- SELAMAT HARI LAHIR -

July 31, 2012

31 JULAI 2012 - "SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-1 TAHUN. MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, JADI ANAK YANG BAIK DAN HENDAKNYA SELURUH RAHMAT ALLAH AKAN JATUH PADA NUR KHALISYA HUMAIRA"

PESANAN PENUH KASIH SAYANG PADA UMI – Sorry ya untuk tahun pertama kelahiran umi, Mak Tam tak ada idea nak membebel panjang-panjang sebab tahun ni tahun malas Mak Tam. Tapi nak bagi tahu yang Mak Tam SAYANG SANGAT kat Umi. Jadi budak pandai ya, sayang...

- MINTALAH BILA BENAR-BENAR PERLU -

July 26, 2012

Kadang-kadang kita selalu lupa pada apa yang kita ucapkan atau pinta, sedangkan ALLAH MAHA MENDENGAR. Baru petang semalam, hati saya berkata yang saya tak nak pergi pejabat sebab ada sesuatu yang berlaku. Tak cukup dengan hati, mulut juga meminta supaya air tak ada. Biar saya ada alasan supaya tak payah pergi kerja. Nak pergi ke pejabat tanpa mandi, bukannya tak boleh... boleh aje sebab saya pernah buat.

Dan benarlah, tiap kata yang keluar dari mulut kita adalah satu doa. Sebelum isyak dapat panggilan telefon daripada kakak di bahagian saya yang juga tinggal satu tempat dengan saya. Bezanya, Rumah Pink tingkat 7, rumah kakak tu tingkat 19. Dia tanya fasal air sebab katanya rumah dia dah tak ada air. Dah rumah dia lebih tinggi, air lagilah susah nak sampai. Itu... kata dialah dan secara logiknya memang ada kebenarannya. Saya tengok setiap paip dan air memang masih ada kat rumah saya. Dia suruh saya tadah air sebab katanya kejap lagi mesti tak ada. Kelam-kabut saya tadah air dengan baldi sebab memang tak ada air pun kat rumah saya. Malangnya, saya hanya dapat tadah setengah baldi sebelum air kering. Adoi... kenapalah air tak tunggu sekurang-kurangnya sampai penuh satu baldi. Tapi biarlah ada setengah baldi daripada tak ada langsung.

Subuh tu saya buka paip, tak ada. Rasa macam nak lompat tinggi-tinggi sebab gembira dan bahagia. Biarlah saya tak mandi asalkan saya dapat sembunyi dalam selimut. Biar apa yang terasa ikut hilang macam angin. Cepat-cepat SMS kakak tu dan kata saya cuti kecemasan sebab air masih tak ada dan tentunya kakak tu tau, rumah dia pun tak ada air juga. Tapi, dia pergi kerjalah, saya tak. Dia bagi tahu saya dia mandi ada kat satu tempat ni dan saya dikerat mati pun tak akan mandi di situ. Mahunya keluar surat khabar nanti. Nak mandi di pejabat... alahai saya rasa kosong, kosong, kosong...

Jadilah saya tenggiling yang bergulung. Tapi mujur juga air ada dalam pukul 11.00 pagi. Tak sampai petang maka saya tak jadilah nak jadi kambing. Siap mandi, saya siap-siap sebab dalam kepala saya ada beberapa benda saya nak buat supaya cuti kecemasan saya tak jadi sia-sia. Pertama, saya pergi bengkel kereta. Lama lagi nak servis, jadi saya minta pekerja bengkel tu tengok apa-apa yang patut, air ke, minyak hitam ke, minyak brake dan sebagainya. Nasib semuanya masih elok, kalau tak... duit, duit! Kedua, memandangkan kereta saya dah lama tak mandi gara-gara car wash tempat saya selalu pergi dah kena roboh. Hampeh betul! Lagipun bengkel tu tiba-tiba aje tak cuci kereta hari ni. Mungkin sebab mereka juga menghadapi masalah air sebab dekat aje pun dengan rumah saya. Ketiga, saya pergi Giant cari barang-barang dapur memandangkan peti ais kat rumah saya yang kering kontang. Tak sampai hati nak terus biarkan peti ais tu sepi sendiri. Maka perlulah dicari kawan-kawannya. Lepas tu balik rumah dan mulalah bersilat di dapur. Hanya membersihkan mana yang patut macam ayam, udang, sotong dan sediakan sekali bahan-bahan untuk makan masa berbuka puasa nanti.

Dan kesimpulannya, kalau rasa apa yang kita nak minta itu tak begitu penting, maka... tak perlulah minta. Kalau rasa penting, maka... mintalah kerana ALLAH selalu mendengar permintaan hamba-NYA, apalagi doa hamba yang teraniaya. Saya pun kalau bukan disebabkan sesuatu itu, mungkin tak akan minta macam tu, ;-)

- HANYA GAMBAR YANG TAK LENGKAP -

July 25, 2012









NAMA MAJLIS : MAJLIS PERSARAAN HAJAH HALILAH KHALID MERANGKAP MAJLIS SAMBUTAN HARI LAHIR STAF BS BULAN MEI-JULAI 2012

TEMPAT : BAHAGIAN BUKU SASTERA, ARAS 10, DBP, KL.

TARIKH : 13 JULAI 2012

TEMA : IKUT SUKA HATILAH

- HILANG TAK BERGANTI -

July 24, 2012

Salam Ramadan keempat untuk semua. Tapi hari ni saya tak nak berkisah tentang cerita saya menjalani ibadah puasa. Saya nak berkisah tentang lain, kisah yang tentu aje ada kaitan dengan diri saya dan orang-orang yang hidup di sekitar saya. Kisah tentang datang dan pergi, namun yang pergi itu tak mungkin ada pengganti dan yang datang pula sudah semestinya tak akan serupa. Oh... ini bukan kisah cinta saya. Tidak sama sekali! Tapi ini kisah hati. Kisah yang ada masa-masanya tak mampu diungkapkan dengan kata-kata, tapi dapat dirasa dengan hati. Mungkin hanya sebelah pihak, mungkin juga dua-dua belah pihak.

Itu hanya mukadimah dan mukadimah tu sebenarnya saya sendiri tak pasti ada atau tak kaitannya. Tapi biarlah, terlanjur tengah rajin biarlah saya tulis apa aje yang saya nak tulis. Kalau mood malas datang, memang jari-jemari dan otak sama-sama jadi beku. Tak boleh bekerjasama langsung.

Berbalik pada apa yang nak saya kisahkan, 19 Julai 2012 yang baru aje berlalu beberapa hari, kami yang bermaksud saya dan kawan-kawan di Bahagian Buku Sastera mengadakan potluck sempena persaraan seorang kawan yang saya panggil Kak Lah [Halilah Khalid]. Saya bawa puding susu koktail sebab itu aje pun yang saya tau buat. Tapi bukan itu pun yang nak saya tekankan dalam N3 kali ni. Kalau nak menjadi orang yang ‘perah santan’, mungkin saya boleh jadi dalam N3 yang akan datang.

Yang nak saya katakan, melihat seorang demi seorang datang mencari Kak Lah, bersalam dan mungkin saling maaf-bermaafan, saya terfikir sesuatu. 24 tahun lagi, kalau saya berada di tempat Kak Lah, macam tu jugakah keadaan saya? Atau... sebab saya tak begitu ramah di sini, maka tak akan ada yang datang berjumpa dengan saya, kecuali kawan-kawan yang agak rapat dengan saya. Tapi biarlah... 24 tahun tu terlalu lama untuk difikirkan. Sampai masa akan dihadapi juga biar ada orang atau tak ada orang berjumpa dengan saya. Siapa tahu juga hayat saya DI SINI tak akan lama sebab ada masa-masanya terasa jiwa bagaikan kosong, kosong, kosong...

Sejujurnya, kali pertama mengenali Kak Lah pada 15 September 2005, saya TAKUTKAN dia. Kat mata saya, budak baru yang ala-ala polos lagi lugu, Kak Lah sangat garang. Muka dia serius, apalagi bila dia hanya duduk di sudut. Sungguhlah saya kalau boleh tak nak berurusan dengan dia, bimbang tiba-tiba saya dimakan dia. Maklumlah, budak baru memang penakutkan? Tapi bila makin lama masa berlalu, alahai... garang cuma pada gaya sedangkan hakikatnya langsung tak ada apa yang perlu ditakutkan.

Kak Lah, sebenarnya bagi saya macam mak-mak aje, lebih-lebih lagi anak dia yang sulung pun lebih umurnya dibandingkan saya. Marah dan bebel dia selalu aje buat saya ketawa-ketawa sebab hati saya selalu aje rasa tercuit, geli hati. Mak saya jauh jadinya dia macam mak saya kat sini. Dengan dia saya bercerita aje apa yang saya nak cerita. Dengan dia, saya merungut aje apa yang saya nak merungut. Kadang-kadang saya marah-marah orang pun depan dia juga. Malah, dia pun buat perkara yang sama. Dia pun rajin bercerita tentang anak-anak dia yang berjumlah 5 orang tu. Lebih daripada itu, saya sangat-sangat kagum dengan kekuatan dia dalam menghadapi ujian dan dugaan hidup yang mungkin tak ada dalam diri setiap orang.

Selain kawan, dia guru saya. Pada dia saya banyak belajar tentang ilmu edit-mengedit sebab saya masuk SINI dengan pengetahuan yang kosong. Malah ketika dia sedang berkemas-kemas barang sebab nak bersara, saya masih lagi bertanya. Saya kata, pelajaran di saat-saat akhir sebelum dia tinggalkan saya. Dia banyak pengalaman sebab dia dah kerja selama 30 tahun lebih. Ilmunya juga banyak dan lebih daripada itu dia tak pernah lokek dengan ilmu yang dia ada asalkan rajin bertanya. Takkanlah kalau saya tak tanya, dia memandai datang sebab nak mengajar. Yang tu, cikgu kat sekolah aje yang boleh buat. Itu pun sebab memang dibayar gaji untuk mengajar pelajar.

Terus terang kata, saya rasa kehilangan sejak dia tak ada. Mungkin sebab saya di sini tak ramai kawan. Kehilangan seorang rasa macam kehilangan berpuluh-puluh orang. Tapi nak buat macam mana, datang dan pergi memang adat dalam sebuah kehidupan. Lepas Kak Lah pergi, masuk seorang staf baru. Memanglah betul-betul patah tumbuh hilang berganti, tapi... yang datang tak mungkin akan serupa. Untuk Kak Lah... semoga hari-hari yang dijalani selepas ini akan lebih bermakna, lebih daripada itu semoga setiap langkah yang diambil diiringi rahmat ALLAH. Dan lagi, bila sampai masa semoga dia mengotakan kata yang dia akan berjalan-jalan menghabiskan duit dengan saya dan Kak Odah, ;-)

- RAMADAN KETIGA [2012] -

July 23, 2012

Sampai masa, pergi kantin dengan kawan-kawan untuk tengok-tengok apa yang ada. Sebab kebiasaannya, setiap kali bulan puasa memang ada aktiviti jual-jual di sini. Ada yang jual baju, telekung, mangkuk, butang baju, tudung dan macam-macam lagi. Tapi semua itu bukanlah keutamaan saya sebab tak berapa nak perlu. Kebanyakannya dah ada dan saya tak mahu tambah barang-barang dalam Rumah Pink sebab rasa-rasanya dah banyak sangat. Saya ni duduk seorang, tapi bila tengok barang-barang... macam tinggal dengan sekumpulan orang yang agak ramai.

Yang jadi keutamaan saya, tentulah lauk-pauk dan kuih-muih yang turut dijual di kantin. Memandangkan saya jenis RAJIN memasak, jadinya... saya pun buat aktiviti bungkus-membungkus. Tahun ni saya akan pastikan tak ada lagi acara memalukan diri sendiri macam bulan puasa tahun lepas. Setahun dah berlalu pun kalau dikenang-kenang, malu saya tak habis. Agaknya sampai bila-bila bila bulan puasa datang dan saya jejakkan kaki ke kantin, rasa yang sama akan datang lagi, lagi dan lagi...

Hari ni saya beli ayam masak kari dengan sayur. Aik... sayur pun nak beli? Haruslah beli bila dalam peti sejuk saya apa pun tak ada kecuali air kosong. Nak minum air kosong sampai perut kosong, memang taklah saya buat walaupun saya memanglah ada rasa-rasa nak kurus dalam bulan yang kurang makan ni. Nampak benar kan yang bulan lain saya makan macam tak pernah makan. Yang sejujurnya, saya masih tak berkesempatan anak belanja barang-barang dapur. Boleh aje pun makan kalau tak ada sayur, tapi... sebenarnya tak berapa nak bolehlah. Kalau tak banyak lauk pun saya tak kisah, tapi kalau boleh mesti ada sayur dan 1 lauk yang lain. Rasa macam tak lengkap kalau makan ayam, ikan, udang, sotong atau daging sendiri-sendiri.

