- SELAMAT HARI LAHIR YA CHIK SAM -

June 30, 2012

Hari ni genap 35 tahun, abang saya yang kedua menjengah dunia. Abang yang ketika saya lahir, dia pernah suruh Mak saya hantar saya ke langit. Itu bukan cerita rekaan, tapi itulah cerita yang pernah Mak saya kisahkan pada saya. Adoilah… saya baru nak tengok dunia, nak rasa betapa hebatnya diutus sebagai manusia, saya dah disuruh hantar ke langit. Zalim kan bunyinya tu? Tapi tentulah bukan salah dia sebab ketika itu, dia juga masih kecil. Saya yakin dia tentu bertanya daripada mana saya datang. Mak saya pula pasti tak tahu bagaimana nak memahamkan dia yang sekecil itu. Mesti asalnya, Mak saya yang kata pada dia yang saya didatangkan dari langit.

Ikutkan hati memang ada banyak yang nak saya kisahkan tentang dia. Tapi macam tak ada kata-kata yang sesuai, ditambah pula mood menulis pun macam tak berapa nak best. Jadinya, untuk abang kedua saya, SAMSOL WAHAB. SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-35 TAHUN. MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, BERBAHAGIA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT, DAN… SELALU ADA DALAM RAHMAT ALLAH.

- MAEL LAMBONG AJE PUN! -

June 29, 2012

Sebelum filem ni keluar kat pawagam, saya memang dah simpat hajat nak tengok. Sebabnya, saya nak tengok aksi Zizan. Rasa-rasanya banyak dah filem yang dia lakonkan saya tengok kat pawagam. Bukan juga saya minat gila-gila kat Zizan ni, tapi tok juga tak minat. Bolehlah lakonan dia, tapi saya lebih suka tengok dia buat lawak. Kalau dia bergabung dengan Johan, lagilah saya suka tengok. Bagi saya, mereka berdua memang sangat serasi. Bila mereka digandingkan berdua, belum pun mereka buka mulut, buat lawak, saya dah senyum dan ketawa sendiri. Serius, muka mereka memang sangat-sangat kelakar, apa lagi bila mereka dah mula buka mulut. Tapi... walaupun saya suka lawak mereka, saya tetap kurang gemar kalau-kalau ada lawak yang kedengaran agak kasar. Yang tu, memang tak sesuai.

Cadangnya, saya nak tengok Mael Lambong ni dengan orang-orang yang sangat dekat dengan saya. Tapi bila sesuatu terjadi, cadangan ditolak. Itu pun atas sokongan saya sendiri. Tapi saya tetap nak tengok juga Si Mael Lambong ni, dengan orang lain yang juga dekat dengan saya. Dan akhir-akhir ni, saya memang lebih banyak tengok filem Melayu dibandingkan filem Inggeris. Kenapa, saya sendiri tak tahu. Padahal, kadang-kadang bila keluar aje dari pawagam, muka saya blur. Tertanya-tanya apa yang nak disampaikan penulis filem tu.

Tapi tak apalah, saya anggap saya sedang menyokong industri filem negara kita. Dengan harapan, orang pun akan beli novel tempatan, khasnya novel yang ditulis oleh penulis yang nama dia, Aleya Aneesa. Apa pun, saya nak tengok Si Mael Lambong ni, kalau boleh malam ni, ;-)

- PESTA BUKU SELANGOR 2012 -

"Orang cerdik sentiasa berusaha untuk mendekatkan dirinya dengan yang dinamakan buku kerana di dalam sesebuah buku, ada ilmu yang ada nilai yang boleh dijadikan panduan”

Wah... pesta buku lagi! Tapi kali ni bukan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, sebaliknya Pesta Buku Selangor. Tajuk N3 pun dah jelas kan? Mesti yang dinamakan ulat buku tersengih lebar. Cumanya, mungkin ulat buku yang tinggal sekitar Selangor, Kuala Lumpur, atau barangkali Negeri Sembilan dan Perak ajelah. Ulat buku negeri-negeri lain mungkin bibirnya muncung sebab agak jauh. Kalau ada juga yang turun ke Selangor semata-mata untuk pergi ke Pesta Buku Selangor tu, syabaslah! Korang memang ulat buku yang tegar. Kalau saya, mungkin kena fikir banyak kali jugalah kalau tinggal lain daripada 4 negeri yang saya tulis tu.

Tahun ni saya tak bertugas macam tahun lepas. Dan tahun lepas, gara-gara Pesta Buku Selangor saya gagahkan diri bawa kereta ke SACC dan itulah pertama kalinya saya bawa kereta sorang-sorang sampai ke Selangor. Takutnya rasa, TUHAN aje yang tahu! Tapi itu dululah, sekarang bila saya ingat-ingat balik, rasa kelakar gila. Memang geli hati gila sebab saya kalut sangat. Saya tak tahu pun SACC tu letak kat mana walaupun saya dah pernah pergi beberapa kali, pergi dengan oranglah. Hanya, bila dah otak saya ni sedikit lembap kalau libatkan jalan, nombor plat kereta atau nombor telefon.

Masa tu saya, SESAT! Entah ke mana-mana kereta saya halakan. Entah ceruk mana saya masuk dan saya yang sedia panik jadi tambah-tambah panik. Nak nangis pun ya. Pusing-pusing tak sampai juga. Sudahnya, berhenti kat stesen minyak dan tanya orang. Ya ALLAH... arah yang ditunjuk tu saya dah pergi tadi, kenapa saya tak nampak signboard yang ada. Agaknya, rasa panik mampu buat orang jadi buta sekejap kot? Mujur juga akhirnya sampai juga. Itu pun rasa-rasanya muka saya yang tak berapa nak manis ni dah bertukar jadi basi agaknya.

Selesai sesi, saya panik lagi. Nak balik macam mana, tak tahu ikut jalan mana. Sudah, memang resah juga walaupun saya senyum dan ketawa macam biasa. Saya? Sedih macam mana nak rak pun, saya tetap juga bolah ketawa dan buat lawak macam selalu. Cuma nasib tak baik aje, tak jadi pelakon. Hahaha. Tapi kalau setakat jadi pak pacak, ok-ok aje.

Bila saya kata pada seorang kawan yang saya tak tau balik. Dia kata, ikut sini dan blablabla. Saya angguk tanda faham. Tapi bila start aje kereta saya jadi tak faham. Saya tanya lagi pada yang jaga tiket parking. Dia terangkan, saya faham. Tapi bila kereta dah ada kat jalan, saya jadi tak faham sekali lagi. Apa ke slow benar daya pemahaman saya ya? Maka, kerja redah-meredah pun bermula dengan jayanya. Masuk keluarlah jalan yang sama, sekali lagi. Sampai akhirnya saya nampak signboard tertulis perkataan Kuala Lumpur, saya dah boleh tarik nafas panjang. Tapi dah lepas tol semua, saya terfikir nak balik rumah macam mana pula? Sekali lagi saya sesat dan main redah aje sampailah betul-betul ada depan rumah. Alhamdulillah.

Sebenarnya, kalau suruh saya pergi sorang-sorang ke SACC tu, saya yakin akan sesat lagi, lagi dan lagi. Ni kelemahan yang melampau, kan? Tapi kalau pergi ke Karangkraf, insya-ALLAH tak akan sesat. Cuma balik tu, confirmlah akan sesat sebab, adoilah... kenapa saya jadi macam ni? Cubalah sekali aje pergi saya dah tau. Ni sesat berkali-kali pun tetap juga sesat lagi bila sampai masa.

Apa pun, kepada yang datang berkunjung ke Pesta Buku Selangor tu, jangan lupa dapatkan karya-karya saya tau. Antaranya, SEMUSIM RINDU, KASIH ANTARA KITA, JANJIKU BERSAMAMU, SEGALA-GALANYA UNTUKMU, HANYA DIA TAHU, AKU MAHU KAMU, TANPAMU AKU RINDU, KASIH BENAR KASIH, TERUS CINTAI AKU, BOLEH SAYA SAYANG AWAK?, TAK MAHU KAU HILANG, KAU KATA CINTA, BUKAN CUMA DIA dan DIA TAK TANYA. Tapi... 5 dari belakang tu, kalau cari sampai keluar air mata darah pun tak jumpa. Sebab, tak terbit lagi. Malah ada yang belum buat satu apa pun lagi. Jangan marah ya, gurau-gurau aje.

P/S : TAK BELI 9 BUAH SEKALI GUS MACAM DALAM GAMBAR DI ATAS, BELI SEBUAH PUN SAYA DAH SANGAT BERBESAR HATI. TAPI... ORANG DI DALAM GAMBAR TU TAK JUAL YA!

- ORANG KE HANTU NI? -

“Manusia atau Hantu... kedua-duanya tetap makhluk ALLAH. Namun antara kedua-duanya, taraf manusia jauh lebih tinggi dibandingkan hantu jika kita benar-benar bertingkah selayaknya seorang manusia”

Dia yang pertama :

Nama : Hantu
Nama Manja : Ghost, Momok dan macam-macam lagi
Warna Baju : Putih [Tukang jahit tak ada]
Raut Wajah : Hodoh [Tak ada orang sanggup jual barang make-up]
Kuku : Panjang [Sebab tak tahu guna pengetip kuku]
Jenis Rambut : Mayang mengurai [Ada juga biasa-biasa aje]
Perangai : Tak kacau manusia kalau manusia kata kacau dulu

Kalau itulah biodata yang diberi dalam curriculum vitae, masa nak minta kerja, memang sah yang nak minta kerja tu Cik Hantu. Jadi, sila nasihatkan bos-bos korang atau kalau korang sendiri yang jadi bos, supaya tak mengambil si pemilik curriculum vitae itu sebagai pekerja. Confirm Cik Hantu tu tak akan buat kerja sebab Cik Hantu tak pergi sekolah, macam korang yang dah dihantar sekolah sejak umur 5 tahun [sesetengah orang – saya pergi sekolah umur 7 tahun, terus masuk Darjah 1].

Dia yang kedua :

Nama : Manusia
Nama Manja : Orang, insan dan macam-macam lagi
Warna Baju : Macam-macam warna ada sebab ada ramai tukang jahit dan pereka fesyen dalam dunia ni. Contohnya macam, Rizalman, Jimmy Choo, Michael Ong, Andrew Gan, Eric Chong, Edmund Ser, Daniel Lim, Albert King, Alvin Tang, Bill Keith dan ramai lagi.
Raut Wajah : Cantik dan menarik [Sempurna]
Kuku : Ada panjang, ada pendek dan ada juga berwarna-warna
Jenis Rambut : Macam-macam gaya pun ada
Perangai : Ada yang ok dan ada yang ko serupa perangai hantu.

Kalau biodata yang diberi dalam curriculum vitae, masa nak minta kerja, memang sahlah memang Cik Manusia yang mahukan kerja tu. Tapi... sila juga nasihatkan bos-bos korang atau diri korang sendiri untuk tak ambil Cik Manusia tu dengan mudah hanya sebab dia memang sah Cik Manusia. Sebaliknya, selidik betul-betul sebab perangan Cik Manusia kadang-kadang lebih teruk daripada Cik Hantu. Sebabnya, Cik Hantu hanya buat Cik Manusia rasa takut. Tapi Cik Manusia mampu buat Cik Manusia yang lain rasa perasaan yang pelbagai. Marah, suka, sedih, takut dan macam-macam lagi.

Kenapa saya kata macam tu? Tentulah ada sebabnya. Beberapa hari lepas, pagi-pagi lagi dah kecoh konon-kononnya ‘di sini’ ada hantu. Saya yang memang penakut, jadi lebih takut. Jumpa Cik Hantu atau nampak Cik Hantu, sesiapa pun tentu aje tak nak kan? Kalau ada orang nak, hem... saya kira ada wayar yang putus tu di mana-mana. Tapi bila dah kecoh macam tu dan sana sini orang bercerita, saya pun dalam pada tak nak dengar, dengar jugalah. Takut pulak kalau tiba-tiba saya tersalah pergi tempat. Terpergi tempat Cik Hantu. Tak ke haru macam tu. Memanglah kita sebagai manusia tak patut takut pada Cik Hantu sebab Cik Hantu juga makhluk ALLAH. Tapi, rasa takut itu datang begitu-begitu aje. Disuruh nyah pun tetap juga nak melekat.

Dalam pada takut tu, sempat juga saya tengok gambar seorang kawan yang di belakangnya ada bayang-bayang Cik Hantu. Sah, memang betul-betul Cik Hantu tu. Saya dah jadi lagi cuak. Memanglah sekarang ni bukan saya yang buka pintu sebab ada orang yang lebih awal daripada saya, tapi lampu di bahagian biasanya saya yang buka. Macam mana agaknya bila saya tengah petik suis, Cik Hantu muncul? Adoilah... saya tak sukalah bila fikiran-fikiran jahat macam tu berlegar-legar kat kepala. Tapi saya cekalkan juga hati, beranikan juga mana-mana yang tak berani.

