- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [5] -

NAJID baring santai di atas sofa berangkai tiga di ruang tamu. Masih berfikir dan mencari jawapan. Masuk hari ini sudah dua hari Najihah senyap tanpa sebarang khabar berita. Tidak ada panggilan telefon, tidak ada SMS, tidak ada panggilan di pintu pagar rumahnya, jauh sekali jeritan di balkoni bilik seperti selalu.

“Jiha kenapa sebenarnya?”

Dua hari juga soalan yang sama berbolak-balik di bibir Najid. Soalan yang tidak ada jawapan.

Najihah bukan saja tidak menghubunginya, tapi Najihah tidak juga menjawab panggilan dan membalas SMSnya. Gadis itu bagaikan hilang ditelan bumi. Tadi pun dia menunggu Najihah balik dari kerja di hadapan pagar rumahnya seperti yang biasa dilakukan jika ada sesuatu mahu dikatakan pada Najihah. Bila datang anginnya tidak mahu bercakap di telefon. Namun bayang-bayang Najihah dan kereta gadis itu langsung tidak ada.

“Jiha pergi outstation ke? Tapi kalau Jiha outstation mestilah ayah awal-awal lagi dah bagi tahu. Jiha pun kalau outstation tak pernah pulak tak bagi tahu aku. Ke Jiha dan ayah sama-sama lupa bagi tahu aku ni?”

Dahi yang tiba-tiba saja terasa berdenyut-denyut dipicit-picit perlahan. Dua hari Najihah sepi, dia terasa seperti patah kaki. Selama berpuluh-puluh tahun ke belakang ini, dia sentiasa bertemu muka, atau paling tidak pun mendengar suara Najihah. Mereka bermain bersama, ke sekolah bersama, malah menyambung pelajaran di tempat yang sama. Selama ini, kalau mereka bergaduh pun, mereka tetap berbalas SMS.

“Ke Jiha marah apa yang aku cakapkan? Tapi sejak bila pulak Jiha jadi terlebih sensitif? Ataupun... sebenarnya ada sebab lain yang aku tak tahu dan Jiha tak nak bagi tahu aku?”

Kepala pula digaru-garu perlahan. Reaksi biasa jika dia berada dalam keadaan buntu dan tertekan.

Jam di dinding dipandang lama. Kemudian bingkas dia memanjat anak-anak tangga menuju ke biliknya. Duduk seketika di birai katil, dia melangkah menuju ke arah balkoni. Dilihat bilik Najihah yang menghadap ke biliknya masih terang-benderang. Tanda kalau Najihah masih belum tidur.

Nombor telefon Najihah kembali didail.

“Jiha... please, pick up the phone,” pinta Najid berkali-kali dengan harapan Najihah akan membalas panggilannya.

Namun hampa. Sebanyak mana dia menekan nombor telefon Najihah, sebanyak itu jugalah panggilannya sepi tidak bersambut.

“Jiha ni kenapa? Apa sebenarnya yang tak kena dengan Jiha?”

Kalau tadi Najid masih tenang, kini ketenangannya sedikit tergugat. Dipandang lagi bilik Najihah yang masih terang. Namun pintu balkoni bilik Najihah tertutup rapat, tidak luas ternganga seperti selalu. Bahkan langsir berwarna ungu yang selalu ditarik ke sisi juga dirapatkan. Sedangkan selalu, ada masa-masanya dia masih boleh melihat Najihah melambai-lambai tangan padanya. Ada ketikanya, mereka bercakap-cakap walaupun masing-masing tidak mendengar dan memahami apa yang dicakapkan. Sudahnya, telefon bimbit yang menjadi penghubung.

“Nampaknya bukan hanya Jiha yang pelik. Bilik Jiha pun pelik sama macam Jiha juga,” kata Najid terus.

Sudah dua hari dia perasan keadaan bilik Najihah yang kelihatan sunyi walaupun lampu terpasang. Tanda kalau di dalam bilik itu ada Najihah sebagai penghuni. Entah apa yang sedang gadis itu buat ketika ini, dia tidak tahu tapi dia sungguh-sungguh hendak tahu. Selagi tidak tahu, dia terasa seperti ada yang tidak kena.

Dipandang jam di pergelangan tangan. Keluhan dilepaskan sebaik saja melihat angka jarum pendek dan panjang berada tepat pada angka 10.

“Nak ke rumah Jiha, malas pulak rasa.”

Tanpa menutup pintu gelangsar, dia meninggalkan balkoni. Memang mereka berdua sepakat memilih bilik bertentangan dengan alasan mudah untuk berhubung antara satu sama lain. Malas melayan kerenah mereka berdua, ayahnya dan papa Najihah hanya akur. Sejak dari kecil pun memang itulah bilik mereka berdua. Langsung tidak berubah dan tidak ada apa yang perlu diubah kerana tidak ada keperluan.

Telefon bimbit diletakkan di atas katil. Lantas, dia duduk di sisi telefon bimbit yang sama jenama dan bentuk seperti Najihah. Mindanya masih tertanya-tanya ada apa sebenarnya yang telah berlaku pada Najihah sehingga langsung tidak mengendahkan panggilannya.

Di pejabat tadi pun dia ada bertanya pada Ilham. Bapa saudara Najihah itu berkata Najihah baik-baik saja. Bila Ilham menuduh dia bergaduh dengan Najihah, cepat-cepat dia menyangkal kerana memang dia tidak bergaduh dengan gadis itu. Tiga hari lepas, elok saja dia dan Najihah bercakap di telefon. Hanya yang dia perasan, Najihah terus mematikan talian telefon bila dia berkata tidak akan berkahwin dengan Najihah jika hanya Najihah satu-satunya perempuan di dalam dunia ini.

Tapi kalau kata-katanya pedas, Najihah juga sudah membalas kata-katanya dengan balasan kata yang pedas juga.

“Dia kata tak ingin kahwin dengan aku. Dia kata aku tak handsome. Siap kata tak handsome macam pelakon Korea. Macamlah pelakon Korea tu handsome sangat,” rungut Najid perlahan.

Bibirnya mencebik. Entah apa yang bagus sangat dengan hero cerita Korea sampai Najihah tergila-gila sangat, dia sendiri tidak tahu. Baginya, tidak ada apa yang menarik dengan lelaki bermata sepet itu. Kalau ada lelaki bermata sederhana dan besar, buat apa hendak memilih lelaki mata sepet? Seketika, dia lupa kalau matanya juga sepet walaupun tidak sesepet mata pelakon kegilaan Najihah.

“Mata sepetlah lawa,” kata Najihah lagi.

Itu pula jawapan Najihah kalau dia memprotes minat Najihah terhadap hero drama Korea.

“Aku kutuk dia, dia kutuk aku. Adillah tu! Habis tu kenapa pula Jiha macam marah pada aku pulak?”

Keluhan Najid muntah entah untuk kali ke berapa. Perlahan-lahan dia merebahkan tubuhnya di atas tilam empuk. Tidak berniat untuk tidur, hanya mahu merehatkan tubuh semata-mata. Mindanya masih mahu bekerja, masih mahu mencari jawapan yang sebenarnya ada pada Najihah. Kalau dia rajin, dia akan cuba menghubungi Najihah lagi sampai gadis itu mahu menjawab panggilannya. Kalau Najihah enggan juga, esok dia akan datang ke rumah gadis itu. Dia tidak suka dihukum atas kesalahan yang dia sendiri tidak pasti.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Najid kenapa?” tanya Datuk Hakkam dengan dahi berkerut. Surat khabar yang sudah dilihat untuk kali kedua, diletakkan di sisi. Aneh melihat Najid yang baru turun dari tingkat atas. Wajah anaknya itu kelihatan tegang semacam. Tangan Najid kelihatan memicit-micit dahi sendiri.

