- NOVEL KE-4 : SEGALANYA UNTUKMU -

October 29, 2012

JANGANKAN di alam sedar, di alam mimpi pun Jehanna Aisya tidak pernah berhajat untuk punya suami. Baginya, pengalaman lalu adalah guru yang paling jujur. Api dendam yang marak terhadap lelaki tidak pernah padam walau tahun demi tahun berlalu. Selagi terdaya, dia akan berlari dan terus berlari walaupun ke hujung dunia.

Katalah apa pun, Fahem Ammar tetap tidak memerlukan wanita ber-gelar isteri dalam hidupnya. Dia bukan jenis lelaki yang akan tunduk pada kehendak hati. Baginya, perkahwinan itu ibarat satu perjudian. Menang atau kalah hanya bergantung kepada nasib. Selagi boleh dielak, dia akan cuba mengelak seberapa daya yang mungkin.

Tapi, itu kata Fahem dan Jehanna yang punya cerita tersendiri, sedangkan janji ALLAH jauh lebih baik daripada itu. Dalam hangatnya mentari yang memancar, mereka dipertemukan dalam keadaan yang tidak diduga. Ada ego yang tercalar, ada hati yang terbakar dan ada pula bibit-bibit rindu yang hadir tanpa disedari.

Namun, bukan hidup namanya jika berjalan di atas garis lurus semata-mata. Bersaksikan Pulau Redang, Fahem melafazkan cinta. Malangnya, pantai yang sama juga menjadi saksi luka di hati Jehanna kembali berdarah. Semuanya kerana Fahem!

Benarkah kepercayaan itu umpama sebuah kristal, cantik memukau mata, tapi sekali terhempas tak mungkin akan dapat bercantum kembali?

PESANAN PENTING : Untuk yang mahu mendapatkan novel saya, boleh berkunjung ke ARRAZI SHOPPE dan KARANGKRAF MALL. Kedua-duanya memiliki kesemua koleksi novel saya. Terima kasih!

TIBA-TIBA : Rasa rindulah pulak pada Jehan & Fahem. Apa agaknya khabar mereka berdua sekarang ni ya? Adoilah...



- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [15] -

October 23, 2012

“JIHA nak kahwinlah Najid...” ujar Najihah sebaik saja mengenakan tali pinggang keledar di sisi Najid. Matanya dihalakan ke arah Najid yang kelihatan kaku. Namun dia tahu yang Najid bukannya tidur, jauh sekali pengsan. Lelaki itu hanya mahu merehatkan diri semata-mata. Mungkin bosan menunggu dia yang agak lambat.

Perempuan kalau lambat, normallah kan?

Mata Najid yang terpejam gara-gara menunggu Najihah yang dirasakan terlalu lama solat di masjid, terus terbuka. Sudah dua bulan berlalu, sejak Najihah menyebut perkataan yang sama berhari-hari dan berkesudahan dengan Najihah diejek Ilham dan Najihah mengamuk membaling Ilham dengan bantal. Hari ini, dia sekali lagi terpaksa mendengarkan ayat yang sama. Juga, lahir dari ulas bibir Naihah.

Sangkanya bila lama tidak menyebut, Najihah sudah lupa. Tapi rupa-rupanya, tidak. Najihah kelihatan langsung tidak lupa. Hanya mungkin Najihah menunggu masa yang sesuai untuk mengulang kata-katanya.

“Kenapa? Tadi masa nak datang sini Jiha jumpa dengan lelaki idaman Jiha sampai Jiha rasa tiba-tiba nak jadi isteri dia?” sinis sedikit kata-kata Najid.

“Mana ada!”

“Dah tu yang tiba-tiba bercakap balik benda yang dah lama Jiha tak cakap tu apa hal pulak?

Berkahwin! Ya, dia tahu semua orang dalam dunia ini tidak kira lelaki atau pun perempuan, memang mahu berkahwin. Bukan hanya orang dewasa, bahkan remaja pun sudah ada yang berangan-angan mahu menamatkan zaman bujang walaupun masa kelihatan seperti tidak kena. Memang diakui kalau berkahwin itu satu tindakan yang dituntut kerana melalui perkahwinan banyak kebaikan boleh dicipta anak Adam.

Tapi itu jika memang ikhlas mahu mendirikan rumah tangga.

Soalnya, Najihah bukannya benar-benar ikhlas. Gadis itu mahu menamatkan zaman gadis hanya semata-mata melihat Munirah bahagia. Najihah seakan-akan menjadikan ikatan perkahwinan itu seperti sebuah eksperimen. Berjaya bukan matlamat Najihah. Matlamat gadis itu, hanyalah sekadar mahu mencuba semata-mata.