Dan cerita Cik Hantu tu terus kecoh dengan pelbagai versi cerita, ada yang kata siap baca Yasin sebab nak halau Cik Hantu. Tapi tiba-tiba, dua hari lepas kawan saya kata gambar yang tersebar luas dalam kalangan kami, bukannya gambar sebenar, tapi gambar yang dibuat di [SNAPGOSHT]. Adoi... kan dah kena! Tapi memanglah tak patut betul buat macam tu. Gara-gara gurau-gurauan yang tak best tu, dengarnya ada yang sampai takut nak ke bilik air. Hampeh!

Jadinya, bila dah jadi macam tu, saya jadi tak tahu yang mana saya Cik Manusia yang sebenar atau yang mana satu Cik Hantu? Atau pun, dalam tak sedar Cik Hantu dah pun mendapat kawan baik daripada kalangan Cik Manusia? Sebabnya kalau Cik Manusia itu Cik Manusia, tentulah tak buat macam tu. Kan?

P/S : KALAU NAK BERGURAU, SILALAH BERGURAU DENGAN GURAUAN YANG SEBENAR-BENARNYA GURAUAN. BUKANNYA GURAU-GURAUAN YANG MAMPU BUAT JANTUNG ORANG HAMPIR GUGUR.

- AMARAN KERAS : JANGAN BERI ANAK KORANG MAKAN QUICK STRAWBERY/ STRAWBERY METH [DADAH] -

June 28, 2012

“Kita diseru untuk selalu melakukan kebaikan, namun bukan semua orang merasakan wujudnya seruan itu”

Saya tak ada anak, tapi ada 9 orang anak-anak buah yang manis kat mata saya. Mata orang lain tentulah tak sebab dia orang ada anak buah sendiri. Malah ada ke patut, seorang manusia ni kata anak buah saya macam siput. Alo... anak manusia yang lengkap dengan akal fikiran disamakan dengan siput, patut ke? Geramnya saya mendengar cerita tak best itu. Berdarah hati adik dan adik ipar saya. Rasa-rasanya macam nak singsing lengan ajak bergusti aje, maklumlah dalam darah saya ada darah Bentan ni [Hahahaha]. Tapi... mujur saya dah lama berhenti daripada aktiviti-aktiviti yang menjerumus ke arah keganasan tu. Tapi adik ipar saya sempat bagi sedas. Dia kata, “Anak Abang ****** pun bukannya lawa pun. Hidung pun kemik”. Hah... ambik kau! Mulut adik ipar saya pun kalau dah marah bukannya boleh ditutup-tutup dengan tangan. Terus orang yang digelar Abang ****** tu terkedu tak terkata. Saya yang jahat hati ni pula, diam-diam tengok anak-anak dia. Hem... biasa-biasa aje. Tapi tak kisahlah kan, yang penting mereka sempurna. Cuma kalau boleh, si ayah silalah tengok cermin dulu sebelum mengata anak orang. Macam tu, barulah molek kan?

Ok, berbalik pada tajuk N3! Melihat rupa paras Quick Strawbery atau Strawbery Meth yang tak ubah seperti gula-gula yang sangat sedap dimakan, kalau saya jadi kanak-kanak pun saya akan teruja nak memasukkannya ke dalam mulut. Mesti rasanya sedap kalau ditengok pada warnanya yang merah. Tapi itu kalau saya jadi kanak-kanak, sekarang ni saya dah terlalu tua untuk mengaku diri sebagai kanak-kanak. Maka sebagai orang dewasa, saya nak ingatkan pada ibu bapa kanak-kanak, pak cik mak cik kanak-kanak, nenek atuk kanak-kanak, abang adik kakak-kanak dan sesiapa saja yang ada kaitan dengan kanak-kanak, SILA KATAKAN PADA ANAK-ANAK KORANG SUPAYA TAK SESEKALI MAKAN QUICK STRAWBERY ATAU STRAWBERY METH yang sangat tak berguna ni.

Kenapa tak boleh? Sebab, ia sejenis dadah baru yang makin menular di sekolah-sekolah. Macam mana ia tersebar, saya tak tahu sebab saya tak pernah jual dadah. Ia kelihatan seperti batu-batu kristal strawberi yang biasanya dikulum oleh kanak-kanak dan baunya pun seperti strawberi. Bau strawberi? Dah tentu-tentulah manis dan kanak-kanak suka! Lebih daripada itu, ia boleh membawa MAUT, kalau pun tak MAUT, ia akan meninggalkan kesan yang amat mengerikan kepada kanak-kanak. Jadinya, pandai-pandailah korang nilai diri sama ada sayang atau tak pada anak-anak yang dah korang jaga sejak masih merah sampai dah boleh pergi ke sekolah sekarang ni.

P/S : TOLONGLAH LARANG ANAK KORANG YA KALAU KORANG BETUL-BETUL SAYANGKAN MEREKA. JANGAN NANTI, MASA MEREKA BALIK, MEREKA DAH TAK LAGI DIGELAR MANUSIA [Bunyinya keras tapi kalau dengan kekerasan boleh menyelamatkan kanak-kanak, apa salahnya]. PADA YANG TERBACA N3 NI, MOHON SEBARKAN, SEMOGA KEBAIKAN KORANG AKAN DIBALAS DENGAN KEBAIKAN OLEH ALLAH...

- LOST WORLD OF TAMBUN... -

“Semalam ada begitu banyak kenangan yang tak mahu padam dari ingatan walaupun puas dicuba berkali-kali”

Ni... N3 basi sebab macam dah berlalu 3 minggu lepas [9 Jun 2012]. Tapi tak apalah, saya nak tulis juga walaupun sikit. Tanda kenangan gitu! Lagipun bukannya makanan pun, kan? Dan lagi, tak kena tangkap juga kalau tulis N3 yang dah agak lama. Paling-paling orang tak baca. Tak pun orang kata, “Tak ada kerja tau dia, cerita zaman Tok Kaduk pun nak hidangkan pada orang”. Tapi... eh, ni kan rumah saya! Jadinya, saya bebas menulis tentang apa saja asalkan tak langgar batas undang-undang dan agama.

Berbalik pada Lost World of Tambun [LWOT], melihat perkataan itu tertulis di depan mata, saya senyum aje. Wah, tak sangka akhirnya saya sampai juga ke sini. Padahal, Abang Chik saya dah sebut berkali-kali nak ke sini. Saya pun dah berkali-kali datang ke Perak, sekali pun tak pernah berhajat nak jadi badak berendam di LWOT ni. Mungkin memang nak pergi dengan keluarga Abang Chik saya agaknya.

LWOT, tak jauh beza dengan tempat-tempat yang seumpamanya. Dibandingkan orang dewasa, saya kira kanak-kanak mungkin lebih teruja. Kalau tak, takkanlah anak-anak buah saya tak nak naik bila dah masuk dalam air. Macam tak reti sejuk dan macam tak ada rasa takut walaupun ombak yang dibuat, saya rasa agak kuat juga kalau nak bandingkan tempat-tempat yang dah pernah saya pergi sebelum ini. Malah Sunway Lagoon yang dah saya jelajahi untuk kali kedua tahun lepas pun tak kuat macam tu. Yang ni memang luar biasa sikit, berdiri tegak pun tetap juga terdorong ke belakang. Duduk pula, tiba-tiba aje dah terasa macam terbaring.

Bagi saya, LWOT ok jugalah. Banyak kolam air panas dan ada sesetengah kolam tu saya langsung tak boleh letakkan kaki. Agaknya kalau bawa kangkung, dah boleh makan masa tu juga. Tak payah susah-susah celur atas dapur. Lupa pula saya nak bawa telur, kalau tak boleh buat telur separuh masak walaupun saya tak gemar pun telur separuh masak tu. Yang saya suka, telur hampir masak tapi tak terlalu masak. Wah... teruk gila perangai saya ni!

Tempatnya agak luas juga tapi saya tak jelajah sampai habis sebab saya lebih banyak jadi badak berendam, walaupun bukan Si Puteri Badak Berendam. Ada juga tempat-tempat permainan tapi satu pun saya tak main. Hajat hati memanglah nak main, tapi... anak buah saya yang ‘gumuk’ itu sudah mengamuk sebab perutnya berdondang sayang. Anehnya, masa jadi anak badak yang ‘gumuk’ tak ingat pun fasal perut dia yang tak tahu berkompromi tu. Saja aje bikin hati yang lain-lain panas.

Tapi yang tak bestnya, ada kejadian kelakar dan sedikit macam memalukan diri sendiri. Beg punyalah besar saya bawa sebab saya memang suka pun bawa beg yang besar. Cuma yang tak sukanya... saya bawa baju dan segala kelengkapannya, kecuali seluar jeans untuk dipakai lepas mandi. Tinggal kat rumah Fida! Adoilah... apa kes? Nak mandi macam mana kalau dah pakaian saya tak lengkap kan? Masa tu saya tengok gelas kat tangan perlahan-lahan jatuh sebelum berderai macam tu aje. Macam manalah saya boleh jadi cuai macam tu sekali agaknya. Inilah julung-julung kali saya jadi hampeh serupa ini. Sampainya hati daya ingatan saya yang makin hari nampak makin lemah ni mensabotaj tuannya yang tak berdaya. Tapi dalam masa beberapa detik, saya dapat satu idea. Saya tanya Fida shopping complex yang paling dekat sebab saya nak beli seluar jeans yang murah-murah-murah. Fida kata, Giant aje yang ada dan memang dekat sungguh pun. Cuba aje lebih kurang sehelai seluar jeans, sempat lagi capai yang lain-lain juga dengan gembiranya, sedangkan Abang Chik sekeluarga dan mak Fida dah masuk ke LWOT.








Apa pun, yang jelasnya, bukan cuma peserta Cornetto Uda dan Dara aje tau yang dah datang ke LWOT, saya pun dah datang juga ya... ;-)

P/S : ADA REZEKI & UMUR, INSYA-ALLAH SATU HARI NANTI SAYA PASTI AKAN DATANG LAGI, LAGI & LAGI...

- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [3] -

June 27, 2012

"Dalam cinta tak ada istilah 'try and error'. Sekali terjebak harus menelan istilah 'I love you' sampai hujung nyawa"

“NI... yang tersenyum-senyum masuk rumah ni apa hal?” sergah Ilham sebaik saja melihat kelibat Najihah yang tersengih-sengih sambil sesekali berpaling ke belakang. Entah apa yang dipandang anak saudaranya itu, dia tidak pasti. Tapi ekspresi wajah yang nakal itu tentu hadir gara-gara Najid.

Najihah dan Najid, memang tidak boleh dipisahkan. Bukannya adik-beradik, tapi selalu bertingkah seperti adik-beradik kandung. Jika seorang diusik, seorang bangkit menjadi pembela walaupun tak pernah dilantik. Anehnya ada masa-masanya, Najihah dan Najid tetap kelihatan seperti anjing dan kucing, pantang bertemu muka ada saja yang nak ditengkarkan. Tapi biasanya yang mencari fasal tentu saja Najihah kerana Najihah dengan sesiapa pun memang jarang hendak mengaku kalah.

Dengan aku, bapa saudara sendiri pun dia hendak menang, apa lagi Najid yang hanya berstatus kawan semata-mata, detik hati Ilham dalam diam.

“Eh... abang! Awal balik hari ni? Jiha tengok kat luar tu masih ada matahari lagi. Demam ke?” Selamba saja Najihah menyindir Ilham. Setahunya, kalau tidak pukul 9.00 malam, bapa saudaranya itu tidak akan ada di rumah. Kemudian dia melabuhkan punggung di hadapan Ilham yang hanya tua lima tahun daripadanya dan hanya dipanggil abang walaupun status mereka bapa saudara dan anak saudara. Jenuh papanya mengajar dia memanggil Ilham pak su, tetapi dia tetap memilih memanggil Ilham dengan panggilan abang kerana Ilham terlalu muda untuk dipanggil pak su. Lebih sesuai jika dipanggil abang, terlanjur pula dia memang tidak ada abang. Lama-kelamaan semua orang turut memanggil bapa saudaranya itu dengan panggilan abang. Ilham pun turut membahasakan diri abang bila bercakap dengannya dan papanya, termasuk dengan Najid dan ayah Najid juga.

“Ke sakit demam kuning?”

Kening dijongketkan. Masih tersengih-sengih mempamerkan barisan giginya yang putih. Geli hati mengingatkan ekspresi wajah Najid. Sampai kakinya melangkah keluar daripada kereta Najid pun, lelaki itu tetap juga tidak puas hati dengannya. Kalau boleh dicekik, tentu awal-awal lagi Najid sudah menamatkan nyawanya hari ini. Tapi hendak diapakan lagi, perkara sudah pun terjadi. Lagipun, kena marah dengan Pak Munawir, bukannya apa-apa sangat kerana tadi bukanlah pertama kali Najid menerima kemarahan orang tua itu. Acap kali benar sampai dia sendiri tidak terkira dengan jari.

“Sindir abang, tak ampun nanti baru tau tak masuk syurga,” balas Ilham juga selamba. Sudah terbiasa melayan Najihah dengan cara kasar, membuatkan dia janggal hendak mengeluarkan kata-kata yang baik untuk hidangan telinga satu-satunya anak saudara yang dia ada itu.

