- IKLAN OH IKLAN -

Betul! Tak tipu punya bila saya kata saya suka tengok TV. Suka tengok filem, drama, nyanyi-nyanyi, joget-joget. Dan lagi, suka tengok... IKLAN. Kalau ada iklan baru, atau saya tak pernah tengok lagi, saya tengok diam-diam. Dua kali tengok, diam-diam lagi sambil senyum-senyum atau ketawa-ketawa kecil. Tak pun kalau rasa iklan tu lain macam, sinis aje muka. Tak pun mulut kata macam ni, “Entah apa-apa iklan macam tu. Tak kena langsung”, ataupun, “Buat malu betul iklan macam tu”, lagi... “Apa kaitan iklan tu dengan produk yang nak dijual” dan macam-macam lagi dialog yang tak pernah rancang.

Tapi biasanya, bila masuk kali ketiga, saya mula ikut dialog-dialog dalam iklan tu. Tak kiralah walau iklan tu saya tak suka. Kalau yang berlakon iklan tu nyanyi, saya nyanyi. Bila bercakap, saya bercakap. Tapi, kalau menari, saya tak menari. Bukan malu, cuma tak tahu menari aje. Kalau tau, mungkin saya menari juga. Hahaha... dah lama hidup sampai nak menari bagai?

Tak cukup dengan iklan kat TV, iklan kat radio pun saya suka ikut. Tapi dalam kereta aje. Saya tak dengar radio kat rumah. Tak rajin dan macam tak ada sebab lagi nak dengar radio. Tak macam masa zaman muda-muda belia dulu. Kalau boleh 24 jam nak dengar radio, termasuk mandi. Tapi, kalau ajelah! Mandi sambil bawa radio, tak ke bermaksud saya harus membeli radio setiap hari, macam lampin pakai buang? Sebab, sekali mandi aje radio tu dah lemas dengan air. Jadinya, tak payahlah berangan nak dengar radio dalam bilik air okey!

Dan dalam seumur hidup ni, rasa-rasanya dah banyak sangat iklan yang saya dengar dan tengok. Tapi sampai ke hari ni saya tetap juga tengok dan dengar juga. Cumanya... sekarang ni, saya sangat-sangat tak dapat terima iklan coklat Kit Kat. Alah... yang satu mamat tu nak perah susu lembu. Malangnya, lembu tu tak mahu bagi susu dia. Sudahnya, mamat tu makan coklat Kit Kat. Baldi pun jatuh sendiri dan susu lembu tu pun keluar mencurah-curah tanpa perlu diperah. Bila berhenti makan, susu tu pun berhenti. Makan balik, keluar balik.

Adoi... apa jenis iklan tu? Macam nak tutup TV aje bila iklan tu keluar. Tapi tengok juga, tengok lagi dan terus tengok sampai habis. Cubalah buat iklan macam susu Dutch Lady tu. Yang budak kecil tu panggil orang yang jual roti dengan motor. Kali pertama panggil tak dengar. Kali kedua guna corong pula, tak dengar juga. Kali ketiga guna mop, tulis perkataan ROTI. Memanglah macam nak percaya tak percaya aje kan? Mak ayah dia kan ada, takkanlah sampai nak biarkan anak menulis guna mop kat jalan raya. Tapi tak apalah, budak tu sangat comel. Iklan pun sebab nak tunjukkan betapa minda budak tu berfungsi dengan baik gara-gara minum susu Dutch Lady tu.

Senyum meleret saya tengok iklan comel tu, taklah muka blur macam tengok iklan coklat Kit Kat yang baru. Lagi cantik iklan yang M. Nasir jadi Hang Tuah. Iklan Kit Kat juga tu. Oh... teringat anak buah saya, sebab dia kata muka M. Nasir macam muka Yassin Senario, ;-)


- UNTUK KAMU YANG BELUM BACA : TANPAMU AKU RINDU -

Yazzer berjalan perlahan di sekitar kawasan rumah Tuan Ghazali. Sudah lama dia tidak menghirup udara segar yang satu ketika dulu saban hari dinikmati. Sambil berjalan, dia memusing-musingkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan beberapa kali bagi melonggarkan kembali segala urat-urat yang dirasakan tersimpul. Berdetup-detap bunyi tulang-tulangnya. Kalau hendak dihitung dengan masa, rasanya sudah hampir empat minggu juga dia tidak melakukan sebarang senaman. Awal pagi tadi pun dia mahu keluar berjoging, tapi tidak juga dilakukan. Tubuhnya terasa lesu, penat sehingga dia terpaksa menarik kembali selimut selepas solat subuh.

Dipandang rumah indah milik majikan ibunya itu dengan pandangan yang dalam. Bertahun-tahun dia menghuni rumah itu, bahkan tempoh dia tinggal di situ sama panjang dengan Tuan Ghazali, Puan Atikah dan Zuyyin. Tapi dilihat, rumah itu tetap sama, tetap indah memukau mata yang memandang. Kalau pun ada yang bertukar, hanya warnanya saja. Kalau tahun ini, hijau, tahun depan mungkin biru, putih atau apa-apa saja warna yang berbeza daripada warna yang sedia ada.

Di rumah yang sama juga dia dilayan dengan baik oleh Tuan Ghazali dan Puan Atikah. Sedikit pun dia dan ibunya tidak dianggap orang luar atau orang yang menumpang. Bahkan, apa yang dibelikan untuk Zuyyin, biasanya dia juga akan dapat. Langsung tidak ada beza antara dia dan anak majikannya itu.

Dia tahu dia diterima dengan baik di rumah itu oleh pasangan suami isteri yang baik hati itu. Kalau ada pun yang tidak sukakan kehadirannya di rumah mewah itu, orang itu tentu saja Zuyyin. Anak gadis Tuan Ghazali dan Puan Atikah yang selalu saja memandangnya dengan pandangan yang sinis. Anehnya, hanya dalam beberapa belas tahun kebelakangan ini saja Zuyyin berubah laku. Padahal, dulu Zuyyin juga baik dengannya dan selalu menganggap dia sebagai abang.

Apa yang menyebabkan Zuyyin berubah, dia tidak tahu walaupun dia terasa sangat ingin tahu.

Tapi diakui yang dia berusaha bermati-matian untuk keluar dari kepompong kemiskinan selama ini pun, disebabkan Zuyyin. Gadis itulah yang membuatkan dia mahu meninggalkan rumah mewah itu, meskipun dia sayang dengan semua isi rumah itu.

Terasa letih berjalan-jalan sendiri, dia melangkah menuju ke arah gazebo yang terletak di sudut kanan rumah. Direnung dalam-dalam tempat yang pernah menjadi tempat dia melepak ketika diri masih bergelar pelajar. Ya, itulah satu-satunya tempat yang paling digemari kalau hendak mengulang kaji pelajaran. Suasana hijau yang ada di sekitar kawasan membuatkan dia rasa tenang dan damai.

Kemudian dia melabuhkan punggungnya di situ. Sungguh kalau ditanya pada hati, dia benar-benar rindu mahu melepak di situ.

“Kalau dah tau diri tu menumpang, buat ajelah cara orang menumpang!”

Mata dipejamkan rapat-rapat. Memang dia rindukan gazebo yang kini diduduki, namun setiap kali ke situ hatinya dipagut sayu. Kata-kata Zuyyin yang dirasakan sangat kejam itu selalu saja menghantui dirinya. Hanya gara-gara dia menegur sikap Zuyyin yang berkawan dengan budak-budak yang boleh anggap liar, dia dimarahi Zuyyin yang ketika itu hanya berusia 15 tahun. Tidak cukup dengan itu, Zuyyin tergamak juga melempar buku di tangan ke arahnya dengan wajah merah menyala.

“Abang sedar siapa diri abang, Zuyyin...”

“Aku tak ada abang. Tak payah nak bahasakan diri abang pada aku. Tak payah!”

Ya, itu jugalah detik permulaan dia tidak lagi membahasakan dirinya abang apabila bercakap dengan Zuyyin, walaupun sejak kecil memang itulah panggilan Zuyyin padanya. Biarlah kalau itu mahunya Zuyyin, dia akan mengikut. Seperti kata Zuyyin, dia hanya menumpang di rumah itu dan dia harus bersikap seperti orang yang menumpang. Bukannya berlagak terlebih sudu dari kuah.

Lantaran kata-kata itu jugalah, dia belajar bersungguh-sungguh. Dia mahu membuktikan kepada Zuyyin yang dia tidak akan selamanya menumpang di situ. Tidak akan membiarkan dirinya terus dihina oleh gadis yang jarang memikirkan hati dan perasaan orang lain itu. Tidak akan membiarkan dirinya terus-menerus bergantung hidup kepada Tuan Ghazali dan Puan Atikah.

Dia masih punya maruah dan dia sekali-kali tidak akan membenarkan maruah dirinya terus dipijak orang.

Dia berjaya, akhirnya dia berjaya juga membuktikan pada Zuyyin yang dia tidak perlu terus bergantung harap pada orang tua gadis itu. Dia masih boleh hidup mewah atas hasil usahanya sendiri, walaupun diakui bukan begitu mudah untuk dia ada di tahap sekarang ini. Bukan juga sedikit peluhnya menitis ke bumi. Mujur juga dalam dirinya ada sabar yang bukan sedikit, jika tidak tentu awal-awal lagi dia sudah mengaku kalah.

Terima kasih, Zuyyin... sebab cabar aku, detik hatinya sendiri.

Masuk tahun ini, sudah lapan tahun dia meninggalkan rumah yang sering dibangga-banggakan Zuyyin itu. Malangnya, sampai ke hari ini pun, setelah lapan tahun masa berlalu, dia tetap harus menjejakkan kakinya ke lantai rumah itu. Tetap harus menatap wajah Zuyyin yang tidak pernah manis kalau bertembung pandang dengannya. Semuanya kerana Zainah masih tinggal di situ. Ibunya tetap mahu kekal di situ, pun kerana Zuyyin!

“Ibu tak nak, ibu nak tinggal kat sini. Ibu tak nak tinggalkan Zuyyin, ibu dah jaga Zuyyin sejak dia umur satu hari lagi. Ibu tak nak tinggalkan dia.”

Keluhan Yazzer lepaskan perlahan. Kata-kata ibunya malam tadi terimbau lagi dalam ingatan. Spontan, air mata yang mengalir di pipi ibunya bagaikan ternampak-nampak di matanya. Hanya gara-gara Zuyyin, dia tanpa sedar telah menyebabkan air mata ibunya gugur. Entah kenapa, gadis itu dirasakan bagai satu sumpahan yang tidak mampu dinyahkan daripada hidupnya.