Tidakkah Najihah kelihatan seperti tidak logik? Tidak munasabah? Atau lebih kasar lagi, sedikit gila?

Tapi bila dia mengatakan Najihah gila, gadis itu marah-marah. Sanggup pula menarik muncung panjang kerana tidak puas hati.

Salahkah jika dia hanya mahukan yang terbaik untuk gadis itu? Takkanlah dia hanya mahu membutakan mata melihat Najihah mencari musibah untuk diri sendiri? Kalau berjaya, tidak mengapa juga. Kalau gagal bagaimana? Janda! Dia sungguh-sungguh tidak mahu Najihah menyandang gelaran itu.

Dia tidaklah mengatakan menjadi janda itu tidak elok. Bukan itu niatnya. Cuma, dia faham benar dengan pandangan sesetengah masyarakat. Kalau pun tidak ada apa-apa yang dilakukan golongan yang bergelar janda, tetap juga mahu menganggap yang bukan-bukan. Macamlah janda bukan manusia normal sehingga harus dijauhi.

Mampu ke Najihah menerima jika ada yang mencela?

Kalau ada anak pula, macam mana dengan nasib anak Najihah kalau terjadi perceraian antara orang tua?

“Tak boleh ke kalau Jiha nak kahwin? Takkanlah Jiha tak payah kahwin sampai bila-bila?”

“Boleh! Tapi bukan sekarang dalam keadaan Jiha sendiri tak bersedia. Kahwin bukan macam main kahwin-kahwin Jiha.”

“Jiha nak cuba Najid! Jiha nak tengok kalau Jiha kahwin, Jiha akan jadi macam papa atau Jiha akan jadi macam ayah.”

Bibir Najid ketap kuat-kuat. Geram mula mencanak-canak dalam dirinya dengan sikap ambil mudah Najihah. Lagi-lagi cuba! Entah bila baru Najihah akan mengerti agaknya, dia benar-benar tidak tahu.

“Apa kaitan papa dengan ayah?” tanyanya keras.

“Kalau Jiha jadi macam papa, maknanya Jiha tak bahagia dalam perkahwinan dan kalau Jiha jadi macam ayah maknanya Jiha bahagia. Kiranya percubaan yang Jiha buat tu berjaya,” terang Najihah selamba. Mudah saja dia membuat kesimpulan kerana memang itu pun yang diinginkan. Masuk ke alam rumah tangga, mencuba menjadi seorang isteri. Berjaya atau gagal bukanlah matlamatnya.

“Jiha ingat kahwin tu boleh cuba-cuba ke?”

“Tak salah kan?”

Pertanyaan Najihah terasa seperti mencabar saja di telinga Najid. Kalau Najihah itu adiknya, memang dicekik-cekik supaya Najihah menarik kembali niat yang disimpan. Kalau memang sudah sampai seru Najihah mendirikan rumah tangga, dia akan mendoakan yang baik-baik untuk gadis itu. Tapi kalau Najihah mahu menjadi seorang isteri semata-mata kerana mahu mencuba, dia langsung tidak dapat menerima.

“Bila baru Jiha nak faham ni?”

Najihah jongket bahu. Bukannya dia tidak faham tapi dia sengaja buat-buat tidak faham, sama seperti Najid yang tidak mahu memahami niatnya. “Selama ni pun kita memang suka mencuba kan? Jadi apa masalahnya pula kalau kali ni Jiha mahu mencuba? Bukannya Jiha ajak Najid kahwin pun. Bukannya Jiha nak ajak Najid cuba pun. Jiha nak cuba dengan orang lain. Yang Najid nak marah sangat kenapa?”

“Itu lain Jiha. Cubaan yang kita buat selama ni tak sama dengan cubaan yang Jiha nak buat kali ni. Sekarang ni, yang Jiha nak buat macam nak letak leher sendiri di tali gantung tahu?”

“Jiha nak cuba juga!”

Najid mengeluh. Najihah seperti langsung tidak mengendahkan kata-kata dan nasihatnya. Seperti masuk telinga kanan, kemudian keluar telinga kiri. Dalam diam-diam dia mengutuk hari di mana Najihah melihat kemesraan Munirah dan Syukri. Kalau tidak ada hari itu, tentu Najihah tidak akan memikirkan mahu menjadikan ikatan perkahwinan sebagai salah satu bahan eksperimen.