“Abang yang dosa sebab tak ampun. Kan dalam Islam kata...”

Terus Ilham baling Najihah dengan bantal empat segi tepat yang ada di tangannya. Najihah memang pantang diberi kesempatan, memang mulut comel itu akan terus berkicau mengalahkan murai tercabut ekor. Selain daripada Najid dan Datuk Bazli, rasa-rasanya tidak ada sesiapa pun yang tahan dengan mulut Najihah. Dia dan Najihah pun bukannya boleh rapat sangat kerana diakhir perbualan pasti ada tengkar yang wujud. Masing-masing enggan mengalah dan Najihah pun memang terkenal dengan sikap tidak mahu kalah pada sesiapa. Tapi yang jadi soalnya, dia pula tidak akan senang duduk selagi tidak menyakat Najihah.

Mujur sekarang Najihah sudah besar. Kalau dulu, ketika anak saudaranya itu kecil, dia akan memastikan Najihah menangis dahulu, barulah dia berhenti daripada menyakat Najihah. Bukan sekali dua dia ditegur abangnya kerana itu, tapi dia tetap juga menulikan telinga. Melihat Najihah menangis menerbitkan satu kepuasan dalam dirinya. Tapi kini, sakatlah macam mana pun. Najihah tidak akan menangis, sebaliknya Najihah akan membalas balik sehingga dia sendiri yang mati akal.

“Padanlah dengan muka abang!”

Itu kata-kata Datuk Bazli bila melihat masam wajahnya kerana tingkah Najihah. Hanya jelingan yang mampu dihadiahkan kepada abangnya itu. Datuk Bazli memang tidak pernah campur bila dia dan Najihah mula berbalah. Papa Najihah itu hanya menanti, mahu melihat siapa yang kalah dan siapa yang menang sebelum berkata ‘padan muka’ pada dia ataupun Najihah.

“Mulut macam nenek kebayan!”

“Abang tu mulut macam murai!”

“Murai tu Jiha!”

“Abang!”

“Jiha!”

“Abang!”

Datuk Bazli yang baru muncul di ruang tamu, hanya mampu menggeleng dengan wajah pelik. Ilham dan Najihah memang pantang bertemu muka. Dia kemudian meneruskan langkah ke dapur. Daripada melayan kerenah Ilham dan Najihah yang seperti budak-budak, lebih baik dia membasahkan tekaknya yang haus. Ada juga faedahnya.

“Tadi Jiha gelak-gelak tu kenapa? Apa yang Jiha dah buat kat Najid hari ni? Jiha buat dosa kat Najid lagikan?” tanya Ilham. Dia dapat merasakan yang Najihah gembira kerana sudah mengenakan Najid.

“Abang ingat Jiha suka bila kenakan Najid aje ke? Banyak lagilah yang boleh buat Jiha rasa suka.”

“Dah tu apa lagi yang boleh buat Jiha suka selain daripada membuli Najid?”

Najihah senyum meleret. Keningnya sengaja dijongketkan berkali-kali. Lagak mencabar bapa saudaranya itu. “Ada lagi satu yang boleh buat Jiha senyum sampai ke telinga. Abang nak tahu apa dia tak?” Mata, Najihah kelip-kelipkan, sengaja menyayangkan wajah ala-ala comel di hadapan bapa saudara kesayangannya itu.

“Apa?”

“Kenakan abang pun Jiha rasa seronok macam dapat bulan dan bintang tau. Bila tengok muka abang masam, Jiha rasa puas hati sangat.”

Hangat saja perasaan Ilham mendengar kata-kata Najihah kali ini. Yakin yang Najihah memang sengaja mahu menyakitkan hatinya. Tiba-tiba dia terasa mahu melihat Najihah kembali jadi anak kecil kerana pada ketika itu Najihah tidak pernah melawan kata-katanya, jauh sekali mengenakan dirinya. Kalau sudah tidak tahan sangat, Najihah akan menangis sambil menghentak-hentakkan kaki sebagai tanda protes.

“Jiha jadi jahat ya lepas besar.”

“Terima kasih pada abang sebab abanglah yang buat Jiha jadi jahat. Jadi pandai kenakan abang balik. Terima kasih ya abang...”

Najihah ketawa agak kuat. Teringat yang Najid juga ada mengatakan dia jahat di taman permainan tadi. Dalam sehari, dua orang yang dikenakan mengatakan dia jahat, dia benar-benar rasa tercuit hati. Terasa harinya benar-benar bermakna kerana dapat mengenakan dua orang yang sangat rapat dengannya.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
“Abang nak dengar cerita kelakar tak hari ni?”

“Kelakar sangat ke?” tanya Ilham kembali. Sekelip mata rasa sakit hatinya pada Najihah hilang. Dia pun bukannya marahkan Najihah betul-betul, tapi lebih kepada mahu menyakat Najihah. Seperti Datuk Bazli, dia juga tidak boleh kalau tidak mendengar suara dan melihat wajah Najihah. Dia sayangkan Najihah sama seperti abangnya itu sayangkan Najihah. Mungkin kerana dia membesar bersama-sama Najihah selama ini membuatkan rasa sayangkan pada Najihah tidak pernah surut. Bahkan, masanya lebih banyak dihabiskan dengan Najihah dan Datuk Ilham dibandingkan ibu dan ayahnya yang sudah tidak ada di dunia ini lagi.

“Kelakarlah sangat.”

“Kalau tak kelakar abang piat telinga Jiha sampai putus kejap lagi.”

“Kalau nak kena belasah dengan papa, bolehlah abang cuba putuskan telinga Jiha ni.”

“Cepat... cepatlah cerita. Asyik nak membebel aje kerja dia.”

“Tadi Jiha dengan Najid pergi taman permainan,” kata Najihah bersungguh-sungguh. Dia bercerita sambil ketawa-ketawa. Geli hati mengingatkan dia menolak Najid sekuat hati supaya Najid tidak perasan tindakannya, kemudian dia berlari lintang-pukang kerana tidak mahu turut menerima kemarahan Pak Munawir. Orang tua itu kalau sudah bercakap memang susah untuk disenyapkan.

“Setakat cerita Jiha dan Najid ke taman permainan tu, abang tak hairanlah. Tu cerita basi! Kalau tak cerita pada abang pun tak jadi kudis, langsung abang tak akan rasa ralatlah, Jiha,” balas Ilham selamba. Sangkanya betul-betul ada cerita kelakar yang mahu Najihah ceritakan. Balik-balik cerita yang sama saja.

Pergi taman dengan Najid, makan dengan Najid, pergi membeli-belah dengan Najid, tengok wayang dengan Najid dan serba-serbi Najid. Pendek kata, hanya nama Najid saja yang meletus di bibir Najihah. Tidak ada nama orang lain sampai-sampai dia rasa muak dan hendak termuntah. Tapi itu bagi pihak Najihah, kalau pihak Najid pula, asyik-asyik nama Najihah yang disebut. Kalau yang bagus-bagus, semuanya Najihah. Itu kalau hati Najid senang, kalau marah pun Najihah juga yang Najid sebut. Hanya ketika itu, Najid mengutuk Najihah tanpa peduli apa status dia sebagai bapa saudara Najihah.

Memang tepat sekali papa Najihah dan Ayah Najid memberikan nama yang hampir sama pada anak-anak mereka. Dan dia, sungguh-sungguh kagum dengan persahabatan Datuk Bazli dan Datuk Hakkam yang sangat rapat. Malah, anak-anak belum pun keluar, sudah berangan mahu memberikan nama yang dekat-dekat pada anak-anak yang bakal mereka punya. Kini, persahabatan bapa seperti sudah menurun pada anak-anak.

Najid dan Najihah... tidakkah nama itu kedengaran sangat dekat? Tidak ubah seperti adik-beradik.

“Bukan tu ajelah abang. Ada lagi ni yang Jiha nak ceritakan pada abang. Abang janganlah menyampuk macam burung jampuk. Ganggu Jiha nak bercerita aje ni.”

“Jiha lambat sangat. Nak tertidur abang dengar cerita Jiha yang tersekat-sekat dengan ketawa Jiha tu.”

“Tadi Jiha dan Najid berebut nak naik buaian kat...”

“Naik buai lagi?” Terbeliak mata Ilham dengan kata-kata Najihah yang tidak sempat dihabiskan. Sudah berkali-kali Pak Munawir datang ke rumah Datuk Bazli dan Datuk Hakkam gara-gara Najihah dan Najid yang masih menggunakan alat permainan di taman permainan itu walaupun usia dan tubuh badan kedua-duanya tidak mewajarkan mereka berbuat begitu. Sudah berkali-kali juga papa Najihah dan ayah Najid memberi jaminan yang Najihah dan Najid tidak akan lagi naik buaian, main gelongsor, main jongkang-jongket dan semua permainan yang ada di situ. Tapi sampai ke hari ini, Najihah dan Najid tetap juga tidak makan saman.

“Yalah... nak buat apa pergi taman permainan kalau tak boleh main di situ.”

“Jiha dan Najid dah tualah. Dah tak sesuai main dekat situ lagi. Itu tempat budak-budak. Jahanamlah tempat tu kalau Jiha dan Najid asyik gunakan alat permainan yang ada kat situ. Cara Jiha dan Najid boleh digelar sebagai vandalisme tahu tau,” tegur Ilham sambil menggeleng.

“Kami bukannya berat mana pun,” balas Najihah selamba.

Ilham ketap bibir. Bukan Najihah nama anak saudaranya itu kalau tidak menjawab kata-katanya.

“Dah layak jadi mak dengan bapak budak, ada hati nak naik buaian.”

Wajah ceria Najihah masam mencuka. Kata-kata Ilham kali ini berjaya membangkitkan rasa geramnya. “Sebelum Jiha dan Najid jadi mak dan bapak budak, abang patut jadi dulu sebab abang lebih tua daripada kami berdua. Sebelum abang kahwin, jangan berangan nak tengok Jiha atau Najid bersanding atas pelamin.”

Ilham ketawa kuat. Puas kerana dapat membuatkan wajah putih bersih milik Najihah memerah bagai udang kena bakar.

“Abang muda lagilah, tak fikir lagi nak kahwin.”

“Mudah apa kalau tahun ni aje umur abang dah 30 tahun. Patutnya dah lama dah abang beri Jiha kakak.” Kakak yang tentu saja merujuk kepada mak saudara.

“Abang tunggu Jiha kahwin dulu.”

“Merepek!” Bantal yang ada di sisinya, dicapai dan dilontarkan ke arah Ilham. Mujur bapa saudaranya itu sempat mengelak, kalau tidak tentu adegan kejar-mengejar di petang hari akan berlaku di rumah mereka. Bapa saudaranya itu memang teruk. Kalau Ilham mengenakan dia tidak mengapa, tapi kalau dia mengenakan bapa saudaranya itu, cepat saja Ilham hendak membalas perbuatannya.

“Merepek apa pulak? Orang perempuan memang kena kahwin cepatlah. Biar boleh beranak ramai-ramai.”

Bagaikan kapal terbang, pantas Najihah meluru ke arah Ilham. Terus diambil bantal kecil di atas riba Ilham dan dipukul-pukul di bahu bapa saudaranya itu. Rasa geram yang membukit membuatkan dia lupa statusnya sebagai anak saudara kepada Ilham. Tapi sebenarnya bukanlah dia lupa, sengaja buat-buat lupa kerana Ilham pun ada masa-masanya tidak melayan dia seperti anak saudara. Kasarnya Ilham melayannya sama seperti Ilham melayan kawan-kawan Ilham.

Ilham yang dihentam Najihah terus juga ketawa sakan. Akhirnya dapat juga dia membangkitkan kemarahan Najihah.

“Okey... sambung balik cerita kelakar Jiha yang belum sempat Jiha cerita pada abang tadi,” suruh Ilham setelah Najihah melabuhkan punggung di sisinya.

Wajah Najihah dipandang dalam-dalam. Namun setiap kali memandang wajah Najihah, dia selalu dihantui sebak. Dibandingkan dia, Najihah agak malang kerana tidak pernah merasakan belaian kasih sayang seorang ibu. Bukannya ibu Najihah sudah kembali ke alam abadi, tapi ibu Najihah pergi kerana dalam hati ibu Najihah tidak pernah ada cinta untuk papa Najihah.

Bila tidak ada cinta, bila hati sudah tidak bahagia, bukankah berpisah jalan yang terbaik?

Tapi perpisahan itu membuatkan Najihah yang tidak tahu apa-apa menjadi mangsa. Mujur juga Najihah tumbuh menjadi anak gadis yang tidak sasar daripada landasan sebenar. Sampai ke hari ini akhlak dan tingkah Najihah tetap terpelihara elok walaupun ada masa-masanya nakal Najihah masih belum hilang sampai ke saat ini.

“Abang... kenapa? Abang tengok Jiha macam ada yang tak kena aje.”

Ilham geleng dalam senyuman.

“Kalau abang nak tahu, tadi Najid kena marah dengan Pak Munawir,” cerita Najihah. Kemudian dia mula menyingkap dari awal sehinggalah kepada telinganya ditarik Najid. Sambil bercerita, dia turut ketawa.