“Kenapa apa ayah?” tanya Najid kembali. Tangan yang tadinya memicit dahi, terhenti. Matanya tunak memandang Datuk Hakkam. Namun hanya seketika sebelum matanya jatuh ke arah surat khabar yang sudah terlipat kemas. Memang menjadi kebiasaan ayahnya membaca surat khabar dua kali sehari. Sekali di pejabat, sekali lagi di rumah selepas makan malam hingga lewat malam.

“Muka Najid, ayah tengok lain macam aje. Macam ada yang tak kena pun ada juga. Ada apa-apa masalah ke? Nak kongsi dengan ayah?”

Najid tersengih. Dari dulu sampai sekarang, ayahnya selalu saja peka dengan perubahan air mukanya. Pantang melihat kelainan ada di wajahnya, ayahnya akan cepat-cepat bertanya.

“Tak ada apalah, ayah. Najid okey aje macam biasa.”

“Ayah ni ayah Najid. Ayah yang besarkan Najid selama ni dan Najid tak akan mudah dapat tipu ayah. Najid tak ingat ke yang tekaan ayah pada Najid selama ni jarang tersasar?” kata Datuk Hakkam dalam senyuman. Sejak isterinya pergi selepas melahirkan Najid, memang dia yang membesarkan anak itu seorang diri. Hanya sekali-sekala ibunya di kampung datang untuk menjenguk Najid.

Memang tidak mudah mahu membesarkan anak seorang diri tanpa bantuan daripada isteri. Tapi demi cinta dan sayangnya dia pada buah cinta dia dan isterinya, dia gagahkan juga. Najid itu satu-satunya peninggalan isterinya, peninggalan yang sangat berharga yang tidak mungkin akan diabaikan. Mujur segala penat lelahnya berbaloi bila Najid tumbuh menjadi anak yang baik, meskipun figura seorang ibu tidak ada dalam bayangan anak kesayangannya itu.

“Ayah memang macam nujum. Selalu aje tahu apa yang tak kena dengan Najid,” komen Najid sambil tergelak kecil. Seketika sikap dingin Najihah menjauhinya.

“Bukan nujum tapi itu adalah naluri seorang ayah. Naluri yang tak jauh berbeza daripada naluri seorang ibu.”

Najid diam, namun di bibirnya ada senyuman. Ada rasa bangga dalam hatinya kerana mendapatkan Datuk Hakkam sebagai ayah. Kalau ayahnya orang lain, entah macam mana agaknya hidupnya kini. Sungguh dengan adanya ayahnya, dia sering lupa kalau dia sebenarnya tidak punya ibu. Ayahnya sudah melengkapkan semua ruang kosong dalam hatinya. Bukan juga dia tidak memerlukan seorang ibu, tapi kalau sudah tersurat hayat ibunya tidak panjang, dia harus akur. Jodoh pertemuan, ajal maut memang bukan ada di tangan manusia.

“Nak kongsi dengan ayah apa-apa?” ulang Datuk Hakkam sekali lagi.

Najid diam lagi. Fikirannya mula melayang-layang memikirkan Najihah yang seperti sudah ditelan bumi.

“Jiha...” Sepatah nama itu, Najid sebut dalam nada yang berbaur. Masih lagi tertanya-tanya tentang Najihah yang tiba-tiba saja menyepikan diri.

Datuk Hakkam senyum. Penyebab resah di hati Najid memang sudah ditelah awal-awal lagi. Hanya dia tidak mahu membuat andaian, walaupun dia tahu tidak ada orang lain yang mampu mengubah air muka Najid, kecuali Najihah.

“Kenapa dengan Jiha? Apa lagi yang Jiha dah buat pada Najid dan apa pula yang Najid dah buat pada Jiha?”

“Manalah Najid tahu. Kalau Najid tahu tak adalah Najid rasa nak tahu. Ini tak... dah dua hari Jiha senyap. Najid telefon tak jawab, Najid SMS pun tak balas. Jiha tu kerja ke tidak ayah?” Dia mahu tahu kerana Najihah bekerja dengan ayahnya. Tentu ayahnya lebih tahu.

“Kerja.”

“Habis tu kenapa dia tak jawab telefon Najid?”

“Manalah ayah tahu. Tadi pun ayah tengok Jiha biasa-biasa aje. Ceria macam hari-hari semalam,” ujar Datuk Hakkam tenang.

“Dah tu kenapa tiba-tiba dia macam nak jauhkan diri daripada Najid?”

Datuk Hakkam ketawa perlahan. Sejak kecil sampai sedewasa itu, Najid dan Najihah memang tidak pernah terpisah. Rapatnya mereka seperti rapatnya dia dengan Datuk Bazli. Seorang dicuit, seorang lagi akan terasa sama. Bahkan, ada yang menyangka yang Najid dan Najihah itu adik-beradik kerana nama yang hampir sama. Padahal, nama itu hanya sekadar nama semata-mata. Nama yang memang menjadi gurauan mereka ketika berada di zaman universiti. Ketika itu, baik dia mahupun kawan baiknya itu, masing-masing masih bujang dan tidak ada siapa-siapa di hati. Hanya mereka merasakan nama Najid dan Najihah itu kedengaran agak sedap bila disebut berulang-ulang kali.

“Agaknya Najid ada sakitkan hati dia tak?” duga Datuk Hakkam. Perangai Najid yang suka menyakat Najihah, lama sudah dimaklumi.

“Mana ada!” balas Najid pantas.

“Najid kata tak ada, tapi tahu-tahu aje nanti memang Najid sakitkan hati Jiha lagi. Ayah bukannya tak tahu, Najid tu kalau dengan Jiha selalu aje nak menang. Selalu aje nak sakitkan hati Jiha.”

Wajah Najid berkerut seribu. Ayahnya tahu atau saja-saja buat tidak tahu? Bukankah semua orang tahu yang dia lebih kerap dibuli Najihah daripada dia membuli gadis itu? “Taklah, mana ada Najid sakitkan hati dia. Najid cuma cakap yang kalau Jiha aje perempuan yang tinggal dalam dunia ni, Najid tetap tak nak kahwin dengan Jiha,” terang Najid dalam nada suara tidak puas hati.

Kali ini Datuk Hakkam ketawa kuat. Geli hati dengan cerita Najid yag beria-ia. Jelas rasa tidak puas hati terpeta di wajah anaknya itu kerana dituduh menyakitkan hati Najihah. Padahal, mereka sama-sama tahu Najihah itu gadis yang bagaimana. Najihah memang nampak lembut pada wajah, tapi tingkah laku Najihah saling tidak ubah seperti Najid.

“Ayah ketawa kenapa?” Najid ketap bibir. Dia bercerita kerana mahukan sokongan daripada ayahnya, tapi sebaliknya dia pula yang diketawakan.

Datuk Hakkam bangun sambil mencapai surat khabar. “Kalau ayah jadi Jiha pun, ayah tak nak dah cakap dengan Najid.” Dia kemudian pergi begitu saja. Tidak perlu mengulas panjang lebar kerana dia percaya esok atau lusa hubungan Najid dan Najihah pasti pulih seperti biasa.