“Jiha ada cintakan sesiapa ke?” tanya Najid ingin tahu. Suara kerasnya sedikit kendur. Dalam keadaan begini, berkasar dengan Najihah dirasakan bukan tindakan bijak. Makin keras dia, makin keras Najihah.

Najihah geleng. Dia serba salah. Beria-ia hendak berkahwin, tapi langsung tidak ada calon.

“Habis Jiha nak kahwin dengan siapa?”

“Belum fikir lagi.”

Najid geleng, geramnya dia pada Najihah tidak terkata. “Jiha ingat kahwin tu macam kita main kahwin-kahwin masa kecik ke?” ulangnya sekali lagi. Terasa seperti dia sedang menarik telinga Najihah.

Najihah sengih. “Nanti Jiha cari orang yang sesuai”

“Jiha memang degil!”

“Jom pergi makan, Jiha laparlah.” Najihah mengubah topik perbualan. Setiap kali dia berkata dia mahu berkahwin, setiap kali itulah Najid marah. Sudahnya mereka berdua saling bermasam muka.

Nak dirikan masjid, apa yang susah sangat Najid nak terima? Tak faham betullah! Macamlah aku ajak dia jadi suami aku, detik hati Najihah tidak mengerti.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Najid memegang kamera Nikon D7000 yang Najihah beri nama ‘Ken’. Dipandang lama dengan senyuman di bibir. Najihah... kalau boleh semua benda mahu diberikan nama. Padahal, cukuplah kalau digelar Nikon D7000 kerana itu memang nama model kamera tersebut.

“Mana boleh! Nama tu tak sedap dan panjang sangat. Jadi Jiha ambil keputusan nak bagi nama kamera baru Najid ni dengan nama ‘Ken’.”

“Ken?” Kening Najid hampir bercantum.

“Ya, Ken! Sedapkan nama tu? Sekali dengar macam nama mat saleh kan?”

“Tak ada nama lain ke?” tanya Najid kerana dia sedikit pelik. Entah bila agaknya Najihah memikirkan nama itu. Tahu-tahu saja kameranya sudah bernama. Dan dia, sama ada mahu atau tidak, tetap juga harus menerima kerana Najihah bukannya hendak mengalah dengannya. Lagipun, nama Ken agak sedap juga di pendengaran telinganya. Bukannya seperti nama Kiki.

“Tak kira! Jiha nak guna Ken juga.”

“Ikut suka hati Jihalah. Najid malas nak gaduh dengan Jiha semata-mata sebab nak bagi nama pada kamera Najid tu.”

“Good boy!” puji Najihah dengan senyuman.

Ken diletakkan di atas meja. Kemudian, dia mencapai pula Kiki. Kiki? Huh... ALLAH saja yang tahu betapa tidak berkenannya dia dengan nama Kiki itu. Tapi kalau sudah kata Najihah, bolehkah kalau dibantah?

Lambat-lambat bibir Najid mengukir segaris senyuman. Kepalanya menggeleng berkali-kali.

“Najid tak naklah bagi nama Kiki kat kamera yang Jiha bagi ni,” protes Najid sakit hati. Sejak dari tadi, Najihah asyiklah Kiki, Kiki dan Kiki. Padahal sudah dikatakan yang nama Kiki langsung tidak sedap didengar. Lebih sesuai untuk perempuan sedangkan dia bukannya perempuan.

“Biarlah! Nama Kiki tu comellah.”

“Najid lelakilah!”

“Bila masa Jiha kata Najid perempuan? Apa kaitan kalau kamera ni Jiha bagi nama Kiki dengan jantina Najid? Lainlah kalau Jiha kata nak panggil Najid dengan gelaran Kiki. Itu barulah Najid boleh marah. Entah apa-apa,” marah Najihah. Namun suaranya tidak tinggi kerana dia marah bercampur dengan kecil hati.

“Memanglah tak ada kaitan. Tapi...”

“Dah tu apa masalahnya?” Najihah sengaja memotong kata-kata Najid. Tidak mahu mendengar alasan Najid.

“Lelaki pegang kamera nama Kiki, tak ke teruk dengarnya tu? Kalau kawan-kawan kita tahu, mana Najid nak letak muka?”

Najihah sudah memberikan kamera itu padanya, bermakna kamera itu hak dia. Kalaupun mahu memberi nama, dialah yang patut memberikan nama pada kamera yang masih dipegang Najihah. Tapi Najihah yang beria-ia. Mujur juga Najihah tidak mengatakan supaya kamera itu biar disimpan di rumah Najihah. Jika tidak dia tidak akan teragak-agak menggelar Najihah Si Buruk Siku. “Ah... Jiha tak kira! Kamera ni nama Kiki juga.”