Besar ketawa Ilham seusai Najihah bercerita, membuatkan Datuk Bazli yang ada di dapur keluar. Mahu tahu apa yang telah mencuit hati adan dan adiknya sehingga begitu kuat ketawa mereka berdua.

“Apa yang kelakar sangat ni Ilham, Jiha?” tanya Datuk Bazli ingin tahu.

“Jiha buli Najid lagi, abang.”

“Tak pa... tak ada, abang tipu. Suka sangat ada-adakan cerita yang tak ada. Saja nak burukkan nama Jiha depan papa.” Terjegil biji mata Najihah ke arah Ilham. Dia memang bercerita pada abangnya, tapi dia tidak berharap bapa saudaranya akan bercerita kepada papanya.

“Jiha memang suka buli Najid, macamlah papa tak tahu.”

Ilham angkat ibu jari kanan ke arah Najihah. “Esok-esok bila Jiha jadi wife Najid, Najid balas dendam kat Jiha. Najid buli Jiha sampai Jiha nangis betul-betul. Masa tu baru Jiha tahu langit tu tinggi atau rendah.”

Jari telunjuk Najihah angkat dan letakkan di sisi dahinya. “Dalam mimpi abang! Jiha tak nak jadi wife Najid. Kami kawan, kawan baik aje. Tak lebih daripada itu okey!”

P/S : KONON-KONONNYA E-NOVEL, ENTAHLAH LABU...

- BYE-BYE ASTRO! -

“Mengucapkan selamat tinggalkan bukannya semua orang mampu lakukan. Tapi kalau untuk kebaikan, haruslah belajar mencekalkan hati.”

Saya tinggalkan Astro? Oh... tidak! Bukan sebab Astro tak boleh hidup tanpa saya, tapi saya tak boleh hidup tanpa Astro. Atau lebih tepat lagi, saya tak boleh hidup tanpa hiburan. Bukan juga sebab saya ni jenis kaki sosial. Memang taklah, sebab saya memang tak begitu pandai bersosial. Kalau tak, tak mungkin kawan-kawan saya hanya beberapa kerat aje. Disko pun saya tak pernah masuk [Nampak benar tak pernah cucuk langit kan?]. Pusat karaoke pun tak pernah pergi [Syhhh... hati teringin juga nak pergi, ada yang nak ajak tak?]. Kan, hiburan tu penting untuk semua orang dan jenisnya pun ada pelbagai, bukan semata-mata yang menjurus ke arah ketidakbaikan macam yang selalu diuar-uarkan tu. Lagipun, kalau tak ada Astro, saya nak tengok TV macam mana? Antena pun tak tak ada, silap-silap yang ada kat skrin TV saya gambar hitam putih yang merenyam-renyam macam semut tu.

Yang saya tinggalkan pakej Astro Box Office [ABO]. Saya sendiri tak tahu kenapa saya ambil pakej tu. Mungkin sebab terpukau dengan si suara lunak di hujung talian yang pandai memujuk rayu agaknya. Kalau saya yang diletakkan di tempat dia, alamat Astro gulung tikar. Sebab saya akan kata macam ni; “Kalau nak ambil pakej ni boleh, tak nak ambil pun tak apa. Tak ada paksaan”. Mujur sangatlah Astro tak ambil saya kerja. Karang tak fasal-fasal saya ada rekod dipecat daripada kerja. Huh... buruk rekod gamaknya!

Kata si suara lunak hampir 2 tahun dulu, ada macam-macam filem baru yang menarik daripada beberapa buah negara. Katanya lagi; “Astro Citra pun ada filem juga tapi biasanya filem yang ditayangkan filem yang dah agak lama keluar di pawagam. Astro Box Office lagi menarik, orang belum tengok filem tu, you dah tengok dulu nanti”. Wah... dengarnya macam menarik aje kan? Padahal, kalau nak jadi antara yang terawal tengok, pergi aje beli DVD dengan harga RM5 kat kedai. Adoi... kantoi tengok DVD cetak rompak. Tak pun tengok aje kat Internet. Dengan adanya Astro First, segala-galanya jadi tambah-tambah mudah. Jangan marah ya Astro First, ;-)

Saya tak ingat setiap bulan ada berapa buah filem ditayangkan dalam pakej ABO ni, mungkin 5, 6, atau 7 atau berapa entah agaknya, saya sendiri kurang pasti. Ada filem dari Malaysia, Filipina, Thailand, India, Indonesia dan beberapa negara lain juga. Channelnya 952 dan 953.

Bulan pertama, kedua, ketiga atau beberapa bulan selepas itu, saya memang layan pakej ABO ni. Tapinya, bukannya semua filem menepati selera saya. Dahlah macam tu, esok-esoknya pun yang ditayangkan filem yang sama juga. Persoalannya, berapa kali saya nak layan filem yang sama? Kalau tak muntah pelangi, boleh muntah kuning dibuatnya. Maka, sejak detik itu saya simpan niat nak ucapkan bye-bye pada pakej ABO ni. Tapi kalau takat niat tapi tak dibuat, memang kekal niatlah sampai bila-bila pun. Sudahnya, tau-tau niat saya dah jadi hampir dua tahun. Adoi... membazir betul! Kan, bagus kalau duit bayar pakej ABO ni saya kumpul dan beli benda lain? Padan muka...

Dan akhirnya, 3 hari lepas saya ramahkan jari-jemari tekan angka demi angka di telefon. Selepas letak, aduhai... leganya rasa! Akhirnya niat dah bertukar jadi kenyataan. Tapi yang tak bestnya, saya dah tukar pakej ABO ni dengan pakej Movie yang bawa maksud saya dah boleh layan HBO Asia, MAX dan Star Movie. Itu juga bermakna bil daripada RM64.++ bertukar jadi RM87.++. Syabas! Saya memang pandai membuat pilihan dan bersedialah membayar untuk setiap pilihan yang dah saya buat. Lepas-lepas ni memang makin sakanlah saya melayan TV. Adoilah...

P/S – SAYA AKAN PASTIKAN SAYA TENGOK TV, KALAU SAYA TAK TENGOK TV, SAYA AKAN PASTIKAN TV TENGOK SAYA SEBAB SAYA DAH BAYAR BIL YANG BESAR JUMLAHNYA UNTUK ORANG SEPERTI SAYA.

- KALAU SAYA SEDIH -

June 26, 2012

“Kesedihan dan manusia tak mungkin dapat dipisahkan, ibarat lagu dan irama yang sering berkumandang dalam hati setiap orang”

Mencuri dengar radio [Hot FM] kawan sebelah siang tadi dengan topik “Kalau saya sedih”, dalam senyuman yang tak begitu manis dan tak sampai pun di mata kawan-kawan, saya terfikir sesuatu. Tentu aje selama ni saya tak pernah terfikir topik tu, terima kasih pada stesyen radio yang sama yang setiap pagi dan petang menemani perjalanan pergi dan balik kerja saya. Kat rumah saya memang tak dengar radio langsung. Zaman jiwang-jiwang karat, tangkap-tangkap leleh dengan lagu yang mendayu-dayu sampai buat diri jadi layu dan jadi kembar tak rasmi radio dan lama saya tinggalkan. Oh… saya bukan lagi anak remaja yang baru nak kenal hidup dan kehidupan. Saya kini dah bergelar wanita dewasa. Hoho… dewasa habis!

Ya, manusia dan kesedihan memang tak boleh dipisahkan, sama macam rasa gembira. Tapi soalnya, bagaimanakah kita kalau berada dalam keadaan sedih? Adakah kita akan tenang ala-ala setenang air di kali, atau kita akan sedikit beriak macam air laut yang disapa riak-riak, atau juga kita akan bergelora sama seperti ombak yang tak pernah jemu menghempas pantai? Mana satu diri korang?

Kalau saya, kalau saya sedih… saya dah tentu monyok macam anak kecil yang tak dapat jajan kat kedai runcit. Kadang-kadang, saya nangis juga macam bayi yang tak tahu berkata-kata. Tapi tak adalah teruk macam tu, paling-paling saya akan duduk diam-diam kat satu sudut sambil ambil sapu tangan atau tisu buat mengelap si air mata. Tau-tau mata jadi merah macam si jembalang tanah, hidung jadi merah serupa badut dan muka rasa kembang kucup kembang kuncup. Itu kalau sedih yang sampai sebabkan air mata menitis.

Kalau tak sampai nangis, saya akan berubah tingkah. Kadang-kadang saya jadi banyak-banyak-banyak cakap. Kadang-kadang saya jadi banyak-banyak-banyak ketawa. Tapi saya tak pandang mata orang sangat. Takut tu kalau-kalau orang dapat baca kata hati saya. Nak letak muka kat mana kalau orang tahu cerita kita kan? Maka, jadilah saya si pelakon tak berbayar demi melindungi apa yang tak patut dipamerkan.

Ada juga situasinya di mana, saya tak ketawa dan saya tak bercakap, tahu-tahu aje saya diam mengalahkan patung cendana sebab kata-kata bagi saya dah tak perlu lagi. Atau, kesedihan yang datang terlalu besar sampai mulut jadi kaku, hati jadi beku. Pada ketika itu, saya tak perlukan apa-apa atau sesiapa. Yang saya perlukan, sedikit waktu dan sebuah gua yang di dalamnya ada gelap-gelita. Tapi tak mungkin kan? Saya pun bukanlah seorang yang terlalu berani walaupun saya selalu mengaku cucu kepada Nujum Pak Belalang yang suka temberang itu. Jadinya, saya tukar gua itu kepada sebuah bilik yang lengkap dengan katil, tilam, bantal dan tentu aje selimut. Wah… tiba-tiba aje saya jadi banyak permintaan kan? Padahal, konon-kononnya sedih!

Tapi yang pasti, lagi saya sedih lagi saya tak perlukan sesiapa di sisi saya. Saya tak perlukan simpati orang kerana simpati itu hanya akan buat saya yang tak kuat mana ni jadi lemah. Bukan berlagak, bukan sombong. Hanya setiap orang ada cara tersendiri untuk menyelesaikan masalah yang datang. Jadinya silalah jangan terasa kepada sesiapa saja yang rasa saya melupakan korang ketika saya sedih. Lebih penting daripada itu, bukan semua masalah boleh diceritakan pada orang. Bahkan, ada juga masalah yang rasanya lebih selesa diceritakan pada SI A, tapi tidak pada SI B atau SI C. Begitu juga sebaliknya. Yang lebih teruk, ada juga pertanyaan-pertanyaan yang hadir ketika saya sedih mampu membuatkan darah saya rasa naik sampai ke takat yang paling tinggi walaupun yang bertanya berniat baik, seolah-olah terasa mahu menghamburkan kemarahan pada yang langsung tak bersalah itu. Kenapa? Entah! Saya tak ada jawapan, untuk itu lebih baik saya tak menjawab supaya saya tak menggores hati orang. Tapi masalahnya, fahamkah orang dengan sikap saya yang ada masa-masanya, boleh tahan aneh juga.

Apa pun, saya tetap percaya tiap masalah itu ada jalan penyelesaiannya tersendiri. Lebih daripada itu, masa selalu mampu menjadi penawar untuk semua kesedihan dan kelukaan. Semoga semua makhluk ALLAH di atas muka bumi ini selalu mendapat rahmat-NYA.Tapi... itu kalau saya sedih, kalau korang pula, macam mana pula ya? Lebih best daripada saya yang agak pelik ni, atau... lagi tak best? ;-)

P/S – KALAU SAYA DIAM, ITU BUKAN BERMAKNA SAYA MARAH. HANYA… SAYA BERUSAHA UNTUK MENCANTUMKAN KEMBALI KEPINGAN-KEPINGAN HATI YANG DAH BERCERAI-BERAI. HARAP MAKLUM YA, KORANG YANG SELALU PRIHATIN…

- USIK-MENGUSIK MEMBAWA PETAKA -

“Hidup tanpa usikan ibarat makan nasi tanpa lauk. Tapi usikan yang keterlaluan biasanya berakhir dengan padah kerana orang-orang tua sering mengatakan, ‘Ketawa yang banyak, teman rapatnya si air mata’”

Kita selalu dengar ungkapan, yang konon-kononnya usik-mengusik membawa bahagia. Betul tak? Korang pernah dengar tak? Kalau pernah dengar, kita serupa. Kalau tak pernah dengar, bolehlah cuba-cuba dengar lagu Gurauan Berkasih yang pernah dinyanyikan arwah Acik Spin [al-Fatihah] dan Siti Nordiana suatu ketika dulu. Kantoi... saya minat gila dengan kumpulan Spin suatu ketika dulu, siap karaoke lagi. Antara lirik dalam lagu tu;

Usik mengusik, semakin lama menjadi rindu
Hati merindu, asyik merindu
Tersentuh rasa, tidak terduga timbullah sayang
Andai tak jumpa, menjadi dendam

Gurau gurauan masih terasa dalam bayangan
Setiap detik ingin bersama memadu kasih
Apakah hati dah gila bayang
Merindu kasih, darimu sayang

Saya tulis sampai situ aje, yang selebihnya kalau ada rasa-rasa nak nyanyi lagu tu silalah meminta bantuan Encik Google yang baik hati itu. Cuma perlu ramah-ramahkan jari-jemari korang tu aje. Jangan malas-malas ok, nanti nampak tak comel. Sebabnya, yang nak saya tekankan bukan tentang lagu itu, tapi tentang usik-mengusik yang membawa petaka.

