menipu kan? Saya pun tak ada episod 13 tu, kalau ada sekalipun tak mungkin dibenarkan masukkan di rumah tak bertiang dan bertingkap saya ni. Dan kenyataannya, saya sendiri pun masih belum tengok drama tu kecuali untuk episod 1-12 semata-mata. Yang ada, hanya ringkasan episod 1 hinggalah episod 24.

Yang saya maksudkan bagi N3 ni, hari ni CBE dah masuk episod ke-13, ini bermakna drama yang diadaptasi daripada novel Kasih Antara Kita dah pun ditayangkan di TV3 sebanyak separuh. Ini bermaksud, termasuk hari ini ada lagi 12 episod yang masih berbaki. Selepas episod 24 nanti, CBE akan terus jadi kenangan untuk semua yang menontonnya termasuk saya sendiri. Mungkin... kenangan yang terindah atau mungkin juga jadi igauan ngeri untuk sesetengah orang.

Bagi saya sendiri, untuk setakat hari ini, masih manis lagi dan hendaknya akan terus manis, semanis madu. Lebih-lebih lagi bila saya lihat CBE nampaknya seperti diterima banyak orang. Berapa jumlah banyaknya itu, jangan ditanya pada saya sebab saya bukan ahli sukat, apalagi nak menyukat jumlah orang yang menonton CBE. Apa yang saya lihat berdasarkan komen-komen yang saya baca. Lebih daripada itu, saya rasa manis sebab pembaca KAK juga dapat menerima CBE seadanya walaupun setelah berlaku pengurangan dan penambahan watak dan isi ceritanya.

Entah kenapa, berbanding penonton yang hanya menonton CBE tanpa membaca KAK, saya lebih takutkan penonton yang dah pun membaca Kak dan kemudian menonton pula CBE. Sebabnya, mahu atau tak, saya yakin dan sangat pasti yang mereka yang dah membaca KAK pasti akan membandingkan KAK dengan CBE kerana saya sendiri pun pernah membandingkan Ombak Rindu versi novel dengan versi filem, Gemersik Kalbu versi novel dengan versi drama, Bicara Hati versi novel dengan versi drama dan novel-novel lain yang sudah pun diadaptasi. Perasaan ingin membandingkan tu memang tak dapat dielakkan.

Tapinya, kurang atau lebih CBE berbanding KaK memang dah tak boleh diapa-apakan lagi kerana memang tak ada apa pun yang boleh dilakukan. Mahu atau tak, saya sebagai penulis KAK, merangkap pembaca KAK, merangkap editor KAK, harus memikirkan yang baik-baik aje.

Lahirnya CBE bagi saya sebagai penulis KAK, ada begitu banyak kebaikan. Pertama, dengan adanya CBE, KAK kembali dicari orang dan senyum saya memang lebar [tak sampai ke telinga okey] bila tengok KAK disusun cantik di kedai-kedai buku. Kedua, novel-novel yang dulunya tak ada di sesetengah kedai buku, sekarang ni dah ada. Ketiga, disebabkan KAK, novel-novel saya seperti SEMUSIM RINDU, KASIH ANTARA KITA, JANJIKU BERSAMAMU, SEGALANYA UNTUKMU, HANYA DIA TAHU, AKU MAHU KAMU, TANPAMU AKU RINDU, KASIH BENAR KASIH dan novel terbaru saya, TERUS CINTAI AKU turut terkena tempias sama bila dicari pembaca. Bahkan yang agak mengejutkan, novel HANYA DIA TAHU yang dah banyak usianya melompat masuk dalam carta MPH, KASIH BENAR KASIH yang terbit tahun lepas terjun dalam carta Popular Bookstore dan SEGALANYA UNTUKMU juga masuk carta dalam Terlaris Minggu Ini (Online Karangkraf Mall).

Bagi seorang penulis seperti saya, tak ada yang lebih menggembirakan dan membahagiakan bila melihat novel-novel tulisan kita ada di kedai-kedai buku. Sekurang-kurangnya, terasa segala penat lelah dalam menyiapkan sesebuah novel itu seperti berbaloi. Masuk carta atau tak, tak begitu penting asalkan saya tak mendengar pembaca berkata yang mereka tak dapat mencari novel-novel saya kerana tak ada di kedai.

Apa pun, bagi yang mengikuti CBE, selamat menonton untuk episod-episod seterusnya. Kalau boleh, tengok sampai habis tau! Untuk yang mahu membaca KAK dan sedang membaca KAK, selamat membaca dan kalau boleh, bacalah sampai ke titik akhir. Mana tau, selepas membaca KAK, muncul pula rasa nak membaca novel-novel saya yang lain. Tak malu kan ayat tu kan? Tapi... alah, saya anggap saya sedang mempromosi novel-novel saya sendiri. Jadinya, tak perlu malukan? ;-)


- MARI MAKAN-MAKAN -

Makan... hem, dah tentulah saya manusia yang paling suka makan yang ada dalam dunia ni. Tapi... kalau disuruh masuk pertandingan makan macam yang pernah saya tengok kat TV, saya tak akan sanggup sebab saya yakin saya tak akan menang. Sebabnya, saya jenis selera besar tapi kemampuan tak sebesar mana. Banyak mana pun makanan terhidang di depan mata, kalau dah sampai tahap perut penuh, saya tak akan sumbat dan sumbat terus makanan ke mulut. Bimbang dalam proses menyumbat makanan ke mulut, ada yang keluar semula nanti. Tak ke haru kalau keadaan tu sampai berlaku? Tak ke namanya memalukan diri sendiri?

Dan Sabtu malam lepas, saya dan keluarga saya pergi makan-makan. Malah, saya sanggup berkejar balik ke JB semata-mata mendengar perkataan MAKAN. Sedangkan kalau nak diikatkan rasa badan, saya memang sangat-sangat-sangat letih sebab sejak kebelakangan ni saya memang jarang dapat berehat pada hujung minggu. Ada-ada aje aktiviti yang saya kena buat. Bermula dengan permintaan abah yang minta saya balik, kemudian minggu berikutnya, Sesi Temu Mesra di Subang Parade, bersambung balik JB lagi minggu depannya, Karnival Buku di Kolej Uniti minggu lepas tu, Sesi Temu Mesra Penulis di Borders The Curve dan minggu berikutnya Sesi Temu Mesra Penulis di Pesta Buku Sinar Bestari di Kuala Selangor.