Bukan juga dia tidak suka ibunya tinggal di situ. Tapi yang dia kesalkan, ibunya terlalu sayangkan Zuyyin. Namun gadis itu langsung tidak memandang ibunya walaupun dengan sebelah mata. Kalau ada pun, itu dulu... berbelah-belas tahun lalu, sewaktu gadis itu masih berada di bangku sekolah rendah. Melangkah ke alam remaja yang penuh pancaroba, sikap Zuyyin langsung berubah, hingga adakalanya dia sendiri tertanya-tanya, Zuyyin yang dulu dengan Zuyyin yang sekarang ini, adakah masih orang yang sama? Atau, hanya sama pada nama semata-mata?
-------------------------------------------------------------------------------------------------
“Tak balik lagi ke rumah murah kau tu?” sinis soalan yang meniti di bibir Zuyyin. Ada senyuman sinis di bibir nipisnya. Tanpa dipelawa, dia duduk di gazebo yang sama. Namun sedikit pun dia tidak memandang ke wajah Yazzer. Hanya leka membelai kuku sendiri sambil sesekali kepalanya bergoyang, bibirnya pula menyanyi-nyanyi kecil. Tingkahnya, seolah-olah Yazzer tidak wujud di ruang yang sama. Cuma ada dia semata-mata.

Mata, cepat-cepat Yazzer pejamkan sambil bersandar malas di tiang gazebo. Sengaja dia berpura-pura tidur kerana dia malas mahu melayan mulut Zuyyin yang bisanya mengalahkan bisa ular tedung. Lagipun, bukannya ada untung pun melayan kata-kata Zuyyin yang diketahui dengan jelas hanya mahu menaikkan api kemarahannya. Bukan baru kali ini saja Zuyyin menghinanya, selalu sangat sampai dia pun sudah lali. Kalau dulu mungkin dia akan terasa kerana dia sedar siapa dirinya. Dia hanya menumpang di situ.

Tapi kini, tidak lagi. Lantaklah Zuyyin mahu berkata apa pun selagi gadis itu mahu, bukannya luak pun. Paling tidak pun, kalau dia sudah bosan dengan kata-kata Zuyyin dan dia merasakan gadis itu hanya mengganggu ketenangannya, dia akan membalas juga dengan kata-kata yang pedas. Sengaja juga ditimbulkan kemarahan Zuyyin kerana dia tahu gadis itu bukannya jenis orang yang penyabar. Tercuit sedikit, marahnya mengalahkan naga.

“Pekak ke?”

Mata Yazzer yang tadinya terpejam rapat, terbuka perlahan-lahan. Sakitnya hati melihat pakaian Zuyyin, TUHAN saja yang tahu. Sudah diperli malam tadi, tapi hari ini Zuyyin tetap juga memakai pakaian seperti itu. Pakai baju, tapi seperti tidak memakai apa-apa saja. Kalaulah gadis itu adiknya, memang dihadiahkan penampar ke wajah itu biar berbirat lebam. Biar lain kali beringat setiap kali mengenakan pakaian ke tubuh.

“Isyh... langau ni tak nak pergi pula pagi-pagi ni. Aku dah mandilah pagi tadi. Syuh... syuh...” kata Yazzer dengan wajah tanpa perasaan.

“Kurang ajar!” pekik Zuyyin tiba-tiba. Tangan kanannya naik mahu diletakkan ke pipi kiri Yazzer.

Yazzer yang memang sudah bersedia, mencapai pantas tangan itu. Lantas, dipulas ke belakang. Dia memang tahu benar dengan kelebihan Zuyyin yang satu itu. Kalau sudah tercabar, bukan hanya mulut Zuyyin yang berbunyi, tangan gadis itu juga akan mendadak naik tanpa perlu disuruh-suruh. “Kalau dah perempuan tu buatlah cara macam orang perempuan. Kawal kemarahan dan jangan nak baran tak tentu fasal.”

“Sakitlah mangkuk!”

Semakin kuat Yazzer memulas lengan Zuyyin. Biarkan, sekali-sekala anak orang kaya itu perlu juga diajar supaya tidak terus kurang ajar. Tapi soalnya, Zuyyin bukannya tidak diajar, cuma gadis itu saja yang tidak masuk diajar. Semua nasihat hanya masuk telinga kanan, kemudian keluar ikut telinga kiri. Langsung tidak ada apa-apa yang tertinggal untuk dijadikan bekalan.

Jeritan Zuyyin jadi bertambah kuat. “Lepaskan akulah!”

“Kau jerit lagi, aku pulas lagi kuat, biar sampai tangan kau putus,” ugut Yazzer dengan bibir mencebik. Kalau perempuan tu perempuan juga, suka menjerit, detik hati Yazzer.

“Bodoh! Lepaskan akulah bodoh!”

“Aku pulas lagi ya?” Yazzer sengaja mahu mencabar kesabaran Zuyyin. Biarkan, biarkan terbakar gadis itu dalam api kemarahan sendiri.

“Mama... mama...” panggil Zuyyin sebaik saja melihat Puan Atikah dan Zainah menghampiri mereka berdua. Tangannya terasa sengal dipulas Yazzer. Semakin dia meronta, semakin kuat Yazzer memulas. “Mama suruh budak ni lepaskan tangan Zuyyin. Tangan Zuyyin sakit, mama...” adunya kepada Puan Atikah.

Puan Atikah dan Zainah saling berpandangan seketika. Kemudian dia kembali memandang Zuyyin yang sudah berkerut muka. Yazzer dilihat masih mengilas tangan Zuyyin ke belakang. Wajah anak muda itu dilihat hanya tenang, bahkan sempat pula Yazzer menjongket kening padanya. Kalau tidak mengenangkan Zuyyin ada di situ, mahu saja dia ketawa besar sambil mengangkat ibu jari sebagai tanda bagus pada Yazzer. Orang kasar macam Zuyyin, memang patut dilayan dengan cara kasar begitu.

“Mama...”

“Padan muka! Orang yang bodoh sombong memang patut kena layan macam tu. Mari kita masuk semula Kak Nah, jangan layan Zuyyin. Tu dah tentu dia yang cari fasal dulu,” ujar Puan Atikah dengan muka selamba. Melihat anaknya dikasari begitu, dia langsung tidak terkesan kerana dia tahu Yazzer tidak akan bertindak begitu kalau bukan disebabkan mulut dan perbuatan Zuyyin. Anak itu memang pun sudah melampau.

“Mama...”

“Pulas aje Yazzer biar sampai putus.”

Zainah yang mendengar kata-kata Puan Atikah menggeleng perlahan. Tajam matanya menikam anak mata Yazzer yang tetap juga mempamerkan wajah kayu. Cara Yazzer mengilas tangan Zuyyin, seolah-olah anaknya sedang mengilas batang pokok. Dia yang melihat pula jadi gerun sendiri.

“Sudahlah tu Yazzer, lepaskan Zuyyin.”

“Biarkan dia Kak Nah, Zuyyin memang patut diajar. Bukannya Kak Nah tak tahu perangai dia”

“Yazzer ni yang tak boleh dibuat gurau,” balas Zainah perlahan. Perlahan-lahan dia menghampiri Zuyyin dan Yazzer. Lembut saja dia menarik tangan Yazzer yang masih mengilas tangan Zuyyin ke belakang. Kalau pun memang Zuyyin bersalah, dia tidak mahu Yazzer mengasari gadis itu.

Lepas saja pegangan Yazzer, Zuyyin merengus kuat. Tajam matanya menikam wajah Yazzer, lama. Sebelum pergi sempat lagi dipijak kaki Yazzer sekuat-kuatnya. Hatinya ketika ini terasa begitu sakit. Tak guna, detik hatinya geram.

- LAMA BETUL SAYA BEREHAT, ADOI... -

Penulis dengan hasil tulisan, bagaikan pencandu dengan candu. Dua-duanya mampu membuatkan orang yang terjebak di dalamnya mengunyah istilah KETAGIH dan akan terus KETAGIH selagi belum berjumpa dengan penawar. Ketagih pencandu, pasti ubatnya candu. Ketagih penulis pula, ubatnya bermula dengan keyboard dan proses-proses seterusnya.

Itu saya akui kerana saya juga seorang penulis. Saya dapat rasa bagaimana perasaan bila dah lama tak menulis. Awal-awalnya mungkin, akan rasa gembira dan bebas kerana menulis manuskrip yang biasanya berkait rapat dengan hidup & kehidupan, nampak seperti mudah. Nampak aje ya! Sedangkan hakikatnya, tidaklah seenting mana. Kalau tak percaya, cuba jadi penulis dan rasakan perasaan sukarnya menyiapkan sesebuah nukilan, apalagi nukilan yang dipanggil manuskrip novel yang menelan jumlah halaman yang besar dan menuntut masa yang bukan sedikit.

Namun beberapa lama kemudian, rasa gembira itu sedikit demi sedikit beransur-ansur pergi. Tapi kerana merasakan tempoh rehat masih belum cukup dan tak berbaloi dengan apa yang dah dihasilkan, rasa tak gembira itu diabaikan dan digantikan dengan aktiviti-aktiviti lain yang bertujuan untuk membangkitkan kembali rasa gembira yang seakan-akan hendak hilang. Berjaya! Pun, hanya seketika cuma. Rasa tak gembira kembali mengambil tempat dan seiring dengan rasa tak gembira itu, terbit pula rasa seakan-akan kosong.

Bila kosong sudah mengambil tempat, adoi... tak ada apa yang boleh dibuat lagi, aktiviti apa pun dah tak berguna. Yang perlu, duduk kembali di depan PC atau laptop dan mulalah meramahkan jari-jemari yang mungkin dah keras kematu kerana sudah agak lama berehat.

Dan saya sendiri, sejujurnya dah 6 bulan berhenti menulis, selepas manuskrip terakhir saya siapkan. Niat saya nak berehat 3 bulan berlanjutan menjadi 6 bulan dalam pada saya tak sedar. Dalam masa 6 bulan itu, aktiviti saya hanya tengok TV. Habis semua cerita di TV saya hadap. Drama, filem baru & lama, rancangan lawak-lawak, iklan yang entah apa-apa, hiburan dan semuanya saya tengok dengan penuh minat. Biasanya drama bersiri saya tak layan sangat sebab saya tak mahu terjebak, kalau ada pun saya tengok beberapa drama bersiri Hindi yang sampai sekarang tak habis-habis dan entah bilalah akan habis, saya sendiri tak tahu. Tapi dalam masa 6 bulan tu, banyak drama bersiri Melayu yang saya selesaikan dengan jayanya.

Sungguh, saya benar-benar melupakan dunia penulisan yang sangat saya minat itu. Tapi adalah saya membaca novel sikit-sikit. Pendek kata, saya benar-benar menikmati musim rehat saya yang saya sendiri cipta tanpa ada paksaan daripada sesiapa. Bukannya senang nak bersenang-lenang tanpa memikirkan tentang manuskrip. Inilah masa yang ada, hoye... hoye...

Tapi... akhir-akhir ni, saya dah tak boleh nak berehat lagi bila saya terasa GIAN nak menulis semula. Beberapa hari berfikir apa yang perlu saya tulis, saya ambil keputusan untuk tulis manuskrip novel remaja sebab saya dah lama tak menulis tentang remaja. Kalau terus tak menulis, saya bimbang skill yang ada makin menumpul sampai akhirnya, saya tak mampu lagi menulis kisah-kisah remaja. Oh, tidak! Saya sayangkan skill yang ada kerana kalau boleh saya tak nak hanya menulis novel dewasa semata-mata. Sekali-sekali mahu juga bertukar angin ke novel remaja ataupun kanak-kanak, walaupun tak sekerap mana.