Najid garu kepala. Hatinya rasa terbakar. Bukan pada ayahnya, tapi pada Najihah yang menyebabkan dia diketawakan ayahnya.

“Ayah patutnya dengar sama Jiha kata Najid tak handsome,” gumam Najid perlahan. “Jiha pun satu! Entah apa-apa,” terus Najid berkata perlahan.

- SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI... -

Untuk yang pernah kenal saya sama ada dekat-dekat, jauh-jauh, rapat-rapat, suam-suam kuku, kenal di alam realiti, kenal di alam maya, kenal di alam fantasi... saya mohon ampun dan maaf sebab saya hanya manusia biasa yang tak lepas daripada buat salah, sama ada sedar atau pun tak sedar. Kita kosong-kosong ya! Hendaknya, raya tahun ni akan membawa sejuta rahmat untuk kita semua.

Untuk adik-adik, abang adik-adik, kakak adik-adik, bapa adik-adik, ibu adik-adik dan sesiapa saja yang berkaitan dengan adik-adik, pastikan selepas hari raya anggota tubuh badan korang sama seperti sebelum hari raya. Jadinya... jangan main merecun, bom lagilah tak payah. Nanti, selepas makan orang boleh jilat jari, korang terkebil-kebil sebab jari tak ada nak jilat... ;-)

- SYAWAL SESUKA HATI... -

Hoho... dalam diam yang tak pernah kenal erti diam, rupa-rupanya lagi 3 hari Ramadan bakal melabuhkan tirainya, memberi peluang pada Si Syawal menjalankan rutin yang telah pun tertulis sejak azali lagi. Cepatnya masa berlalu tinggalkan manusia dengan cerita yang tersendiri.

Ramadan, Syawal... dalam banyak-banyak bulan, saya rasa dua bulan itulah yang selalu ditunggu-tunggu oleh setiap orang Islam yang ada dalam dunia ni. Ramadan ditunggu sebab ramai yang mahu mengambil keberkatan yang memang dijanjikan ALLAH. Tak kurang juga yang ambil kesempatan memperbaiki diri. Maklumlah... kita manusia, selalu saja alpa dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan pada kita. Bukanlah bermakna bulan-bulan lain kita tak boleh mengubah diri. Boleh dan sudah semestinya dialu-alukan. Tapi bulan ni kan, syaitan dirantai? Makanya bila sudah bertekad, tentu tak ada bisikan-bisikan halus yang meminta kita supaya tak terus melakukan kebaikan [Ni... kalau syaitan baca N3 ni, mahunya kepala saya diketuk ketampi berkali-kali].

Dan Syawal, bulan kemenangan bagi umat Islam yang dah berusaha bermati-matian menahan diri daripada lapar dan dahaga, di samping amalan-amalan buruk yang lain juga selama sebulan. Saya yakin dan pasti, ramai yang tunggu bulan ni. Kalau tak, takkanlah ada yang sanggup cat rumah, tukar perabot rumah, beli kuih berjenis-jenis, beli baju berkayu-kayu, beli kasut sehabis cantik. Belum lagi masuk tudung yang berlayer-layer dan sarat dengan warna-warni. Ada tu, warna tudung aje lebih banyak daripada warna pelangi yang sesekali menjengahkan muka. Kalau ditanya dengan soalan, “Ni warna apa sebenarnya?”. Confirm... terkulat-kulat nak menjawab. Hijau biru kuning muka sebab tak tahu. Lebam-lebam bibir sebab terketar-ketar tak tahu nak kata apa pada yang bertanya. Opsss... bahasa saya sangat melampau kan?

Tapi sejujurnya, saya juga sukakan Syawal. Sebabnya, masa tulah boleh pakai baju kurung yang lip-lap macam lampu kelip-kelip kat rumah. Kalau tak, baju kurung fungsinya hanya pada hari bekerja, lokasinya di pejabat. Bukannya tak boleh pakai pada hari lain, mestilah boleh sebab tak ada undang-undang yang mengatakan ‘ANDA DILARANG MEMAKAI BAJU KURUNG DI RUMAH SELAIN DARIPADA HARI RAYA’. Tapi saya fikir betapa janggalnya rasa bila pakai baju kurung kat rumah tanpa sebab yang kukuh. Misalnya, semua baju t-shirt dah kotor atau pun tak kering sebab hujan turun tak berhenti. Tak pun kenangkan cuaca yang panas berbahang, tak lalu kot nak kenakan baju sesopan itu kat rumah. Dah tu susah pula nak melangkah.

Selain tu, boleh makan banyak-banyak sampai perut rasa macam belon. Bukan bererti hari lain tak boleh makan sampai pecah perut, boleh aje kalau sanggup. Tapi hari-hari lain mana ada ketupat, mana ada lemang. Kalau ada pun, rasanya tak sama dengan ketupat dan rendang hari raya. Itu... bagi sayalah! Kalau orang lain tak setuju, saya tak marah. Lain orang, kan lain jalan fikirnya? Kalau semua sama... alangkah hidup ini tak ada variasinya. Tentu akan jadi kaku dan sangat beku. Bosannya!

Tapi yang lebih penting, dapat bergambar beramai-ramai dengan kaum keluarga. Pun, boleh juga bergambar hari-hari lain kalau mahu. Cumanya, bukannya mudah nak mengumpulkan semua ahli keluarga kalau bukan hari raya. Itu pun... bagi keluarga besar macam keluarga saya, seksa yang amat benar. Kejap-kejap orang ni tak ada sebab pergi kubur atuk dan nenek saya, kejap-kejap bawa anak-anak naik motor pusing kampung sebab dah mula buat hal gara-gara tak cukup tidur, kejap-kejap ada yang makan entah untuk kali berapa. Kejap-kejap ada yang pergi rumah mentua yang hanya sekangkang kera. Pendek kata, memang tak mudah. Perlukan kesabaran yang tinggi.

Itu belum lagi dengan tingkah anak-anak buah saya. Saya tak tahu kenapa, tapi... setiap kali malam raya, dia orang sangat tak gemar tidur. Ada sekali tu siap ajak Pak Ngah dia orang berjaga sampai ke pagi sebab yang dipanggil Pak Ngah tu sangat suka melayan kerenah anak-anak buah yang entah apa-apa. Kalau umur belas-belas tahun dan dah sekolah menengah, tahan lagi sebab dah besar. Tapi anak-anak buah saya semuanya sekolah rendah. Dah tu yang umur 2-4 tahun pun ikut tidur pukul 4.00-5.00 pagi. Saya memang tak boleh tahan dengan yang satu ni. Sebabnya, saya tahu dah macam mana jadinya pagi raya. Memang tak sah kalau tak melalak meraung macam kena pukul dengan rotan. Itu... gara-gara tak cukup tidurlah tu. Dah tahu umur macam tu, masih ada hati nak berjaga macam orang dewasa. Sabar ajelah!

Tapi sebenarnya, kerenah-kerenah macam tulah yang membuatkan raya saya meriah. Taklah kaku dan beku tak berseri macam malam. Cumanya... sekarang ni, saya tiba-tiba aje jadi rindu pada nenek saya. Sejak dia tak ada hampir tiga tahun lalu, raya saya terasa ada kekurangan. Tapi... janji ALLAH untuk setakat itu. Moga nenek saya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah...