Untuk aktiviti yang bersambung-sambung tu, saya akhirnya dihadiahkan dengan MC dan berkesudahan mengerekot kat rumah sebab Migrain dan Gastrik datang menyerang. Ingatkan dapat bertahan dengan tidur yang panjang tapi sebenarnya sungguh-sungguh tak boleh bertahan lagi. Betullah, badan manusia bukannya macam badan robot. Sampai masa, kita perlukan rehat. Dan sebenarnya, aktiviti bersambung tu taklah berat mana sebab dalam salah satu aktiviti tu, tak ada pula aktiviti yang dinamakan, ‘Mari Memecahkan Batu’ atau ‘Mari Menarik Kayu Balak’, atau ‘Mari Mengangkat Rumah’, tapi... penyakit bila nak datang bukannya boleh ditahan-tahan sesuka hati. Mungkin juga penyakit tu datang sebagai petanda supaya saya merehatkan badan yang letih.

Memang pun sejak akhir-akhir ni, saya kerap balik JB tanpa ada cuti tambahan, sedangkan dulu kalau tak ada 3 hari, saya tak akan balik kalau tak ada sebab-sebab yang penting. Balik JB, Jumaat pukul 6.00 petang dan balik KL semula hari Ahad pukul 2.00 petang, walaupun bukan saya yang bawa bas, saya tetap juga terasa letih. Tapi tak apalah, kadang-kadang... ada hal-hal dalam dunia ni yang lebih penting dan patut diutamakan daripada kepentingan diri sendiri. Boleh aje kalau tak balik hujung minggu lepas, tapi... tentunya makan-makan tanpa kehadiran saya tak akan jadi best bagi keluarga saya. Bunyinya macam perasan kan? Tapi... memang pun tak best kalau saya tak ada, sama macam saya rasa tak best kalau salah seorang daripada kami tak ada sebabnya, antara kami semua memang sangat-sangat rapat. Harap-harap rezeki kami akan lebih murah lepas ni dan semoga kami semua berbahagia dunia dan akhirat, ;-)















- M. NASIR VS YASSIN! -

Satu malam yang tak berapa nak sunyi sebab walaupun semua orang dah tidur, TV depan mata masih terpasang dengan jayanya. Tak tahu nak buat apa, saya layan aje ulangan Maharaja Lawak Terbaik [kalau tajuk tu salah, minta maaf ya sebab tak berapa nak peka]. Sebenarnya dan tengok banyak kali dah, tapi tetap juga tengok sebab tak tahu nak buat apa lagi.

Tiba-tiba, terkedek-kedek budak kurus melidi yang baru mencecah umur 4 tahun depan mata saya.

Saya tanya, “Tak tidur lagi?”

Dia balas, “Tak lagi.”

“Temankan Mak Tam tengok TV boleh?” tanya saya lagi sekali. Masa tu dia dah duduk pun tepi saya dengan muka polos dia.

“Boleh aje,” jawab dia pula.

Maka tengah malam tu, berduetlah mak saudara dan anak buahnya menonton TV walaupun masa tu patutnya kami berdua dah masuk tidur sebab ayam pun dah lama tutup mata. Eh... nak tanya sikit pada yang tau, ayam sebenarnya ada kelopak mata tak ya?. Tapi apa kaitan ayam dengan N3 saya ni ya? Okey... sila abaikan pertanyaan yang entah apa-apa dan kelihatan seperti orang tak cerdik. Tapi, kalau ada yang tau jangan lupa bisik-bisik kat telinga ni tau. Bukannya apa, sekadar nak tambah pengetahuan aje.

Berbalik pada kisah si anak buah dan Mak Tamnya yang menonton TV tadi, tiba-tiba si anak buah yang dipanggil Aqqif itu memecahkan kesunyian malam kami berdua. Katanya pada saya;

“Muka dia... acam Nasir!” Jari dia lurus menunjuk ke wajah yang sedang membebel-bebel di TV.

Saya yang memang suka mengerutkan dahi, tambah berkerut-kerut dahi. Tak faham apa yang dia kata. “Nasir?”

“Ya... muka dia acam Nasirlah.”

Saya tanya lagi, “Nasir mana ni? Pak Long?” Kebetulan abang ipar saya yang Aqqif gelar Pak Long memang bernama Nasir. Saya cuba juga memadan-madankan muka di depan dengan muka abang ipar saya. Tapi sama ada TV saya terbalikkan atau saya yang tengok TV dalam keadaan terbalik, tetap juga saya tak dapat samakan wajah di depan TV dengan Nasir si abang ipar saya.

“Bukan...”

“Habis tu Nasir mana ni? Mak Tam tak tahulah.” Rasa-rasa saya, Nasir yang kami sama-sama kenal, cuma Nasir a.k.a Pak Long. Lain daripada itu, walaupun saya kenal Nasir lain, si kecik tak mungkin kenal sebab saya dan dia memang tak pernah berkongsi kawan yang sama. Orang tua bangka seperti saya, ada kawan yang kecil usia 4 tahun atau orang sekecil Aqqif ada kawan seusia saya, tak ke kedengarannya sangat tak masuk dek akal?

“Alah... Nasir tulah, yang boleh terbang tu.”

Habis aje dia berkata, saya terus ketawa besar. Memanglah tak sampai tergolek-golek tapi sempatlah mata saya berair. Tiba-tiba melintas satu dialog di telinga dan mata saya.

“Ini... M. Nasir kan?”

“Hang Tuah!"

Ternyata iklan kit kat yang berkesudahan dengan M. Nasir makan coklat kit kat sebelum terbang ke udara, bukan hanya berjaya mencuit hati saya, tapi... hati anak-anak kecil juga. Saya tak boleh lupa iklan tu sebab saya geli hati bila M. Nasir yang selalu nampak serius sanggup berlakon iklan tu. Sedangkan di mata budak-budak, saya tak tahu mana yang menarik pada iklan tersebut.