Dan dua hari lalu, alhamdulillah... saya dapat menyudahkan bab pertama untuk manuskrip yang masih belum berjudul itu. Kali ini kisah apa? Hoho... yang itu kena tunggu sehingga manuskrip tersebut terbit. Hanya, mungkin ada sedikit berita baik bagi yang rindukan Atiea dan Dania, anak kembar Emelda & Aril Fatah. Tapi kalau ada yang mengharapkan Emelda & Aril Fatah menjadi watak utama, maaf... harapan nampaknya hanya tinggal harapan. Namanya saja novel REMAJA, maka yang jadi watak utama tentulah anak-anak REMAJA, kan? Tapi, adalah muncul sikit-sikit Emleda dan Aril Fatah, bergantung pada keadaanlah.

Apa pun, harap akan ada pertolongan daripada ALLAH supaya tugas saya jadi lebih mudah. Mood juga, hendaknya sentiasalah berbaik-baik dengan saya. Kawan-kawan pun, doakan saya ya? Kalau boleh saya nak siapkan kisah Atiea & Dania ni secepat mungkin supaya saya boleh memberi tumpuan terhadap novel dewasa pula, ;-)

- SEDIKIT TENTANG "TERUS CINTAI AKU" -

SEBELUM sempat Zahfir masuk, cepat-cepat Khilfie memintas kerana dia mahu duduk di sisi Zalis. Dia sedar lelaki itu agak terpinga-pinga dengan tindakan spontannya, tapi dia buat-buat tidak perasan. Biarlah dia menebalkan muka kerana hanya inilah masa yang dia ada untuk bersama-sama Zalis. Selepas ini, dia harus menunggu sekali lagi keajaiban takdir kalau hendak bertemu dengan Zalis. Mengajak Zalis keluar dengannya, dia tahu sampai kucing bertanduk pun, Zalis tidak akan mahu.

“Abang...” Kata-kata Zalis terhenti. Terkedu kerana bukan Zahfir yang duduk di sisinya, tapi Khilfie.

“Ya, ada apa?” sahut Khilfie. Dia tersenyum nipis. Tidak pasti kenapa di hatinya ada bunga-bunga halus walaupun dia pasti yang Zalis bukan memanggilnya. “Awak nak apa-apa ke Zalis?” tanya Khilfie perlahan. Sengaja tidak mengendahkan kebekuan Zalis yang tiba-tiba.

“Tak ada apa-apalah, Khilfie...” balas Zalis lemah. Apa sebenarnya yang dimahukan Khilfie? Lelaki itu seperti tidak mahu melepaskannya.

“Khilfie? Bukan abang?” bisik Khilfie, tidak mahu Zahfir mendengar kata-katanya.

Pantas Zalis berpaling merenung wajah Khilfie dalam samar-samar cahaya.

Khilfie memanjangkan sedikit lehernya. “Jangan marah, saya lebih tua daripada awak. Sebaya Zahfir, kalau awak rasa nak panggil saya abang pun, saya tak kisah. Sangat dialu-alukan,” bisik Khilfie lagi. Lembut suara Zalis menyebut perkataan abang tadi meresap dalam ke jiwanya.

“Merepek!” bidas Zalis.

Lebar senyuman Khilfie. Gembira kerana dapat mengenakan Zalis. Kalau tidak disebabkan cahaya yang suram, pasti dia dapat melihat wajah Zalis yang tentu saja berubah. Malu atau marah, dia tidak tahu. Yang pasti, warna di wajah Zalis tentu saja merah. Tiba-tiba saat ini dia sangat berharap kalau tidak ada Zahfir di antara dia dan Zalis. Bimbang tersilap cakap, buku lima Zahfir naik ke wajahnya.

“Zalis...”

Serentak Zalis dan Khilfie berpaling ke arah Zahfir.

“Abang Fir keluar kejap. Nak jawab telefon.”

Wajah Zalis berubah. Zahfir keluar bermakna dia harus ditinggalkan sekali lagi dengan Khilfie. Dia tidak mahu. “Zalis ikut!” kata Zalis.

“Kejap aje...”

“Abang Fir...”

Zahfir pegang kepala Zalis walaupun di tengah-tengah ada Khilfie. “Abang Fir nak jawab telefon. Khilfie... kau jangan sentuh adik aku walaupun pegang baju dia. Kalau aku nampak, siap!” Dia memberikan amaran kepada Khilfie. Kemudian, dia terus bangun dan pergi.

Melihat Zahfir melangkah, Zalis mencapai beg tangannya. Namun Khilfie lebih pantas bertindak, pergelangan Zalis dicapai dan digenggam erat. Sudah menduga Zalis pasti mahu mengikut langkah Zahfir. “Nak ke mana? Temankan saya tengok cerita ni sampai habis,” bisiknya. Zahfir sudah memberi amaran yang dia tidak boleh menyentuh walaupun baju Zalis, tapi sekarang ini dia bukan setakat menyentuh baju adik Zahfir itu, tapi pergelangan tangan Zalis. Hangat tapak tangannya bertemu kulit halus milik gadis itu.

“Lepas!” kata Zalis tegas walaupun dalam nada perlahan.

Mata Khilfie terus melekat pada wajah bengang Zalis. “Kalau saya tak nak lepas, awak nak buat apa pada saya?” Sengaja dia mencabar Zalis kerana dia merasakan gadis itu sudah banyak kali mencabar kesabarannya.

“Lepaslah!”

“Tak mahu...”

“Khilfie...”

Khilfie senyum. Nada seperti merayu itu mencuit hatinya. Zalis tidak menggoda, tapi dia rasa tergoda. Dia sedar dia tidak boleh merasakan perasaan itu kerana antara dia dan Zalis, tidak ada apa-apa. Mereka hanya sahabat lama yang ditemukan kembali selepas lama terpisah. Dia pun sudah ada Jaznita. Tapi entah apa merasuk, dia rasa gembira dapat berdua-duaan dengan Zalis walaupun hanya seketika.

“Dulu-dulu... lebih daripada ini saya pernah buat pada awak. Tapi awak tak pernah kisah pun. Sekarang, baru saya sentuh pergelangan tangan, awak dah kecoh macam saya dah buat lebih-lebih pulak,” usik Khilfie dengan kening yang sengaja dijongketkan.

Mahu saja Zalis menampar wajah Zalis sebagai hadiah atas kata-kata lelaki itu. Khilfie fikir dia apa boleh diperlakukan sesuka hati? Waktu itu, dia masih terlalu kecil dan tidak tahu apa-apa. Takkanlah bila sudah sedewasa ini, Khilfie masih mahu memperlakukan dia begitu?

“Awak jangan lupa, Zalis. Saya lelaki pertama yang pernah cium awak, peluk awak. Tidur sebelah awak. Bukan sekali pulak tu. Setiap kali awak merajuk, saya pujuk awak dengan cara tu. Awak dah lupa?”

“Khilfie!”

“Walaupun masa tu kita sama-sama kecil, saya tetap orang pertama dapat peluang itu. Saya dah mendahului bakal suami awak,” bisik Khilfie bangga. Sebenarnya, dia tidak menyimpan niat apa-apa tapi sekadar mengusik Zalis. Teringin melihat Zalis marah-marah macam masa mereka kecil-kecil.

“Awak ni biadab!”

“Ingat... saya tetap yang pertama. Sesiapa pun tak boleh ubah hakikat tu, Zalis.” Pergelangan tangan Zalis dilepaskan kerana dia melihat Zahfir sudah semakin mendekat. Tapi tangannya sempat mencapai bekas minuman milik Zalis. Cepat saja dia menyedut air tersebut sebelum diletakkan kembali ke tempat asal. Bahkan dia hanya tersenyum melihat mulut Zalis yang seperti terlopong melihat aksi kilatnya.

“Tak lama, kan?” tanya Zahfir pada Zalis. Ada senyuman di bibirnya. Sekali lagi tapak tangannya diletakkan di kepala adiknya itu. Lama. Mungkin sejak kecil mama dan papa mereka suka meletakkan telapak tangan di kepala anak-anak setiap kali memujuk. Bila sudah dewasa, Zafran turut meletakkan tapak tangan di kepala Zulhan, dia dan Zalis. Kemudian Zulhan juga meletakkan tapak tangan di kepalanya dan Zalis. Dan kini, dia pun akan melakukan perkara yang sama pada Zalis.

Tradisi keluarga! Itulah yang sering Rubina dan Irma katakan. Tapi mereka langsung tidak kisah.

“Tak.” Khilfie yang memilih menjawab kerana dia tahu Zalis pasti masih marah dengan perbuatan dan kata-katanya semasa ketiadaan Zahfir tadi. Ditambah lagi dia meminum air milik gadis itu tanpa izin. Memang tak lama Fir, tapi sorry sebab aku terpegang tangan Zalis. Kulit adik kau lembut macam dulu-dulu juga, detik hati kecil Khilfie nakal.

Sebenarnya, jauh di sudut hati, Khilfie terasa mahu menyentuh kepala Zalis sama seperti yang dilakukan Zahfir tadi kerana dia dapat merasakan betapa dengan cara itu Zahfir menyalurkan kasih buat Zalis. Bahkan, dia pernah melihat Zafran dan Zulhan melakukan perkara yang sama pada Zalis.

Buat seketika tidak ada kata-kata daripada bibir mereka bertiga. Namun, Zalis terasa tangan kasar Khilfie mengelus lembut belakang tangannya. Sungguh, tingkah Khilfie dirasakan sangat menyebalkan. Lelaki itu seperti lupa batas yang wujud antara mereka berdua. Khilfie kelihatan seperti galak mahu mengulang sejarah mereka yang sudah semakin jauh ditinggalkan masa.

“Gatal!”

Khilfie senyum. Dia mendengar dengan jelas apa yang Zalis katakan dan dia tahu kata-kata itu ditujukan padanya. Kebetulan filem yang dipaparkan di skrin besar di hadapan mereka sedang mempamerkan aksi-aksi 18SX.

“Tulah... Abang Fir dah cakap kita tengok cerita lain. Tapi Zalis nak juga tengok cerita vampire handsome ni. Kan dah malu sendiri.”

Kali ini, Khilfie tergelak. Cukup untuk pendengaran mereka bertiga. Lega kerana Zahfir langsung tidak mengesyaki apa-apa. Dia percaya Zalis tidak akan tergamak mengadu perbuatannya pada Zahfir. Lantas dengan tidak malunya, cepat saja tangannya menggenggam buku tangan Zalis. Dia tahu dia tidak patut memperlakukan Zalis begitu. Tapi hati di dalam seperti tidak mahu membiarkan Zalis duduk dengan tenang. Mahu terus mengacau gadis yang sudah terganggu sejak melihat wajahnya tadi.

“Aduh... sakit, Zalis!” bisik Khilfie. Kalau tadi Zalis diam, hanya menahan hati, kini Zalis sudah mula membalas. Sakit lengannya dicubit gadis itu.