- CINTAKU TAK MAHAL [BAB 2] -

ENJIN kereta telah dimatikan beberapa minit tadi, namun dia masih tidak berganjak dari tempat duduk. Tetap memakukan pandangan di hadapan, meskipun tak ada apa yang menarik untuk dipandang. Bahang panas yang mula bertebaran di ruang kereta yang sempit seperti langsung tak terasa. Mindanya masih bergerak laju.

“Nak masuk dalam atau pun pergi rumah along ni?” Nadra bertanya pada diri sendiri. Masih membuat timbang tara dengan diri sendiri. Berfikir mana yang lebih baik untuknya saat ini.

“Kalau along tanya nak jawab apa?”

Keluhan dilepaskan perlahan. Fawwaz mungkin tak akan bertanya kerana ini bukanlah pertama kali dia pulang ke sana tanpa Raqib. Dia saja yang takut dengan bayang-bayang sendiri. Menjaja pekung di dada sendiri, biarpun untuk hidangan telinga abang kandungnya, bukan dia orangnya. Biarlah alongnya beranggapan kalau dia diterima baik oleh umi dan adik Raqib di rumah ini.

“Ya, pergi rumah along ajelah!” putus bibirnya lega. Setelah beberapa minit berfikir, dia akhirnya dapat membuat keputusan.

Jika mindanya sudah tenang. Hatinya yang masih belum surut dengan rasa sedih dan geram ini hilang, barulah dia akan pulang kembali ke sini. Dia tak perlukan masa berhari-hari, hanya beberapa minit berbicara dengan alongnya itu. Selepas itu, dia pasti mampu tersenyum seperti biasa biarpun hatinya retak dengan kata-kata yang Idlan luahkan awal pagi tadi.

Cepat-cepat kunci kereta dipulas, namun saat itu juga cermin kereta di sisinya diketuk. Melihat Raqib, dia menggigit bibir perlahan.

“Macam manalah aku boleh tak perasan kereta dia dah ada kat tempat biasa?”

Nadra seka peluh yang menitis di dahi. Dia masih belum bersedia untuk berhadapan dengan Raqib. Rajuknya masih ada kerana Raqib tak pernah mahu percaya pada kata-katanya. Bimbang dalam rajuk yang masih belum reda ini, dia dan Raqib bertengkar hanya gara-gara Idlan.

“Iha...” sapa Raqib dalam senyuman manis sebaik saja membuka pintu kereta Nadra.

“Hai...” balas Nadra perlahan. Masih belum mampu berlagak seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Lamanya Iha dalam kereta, abang tadi lagi dah tunggu kat muka pintu. Tak sabar nak tunggu isteri abang yang comel ni balik kerja. Nak peluk dia kuat-kuat. Nak cakap kat dia yang abang rindu sangat-sangat pada dia,” kata Raqib sambil tergelak perlahan. Sengaja memancing Nadra supaya berkata-kata.

Namun isterinya itu hanya diam. Kaku mengalahkan patung cendana. Malah kelihatan seperti langsung tidak teruja dengan gurauannya. Selalunya, bila dia menyakat begitu Nadra akan ketawa. Kemudian cepat-cepat menampar lengannya sebelum pergi begitu saja kerana bimbang dicubit. Tapi melihat air muka Nadra yang tidak ceria, dia yakin Nadra masih bersedih dengan apa yang berlaku.

Nadra terus diam. Tidak ada hati hendak bergurau senda pada saat hati sendiri masih ada rajuk.

“Jom masuk. Panas ni!” ajak Raqib lembut.

Tetap juga tidak ada balasan kata daripada Nadra. Panas di tubuh makin terasa, tapi dia masih belum ada hati hendak masuk ke dalam rumah.

“Iha...”

Nadra mengeluh panjang. Kepala didongakkan, menatap seraut wajah Raqib yang memang tak pernah tak tersenyum. “Boleh tak kalau Iha minta sesuatu daripada abang?”

“Iha nak minta apa daripada abang? Nak duit belanja? Ataupun Iha dah berkenan dengan sesuatu?”

Hanya gelengan Nadra sebagai jawapan. Memang bukan itu yang dia mahukan daripada suaminya itu.

“Habis tu Iha nak apa daripada abang?” Raqib makin pelik. Sedikit berdebar-debar bila melihat aksi Nadra yang agak kaku. Langsung tidak ada senyuman pada bibir isteri kesayangannya itu. Biasanya, biar marah macam mana pun Nadra tetap mampu menghadiahkannya dengan senyuman. Kalau pun tidak manis, senyuman kelat pasti akan dia dapatkan.

Nadra nak apa ni sebenarnya?

Nadra nak minta dilepaskan?

Pantas, kepala Raqib geleng berkali-kali. Tidak mungkin hanya disebabkan sepasang kasut yang sudah Idlan rosakkan, Nadra mahu meninggalkannya. Dia tidak rela dan tak akan pernah menerimanya.

“Iha rasa nak pergi tengok along sekejap. Boleh tak kalau abang benarkan Iha pergi rumah along? Iha ingat Iha nak pergi sekarang juga. Malam nanti Iha balik.”

“Kenapa?” tanya Raqib dengan kening sedikit terjongket. Kalau tidak mengenangkan wajah Nadra yang serius, ketawanya pasti sudah terburai. Lain yang Nadra mahukan daripadanya, lain yang dia fikirkan. Kalau Nadra tahu apa yang ada di benaknya seketika tadi, tentu sakit telinganya mendengar ketawa mengejek isterinya itu. Mungkin juga lengannya bakal menerima cubitan daripada Nadra.

“Rindu kat along tiba-tiba.”

Bohong! Itu yang terdetik di hati Raqib. Bukan rasa rindu pada Fawwaz yang membuatkan Nadra mahu bertemu dengan abang iparnya itu. Tapi rasa rajuk padanya yang bergabung dengan rasa kecil hati pada Idlan. Itulah sebab utama yang tak mampu Nadra katakan. Isterinya itu tentu mahu menjaga hatinya seperti selalu.

“Iha pergi rumah along ya?” pinta Nadra sekali lagi. Dia sangat berharap Raqib akan memberi izin.

“Boleh...”

“Terima kasih!” potong Nadra pantas. Lega dengan keizinan Raqib.

“Abang belum habis cakap lagilah, Iha. Abang nak kata yang Iha boleh pergi rumah along. Tapi... bukan hari ni sebab hari ni abang balik awal semata-mata nak habiskan masa dengan Iha. Iha pun selalu kata yang abang sekarang ni kerja kuat sangat macam esok dah tak ada hari. Kan?”

Raqib yang nampak jelas riak muka Nadra yang berubah, terasa geli hati. Dia mengulum senyum supaya tak sampai ke mata isterinya. Bukannya dia mahu bersikap diktator. Nadra boleh saja pergi ke rumah orang tua Nadra yang kini dihuni Fawwaz. Boleh saja bertemu dengan Fawwaz di mana-mana saja yang Nadra mahu. Tapi tidak hari ini kerana hari ini dia mahu menghabiskan masa dengan Nadra. Mahu memujuk hati Nadra sampai benar-benar terpujuk. Tidak mahu sengketa kecil yang ada akan berpanjangan sehingga pada akhirnya banyak hati yang akan terluka.

Marah macam mana pun, merajuk macam mana pun, hakikatnya... Nadra dan Idlan sudah pun menjadi keluarga.