Kenapa saya kata usik-mengusik membawa petaka? Sebabnya... ramai orang dalam dunia ni yang suka mengusik orang lain dengan apa jenis usikan pun dan dengan tujuan yang apa-apa juga. Ada yang mengusik secara kecil-kecilan, sekadarnya saja supaya hidup ni tak terlalu hambar. Ada yang mengusik memang sebab dia kaki usik. Ada yang mengusik dengan tujuan untuk menyakitkan hati orang dan macam-macam lagi. Ada yang mengusik hanya dengan kata-kata, ada yang mengusik dengan perbuatan dan ada yang mengusik dengan benda-benda yang merapu.

Tak kisahlah macam mana pun jenis usikan tu. Tak peduli usikan tu dilakukan secara solo atau berkumpulan. Yang pasti, usikan kalau kecil-kecillan, memanglah seronok dan menggembirakan. Tapi bila dah keterlaluan, usikan itu akan memakan diri. Orang yang mengusik, kemudian orang yang diusik. Sebabnya, mungkin usikan itu keterlaluan, atau usikan itu datang tidak tepat pada waktunya. Siapa tahu orang yang diusik itu ada masalah sebesar dunia dan tak ada rasa untuk bergurau senda dan saling mengusik pada ketika itu. Maka, selepas itu timbullah rasa marah-marahan, sindir-sindiran dan lebih teruk daripada itu, mungkin tengking-tengkingan yang boleh menjatuhkan air muka kedua-dua pihak, yang diusik juga yang mengusik. Malu sebab menengking, malu juga sebab menerima tengkingan.

Sekelip mata, hubungan yang baik tentu akan goyang. Niat mengusik bertukar menjadi igauan buruk. Silap-silap gaya, si kaki usik, mungkin saja taubat untuk mengusik orang lain selepas ini. Takut pisang berbuah berkali-kali. Jatuh lor air muka kalau kena tengking tengah-tengah orang.

Tapi bagi saya, tak boleh juga nak menyalahkan si kaki usik. Tahu kenapa? Sebabnya, orang yang diusik biasanya dia juga si kaki usik. Maknanya, bila “awak boleh usik orang, awak seharusnya tahan juga diusik”. Jangan buat perangai, “Aku boleh, kau tak boleh”. Itu Adolf Hitler, namanya. Kalau tak mahu diusik, sila berhenti mengusik orang, sebab orang tak tahu masa bila awak boleh diusik dan masa bila awak tak boleh diusik sebab orang bukannya ahli nujum, apalagi Nujum Pak Belalang.

P/S – Kalau rasa tak mahu diusik orang, sila berhenti daripada mengusik orang kerana apa yang berlaku biasanya berpunca daripada diri kita sendiri. Dan lagi, hidup ni singkat, tak perlulah terlalu memasukkan apa yang berlaku dalam hati sangat, ;-)

- RINDU MASA LALU... -

“Hidup biar terus pandang ke depan, namun sesekali palinglah ke belakang kerana di sana ada keindahan yang mungkin tak akan berulang lagi”

Asalnya, yang ada hanya Mak dan Abah saya. Mereka berkahwin 40 tahun dulu. Kahwin pada tarikh 1 Januari dan kemudian 20 November, anak pertama mereka lahir, dua tahun lepas tu, anak ke-2 mereka menyusul, 3 tahun lepas tu anak ke-3 datang, 3 tahun lepas tu anak ke-4 yang tentulah diberi nama Marwati Wahab a.ka.a. Aleya Aneesa yang pipi macam pau tu, 4 tahun lepas tu anak ke-5 dan 2 tahun lepas tu, anak bongsu pula menjengah dunia.

Selama 26 tahun, tinggallah kami berlapan di rumah yang dibina hasil kudrat Abah saya sebelum Kak Long berkahwin dengan abang ipar saya. Kini, keluarga saya yang pada asalnya hanya 8 orang dah berkembang menjadi 22 orang dengan 5 menantu dan 9 cucu. Wah... murah rezeki kan?

Ya, saya gembira mendapatkan mereka ber-14 sebagai keluarga. Sejak mereka muncul kehidupan kami jadi lebih meriah dan ada masa-masanya, peningnya pun jadi bertambah juga kerana dah terlalu ramai, ragam pun jadi caca-marba. Malah, hubungan kami adik-beradik yang dulunya tak adalah serapat mana jadi tambah erat. Kami berenam boleh berkongsi apa saja dan boleh membuat keputusan bersama. Kalau dulu, sorang ke timur, sorang ke barat, sorang ke utara, sorang ke selatan, sorang ke barat daya dan mungkin sorang lagi ke timur laut. Tu dia, lengkap 6! Kalau 8 atau 10, confirm dah tak tahu nak tulis apa sebab tak tahu. Mungkin kena bukak kompas agaknya.

Tapi sesekali dalam kegembiraan yang ada, saya rindu juga pada kenangan dulu-dulu. Kenangan ketika hanya wujud kami berlapan, kami adik-beradik dan Mak juga Abah. Kenangan yang dah makin jauh ditinggalkan. Kenangan yang dulunya, rasa-rasanya macam tak manis langsung – banyak pahit dan masam masin, tapi kini bila diimbas-imbas manisnya mengalahkan madu. Lebih penting lagi tak ada dijual di mana-mana.

Dulu, saya dengan Kak Long tak ngam. Pantang jumpa asyik nak berbalah. Malah, saya pernah baling dahi dia dengan bola takraw yang keras tu. Lepas tu malamnya, tau-tau lengan saya rasa macam disengat lebah. Kena cubit dengan Kak Long. Dia main tipulah tu! Kalau saya sedar, dah tentu saya lari dan dia tak dapat kejar. Saya kan pernah jadi olahragawati sekolah rendah [ter-riaklah pulak, padahal sekolah menengah, pancit]. Abang Ngan dan Abang Chik saya pula, cakap secara jujur, saya memang tak sukakan mereka berdua. Mereka berdua memang tak serupa langsung. Yang samanya mereka, mereka suka kongkong hidup saya. Pantang nampak saya jadi kutu rayau, cepat aje suruh balik. Tapi biasanya saya tak ikut pun kata mereka. Tak mungkin mereka akan jerit-jerit atau pukul-pukul manja saya depan-depan orang. Buat malu diri sendiri aje. Tapi macam Kak Long, mereka berdua pun suka main tipu. Tak dapat marah depan orang, marah bila balik rumah. Tak ke tak patut tu?

Dulu... memanglah rasa tak patut mereka berdua buat saya macam tu, tapi sekarang ni lepas saya dapat otak yang penuh, saya tahu apa yang mereka lakukan tu memang patut. Fungsi abang, menjaga adiknya, memastikan adiknya tak melakukan hal-hal konyol macam yang selalu saya buat zaman-zaman dulu kala. Marah tu tanda sayang, maka saya putuskan yang dia sayangkan saya sebab tu mereka asyik-asyik marah-marah sayang.

Adik-adik saya pula, yang selepas saya, sangat-sangat rapat dengan saya. Sampai sekarang pun dia masih adik merangkap kawan bagi saya. Dibandingkan dia dengan adik dia yang bermaksud adik bongsu kami berdua, saya boleh kongsi apa aje dengan dia. Boleh bercerita apa saja tanpa ada batas dan saya boleh aje nak luahkan apa yang berbuku kat hati saya. Malah boleh aje nak merajuk kalau saya nak merajuk. Sedangkan si bongsu itu lebih serius, tapi tetap ada keistimewaannya yang tersendiri. Dulu, saya susah nak sembang dengan dia sebab cerita saya dan dia macam tak sama. Tapi sekarang kami dah boleh duduk secawan, boleh melawak sesama sendiri. Malah dia pernah suruh saya masuk Raja Lawak bila saya beria-ia buat lawak. Saya sukakan dia yang sekarang, tapi saya tetap rindukan dia yang dulu.

Masa memang tak boleh nak diputarkan ke belakang , tapi... ada masa-masanya, bila terasa ada yang menekan jiwa, saya sangat-sangat berharap supaya saya dapat kembali ke masa lalu. Masa di mana hanya ada kami berlapan. Biar hidup ketika itu tak seperti sekarang, tapi sangat-sangat best dan tak banyak yang perlu difikirkan. Hanya jalani hidup apa adanya, ;-)

P/S – WALAU HIDUP ADA PASANG, SURUTNYA... HARGAILAH KELUARGA YANG ADA KERANA MEREKA TAK MUNGKIN BOLEH DITUKAR GANTI...

- MASTERCHEF SELEBRITI MALAYSIA -

June 25, 2012

“Orang luar mati sebab tak cukup makan, tapi... orang kita banyak yang mati sebab terlebih makan”

Bila tau aje yang Masterchef Selebriti Malaysia akan ada kat Astro Ria, saya jadi berkobar-kobar nak tengok. Satu, sebab selalu tengok artis luar negara aje yang masak, sesekali nak tengok juga artis kita yang kaya dengan kontroversi pegang sudip. Dua, sebab saya suka makan, maka saya tak nak terlepas rancangan masak-memasak tu. Tiga, nak tengok sejauh mana artis kita mampu menyediakan juadah, tak kira untuk sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam, yang tentu aje dengan juadah yang pelbagai jenis. Empat, saya memang gila TV.

Hari pertama tengok, wah... saya rasa excited gila bila setiap artis [Datuk Fazley Yaccob, Tomok, Azwan Ali, Karl Shafek, Jehan Miskin, Angah Raja Lawak, Farouk Hussien, Mejar Dr. Faiz, Juliza Adlizan, Thanuja, Siti Sarah Raisuddin, Serina Redzuawan, Raja Azmi, Salamiah Hassan, Louisa Chong dan Soo Wincci], bawa juadah sendiri, walaupun ada antara artis yang tak kena dengan jiwa saya. Ceh, macamlah saya sendiri bagus benar kan? Hati berdetik dengan kata menarik dan boleh tengok lagi ni esok. Bila esok tiba, hati yang excited rasa sentaplah pulak. Baru episod-episod awal aje, macam yang saya duga, mesti kecoh bila ada beberapa artis yang memang pandai membuat kecoh. Walaupun saya hanya kenal mereka dalam TV, surat khabar dan majalah, taklah sukar untuk buat penilaian dari kaca mata saya.

Sejujurnya, saya tak ada masalah dengan semua artis sebab bukannya masalah saya. Hanya hati rasa kurang enak bila ada yang bertingkah tidak sepatutnya. Pertandingan masak aje pun, tak perlulah sampai nak menjerit pekik macam tu, mengata-ngata kawan sendiri dan lebih daripada itu merajuk-rajuk sampai nak meninggalkan kumpulan mereka. Nampak macam sangatlah tak profesional. Padahal, saya yakin mereka dah kenal antara satu sama lain kerana itu dunia mereka. Lainlah kalau saya disuruh terjun dalam bidang mereka, memanglah jadi macam rusa masuk kampung sebab dunia saya dan dunia mereka bezanya macam langit dengan bumi. Langsung tak sepadan DNA mereka dengan saya yang entah apa-apa ni.

Jauh benar bezanya antara Masterchef Selebriti Malaysia dengan Masterchef Malaysia musim yang pertama. Mereka, saya lihat lebih tenang dan lebih takut-takut. Mungkin kerana mereka bukan orang terkenal, maka mereka membawa diri mereka seadanya. Macam ala-ala, “Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan.”

Tapi sebenarnya tak adalah teruk mana pun peserta Masterchef Selebriti Malaysia tu, hanya ada masa-masa tentu aje mereka nampak macam janggal kat mata saya [diulang ya, mata saya bukan mata orang lain – jadinya kalau silap, saya yang buat dan bukannya orang lain]. Kadang-kadang mereka okey aje, nampak tenang, nampak manis dan mampu mengundang ketawa saya sebab tingkah mereka yang pelbagai. Boleh jadi ketika itu mereka rasa stress sebab terpaksa memasak mengikut masa yang ditetapkan. Kalau saya di tempat mereka mungkin lebih teruk daripada itu. Yalah, saya dalam bab masak-memasak memang hampeh yang amat.

Dan sampai ke hari ini, tak kira apa yang saya rasa, tak kira apa yang mereka buat, saya tetap setia melihat mereka memasak setiap hari Sabtu – Selasa, walaupun ramai yang dah terkeluar. Harapnya saya akan melihat mereka sampai ke episod akhir sebagai sokongan pada usaha gigih mereka walaupun mereka tak kenal pun siapa saya.