“Kalau Najid tak nak?”

“Jangan tegur Jiha!”

“Jiha ugut Najid?”

Najihah angguk pantas. Dia tidak akan mengalah pada Najid kali ini.

“Memang kaki buli betul Jiha ni!”

Malas terus berbalah dengan Najihah, dia akhirnya menurut juga. Itu pun selepas tiga jam Najihah mogok tidak mahu bercakap dengannya. Awalnya memang janggal mahu menyebut nama Kiki, tapi lama-kelamaan rasa janggal itu tidak wujud lagi. Selamba saja dia mengatakan pada kawan-kawannya yang nama kamera yang digalas adalah Kiki. Memang teruk juga dia diketawakan, tapi dia sengaja berlagak seperti tidak ada apa-apa. Seolah-olah, nama Kiki langsung tidak berbekas di hatinya.

“Okey Ken... hari ni aku sandingkan kau dengan Kiki,” kata Najid sambil meletakkan Kiki bersebelahan dengan Ken. Kemudian dia ketawa perlahan. Kalaulah Ilham mendengar apa yang dikatakan sebentar tadi, mahunya tiga hari tiga malam dia digelakkan bapa sudara Najihah itu.

“Hem... Jiha... Jiha...” ucapnya perlahan, juga dengan senyuman.

PESANAN PENUH KASIH SAYANG : Mungkin ini N3 terakhir untuk kisah Najid & Najihah sebab sekarang ni, kisah biasa-biasa mereka tu mungkin sedang ditukang-tukang editor biar nampak menarik sampai yang memandang jadi tertarik. Kalau nak baca yang seterusnya, kena tunggu jadi sebuah novel yang cantik, insya-ALLAH... awal tahun hadapan. Doakan perjalanan dia tak akan menghadapi sebarang kesukaran ya. Saya pun akan doakan kawan-kawan juga, ;-)

- RAISIN SCONES -

October 22, 2012

Apa tu? Sekali tengok macam kuih atau roti yang tak jadi kan? Tapi sebenarnya... itulah orang panggil raisin scones [sila abaikan bentuknya yang tak berapa nak buat hati tertarik dan menarik]. Kenyataan tambahan, itulah Raisin Scones yang dibuat oleh Marwati Wahab @ Aleya Aneesa. Yahoo... saya berjaya akhirnya buat Raisin Scones tu semalam selepas percubaan pertama pada hari Jumaat menemui jalan buntu. Atau dengan kata lain, GAGAL. Raisin Scones saya jadi macam biskut, langsung tak ada lembutnya. Hahaha! Rasa macam dah betul dah ulian saya tu, nampak cantik aje. Lembut di tangan. Tapi yang sebenarnya tak jadi bukan sebab ulian tu, tapi sebab... saya tak pandai guna microwave oven. Itulah, siapa suruh beli yang banyak-banyak button macam tu. Sudahnya nak bakar kuih dan kek tak tahu nak kena tekan button yang mana. Saya main hentam aje dan lepas tu, geram dengan diri sendiri.

Ahad bersamaan dengan semalam, saya cuba lagi. Saya uli lagi dengan cara yang sama dan jadi pun sama juga. Bila nak bakar aje, saya bukak buku panduan cara-cara nak guna microwave oven tu. Alhamdulillah... percubaan kali kedua saya berjaya dengan jayanya.

Entah tak tau mimpi disampuk apa, sejak minggu lepas saya memang teringin gila-gila nak makan Raisin Scones yang jarang-jarang benar saya makan tu. Ada satu malam tu, rasa menggebu-gebu sangat. Air liur macam tak tertelan aje. Mujur ada kakak baik hati yang sanggup beli dan sanggup juga bawa datang rumah saya [terima kasih kakak, saya terharu].

Memanglah Raisin Scones saya tak cantik macam kat kedai, tapi... saya sukakan yang saya buat sendiri sebab tak terlalu banyak buah-buahan yang berwarna-warni. Nampak pun macam suci murni aje, putih ala-ala kuning gitu. Rasa pula, tak terlalu lembut. Kadang-kadang rasa macam biskut, kadang-kadang rasa macam roti. Sebab tu ada orang gelar scones tu roti yang tak jadi. Tapi janganlah salah faham, rasanya memang macam tu, katanya.