“Tapi...”

“Keputusan abang muktamad. Kalau Iha rasa nak jumpa along, Iha jumpa esok, lusa, tulat atau bila-bila masa aje yang Iha suka. Hari ni... Iha, abang punya. Sesaat pun abang tak nak lepaskan ke mana-mana. Iha faham kan?”

“Iha...”

Jari telunjuk, Raqib goyangkan beberapa kali. Pujuklah macam mana pun, dia tidak akan terpujuk. Rayulah dengan suara yang menggoda pun, dia tetap kan bertahan. Yang dia tahu, Nadra tidak boleh ke mana-mana. Kalau masih mahu ke mana-mana, Nadra harus pergi bersama-samanya.

“Jom... kita masuk rumah sekarang,” ajak Raqib. Kali ini tangannya memegang lengan Nadra yang seperti enggan keluar dari kereta.

“Iha nak jumpa dengan alonglah!” kata Nadra sebaik saja dia berjaya ditarik Raqib keluar..

“Kalau tak nak masuk rumah, kita masuk bilik kita.” Raqib sengaja tak mengendahkan kata-kata Nadra yang agak keras. Tidak lagi lembut seperti tadi. Kemudian dia ketawa perlahan dengan apa yang dikata. Tidak mungkin mereka dapat masuk ke bilik kalau tidak masuk ke dalam rumah terlebih dahulu.

“Iha nak pergi rumah alonglah,” rengusnya sakit hati. Geram pula bila Raqib terus juga membuat kelakar.

“Kan abang dah izinkan Iha jumpa along. Apa lagi yang tak puas hati ni?” balas Raqib sambil tersengih. Pipi kiri dan kanan Nadra dipegang dengan kedua-dua tapak tangannya. Direnung dalam-dalam mata yang setiap pagi menyapa wajahnya sejak tiga bulan lalu. Siapa sangka, Nadra yang dulunya hanya dianggap kawan rapat, kini sudah bergelar isteri buatnya. Dia sendiri pun tidak percaya yang dia mampu menyayangi Nadra lebih daripada sayang seorang kawan.

Nadra terus mengunci mulut. Tidak ada gunanya lagi dia mengatakan apa-apa kerana Raqib sudah membuat keputusan.

“Kalau Iha rasa nak dengar suara along, telefon kejap lagi.”

Pegangan pada pipi Nadra, Raqib lepaskan. Kemudian dia memegang lengan Nadra dengan tangan kanannya. Dengan tangan kirinya, dia membuka pintu kereta di bahagian belakang. Beg tangan Nadra dicapai sebelum pintu kembali ditutup perlahan dengan rasa tidak puas hati.

“Ni... kenapa letak beg tangan kat belakang?” tanya Raqib dengan wajah serius. Tajam matanya menikam wajah Nadra.

Nadra pandang beg tangan berwarna hitam di tangan kiri Raqib. Kemudian Raqib dijeling sekilas. Dia menggigit bibir. Rasa kesal mula menghunjam hatinya tanpa pengetahuan Raqib. Gara-gara hati yang tidak stabil, dia jadi lupa menjaga keselamatan diri sendiri. Terus alpa pada pesanan Raqib supaya jangan lagi meletakkan beg tangan di tempat duduk belakang. Bimbang beg tersebut mengundang perhatian peragut.

Padan muka kau, Nadra! Tadahlah telinga sekarang ni.

“Abang dah pesan banyak kali pada Iha kan?” Hilang terus nada mengusiknya.

“Iha lupa,” balas Nadra perlahan. Takut pula hendak meninggikan suara pada saat Raqib bermuka serius.

“Lupa?” Kuat nada suara Raqib. Tidak percaya Nadra boleh menjawab begitu sedangkan bukannya sekali dua dipesan. Berkali-kali sampai Nadra sendiri sudah jemu mendengarkannya. Lantaran itu, dia sudah tak mengingatkan isterinya itu lagi kerana dia yakin Nadra ingat. Tapi kini, selepas lama tak diingatkan, Nadra kembali lupa. “Hari tu bila abang ingatkan, Iha kata tak payah dah ingatkan sebab Iha dah tahu. Bila abang tak ingatkan, jadi macam nilah,” bebel Raqib sebal. Geram bila nasihatnya seperti masuk ke telinga kanan kemudian keluar ke telinga kiri.

“Iha tak sengajalah.”

“Menjawab!”

“Abang marah Iha?” tanya Nadra perlahan. Dia tahu dia sudah melakukan kesalahan. Tapi tidak ada apa-apa yang berlaku padanya. Malah dia pulang pun dalam keadaan yang langsung tidak ada cacat cela. Tak perlu bercakap dalam nada marah pun dia akan memahaminya.

“Inilah Iha! Cakap sikit nak merajuk, cakap sikit nak kecil hati. Perangai sama aje macam Idlan.”

Idlan. Sebaris nama itu kembali membuatkan Nadra terasa sebak. Kerana adik Raqib itu, hari ini apa yang dibuat di pejabat serba tak kena. Terlalu melayan rasa sedih kerana dianggap orang luar oleh Idlan, dia ditegur ketika sedang bermesyuarat. Lebih memalukan, dia gagal memberikan pendapat sedangkan sejak semalam dia sudah memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku dalam mesyuarat itu.

Tidak habis di situ, ketika makan tengah hari dia tertumpahkan air di atas baju orang yang langsung tak dikenali. Akibatnya, percuma saja dia dimarahi di tengah-tengah orang yang sedang menjamu selera. Mukanya memang terasa tebal berinci-inci, namun yang mampu dilakukan hanya mengucapkan kata maaf berkali-kali. Ikutkan hati, mahu saja dia berlari pulang saat itu juga.

“Iha nak masuk rumah dulu,” pinta Nadra perlahan. Lengan yang masih dipegang Raqib ditarik perlahan. Kemudian dia melangkah lemah. Hari ini memang hari malang bagi dirinya. Semuanya serba tidak kena!

Janganlah aku bertembung dengan Idlan, doanya dalam hati.

Sekuat mana pun dia, sesabar mana pun dia, jauh di sudut hatinya yang paling dalam, dia masih belum dapat melupakan apa yang Idlan katakan.

Raqib yang melihat langkah Nadra yang makin menjauh, terus tersandar di badan kereta Nadra. Di tangan kirinya masih ada beg tangan Nadra. Beg yang menjadi punca kemarahannya. Niat mahu memujuk isterinya itu bertukar dalam sekelip mata. Kini, dia yakin sekali yang rajuk dan kecil hati Nadra padanya jadi makin dalam. Sudahlah begitu, disebut sekali nama Idlan tanpa disedari.

“Mulut ni pun satu, lancang sangat. Tak tahu nak belajar bersabar sikit. Tak fasal-fasal Iha jadi lebih sedih,” marah Raqib pada diri sendiri. Mulut ditepuk-tepuk perlahan.

“Idlan pun... dengan kakak ipar sendiri pun nak dicari gaduh. Siap patahkan tumit kasut Iha lagi. Dua-dua pula tu. Dahlah kasut tu aku yang belikan. Kalau murah harganya tak apalah juga. Mahal tu!”

Idlan... kenapa aku sebut nama Idlan depan Iha tadi? Padahal aku tahu yang hati Iha masih belum terpujuk.

Memang teruk kau ni, Raqib!