P/S : HAJAT HATI NAK BERGURU DENGAN CHEF WAN, TAPI... ANAK DIA SENDIRI PUN TAK BERGURU DENGAN DIA, MACAM MANA TU YA? ;-)

- TIARA BEACH RESORT, KAMI DATANG LAGI... -

"Kita sering kali mengimbas apa saja yang pernah jadi dalam hidup kita. Ada kalanya manis dan ada kalanya pahit. Namun, pahit atau manis, itulah rencah dalam kehidupan yang perlu ditempuh oleh semua orang"


Saya datang ke Tiara Beach Resort [TBR] ni 4 tahun yang lepas. Masa tu Kak Long bawa anak dia yang berjumlah 2 orang tu sempena cuti sekolah. Sebab saya jenis suka menyibuk, maka saya pun menyibuk sama. Nak malu buat apa, kan? Kakak saya, bukannya kakak orang lain. Masa tu, bukan hanya saya yang ikut tapi keluarga Abang Chik saya, mak abah dan nenek saya yang kini dah pun kembali kepada DIA YANG SATU.

Lepas 4 tahun, Kak Long saya tiba-tiba offer saya untuk sama-sama cuti di TBR sekali lagi, bersama-sama dengan mak dan abah saya. Oh, saya sangat teruja sebab saya memang suka pun mencuci mata. Tapi bila dia SMS bagi tahu hari dan tarikhnya, oh... saya terduduk dan patah hati sorang-sorang. Kenapa pilih tarikh dan masa tu? Kenapa tak pilih tarikh lain aje? Dan nak tukar lain memang dah tak sempat sebab abang ipar saya dah booking. Hari lain agaknya semuanya dah penuh, maklumlah cuti sekolah. Dengan rasa kecewa, saya pun minta maaf pada Kak Long sebab saya dah janji dan saya terpaksa mungkir janji yang saya sendiri buat.

Tapi bila dah rezeki, tak ke mana kata orang. Bila saya tak jadi ikut Kak Long, Abang Chik saya datang rumah saya. Bila dia ajak saya pergi TBR lepas saya balik kerja, saya rasa macam nak lompat tinggi-tinggi. Gembira macam nak rak. Satu, sebab mak dan abah ada kat sana. Dua, hati saya masa tu memang tengah patah seribu sebab saya gagal mendapatkan apa yang saya nak, jadinya saya perlukan sesuatu untuk pujuk hati sendiri. Tiga, secara tak langsung saya dapat pujuk hati Kak Long yang macam terasa hati dengan saya gara-gara saya mungkir janji.

Saya pergi sana satu hari satu malam aje sebab esoknya saya dan keluarga Abang Chik saya nak pergi ke Perak pula. Walaupun saya sejujurnya tak begitu teruja lagi gara-gara kecewa dengan berita kegagalan saya, saya tetap cuba berlagak biasa. Hanya, mungkin mak saya perasan wajah tak ceria saya. Dia asyik suruh saya makan sedangkan saya hanya geleng dan senyum hambar. Sekarang saya dah tak sedih lagi, saya terima apa saja yang datang sebagai dugaan. Mungkin satu masa nanti akan sampai rezeki saya pula. Dan TBR, insya-ALLAH lain kali kalau saya datang lagi, saya tak akan tayang rupa basi macam hari tu, ;-)






P/S : WALAUPUN MAK ENDEK DAH TAK ADA, SAYA TETAP NAMPAK MAK ENDEK KETIKA DI TBR SEBAB MAK ENDEK TETAP SETIA TENGOK KAMI JADI BADAK AIR DI TEPI KOLAM. SUNGGUH... SAYA RASA RINDU SANGAT-SANGAT PADA ARWAH NENEK SAYA. KALAU DIA ADA, SAYA NAK PELUK DIA KUAT-KUAT, TAK NAK LEPAS. MOGA DIA DITEMPATKAN DALAM KALANGAN ORANG-ORANG BERIMAN. AL-FATIHAH...

- JODOHKU JODOHMU? BUKAN KERJA KITA OK! -

June 24, 2012

“Tak ada manusia yang nak hidup sendiri tanpa ditemani seseorang bergelar suami atau isteri berserta bidadari-bidadari kecil sebagai pengikat dua hati”

Tajuk tentang jodoh macam klise kan? Ya, saya rasa pun macam klise juga. Tapi entah kenapa ya, yang klise itu juga yang disukai ramai orang di luar sana, lebih-lebih lagi orang yang dah punya keluarga, punya suami dan punya anak-anak. Opsss... bukan semua ya, tapi bukan juga sedikit yang seumpama itu. Ramai benar yang sukakan topik itu walaupun dalam dunia ni ada banyak lagi topik yang lebih best boleh dibincangkan.

Tapi entahlah, tetap topik itu yang mereka gemar. Bagi mereka, barangkali itu topik paling best dalam dunia, tak ada lain dah yang lebih best daripada topik itu. Padahal, mereka tak sedar mereka dah pun menggores hati pihak yang lagi satu. Mungkin mereka tak berniat, tapi itu kata mereka yang konon-kononnya tak berniat sedangkan orang yang ditanyai tentu aje terasa lain.

Saya menulis tentang jodoh hari ni, rentetan daripada status kawan saya di FB beberapa hari lalu. Dia ditanyai tentang hal yang satu itu dan saya yang seangkatan dengan dia tentu juga terasa seperti pipi ikut ditampar. Siapa kata meriah hidup sendiri dalam usia seperti ini? Tak meriah dan sangat tak mudah! Dahlah kena buat semua perkara sendiri, kena pula menghadapi mulut-mulut manusia yang bekerja lebih pantas daripada akal fikiran. Saya nak tulis mulut longkang tapi saya tak sampai hati. Gelaran tu terlalu kasar walaupun hakikatnya mulut-mulut itu sudah mengelar halus hati orang yang jodohnya lambat atau langsung tak berjodoh dalam seumur hidup. Yalah, kalau akal fikirannya yang bergerak dulu, tentu tak sampai hati bertanya hal-hal sesensitif itu.

Jodoh lambat atau tak ada jodoh langsung, siapa manusia nak mempersoalkan kerana itu di luar kemampuan kita sebagai manusia yang lemah. Atur dan rancanglah serapi mana pun, sampai masa belum tentu akan tertunai. Hakikatnya, manusia hanya merancang sedangkan ada DIA sebagai perancang yang paling rapi. Baik pada kita belum tentu sebenarnya terbaik untuk kita. Tak baik pada kita belum tentu sebenarnya benar-benar tak baik. Dan kalau apa yang dirancang dan diatur itu benar-benar jadi kenyataan, bersyukurlah kerana tak perlu melalui halangan yang begitu besar dan laluan lebih mudah dibandingkan orang lain.

Tapi ingatlah, apa yang kita rasa milik kita belum tentu akan jadi milik kita yang kekal kerana yang kekal itu hanya ALLAH. Mana kita tahu, hari ni kita ada suami dan anak-anak, esok luas dah tak ada. Hari ni tak ada, esok lusa ada pula. Hidup jangan sombong kerana bimbang kelak kita akan menelan kata-kata sendiri. Hari ni kita menggores hati orang, esok lusa mungkin kita pula yang akan rasa tergores kerana sekarang ni ALLAH bayar tunai atas setiap perbuatan kita. Bila detik itu tiba, siapa yang hendak kita salahkan? Atau pun ketika itu, kita dengan muka kebas terpaksa datang kepada orang-orang yang dah kita gores hatinya kerana kita memerlukan seseorang untuk mendengar luahan kita yang tak berkesudahan.

P/S : BELAJARLAH BERSYUKUR DENGAN APA YANG KITA ADA KERANA BUKAN SEMUA ORANG BERNASIB BAIK SEPERTI KITA. DAN, BELAJAR JUGA MENGHORMATI PERASAAN ORANG LAIN.

- DIA PANGGIL AKU MAK CIK? HEI! -

June 23, 2012

“Mahu atau tidak, suka atau tidak... sampai masa gelaran kita pasti akan berubah seiring dengan putaran waktu”

Mendengar perbualan daripada beberapa orang di dalam lift, saya kulum senyum sendiri. Terasa lucu dengan apa yang diperbualkan mereka yang rata-ratanya saya kenal pada wajah tapi tidak pada muka. Ya, saya memang agak teruk. Saya hanya kenal orang-orang yang berlegar-legar di sekitar saya, yang rapat dengan saya dan pernah berurusan dengan saya. Bukan bermaksud saya sombong, hanya mungkin keadaan dan masa yang tak mengizinkan. Tak mungkin kan, saya yang tak pernah berbual-bual dengan mereka tiba-tiba aje menyampuk perbualan mereka. Macam kepoh benar pun ya juga.

Makanya, jadilah saya pendengar setia di tengah-tengah keriuhan mereka. Bukan juga sengaja mencuri dengar atau suka menjaga tepi kain orang. Tidak, sebab saya ada banyak lagi benda lain yang boleh dibuat. Tapi dalam ruang empat segi yang sempit dan bercakap pula dalam nada suara yang kuat, orang yang daya pendengarannya kurang pun tentu akan dengar. Lainlah kalau hanya berbisik-bisik sesama sendiri. Tapi kalau berbisik-bisik di tengah-tengah orang ramai, nampak pula macam sedang mengata salah seorang daripada yang ada di dalam lift itu. Mungkin saya, mungkin juga orang lain sebab manusia memang tak lari daripada berprasangka pada orang lain, apa lagi bila tingkah kita menjurus ke arah itu. Confirm akan dicap tak sopan!

Antara kata-kata mereka yang saya masih ingat, kalau pun tak tepat hampir-hampir tepat;

Kata Si A,“Hari tu Si **** mengamuk.”

“Kenapa?” Si B bertanya, ingin tahu.

Kata Si A lagi sebagai menjawab pertanyaan Si B, “Pengawal keselamatan panggil dia mak cik.”

“Apa Si **** kata pada pengawal keselamatan tu?” Si C juga ingin tahu.

Saya yang berdiri di sudut pun terasa nak tahu juga. Kisah orang mengamuk, nampak macam menarik. Apa lagi bila Si A bercerita beria-ia dan yang mendengar pun nampak teruja nak tahu.

“Si **** kata kat pengawal keselamatan tu, awak panggil saya mak cik? Saya dulu pegawai kat sini tau!”

Okey, kisah di dalam lift tu cukup sampai di situ saja sebab saya kira dah tak ada point penting nak dikisahkan lagi kerana isinya dah saya keluarkan. Tapi apa yang nak saya katakan, seiring dengan putaran waktu segala-galanya berubah. Suatu ketika dulu, kita pasti pernah digelar bayi, kemudian kanak-kanak, remaja, dewasa dan akhirnya tua sebelum kita dijemput pulang pada YANG ABADI.

Ketika kita muda remaja, tentu kita pernah dipanggil adik oleh orang yang tak kita kenali kerana tak mungkin semua orang tahu siapa kita dan nama kita. Bila sampai masa kita akan dipanggil kakak oleh yang lebih mudah, kemudian mak cik oleh yang lebih-lebih muda, nenek oleh yang selayaknya memanggil kita nenek dan tentu pangkatnya cucu kepada kita dan kalau panjang umur tentu moyang oleh cicit kita atau cicit sedara atau yang sewaktu dengannya.

Suatu ketika, kita memanggil orang kakak atau mak cik atau nenek atau moyang. Tapi bila masa berlalu, kita pun akan mendapat gelaran-gelaran sebegitu kerana sememangnya lumrah hidup begitu, macam putaran roda juga. Kita panggil orang kakak, kita akan dipanggil kakak, kita panggil orang mak cik, kita akan dipanggil mak cik, nenek atau moyang bila sampai masanya.

Saya tak tahu apa perasaan saya berpuluh-puluh tahun akan datang bila menghadapi situasi yang sama seperi Si ****. Apakah saya akan mengamuk macam Si **** bila dipanggil mak cik, atau saya akan terima aje panggilan yang datang dengan tangan terbuka kerana saya sedar diri. Dah tua tu buatlah cara tua. Itu saya benar-benar tak tahu sebab masa tu masih terlalu jauh. Mungkin umur saya panjang, mungkin juga umur saya pendek. Tapi setakat hari ni, saya selamba aje panggil orang adik kalau di kedai-kedai sebab saya malas nak banyak bunyi, walaupun kadang-kadang... saya fikir orang yang saya panggil sebagai adik itu jauh lebih berusia daripada saya. Tak kisahlah, saya anggap saya sedang menyukakan hati orang tu. Dengan anak kawan-kawan saya pun, saya selamba aje bahasakan diri saya mak cik.

Bagi saya, tak jadi kudis walaupun nampak sangatlah kekampungan. Biarlah, apa ada pada gelaran? Yang penting, orang tak panggil saya dengan panggilan, ‘hoi’ atau ‘hei’. Dan sebenarnya, kalau pun kita tak suka dipanggil mak cik dengan alasan ‘saya pegawai kat sini dulu’, tak perlulah nak mengamuk atau marah-marah. Tegurlah dengan cara berhemah kerana makin kita marah makinlah orang galak hendak memanggil kita mak cik kerana marahkan kita yang marah-marah. Mungkin orang tak panggil masa tu, akan datang boleh jadi aje. Lagipun, apa yang kita cakap, apa yang kita buat, itulah cerminan diri kita yang sebenar, ;-)

P/S : BUKAN SEMUA ORANG KENAL KITA, JADINYA... KITA TAK BOLEH HARAP KITA DIRAIKAN OLEH SEMUA ORANG. DAN PALING PENTING, TEGURLAH DENGAN CARA BERHEMAH KERANA CARA ITU AKAN MEMBUATKAN KITA DIPANDANG LEBIH TINGGI SELAIN DARIPADA PANGKAT YANG MUNGKIN PERNAH KITA SANDANG SATU KETIKA DULU.