Lagi nak tulis apa? Tak tau sebab macam dah tak ada idea. Bulan-bulan puasa ni, rasa malas macam terlebih-lebih pulalah, ;-)

- RAMADAN KEDUA [2012] -

July 22, 2012

Hari ni dengan perasaan rela dan tak rela yang sama banyak, saya harus bergerak balik ke KL sebab saya hanya ambil cuti satu hari aje. Bukannya tak nak cuti lama, tapi kena beringat supaya nanti tak beraya di office. Lagipun dapat menyambut puasa pertama di Rumah Abah semalam pun dah besar rahmat buat saya.

Masa nak bergerak tu, adik bongsu saya dan Abang Ngah saya dah menyakat-nyakat saya tentang nak balik KL. Tahu benar dia orang yang saya kalau boleh tak nak balik KL. Tapi saya kata kat dia orang, saya memang dah TAK SABAR GILA nak balik KL. Siap dengan senyum-senyum lagi masa saya cakap tu. Tapi tak ada maknanya abang dan adik tu nak percaya. Lepas dengar cakap saya, dia orang ketawa-ketawa mengejek. Hem… nasib sayalah dapat adik-beradik yang memang kaki sakat. Reda dan redah ajelah!

Naik bas pukul 2.00 petang tapi awal-awal dah siap-siap supaya tak ada apa-apa yang tertinggal. Kalau baju yang tinggal tak apa juga, boleh juga ringankan beg saya. Buatnya kad Astro yang tertinggal macam puasa tahun lepas, tak ke sesak nafas jadinya. Tapi… nak salahkan siapa bila saya yang suka sangat bawa kad Astro dengan alasan Astro kat Rumah Abah tak ada pakej Mustika dan pakej Movie. Padahal, bila balik semua pakat tengok DVD daripada tengok cerita-cerita yang ada di TV.

Macam biasa, kalau balik dari KL yang ambil saya di stesen bas Abang Chik saya. Bila nak balik dari JB pula, yang hantar Abang Ngah atau adik saya yang pertama. Tapi kali ni adik saya tulah yang hantar. Bertolak agak lambat sebab ada benda yang dibuat sebelum tu. Dalam cuaca yang panas, pintu masuk parking yang pertama tutup. Terpaksalah pergi pintu kedua, itu pun jalannya macam siput sedut pulang ke rumah. Belum lagi adik saya bising-bising bila ada kereta potong queue dia.

Pukul 2.00 petang, tangan saya pun melambai-lambat sebagai tanda perpisahan. Sebab dah terlalu biasa, saya dah tak rasa apa-apa. Doa saya dalam setiap lambaian, moga mereka yang saya tinggalkan selalu diberikan kesihatan yang baik dan paling penting selalu ada dalam lindungan ALLAH. Dan sepanjang dalam bas, saya hanya tidur, tidur dan tidur dengan harapan biar cepat sampai dan cepat juga masa berlalu.

Bila sampai lebih awal daripada biasa, rasa sangat-sangat lega. Kalau lambat macam biasa pun tak adalah apa sangat sebab mak saya dah bekalkan saya dengan nasi dan lauk-pauk. Tak adalah risau sangat nak fikir apa yang patut dan tak patut dimakan masa berbuka puasa. Katanya takut saya sampai lambat. Tak cukup dengan tu, siap sudu sekali dibekalkan sedangkan saya tak terfikir pun yang saya akan makan bekalan yang dibawa dengan gembira dalam bas yang sarat dengan orang. Tapi… terima kasih sangat mak! Sayang gila kat mak…

Apa pun, puasa kedua dah saya jalani dengan jayanya. Alhamdulillah. Walaupun makan sendiri bertemankan rumah yang warnanya pink, saya tetap juga rasa kenyang sampai ke subuh. Harap-harap Ramadan kali ni membawa cerita yang lebih manis dalam diari kehidupan seorang MARWATI WAHAB a.k.a. ALEYA ANEESA. Kadang-kadang... kejutan datang tanpa diduga, kan? Tapi... biarlah kejutan yang baik, bukannya yang tak baik, ;-)

- RAMADAN PERTAMA [2012] -

Salam Ramadan untuk semua yang sudi menjengah di sini, di sebuah blog yang dah berusia 5 tahun lebih. Oh... blog saya ni makin lama makin berusia aje hari demi hari. Semoga korang semua berada dalam keadaan baik-baik aje dan paling penting selalu ada dalam rahmat ALLAH.

Semalam, 21 Julai 2012 bersamaan dengan 1 Ramadan 1433H, seluruh umat Islam di Malaysia menyambut Ramadan pertama untuk tahun ni. Macam tu juga saya! Tahun ni tak macam tahun lepas, saya sambut puasa pertama di kampung saya yang diberi nama Kampung Sungai Melayu bersama-sama keluarga. Kali ni, semua ada. Tak ada seorang pun yang tertinggal. Biasanya, yang tertinggal saya aje pun.

Sebenarnya sambut puasa di Rumah Abah atau di Rumah Pink, tak ada apa beza sangat. Sama aje! Pagi kena bangun sahur dan sampai masa kena berbuka. Yang berbezanya, kat rumah abah ada ramai orang, kat rumah saya pula hanya ada saya seorang. Kat rumah abah, makannya sikit bercakapnya banyak, kat rumah saya makannya sikit, tak ada bual-bual sebab saya masih cukup akal untuk bercakap dengan kerusi meja dan lebih penting makannya apa-apa saja asalkan perut kenyang dan esoknya bertenaga. Taklah terasa nak melepak sana sini macam ikan masin yang tengah disidai masa cuaca terik.

Itu masa bersahur. Masa berbuka puasa pula, biasa-biasa aje. Ada nasi dan lauk-pauk sikit-sikit. Ada juga kuih-muih yang ipar-ipar saya beli seorang sikit. Masa tu saya tidur mati sebab saya tak nak ikut dia orang pergi kedai. Dekat-dekat pukul 6.00 petang, masing-masing tanya fasal Bazar Ramadan sebab konon-kononnya saya kata saya nak pergi. Tapi sebab mood tak berapa baik, saya kata tak nak pergi. Bila abang ipar saya hulur RM suruh pergi juga, saya gagahkan jugalah pergi.

Sampai dah lewat, makanan pun banyak dah habis walaupun orang memang masih ramai. Jadinya, saya, adik saya, anak buah saya dan dua adik ipar saya main capai aje apa yang ada, janji RM yang diberi habis. Wah... saya memang sangat pandai dalam bab-bab menghabiskan duit. Itu pun sikit lagi nak sampai rumah azan maghrib pun berbunyi tanda puasa pertama dah dijalani dengan jayanya. Syukur.

Satu lagi kelainan tahun ni, anak buah saya Danish Hakim yang badannya bukannya main besar berjaya menyudahkan puasa pertama dia. Itu pun siangnya, dia tak berhenti-henti minta minum dengan alasan haus. Bila dilarang, dia kata “Hari ni Danish puasa. Esok sampai habis sebulan Danish tak nak puasa!” Dahsyatnya anak buat saya tu! Tapi itu hanya kata dia, esoknya yang bersamaan dengan hari ni, dia puasa juga. Harap-harap dia akan terus berpuasa kerana dia harus belajar berpuasa sebab dia dah darjah 1. Harapan yang lain, berat badannya akan turun sedikit, kalau pun tak turun banyak-banyak. Sejujurnya saya tak yakin dia mampu menyudahkan puasa pertama dia sebab dia memang kuat makan. Lambat sikit pun makan, dia dah mengamuk, apalagi bila tak makan satu hari. Mujur keyakinan saya tu dah dilunturkan dia. Tahniah ya, dear. Tahniah juga kat anak-anak buah saya yang lain. Nanti Mak Tam bagi duit raya ya... :-)

- MARI BERKENALAN DENGAN NOVEL TERUS CINTAI AKU -

July 21, 2012

Untuk yang tak tahu, tak pernah tahu dan terasa nak tahu serba sedikit tentang novel TERUS CINTAI AKU [TCA]. Bolehlah meluangkan sedikit masa untuk membaca biodata TCA. Jangan risau, tak akan rugi masa korang sebab yang saya tulis pendek-pendek aje. Harap-harap adalah yang terasa nak baca TCA lepas tengok cara saya bercerita ni ya. Hahaha, dah lama rasanya tak memerah santan. Hari ni jadi teringin pula, ;-)

Nama : TERUS CINTAI AKU

Nama Yang Menaip : ALEYA ANEESA

Tarikh Lahir : 20 MAC 2012

Umur Setakat Hari Ini : HAMPIR 5 BULAN

Asal : KUALA LUMPUR

Bilangan Dalam Keluarga : ANAK BONGSU DARIPADA 9 ADIK-BERADIK [ALAF 21]

Nama Watak Utama : ZALIS NAJWA & KHILFIE

Komen : ADA POSITIF & ADA JUGA NEGATIF

Apa Yang Ada : ADA RASA CINTA, ADA SEDIH & AIR MATA, ADA SENYUM & KETAWA, ADA HUBUNGAN KEKELUARGAAN & KEMASYARAKATAN, ADA PENGAJARAN & HIBURAN, ADA REALITI & FANTASI, ADA HARAPAN & IMPIAN

Harapan Yang Menaip : MOGA DITERIMA OLEH SEMUA

Kalau tahu sakitnya jatuh cinta, dia lebih rela memilih jatuh lubang. Kalau tahu deritanya merindu, baiklah dia pilih membenci. Hati tak parah, jiwa pun tak merana. Dia hanya Nurzalis Najwa! Kuasa sakti dia tak punya, panah arjuna pun dia tak ada. Yang dia miliki hanyalah sebuah janji.

Sayangnya saat Khilfie muncul, hatinya terbelah dua. Hendak salahkan siapa jika cinta dipegang sebelum waktunya? Setia pula tak kena pada tempat. Lantas, lupa kalau kata tak semestinya dikota. Hati orang pun bukan boleh diikat ikut suka.

Kecewa kerana cintanya tak berbalas, Zalis menjauh. Apa guna jadi permata kalau Khilfie tak mahu menjadi cincin? Hati yang luka biar dicari penawar sendiri. Namun, Khilfie bukan buta. Makin jauh Zalis lari, makin laju dia mengejar. Dia bukan bayang-bayang Zalis, kembar siam pun tidak. Tapi, dia persis gula-gula getah dalam hidup Zalis. Saat sedar matanya memandang Jaznita, hatinya hilang dicuri Zalis. Tak mungkin manusia boleh hidup tanpa hati, kan? Dan cinta... memang pelik, ditolak jauh pun tetap juga mahu mendekat.

- HARAPAN RAMADHAN -


KUMENGHARAPKAN RAMADHAN
KALI INI PENUH MAKNA
AGAR DAPAT KULALUI
DENGAN SEMPURNA

SELANGKAH
DEMI SELANGKAH
SETAHUN SUDAH PUN BERLALU
MASA YANG PANTAS BERLALU
HINGGA TAK TERASA PUN
BERADA DI BULAN RAMADHAN ... SEMULA

KUMENGHARAPKAN RAMADHAN
KALI INI PENUH MAKNA
AGAR DAPAT KULALUI
DENGAN SEMPURNA

PUASA
SATU AMALAN
SEBAGAI MANA YANG DIPERINTAH-NYA

MOGA DAPAT KULENTURKAN
NAFSU YANG SELALU
MEMBELENGGU DIRI
TIADA HENTI-HENTI

KUMENGHARAPKAN RAMADHAN
KALI INI
PENUH MAKNA
AGAR DAPAT KULALUI
DENGAN SEMPURNA

KUMENGHARAPKAN RAMADHAN
KALI INI
PENUH MAKNA

TAK INGINKU
BIARKAN RAMADHAN
BERLALU SAJA

TUHAN PIMPINLAH
DAKU YANG LEMAH
MENGHARUNGI SEGALANYA
DENGAN SABAR

KUMENGHARAPKAN RAMADHAN
KALI INI
PENUH MAKNA

AGAR DAPAT KULALUI
DENGAN SEMPURNA

KUMENGHARAPKAN RAMADHAN.
KALI INI
PENUH MAKNA

AGAR DAPAT KULALUI
DENGAN SEMPURNA

KEMEMOHON PADA TUHAN
DIBERIKAN KEKUATAN
KEMERAYU PADA TUHAN
DITERIMA AMALAN

SELANGKAH
DEMI SELANGKAH
DENGAN RAHMATMU OH TUHANKU
KUTEMPUH JUA

PESANAN : Selamat Menjalani Ibadah Puasa pada Seluruh Umat Islam. Semoga Ramadhan tahun ni lebih terang dibandingkan tahun-tahun yang dah berlalu... ;-)

- MASTERCHEF SELEBRITI MALAYSIA [AKHIR] -

July 17, 2012

Seseorang bagi tahu saya yang dia dah tahu siapa yang jadi juara Masterchef Selebriti Malaysia [MSM]. Bukan tipu-tipu tapi memang betul sebab dia siap bentangkan bukti pada saya. Macam mana dia tahu, biarlah saya tak bagi tahu. Mungkin bukan dia aje yang tahu, penonton lain yang ‘perasan’ mungkin juga tau. Tapi saya bukanlah salah satu daripada penonton bertuah tu sebab saya memang kaki TV tapi saya tak tengok semua rancangan yang ada di TV. Saya pilih-pilih mana yang saya suka.