Cuma soalnya, patut ke muka Yassin yang terkenal dengan lawak jenaka, disamakan dengan M. Nasir yang sangat pandai menggubah lagu tu? Entah kat mana persamaan mereka sampai anak buah saya sanggup ‘mengkembarkan’ mereka berdua, saya sungguh-sungguhlah tak dapat cari jawapan sampai ke saat ini. Atau pun, di mata budak 4 tahun, muka serius dan lawak tu sama ya? Adoi... tiba-tiba aje terasa nak masuk ke dunia kanak-kanak semula. Nak tengok mana yang miripnya M. Nasir dan Yassin ni.


- TOLONG... ADA HANTU! -

Ni... cerita benar okey! Saya tak tipu dan tak akan menipu orang sesuka hati [nampak benar kalau terpaksa saya menipu juga kan?]. Itu... situasi lain dan bukannya sengaja, sebab keadaan yang memaksa. Saya tak percaya dalam seumur hidup, tak ada orang yang tak pernah menipu. Dan apa yang saya ceritakan sekejap lagi memang kisah benar. Kalau tak percaya, tanya kat Abang Chik saya sebab masa ‘kejadian’ tu, dia pun ada sama dengan saya. Kakak ipar saya pun ada juga, cuma... saya tak pasti sama ada dia sedar atau pun tak masa tu. Tapi rasa-rasanya, memang dia tak ada depan saya. Dia dah lena diulit mimpi sampai terlupa kat dunia sekeliling.

Kejadian ni berlaku dalam tahun 2004 di rumah abang saya sebab masa tu saya tinggal dengan dia. Kira-kiranya, dah 8 tahun berlalu dan sampai ke hari ni saya langsung tak dapat lupa dan mungkin sampai bila-bila pun tak akan lupa agaknya. Bagi saya, tu salah satu daripada pengalaman berharga yang harus disimpan sampai nyawa bercerai daripada badan walaupun kalau dikenang-kenang memang sangat menakutkan.

Malam tu, saya tak ingat pukul berapa sebenarnya. Cuma yang jelas saya memang dah bersedia nak tidur sebab hari dah malam dan dah tak ada apa nak buat. Nak baca novel macam selalu, mood memang ke laut. Jadinya, saya padamkan lampu, dan tarik selimut. Saya tak ingat sama ada saya dah tertidur atau belum, tapi tiba-tiba aje saya terasa katil yang tampung badan saya bergegar dan berbunyi-bunyi, macam bergerak-gerak pun ada juga. Sebab katil tu katil besi, maka memang jelaslah bunyinya. Mula-mula saya buat tak tau aje, tapi bila terus-terusan bergegar, saya dah berdebar-debar semacam. Nak jerit malu rasa seganlah pula. Tapi takutnya saya, ALLAH aje yang tahu. Mana pernah ada pengalaman macam tu sebelum ni. Mata saya pejamkan rapat-rapat sebab dalam hati saya berkata, ‘Rumah abang aku ni ada hantu’. Kalau pun hantu tu nak kacau saya, kacau ajelah dan saya tak akan bukak mata. Buatnya saya bukak mata, hantu tu betul-betul muncul depan mata saya dengan muka hodoh dan rambut berserabai panjang sampai ke lantai, mahunya malam tu jadi malam terakhir saya. Itu kalau rambut panjang, kalau yang muncul itu pocong-pocongan, memang saya akan jadi gila, kalau pun nyawa saya tak melayang.

Saya pejam mata sampai mata jadi sakit sebab terlalu kuat. Dalam hati kata, ‘Antara rambut panjang mengurai dengan kepala berikat, mana satu yang lebih menakutkan aku?’. Entah ya, saya sendiri tak dapat buat keputusan masa tu sebab dua-duanya macam menakutkan saya. Memang takut yang melampaui batas sebab dalam seumur hidup saya, saya tak pernah berharap bertemu dengan benda-benda yang aneh lagi pelik. Cukup-cukuplah apa yang pernah saya alami di universiti satu ketika dulu bila saya tengok kawan saya ada di sebalik cermin sedangkan yang sebenarnya kawan saya dah keluar. Dia pakai baju biru sedangkan, yang di dalam cermin itu memakai baju coklat. Matanya hanya merenung saya dan tak lama lepas tu kawan saya bukan pintu dengan baju biru melekap elok di tubuh. Akibatnya, malam tu saya tak dapat tidur dan kejadian tu seakan-akan menghantui saya.

Dan kejadian di rumah abang saya malam tu, sebab dah tak tahan sangat dengan rasa takut, saya terus tolak selimut dan keluar bilik, terus tuju ke ruang tamu. Rasa takut bercampur terkejut bila tengok abang saya yang baring kat lantai sambil tengok bola, nampak macam senget aje kedudukannya. Keadaan dia nampak sangat pelik sampai-sampai saya tak tertanya apa yang berlaku. Lepas tu beberapa detik saya kata kat dia;

“Rumah ni ada hantu. Hantu goyang katil Ami.”

Abang saya kata, “Cha pun rasa macam bergoyang aje.”

“Hantu,” kata saya lagi.

“Taklah. Rumah ni yang bergegar agaknya,” balas abang saya.

Saya diam. Betul juga sebab kalau benar ada hantu, takkanlah adik-beradik dikacaunya serentak. Lama tunggu, tak ada lagi rasa pelik tu. Saya pun, masuk bilik balik dan tidur. Doa saya dalam hati, janganlah sekali lagi katil saya digoyang-goyang sebab saya kena tidur awal, nak kerja.

Esoknya, barulah saya tau yang gegaran kat katil tu sebenarnya bukannya hantu kacau saya, tapi... akibat Tsunami yang melanda bumi Acheh. Aduhai... rupa-rupanya orang lain turun sebab gegaran tu. Kami adik-beradik boleh pulak tidur dengan aman damainya. Kalaulah ditakdirkan rumah tu runtuh, memang selamat jalanlah kat kami sebab boleh buat selamba. Tapi sungguh, memang keadaan masa tu saya rasa sangat dahsyat.

Tapi lepas kejadian tu, ada beberapa kali juga saya rasakan keadaan yang sama walaupun saya dah tinggal di KL. Di rumah sewa aje, beberapa kali juga saya alami hal yang sama dan saya tak lagi anggap saya dikacau hantu macam pertama kali dulu. Cuma macam dulu, saya dan kawan-kawan tak turun juga. Terus aje buat hal sendiri. Hanya sekali aje, gara-gara degil, kami dipanggil turun ke bawah dan akibatnya, kami melepak kat kedai makan sampai keadaan okey.