“Lepas!”

“Tak naklah...” Inilah peluang yang dia ada, kenapa dia harus menurut kata-kata Zalis?

“Jangan salahkan saya kalau lepas ni lengan awak biru.”

“Kalau berdarah sekalipun, saya tetap tak akan lepaskan awak.” Matanya dan Zalis bertentangan. Lama. “Janji Zalis... lepas ni, jangan mengelak daripada saya lagi. Jangan jauhkan diri daripada saya. Lepas ni kita keluar berdua. Hanya awak dan saya. Janji...” tagihnya penuh harap. Khilfie mahu terus bertemu dengan gadis itu. Bukan kerana dia mahu mengambil kesempatan seperti hari ini, tapi entahlah... dia sendiri tidak mengerti. Hanya yang pasti, dia berat hati mahu melepaskan Zalis pergi. Tidak dari hidupnya, tidak juga dari hatinya.

Gila! Ya... tapi itulah, itulah kata hatinya saat ini!

- RUMAHKU, SYURGAKU SUDAH 2 TAHUN -


Ya ALLAH... syukur alhamdulillah atas semua limpah kurnia yang KAU berikan pada hamba-Mu ini. Benar... tak ada kata yang lebih indah selain daripada kata syukur itu bagi menggambarkan perasaan saya ketika ini. Perasaan gembira dan terharu yang bergabung jadi satu.

Dalam tak sedar, rupa-rupanya... hari ni, 27 Mei 2012, genap 2 tahun saya dapat sebuah rumah yang saya gelar RUMAH PINK sebab warna rumah tu memang pink pun, jadi kira relevanlah dengan nama yang saya daftarkan dalam hati saya ni. Ya, Rumah Pink bukan rumah teres, tak juga rumah Semi D, jauh sekali rumah banglo yang menjadi lambang kebanggaan orang-orang berduit. Tapi biar Rumah Pink rumah hanya rumah bertingkat-tingkat dan saya duduk di tingkat 7, saya tetap berbangga dengan diri sendiri sebab rumah tu lambang jerih perih saya walaupun rumah tu sebenarnya belum jadi hak saya lagi sebab rumah tu masih terikat dengan hutang yang sangat panjang. Jangan ditanya berapa panjang, tapi memang sangat panjang sampai saya mungkin sempat bongkok baru habis bayar. Hem... nampak benar tipu! Kuikuikui...

Sejujurnya, ketika saya mula melangkahkan kaki ke UPM, saya bertekad yang lepas habis belajar, saya akan terus menetap di Johor Bahru. Jiwa saya tak kena di sini, atau lebih tepat lagi tak seronok bila berjauhan dengan keluarga. Dan memang betul pun habis aje belajar, saya terus balik Johor Bahru, tak pernah lagi keluar selain daripada masa konvokesyen.

Tapi itulah, manusia hanya merancang sedangkan ada DIA sebagai perancangan yang tak pernah tersasar. Lepas 2 tahun, saya kembali semula ke KL. Langsung terlupa tekad yang dulunya saya tanam. Lagipun rezeki dah terbentang depan mata, mustahil untuk saya tolak walaupun awal-awal duduk di KL ni, saya rasa sangat-sangat jerih sampai berat badan pun menyusut. Susahnya rasa bila terpaksa berdikari. Tapi sedikit demi sedikit saya belajar untuk terus bertahan dan lama-lama saya dah tak rasa susah tu lagi.

5 tahun menyewa rumah orang, saya fikir saya kena buat sesuatu untuk diri sendiri. Rasa-rasanya, tak mungkin saya terus-menerus hanya bergelar penyewa, apalagi bila harapan untuk ditukarkan ke JB macam dah tak ada lagi. Lebih penting daripada itu, saya rasa saya dah terlalu tua untuk terus tinggal beramai-ramai dalam sebuah rumah walaupun ramai yang saya maksudkan hanya 3 orang. Biarlah saya mencari tempat yang lain dan akhirnya, tepat 27 Mei 2010, saya melangkah masuk ke rumah sendiri dengan rasa syukur dan gembira.

Syukur sebab saya dah tak perlu berkongsi rumah dengan orang lain. Gembira pula sebab melihat suasana baru dengan peralatan yang semuanya baru. Suasana tu benar-benar buat saya rasa semangat saya yang hilang seakan-akan dicas semula. Dan selepas ini, jika keluarga saya datang... mereka tak perlu rasa segan dengan kawan-kawan saya. Malah, mereka bebas datang pada bila-bila masa aje yang mereka suka dan melepak di mana-mana aje sudut yang mereka mahu.

Ramai yang tanya, tak takut ke tinggal sendiri? Ya, takut! Perasaan tu memang tak boleh nak elak. Tapi saya tak ada pilihan lain lagi. Kalau nak ajak kawan-kawan duduk dengan saya, samalah dengan saya duduk di rumah sewa dulu. Padahal, saya mahukan suasana yang lain daripada keadaan yang sedia ada. Jadinya, dalam setiap langkah saya, tak kira di mana pun, termasuk di Rumah Pink, saya mengharapkan ALLAH menjaga dan melindungi saya daripada segala musibah dan malapetaka. Saya hanya bergantung pada DIA!

Dan sepanjang 2 tahun ni, alhamdulillah... segala-galanya berjalan dengan sempurna dan pastinya dengan pertolongan DIA. Saya harap, sampai bila-bila pun saya akan dipelihara. Untuk Rumah Pink, SELAMAT ULANG TAHUN KE-2, harap saya dan kamu... baik-baik aje, ;-)

- KATA-KATA HIKMAT SALAHUDIN AL-AYUBI -


1 – Saya minta KEKUATAN, dan ALLAH memberi saya KESULITAN untuk membuatkan saya KUAT.

2 – Saya bertanya tentang KEBIJAKSANAAN, dan ALLAH memberikan saya MASALAH untuk DISELESAIKAN.

3 – Saya meminta untuk KEMAKMURAN, dan ALLAH memberikan saya FAKULTI dan TENAGA untuk BEKERJA.

4 – Saya meminta KEBERANIAN, dan DIA memberi saya BAHAYA untuk DIATASI.

5 – Saya meminta CINTA, dan DIA memberi saya orang-orang yang bermasalah untuk DIBANTU.

6 – Saya meminta MAKMUR, dan DIA memberikan saya PELUANG.

7 – Saya TIDAK MINTA apa-apa untuk DIRI SAYA, tetapi saya MENERIMA semua yang saya PERLUKAN.

- KASIHANNYA KAMU, DIK... –

Umur dia baru 11 tahun! Sebab umur saya dah 32 tahun, saya tak tahu nak bahasakan dia sebagai adik atau anak. Dan lagi, sebab saya pun ada anak buah berumur 11 tahun, saya jadi lagi tak tahu nak memanggil dia sebagai apa. Anak, atau adik, walaupun saya memang tak ada anak. Tapi yang pasti, saya rasa sangat simpati pada dia yang langsung saya tak kenal tu. Pasti gelap masa depannya selepas ini sebab sesiapa pun di tempat dia, tak mudah bangkit dan menerima takdir yang didatangkan dengan cara itu.

Sebenarnya, ketika dia berpindah ke kampung saya, saya dah pun belajar di tempat lain dan sampai sekarang saya tak pernah tengok dia. Dia pula duduk di hujung kampung. Yang saya selalu dengar nama ibu dan ayah dia, apalagi ayah dia kini terlantar kerana serangan angin ahmar. Kalau ada pun, mungkin saya tak perasan dia yang mana saya. Namun, sama ada kenal atau tak, sesiapa yang tahu kisah dia tentu berasa marah dan terkilan. Kanak-kanak kecil itu, tak patut diperlakukan seperti itu kerana jalannya masih panjang. Apa akan jadi bila dalam usia sekecil itu ada dugaan berat menimpa dia?

Sungguh, hati rasa sentap bila baca surat khabar yang dipamerkan dalam group belia kampung saya. Apalagi bila tengok tempat kejadian dan seingat saya, inilah julung-julung kalinya ada kejadian yang memalukan macam tu berlaku di kampung saya. Padahal, selama ni tak ada pun kejadian-kejadian teruk macam tu. Walau pelakunya orang luar, saya tetap juga rasa terkilan.

Betul, kampung makin maju, budak-budak pun makin pandai sampai dah ada pun yang belajar sampai ke luar negara. Dulu-dulu, pelajaran anak-anak langsung tak diambil berat sebab masing-masing hanya sibuk memikirkan macam mana cara nak memenuhkan perut anak-anak. Bila ada anak-anak masuk ke universiti, orang tua pasti menjadi perhatian. Tapi itu dulu, sekarang ni dapat belajar ke luar negara pun macam dah tak ada apa-apa lagi sebab dah ramai yang bijak pandai. Hanya yang terkilannya, seiring dengan kemajuan, kejadian jenayah pun jadi semakin maju juga. Kalau dulu mungkin hanya pokok rambutan atau pokok jering yang dipanjat penagih dadah, sekarang ni anak-anak kecil yang tak bersalah menjadi mangsa rakus si orang tua yang tak sedar diri.

Saya tak tahu apa sebenarnya yang berlaku, tapi dengar-dengar si tua kutuk yang mengaku bersalah ketika ditangkap, baru aje menukarkan pernyataan bersalah kepada tidak bersalah sedangkan sudah terang lagi bersuluh. Tapi saya percaya, yang jahat pasti mendapat balasan, kalau pun tak di dunia, di akhirat nanti pasti ada. Hidup kita bukan sekadar di dunia semata-mata kerana kehidupan selepas mati itulah yang akan kekal abadi. Kepada dia, harap peristiwa hitam yang berlaku tak akan menjadi penamat kepada hidupnya. Lepas hujan, matahari tentu ada kalau pun pelangi tak muncul, dik... ;-)

- SAYA & BULAN REJAB [3] -

Hari ni dah masuk 3 Rejab, ini bermakna... kalau tak ada apa-apa aral sampai masuk waktu maghrib nanti, 3 hari jugalah saya berpuasa di bulan ni. Yahoo! Harap-harap, tak adalah aral yang melintang. Sayang dengan puasa saya yang dah mencecah ke pukul 11.30 pagi ni. Tapi kalau nak ada aral juga, siapa saya nak mempersoalkan hakikat tu kan? Manusia... bukankah tugasnya hanya menggalas takdir yang didatangkan oleh DIA yang Maha Tahu? Tak boleh puasa hari ni, esok-esok insya-ALLAH masih ada kesempatan selagi ada umur.

3 Rejab, bermakna 3 hari juga saya bersahur dengan yogurt dan secawan air coklat. Yogurt dan air coklat aje? Agak-agaknya, ada tak soalan tu bermain-main di benak orang yang sedang membaca N3 ni? Kalau ada, saya tak marah dan tak ada sebab nak marah pun. Tapi saya ada alasannya, saya ada jawapannya. Nak tahu kenapa? Sebabnya... saya rasa akhir-akhir ni badan saya dah makin mengembang serupa belon. Kalau terus dibiarkan, saya bimbang saya akan terapung-apung ke udara dan melayang-layang entah ke mana-mana. Kan... namanya belon? Hahaha... saya merepek!