Sebenarnya, kalau seseorang tu tak bagi tahu saya pun saya meramalkan yang Datuk Fazley memang akan jadi juara berdasarkan prestasi dia yang saya tengok. Walaupun saya memang tak pandai masak, saya tahu menilai kata-kata ‘tok guru’ peserta MSM. Tapi... itu pun kalau nasibnya baik sebab kadang-kadang saya rasa MSM ni macam lebih kepada nasib pun ada juga. Contohnya, ada banyak hari peserta tu masak sangat sedap, tapi tiba-tiba satu hari tu masakannya kurang, maka dia pun terkeluar kerana yang satu hari tu. Bukan yang banyak hari tu. Contoh lain, dia masak sedap tapi bila masak secara berkumpulan, kumpulannya kalah dan dia harus melalui proses penyingkiran. Kan nampak macam tak adil tu? Itu di mata saya yang tak pandai masaklah! Pastinya format yang dibuat sudah dikaji dengan sedalam-dalamnya sebelum memulakan MSM tu.

Selain Datuk Fazley, Angah pun nampak tak kurang hebatnya juga. Bila dah sampai ke final, saya anggap mereka sama-sama hebat. Cumanya, pertandingan memang ada kalah dan menang. Sama macam hidup yang ada naik turun, pasang surutnya. Dan nampaknya, satu lagi rancangan yang saya tengok dah berakhir... :-)

- SIAPA PUN IBU KITA, KITA PASTI SAYANG... -

July 16, 2012

Cerita ni mungkin cerita basi. Cerita tahun lepas yang baru hari ni mahu diabadikan. Kalau tak salah saya, pertengahan tahun lepas. Ceritanya bermula di Semua House. Hahaha... hampeh gila bila buat stail penglipur lara macam ni. Sebenarnya saya ikut kawan saya pergi beli barang-barang untuk hantaran anak dia. Betul, kawan-kawan saya semuanya mak-mak aje kat sini. Tak banyak yang saya bantu sebab tak pandai dalam soal tu. Saya lebih banyak jadi pemerhati. Tapi bila tengok situasi macam tu, saya terfikir alangkah beruntungnya anak kawan saya tu sebab semua mak dia yang keluarkan duit, mak dia yang fikiran apa barang sedangkan si anak cuma tetapkan warna dan hanya menanti kat rumah semata-mata.

Tiba-tiba teringat pada mak saya yang tak segah kawan saya tu. Mak saya hanya sekolah sampai darjah 5. Tak berpeluang nak sambung belajar bila tanggungjawab pada adik-adik menuntut mak supaya berkorban. Dari cakap-cakap mak, saya dapat rasakan yang mak kecewa sebab dia pandai belajar tapi tak ada peluang. Dan saya dapat rasa yang mak memang bijak sebab bukan mudah nak kelentong dia. Hanya nasib mak tak sebaik nasib kawan saya tu. Seumur hidup mak tak pernah kerja, sedangkan kawan saya tu pegawai kerajaan.

Dan satu hal yang saya pasti, kalau ditakdirkan saya bertemu jodoh satu hari nanti, mak tak mungkin akan keluar beli barang untuk hantaran kahwin saya. Mak tak ada kemampuan bila hidup mak pun bergantung pada anak-anak. Tapi... biarpun mak tak mungkin akan keluarkan duit untuk hantaran saya nanti [kalau ada jodohlah, kalau tak ada tu tak adalah], saya tetap bersyukur sebab mak jadi mak saya. Bukannya orang lain. Biarpun mak cuma sekolah sampai darjah 5, saya tetap gembira sebab dia jadi mak saya. Sebabnya, dia seorang ibu yang sangat baik. Ibu yang jarang meminta apa-apa pada saya. Ibu yang tak pernah menyusahkan saya dan anak-anak yang lain. Ibu yang sentiasa tak lupa mendoakan anak-anak. Pendek kata, dialah segala-galanya bagi saya. Kekurangan dia, adalah kelebihan di mata saya. Sungguh tak tipu, siapa pun mak, saya tetap sayang gila pada mak, sama macam saya sayangkan abah. Moga seluruh rahmat ALLAH terlimpah atas kedua-dua orang tua saya tu.

- KALAU DAPAT KERETA NI MACAM BEST AJE! -

July 14, 2012

Berangan? Ya... memang berangan pun. Tapi kalau dengan cara berangan macam ni boleh buat kita senyum, kenapa tak kan? Lagipun, bukan selalu berangankan kereta macam ni ni. Selalu berangan perkara lain.

Sebenarnya saya bukan jenis gila kereta. Bawa kereta pun masih macam siput sedut, terkial-kial walaupun dah 2 tahun. Kadang-kadang masih kena hon, kadang-kadang saya hon orang bila saya rasa orang tu salah. Entah-entah, saya yang salah kan? Itu belum masuk part jalan raya. Sungguh, saya memang buta jalan! Kalau saya pergi tempat yang sama beberapa kali pun saya tetap akan sesat juga. Sebab tu sampai sekarang saya tak ke mana-mana sangat, takut sesat sampai ke Kelantan. Hahaha, penipu!

6 tahun dulu saya pernah sengih sampai ke telinga gara-gara dapat kereta yang duit mukanya dibayar dengan hasil titik peluh saya sendiri. Tapi cukup seminggu dapat kereta tu, saya terus tak nak bawa. Saya jadi fobia lepas langgar kaunter tiket dekat shopping complex. Sayang kan, kereta baru saya jahanamkan? Tapi nak buat macam mana, memang itu pun yang dah tertulis dalam lipatan takdir saya. Ceh... salahkan takdir lagi! Lepas kejadian tu, pegang aje stereng kereta, satu badan menggigil dan sudahnya, kereta tu abang saya yang terpaksa jaga.

Baru 2 tahun lepas bawa kereta tu datang KL, walaupun hari pertama bawa saya rasa macam nak terkeluar usus. Takut gila! Itu pun mujur juga rumah sewa saya kena pecah masuk oleh entah PENJAHAT mana. Yang syukurnya, satu sen pun milik saya tak terusik. Terima kasih sangat pada ALLAH. Sebab dah tak ada pilihan, dalam keadaan kaki tangan yang menggigil saya terpaksa bawa kereta tu pergi balai polis. Esoknya, saya cekalkan hati pergi kerja bawa kereta. Seramnya, Ya ALLAH... hanya DIA yang tahu betapa kalau boleh saya nak pasang driver. Cuma... tak cukup kaya aje!

Sekarang ni, alhamdulillah skill bawa kereta saya dah makin bagus. Dulu saya cukup takut kalau parking senget, sekarang saya dah tak peduli dah selagi masih dalam kotak. Sebenarnya nak atau tak, saya terpaksa bawa juga kereta sebab rumah yang saya duduk sekarang ni tak ada pengangkutan awam. Tapi mujur juga macam tu, kalau tak... mungkin sampai saat ni saya masih menumpang kereta orang. Dan tumpang kereta orang, aduhai... hidup menumpang memang tak best. Sedih sangat! Tak apalah... benda dah berlalu, bukan boleh pun kalau nak undur.

Dan kalaulah Volkswagen Beetle kat atas tu dapat kat saya, memanglah saya akan senyum tak henti-henti. Nampak comel aje kereta tu. Tapi soalnya siapa yang nak bagi kan? Nak beli sendiri, saya masih belum mampu dan tak tahu bila akan mampu. Jadi... kalau sesiapa yang rasa ada duit lebih, tolonglah... hadiahkan aku Volkswagen Beetle ni, kalau boleh warna hijau dan kuning. Kalau dapat, saya sanggup akan jadi tukang kebun yang paling baik dalam dunia ni. Hem... berangan teruslah, tak kena bayar kan? Hahahaha...

- CINTAKU TAK MAHAL [BAB 1] -

July 13, 2012

KASUT hitam di dalam rak putih dipandang lama. Penuh minat. Terkesan seperti ada yang tak kena, lantas kasut hitam itu ditarik keluar. Kemudian dibawa semakin dekat dengan matanya. Sah. Kasut yang semalam masih bertumit elok, masih cantik tersarung di sepasang kakinya, hari ini sudah tak lagi bertumit. Kalau sebelah saja hilang tumitnya, masih boleh diterima. Tapi kalau dua-dua belah tak ada, pasti ada yang tak kena.

Memandang kembali ke dalam rak yang hampir menyamai ketinggiannya, rengusan kasar terbit dari ulas bibir Nadra. Seraut wajah sinis terbayang-bayang di ruang matanya. Sakitnya hati bukan kepalang!

“Kasut aku, kasut kesayangan aku,” kata Nadra sebak bercampur geram. Tetap juga menatap kasut di tangan.

Beberapa saat kemudian, kasut yang sudah cacat itu diletakkan kembali ke dalam rak. Kasar saja tingkahnya kerana ketika ini dia membayangkan kasut kesayangannya itu melayang di atas kepala Idlan. Ini bukan kasut pertama yang dirosakkan si adik ipar bertuah itu tapi kasut keempat. Sejak tiga bulan lalu, dia asyik berulang-alik ke kedai kasut. Sedangkan dulu, dia hanya akan ke kedai kasut bila kasutnya sudah benar-benar tidak boleh digunakan kerana terlalu kerap dipakai.

Menolak kuat pintu rak yang langsung tak bersalah, dia berpusing dan mengatur langkah. Besar-besar langkahnya, malah anak-anak tangga dilangkau sekali dua. Dalam keadaan hati membara, dia jadi lupa bagaimana caranya hendak menjaga keselamatan. Bertembung dengan Raqib di anak tangga paling atas pun, dia buat-buat tidak nampak. Terus juga melangkah menuju ke bilik Idlan.

“Idlan!” Kuat nada suara Nadra memecahkan suasana pagi yang sedikit hening. Turun naik nafasnya kerana geram bercampur penat memanjat tangga. Lupa juga yang dia sepatutnya sudah bertolak ke pejabat. Sudah tak mampu lagi terus bersabar. Kalau asyik dia yang terkena, sampai bila dia boleh bertahan?

Idlan yang sedang mengulang kaji pelajaran di meja belajar, berpaling. Melihat wajah merah padam Nadra, dia tersenyum. Sinis. Yakin, usaha yang dibuat ketika semua orang sedang tidur malam tadi membuahkan hasil. Kalau tak, tak mungkin kakak iparnya itu muncul di muka pintu biliknya awal pagi begini. Siap dengan pakaian kerja. Sungguh, dia puas melihat wajah menyinga Nadra. Lagi wajah putih bersih itu memerah lagi darjah kepuasannya bertambah.

“Ya, ada apa-apa yang Idlan boleh tolong kakak pagi-pagi buta macam ni?” tanya Idlan dengan wajah selamba. Ada sindiran dalam nadanya, walaupun kelihatan seperti tak berperasaan.

“Idlan buat apa dengan kasut kakak?” tanya Nadra geram.

“Idlan buat apa?”

Semakin meningkat darjah kemarahan Nadra. Geram bila Idlan yang bersalah sengaja buat-buat tidak bersalah. Macam dia yang datang menyerang adik iparnya itu tanpa sebab yang kukuh. Macam mengganggu ketenteraman Idlan yang sedang belajar pun ada juga. Padahal kalau bukan sebab Idlan yang merosakkan kasutnya, dia pun tidak mahu mencari fasal dengan Idlan.

Kalaulah Idlan itu adik kandungnya, memang berbirat pipi itu ditampar. Biar lain kali Idlan lebih beringat. Lebih menghormati dia yang lebih tua, apalagi kini berpangkat kakak ipar. Bukannya adik ipar Idlan.

“Kenapa Idlan patahkan tumit kasut kakak? Kenapa Idlan rosakkan kasut kakak sekali lagi?”

Semakin sinis raut wajah Idlan. Namun jauh di sudut hati, dia rasa sangat-sangat gembira pagi ini. Kalau Nadra tak ada di hadapannya, mahu juga dia ketawa berguling-guling sebab geli hati. Dendamnya pada Nadra yang semalam kelihatan tenang selepas melakukan kesalahan padanya berbalas juga. Bukannya susah sangat pun hendak membangkitkan kemarahan isteri abangnya itu. Mudah saja. Tapi siapa yang suruh Nadra mencari fasal dengannya? Kan, dah susah sendiri!