- NAK MENABUNGLAH! -

June 22, 2012

“Menyimpan impian itu tak salah, yang salahnya bila kita terlalu menaruh harapan pada sesuatu hingga mengabaikan kemampuan diri sendiri”

Duduk diam-diam, tiba-tiba aje terasa nak beli banyak benda untuk menyukakan diri sendiri. Macamlah selama ni tak ada rasa suka kan? Tapi bila raba-raba poket sendiri, jeling-jeling buku simpanan yang ada berjenis-jenis tu dan tengok-tengok skrin kat mesin ATM yang berjenis-jenis juga tu, fikir-fikir masa depan yang masih panjang, kenang-kenang juga orang lain yang ada di sekeliling, hem... lama lagilah nampaknya nak dapat semua tu. Sebabnya, semua yang berkaitan dengan yang dinamakan simpanan nampaknya makin menipis, tak ada satu pun yang bertambah macam gunung, bukit pun tak. Tak pun, sampai bila-bila pun tak akan dapat semua tu, kalau dapat pun mungkin satu atau dua aje. Lain-lain, “I gigit jari aje you!”, tak pun... “I join Mat Jenin panjat pokok kelapa ajelah!”

Tapi tak apalah, tepek kat sini dulu, buat jadi tangkal azimat. Mana tau, bila renung dalam-dalam, tengok selalu-selalu, tiba-tiba aje semangat nak kumpul duit berkobar-kobar datang. Tak pun, mana tau ada orang kesian kat saya, lepas tu mula cakap macam ni, “Nah... ambilah, ikhlas saya derma dari hati sebab awak nampak macam terdesak sangat aje.”. Ayat terakhir tu, walau kedengarannya sangat sadis dan sinis, memang tak boleh blah! Sampai akhir hayat pun tak mungkin ada orang murah hati nak main derma-derma macam tu aje. Paling-paling, mesti sebab nakkan balasan. Dalam dunia ni, mana ada yang percuma, kan? Daripada derma kat saya yang tak berapa nak papa-kedana ni, lebih baiklah derma kat rumah anak-anak yatim yang memerlukan. Dapat juga pahala! Betul juga tu, derma ajelah kat rumah anak-anak yatim tu ya...

Inilah dia antara barang-barang atau benda-benda yang saya nak sangat dalam hidup, walaupun ada antaranya TAK MUNGKIN! Tapi... itu bukan bermakna saya tak bersyukur dengan apa yang saya ada. Saya, syukur sangat-sangat! Cuma kalau dapat, itu kira macam bonuslah, bonus untuk diri sendiri. Iphone 4S, ipad 3, laptop baru warna pink, Honda City dan rumah banglo, siapa yang tak nak, kan?





1 - Dah ada walaupun taklah yang seperti itu, janji boleh SMS dan telefon tu kira oklah kan...
2 - Samsung galaxy tab dah ada, nak apa lagi kan?
3 - Dah ada juga tapi macam dah nyawa-nyawa ikan sebab dah lima tahun saya guna. Sekarang ni bila bukak aje, ada aje rasa-rasa nak buat-buat terjatuh dari tingkat 7. Terukkan saya ni?
4 - Dah ada juga, tapi cuma... Cik Wirawatiku Sayang. Janganlah lepas ni dia buat hal sudah.
5 - Yang ni pun, alhamdulillah... pun dah ada walaupun rumah yang bertingkat-tingkat. Tapi kalau dapat yang serupa di atas tu, yahoo... tapi kalau dapat yang ada duti-duit macam tu lagi best. Adoiii, mak cik kaya...

P/S : KALAU SAYA KUMPUL DUIT MACAM GAMBAR DI ATAS TU, AGAKNYA... BILA BARU DAPAT BELI 5 BERSAUDARA DI ATAS YA? SAMPAI BONGKOK TIGA PUN TAK DAPAT JUGA. TAPI... APA PUN, BERSYUKURLAH DENGAN APA YANG KITA ADA SEBABNYA... ADA ORANG YANG LANGSUNG TAK ADA APA-APA...

- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [2] -

"Dalam cinta tak ada istilah 'try and error'. Sekali terjebak harus menelan istilah 'I love you' sampai hujung nyawa"

NAJID memegang tali buaian belah kiri, Najihah pula memegang tali buaian belah kanan. Masing-masing memegang kukuh tanda enggan melepaskan, namun mata tetap terhala ke wajah sesama sendiri. Najid dengan wajah tenang. Najihah dengan wajah bengang. Mata Najihah membulat.

“Jiha dululah, Najid...” kata Najihah setelah sepi mengambil tempat beberapa saat.

“Eh... kenapa Jiha dulu pulak? Najid yang sampai dulu kan?” bantah Najid perlahan. Dia terasa hendak ketawa besar tapi ditahan sedaya upaya demi melihat cemberutnya wajah Najihah kerana hari ini gadis itu tewas di tangannya. Semuanya gara-gara kasut tumit tinggi yang tersarung di kaki Najihah.

“Alah... bagilah Jiha dulu. Lepas Jiha, Najid pulak.”

“Oh, pandai! Kalau turn Najid, Jiha cakap macam tu. Kalau turn Jiha, Jiha cakap siapa cepat dia yang dapat. Sekarang ni Najid yang dapat dulu, maknanya Najid naik dulu dan Jiha yang kena tolak Najid,” balas Najid selamba. Wajahnya sengaja diseriuskan supaya Najihah tidak terus-terusan merayu simpatinya. Najihah memang begitu, tidak pernah mahu mengalah dengannya walaupun sepatutnya gadis itu patut mengalah kerana Najihah sudah kalah. Dia yang sampai dulu di taman permainan itu, dialah yang sepatutnya duduk di atas buaian yang menjadi rebutan mereka berdua saat ini.

“Bukan salah Jihalah.”

Kening Najid terjongket, ada senyuman mengejek di bibirnya. Satu lagi sikap Najihah yang sudah masak di matanya.

“Habis tu siapa pulak yang salah?” Najid sengaja bertanya walaupun dia sudah tahu apa yang bakal dikatakan Najihah.

“Kasut ni...”

Belum pun Najihah menyudahkan kata-kata, pecah ketawa Najid. Memang sudah diduga, kasut bertumit tinggi itulah yang akan disalahkan Najihah. Dijadikan alasan lambat mencapai tali buaian yang masih dipegang mereka berdua. Bukan sekali dua kasut hitam berjenama Carlo Rino itu menjadi mangsa kemarahan Najihah, sudah acap kali. Anehnya, Najihah tetap juga tidak jemu memakai kasut yang sama.

“Kasut ni sangat selesa!”

Itu jawapan Najihah setiap kali dia mengatakan tidak usah lagi memakai kasut yang sama jika Najihah asyik merungut. Dan sudahnya, Najihah hanya mempamerkan wajah selamba, langsung tidak terusik dengan kata-katanya. Esoknya, tetap kasut yang sama juga tersarung di kaki gadis itu.

Najihah... kadang-kadang memang cakap tak serupa bikin, desis hati Najid geli hati.

“Jadi... buang ajelah kasut tu kalau Jiha rasa kasut tu penyebab Jiha kalah dengan Najid hari ni,” suruh Najid tiba-tiba.

“Kalau Jiha buang kasut ni, Najid nak bagi Jiha duit ke beli kasut yang lain?”

“Eh, kenapa pulak Najid yang nak kena bagi Jiha duit? Jiha kerja kan? Duit gaji Jiha bulan lepas pun Najid tahu tak usik.”

Najihah tarik buaian yang masih dipegang Najid, menghampirinya. Namun pegangan Najid yang kukuh tetap juga tidak terlerai. Bahkan jelas dilihat Najid ketawa-ketawa, sengaja mengejeknya. Kening Najid yang sesekali terjongket seolah-olah Najid sengaja mencabar kesabarannya.

“Mana Najid tahu duit gaji Jiha bulan lepas tak usik?”

Bibir Najid terjuih sedikit. Dia mengejek Najihah terus. “Macam mana nak habis kalau setiap kali kita makan, Najid yang bayar? Najid ajak ke, Jiha ajak ke, sudahnya Najid juga yang kena bayar. Nak harapkan duit Jiha, hem... tunggu kucing bertanduk pun belum tentu Najid dapat rasa.”

Usai berkata-kata, Najid ketawa perlahan. Geli hati kerana dapat mengenakan Najihah. Padahal, dia berlebih-lebihan dengan kata-katanya pada gadis itu. Selama ini bukanlah Najihah tidak pernah mengeluarkan duit langsung, tapi dia yang selalu mendahului Najihah. Setakat mengisi perut Najihah, dia tidak akan jatuh miskin. Tapi sekali-sekala bila anginnya datang, dia akan memaksa Najihah membelikan dia baju, seluar atau kasut. Masam-masam kelat wajah Najihah kerana tidak puas hati, selalu saja dibuat tidak nampak.

“Tu baju yang Najid pakai tu beli guna duit siapa?” Kali ini Najihah sudah ikut mengungkit. Cara Najid bercakap macamlah dia kedekut sangat. “Kasut tu pun beli guna duit Jiha kan?”

“Mengungkit!”

“Najid yang ungkit dulu ya.” Najihah tidak mahu mengalah.

Najid senyum nipis. Wajah Najihah yang merah ditatap dalam-dalam. Najihah memang mudah naik angin. “Yalah... yalah, memang Najid yang salah. Tapi sekarang ni, Cik Najihah Qadeeja, sila lepaskan tangan anda. Lepas tu sila tolakkan buaian untuk Encik Najid Suffyan,” kata Najid perlahan.

Terlanjur taman permainan itu masih tidak dikunjungi sesiapa, terutamanya anak-anak kecil, lebih baik dia bertindak cepat. Bimbang makin melayan kerenah Najihah, makin kempunan dia duduk di buaian yang sebenarnya tidak sepatutnya diduduki kerana dia dan Najihah sudah terlalu dewasa untuk duduk di atas buaian kanak-kanak itu. Namun bertahun-tahun bermain di atas buaian yang sama, sekali-sekala mereka tetap datang melepas gian. Bukannya tidak pernah ditegur dengan penjaga taman permainan itu, acap kali. Tapi esok-esok, mereka tetap juga datang lagi.
“Najid... bagilah Jiha naik dulu. Najid kira sampai 50 puluh, lepas tu Jiha turun dan Najid pulak naik,” pujuk Najihah dengan suara lembut.

“50?” Mata Najid membulat, kemudian kepalanya menggeleng berkali-kali. “Hari ni Najid tak akan tertipu dengan suara lembut Jiha tu. Najid tak kira, Najid naik dulu dan Jiha tolak. Lepas cukup 50 kali baru Najid turun dan lepas tu baru Jiha naik pulak. Jangan nak mengelat ya hari ni.”

Najihah merengus kuat. Tidak seperti biasa, hari ini suara lembutnya gagal memujuk Najid. Kalau selalu Najid beralah walaupun Najid yang sampai dulu, hari ini Najid tidak mahu mengalah lagi. Melihat pada kesungguhan Najid, dia dapat rasakan yang hari ini dia akan kalah.

“Kedekut!”

“Kedekut tak kedekut, hari ni Najid nak dulu.”

“Esoklah Najid...” Najihah cuba memujuk lagi walaupun sesudah mengata Najid kedekut. Mana tahu hati Najid mencair. Bukankah Najid selalu mengalah padanya selama ini?

“Tak! Hari ni Najid nak naik dulu. Jiha tak payah nak pujuk-pujuk Najid sebab Najid tak akan mengalah ya.”

“Kedekut!” ucap Najihah sekali lagi. Tangan yang memegang tali buaian dilepaskan dengan hati mendongkol marah. Ketika Najid sudah duduk, dia berdoa supaya Najid jatuh tergolek ketika dia mengayun buaian itu sebentar lagi. Ataupun, ketika Najid ketawa-ketawa di atas buaian nanti, Pak Munawir, penjaga taman permainan itu datang dan memarahi Najid.

“Cepat... cepat! Jangan malas tolak Najid.” Kaki Najid sudah terangkat sedikit. Bersedia mengikut ayunan buaian yang ditolak Najihah.

“Dahlah berat macam badak!”

“Cepat!” arah Najid bagaikan ketua.

“Mengada-ngada!” kata Najihah keras sambil menarik buaian ke belakang, kemudian dia menolak belakang Najid sekuat hatinya.

“Satu!” jerit Najid kuat.

Sekali lagi Najihah menolak belakang Najid sebaik saja tubuh Najid ke belakang. Sekali menolak, sekali dia merungut.