Dan semalam, akibat gempa bumi di Acheh, saya sekali lagi dapat rasakan rasa yang sama, macam 8 tahun dulu. Masa tu tengah baca novel sambil melepak kat sofa dengan TV yang terpasang. Hati dah agak ada sesuatu yang berlaku kat negara jiran sebab dah selalu sangat rasa, tapi tak turun juga. Cuma berjaga-jaga aje. Mujur hanya 2 kali aje gegaran terasa. Tapi seperti kata seorang kakak, ‘Malam ni, pakai baju tidur yang lengkap. Takut ada apa-apa terjadi, taklah turun dengan baju seksi”. Saya hanya ketawa, tapi memang malam tadi saya sungguh sopan walaupun yang sebenarnya saya memang rimas kalau tidur dengan baju tidur berkolar.

Apa yang terjadi semalam memang sangat menyedihkan sebab saya dapat rasakan yang mereka di negara jiran masih trauma dengan kejadian 8 tahun dulu, kini terpaksa pula berhadapan dengan kejadian ngeri sekali lagi. Tapi kalau memang itu yang tertulis, apa yang boleh manusia katakan lagi, mahu atau tidak, terpaksa juga menghadapinya. Hendaknya mereka yang terlibat terus sabar dan tabah.

- CINTA BUAT EMELDA SELEPAS 10 HARI -

Sebelum terus bebel-membebel lebih panjang berjela-jela lagi, diam tak diam dah 10 hari drama CINTA BUAT EMELDA [CBE] bersiaran kat TV3 dalam Slot Akasia. Ini bermakna ada lagi 14 episod yang akan menyusul sebab drama ni ada 24 episod. Bagi yang tak pernah baca novel Kasih Antara Kita [KAK] tapi nak tahu apa kesudahan kisah hidup Aril Fatah, Emelda dan Si Comel Dania, kenalah ikut sampai habis. Bagi yang dah baca KAK, rasa-rasanya tak perlulah nak rasa suspens sangat dengan penamat CBE tu sebab tak lari jauh mana daripada novel. Kalau novel mampu buat kawan-kawan tersenyum selepas kata TAMAT kelihatan, drama pun mungkin akan buat ramai yang tersenyum bila tiba episod yang terakhir, pun dengan kata TAMAT juga. Itu pun kalau rasa gembira melihat kisah kekeluargaan yang disalut dengan rasa cinta dan kasih sayang yang kemudian diikat dengan ikatan persahabatan itu.

Perasaan saya selepas 10 hari CBE ada di kaca TV, tentulah dah tak berdebar-debar lagi sebab dah tak ada apa yang nak didebarkan lagi. Kalau pun ada rasa debaran datang, dah tak boleh nak buat apa sebab ‘benda’ dah jadi dan tentu aje tak boleh nak dibetulkan lagi.

Setakat 10 hari ditayangkan, ada macam-macam komen yang datang walaupun bukan pada saya. Apa yang saya lihat, banyak juga komen-komen yang diterima, ada positif dan ada juga yang negatif. Ada yang kata suka KASIH ANTARA KITA [KAK] dan suka juga dengan CBE. Ada yang kata ada perubahan, tapi tetap juga nak tengok CBE. Ada yang kata lebih suka KAK berbanding CBE. Bahkan, ada juga yang kata suka CBE berbanding KAK. Adoi... yang terakhir buat saya rasa nak sentap. Hahaha... tapi sebenarnya tak rasa sentap pun, sikit pun tak. Bagi saya, rasa suka tu bukannya boleh dipaksa-paksa, sama macam rasa suka kita pada manusia atau benda yang ada di muka bumi ni. Saya lega kalau orang suka CBE berbanding orang tak suka. Tak kisahlah kalau KAK tewas di tangan CBE sekalipun. Yang penting, CBE digarap dengan baik, itu sudah mampu membuatkan saya tersenyum dan mampu tarik nafas panjang.

Soal watak yang ditambah dan dikurangkan, saya tak nak komen apa sebab saya yakin, yang buat skrip tentu ada alasan tersendiri. Mereka lebih arif dalam soal buat skrip, sedangkan pengetahuan saya hanya setakat menulis novel. Dan penambahan watak Azida, terus terang saya kata, saya suka sebab Azida membuatkan CBE lebih bertenaga dan lucu bila digandingkan dengan Emeriz yang dah bertukar watak. Ya... saya tau, watak Enieza tak ada dalam CBE sebab watak tu dah diambil oleh Emeriz. Kiranya, Emeriz punya dua watak yang berlawanan. Dia baik pada Dania [dalam novel memang dia seorang yang baik] dan dalam masa yang sama, dia layan Emelda dengan buruk [dalam novel watak ni dipegang oleh Enieza]. Kiranya, watak Enieza ditiadakan, tapi perwatakannya masih ada dalam CBE. Tidaklah menghampakan saya.

Watak Atiea [kembar Dania] ditiadakan dengan alasan bukannya mudah nak buat kanak-kanak pegang watak yang berlainan dalam satu masa dan lagi, katanya memang sukar mencari pelakon kanak-kanak yang boleh berlakon. Agaknya, kalau Mia Sara Nasuha terpaksa pegang watak Atiea juga, mungkin akan pening. Atas alasan tu, saya terima aje apa adanya. Mungkin kalau saya yang membuat skrip CBE, saya pun akan buat keputusan yang sama.

Dan yang menghairankan saya sendiri, masa buat KAK, saya tak rasa sedih dan saya tak menangis. Satu-satunya novel yang ketika saya menulis saya rasa sangat sedih adalah novel SEGALANYA UNTUKMU [SU]. Tak tau atas alasan apa, tapi memang sepanjang menggarap SU, terasa semacam ada satu rasa mencengkam jiwa saya sampai-sampai saya terpaksa menghentikan taipan saya pada keyboard. Saya tak pernah dipukul abah saya, tapi saya seakan-akan terasa betapa sakitnya rasa bila Jehanna Aisya dipukul ayahnya. Saya tak pernah rasa murung dengan takdir yang datang sebab putus cinta pun tak mampu buat saya rasa murung, tapi... kemurungan Jehanna Aisya dengan apa yang dialami sejak kecil seakan-akan menghantui diri saya. Ya... saya tak malu mengaku yang ketika menggarap SU, air mata saya tak gugur, tapi tetap bergenang di mata.