- BICARA CACAMERBA! -

26 Ramadan! Orang lain makin puasa, makin rajin buat apa aje. Tapi saya makin puasa, makin malas nak memeriahkan Rumah Ketiga saya ni [Rumah pertama, Rumah Pink. Rumah kedua, Rumah Abah]. Padahal kalau nak diikutkan, banyak benar yang boleh saya kisahkan di sini. Rumah yang saya bagi nama Rumah Ketiga. Saya kan, memang suka berkisah. Cuma itulah, lately ni saya memang penuh dengan kemalasan. Kerja saya setiap hari, tengok TV, tengok TV dan tengok TV terus. Dan bila rasa malas muncul, kerja yang mudah jadi macam sukar. Contohnya, nak menaip-naip di PC ni.

Hari ni pun saya muncul di Rumah Ketiga saya ni dengan rasa menggebu-gebu nak berkisah, tapi... saya tak tahu pula apa yang nak dikisahkan dengan jelas. Cumanya terasa macam lama benar saya biarkan Rumah Ketiga saya ni gersang tanpa bebelan daripada jari-jemari gemuk saya ni sampai ada yang dah mula bertanya-tanya. Sungguh saya terharu, bila beberapa orang berkata saya dah makin sepi di sini. Macam hilang ditelan bumi aje. Bukannya tak ada cerita, ada aje cerita. Misalnya, dua minggu lepas saya berbuka di Tapah selama dua hari dua malam.

Jadinya, bertitik-tolak daripada itu, hari ni saya mahu membebel tentang saya dan masalah tidur yang saya alami. Tapi bukanlah kisah penting, mungkin juga N3 saya hari ni agak cacamerba. Anggap ajelah saya sekarang ni masih berada dalam proses memanaskan jari-jemari dan otak yang kadang-kadang terasa seakan-akan kosong.

Rumah Tapah! Sebuah rumah yang bukan milik saya tapi setiap kali jejak ke sana, saya terasa seolah-olah ada di rumah sendiri. Saya boleh buat apa saja yang saya suka, malah saya bebas bercakap apa saja yang saya nak. Bahkan kadang-kadang, saya siap order mahu makan apa dan mereka yang baik hati itu, tetap melayan kerenah saya. Bila saya tak kata nak makan apa, mereka yang baik hati tu pula yang tanya saya, apa yang masih saya makan. Mereka betul-betul macam keluarga saya.

Sejujurnya, saya memang jenis cepat mesra dengan orang walaupun pada awalnya saya kelihatan seperti kaku dan sombong. Saya ni ibarat tak kenal maka tak cinta. Bila dah kenal, memang tak larat nak layan saya bercakap. Agaknya, ada juga yang bosan bila dan kenal sebab mulut saya ada masa-masanya bila dah bercakap memang agak suka nak berhenti. Itu... belum lagi bila saya duduk sendiri, saya mula menyanyi apa aje lagu yang melintas di kepala saya. dan lebih pelik lagi, saya pegang aje span basuh pinggan, automatik ada lagu keluar dari mulut saya. Kata orang tua, “Jangan menyanyi bila basuh pinggan sebab nanti dapat suami tua”. Kata Kak Long saya, “Tak adalah! Akak dulu-dulu nyanyi juga masa basuh pinggan. Tengok-tengok akak kahwin dengan lelaki sama umur”. Kan... Kak Long saya memang ada dalam serius, pandai juga bergurau.

Berbalik pada cerita tadi, walaupun saya mudah mesra, saya sebenarnya tak mudah nak bermalam berhari-hari di rumah orang. Kecuali rumah adik-beradik saya, saya memang agak berat hati tidur luar selain daripada rumah sendiri. Bukanlah saya berlagak. Tidak. Tapi saya memang sangat mementingkan keselesaan bila nak tidur sebab saya bukannya mudah lena macam orang lain. Bukan jenis letak aje kepala, terus lena sampai ke pagi. Kalau saya masuk tidur, setengah jam atau sejam kemudian baru saya akan tidur. Kadang-kadang, sampai berjam-jam, kadang-kadang langsung tak tidur sampai ke pagi. Bila saya dah tidur, saya akan jaga berkali-kali sampai saya sendiri letih nak melelapkan kembali mata yang terjaga.

Sebab itulah, saya lebih suka pilih tidur di rumah sendiri. Sungguh, saya memang sangat menghargai masa tidur saya. Bukan rumah orang tak selesa, hanya rumah orang tetap rumah orang. Tak boleh bertingkah seperti rumah sendiri, bimbang akan mengganggu. Tapi rumah yang di Tapah itu berjaya buat saya rasa selesa. Setiap kali nak balik semula ke KL, hati saya selalu rasa berat, sama berat setiap kali saya nak tinggalkan Rumah Abah. Betul... keluarga yang di Tapah itu dah saya anggap seperti keluarga saya sendiri kerana mereka juga melayan saya sangat baik.

Saya juga bukan jenis suka nak berkeluarga angkat. Sejak zaman sekolah sampai menginjak ke zaman universiti, saya tak gemar dengan perkataan adik angkat, abang angkat, kakak angkat, mak bapa angkat dan angkat-angkat yang lain walaupun ada juga yang merisik-risik mahu menjadikan saya keluarga angkat merek. Bagi saya, keluarga orang tak mungkin boleh jadi keluarga sendiri. Saya rasa sangat janggal! Kalau baik pun, baik ajelah. Tak perlulah sampai mengaku bersaudara angkat. Pelikkan saya ni? Tapi itulah saya, saya yang mungkin sama dengan segelintir orang di luar sana. Sampai setua ini pun, saya hanya ada 2 orang kakak angkat aje. Itu pun saya kenal mereka selepas menjengah dunia pekerjaan. 1 ada di JB dan 1 lagi ada di KL. Selebihnya, saya anggap yang ada di Rumah Tapah itu keluarga angkat saya kerana kedatangan saya ke sana sentiasa dialu-alukan dengan tangan terbuka. Hendaknya, sampai bila-bila pun kami akan terus berbaik-baik. Moga ALLAH pelihara ikatan tanpa tali yang terjalin antara kami.

Apa lagi yang nak saya kisahkan hari ni? Tak adalah! Minda saya seperti kosong, kosong dan kosong. Makanya, jumpa lagi di lain N3 ya... ;-)

- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [4] -

“SIAPA yang nak kahwin dengan Jiha? Kalau Jiha aje perempuan yang tinggal dalam dunia ni, Najid tetap tak naklah kahwin dengan Jiha,” kata Najid sambil tergelak-gelak sebaik saja mendengar cerita Najihah tentang apa yang dikatakan Ilham petang tadi. Tangan kanannya memegang telefon bimbit, manakala tangan kiri pula memegang perut sendiri. Geli hati dengan apa yang dikatakan Ilham.

Bapa saudara Najihah itu tidak habis-habis berkata yang satu hari nanti dia dan Najihah akan jadi suami isteri. Padahal, keluarga Najihah tahu, keluarga dia juga tahu yang dia dan Najihah memang rapat. Rapat yang seperti adik-beradik, bukannya rapat seperti pasangan kekasih. Lagipun sejak kecil ditemani Najihah, dia tidak pernah terfikir yang dia dan Najihah akan berkongsi hidup selain daripada yang dipanggil sahabat.

Mahu berkongsi katil dengan Najihah?