Tapi betul, saya rasa saya dah agak berat, agak gemuk atau pun berisi. Bukan hanya kat pipi semata-mata, tapi kat tempat lain juga. Kalau tak, takkanlah Kak Nonie tegur semalam.

Dia kata, “Mar... Mar dah gemuk dekat ********”

Kak Laily pula kata, “Taklah, baju tu yang kecil.”

Saya tak terkata dan terus aje ketawa besar. Langsung tak terdetik untuk rasa kecil hati sebab saya tahu dia hanya menyakat dan saya pun memang suka menyakat orang. Prinsip saya satu, “Kalau kau suka menyakat, kau harus tahan bila disakat”, “Kalau kau suka marah-marah, kau harus tahan bila dimarahi”, “Kalau kau suka menyakiti, kau harus tahan bila disakiti” dan sewaktu dengannya.

Sebenarnya, Kak Nonie bukannya orang pertama yang kata macam tu kat saya. Adik-adik ipar saya pun ada kata juga. Tapi seperti biasa, saya buat tak tahu aje. Bukannya bila saya balas apa-apa, badan saya terus boleh jadi kurus macam lidi. Tapi, tak naklah saya kurus macam lidi. Bimbang mudah dipatah orang bila rasa geram dan marah pada saya.

Dan lagi, saya tak kata yogurt boleh menurunkan berat badan. Hanya saya fikir, kalau saya makan nasi, saya kena masak nasi dan lauk-pauk. Tak mungkin kan saya cuma makan nasi putih aje? Dahlah penat, habis masa tidur saya. Nasi putih... pula tentu akan buat yang berat bertambah berat jadinya nanti. Kalau kena kejar anjing, tak ke susah saya nak lari? Sebab yang lain, saya memang suka makan yogurt walaupun Abah saya pernah kata macam ni kat saya;

“Makanan apa yang kau beli ni? Masam macam basi!”

Tulah, ingat senang ke nak tackle hati orang tua? Saya tackle guna yogurt tak jalan. Kalau saya tackle guna macam-macam jenis lagi makanan yang ada dalam dunia ni, confirm tak jalan juga. Apa pun, yogurt dalam peti ais saya dah tak ada. Kalau esok saya puasa, saya nak bersahur apa? Spageti? Hoho... saya mungkin belum sampai ke tahap rajin macam tu sekali. Kalau hujung minggu mungkin jugalah kerajinan tu lebih sikit sebab tak ada apa yang nak buat selain daripada memandang si empat segi berwarna hitam yang di dalamnya ada warna-warni. Cuba teka, apa dia? Jadinya, mari amalkan amalan ‘makan apa aje’ yang ada kat rumah asalkan tak kelaparan, ;-)

- SAYA & BULAN REJAB [2] -

Alhamdulillah... puasa pertama di bulan Rejab sudah pun selesai saya kerjakan semalam dengan jayanya, walaupun ketika berbuka semalam, perut saya penuh dengan air sampai saya rasa tiba-tiba badan saya berat macam ada batu-bata yang warna merah bata tu. Hoho... gaya macam budak-budak yang baru pertama kali belajar berpuasa kan? Padahal, saya sudah pun tua bongkok tiga! Sudah bertahun-tahun puasa walaupun kebiasaannya hanya pada bulan Ramadan.

Hari ni, saya mencuba nasib untuk hari kedua. Seperti semalam, saya rasa letih juga. Hahaha, kantoi yang saya rupa-rupanya tak sekuat mana. Tapi betul, bila perut kosong, badan jadi lesu dan mata pun jadi mengantuk yang amat. Mungkin sebab baru hari kedua, kalau hari ke-10, agaknya rasa-rasa yang tak best tu tak akan wujud lagi. Maklumlah, konon-kononnya dah biasa kan?

Macam semalam juga, waktu rehat... perlahan aje langkah saya menuju ke bilik yang biasanya jadi tempat saya dan kawan-kawan solat. Saya bawa sekali kunci almari kecil saya dan HP, maklumlah... nak pergi berjuang di atas karpet yang nipis. Langsung tak ada bulu-bulu tebal macam yang selalu saya tengok kat kedai karpet. Tapi sebab dah tak ada pilihan, saya pun dengan muka yang lesu, capai bantal belang-belang hijau putih yang saya beli kat kantin [Masa puasa ada jual-jual] DBP, masa puasa dua tahun lepas dengan harga RM25 [Mak ai... untuk bantal serupa itu, mahal yang amat harganya]. Tepuk-tepuk bantal kesayangan saya tu lebih kurang.

Sangatlah tak best nak tidur kat karpet yang tebalnya lebih sikit daripada kain, apalagi dalam suhu yang sangat sejuk. Tapi sebab saya bukan jenis boleh tidur dengan meletakkan kepala di atas meja, maka... saya terpaksa terima apa aje yang terbentang depan mata. Elok aje mata ditutup [Padahal, saya bukan jenis mudah tidur. Saja nak baring-baring], Kak Nonie datang kat saya.

Kata dia, “Mar nak guna selimut?”

Kata saya yang macam orang ngantuk disorongkan selimut [Bukan bantal ya], “Nak!” Terus capai selimut berbunga-bunga kat tangan dia dengan senyuman paling manis.

Dia keluar, saya bungkus badan saya macam bungkus nasi lemak. Wah... nikmatnya rasa bila sejuk yang ada dah tak terasa lagi. Mata kembali saya tutup dan seperti biasanya saya, bergolek-golek ke kiri dan ke kanan aje dah ambil masa 30 minit. Memang sakit rasanya jadi orang yang tidurnya tak mudah. Tapi lepas tu terlelap juga. Bila Diana masuk sebab nak solat, saya terjaga. Terdiam sekejap bila ingatkan mimpi yang sempat singgah. Ayo... saya mimpi Kak Yan nak belanja makan KFC. Cerita kat Diana, dia ketawa.

Sudahnya, sepanjang menunggu detik 4.30 petang, saya kembali menjadi kanak-kanak ribena bila saya asyik nampak KFC menari rentak samba depan mata saya. Padahal... saya dah lama tak begitu teruja dengan KFC, sejak anak buah saya dan ibunya [Kakak saya] meracun fikiran saya dengan macam-macam cerita. Kemudian, agak lama selepas cerita itu, anak-beranak tu kembali makan KFC dengan riang ria dan penuh kasih sayang, sedangkan saya yang dimomokkan dengan kisah tak best itu terkebil-kebil memandang. Puas cuba menolak KFC ke dalam mulut, tapi selera pada makanan yang pernah jadi kegilaan saya tu langsung tertutup. Cuma sejak kebelakangan ni, barulah saya kembali boleh makan KFC. Itu pun... KFC dah tak lagi jadi kegilaan saya macam satu ketika dulu. Dua tiga bulan sekali bolehlah, kalau sebulan sekali pun belum tentu lagi. Mungkin dah sampai ke tahap jemu agaknya.

Dan tekad dalam hati saya, tiba-tiba jadi macam ni, “Balik ni aku mesti dapatkan KFC untuk berbuka puasa”. Adoi... tolong ya, jangan jadi macam saya yang bertingkah serupa orang tak matang, ;-)

- SAYA & BULAN REJAB [1] -

Ya, bulan Rejab... bulan penuh keberkatan datang lagi, sama macam tahun-tahun sebelum ni yang tentunya akan sama juga seperti tahun-tahun akan datang, selagi bumi bertuah ni belum diambil ALLAH. Disebabkan ramai yang telah menulis tentang kelebihan bulan Rejab ni dan saya pun tahu ramai yang dah maklum tentang itu, maka saya ambil pendekatan untuk tak berkisah perkara yang sama dengan lebih mendalam. Lagipun, saya bukannya ‘ahli’ dalam bab agama kerana sampai ke detik ini saya masih berusaha untuk memperbaiki diri. Kalau ada yang mencari kelebihan bulan Rejab, mungkin boleh berkunjung ke rumah-rumah yang lain. Secara tak langsung, boleh juga mengangkat kembali budaya kunjung-mengunjungi yang semakin lama semakin hilang [Walaupun sekadar di blog]. Maklumlah, masing-masing dah terlalu lelah dengan rutin yang tak pernah habis. Lalu, mengambil keputusan untuk duduk diam-diam di rumah, atau pun berhibur di tempat-tempat kegemaran dengan alasan mahu mengecas kembali tenaga yang telah diperah.

Tapi boleh kan kalau saya nak kongsikan Sabda Nabi Muhammad SAW untuk ingatan kita bersama;

Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat.”

Sejujurnya, saya bukanlah baik mana. Ada tahun-tahunnya, saya hanya puasa pada bulan Rejab pada hari pertama aje. Hari kedua dan sampai habis bulan Rejab yang berganti dengan bulan Syaaban, lompang begitu saja walaupun tekad dah bulat. Konon-kononnya, mahu puasa sebanyak mana yang saya mampu. Konon-kononnya lagi, sebagai persediaan menghadapi bulan Ramadan supaya bila sampai masanya, saya tak akan jadi seperti ikan masin yang disidai di jemuran sebab keletihan. Sayangnya... tekad hanya tekad. Berjanji memang mudah, tapi nak mengotakan memang susah yang amat.

Ada tahun-tahunnya juga, saya langsung tak puasa walaupun untuk permulaan bulan Rejab. Terukkan saya ni? Ya... saya akui memang agak teruk saya ni. Patutnya, itulah masanya saya mengumpul sebanyak mana amalan yang mampu. Dahlah bulan-bulan lain, kecuali bulan Ramadan, nak suruh saya puasa memang agak liat, kecuali kalau puasa ganti. Itu pun agaknya, sebab wajib diganti. Kalau tak, memang tak berlaparlah saya selama 11 bulan. Padahal, bukankah bagus kalau saya puasa setiap Isnin dan Khamis. Dan niat tu memang ada, tapi tulah... niat sudahnya hanya tinggal niat semata-mata. Memang dasarlah lidah saya ni tak bertulang!

Tapi, tahun ni saya berazam membulatkan tekad, walaupun berpuasa bukan bulan Ramadan, memang agak sukar bagi orang macam saya. Banyak betul dugaan yang datang yang semuanya berpunca daripada diri saya sendiri. Asyik aje terbayang-bayang makanan yang bukannya tak biasa dimakan pun. Hanya saya tak mahu layan sangat perasaan yang entah apa-apa tu. Berpuasa aje pun, bukannya langsung tak makan sepanjang hari atau sepanjang bulan. Bukannya nak kena pergi berperang pun dalam keadaan perut kosong.

Jadinya, tahun ni saya mahu mencuba berpuasa dalam bulan Rejab ni setakat mana yang saya termampu. Kalau tak dapat banyak hari pun, dapat 3 hari pun dah memadai untuk diri saya. Tahun-tahun akan datang, saya akan cuba lebih banyak lagi. Harap-harap, kali ni saya tak berjaya ditewaskan nafsu yang entah apa-apa, terutamanya nafsu makan, ;-)

- LAH... PEGANG DULANG AJE? -

Pernah kan ada masa-masanya kita rasa takut tak bertempat? Takut yang saya maksudkan, bukanlah takutkan hantu atau benda-benda pelik. Tapi rasa takut misalnya pada mak bapa kita, abang-abang kita, kakak-kakak, atau pun... orang yang lebih besar daripada kita. Tak kiralah besar dari segi usia, pangkat, termasuk juga besar tubuh badan.