Dan CBE, beberapa kali juga buatkan air mata saya gugur. Saya rasa sangat sedih. Harapan saya, untuk 14 episod yang akan datang, CBE akan terus ditonton orang kerana jatuh dan bangunnya drama itu, penonton yang menentukan, bukannya saya sebagai penulis KAK mahupun Mimie yang buat skrip CBE, ;-)

- KALAU DAH BUDAK TETAP JUGA BUDAK -

Di atas tu gambar apa? Lolipop? Ya... tepuk tangan, tanda kalian memang orang bijak. Tapi... lolipop yang ini tak boleh makan ya kawan-kawan sebab lolipop di dalam gelas itu dibuat daripada sapu tangan yang berbulu-bulu halus. Gunanya untuk mengelap peluh dan segala macam kekotoran yang melekat sama ada di wajah atau pun bahagian tubuh yang lain. Lolipop yang sama yang saya berikan kepada pembaca yang membeli novel-novel saya semasa Karnival Buku Karangkraf 2012 hujung bulan Januari yang lalu.

Dan lolipop-lolipop tersebut merupakan baki yang tertinggal dan sengaja saya simpan elok-elok di rumah sebagai tanda kenang-kenangan. Lagipun... lolipop tersebut nampak sangat cute bila dipandang-pandang, apalagi saya tak cukup kreatif untuk menggubahnya. Bimbang lolipop yang dibuat bertukar menjadi gumpalan sapu tangan yang tidak bernama. Sebabnya, antara malu dan tak, saya terpaksa mengaku yang jari-jemari gemuk saya ni tak begitu kreatif dalam hal gubah-menggubah. Tapi... dalam pada tak kreatif, pernah suatu ketika dulu, dulu yang sangat lama, saya mengait alas meja. Walau tak sekemas mana dan selalu dibebel Kak Long saya, saya berjaya juga mengait walaupun pada akhirnya, kaitan saya tak pernah sempurna. Cumanya, itu dululah! Kalau sekarang saya disuruh mengait, saya sungguh-sungguh akan menolak kerana tangan yang keras dah jadi bertambah-tambah keras.

Eh... rasa-rasanya, saya bukan hanya pandai mengait dulu, saya juga pandai buat bunga daripada straw. Kan, pernah satu ketika dulu saya lihat orang kampung saya begitu giat menggubah bunga daripada straw. Cantik-cantik dan penuh dengan warna-warni lagi. saya yang mungkin kagum akhirnya turut menyumbangkan bakat terpendam. Tapi bila difikir-fikirkan kembali, mana pergi semua bunga straw yang pernah saya buat tu ya? Saya tak tahu, tapi... mungkin juga sudah dibakulsampahkan oleh Mak saya sebab musim bunga-bunga straw menghiasi meja dah lama sangat berlalu.

Lagi satu, saya pandai buat gelang tangan daripada benang dan rasa-rasanya, walaupun dah bertahun-tahun tak buat, saya masih ingat macam mana cara nak buat gelang tu. Maklumlah, dulu-dulu saya memang suka pakai gelang tangan, tapi... bukan gelang tangan emas sebab saya memang tak pernah pun ada gelang tangan emas sebab tak mampu nak beli. Cumanya, ada atau tak gelang tangan emas, saya tak pernah peduli sebab beli pun bukannya boleh pakai bawa ke sekolah. Karang, tak fasal-fasal saya kena tangkap dengan pengawas. Jadinya, saya pakailah gelang tangan yang saya buat sendiri sebab masa tu semua kawan-kawan pun pakai juga. Selain tu, saya suka sangat pakai gelang tangan dan rantai hitam. Dulu, saya rasa saya cantik bila pakai gelang tangan dan rantai warna hitam. Tapi sekarang, gelang dan rantai yang sama saya gelar sebagai tangkal dan dah jadi sangat tak cantik di mata saya. Kalau anak-anak buah saya pakai satu hari nanti, tentu saya akan membebel macam mak nenek. Sangatlah saya ni tak mengenang budi kan? Hahaha...

Okey, berbalik pada soal lolipop tadi, baru-baru ni anak buah yang saya gelarkan Awish asyik menjeling lolipop di dalam cawan sejak mula sampai di rumah saya. Tapi saya buat-buat tak nampak aje sebab saya yakin bila dah tengok penuh minat, ertinya dia nak. Hari kedua, matanya tetap terfokus ke arah yang sama, pun saya buat-buat tak nampak sebab lolipop tu dah jadi macam salah satu hiasan kat Rumah Pink yang memang tak ada hiasan pun sebab saya tak suka, bimbang nampak serabut. Masuk hari ketiga, saya tetap juga buat tak tahu sampailah Ika, mama Si Awish kata kat saya;

“Kak Tam... dari hari pertama lagi Awish asyik jeling lolipop Kak Tam kat dalam tu. Bagi ajelah.”

Kata sata, “Nak buat apa, bukannya boleh makan pun lolipop tu.”

Ika kata, “Bagi ajelah.”

Malas cakap banyak, saya pun ambil satu. Tapi... bila tengok Awish pegang lolipop warna coklat tu, Arissa mula tak puas hati. Jadinya saya keluarkan 1 lagi, warna kuning. Dan dengan muka bahagia agaknya, Awish kata kat saya dengan suara dia yang comel, “Bukak... bukak...”

Dahi saya berkerut tapi saya bukak juga. Hati tertanya-tanya apa yang akan Awish buat dengan lolipop tu. Dan bila Awish dengan selamba jilat lolipop tu, saya dan Ika terus ketawa terbahak-bahak, sedangkan muka Awish berkerut-kerut, mungkin terasa ada yang tak selesa kat lidah.

Ika kata sambil ketawa, “Ika memang dah agak dah, Awish mesti nak makan lolipop tu punya.”