“Kakak ada bukti ke nak tuduh Idlan ni? Kakak nampak ke Idlan yang patahkan tumit kasut kakak tu? Kalau kakak tak ada bukti, tak nampak... jangan nak tuduh-tuduh Idlan. Fitnah orang tu berdosalah kakak. Lebih besar daripada dosa membunuh orang,” kata Idlan dalam nada tenang. Sengaja mempamerkan tingkah begitu demi memancing kemarahan Nadra.

“Tak payah bukti pun kakak tahulah memang tu kerja Idlan! Bukannya sekali pun Idlan rosakkan kasut kakak.”

Dahi Idlan berkerut. Kemudian dia ketawa perlahan tapi tetap sinis nadanya. “Abang Raqib... kahwin dengan bomoh ke apa ni? Kalau bukan bomoh tak mungkin boleh tahu apa yang berlaku walaupun tak nampak.”

“Kakak tak main-main tahu!”

“Ada ke Idlan kata yang kakak tengah main-main? Ada Idlan sebut perkataan main-main ke tadi?”

“Apa yang Idlan tak puas hati sangat dengan kakak ni?” tanya Nadra masih dalam nada yang tinggi. Darjah kemarahannya masih belum surut. Mujur di rumah hanya ada dia, Idlan dan Raqib. Kalaulah ibu mentuanya ada, entah apa anggapan wanita itu padanya. Tentu malu dia kerana bertingkah seperti budak-budak sedangkan dia sudah terlalu dewasa. Malah sudah pun bergelar isteri Raqib sejak tiga bulan lalu.

Tapi soalnya, Idlan sudah keterlaluan. Makin dia diam, makin seronok saja adik Raqib itu membulinya. Kalau tak menyindirnya, habis barang-barangnya dirosakkan Idlan. Tak mustahil satu hari nanti kepalanya bakal dipijak Idlan.

“Idlan tak kata apa pun kan?”

“Berhenti berlakonlah Idlan! Kalau betul Idlan tak puas hati dengan kakak, bagi tahu aje terus terang. Tak payah nak serang-serang kakak dari belakang macam ni!” kata Nadra bagaikan menengking.

Memang tidak masuk akal, dia yang berusia 27 tahun bertengkar dengan remaja lelaki berumur 16 tahun. Sudahlah begitu, remaja tersebut adik iparnya sendiri. Adik kepada suaminya. Namun remaja yang satu ini lain daripada tingkah remaja yang lain. Nampak lembut pada wajah, tapi dalam hati sarat dengan dendam kesumat. Selagi tak dapat membalas rasa sakit hati padanya, selagi itulah akan dicuba sedaya upaya. Sedangkan ada masa-masanya, dia tidak sengaja dengan apa yang dilakukan. Malah dengan rendah hati memohon maaf kerana dia tahu dia bersalah.

Tak tahu di mana silapnya. Dia di mata Idlan, tak pernahnya betul. Setiap masa jika Idlan ada, pasti ada saja yang tidak diingini berlaku. Mujur adik iparnya itu hanya pulang ke rumah pada hujung minggu. Kalau Idlan tak duduk di asrama, mungkin ketika ini dia sudah pun tinggal di Tanjung Rambutan gara-gara tingkah Idlan.

“Sebenarnya kakak yang tak puas hati dengan Idlan kan? Sebab itu pagi-pagi macam ni pun sanggup serang Idlan. Padahal kakak dah tau dah yang Idlan tengah belajar,” provokasi Idlan bagaikan mengejek.

Terjegil mata Nadra. Idlan memang kurang ajar!

“Idlan yang rosakkan kasut kakak. Idlan yang patahkan tumit kasut kakak. Kalau tak, kakak pun tak naklah datang bilik Idlan ni. Idlan ingat kakak suka sangat ke kacau masa Idlan macam sekarang ni? Ingat kakak dah tak ada kerja lain ke?”

“Tapi kakak tak ada bukti kan? Kakak tak tahu ke kalau kat mahkamah, kakak tak boleh main tuduh-tuduh macam sekarang ni? Silap-silap kakak yang kena saman nanti.” Sekali lagi Idlan menunjukkan kepandaiannya. Sengaja mengenakan Nadra yang nampak terlalu beremosi hanya gara-gara sepasang kasut.

“Idlan sengaja nak balas dendam pada kakak sebab kakak terpijak kasut sukan Idlan semalam kan? Kakak bukannya sengaja pun. Berapa kali kakak nak cakap pada Idlan yang kakak terpijak? Kalau kakak tak minta maaf tak apa juga tapi kakak dah minta maaf banyak kali. Apa lagi yang Idlan nak dendamkan pada kakak?”

Penekanan pada perkataan terpijak, jelas kedengaran di telinga Idlan. Tapi dia tidak peduli lagi. Kasut itu, kasut kesayangannya. Kasut hadiah hari lahirnya yang diberikan Raqib tahun lepas. Sedikit kotor pun tidak pernah dibiarkan, apalagi kalau sudah tercap seluruh tapak kasut Nadra.

Mata Nadra bukannya sepet, malah masih terletak elok di tempat asal. Tidak cukup dengan itu, cermin mata pun kakak iparnya tidak pakai. Tapi tetap juga tak nampak kakinya yang mengenakan kasut sukan berdiri di sisi. Kalau kakak iparnya rabun atau buta, dia masih dapat menerimanya. Sudahnya kerana marah dengan apa yang berlaku, dia tidak jadi mengikut Raqib dan Nadra menonton wayang sedangkan dialah yang beria-ia mengajak Raqib menonton filem The Hobbit itu.

“Tuduh lagi! Entah-entah kakak sendiri yang rosakkan kasut tu tapi tak nak mengaku. Sengaja nak letakkan kesalahan pada Idlan. Bukannya Idlan tak tahu yang selama ini kakak selalu kenakan Idlan. Entah apa yang kakak tak puas hati sangat dengan Idlan, Idlan memang tak tahu. Dengki benar!” tuduh Idlan beria-ia. Tak mungkin dia mahu mengaku selepas melakukan kesalahan.

Aku yang tak puas hati dengan dia, atau dia yang tak puas hati dengan aku? Aku dengkikan dia?

Nadra sungguh-sungguh tidak dapat menerima tuduhan Idlan.

“Semalam kakak masih pakai kasut tu. Sikit pun tak rosak. Tapi hari ni dah rosak. Dua-dua belah tumit dia tak ada. Mana ada orang lain dalam rumah ni selain daripada kita berempat. Tak mungkin umi nak buat kerja tak berfaedah tu. Takkanlah abang Idlan pula yang pergi cabut dua-dua tumit kasut tu sedangkan dia yang belikan kasut tu untuk kakak?” marah Nadra panjang lebar.

Entah apa yang ada dalam hati Idlan, dia sungguh-sungguh hendak tahu. Tapi tetap juga gagal kerana Idlan tidak pernah berterus terang. Bukannya tak pernah ditanya, Idlan yang tak mahu menjawab. Sengaja mengelak bila diajak untuk berbicara dari hati ke hati supaya hubungan mereka lebih baik daripada sebelumnya. Kalau betul dia yang bersalah, dia akan cuba memperbaiki kesalahan yang dilakukan supaya tak berulang lagi.

Sejak dia masih bergelar kawan kepada Raqib, sampai sudah menjadi isteri, Idlan tak pernah suka padanya. Hanya, dulu tidaklah teruk sangat. Malah tahap tidak suka Idlan semakin meningkat sebaik saja dia berpindah ke rumah ini. Rumah yang sudah dianggap sebagai syurganya kerana di sinilah dunianya. Dia mahu menjadi isteri dan menantu yang baik. Kalau boleh, mahu juga menjadi kakak ipar yang baik.

Cumanya, bagaimana dia hendak menjadi kakak ipar yang baik kalau Idlan tak pernah menerima dia sebagai kakak ipar? Tak pernah memberikan peluang padanya untuk membuktikan yang dia bukan hanya boleh menjadi kakak ipar semata-mata, malah dia boleh juga menjadi kawan yang baik buat adik iparnya.

Idlan terdiam. Kenyataan yang kasut hitam itu dibeli Raqib, menyakitkan hatinya. Kalau dia tahu abangnya yang beli, awal-awal dulu kasut itu dirosakkan biar kakak iparnya membeli kasut baru.

“Idlan tahu tak, kakak sayangkan kasut tu sebab itu hadiah daripada abang Idlan. Kalau betul Idlan nak balas dendam pada kakak, Idlan rosakkan barang-barang kakak yang lain. Tapi... bukan kasut tu,” kata Nadra. Kali ini nada suaranya merendah sendiri. Dia berundur ke belakang dan tersandar di dinding. Keluhan kesal dilepaskan perlahan. Berterusan menatap muka tanpa perasaan milik Idlan, dia lelah sendiri. Sedih kerana sejak menjadi isteri Raqib, hanya dia yang berusaha menjaga hati dan perasaan Idlan sedangkan adik iparnya itu tetap juga tidak berubah. Hendak melemparkan senyuman padanya pun payah, jauh sekali melayan kata-katanya.

Dia buntu. Tidak tahu cara apa lagi yang harus dilakukan demi merapatkan hubungan mereka yang berjarak.

“Idlan tak nak tahu!” kata Idlan keras.

“Idlan kena tahu supaya lain kali Idlan tak bertindak yang bukan-bukan!” Mendengar nada suara Idlan yang tadinya selamba berubah keras, darahnya naik kembali.

“Idlan nak buat apa pun itu Idlan punya suka. Kakak tak ada hak nak larang Idlan sebab ni rumah umi Idlan. Kakak bukannya siapa-siapa di sini. Orang luar!”

Rumah umi? Bukan siapa-siapa di sini? Orang luar?

Mata Nadra berkaca tiba-tiba dengan kata-kata itu. Tidak menyangka Idlan tergamak menggores hatinya sampai begitu sekali. Begitukah anggapan Idlan padanya selama ini? Hanya orang luar! Padahal, dia awal-awal lagi sudah mengisytiharkan pada dirinya yang Idlan itu adiknya. Bukan adik ipar tapi adik yang tarafnya menyamai adik kandung. Terlanjur dia sendiri tidak punya adik. Yang dia ada hanyalah Fawwaz semata-mata. Hanya alongnya itu saja yang dia ada sekarang ini. Tapi Idlan? Adik Raqib itu hanya menganggap dirinya bukan siapa-siapa.

“Kakak... kakak ipar Idlan. Bukan orang luar,” kata Nadra perlahan. Hampir-hampir tidak kedengaran. Hatinya yang tadinya sarat dengan kemarahan, bertukar sedih. Merenung dalam-dalam ke muka Idlan, dia menggeleng kesal. Kemudian dia berpaling. Melihat sekujur tubuh Raqib berdiri di muka pintu, sedihnya jadi berkali-kali ganda. Terasa tewas walaupun belum habis berjuang.

“Iha dah kata yang dia tak pernah terima Iha dalam keluarga abang. Tapi... abang tak pernah percaya. Abang kata Iha suka anggap yang bukan-bukan. Abang kata Iha suka besar-besarkan keadaan. Sekarang ni abang dah dengar sendiri kan apa Idlan kata tadi?”

Dia terus berlalu. Hatinya luruh berkeping-keping.

“Iha!” Raqib memanggil, namun Nadra langsung tidak berpaling.

- SELAMAT HARI LAHIR -

July 12, 2012

12 JULAI 2012 - "SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-11 TAHUN. MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, JADI ANAK, ADIK DAN KAKAK YANG BAIK DAN HENDAKNYA SELURUH RAHMAT ALLAH AKAN JATUH PADA NURUL HANNAH"

PESANAN PENUH KASIH SAYANG PADA ADIK – Sorry ya sebab tahun ni Mak Tam tak ada membebel panjang-panjang macam tahun lepas sebab tahun ni tahun malas Mak Tam. Tapi nak bagi tahu yang Mak Tam SAYANG SANGAT kat Adik. Jadi budak pandai ya, sayang...

- GILA BUKAN BIDADARI -

July 11, 2012

Semalam tengok Bukan Bidadari untuk episod 4, lepas terlepas episod 2 gara-gara tengok Masterchef Selebriti [tak rajin nak tengok kat Tonton]. Penyakit lupa-lupa datang berkunjung. Mujur juga episod 3, minggu lepas selamat saya tengok. Awal-awal dah ingatkan diri. Maka, bertukar-tukar channellah saya antara TV3 dan Astro Ria.

Rasa-rasanya, saya akan ikut drama ni sampai ke sudah kalau tak ada aral sebab dah terjebak, sama macam Vanila Coklat dan 3 Janji. Kenapa? Sebab awal-awal dulu, drama ni ada iras-iras novel saya, TANPAMU AKU RINDU. Itu hanya untuk episod 1 aje. Semakin jauh Bukan Bidadari pergi, semakin iras-iras itu semakin tak ada. Semakin saya tak nampak bayangan Zuyyin Amani ada pada Inas yang dilakonkan Nad Zainal. Tapi saya tetap juga nak tengok. Alang-alang dah menyeluk pekasam kan... biarlah seluk sampai ke lengan. Sebab yang lain kenapa saya nak terus ikut drama ni, sebab tajuknya sangat-sangat saya suka, BUKAN BIDADARI. Menarik, kan?