Hem... itu jugalah yang saya rasa bila tiba-tiba, duduk aje di kerusi di depan meja kerja saya, telefon menjerit minta diangkat. Tapi... bukanlah bunyi telefon tu yang menakutkan saya. Takkanlah badan sebesar saya ni takut dengan objek kaku yang kalau saya ketuk-ketuk sesedap rasa, langsung tak melawan. Yang saya takutkan, bila suara di hujung talian sana berkata begini;

Kata yang di sana, “Mar... ni, Kak Jah ni.”

Kata yang di sini, “Ya, Kak Jah...”

Kata yang di sana lagi, “Diana ada?”

Kata yang di sini, “Ada.”

Kata yang di sana, “Nanti Mar masuk bilik Kak Jah dengan Diana.”

Kata yang di sini, “Okey.”

Letak aje telefon ke gagang, saya mula serabut. Kak Jah yang di sana tu sebenarnya bos saya. Dia suka membahasakan diri sebagai Kak Jah dan saya pun memang suka memanggil dia Kak Jah. Kenapa? Sebab sebelum dia jadi bos saya, dia memang dah saya panggil Kak Jah. Tapi bukan soal nama yang saya takutkan, yang saya takutkan “Nanti Mar masuk bilik Kak Jah dengan Diana”.

Itulah yang membuatkan saya cuak. Bukannya tak pernah dipanggil, pernah dan berkali-kali dan dalam berkali-kali itu, tak pernah pun saya kena marah sebab bos saya bukan jenis yang suka marah-marah [Sama macam bos yang sebelum ni], apalagi sampai nak marah tak bertempat [Ini bukannya ayat kipas susah mati, tapi ini kenyataan. Saya nak jadi kipas susah mati pun tak perlu sebab dia tak tahu pun kewujudan blog ni. Lagipun... maaf, saya bukan jenis manusia kaki bodek sebab saya pun tak suka dengan yang dinamakan si kaki bodek]. Cumanya... sebelum-sebelum ni, jarang benar saya dipanggil masuk dengan Diana. Dan lagi, sebelum-sebelum ni tak ada pula rasa takut tu muncul. Hari ni aje dan tiba-tiba aje. Ada buat salah ya? Rasa macam tak ada, tapi tak taulah kalau saya sendiri tak perasan. Hahahaha...

Dalam kepala saya, “Salah apa yang dah aku buat kali ni?”, “Dia nak tegur fasal kerja ke?”, "Tak bagus ke prestasi kerja aku?" dan seribu satu macam persoalan lagi yang rasanya sangat tak best. Masa nak masuk, tiba-tiba ada orang lain masuk. Nak masuk lagi bilik dia, ada lagi orang lain masuk, kemudian yang lain lagi. Saya dah mula terasa semacam dan Diana pun dah keluar sebab ada hal.

Bila semua dah keluar, saya pun gagahkan juga masuk. Kalau nak kena marah pun, terima ajelah. Kalau tak nak kena marah, tentulah saya yang dipanggil bos, kan?

Kata dia, “Nanti masa majlis pelancaran minggu depan, boleh Mar dengan Diana pegang dulang hadiah dan bunting atas pentas?”

Saya balas, “Boleh. Tak ada masalah.”

Hati saya kata, “Lah... pegang dulang aje? Adoi... tak berbaloi rasa takut yang aku rasa beberapa minit tadi.”

Kesimpulannya, jangan pernah rasa takut selagi sesuatu itu belum benar-benar jelas. Cuma akan menambahkan rasa serabut semata-mata, ;-)

- HARI SAYA YANG BUKAN GURU -

SELAMAT HARI LAHIR untuk DIRI SENDIRI. SEMOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, SELALU ADA DALAM RAHMAT ALLAH, BERBAHAGIA DI DUNIA & AKHIRAT dan MENDAPATKAN APA YANG INGIN SAYA DAPATKAN...

SELAMAT HARI GURU kepada SEMUA GURU yang pernah menjadi guru saya. Jasa dan pengorbanan kalian memanusiakan saya yang sememangnya manusia, sangat saya hargai. Semoga kalian selalu ada dalam lindungan ALLAH. Untuk SEMUA GURU yang masih bergelar guru, semoga kalian tabah dalam usaha mendidik anak bangsa. Kalau pun penat lelah kalian tidak dihargai DI DUNIA INI, DI SANA nanti pasti ada imbalannya, ;-)

- BAHASA KESUSAHAN... -

Angah, “Selasa ni 1 Mei tapi bos suruh kerja. Bayar triple.”

Saya, “Habis tu nak kerja ke?”

Angah, “Taklah.”

Saya, “Duit bukan segala-galanya kan?”

Angah, “Hah... betul sangat tu!”

Itu hanya dialog dua orang yang bergelar adik dan abang. Tapi... yang saya nak conteng hari ini bukanlah kisah adik dan abang itu sebab kisah tersebut hanya berhenti setakat itu bila si adik tersenyum lebar sampai ke telinga. Si adik yang terasa kepulangannya dari tempat yang tak jauh mana tu dihargai si abang yang lebih mementingkan keluarga daripada duit.

Yang ingin saya sentuh dalam N3 kali ini tentang ‘bahasa kesusahan’ yang berkaitan dengan duit. Betul... saya akui hidup tanpa duit bukannya seindah mana sebab hanya orang-orang yang pernah ‘bersahabat’ dengan kesusahan yang mengerti. Saya, pernah rasa ‘persahabatan’ itu, walaupun hidup saya satu ketika dulu tak adalah terlalu perit jika nak dibandingkan dengan ramai lagi orang di luar sana yang hidupnya lebih getir. Cuma... saya mengerti dan sangat maklum apa rasanya bila tak ada baju raya dan ALLAH tiba-tiba tunjukkan keajaiban bila satu hari Abah saya balik dari laut dengan tangan sarat dengan kain berwarna ungu yang warnanya dah agak berubah sebab lama di dalam laut. Katanya, “Gulungan kain ni tersangkut kat bubu. Mula-mula ingatkan apa, rupanya kain”. Mak saya, tanpa banyak bunyi, cuci kain tu bersih-bersih, potong bila dah kering dan akhirnya tahun tu, kami adik-beradik beraya sedondon dengan muka gembira.

Pernah juga rasa bagaimana tebalnya muka terpaksa minta duit belanja sekolah daripada mak cik saya [masa tu dia belum kahwin lagi] walaupun mak cik saya tak pernah berkira dengan saya sebab saya selalu tolong dia buat kerja, sampai-sampai satu ketika saya rasa dah tak tertanggung malu nak terus meminta dan akhirnya saya dah pandai ponteng sekolah dengan alasan, ‘Nak bayar tambang pergi sekolah macam mana kalau duit tak ada?’.

Pernah rasa dan sebenarnya selalu rasa macam mana makan nasi putih dengan lauk sambal ataupun, makan nasi dengan lauk sayur aje bila Abah tak ke laut. Padahal, setiap hari saya mengimpikan makan nasi dengan lauk-pauk yang sedap-sedap yang jarang sekali kami makan. Tapi itulah... alangkan hari raya pun ada masa-masanya makan lauk kari telur aje, apalagi hari-hari biasa. Pendek kata, dapat makan ayam dah besar rahmat buat saya. Bukannya tak ada ayam kampung, ada aje. Cumanya... ayam tu dibela untuk dijual untuk beli beras, bukan untuk buat lauk.

Pernah juga rasa, ambil upah angkat air dari perigi yang letaknya agak jauh dari rumah dan merentasi bukit dengan upah 50 sen sekali angkat. Kalau angkat 2 kali, dapatlah 1 ringgit. Yang upah mak cik saya dan saya angkat air tu dengan anak dia [dua-dua dapat duit]. Berat memanglah berat, tapi... saya tak adalah kisah mana fasal berat tu sebab saya bukannya tak kuat pun. Yang penting, asalkan dapat duit itu dah lebih daripada cukup.

Tapi itu... hanya sebahagian cebisan-cebisan perit yang pernah saya tempuh satu ketika dulu yang dah begitu jauh saya tinggalkan, ada banyak lagi dan kalau nak ditulis semuanya mungkin akan mengambil masa yang sangat panjang sampai-sampai yang baca boleh tertidur. Tapi cebisan-cebisan itu bila saya imbau saat ni, dah tak rasa perit lagi. Sebaliknya keperitan masa kecil tu dah bertukar menjadi momen-momen yang sangat indah yang akan saya kenang sampai bila-bila. Bahkan, ada masa-masanya saya teringin sekali lagi kembali ke saat itu. Tapi, mustahil sangat kan?

Dan sungguh dalam pada saya tak sedar, putaran hidup saya dah berubah 260 darjah. 100 darjah lagi tu mungkin masih kekal seperti sedia ada. Padahal, saya tak pernah mengimpikan yang saya akan ada di tempat saya hari ini. Impian saya hanya nak hidup di kampung saya macam orang lain. Sebuah kampung terpencil di pinggir Johor Bahru, kampung yang dulunya tak ramai orang bijak pandai yang rata-rata masih tak mementingkan pelajaran anak-anak. Tapi sekarang, ramai yang dah pandai sebab saya dengar-dengar keputusan peperiksaan budak-budak di kampung saya dah sangat cemerlang, malah ada juga yang sampai dah terlebih pandai.

Saya syukur sebab dah tak susah macam dulu. Tapi saya tahu yang kesusahan tu banyak mengajar saya supaya jadi orang kuat dan lebih menghargai apa yang saya ada. Dan biar bagaimana pun hidup berubah, saya tetap tak mahu jadi orang lain. Saya tak mahu jadi seperti segelintir orang yang anggap duit, kemewahan, harta-benda dan yang sewaktu dengannya adalah raja dalam kehidupan. Sebab macam Angah, saya pun percaya yang duit tu bukan segala-galanya. Apa guna duit banyak, kalau kita tak sedar tingkah dan kata-kata kita yang berbaur riak itu membenihkan rasa kecil hati pada orang lain, malah kita jadi kurang ajar pada orang yang sepatutnya kita hormat. Lebih daripada itu, ada masa-masanya, ada situasi-situasinya, duit tak mungkin dapat membantu kita. Lagi pun, alangkan bukit boleh rata jika ditarah setiap hari, apa lagi duit, kan? ;-)

- SELAMAT HARI IBU, MAK... -

"SELAMAT HARI IBU, MAK. MOGA SELURUH RAHMAT ALLAH AKAN JATUH PADA MAK"

Tak tahu nak tulis apa tahun ni, hanya nak bagi tahu Mak dan nak Mak tahu yang Ami sayang gila kat Mak. Terima kasih atas setiap titis pengorbanan yang Mak berikan untuk Ami dan adik-beradik yang lain. Mungkin... kami semua tak dapat balas jasa Mak, tapi kami harap, ALLAH akan balas semuanya dengan kebaikkan, ;-)

- SELAMAT HARI LAHIR -

12 Mei 2012 - "SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-7 TAHUN. MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, JADI ANAK DAN ABANG YANG BAIK DAN HENDAKNYA SELURUH RAHMAT ALLAH AKAN JATUH PADA DANISH HAKIM"

PESANAN PENUH KASIH SAYANG PADA DANISH – Sorry ya sebab tahun ni Mak Tam tak ada idea nak membebel panjang-panjang macam tahun lepas sebab Mak Tam sangat sibuk [baca novel macam dah berkurun-kurun tak baca]. Tapi nak bagi tahu yang Mak Tam SAYANG SANGAT kat Danish. Jadi budak pandai ya...