Berair-air mata saya sebab ketawa dan saya terus leraikan lolipop tu, ada kain putih kecil dan panjang di dalamnya. Dan ketawa saya jadi makin kuat bila Arissa capai kain putih tu dan lekatkan kat dahi Awish sambil mulut macam murai tu kata, “Doktel... doktel...” Yang ada di kepala Arissa tentulah dia seorang doktor dan Awish pula pesakit dia.

Sebenarnya saya tak tahu apa yang ada di kepala anak-anak umur 2 tahun lebih tu sebab saya dah lama tinggalkan usia 2 tahun, tapi melihat telatah dan gelagat dia orang yang selamba dan bersahaja, saya rasa sangat-sangat terhibur. Mereka menceriakan hari-hari saya selama 3 hari 2 malam, ;-)

- NOMBOR RUJUKAN STATUS KIRIMAN NOVEL [2] -

SHAZWANI – TCA [EM 200684005 MY]
HAYATI ABDULLAH – TCA [EM 200684053 MY]
NURUL ASMA AWANG – SR [EM 200684019 MY]
NOR AZIZAH DERAMAN – TCA & KAK [EM 200683985 MY]
YAZRINA YASIN – KAK [EM 200683971 MY]
NORSHIDA – KAK [EM 200684022 MY]
NUR AIN A GHANI – TCA & KAK [EM 200684067 MY]
NORAZLINA MOKHTAR – TCA [EM 200684040 MY]
SABARIAH SABRI – KAK [EM 200683999 MY]

TERIMA KASIH pada yang beli novel-novel saya, kalau ada masalah dengan novel-novel yang dikirim, inform aje. Dan, kalau rasa nak komen boleh email supaya saya dapat perbaiki mutu penulisan saya, ;-)

PESANAN PENTING - Saya hanya buat penghantaran SEMINGGU SEKALI SAHAJA. Jadinya, kalau terasa tempoh saya pos dengan tempoh bank in agak lama, minta maaf ya...

- UNTUK YANG ORDER NOVEL -

Sekadar makluman kepada sesiapa yang order novel dengan saya. Terdapat beberapa email yang saya terima tapi bila saya cuba balas, ternyata tak boleh. Untuk itu, saya mohon supaya memberikan email yang betul supaya detil tentang nombor akaun dapat saya kirimkan.

Saya juga nak maklumkan yang saya hanya membuat penghantaran novel pada hari ISNIN SAHAJA. Jadinya, bagi mengelakkan menunggu terlalu lama, saya galakkan BANK IN bayaran dekat-dekat dengan hari ISNIN atau JUMAAT. Kalau nak masukkan hari lain pun tak apa, cuma... kesian sebab terpaksa menunggu lama.

Maklumat tentang harga novel :-

1) NOVEL TERUS CINTAI AKU – Harga asal RM23
- Semenanjung Malaysia - RM25 [diskaun 10% + RM6.00 (pos laju)]
- Sabah & Sarawak – RM29 [diskaun 10% + RM9.00 pos laju)]

2) NOVEL-NOVEL LAIN
- KASIH BENAR KASIH – RM21.00 [15% diskaun] - RM23/ RM27
- TANPAMU AKU RINDU – RM19.90 [15% diskaun] - RM22/ RM26
- AKU MAHU KAMU – RM19.90 [15% diskaun] - RM22/ RM26
- HANYA DIA TAHU – RM19.90 [15% diskaun] - RM22/ RM26
- SEGALANYA UNTUKMU – RM19.90 [15% diskaun] - RM22/ RM26
- JANJIKU BERSAMAMU – RM19.90 [15% diskaun] - RM22/ RM26
- KASIH ANTARA KITA – RM19.90 [15% diskaun]- RM22/ RM26
- SEMUSIM RINDU – RM18.00 [15% diskaun] - RM20/ RM24

Untuk kos pos [No. 2] , Semenanjung Malaysia RM5.00 dan Sabah & Sarawak RM9.00

Kalau tak mahu disign, mohon maklumkan juga ya. Kalau tak maklumkan, saya akan sign dengan senang hati. Terima kasih, ;-)

- KAMI ADA DI SANA TAU... -

Bagi sesiapa yang ada kelapangan dan terasa nak berjumpa dengan saya dan Damya Hanna, tak kiralah beli novel atau tak, bergambar atau tak, nak dapatkan tandatangan atau pun tak, nak berborak-borak kosong, atau... saja aje datang sebab nak pandang-pandang jeling-jeling, bolehlah ke The Curve pada hari esok bersamaan dengan 7 April 2012 di Borders pada pukul 3.00 - 5.00 petang. Kalau datang semata-mata nak senyum-senyum pun boleh aje, tak kena tangkap dan saya sangat berbesar hati. Tapi... kalau tak sempat atau tak boleh datang esok, boleh juga datang pada...

Hari Ahad bersamaan dengan 8 April 2012 atau dalam erti kata lain lusa sebab saya dan Damya Hanna juga akan berada di Kedai Buku Sinar yang bertempat di Kuala Selangor dari pukul 4.00 petang sampailah 7.00 malam. Sebenarnya... saya tak tahu kat mana tu, tapi redah ajelah sebab dah berjanji nak datang. Harap-harapnya, semua akan berjalan dengan lancar. Jumpa di sana ya... ;-)

- MEREKA DATANG LAGI… -

Kredit kat Kak Fatin sebab ni gambar dia, saya ada juga tangkap gambar hari tu, tapi... entah kat mana silapnya, jadi tak cantiklah pulak, ;-)

Terasa macam agak lama saya tak bercerita tentang keluarga saya sebab akhir-akhir ni yang banyak saya kisahkan tentang hidup kalut yang saya jalani sejak kebelakangan ni, novel baru berjudul TERUS CINTAI AKU, juga tentang drama CINTA BUAT EMELDA yang diadaptasi daripada novel KASIH ANTARA KITA. Sedangkan saya sangat suka bercerita tentang mereka semua. Bukanlah terlupa tentang mereka, tidak dan tentu aje tidak mungkin kerana sepenting mana pun novel-novel saya, seexcited mana pun saya dengan novel yang sudah menjadi drama itu, keluarga saya tetap duduk di takhta teratas dalam hati saya. Macam lagu Si Najwa Latif tu, Carta Hati.