Apa yang saya harap, pada akhirnya nanti... Bukan Bidadari ni tak akan menghampakan saya macam sesetengah drama yang pernah saya lihat. Maksud tak menghampakan, janganlah endingnya mengecewakan. Tapi nak tahu menghampakan atau tidak, kenalah saya tengok sampai ke sudah. Persoalannya, bila asyik tengok TV, bila manuskrip novel saya yang baru nak bergerak? Alahai, alahai Encik Mood, sayang...

- PANGGILAN HANGIT! -

July 10, 2012

Tak tahu idea Panggilan Hangit di Hot FM tu datang daripada siapa. Tapi terus terang kata, setiap hari memang saya sentiasa ketawa sorang-sorang dalam kereta sebab geli hati. Ada-ada aje idea Fara Fauzana, Faizal Ismail dan AG hendak mengenakan orang. Kadang-kadang tak adalah keterlaluan sangat, tapi kadang-kadang sangat keterlaluan sampai saya sendiri rasa tak sampai hati nak dengar.

Sekarang ni, diadakan Panggilan Hangit [Versus] yang dibuat antara mereka bertiga. Siapa yang dapat paling banyak ‘LIKE’, merekalah yang akan menang. Konsep tu saya tak berapa faham dan kalau tak faham pun, rasanya tak apa juga. Yang saya tahu, saya hanya mendengar semata-mata. Malah, ada masa-masanya mulut saya membebel-bebel juga mengutuk mereka bertiga. Macam manalah mereka boleh mempermainkan orang sampai macam tu sekali, saya sendiri tak tahu. Saya fikir, untuk buat panggilan-panggilan sebegitu, seseorang itu harus memiliki hati yang sangat-sangat kering. Kiranya, kalau ada ribut taufan atau Tsunami pun mereka tetap akan bertahan. Yang rasa-rasa ada hati serupa agar-agar, bawa-bawalah batalkan niat yang ada sebab korang tak akan berjaya. Termasuklah saya ni.

Tapi nak disalahkan mereka bertiga pun tak boleh juga. Mereka membuat panggilan berdasarkan permintaan. Maksudnya, hendak mengenakan Si A, maklumat didapatkan daripada Si B dan atas permintaan Si B juga. Jadinya, kalau Si A hendak marah atau mengamuk, marah atau mengamuklah pada Si B. Kalau ada rasa-rasa nak membelasah lepas dapat Panggilan Hangit tu, belasah ajelah Si B. Tak pun... lepas aje tahu korang dapat Panggilan Hangit, korang boleh aje terus memaki-hamun Fara Fauzana, Faizal Ismail atau AG tu. Mereka tentu tak akan balas maki-hamun korang tu. Mereka akan ketawa-ketawa macam yang selalu saya dengar.

Dan dalam banyak-banyak Panggilan Hangit yang saya dengar selama ni, Panggilan hangit semalam yang buat saya betul-betul tak sampai hati nak dengar. Pertama kali, saya terpaksa perlahankan volume radio kereta sebab tak sanggup nak dengar. Selama ni saya tak pernah peduli pun sebab bukannya saya yang terkena. Tapi semalam, memang saya tak sampai hati. Kisahnya tentang seorang tunang [perempuan] yang didapati mencuri perfume mahal. FBI telefon tunang perempuan tu untuk maklumkan tentang itu. Si lelaki yang rasa sedih dan terperanjat, cuba meyakinkan FBI supaya tak membawa kes kecurian tersebut ke pihak berkuasa. Saya lihat, dia berusaha sedaya mungkin cuba untuk menyelesaikan masalah yang datang dengan cara yang baik. Tentu dia lakukan itu kerana rasa sayangnya. Sampai satu tahap bila usahanya gagal, dia menitiskan air mata dan ketika tu saya memang dah tak boleh dengar lagi. Tapi satu pertanyaannya pada si perempuan yang saya ingat-ingat lupa, “Kalau tak ada duit, kenapa nak dapatkan perfume tu?”

Suara si lelaki tu kedengaran tenang aje. Langsung tak marah-marah macam sesetengah orang bila permintaannya yang berbaur rayuan itu seperti tak dilayan. Saya fikir, dia seorang yang sangat penyabar. Kalau tak, takkanlah dia tak marah-marah kan? Nak memaki-hamun jauh sekali. Adoilah... kadang-kadang saya fikir Panggilan Hangit tu patut dihentikan walaupun saya selalu ketawa bila mendengar. Sebabnya, macam memalukan pun ada juga, menyakitkan hati pun ya juga. Tapi... nak disalahkan siapa bila suatu ketika Hot FM pernah berniat untuk menghentikan Panggilan Hangit tu, sedangkan pendengar bermati-matian mahu dikekalkan. Jadinya, nak buat macam mana kan? Layan ajelah kot. Cumanya... kalau boleh dihentikan, hentikan ajelah... kesianlah! ;-)

- BENARKAH SEORANG PENULIS NOVEL ITU HARUS KAYA? -

July 9, 2012

Hari ni, seorang kawan membawa kawan dia ke pejabat. Sebab dia duduk di tepi saya, maka dia kenalkan saya pada kawan dia tu. Adat orang baru berjumpa, memang macam tu selalunya. Saya pun macam biasa, buat gila-gila. Senyum, ketawa dan berbual-bual sikit-sikit. Lagipun bukan hanya ada saya, ada lagi 2 orang kawan yang lain di tempat kami. Tiba-tiba;

Kata kawan saya pada kawan dia tu, “Nilah penulis novel KASIH ANTARA KITA. Cerita dia jadi drama kat TV3. Tajuk CINTA BUAT EMELDA.”

Kata kawan dia, “Ya ke? Sedap cerita tu. Tapi... saya ingatkan penulis drama tu kaya raya sebab dapat royalti banyak.”

Alamak! Sampai setakat tu, saya dah tak boleh senyum atau ketawa. Manis pada muka tiba-tiba aje bertukar rasa dalam sekelip mata. Kelat tu tak, malu tu ya. Siapalah pula yang kata seorang ALEYA ANEESA tu harus KAYA? Kalau seorang ALEYA ANEESA tu KAYA, maka saya tak perlu lagi bersusah payah cari rezeki kat ‘sini’. Lebih baik orang malas macam saya ni hanya duduk goyang-goyang kaki kat rumah. Tengok-tengok TV sampai muak, tidur-tidur ayam sampai mata lebam dan menulis-nulis sampai jari-jemari rasa kaku tak boleh gerak.

Diarah-arah itu dan ini sangatlah tak best. Rasa macam nak mengamuk pun ada bila kita rasa tak nak buat apa yang orang suruh buat. Tapi saya tetap bertahan. Kenapa? Sebab saya tak kaya, belum cukup kaya, atau... sampai bila-bila pun tak akan jadi kaya. Jadi, kat mana timbulnya soal ‘ingatkan penulis drama tu kaya’? Malah, kadang-kadang saya rasa penat dengan segala yang berlegar-legar di sekitar kerja saya, pun tahan juga. Kenapa? Sebab saya tahu saya tak boleh jadi manusia yang pentingkan diri. Selain diri saya, masih ada tanggungjawab-tanggungjawab lain yang melibatkan duit yang harus saya pikul.

Saya bujang, ya! Tapi saya bujang yang bukan hanya boleh fikirkan diri sendiri. Abah saya nelayan dan semestinya tak ada duit pencen, tak ada duit EPF. Mak saya suri rumah. Jadinya, apa yang boleh mereka sandarkan untuk teruskan hidup? Tak ada! Kecuali, anak yang bernama MARWATI WAHAB a.k.a. ALEYA ANEESA. Bukan juga mereka tak ada anak-anak lain, ada... ada lagi 5 orang. Tapi yang 5 orang itu ada tanggungjawab pada keluarga masing-masing. Mereka hanya boleh bantu setakat yang mereka mampu, apalagi mereka bukan berjawatan tinggi yang membolehkan mereka dapat gaji kebabo. Selebihnya, sayalah yang jadi terajunya. Kata abah saya, saya BOS KECIL dia. Lawak kan? Kuikuikui...

Saya tak tahu siapa yang kata penulis novel itu kaya? Mungkin hanya andaian semata-mata dengan tujuan saya bagi tahu berapa jumlah saya dapat setiap tahun hasil daripada bidang penulisan saya. Mungkin juga hanya dengar cakap-cakap orang yang tak pasti kesahihannya kerana memang lumrah manusia mendengar cakap-cakap orang tanpa menyelidik mana yang benar dan mana yang salah. Kalau penulis luar negara, mungkinlah. Itu pun saya tak pasti ada beberapa orang penulis luar negara yang benar-benar kaya raya. Tapi saya akui, ada jugalah penulis kita yang dapat agak lumayan daripada orang lain. Cuma jumlahnya berapa, saya tak tahu. Kadang-kadang orang kata, lebih daripada 1 pun dah boleh dikira banyak. Kadang-kadang, juta-juta lemon pun orang kata tak banyak sebab bukit pun kalau lama-lama ditarah, susut juga jadinya. Jadinya, skala mana yang patut saya ukur untuk menterjemahkan makna banyak dan sikit itu?

Sebenarnya, bila seorang dua mendapat lebih, kita tak boleh menganggap semua penulis mendapat angka yang sama. Sebabnya, apa yang kita dapat bergantung pada apa yang kita beri. Maknanya, banyak jumlah buku kita laku, maka banyak jugalah yang bakal kita dapat. Begitu juga sebaliknya. Tak boleh pukul rata.

Dan kaya itu, semua orang nak termasuk saya yang ada masa-masanya macam nak baring atas duit aje. Tapi harus juga kita ingat bahawa kaya itu ujian. Siapa tahu tanpa kita sedar, kaya itulah yang akan mengheret kita ke jalan yang tak patut kita ikut. Natijahnya, kita patut menjawab bila sampai masanya. Saya sendiri, kalau pun tak kaya janganlah hendaknya susah kerana mahu atau tidak, hidup hari ini menuntut kita untuk punya apa yang patut kita punya kerana dunia sememangnya kejam. Maka, untuk tak dipandang remah, haruslah ada sesuatu untuk mempertahankan diri. Nak masuk toilet pun kena bayar 30 sen, bai...

Dan lagi, saya hanya seorang ALEYA ANEESA, seorang penulis cabuk yang kadang-kadang karyanya disukai orang dan kadang-kadang pula gagal memenuhi selera orang, bukannya seorang penyanyi bergelar SITI NURHALIZA atau yang sewaktu dengannya, ;-)

- BUKAN REVIEW PUN, SEKADAR PANDANGAN -

July 7, 2012

Kartun? Secara jujurnya saya bukan kaki kartun, apalagi sampai nak tengok cerita kartun kat panggung wayang. Terasa macam membuang duit aje. Baiklah tengok kat rumah! Tapi bila memang dah tak ada cerita nak tengok, saya pejam mata dan pilih. Sedap tak sedap, belakang kira asalkan tiket dah ada di tangan. Sebenarnya, ada aje cerita lain tapi sebab nak tengok dua cerita sekali gus, jadi kenalah sesuai dengan masa.

Cerita ni di mata saya, sangat comel. Saya sukakan rambut watak utama yang diberi nama Merida yang keriting, berserabut dan berwarna merah. Tapi saya lebih suka karakter yang dibawa. Dia seorang yang berani dan keras kepala, malah... dia tahu apa yang dia nak. Berani berterus terang kerana dia tahu dia tak mahu apa yang diatur untuknya. Dalam hidup ni, berapa orang macam dia? Saya juga sukakan, mak Merida yang tegas demi kebaikan anaknya. Ayah Merida yang sangat kelakar dan adik-adik Merida yang sangat-sangat comel sampai ada rasa nak picit-picit. Masa mereka jadi anak beruang, terbit rasa nak bela anak beruang macam mereka bertiga. Lebih daripada itu, saya suka jalan cerita yang disampaikan. Meskipun kartun, ada pengajaran tersendiri. Betapa marahnya seorang ibu, melihat anak disakiti, dia tetap mempertahankan anak yang menjadi punca kemarahannya.

Filem ni rasa nak tengok dan tak tengok sama banyak. Kalau dapat tengok ok, tak dapat tengok pun saya tak akan meraung berguling-guling macam perempuan hilang perasaan. Apa yang bestnya cerita ni? Entah! Apa yang tak best? Entah juga! Cuma yang pasti, kisahnya agak menarik juga, ditambah dengan perkataan mengerikan ada di dalamnya. Dan selebihnya, saya suka tengok Dominic Cooper yang pegang watak Henry Sturgess yang jadi mentor kepada Abraham Lincoln. Kata ‘Mek’ dia suka tengok raut muka Si Henry tu, saya pun kata perkara yang sama. Memang sedap mata memandang. Alamak, terkena penyakit gatal-gatallah pulak saya dan ‘Mek’.