“Dua!” Semakin kuat suara Najid. Dia ketawa senang.

“Jangan ketawalah. Bingit,” marah Najihah masih sarat dengan rasa tidak puas hati kerana terpaksa menolak Najid dulu.

“Tiga!”

Najid terus juga ketawa sakan dan Najihah terus memendam rasa. Namun, melihat kelibat Pak Munawir yang terhendap-hendap di sisi kanan, bibirnya melebar dengan senyuman. Bersyukur kerana Najid berkeras tidak mahu mengalah dengannya hari ini. Kalau tidak, pasti dia yang menerima teguran dan kemarahan Pak Munawir.

“Pegang kuat-kuat Najid, Jiha nak tolak kuat-kuat ni,” kata Najihah sedikit kuat.

“Okey!” balas Najid.

Dengan sekuat tenaganya, Najihah menolak Najid. Kemudian diam-diam, dia melarikan diri. Tercungap-cungap nafasnya ketika memandang Najid yang hanya tersengih-sengih di hadapan Pak Munawir yang sedang memegang sebatang ranting pokok. Satu kebiasaan Pak Munawir yang tidak pernah berubah sejak daripada dulu lagi. Najid kelihatan menuturkan sesuatu, pasti meminta maaf daripada Pak Munawir seperti yang biasa mereka berdua lakukan.

“Hem... padan muka Najid! Siapa suruh tak nak mengalah dengan aku hari ni” kata Najihah perlahan. Dia kemudian ketawa sambil duduk bersandar di batang pokok. Peluh yang titis di dahinya diseka dengan belakang tangan. Hatinya puas kerana Najid dimarahi Pak Munawir hari ini.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
“Aduh!” jerit Najihah sedikit kuat saat terasa telinganya dipiat. Tidaklah sekuat mana, tapi dia sengaja menjerit seperti tangannya dihiris dengan pisau. Tidak perlu melihat pun, dia tahu siapa yang masih memegang telinga kanannya saat ini. Tapi lambat-lambat dia berpaling ke sisi kanan. Melihat bulatnya mata Najid memandang wajahnya, dia tersengih-sengih.

“Apa sengih-sengih?” sergah Najid dengan wajah yang sengaja digarangkan.

Najihah terus ketawa. Tahu yang Najid hanya main-main. Selama kenal Najid dari kecil hingga sudah berusia 25 tahun, mana pernah Najid marah betul-betul padanya. Kalau ada pun, Najid hanya diam sebagai tanda protes atau merajuk dengan kata-kata atau tindakannya pada lelaki itu.

“Itu pun nak marah.”

Najid melepaskan telinga Najihah. Dia melabuhkan punggung di sisi Najihah, di atas rumput. Keluhan dilepaskan seketika. Tubuhnya tiba-tiba saja terasa penat. Salah dia juga kerana dialah yang mengajak Najihah ke taman permainan itu kerana dirasakan mereka sudah lama tidak singgah di situ. Terlalu asyik dengan kerja yang tidak mahu habis, hari ini dia nekad balik awal kerana otaknya terasa sesak. Kalau dia terus balik ke rumah, tentu saat ini dia sudah berehat sambil menonton TV di rumah.

“Pandai... main kotor ya,” kata Najid beberapa minit kemudian. Peluh yang terasa mengalir di pipi, diseka dengan hujung jari. Kemudian dijentik ke arah Najihah yang kelihatan seronok benar dapat mengenakannya hari ini.

Najihah mengelak, kemudian ketawa lagi. “Apa pulak Jiha yang main kotor. Dah Pak Munawir datang tiba-tiba, Jiha larilah. Kalau Jiha tunggu juga nampak sangat yang Jiha macam sengaja serahkan leher kat tali gantung.”

“Oh... yang Najid selalu tunggu Jiha walaupun Najid boleh aje nak lari macam Jiha tadi, macam mana ya?”

“Najid baik, Jiha jahat!” puji Najihah tidak ikhlas. Dia berkata begitu semata-mata mahu membeli jiwa Najid.

Najid merengus perlahan. Hujung rambut Najihah yang diikat ekor kuda, ditarik perlahan.

“Kenapa Jiha tak bagi tahu Najid? Kalau tak Najid pun sempat lari. Tak ada peluanglah Pak Munawir marah Najid macam tadi tau.”

“Tak sempat,” ujar Najihah sambil tergelak-gelak suka.

Najid yang melihat keceriaan terpamer pada wajah Najihah, akhirnya tergelak sama. Langsung tidak terasa hendak marah. “Najid tahu Jiha sengaja nak balas dendam pada Najid kan sebab Najid tak bagi Jiha naik dulu?”

“Mana ada!”

“Baik mengaku, kalau tak Najid piat lagi telinga Jiha biar sampai putus.”

“Okey... okey, Jiha mengaku memang Jiha sengaja tak bagi tahu Najid tadi. Jiha memang sengaja nak tengok Najid kena marah dengan Pak Munawir sebab Jiha sakit hati Najid tak bagi Jiha naik buai tu dulu.”

Najid senyum sambil menggeleng perlahan. Bahu Najihah ditolak sedikit.

Najihah yang teranjak sedikit duduknya, juga senyum. Najid memang tidak pernah marah padanya walaupun tindakan yang dilakukan jelas seperti mementingkan diri sendiri. Kalau situasi yang sama berlaku dan dia yang duduk di atas buaian tadi, Najid tidak akan meninggalkannya. Najid sanggup menunggu sehingga Pak Munawir datang untuk sama-sama menerima teguran dan kemarahan orang tua itu. Tapi hendak meninggalkan dia sendiri, memang tidak sekali-kali dilakukan Najid.

Pentingkan diri sendirikah aku selama ini? Hati kecil Najihah berdetik tiba-tiba.

Tidak! Aku hanya bergurau. Lagipun bukannya Najid tak biasa melihat Pak Munawir marah-marah.

Pak Munawir pun hanya menegur, bukannya memukul.

“Jahat!” Sekali lagi Najid tarik hujung rambut Najihah.

Dan Najihah, tetap juga tersengih-sengih walaupun kepalanya terasa sedikit perit bila hujung rambutnya ditarik Najid untuk kali kedua.

- SIAPA KATA ZALIS TAK WUJUD? -

June 21, 2012

“Sejak kita melafaz janji, telah kukunci pintu hati ini”

Opsss... kalau ada rasa-rasa nak mencari tahu tentang Zalis, bagaimana orangnya, bagaimana rupanya, berapa umurnya, berapa adik-beradiknya, siapa ibu bapanya, di mana tempat tinggalnya, apa kerjanya, cantik atau tidak dia dan apa-apa saja tentang dia, silalah ya... sila tak berbuat begitu sebab tak akan jumpa di mana-mana. Kalau jumpa pun, itu tentu Zalis yang lain, Zalis yang barangkali sama pada nama tapi tak sama dengan Zalis yang ada dalam novel TERUS CINTAI AKU [TCA] yang baru aje terbit pada bulan Mac tahun ni, 2012. Sebabnya, Zalis yang di dalam TCA itu tak wujud di alam nyata, hanya wujud dalam kepala saya dan kemudian saya zahirkan di skrin komputer, hantar kepada penerbit dan kemudian bentuknya bertukar menjadi sebuah novel yang covernya agak menarik di mata saya.

Jadinya, kenapa tajuk N3 saya macam tu kan? Oh, itu cuma nak buat gempak aje! Terkejut tak? Terkejut? Atau... tak? Kalau terkejut, maaf dan kalau tak terkejut pun tak apa-apa, saya sikit pun tak kecil hati. Memang kenyataannya Zalis tak wujud! Tapi... yang tak wujud hanya Zalis, sedangkan apa yang Zalis alami turut dialami banyak orang di luar sana. Pengharapan dan impian Zalis pada sebuah janji pasti juga pernah jadi pengharapan dan impian semua orang, termasuk kita. Hanya, mungkin dalam TCA, Zalis bernasib baik kerana walau sederita mana pun dia, di penghujungnya dia berbahagia mendapatkan Khilfie sebagai suami dan secara tak langsung janji zaman kanak-kanak dia dan Khilfie dapat direalisasikan. Sedangkan, mungkin ramai yang hanya mampu menggenggam pengharapan dan impian semata-mata, tanpa melihat pengharapan dan impian mereka menjadi kenyataan.

Sejak TCA wujud, ramai yang berkata mereka seperti Zalis, menyimpan harapan dan dalam diam hanya bertepuk sebelah tangan. Ada juga yang berkata, kisah Zalis bagaikan ada bau-bau bacang dengan mereka. Ada juga yang berkata mereka juga memegang janji, menunggu janji mereka dilaksanakan oleh pihak yang satu lagi. Ada juga yang berkata, mereka seperti Zalis namun mereka tidak seberuntung Zalis. Malah, ada banyak lagi yang saya dengar. Tak kurang juga yang berkata kalau dalam dunia ni tak mungkin ada orang seperti Zalis. Mereka kata Zalis hanya wujud dalam fantasi. Hakikatnya kata mereka, “Tak ada orang yang mampu jadi sesetia Zalis”.

Tapi yang kata orang seperti Zalis itu tak ada, SILAP BESAR. Tahu kenapa? Pagi ni... ada orang PM saya. Panjang lebar mesej yang dihantar pada saya, hanya gara-gara sebuah novel yang saya beri judul TERUS CINTAI AKU. Dia bercerita tentang masa kecil dan janji yang dibawa sampai ke hari ini. Hanya nasibnya tak sebaik Zalis bila Zalis akhirnya mendapatkan apa yang diinginkan, sedangkan dia yang menghantar mesej itu hanya mampu memuja bulan.

Alahai... rupa-rupanya dalam dunia ni, ada orang seperti Zalis. Tersenyum lebar saya bila sampai pada kisah betapa manisnya dia dan si dia semasa zaman kecil mereka, sedangkan saya sendiri walaupun banyak cerita tak pernah dilayan sebaik itu. Bahkan, Zalis sendiri pun tak dilayan Khilfie dengan layanan semanis itu. Memang saya kagum! Tapi kemudian, mata saya bergenang dengan air bila manisnya kisah zaman kanak-kanak hadirnya hanya sedetik waktu. Saya dapat merasakan kesakitannya. Ya... dia memendam rasa dalam diam, dia bertepuk sebelah tangan dan hanya mampu memandang si dia bahagia bersama orang lain. Dia tahu harapannya hanya tinggal harapan bila kini si dia sudah pun punya keluarga tersayang. Sedangkan dia sampai ke detik ini, masih gagal melenyapkan si dia dari hati.

Kata dia, “Ramai yang kata dia bodoh sebab terlalu memegang cinta zaman kanak-kanak”. Tapi tak ada sesiapa pun tahu apa yang dia rasa. Dia sakit dalam sihat! Ya... saya faham, saya mengerti apa itu rasanya sakit dalam sihat, sangat mengerti sebab saya sendiri pun pernah rasa perasaan yang sama dan saya yakin, orang lain juga mengerti selagi mereka punya hati dan perasaan. Memang menunggu buah yang tak jatuh, satu perbuatan yang sia-sia. Tapi harus diingat, bila sesuatu itu melibatkan soal hati dan perasaan, bukannya mudah untuk ditangani, seperti yang tertulis dalam blurb TC, “Dan cinta... memang pelik, ditolak jauh pun tetap juga mahu mendekat”.

Sejujurnya, saya tak tahu kata apa yang harus diguna untuk memujuk dia yang dah 16 tahun menyimpan perasaan pada yang tak tahu. Yang saya katakan pada dia, “Sabar dan bertabahlah dalam setiap dugaan yang datang. Kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, tapi kita boleh terus berdoa dan berusaha yang baik-baik untuk diri kita sebab ALLAH tak pernah tak dengar doa hamba-NYA. Mungkin kalau dapat dia sebagai teman hidup, awak rasa itu yang paling baik. Tapi mana kita tahu bila betul-betul dah jadi, rasa yang lain pula akan wujud. Sudahnya, ikatan yang ada mungkin boleh lerai dan turut diseret sekali ikatan persahabatan. Masa tu, kenangan manis akan jadi igauan paling buruk. Percayalah, tiap yang berlaku tentu ada hikmahnya. Dan ALLAH... tak menduga manusia melebihi batas kemampuan yang dimiliki. Teruskan bersabar, jalani hidup ini apa adanya. Moga akan bertemu dengan orang yang dapat terima diri awak seadanya”.

Tak tahu kata-kata itu berguna atau tak sebagai penawar untuk luka yang dah lama. Tapi saya benar-benar berharap dia dapat jalani hidup ini seadanya. Nikmati apa aje yang bakal berlaku seperti mana apa adanya dan selebihnya, terus membina harapan dan impian yang baru kerana manusia yang hilang harapan dan impian ibarat manusia yang hidup tapi tak bernyawa.

P/S : KALAU BERJALAN, JANGAN HANYA MEMANDANG SEHALA, PANDANG JUGA KIRI DAN KANAN, SIAPA TAHU... YANG KITA CARI ITU SEBENARNYA TAK JAUH MANA, ;-)