Sungguh... dia langsung tidak pernah bermimpi ngeri seperti itu! Silap hari bulan, malam di atas katil, pagi sudah tersembam ke lantai kerana Najihah yang dikenali bukannya terlalu kasar, tapi tidak juga lemah lembut.

“Bapa saudara Jiha tu memang suka buat kelakar.”

Najihah diam. Hatinya terasa seperti digigit dengan kata-kata Najid tadi. Kalaupun Najid tidak mahu berkahwin dengannya, tidak perlulah mengeluarkan kata-kata seperti itu. Nada suara Najid memang lembut, tapi entah kenapa terasa menusuk sampai ke ulu hatinya yang paling dalam. Ketawa Najid yang seperti tidak sudah itu terasa bagaikan satu ejekan untuknya.

Macamlah aku pernah kata nak kahwin dengan dia, detik hati Najihah tidak puas hati.

“Tak habis-habis nak kata yang satu hari nanti kita akan kahwin. Padahal kita hanya kawan aje. Nak berkasih sayang dengan Jiha lebih daripada kawan, Najid tak naklah. Tolonglah!” sambung Najid terus. Ketawanya tetap juga tidak mahu reda.

Tetap juga Najihah tidak membalas kata-kata Najid. Ikutkan hati yang sudah tidak tentu arah, mahu saja ditengking Najid supaya berhenti ketawa saat itu juga. Tapi disabarkan saja hatinya yang senipis kulit bawang dengan sedaya upaya. Terus juga mendengar Najid berkata-kata dan ketawa macamlah apa yang dikatakan kelakar benar. Menyesal pula dia menceritakan pada Najid apa yang dikatakan Ilham petang tadi. Kalau dia diam, tentu Najid tidak akan tahu dan hatinya tidak akan sakit mendengar ketawa Najid tak sudah.

“Macamlah tak ada orang lain lagi dalam dunia ni. Ada ke patut Jiha yang nak dipadankan dengan Najid.”

Kali ini Najihah benar-benar sudah hilang sabar. Mungkin Najid hanya bergurau, namun dia tidak dapat menerima gurauan Najid kali ini. Kalau pun dia tidak bagus di mata Najid, Najid tetap tidak berhak mengeluarkan kata-kata seperti itu. Macamlah dia terlalu teruk sebagai perempuan. Sekeras mana pun dia, dia tetap punya hati dan perasaan. Lainlah kalau selama ini dia ada mengatakan dia sukakan Najid.

“Jiha pun tak inginlah kahwin dengan Najid! Jiha pun tak inginlah Najid jadi suami Jiha. Bukan handsome pun. Kalau Najid handsome macam pelakon Korea nak juga Jiha jadi isteri Najid.”

Usai berkata-kata, terus talian dimatikan. Kemudian, telefon bimbit dicampak begitu saja di atas katil. Hatinya benar-benar membengkak. Kalaulah Najid ada di hadapannya saat ini, memang sudah ditumbuk-tumbuk muka Najid sampai hatinya puas. Kalau masih tidak puas, dia pasti akan melebamkan kedua-dua belah biji mata Najid. Biar Najid beringat dulu sebelum mengeluarkan kata-kata padanya.

“Macamlah dia tu bagus sangat! Ingat aku lapar sangat ke nak jadi isteri dia? Ei... jangan nak mimpilah!” rungut Najihah meluat. Turun naik nafasnya kerana menahan perasaan yang menggelegak dalam dada.

Skrin telefon bimbitnya yang menyala-nyala dengan wajah Najid terpamer dipandang dengan bibir mencebik. Meluat. Kalau itu telefon bimbit milik Najid, pasti awal-awal lagi sudah menjadi mangsa hempasannya ke lantai. Mujur saja dia ingat yang itu adalah telefon bimbit yang dibeli dengan hasil usahanya sendiri. Bukannya diperoleh daripada papanya seperti sebelum ini.

“Dah sakitkan hati kita, ada hati nak bercakap lagi kat telefon. Jangan haraplah, Najid! Jiha tak ingin layan Najid.”

Terus juga Najihah membebel-bebel sendiri. Telefon bimbit yang masih menjerit minta diangkat langsung tidak dipedulikan. Biar patah jari-jemari Najid sekalipun, dia tetap tidak akan membalas panggilan Najid. Lantaklah Najid mahu berfikir apa, dia tidak akan peduli. Najid fikir dia apa boleh dihamburkan dengan kata apa pun yang Najid suka. Najid ingat dia berhati kayu atau batu apa?

Memang diakui yang dia pun ada masa-masanya bercakap lepas. Dia akan bercakap apa saja yang dirasakan betul. Tapi dia tidak pernah bercakap tentang sesuatu yang kedengaran seperti menghina orang lain, apalagi Najid yang selama ini rapat dengannya. Tidak pernah dilakukan sekali pun.

“Tapi... tadi tu Najid menghina aku ke? Ataupun aku aje yang terlebih sensitif hari ni?” tanya Najihah pada diri sendiri.

Beberapa detik, dia diam tidak berkutik. Tidak ada jawapan kerana dia bertanya kepada dirinya sendiri.

Tangan kanan dibawa ke dahi, masih mencari-cari jawapan pada soalan yang ditanya pada diri sendiri tadi. Namun, tetap juga tidak bertemu dengan apa yang dicari. Balik-balik, yang muntah dari ulas bibirnya hanyalah keluhan yang bercampur dengan rasa kesal. Entah apa yang dikesalkan sangat, dia sendiri tidak tahu. Hanya yang pasti, dia memang cukup terasa dengan apa yang dikatakan Najid tadi.

“Kalaupun Najid tak berniat menghina aku, aku tetap juga rasa terhina. Macamlah aku ni teruk sangat. Macamlah dia tu bagus sangat. Muka bukannya handsome pun,” kutuk Najihah dengan bibir mencebik-cebik.

Namun sedetik kemudian, dia tersenyum nipis. Najid mungkin tidak sekacak hero Korea yang selalu dilihat di kaca TV, tapi Najid masih ada kelebihan yang tidak ada pada kebanyakan hero itu. Kelebihan yang mungkin hanya dapat dilihat oleh dia, ayah Najid, papanya dan Ilham. Kelebihan yang membuatkan Najid mempunyai tempat yang lebih tinggi dibandingkan hero-hero itu.

“Eh... aku merepekkan apa ni? Bukankah tadi Najid mengata aku? Yang aku nak puji-puji dia apa fasal pulak? Bukan patut aku mengutuk dia sampai hati aku betul-betul puas ke?”

Telefon bimbit yang masih menjerit-jerit diterbalikkan, enggan melihat wajah Najid dengan senyuman lebar tertera di skrin. Sakit hati yang tadinya menyurut saat mengenangkan kelebihan Najid, kembali memarak. Selagi Najid tidak memohon maaf, dia tekad akan mogok suara dengan Najid.

“Biar padan dengan muka Najid!”
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Skrin telefon bimbit yang sudah tidak ada wajah Najihah kerana sudah gelap, Najid pandang lama dengan dahi berkerut. Aneh, bila Najihah tiba-tiba saja memutuskan talian saat mereka belum selesai berbicara. Memang sudah menjadi kebiasaan dia dan Najihah akan berbual-bual di telefon setiap hari walaupun sudah berjumpa pada siang hari.