Terus terang kata, saya tak tahu pun filem ni wujud kat alam maya ni. Masa nak tengok Si Mael Lambong, saya nampak poster. Nampak ada muka Zizan Razak dan Awie, hati saya menggeletek-geletek nak tengok. Tak tahu kenapa, saya memang suka sangat kalau Awie berlakon cerita komedi. Bagi saya, dia sangat kelakar, apalagi bila digandingkan dengan Zizan. Kalau dia berlakon ala-ala Sembilu, mungkin saya tak akan tengok. Cerita-cerita macam tu dah tak jadi kegilaan saya lagi. Zaman ala-ala jiwang karat dah tak sesuai untuk saya, saya dah tinggalkan lama dulu dah.

Dan Baik Giler ni, bagi saya... isi ceritanya ada. Hanya tak dikembangkan dengan baik, entah atas alasan apa. Kalau benar nak tekankan tentang rasa fobia lepas kejadian yang menimpa adik Afik yang meninggal depan dia akibat dilanggar kereta, tekankan sungguh-sungguh rasa fobia itu. Bukannya sedut sana sikit, sedut sini sikit dan kemudiannya digabungkan menjadi sebuah kisah yang pada akhirnya, bila saya keluar panggung wayang, saya rasa blur sendiri. Saya sebenarnya tengok filem apa tadi? Kenapa filem tu jadi macam tu?

Dalam zaman yang dah caca-marba ni, Afik tak dapat bezakan orang puji dengan orang keji? Tak ke pelik tu? Dia bukan orang tua, dia orang muda yang berjawatan tinggi pula tu. Seharusnya, dia tahu bahawa bila orang kata dia kat dia, “Awak ni baik gila”, itu bermakna orang tu puji dia. Sebaliknya dia beranggapan orang keji dia kerana dia baru ‘baik daripada gila’. Macam tak logik sangat. Ada ke siap rujuk Kamus Dewan untuk menterjemahkan makna tu. Dalam Kamus Dewan tak adalah makna macam tu. Malah, siap jumpa pakar bahasa bagai barulah boleh nak faham. Adoilah... makna macam tu hanya ada pada anak-anak zaman sekarang. Itu belum masuk lagi dengan heroin, kenapa mesti dia? Dialognya sebiji-sebiji macam ada skrip depan mata. Tapi saya masih bertahan menonton memandangkan saya ada lagi satu filem nak tengok, walaupun mulut saya dah merungut-rungut. Kalau tak, mungkin suku perjalanan cerita saya dah angkat kaki sambil tak paling lagi. Kisah jenis apa ni? Kenapa mesti ada kisah sebegini? Kuikuikui...

- JANGAN AMBIL PADANG KAMI -

July 6, 2012

Ya... kaki drama datang lagi. Sayalah tu! Kalau bukan saya, buat apa nak menulis kat sini kan? Dah sah-sahlah ni ‘rumah’ saya. Tentu aje nak bercerita fasal saya dan siapa-siapa atau apa-apa aje yang berkaitan dengan saya. Tapi sesekali, ada jugalah saya menconteng tentang orang lain yang langsung tak ada kaitan dengan saya. Kalau ada pertaliannya pun, saya sekadar pemerhati tegar.

Jangan Ambil Padang Kami [JAPK]... ini salah satu drama kegemaran saya. Apa yang ada pada drama ni? Kalau dilihat pada para pelakon, setakat Beto Kusyairy, Izreen, Elfira Loy, Naim Danial, Syazwan Zulkifli, Shera Ayob, Izzue Islam dan beberapa pelakon lain... apalah hebat sangat kan? Memanglah tak ada hebat mana pun. Lainlah kalau ada Aaron Aziz, Lisa Surihani, Maya Karin, Yana Samsudin, Shaheizy Sam dan yang lain-lain. Tapi... di mata saya, mereka tetap ada keistimewaan dengan cara mereka tersendiri. Tak perlu jadi orang lain kan untuk rasa diri istimewa? Cukup hanya jadi diri sendiri.

JAPK... hanya sebuah kisah biasa untuk orang dengan pakej yang juga biasa-biasa juga, macam saya juga. Bukan kisah golongan datuk-datin ataupun tengku-mak engku. Ia berkisar tentang perjuangan dan kisah hidup 7 sahabat [Zain, Nik, Arai, Murat, Mai, Juju dan Akmar] yang berusaha untuk menyelamatkan sebuah padang bola di kawasan flat mereka daripada dibangunkan oleh peneroka.

Sejak tahu tentang berita itu, mereka bertujuh sepakat mempertahankan padang tersebut. Sanggup juga turun naik pejabat Dewan Bandar raya Kuala Lumpur [DBKL] dan berjumpa sesiapa saja demi padang kesayangan mereka itu. Bagi mereka, padang itu hak mereka kerana mereka membesar di situ, walaupun hakikatnya mereka langsung tak berhak kerana tanah tersebut bukan milik mereka.

Mahukan tanah yang bukan milik kita, rasa-rasanya macam tak patut, kan? Dah sah-sah bukan hak kita! Tapi... agaknya kalau kita berada di tempat mereka pun kita akan merasakan perkara yang sama. Yalah, hari-hari bermain di padang yang sama tanpa ada gangguan, tiba-tiba aje dah tak boleh main. Kalau saya, saya pun marah walaupun saya sebenarnya tak layak pun untuk rasa marah.

Tapi itulah mereka bertiga. Saya sebagai penonton di luar TV, sejujurnya kagum dengan semangat mereka. Memanglah hanya sebuah cerita rekaan yang tak ada kaitan dengan yang hidup dan mati. Tapi saya sukakan semangat dan usaha mereka. Mereka sanggup bermati-matian demi mempertahankan apa yang mereka mahu. Dalam pada itu, mereka jatuh kemudian bangkit kembali, kemudian jatuh bangkit lagi dan begitulah sampai ke sudah.

Kisah seorang demi seorang antara mereka bertujuh yang disentuh, buat perjalanan hidup mereka jadi lebih menarik. Setiap seorang daripada mereka, ada sikap dan kisah tersendiri. Mai dengan kisah sosialnya sebelum datang ke flat Seri Bayu, Arai dengan sikap suka berjudi dia, Akmar dengan perangai tomboi dia, Juju dengan sikap dan gayanya yang unik dan ala-ala gedik, Nik dengan minat yang terlalu mendalam dalam bidang bola sepak, Murat yang kecil-kecil cili padi dan Zain yang selalu tenang dan selalu memainkan peranan sebagai seorang ketua. Pendek kata, setiap mereka ada kisah lalu yang tersendiri. Tidak ketinggalan kisah penduduk yang lain, ada orang gila, ada pencuri baju dalam, bertenet di tempat sunyi dan macam-macam lagi. Malah dengan kisah tersebutlah hubungan mereka jadi lebih akrab.

Sepanjang menonton JAPK ni, saya ada masa-masanya rasa gembira sangat sampai tersenyum-senyum dengan aksi lucu mereka. Ada masa-masanya berkerut dahi sebab rasa pelik dan sangatlah tak patut apa yang dah mereka buat. Ada masa-masanya merungut-rungut sebab rasa tak puas hati. Lebih-lebih lagi dengan sikap ahli JKK flat yang merasakan perjuangan mereka bertujuh sangatlah tak berbaloi-baloi. Bahkan, ada macam-macam lagi reaksi yang dah saya pamerkan.

Bagi saya JAPK merupakan salah sebuah drama yang agak menarik kerana di dalamnya ada persahabatan, ada semangat perjuangan, ada persatuan yang menguji rasa tanggungjawab, soal kemiskinan, soal gejala sosial dan ada macam-macam lagi yang boleh dijadikan pengajaran dalam hidup kita. Dan kesimpulannya, kalau rasa apa yang dipaparkan boleh dijadikan panduan, capai, pegang, genggam erat-erat dan bertindaklah seperti mereka kalau itu untuk kebaikan. Kalau tak, pandang dan jangan jadi seperti mereka ;-)

- HIDUP NI TAK MUDAH, TAPI TAK JUGA SUSAH -

July 5, 2012

1] Aktiviti : Seminar Sejarah Perlembagaan Malaysia : ‘Di Antara Sejarah & Tuntutan Semasa’

2] Tempat : Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman Putera, Jalan Sato’ Onn, Kuala Lumpur.

3] Masa : 9.00 pagi – 40.30 petang.

4] Tindakan : Puan Marwati, puan dicalonkan menghadiri seminar ini. Terima kasih.

Item No. 1, No. 2, No. 3! Sungguh, saya langsung tak ada masalah. Bahkan kalau ada sesiapa aje dalam dunia ni nak buat seminar, bengkel, kursus, wacana atau apa saja yang sewaktu dengannya, selagi sesuatu itu berkaitan dengan ilmu pengetahuan, memang saya alu-alukan dengan penuh kasih sayang.

Tapi... melihat pada item No. 4, rasa lemah mula mengambil tempat. Adoilah... saya ni memang teruk sikit. Bukanlah saya tak suka menambahkan ilmu pengetahuan. Tentulah saya suka sebab saya ni manusia yang tak berapa nak berilmu walaupun sepanjang hidup tak henti-henti belajar. Tapi tidaklah secara formal sebab pelajaran secara formal saya dapat kali terakhir pada tahun 2003. Cumanya, nak keluar daripada ‘sini’ pada hari bekerja, memanglah saya sangat-sangat tak rela. Ada begitu banyak yang nak saya buat. Cumanya, bila namanya arahan.. okey, saya pergi ajelah tanpa banyak bantahan. Saya siapa kan? Kalau dah orang ‘bawah’ tu buat ajelah cara orang ‘bawah’.

Dengan bantuan seorang adik baik hati, bergeraklah saya ke sana tepat pukul 8.00 pagi. Mujur ada seorang kawan di sana. Maka, dengan dialah saya duduk. Kalau dia tak ada, mahu juga saya mati kutu. Itu pun, penceramah buka aje mulut, seperti biasa mata saya pun tertutup rapat. Entahlah, saya ni pantang orang berceramah, mulalah mata tertutup rapat. Memang mata saya tak boleh berkompromi langsung. Jadinya, tak hairanlah bila cikgu saya tegur, katanya virus dah masuk dalam kepala saya sampai saya mudah mengantuk. Apalagi, line U-mobile macam hidup segan mati tak mahu ketika di sana. Pelik betul, tengah-tengah bandar line tu boleh pulak macam nak tak nak aje adanya.

Dapat SMS daripada seorang kakak, mata saya kembali segar. Kemudian berbual dengan kawan di sebelah, bercerita tentang hidup dan kehidupan. Tentang mulut-mulut orang yang ada masa-masanya seperti tak berhati dan berperasaan. Saya tahu, dia ada kesusahan sama seperti saya. Berkahwin 6 tahun tapi tak ada anak dengan tak berkahwin pada usia dah mencecah ke bongkok tiga, ‘kesusahannya’ tetap sama, kan? Masalahnya tetap sama, kan? Mulut orang!

Benar kata dia, dalam kes saya dan dia, ada dua jenis manusia. Jenis pertama, bertanya tanpa ada maksud apa-apa. Pertanyaan jenis ini disertakan dengan nada dan intonasi yang di dalamnya tak sinis dan tak berbaur ejekan. Memang sekadar bertanya semata-mata. Malah langsung tak mengundang rasa rendah diri dan kecil hati. Tak seperti pertanyaan jenis kedua yang niatnya memang seperti menghina. Mungkin, mungkin juga tak berniat nak menghina. Tapi sebab intonasi dan nadanya yang berlainan, tetap juga kedengaran seperti hinaan. Kemudian, perlahan-lahan rasa terhina itu bertukar menjadi rasa marah, geram, kecil hati dan serba kurang.

Tapi... inilah hidup dan kehidupan. Mengawal atau hendak menutup mulut manusia bukannya mudah seperti menutup mulut tempayan. Itu pun, di banyak rumah sekarang ini, tempayan pun tak ada. Kebanyakannya dah digantikan dengan bekas lain yang tak memerlukan tenaga yang banyak ketika mengangkat. Untuk kakak tu, bersabar dan bertabahlah. Insya-ALLAH rezeki dia untuk punya anak akan ada suatu hari nanti. Saya doakan yang baik-baik untuk dia, ;-)

- AGAR-AGAR HATI -

N3 apa ni? Adakah saya sedang mencipta satu resipi baru yang berasaskan hati? Kalau benar, hati lembu, hati ayam, atau hati manusia yang jadi pilihan saya sekarang ni? Tidak! Semua teka-tekaan itu tak benar sama sekali kerana sekarang ni saya tak berada dalam mood memasak. Mood masak-masak kek dan agar-agar dah lama saya tinggalkan. Saya bagi mood-mood itu cuti kerana saya mengharapkan mood tulis-tulis datang, walaupun belum datang sepenuhnya lagi. Bila mood-mood yang disuruh pergi tu saya panggil balik, itulah masanya mood main masak-masak saya datang kembali. Masa tu, saya akan jadi manusia paling rajin membeli buku resipi yang pembeliannya dibuat secara bermusim, mengikut mood saya. Tak pun saya akan jadi peminat setia Encik Google demi mencari yang dinamakan resipi.