Berbalik pada cerita keluarga saya, baru-baru ni mereka datang lagi ke rumah saya yang saya dan kawan-kawan gelar Rumah Pink. Tak macam biasa, kali ni tak semua ikut datang. Keluarga Angan dah Kak Long tak dapat datang sebab Angah tak dapat cuti gara-gara baru aje balik Sabah bulan lepas. Kak Long pula, sebab abang ipar saya agak sibuk akhir-akhir ni, maka diam-diam aje duduk kat rumah. Kalau ditanya pada anak-anak buah saya yang tinggal, terutamanya Kakak dan Adik, memanglah diaorang menggeletek nak ikut. Itu pun memang sengaja saya tak bagitahu pada mereka berdua yang Atuk dan Nenek datang rumah saya, kalau tak… mesti ada yang menangis guling-guling sebab frust. Dan saya, memang sangat suka tengok Si Adik bila nangis sebab dari kecik sampai usia 10 tahun, cara dia menangis memang lain daripada yang lain, sekali pandang tak ubah macam puntianak mengilai tak dapat darah. Yalah… sambil menangis dia menjerit dan kami yang mendengar hanya ketawa-ketawa, mengejek dia.

Mereka sampai rumah saya dekat-dekat pukul 2.00 pagi sebab adik saya balik kerja lambat. Bila dah sampai mulalah kalut mencari makan. Awalnya nak masak walaupun saya memang tak ahli dalam bab masak-memasak ni. Tapi bila kakak ipar saya kata tak payah masak sebab mak bawak banyak makanan, saya terus simpan bahan-bahan yang nak dimasak. Yang sempat saya masak hanya kerang dan goreng ikan aje. Itu pun sebab dah termasak, kalau tak semua sekali saya simpan. Kembang setaman hati saya bila tengok diaorang makan kek yang saya beli daripada kawan kat pejabat dengan penuh selera. Sungguh… kek tu sangat sedap, apa lagi bila di atasnya tertulis perkataan, “Welcome to Rumah Pink”. Kenapa Rumah Pink? Sebab… rumah sayakan bajunya warna pink.

Pagi Sabtu tu anak-anak buah saya berselang-seli buat konsert macam selalu. Kejap-kejap ada yang menjerit sebab kena cubit, kejap-kejap ada yang menjerit sebab kena gigit dan kejap-kejap ada pula yang main tarik-tarik rambut. Tapi jangan salah faham ya, bukan kami yang dewasa ini yang cubit, gigit dan tarik rambut anak-anak kecil yang comel tu, tapi diaorang mencubit, menggigit dan menarik rambut sesama sendiri. Saya tengok kadang-kadang ikut senyum dan ketawa, kadang-kadang pula saya menjerit sama macma diaorang. Sakit hati sebab tak henti nak bergaduh. Tapi sebenarnya tak guna pun menjerit sebab mereka cuma tenang untuk masa beberapa detik sebelum kembali menjerit dan menangis.

Siap semua, kami bergerak ke Port Dickson sebab saya ada Sesi Temu Mesra Penulis di Kolej Uniti pukul 11.00 pagi sampai 2.00 petang. Sampai-sampai aje, saya diberitahu tempat yang sepatutnya saya dan kawan-kawan duduk ditimpa hujan, jadinya kena pindahkan ke dalam dewan. Saya pun berborak ajelah dengan Kak Haiza Najwa dan Kak Sri Diah. Agak lama lepas tu baru bergerak ke dewan. Mulanya macam tak ada yang datang, tapi lepas makan pembaca mula datang. Sayangnya saya tak boleh lama sebab nak bergerak ke Rembau rumah ayah kakak ipar saya. Dan saya rasa terharu sebab tiba-tiba masa duduk dekat khemah luar dewan, ada orang tanya saya, “Aleya Aneesa ke?” Saya angguk aje sebab saya dah lama juga duduk kat situ tunggu anak-anak buah saya entah main permainan apa. Yang tanya pulak tu ayah kepada salah seorang remaja perempuan. Di tangan remaja tu ada novel HANYA DIA TAHU.

Kemudian kami bergerak ke Rembau, singgah duduk, makan, borak-borak dan anak-anak buah saya gaduh-bergaduh lagi. Kemudian kami meneruskan kembali perjalanan balik ke rumah saya. Mulanya plan nak ke mana-mana tapi sebab Abah saya macam tak sihat, kami singgah ke Gerai Sup Meletop dekat-dekat rumah sewa saya dulu. Entahkan disampuk apa, memang keluarga saya sangat suka makan kat sana. Kalau tak banyak kali pun, sekali pun cukuplah singgah, selagi tak pergi, selagi itulah bising.

Ahad pun duduk rumah aje sebab masing-masing penat, tapi anak-anak buah saya terjun kolam dengan senang hati. Petangnya, sebuah kereta bertolak balik ke JB sedangkan sebuah lagi tinggal dan yang turut tinggal Mak dan Abah saya. Dan saya, tentulah orang yang paling gembira bila Mak dan Abah saya tak jadi balik. Ikutkan hati saya nak diaorang duduk lama kat sini. Tapi… sekarang ni Abah saya dah tak sesihat dulu, saya tak berani nak nak tahan mereka berdua. Bimbang kalau-kalau saya akan menyusahkan diaorang.

Tapi Isnin tu, malam… rela dalam paksa saya lepaskan juga Mak dan Abah saya balik. Kalau selalu saya nangis bila diaorang balik, kali ni saya tak nangis. Bukanya saya tak sedih, tapi… saya tak nak tangisan saya buat Mak dan Abah saya berat hati nak tinggalkan saya. Berbanding perasaan sendiri, saya lebih pentingkan kesihatan Abah saya. Kalau di JB, abang-abang dan adik-adik saya ada, tapi… di sini hanya ada saya sorang. Kalau tiba-tiba Abah tak sihat, maunya saya yang pengsan sebab panik. Bukanlah sakit yang teruk sangat, tapi mungkin sebab dah biasa sangat buat kerja berat masa muda, bila tua sakitnya ketara.