Tapi lebih aneh lagi bila Najihah langsung tidak mengendahkan panggilannya yang berbelas-belas kali. Selalunya Najihah tidak begitu. Sekali bunyi saja, Najihah sudah menjawab, langsung tidak menyempat-nyempat kalau Najihah ada berhampiran dengan telefon bimbit. Tapi hari ini, apa sudah jadi dengan Najihah? Sesuatu berlakukah?

“Ada yang tak kena ke dengan Jiha?”

Kepala yang tidak gatal, Najid garu perlahan. Siri Leverage di AXN yang diminati gagal membuatkan matanya terus melekat di kaca TV. Yang ada di kepalanya saat ini hanyalah Najihah semata-mata. Pelik bila Najihah tiba-tiba saja membuat perangai malam ini.

“Bergaduh dengan abang lagi ke?”

Terus-terusan soalan menghunjam benak Najid. Namun semua soalannya, berkaitan dengan Najihah yang tidak ada angin, tidak ada ribut tiba-tiba saja sepi tidak mahu menjawab panggilan telefonnya.

“Tapi kalau pun bergaduh dengan abang, kenapa pula telefon aku tak dilayan? Macamlah aku yang suruh abang gaduh dengan dia.”

Sengihan Ilham setiap kali dapat membangkitkan kemarahan Najihah, terbayang-bayang di matanya. Bapa saudara Najihah itu memang suka membuli Najihah. Bahkan ada masa-masanya, dia juga turut sama dibuli Ilham kerana dia suka membela Najihah. Tapi bila dia dan Najihah sudah berganding bahu, Ilham pula yang dibuli mereka. Pendek kata, mereka bertiga memang selalu saling kena-mengenakan antara satu sama lain. Namun bukanlah buli bertujuan menyakitkan, hanya menyakat semata-mata.

Dan usik-usikan itulah yang membuatkan hubungan mereka bertiga jadi rapat. Mereka boleh berkongsi apa saja cerita. Dia bukannya anak saudara Ilham, namun Ilham tidak pernah menganggap dia orang luar. Macam mana Ilham melayan Najihah, begitu jugalah Ilham melayannya. Langsung tidak ada yang dilebihkan dan tidak ada yang dikurangkan. Dia dan Najihah, tetap dilayan Ilham sama rata.

Telefon bimbit di atas paha kembali dicapai, kali ini nombor Ilham pula yang dicari. Mana tahu bapa saudara Najihah itu ada jawapan atas sikap pelik Najihah saat ini.
“Abang...” sapa Najid sebaik saja mendengar suara Ilham.

“Najid ni macam Jihalah! Selalu tak tahu nak bagi salam kalau telefon orang. Jenuh nak ingatkan,” tegur Ilham entah untuk kali ke berapa. Baik Najihah, mahupun Najid, memang banyak persamaan. Mungkin membesar bersama membuatkan kedua-duanya selesa mengamalkan gaya hidup yang sama.

Kalau gaya hidup yang betul tak apa juga, ni dah jelas-jelas tak elok, rungut hati Ilham kurang berkenan.

“Abang ni suka membebel macam Jihalah,” balas pula Najid sambil tergelak-gelak. Sengaja mengabaikan teguran Ilham. Bukannya baru hari ini ditegur kerana hal yang sama, sudah beratus-ratus kali, telinganya pun sudah lali. Tapi sudahnya setiap kali mendengar suara Ilham di telefon, tetap juga tidak ada salam yang keluar di bibirnya.

“Abang cakap kat Jiha, Najid mengata dia ya,” ugut Ilham selamba.

“Najid cakap juga kat Jiha yang abang mengata dia tadi,” ugut Najid balik.

“Bila masanya abang mengata Jiha?”

Najid senyum nipis. Telefon bimbit masih kukuh dalam genggaman tangan kanannya. “Tadi tu... masa abang kata Najid tak suka bagi salam kat telefon. Tu namanya bukan abang mengata Jiha ke?”

“Tu bukan mengatalah tapi memang kenyataan pun. Jiha kalau telefon abang mana pernah nak bagi salam. Main terjah aje sesuka hati.”

“Samalah tu, mengata juga!”

“Pandailah Najid...”

“Terima kasih abang sebab kata Najid pandai,” potong Najid pantas. Sengaja tidak mahu membiarkan Ilham menyudahkan kata-kata. Padahal, dia tahu Ilham bukannya bertujuan memujinya, dia saja yang bersikap seperti bapa saudara Najihah itu sedang memujinya. Dengan Ilham yang sudah dianggap seperti bapa saudara sendiri, tidak ada apa yang hendak dimalukan. Ilham pun selalu juga bersikap ‘masuk bakul angkat sendiri’ bila berhadapan dengan dia dan Najihah. Bahkan, sikap ‘perasan’ bapa saudara Najihah itu lebih hebat dibandingkan dia dan Najihah sendiri.

Kemudian dia ketawa sedikit kuat. Sengaja membakar perasaan Ilham.

“Perasan!”

Semakin kuat ketawa Najid menggegarkan ruang biliknya yang masih bingit dengan suara TV.

“Ni yang Najid telefon abang malam-malam ni ada apa? Ganggu abang nak rehat aje,” rungut Ilham.

“Abang buat apa tu?”

“Eh... sejak bila pulak Najid peduli abang buat apa? Selalu tu tak pernah pun nak kisah. Apa yang Najid dan Jiha selalu cakap tu? Ada aku kisah!”

Najid menekan perut sendiri. Hari ini dirasakan Ilham agak lucu. Mungkin bapa saudara Najihah itu tidak berniat membuat kelakar, tapi dia terasa hendak ketawa dengan setiap kata-kata yang lahir dari bibir Ilham. Lupa seketika pada tujuannya menghubungi Ilham. Lupa juga pada Najihah yang entahkan sudah tidur entahkan masih belum itu.

“Abang ni buat kelakar pulak hari ni.”

“Najid nak apa ni? Abang letih ni tahu tak! Dahlah tadi Najid balik awal tinggalkan abang sorang-sorang menghadap Miss Angelinna tu. Berpeluh abang menjawab soalan dia yang tak henti-henti tu,” ujar Ilham datar. Sakit benar hati dia bila sampai saja di bilik pejabat Najid, dia diberitahu yang Najid sudah keluar sedangkan tengah harinya Najid sudah bersetuju mahu menemani dia bertemu dengan Miss Angelinna yang banyak kerenah itu.

“Najid malaslah dengar Miss Angelinna tu membebel.”

“Tapi Najid kan dah janji?”

Najid tersengih. Memang dia bersalah, tiba-tiba saja dia terasa bosan menjelang petang tadi, lantaran itu dia mengajak Najihah pergi ke taman permainan. “Sorry ya abang... esok Najid belanja abang makan sebagai menebus kesalahan Najid pada abang. Tapi sekarang ni Najid nak tanya abang, Jiha kenapa?”

“Jiha kenapa?” tanya Ilham kembali. “Tadi elok aje dia kata dia kenakan Najid kat taman permainan sampai Najid kena marah dengan Pak Munawir,” kata Ilham sambil ketawa kecil, mengejek Najid.

Najid ikut ketawa sama. “Jiha tu hampeh! Dia tak ada apa-apa eh abang?”

“Tak ada apa-apalah. Letihlah tu, dah tidur agaknya.”

“Bukan sebab abang buli dia ke?”

“Najid ingat abang tak ada kerja lain ke nak buat selain daripada buli Si Jiha tu? Abang tak laratlah nak buli dia hari ni sebab abang pun letih juga.”