Apa maksudnya N3 saya hari ni? Sungguh, saya sendiri tak begitu jelas apa yang nak saya tuliskan ketika ini. Hanya, saya terasa seperti nak menulis sesuatu tentang HATI. Hati yang tentu saja merujuk kepada hati manusia, bukannya hati yang lain selain daripada hati itu semata-mata.

Saya tahu, setiap orang di dalam dunia ni dibekalkan hati yang tak serupa. Ada yang hatinya sekeras kerikil, ada yang sedang-sedang dan ada juga yang memiliki hati seperti agar-agar. Sebab itu, banyak kejadian-kejadian yang tak diingini dan yang diingini berlaku.

Saya sendiri, rasa-rasanya... memiliki semua jenis hati itu. Ada masa-masanya, hati saya sekeras kerikil. Itu terjadi bila keputusan sudah dibuat dan saya merasakan apa yang saya buat itu betul, walaupun kadang-kadang betul yang saya rasa sebenarnya tak betul pada orang lain. Ada masa-masanya, hati saya sedang-sedang aje. Itu berlaku bila peluang betul dan salah, sama besar kuasanya. Kiranya, betul atau salah tindakan yang saya buat, kesan dan akibatnya tetap sama. Lain ketikanya pula, hati saya akan jadi selembik agar-agar. Keadaan ini terjadi bila melibatkan rasa simpati dan kasihan.

Antara ketiga-tiga jenis hati itu, saya sangat tak berharap hati saya akan jadi seperti agar-agar. Sebabnya, kadang-kadang saya tahu apa yang saya buat itu tak patut saya buat. Saya seperti meletakkan diri saya ke jurang yang saya sendiri tahu sangat berbahaya. Rasa tak rela, tapi hati terus menekan. Bahkan saya turut menjerumuskan pihak yang satu lagi ke jurang yang lebih dalam daripada diri saya sendiri. Tapi hati agar-agar itu, tetap juga mahu bertahan kerana rasa kasihan dan simpati, sampai akhirnya saya tahu saya dah tak boleh bertahan. Namun akibat sudah terlajak ke hadapan, mahu berpatah kembali... saya seperti tak sanggup, rasanya lebih sukar daripada memanjat pokok, kemudian terjun daripada pokok tersebut. Bimbang saya hanya akan memburukkan keadaan. Sepertinya, saya menambahkan kerosakan pada keadaan yang dah sedia rosak.

Namun, keputusan perlu juga dibuat. Timbang tara harus dilakukan demi kebaikan, setidak-tidaknya untuk diri sendiri. Bukan mahu jadi manusia pentingkan diri sendiri. Tak. Hanya, soal hidup dan kehidupan bukan boleh dipandang enteng. Tak mahu gara-gara terdesak, semua yang melintas depan mata, harus dicekup. Tak mungkin kerana saya bukannya manusia nekad yang tak ada tekad.

Untuk itu, saya selalu berharap saya tak ada hati agar-agar ini. Tapi kalau tak ada, saya bimbang pula saya jadi manusia yang tak ada rasa kemanusiaan. Itu pun saya tak mahu juga kerana manusia yang tak ada rasa kemanusiaan rasa-rasanya tak patut dipanggil manusia, sebaliknya lebih elok kalau dipanggil tunggul mati.

Apa lagi ya yang nak saya kisahkan? Tak tahulah, walaupun saya terasa ada begitu banyak yang nak saya kisahkan. Tiba-tiba otak saya yang biasanya tak berhenti bekerja, jadi stuck. Jadinya, saya berhenti dulu. Kalau rajin, nanti-nanti saya membebel lagi, ;-)

- KEHILANGAN ...-

July 4, 2012

Saya percaya dalam dunia, semua orang pernah rasa kehilangan. Mungkin hilang barang-barang yang sangat disayangi, hilang pangkat yang selama ini dikejar-kejar, hilang darjat yang dibangga-banggakan, hilang status yang dipegang, hilang harta benda yang dikumpul bermati-matian dan hilang seseorang dalam hidup.

Saya tak tahu orang lain, tapi... saya sendiri, dalam banyak-banyak kehilangan yang saya tuliskan di atas, bagi saya, hilang seseorang dalam hidup merupakan kesakitan yang paling hebat. Kalau jiwa tak kuat dan pegangan kita rapuh, kita mungkin akan tersasar daripada landasan yang selama ini jadi tempat kita berpijak.

Seseorang yang saya maksudkan, bukan semata-mata kekasih. Tapi boleh jadi juga ibu bapa, atuk nenek, adik-beradik, anak-anak saudara, saudara-mara, kawan-kawan, juga sesiapa aje yang pernah dekat atau pernah berlegar-legar di sekitar kita.

Kenapa saya berani katakan yang hilang seseorang lebih sakit daripada hilang yang lain-lain? Sebab saya, manusia yang belajar daripada pengalaman. Hilang barang-barang, hilang status dan harta benda, itu adalah hilang yang bagi saya tak ada apa-apanya. Mungkin untuk masa beberapa detik, rasa sakit hati itu muncul. Normallah kerana saya juga manusia biasa. Kalau langsung tak rasa apa-apa, itu namanya saya ni pelik. Kehilangan pangkat dan darjat, saya masih tak rasa lagi. Pangkat sebab sampai sekarang ni saya masih ada di takuk lama walaupun ada masa-masanya, rasa macam dah tak larat berada ‘di sini’. Darjat pula, mungkin sampai bila-bila pun tak akan hilang kerana pada asalnya, saya bukan golongan raja-raja, datuk-datin atau anak datuk-datin, syed-syarifah atau yang sewaktu dengannya. Maka, tak perlu risau kalau-kalau darjat yang dijulang itu pergi begitu saja.

Saya masih ada Mak Abah, saya masih ada adik-beradik dan saya masih ada anak-anak buah. Mereka dunia saya dan mereka kelemahan saya. Saya tak tak mahu ditinggalkan mereka dan saya mengharapkan mereka akan diberikan umur yang panjang. Banyak yang nak saya buat untuk mereka dan sampai ke hari ini saya tak punya banyak ruang dan peluang.

Tapi itu bukan bermakna saya tak pernah kehilangan. Saya pernah hilang nenek yang sangat saya sayang. Satu-satunya nenek yang sempat saya kenal dengan mendalam. Seorang atuk saya meninggal ketika saya belum dilahirkan. Seorang lagi meninggal masa saya umur 3 tahun. Seorang lain nenek pula, meninggal ketika umur saya 8 tahun. Jadinya, mereka bertiga agak jauh daripada saya dibandingkan nenek yang satu itu, yang melihat saya membesar sehingga umur saya mencecah 29 tahun.

Dengan dia, saya kenal bagaimana ertinya jadi seorang cucu. Dengan dia, saya belajar rasa cucu itu disayang lebih, cucu ini disayang kurang. Tapi sebenarnya rasa-rasa itu datang ketika rajuk datang. Padahal, mungkin nenek saya tak berniat. Dengan dia juga saya rasa bagaimana dibebel dan harus menadah telinga mendengar kemarahan dia. Malah dengan dia juga, saya rasa hidup saya lengkap walau tak beratuk. Pendek kata, kami memang sangat-sangat rapat. Bila dia pergi, saya rasa macam ada ruang kosong dalam hati saya. Awalnya rasa susah nak terima sebab dia kesayangan semua orang, anak-anak dan cucu-cucu dia yang sangat ramai. Saya pernah tanya pada Mak saya, “Mak sedih tak mak Mak dah tak ada?” Saya nampak beratnya helaan nafas Mak saya dan saya akur, walaupun Mak saya sendiri dah jadi nenek kepada 9 orang cucu, sayang dia pada mak dia, tetap juga tak pernah kurang.

Tapi beberapa tahun sebelum nenek saya pergi, saya pernah rasa satu lagi kehilangan. Kehilangan yang buat saya rasa betapa saya sendiri kerana ketika saya terima berita kehilangan dia, saya ada di sini. Di satu tempat di mana saya hanya sendiri, tanpa ada sesiapa yang sangat dekat. Masa tu, saya rasa dunia saya berhenti berputar, kekal statik di atas paksi yang sama. Yang ada, cuma sunyi dan sepi. Kosong, kosong & kosong, ada di mana-mana. Malu nak mengaku, tapi saya terpaksa akui yang separuh daripada hati saya ikut hilang. Macam jiwang karat kan kedengarannya? Tapi... memang itu pun yang saya rasa. Saya sangka saya dah jadi orang tak penting, sebab tu dia tiba-tiba hilang macam tu aje. Rupa-rupanya, hilangnya dia... hilang yang kekal.

Mujur, di celah-celah kesedihan dan bila saya rasa macam tak boleh buat apa-apa sebab sedih dan terkejut sangat, panggilan Mak saya bagaikan rahmat tak terhingga. Naluri seorang ibu. Dia yang biasanya telefon saya seminggu sekali [Jumaat malam], tiba-tiba tergerak hati telefon saya hari Isnin. Pada dia, saya luahkan semua yang terbuku, semua terkilan dan semua kesal dalam keadaan suara tenggelam timbul. Dia tetap juga setia mendengar, walaupun dia tak kenal siapa sebenarnya dia yang pergi dalam hidup saya. Yang dia tahu, saya dah mula pandai bergayut mengalahkan monyet. Ya, saya tak mengatakan apa-apa kerana saya fikir belum sampai masa. Entah berapa jam agaknya dia tadahkan telinga dia untuk saya, saya tak ingat. Tapi saya mendapatkan kembali kekuatan saya walaupun tak sebanyak mana.

Kemudian... hari demi hari, saya membina kekuatan. Sesekali terkenang, nanar juga rasanya. Terbit juga tangis tanpa pengetahuan sesiapa kerana saya, selalu aje ceria. Hanya... seiring dengan putaran masa, segala-galanya seakan-akan kembali pulih. Bukan mahu melupakan, tapi saya harus melakukannya demi perjalanan hidup yang masih jauh. Melupakan dia tak semudah ABC, tapi mengingatkan dia terus hanya akan membuatkan saya menyalahkan apa yang didatangkan pada saya. Sungguh... saya tak mahu menjadi manusia yang mempersoalkan takdir yang didatangkan pada saya.

Tahun ni, genap 6 tahun dia pergi. Saya tahu dia pun dah makin menjauh. Tapi peritnya kehilangan, mungkin tak akan saya lupakan sampai bila-bila. Orang lain pun saya yakin akan rasakan perasaan yang sama. Cumanya, tergantung pada diri kita sama ada kita mahu kekal di dalam ‘ruang’ itu atau kita mahu keluar dari ‘ruang’ yang memenjarakan diri kita sehingga kita menutup ruang dan peluang yang masih tertinggal untuk kita. Tapi yang sangat pasti, semalam hanya kenangan sedangkan hari depan, itulah penentu hidup kita. Tanya hati, “Apa sebenarnya yang kita mahu?” Mungkin di sana... jawapannya ada!

- SELAMAT HARI LAHIR! -

July 3, 2012

3 JULAI 2012 - "SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-3 TAHUN. MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, JADI ANAK DAN ADIK YANG BAIK DAN HENDAKNYA SELURUH RAHMAT ALLAH AKAN JATUH PADA ARISSA IZZAYANI"

PESANAN PENUH KASIH SAYANG PADA ARISSA – Sorry juga ya sebab tahun ni Mak Tam tak ada idea nak membebel panjang-panjang macam tahun lepas sebab tahun ni tahun malas Mak Tam. Tapi nak bagi tahu yang Mak Tam SAYANG SANGAT kat Arissa. Jadi budak pandai ya, sayang...

- MANUSIA BERJIWA HAIWAN! -

July 2, 2012

“Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan, patah tangan dan kaki kiri hingga terpaksa ditahan di wad kanak-kanak Hospital Sultan Ismail (HSI), dipercayai didera pengasuh di sebuah rumah di Taman Bukit Dahlia di sini, Jumaat lalu

Kecederaan mangsa, Muhammad Zafran Anaqi Muhammad Razali atau Zafran dikesan bapanya, Muhammad Razali Hamzah, 32, ketika membawanya keluar dari rumah pengasuh yang juga jirannya kira-kira jam 12.30 tengah hari.”

Saya tak tahu berita tersebut lebih lanjut kerana saya ambil petikan itu dari status seorang rakan di FB pagi tadi. Ada banyak lagi yang ditulis, tapi saya hanya ambil setakat itu semata-mata. Saya juga tak tahu kesahihannya lebih lanjut. Hanya saya ada juga dengar berita yang sama di Hot FM, juga pagi tadi. Dalam kemeriahan bola sepak Spain vs Italy, mereka masih sempat update kezaliman yang berlaku pada anak kecil yang langsung tak tahu apa-apa.