-TERIMA KASIH SEBAB BELI KARYA ALEYA ANEESA...-


Akhirnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur melabuhkan tirai pada 4 Mei 2012 yang lepas. Dan saya, alhamdulillah... dapat juga berjumpa dengan pembaca walaupun saya hanya bertugas di Karangkraf pada hari terakhir. Tahun ni, tak banyak pengalaman saya di PBAKL tu sebabnya pengalaman tu dah ditarik oleh 2 aktiviti Bahagian saya. Tapi... tak apalah, yang penting setiap tahun ada pengalaman yang baru.

Jadinya, saya nak ucapkan terima kasih kepada yang membeli novel-novel saya masa PBAKL tu. Walaupun saya tak dapat jumpa dengan semua pembeli, saya menghargai sokongan yang diberikan. Hendaknya, novel-novel saya tak akan membuatkan kalian hampa. Bahkan, dapat dijadikan iktibar walaupun sebesar zarah, ;-)




- ADUHAI, LEGANYA RASA! -

Sejujurnya... ketika dilantik menjadi pengurus projek untuk acara “Sejam Bersama Penerima S.E.A Write Award Tuan Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M. Zakir)”, hati kat dalam terasa berat nak terima. Bahu nampak kosong, tapi... terasa macam ada batu besar menumpang, minta di bawa ke mana-mana saja saat kaki melangkah. Kalaulah boleh dikata tak nak, alangkah mudahnya hidup. Tapi sudahnya yang keluar dari bibir, bolehlah. Segan pula nak sebut lain daripada perkataan tu. Bukanlah saya ni tak suka, cumanya... kalau disuruh buat pilihan, saya lebih pilih jadi Pengerusi AJK daripada Pengurus Projek, walaupun ada yang akan memantau kerja saya. Maklumlah, mana ada orang yang suka kerja berat-berat kan? Semua nak ringan aje, termasuk juga saya.

Bermula daripada keluarnya kata ‘bolehlah’ [Kenapa ada ‘lah’ ya? Nampak benar wujud keterpaksaan di situ. Adoilah...], bermulalah rutin sebagai pengurus projek. Mulalah meeting, meeting dan meeting. Lepas tu mula juga jumpa orang tu, jumpa orang ni, jumpa orang di sana, jumpa orang di sini dan pendek kata, jumpa orang di mana-mana, orang yang berkaitan dengan acara tersebut. Tak cukup dengan tu, kerja-kerja membuat surat lantikan, memo dan macam-macam lagi semata-mata nak memastikan semuanya sempurna. Belum lagi dengan kerja-kerja menghubungi mereka yang terlibat. Sungguh... lelah memang terasa.

Dan bila tiba harinya, 5 Mei 2012 bertempat di Pentas Legar, PWTC, ada debaran memukul hati. Bimbang kalau-kalau yang dirancang tak menjadi. Lebih merisaukan kalau-kalau acara tu akhirnya akan memalukan saya dan seluruh Bahagian Buku Sastera. Orang mungkin tak tahu, tapi lutut saya ketar, lebih-lebih lagi bila mereka yang terlibat masih belum sampai. Tapi mujurlah, segala-galanya berjalan sempurna sampai ke sudah. Saya benar-benar rasa lega dan penat yang memang bukan sedikit, terasa bagaikan dicabut keluar sampai-sampai orang ajak makan pun, saya tak nak sebab perut saya dah kenyang dengan rasa lega yang bukan sikit.

Apa pun, untuk mereka yang terlibat dan kawan-kawan yang sudi berganding bahu dengan saya, terima kasih daun keladi ya, ;-)

- SEORANG SAHABAT... -

Bagi orang yang hidupnya hanya sendiri di tempat orang seperti saya walaupun keluarga saya taklah sejauh mana [Kalau menjerit tetap juga tak dengar kan? Atau kalau saya sakit, tak mungkin boleh datang dalam masa 10 minit kan?], tak ada yang lebih penting selain daripada mereka yang menggelar diri mereka sebagai sahabat. Mereka tempat saya bercerita, mereka tempat saya memerlukan pertolongan dan mereka segala-galanya bagi saya kerana tanpa mereka, saya pasti mati kutu hidup di tengah-tengah ibu kota yang pernah asing dan ada masa-masanya tetap juga terasa asing sampai ke hari ni.

Saya akui yang saya memang tak ramai kawan rapat. Bukan sebab saya sombong atau tak ramah. Tidak! Hanya, saya jenis kawan yang cuma rapat di satu-satu tempat. Misalnya, kalau rapat di tempat kerja, habisnya setakat tamat waktu kerja. Hujung minggu bagaikan tak kenal. Bukanlah bermakna kalau dah ada di rumah, langsung tak berhubung. Ada! Tapi hanya untuk perkara-perkara penting semata-mata. Contohnya, tanya fasal resipi, tanya fasal buku. Lagipun, kawan-kawan di pejabat kebanyakannya dah ada keluarga sendiri, tak mungkin saya akan mencuri masa mereka yang sudah pun banyak dihabiskan di tempat kerja.

Dan dengan jumlah kawan yang tak ramai mana tu, saya sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk mereka. Tapi, saya tak dapat nak ramal hati orang. Kadang-kadang dalam pada menjaga tingkah dan tutur kata, saya tak sedar ada hati yang terguris. Kadang-kadang, bila kita anggap satu-satu perkara itu biasa, kita tak tahu yang biasa itu boleh jadi luar biasa pada orang lain. Kemudian, bila sampai masa, hati saya pula diguris orang. Mungkin... sebab orang kata, buat baik dibalas baik, maka buat jahat tentu aje dibalas jahat. Cumanya, sungguh... kalau dalam keadaan sedar, saya akan elakkan daripada mencarik hati kawan saya sendiri kerana saya manusia yang tahu diri. Membalas susu yang diberi dengan tuba, saya tak pernah berharap saya akan jadi manusia keji macam tu.

Kan bagus kalau kita boleh ramal hati orang? Paling tak, kita tak akan minta tolong pada orang yang pada akhirnya menyebut kembali pertolongan yang diberi supaya bila situasi itu berlaku, hati kita tak terasa. Dan lagi, kalau masa boleh diundur, kita pasti akan pulangkan kembali semua pertolongan yang diberi supaya kita tak perlu rasa seperti ada sesuatu yang telah mencecah sampai ke hati. Biarlah semua masalah yang datang kita selesaikan dengan tulang empat kerat sendiri. Tapinya, itu hanya kalau dan kalau-kalau tu tak akan membantu kita kembali seperti keadaan asal.

Hanya saya tertanya-tanya sendiri, SEORANG SAHABAT yang BENAR-BENAR SAHABAT, akankah mengungkit setiap titis pertolongan yang diberi? Bukankah semua yang dilakukan, atas tiket PERSAHABATAN?

Tapi itulah... lain padang lain belalangnya, lain orang tentu aje lain hatinya kerana tak ada manusia yang dicipta dengan hati yang sama. Mungkin kali ni, kita yang khilaf walaupun seingat kita, kita tak melakukan apa-apa kesalahan secara sedar, kalau secara tak sedar, itu memang diluar kawalan kita. Untuk mereka yang pernah menolong saya selama ni, terima kasih. Tapi percayalah... kalau boleh saya mahu mengembalikan semua pertolongan yang diberi, kalaupun tak boleh kembalikan, saya mahu membalasnya supaya nant-nanti, saya tak akan berhutang pada kalian yang sangat baik pada saya. Saya tak mahu semata-mata disebabkan pertolongan yang diberi, satu hari kelak membuatkan saya hilang semuanya... ;-)

- SELAMAT HARI LAHIR, ANGAH! -

Hari ni hari ulang tahun kelahiran abang pertama saya, HALID WAHAB. Abang kedua saya, namanya SAMSOL WAHAB. Diam tak diam dah berpulu-puluh tahun dah dia jadi abang saya, tentunya sejak saat pertama saya menjengah indahnya bumi milik ALLAH ni. Cepatnya masa berlalu sampai kadang-kadang saya sendiri tak perasan. Dan seingat saya, inilah kali pertama saya sambut birthday dia, 'di sini'. Kenapa saya tak pernah sambut birthday dia 'di sini' sebelum ni, tentulah ada sebabnya. Sebabnya, saya keliru tarikh mana saya patut ucapkan selamat hari lahir pada dia. Yalah, dalam kad pengenalan dia tulis tarikh lahir dia 15 Mei, tapi... mak saya kata tarikh sebenar dia lahir 5 Mei. Kenapa jadi macam tu, yang itu saya tak ada jawapan. Cumanya, dulu-dulu... macam soal tarikh lahir tak begitu diambil kisah, tak macam sekarang ni. Apalagi bila kami adik-beradik [6 orang], semuanya lahir di rumah, tak ada satu pun yang jadi 'anak' kepada hospital.

Halid, dia abang saya, malah bukan sekadar abang semata-mata tapi merangkap kawan baik saya juga. Hanya sampai ke saat ini saya macam tak percaya dia dah banyak sangat berubah. Kalau dulu, dia sangat-sangat garang sampai saya pernah rasa geram dan menyampah kat dia, selalu aje membayangkan yang saya membelasah dia sampai lunyai. Dahlah sangat-sangat pendiam. Semua yang saya buat, tak pernah betul kat mata dia. Tapi dia dah jadi abang yang sangat baik sejak 11 tahun lepas, sejak kejadian yang menjadi 'mimpi buruk' untuk kami sekeluarga. Lebih daripada itu, saya dan dia dah boleh bercerita apa aje, tentang drama/ filem, tentang bola dan pemain bola sepak di Malaysia dan luar negara walaupun sebetulnya saya tak ambik tau pun pasal bola, saja aje saya buat-buat macam tau. Paling-paling saya kata, "Handsome kan pemain bola sepak tu?". Tak kisahlah, janji ada ayat yang keluar daripada mulut saya. Tentang isu-isu semasa walaupun saya sangat jarang baca surat khabar dan tengok berita, tentang artis, tentang ayam, tentang baju dan tentang apa aje. Pendek kata, kalau dah berborak dengan dia, memang banyak cerita sampai susah nak berhenti.