Esoknya, Mak saya kata yang masa dalam kereta, Abah saya cakap kat dia, “Tak sampai hati nak balik tinggalkan dia”. Dan saya… akhirnya banjir hanya dengan ayat itu. Cengeng kan? Ya, memang cengang sebab akhir-akhir ni, Abah saya seperti tak boleh kalau tak tengok saya dalam jangka masa yang lama. Bahkan dia sanggup suruh ipar-ipar saya telefon saya suruh balik. Kata dia, "Balik sehari pun tak apa". Lebih buat saya sebak, bila semua orang dalam rumah kata muka Abah nampak berseri-seri bila saya balik dan selera makan dia pun kembali pulih. Sungguh... saya sangat sedih bila dengar!

Sekarang ni, yang saya harapkan sangat-sangat, biarlah Mak dan Abah saya sentiasa diberikan kesihatan yang baik. Biarlah umur mereka dipanjangkan ALLAH sebab… ada begitu banyak yang mahu saya berikan pada mereka berdua. Membalas jasa mereka mungkin saya tak mampu, jadinya… saya hanya mahu memberikan apa yang saya terdaya, ;-)

- ADA APA DENGAN KASIH ANTARA KITA? -

Ada apa dengan Kasih Antara Kita? Hem... itu tajuk N3 saya hari ni. Kenapa saya tiba-tiba nak menulis N3 ni, saya sendiri tak pasti. Cuma saya terasa nak menconteng sesuatu tentang KAK. KAK ya kawan-kawan, bukan CBE sebab dengan jari-jemari saya yang tengah rancak menari atas keyboard ni jugalah saya memulakan KAK hingga titik terakhir. Pendek kata, saya dan KAK memang sangat sebati sama seperti novel-novel saya yang lain juga.

KAK kini dah berusia 6 tahun sebab terbit tahun 2006. Tapi sebetulnya, KAK saya buat lebih awal daripada itu. Mungkin tahun 2005, ketika saya jadi penjaga kaunter di MPJBT sehingga dimaki orang [sampai hati orang tu], atau mungkin juga tahun 2004, ketika zaman saya tanam anggur di rumah abah. Saya dah tak berapa nak ingat sebab ada beberapa buah manuskrip novel yang berjaya saya selesaikan sebaik saja habis belajar di UPM. Itu pun sebab dengan selambanya saya kata kat mak saya dengan ayat macam ni, “Ami tak nak kerja setahun”. Dan mak saya balas, “Ikut sukalah”. Dalam hati saat ni, saya kata pula, ‘Terima kasih mak sebab tak pernah paksa dan sekarang KAK dah melangkah setapak lagi ke hadapan. CBE mungkin skripnya ditulis orang lain, tapi KAK... pasti untuk mak yang selalu memahami. Mak yang tarik tangan Ami masa Ami nekad nak berhenti menulis lepas patah hati dengan novel pertama’. Hahaha... awak sangat cengeng masa tu Marwati Wahab/ Aleya Aneesa.

KAK saya wujudkan bukan untuk ‘MEMBENARKAN YANG SALAH’. Tidak! Itu bukan tujuan saya kerana yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah. Siapa saya nak mengubah kenyataan itu. Hanya mahu MENGINGATKAN diri saya dan juga orang di luar sana, betapa masa remaja yang datangnya hanya sekali tidak harus diwarnakan dengan kemeriahan yang melampaui batas tanpa kenal noda dan dosa. Tapi kalau tetap langkah yang diatur tersasar, belajar untuk bertanggungjawab dan mengakui kesalahan yang dibuat. Bukannya hanya lepas tangan dan buat-buat lupa atau mempamerkan wajah tak bersalah. Memanglah malu mengaku silap sendiri, tapi lebih memalukan kalau kita buat-buat tidak bersalah sedangkan kita sendiri tahu kita bersalah, kemudian tanpa pengetahuan sesiapa, kita berperang pula dengan diri sendiri kerana kita tentu lebih tahu siapa kita dan apa yang dah kita buat melebihi orang yang ada di sekeliling kita. Bagi saya, tak ada yang lebih menyakitkan daripada berperang dengan perasaan sendiri.

Lebih daripada itu, yang nak saya tekankan betapa kasih sayang adik-beradik itu nilainya sangat tinggi. Saya percaya, macam mana marah atau bencinya kita pada adik-beradik kita, jauh di sudut hati tentu ada rasa sayang yang cuba kita sorokkan. Sakit hati macam mana pun kita pada adik-beradik kita, jauh di sudut hati kita, kita akan ikut rasa sakit jika mereka disakiti. Ikatan adik-beradik itu ibarat carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Cuba pisahkan macam mana pun, lama-lama tentu akan berbaik juga.

Macam yang saya tulis dalam KAK dalam ruangan tinta penulis, saya memang tak mengharapkan banyak daripada KAK, hanya mahu diri sendiri dan pembaca menjadikan apa yang berlaku daripada kisah yang dah saya paparkan sebagai iktibar dan pengajaran. Bahkan saya tak pernah bermimpi atau menyimpan impian yang satu hari nanti KAK akan diterbitkan dalam bentuk yang lain. Tapi rezeki ALLAH siapa yang tahu. KAK akhirnya muncul di skrin TV dengan judul CBE. Saya memang bersyukur dengan rezeki yang tak diduga.

Dan sebenarnya KAK lebih saya tujukan pada anak-anak buah saya yang ketika itu berjumlah 3 orang dan kini dah menjangkau 9 orang. Jadinya, saya anggap dedikasi itu bersambung bukan hanya untuk Nurul Husna [Kakak], Nurul Hannah [Adik] dan Danish Hakim [Danish] aje, tapi juga untuk Mohammad Aqqif Najmie [Aqqif/ Jimmy], Mohammad Naqib Zakwan [Naqib/ Wawan], Arissa Izzayani [Arissa], Muhammad Haffiy Darwisy [Awish], Nur Khalysha Humaira [Umi] dan Qiesya Nur Qasrina [Manja]. Ingatan saya untuk mereka dalam KAK, “Fahami hakikat hidup ini yang belum kalian terokai sepenuhnya. Hendaknya kelak bila dugaan menimpa, bersabar dan tabahlah.” Mungkin sekarang ini mereka masih kecil, tapi... satu hari nanti mereka akan jadi remaja dan kemudian dewasa. Mereka akan faham bahawa hidup ini tak begitu mudah, tapi tak juga sukar kalau mereka sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik, ;-)