Yang nak saya sentuh bukanlah penderaan yang berlaku pada si kecil itu semata-mata, atau si kecil-si kecil yang lain. Tapi yang nak saya sebut, betapa manusia hari ini dah makin hilang kemanusiaan di tengah-tengah hiruk-pikuk dunia yang makin celaru. Kalau benar masih punya rasa kemanusiaan, tak mungkin tak tahu membezakan seorang anak manusia yang bernyawa dengan seekor anak lipas atau seekor anak semut.

Alangkan lipas atau semut, kadang-kadang tak sampai hati nak dibunuh tanpa sebab, inikan pula nak mendera anak-anak yang polos. Saya sungguh-sungguh tak faham kenapa ada manusia sebegini. Patutnya, mereka yang tak berhati dan berakal ini tak perlu wujud di atas muka bumi kerana hadirnya mereka hanya menyusahkan orang lain. Dan, kalau mereka perlu dijatuhkan hukuman, jatuhkanlah mereka dengan hukuman yang seberat-beratnya supaya yang masih punya hati dan akal dapat menjadikan apa yang berlaku pada mereka sebagai iktibar. Biar lain kali berfikir dulu sebelum bertindak.

Bagi ibu bapa kandung – mengajar anak-anak, memang perlu tapi ajaran yang diberikan biarlah secara berhemah dan berpada-pada. Kalau pun perlu menaikkan tangan, janganlah sampai keterlaluan hingga mencederakan. Untuk apa ketika mereka sakit, kita berusaha mahu menyembuhkan mereka, sanggup mengeluarkan wang ringgit dengan alasan kita-sayang-anak-kita. Tapi pada saat mereka sihat, kenapa perlu disakitkan mereka? Kenapa tak dibiarkan aje mereka terkedang tak berdaya di atas katil.

Bagi pengasuh – korang diamanahkan untuk menjaga anak orang, maka pikullah amanah yang diberikan dengan bersungguh-sungguh. Kalau rasa tak sanggup menghadapi kerenah anak-anak yang pelbagai, tak perlu kata sanggup ketika ditanyai. Carilah sumber pendapatan yang lain kerana korang tak layak. Berikan amanah tersebut pada yang layak dan ikhlas mahu menjadi pengasuh. Lebih daripada itu, apa rasanya kalau anak korang pula yang didera, diseksa atau dizalimi? Kalau sekarang korang tak ada anak dan korang tak rasa apa-apa, sampai satu masa korang akan rasa juga bila korang benar-benar bergelar ibu atau bapa. Masa tu, korang lihatlah cermin dan kata pada cermin, “Dulu pun aku buat perkara yang sama pada anak orang”.

Ya, saya percaya... memang ada masa-masanya manusia tak dapat kawal perasaan dan rasa marah, apalagi bila masalah datang sebesar gunung datang dan bergabung pula dengan tingkah anak-anak yang sukar nak diramal. Makin dikata jangan, makin galak mereka beraksi kerana itulah anak-anak kecil. Maka, lahirlah kejadian-kejadian kejam serupa itu. Tapi... biar stress dan dilanda emosi sehebat mana pun, pandai-pandailah beringat, belajarlah mengawalnya. Masalah yang datang tak akan selesai hanya dengan mematahkan kaki dan tangan anak-anak kecil atau menghantuk kepala si kecil ke dinding atau ke mana-mana saya objek keras. Kalau pun puas, rasa-rasa kejam itu hanya akan datang seketika waktu. Bila yang dizalimi itu cedera, maka... bersedialah untuk menanggung akibat kerana negara kita masih punya undang-undang.

Dan jahat, balasannya tentu saja jahat kerana hidup ini adil. Hari ini menyeksa anak orang, esok lusa anak-anak kita pula diseksa orang. Moga semua anak-anak dalam dunia ini akan dilindungi ALLAH. Untuk anak-anak buah saya, Mak Tam doakan yang baik-baik untuk kalian, moga nasib kalian selalu baik...

- AKHIRNYA TOMOK TERKELUAR -

Hari ni... saya layan lagi Masterchef Selebriti Malaysia [MSM] entah untuk ke berapa kali agaknya sebab dah banyak kali sangat saya layan, sampai sendiri pun tak sampai hati nak kira. Tapi bukan juga bermakna ada hari yang saya tak terlepas pandang. Ada, banyak kali juga saya terlupa dan buat-buat lupa. Tapi yang buat saya sedikit frust tapi tak tertonggeng, minggu lepas saya terlepas drama Bukan Bidadari gara-gara tengok MSM. Memang lupa terus. Padahal selalu, kalau tengok MSM, saya mesti tukar-tukar channel. Entah apa merasuk, Selasa lepas saya tengok dalam keadaan yang sangat khusyuk.

Patutnya saya tak perlu frust sebab bukannya tak boleh tengok kat TONTON pun, boleh aje kalau mahu. Cuma saya aje yg ngada-ngada tak mahu. Nak juga tengok kat TV3 tu. Sudahnya, saya tak tahu apa jadi pada episod kedua Bukan Bidadari tu. Mujur ada seorang adik yang sudi jadi tukang karut untuk saya. Berkisahlah dia dari mula sampai awal.

Dan semalam, akhirnya... Tomok, salah seorang daripada peserta MSM terkeluar dalam ujian penyingkiran. Sebak dia ketika hendak berkata-kata, buat saya rasa sebak juga. Sangat emo kan saya ni? Selalunya saya tak rasa apa pun. Sengih aje sebab siapa yang terkeluar bukan urusan saya sebab saya pun kalau disuruh menjadi salah seorang daripada mereka, pasti akan jadi orang yang terawal terkeluar, lebih awal daripada Dr. Faiz tu. Yang saya tau, saya tengok mereka sekadar tengok semata-mata sambil mulut mengkritik atau mengomen di luar TV tanpa sampai ke pendengaran mereka.

Bukan juga bermakna saya minat Tomok. Tidak. Cuma dulu-dulu masa zaman muda remaja, ada jugalah saya layan-layan lagu dia dengan New Boyz. Kalau sekarang dengar lagu yang sama, mahu juga saya gelak guling-guling sebab lagu mereka sangatlah dah tak masuk dengan jiwa saya. Maklumlah, jiwa orang tualah katakan. Tapi... bagi saya seorang yang tak mahir dalam bidang nyanyian, dibandingkan dulu dengan sekarang, vokal Tomok dah banyak meningkat. Kalau korang rasa saya salah, diam-diam sudah. Itu kan hanya pendapat saya yang dengar radio masa pergi dan balik kerja semata-mata.

Terus terang saya kata, melihat Tomok memasak, saya sebenarnya yakin tak yakin aje dia pandai masak, macam saya juga. Buktinya, dia selalu terpilih dalam ujian penyingkiran. Hanya nasib dia selalu baik bila kerap lulus dalam ujian tersebut. Tapi dalam yakin tak yakinnya saya, saya tetap kagum dengan semangat yang dibawa. Dia nampak bersemangat, humble dan mahu belajar. Bukan macam sesetengah peserta yang nampak seperti tahu semua jenis masakan. Tapi bila masak, ada aje komen yang diterima. Kalau dah tahu, kalau dah selalu masak, patutnya komen yang datang sikit-sikit aje. Ini tak, kadang-kadang komennya lebih teruk daripada yang Tomok terima.

Apa pun, sekurang-kurangnya Tomok dah selesaikan tugas yang digalas dengan jayanya. Dah berusaha sebaik mungkin, semampu yang dia tahu. Cuma... dalam pertandingan pastinya ada menang dan ada kalah. Kalau semuanya nak menang, siapa agaknya yang sudi jadi kalah, kan? Sama macam hidup kita, ada naik ada turun, ada pasang pasti ada surutnya juga, ;-)

- LALALALA... MAEL LAMBONG! -

July 1, 2012

Hajat tercapai! Itu yang saya rasa sesudah keluar panggung Jumaat malam hari tu. Akhirnya, niat nak tengok Mael Lambong [ML] jadi kenyataan. Memanglah jadi kenyataan kalau kita nak jadikan kenyataan, kan? Dan, tak akan jadi nyata kalau kita tak nak nyatakan niat tu.

Saya tengok ML tu hari Jumaat malam, pukul 11.00 malam dengan seorang adik baik hati bernama Fida. Dengan dia, saya rasa segalanya mungkin sebab saya dan dia, memang sekapal dalam banyak keadaan. Termasuk sekapal dalam bab-bab yang tertipu-dengan-pandangan-mata. Ingatkan okey tapi tak okey. Saya tak akan review ML tu sebab saya bukan pengulas filem dan tak tahu pun nak menjadi pengadil untuk bidang yang saya langsung tak terlibat. Kalau ada pun, itu hanya pandangan dari kaca mata seorang penonton.

Dan sebagai penonton yang sukakan hiburan, saya sukakan ML. Terus terang kata, memang ML sangat kelakar, bagi saya. Dari mula sampailah ke akhir, saya ketawa tak henti-henti. Ada-ada aje aksi yang lucu yang dipertontonkan, bukan hanya datang daripada Zizan Razak yang bawa watak Mael Lambong, tapi daripada watak-watak lain juga, termasuklah rival Mael Lambong sendiri, iaitu Tiger yang dilakonkan oleh Taiyuddin Bakar. Alah... yang berlakon drama Apa Celop, yang jadi kawan kepada Kamal Adli. Pendek kata, sepanjang ML berlangsung, saya betul-betul lupa apa yang ada di fikiran saya, termasuk kejadian beberapa minit sebelum saya tengok ML. Opsss... sebenarnya, sebelum tengok ML, saya tengok sebuah lagi filem bernama Baik Gila yang juga dilakonkan oleh Zizan. Tapi yang itu, akan saya ceritakan dalam N3 yang lain kerana ketika-itu-ada-rasa-yang-lain, tak seronok kalau diceritakan di sini.

Secara jujurnya, saya sukakan ML bukan semata-mata kerana kelakarnya filem itu. Tidak. Tapi ada beberapa sebab yang lain. Kalau diamat-amati, dalam kelakarnya ML tu, ada sesuatu yang kita boleh jadikan iktibar kerana hidup ini memang begitu.

Pertama, semangat dan usaha Mael Lambong untuk mengubah dirinya. Daripada anak kampung yang menjadi mangsa keadaan hanya gara-gara tak berharta, dia membawa diri dan kemudian bangkit menjadi si penarik kereta. Memanglah kerja sebagai penarik kereta tu tak adalah hebat mana hinggakan boleh dikagumi. Tapi sekurang-kurangnya, dia berusaha untuk mengubah diri dan dia berusaha mendapatkan rezeki yang halal. Cuma yang tak patut dicontohi, dia menggunakan ringtone tipu untuk menakut-nakutkan orang. Menipu tu, kan tak baik!

Kedua, rasa setia antara Mael Lambong dan Rozie. Biar pun terpisah selama 5 tahun, rasa cinta mereka tak pernah mati. Bahkan, kejadian yang berlaku dan bantahan keluarga Rozie juga tak mampu mematikan cinta mereka. Yang tu saya puji sebab sepatutnya jadi orang kita pun ada rasa setia, tak kira pada kekasih atau yang lain daripada itu. Cuma yang tak patut dicontohi, Rozie sanggup larikan diri sebab cinta dia pada Mael Lamong.

Ketiga, sikap menipu untuk mendapatkan sesuatu patut dinyahkan dalam hidup sebab confirm tak berkat. Kalau dah kita buat jahat, tentu kita akan dapat balasan. Kalau tak di dunia, di akhirat pasti ada. Tapi dalam Mael Lambong, orang jahat dapat balasan dalam cerita tu juga. Maksudnya mereka tak terlepas begitu saja.

Keempat, jadi orang itu harus jangan terlalu lurus hingga begitu mudah digula-gulakan orang, macam yang terjadi pada Si Mael Lambong. Tapi agaknya, kalau kita di tempat dia, kita juga akan melakukan dan percaya pada perkara yang sama.

Kelima, pangkat dan harta-benda bukanlah segala-galanya kerana semua itu tak akan dinilai DI SANA nanti.

Sebenarnya ada banyak lagi yang boleh kita kutip dalam ML semasa kita gelak-gelak tu. Itu pun kalau kita benar-benar mahu mengutip. Kalau kita sekadar nak ketawa-ketawa tanpa mahu berfikir, maka yang kita dapat hanyalah ketawa-ketawa semata-mata.

Apa pun, kalau disuruh memberi bintang pada ML, saya tak akan beri kerana saya takut bintang saya kurang penjurunya kerana kurangnya ilmu saya dalam bidang perfileman. Tapi kalau ditanya sama ada, saya nak tengok ML lagi atau cukup sekali, saya akan kata saya nak tengok banyak kali lagi, ;-)