Dan ayat dia yang paling buat saya sakit hati, "Hem... bestnya, esok dah nak kena balik KL". Memang hati saya macam diramas-ramas bila ayat tu keluar daripada mulut dia. Dia tahu betapa beratnya hati saya setiap kali nak balik KL, betapa malasnya saya nak kemas barang-barang, tapi suka pula dia dapat menyakat dan menyakitkan hati saya. Sekarang ni, Si Bongsu, HALMI pun dah pandai gunakan ayat yang sama pada saya. Adoi... adik dan abang, sama aje perangainya.

Jadinya, untuk abang saya HALID WAHAB, SELAMAT HARI LAHIR yang ke-38 TAHUN, MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI dan SELALU ADA DALAM RAHMAT ALLAH.

- CINTA BUAT EMELDA, SELAMAT TINGGAL... -

Alhamdulillah... seperti yang dah pernah saya bagi tahu dalam N3 sebelum ni, akhirnya CINTA BUAT EMELDA [CBE] yang diadaptasi daripada novel saya yang bertajuk KASIH ANTARA KITA [KAK] sampai juga ke titik akhir tepat pukul 8.00 malam, hari Khamis, 3 Mei 2012, iaitu semalam dan saya, tak terlepas tengok walaupun untuk satu episod, ;-)

Apa perasaan penonton CBE dan apa juga agaknya perasaan pembaca KAK? Puas hati atau sakit hati agaknya ya? Entah! Saya tak ada jawapan sebab hati orang lain tak ada dalam kawalan saya, sebab hati sendiri pun ada masa-masanya gagal untuk diselami sampai kadang-kadang terbuat keputusan yang silap.

Kalau ditanya apa perasaan saya sebagai penulis KAK, jujur saya katakan yang saya puas hati dengan apa yang saya lihat di TV, dan puas hati juga dengan komen-komen penonton CBE dan pembaca KAK yang merangkap penonton CBE juga. Mustahil kalau saya katakan tak ada komen negatif, sebab positif dan negatif merupakan dua elemen yang tak boleh dipisahkan, macam rasa suka sendiri. Ada suka tentu ada tak suka, kan?

Kenapa saya puas hati? Sebab... saya masih melihat KAK dalam CBE, saya masih mendengar dialog-dialog KAK dituturkan para pelakon CBE. Kerana saya yang melakar ayat demi ayat dalam KAK, maka saya mudah mengesan mana satu dialog saya dan mana satu bukan dialog saya. Memanglah tak sepenuhnya, tapi ada banyak juga sampai saya rasa, KAK tak diabaikan sepenuhnya.

Saya akui memang ada perubahan yang berlaku, ada penambahan dan pengurangan dalam CBE yang tak ada dalam KAK. Tapi bila diteliti, saya tahu kenapa dibuat begitu. Satu yang jelas, drama dan novel tak sama walau daripada akar yang sama iaitu SENI. Mahu atau tak, perubahan harus dilakukan supaya CBE tak akan jadi drama yang hambar sampai tak mampu dihadamkan penonton.Lebih daripada itu, yang buat saya rasa lega bila pembaca KAK, dapat menerima CBE seadanya, bahkan sanggup tertunggu-tunggu kemunculan CBE setiap hari, Isnin-Khamis. Dan bila CBE habis, mereka terasa kehilangan [Mungkin termasuk saya sendiri, hahaha]. Tapi saya juga tahu ada yang seperti tak dapat menerima CBE semata-mata sebab kelainan yang dibawa. Tak apa dan tak apa-apa, saya yakin masing-masing ada pendapat dan pandangan tersendiri. Dan, saya tahu mereka tak sanggup tengok KAK diubah dan kalau boleh nak tengok CBE 100% sama dengan KAK. Itu tandanya, mereka sayangkan KAK dan saya sayang banyak-banyak dan ketat-ketat sesiapa aje yang sayangkan karya-karya saya. Harap kita semua diberkati ALLAH...

Apa pun, sekarang ni saya dah benar-benar rasa lega. Setiap hari tak perlu terkejar-kejar nak balik walaupun setiap hari saya sampai rumah pukul 5.00 petang. Terima kasih pada semua yang terlibat, team Alaf 21 [Karangkraf] team MIG dan team pelakon. Lebih terima kasih kepada penonton CBE dan pembaca KAK, ;-)

- CINTA BUAT EMELDA, HARI INI & ESOK -

Hari ni... CINTA BUAT EMELDA [Adaptasi daripada KASIH ANTARA KITA] akan mencecah episod 23. Esok pula episod 24 dan itu bermakna CBE sudah bertemu titik akhir. Semalam, pada akhir episod 22, Nazri jumpa Aril Fatah semata-mata nak bagi tahu yang Dania anak dia dan Emira. Hari ni pula... pasti perasaan Aril Fatah kembali kalut sampai lupa dengan apa yang hati rasa dan Emelda... dalam 2 episod terakhir ni, rasa-rasanya tak akan hidup dengan tenang dan gembira macam episod-episod kebelakangan ni. Lepas ni akan ada keraguan Aril, kematian Zalida dan semua tu dihempukkan ke bahu dia, sama macam dalam KAK juga.

Dan saya, untuk 2 episod ini, berharap benar yang saya tak akan terlepas melihat CBE. Hari ni mungkin saya boleh tengok kalau tak ada aral, tapi esok... setelah dicongak-congak acara di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 habis dalam pukul 5.00 petang. Persoalannya, sempat ke saya berkejar balik? Kalau naik LRT tentu sempat, tapi kalau terpaksa berpatah balik ke DBP, saya tentu meraung.

Kepada yang mengikuti CBE, selamat menonton 2 episod terakhir tu. Kepada pembaca KAK, harap kalian dapat menerima CBE seadanya, walaupun saya tahu ada banyak perubahan yang berlaku, ;-)

- HANYA DIA TAHU... -

Betul… HANYA DIA TAHU [HDT] itu memang tajuk novel ke-5 saya dengan Alaf 21 [Grup Buku Karangkraf]. Novel yang watak utamanya saya beri nama Zaen Luthfi dan Nasuhah Harlena. Kisah tentang Zaen yang dengan selamba dan egonya menolak Nasuhah sebelum kenal siapa sebenarnya gadis yang ditolak. Ayat yang Zaen keluarkan, walaupun dia tak cakap dalam nada yang kasar dan keras, tetap cecah sampai ke hati Nasuhah. Dan Nasuhah yang sedar diri, awal-awal membalas kalau dia tak pernah ada hati pada Zaen, malah tak pernah pun bermimpi mahu hidup di samping Zaen. Baginya, Ariana Luthfia hanya bergurau bila kawan baiknya yang merangkap adik kepada Zaen cuba memadankan mereka berdua.

Namun… sekali mata bertentang mata dengan Nasuhah, hati Zaen mencair bagaikan bongkah ais terkena panah matahari. Sedangkan di pihak Nasuhah, sekali dianggap ‘perasan’ oleh Zaen, sampai bila-bila pun dia akan ingat. Sejak itu, jadilah Zaen pemburu tegar cinta Nasuhah, padahal… Nasuhah kekal menjadi pelarian. Sudahnya, dalam pada mengejar dan menjadi pelarian, hati Ariana yang tak mengerti apa-apa, luluh berkeping-keping dan Nasuhah tersurat sebagai kawan makan kawan.

Tapi untuk N3 hari ni, saya bukanlah nak mengulas tentang novel yang sudah berusia 3 tahun tu, walaupun tajuk N3 saya sama dengan tajuk HDT tu. Langsung tak ada kaitan antara kedua-duanya. Mungkin, mungkin kalau ada yang ingin tahu tentang novel HDT tu, saya akan berkisah di lain kesempatan kerana saya sangat suka bercerita tentang novel dan dunia novel saya, selagi masih ada yang mahu tahu. Cumanya… bukanlah untuk kali ni kerana hari ni saya mahu membebel tentang sesuatu yang lain.

Sebenarnya, saya dan saya juga percaya ramai orang di luar sana yang sering membanding-bandingkan diri dengan orang lain. Bukan hanya dari segi rupa paras, tapi juga keluarga, pendidikan, harta dan banyak lagi. Kita… selalu merasakan yang diri kita kurang dan orang lain selalu lebih daripada kita dan kalau boleh kita mahu jadi seperti orang yang kita bandingkan tu. Kemudian kita tanya pula pada diri sendiri, “Kenapa dia lebih, kenapa aku tidak sedangkan aku pun manusia juga, macam dia”. Kita tahu pertanyaan-pertanyaan karut macam tu tak elok, seolah-olah kita mempersoalkan takdir yang didatangkan pada kita. Tapi kalau dah manusia tetap juga manusia. Bila rasa kecewa datang, kita lupa mana yang baik dan mana yang tak baik. Kita tetap juga bertanya dan terus bertanya walaupun jawapan yang kita harap-harapkan tetap juga tak kunjung tiba.

Tapi… kerana terlalu asyik mempersoalkan apa yang datang, kita lupa menilik diri sendiri. Kita tak fikir apa kekurangan kita sehingga kita tak diberikan apa yang kita minta sedangkan kita meminta pada apa yang tak sesuai dengan diri kita. Malah kita tak sedar, apa yang kita minta itu sebenarnya lebih baik tak dipenuhi daripada dipenuhi kerana bila kita dapat apa yang kita mahu, kita mungkin akan jadi orang lain.

Contohnya, kita tak ada duit yang banyak, tapi… kita tahu bagaimana caranya hendak berjimat cermat dan lebih penting daripada itu, kita tahu siapa diri kita. Mungkin… mungkin… bila kita yang tak ada duit yang banyak tiba-tiba dapat duit yang banyak, kita jadi lupa diri. Kita mula berbelanja sakan seperti kita tak pernah beli apa-apa sebelum ini. Lebih teruk daripada itu, mungkin… kita akan berubah menjadi manusia yang sombong dan berlagak sehingga kita sanggup memperlekehkan orang yang kurang dibandingkan kita. Kita jadi hendak menunjuk-nunjuk pada orang lain apa yang kita mampu beli. Malah, kita jadi lupa bagaimana hendak menjaga hati orang lain. Mungkin orang kurang daripada kita, tapi… mereka tetap punya hati dan perasaan, tetap tahu terasa hati dengan tingkah dan kata-kata kita yang jelas seperti mempamerkan keriakkan atau dalam erti kata lain, “Kau ada?”.

Kesimpulannya, hanya DIA tahu… apa yang lebih baik untuk kita dibandingkan diri kita sendiri. Tak semestinya, apa yang kita rasa baik untuk kita, itulah yang terbaik. Sebaliknya, yang kita rasa tak baik itu, mungkin itulah yang sebaik-baik pilihan untuk kita pilih. Cumanya, jadi orang itu jangan riak ya? Sebabnya… apa yang kita ada hari ni, tak semestinya akan kekal jadi milik kita. Lebih penting daripada itu, harta setinggi gunung pun akan habis kalau setiap hari ditarah, apalagi… kalau harta yang cuma lebih sedikit daripada biasa. Dan lagi, duit bukan segala-galanya, walaupun saya tak pernah nafikan hidup tanpa duit itu pun bukannya terlalu mudah, ;-)