Dan lagi, biasanya orang buat dalam bentuk bulat. Tapi saya rasa saya nak buat bentuk kotak. Itu pun... kotak yang tak rata yang saya bagi nama, bentuk ikut suka hati sayalah janji mudah untuk saya. Apa pun, nanti-nanti saya nak buat lagi sebab saya suka dan nak bagi pada yang bagi resipi. Terima kasih ya, ;-)

- NOVEL KETIGA : JANJIKU BERSAMAMU -

October 19, 2012

Dalam hidup ini, manusia sering kali diberi banyak pilihan untuk meniti lorong-lorong kebahagiaan. Memilih siapa yang layak disayangi dan siapa pula yang tidak. Tapi, tidak bagi Dhamira Rysda. Dia tidak pernah punya kesempatan itu. Mahu atau tidak, dia hanya ada Aly Rasyid. Itulah racun, itulah penawar dalam hidupnya.

Tapi siapa dia mahu mencabar takdir? Lalu, dunia yang selama ini penuh dengan warna-warni mula gerhana dalam sekelip mata hanya kerana dia mahu melayan dan mencari bahagia yang kian lama tercicir. Sungguhpun begitu, dia masih dapat melihat dan merasakan biasan bulan dan bintang ada di mana-mana.

Nyata, sejarah memang selalu akan berulang. Dan kini, sejarah Mariam benar-benar menjadi sumpahan. Namun, dia bertekad untuk keluar daripada kepompong sumpahan itu. Dia tetap akan memastikan kanvas hidupnya lebih indah berbanding Mariam.

Tapi... sekuat mana pun dia, ada masa-masanya dia kewalahan. Takdir yang datang bagaikan sengaja mempermain-mainkan perasaannya. Lantas dia bertanya sendiri, “Berdosakah dia mengabaikan perasaan Aly Rasyid? Sedangkan dia tahu, dia hanya ingin mencari bahagia.” Dan, kebahagiaan... benarkah tak ubah seperti sepotong mimpi?

PESANAN PENTING : Untuk yang mahu mendapatkan novel saya, boleh berkunjung ke ARRAZI SHOPPE dan KARANGKRAF MALL. Kedua-duanya memiliki kesemua koleksi novel saya. Terima kasih!

- SAYA YANG TERTEWAS! -

October 18, 2012

Itulah ceritanya. Cerita yang tak best tapi harus telan biar rasanya sepahit jadam. Tapi macam mana rasa jadam tu, jangan ditanya pada saya sebab saya tak pernah berkawan rapat dengan yang bernama jadam itu. Orang nama Jadam pun saya tak pernah lagi jumpa. Seumur hidup saya, yang paling pahit pernah saya makan, mungkin... ubat. Ulam-ulaman tak kira sebab saya suka makan walau pahit macam mana pun rasanya. Sedar-sedar nasi di pinggan jadi licin dan kemudian penuh kembali sampai perut dah tak boleh tampung apa-apa lagi.

Kenyataannya... saya gagal untuk kesekian kalinya, lagi, lagi & lagi. Apa yang gagal, hem... biarlah hanya saya dan orang-orang yang berkenaan aje yang tahu. Hanya yang jelas, bukan gagal dalam cinta sebab muka saya tak cukup tebal walaupun pipi saya macam pau untuk hebahkan pada orang di dalam blog kesayangan saya ni dengan kata-kata; “Aku gagal lagi dalam cinta!”. Tidak! Sudah semestinya bukan saya orangnya. Soal yang satu itu, biarkan saja duduknya jauh-jauh kat hati. Mengisahkan pada orang akan hanya memalukan diri sendiri. Tidaklah! Saya tak sanggup nak buat macam tu, rasa jatuh air muka sendiri.

Tapi... tak seperti kegagalan saya yang lepas, kali ni saya tak merasakan apa-apa. Jauh sekali rasa sedih sedang sepatutnya, itulah yang harus saya rasa untuk masa beberapa lama [berhari-hari, berminggu-minggu atau berbulan-bulan] sehingga hati saya pulih seperti yang sebelum ni. Tapi demi TUHAN... kali ni saya gagal tapi saya rasa saya seperti tak gagal. Kalau orang nampak saya ketawa atau tersenyum beberapa hari kebelakangan ni, sungguh... senyum dan ketawa tu memang bukan tipu punya. Memang datang betul-betul dari hati. Kalau yang sebelum ni, saya hilang selera makan dan otak saya rasa kosong. Saya nampak orang, tapi saya tak nampak orang. Saya dengar orang bercakap, tapi saya tak dengar orang bercakap.

Tipulah saya bila saya kata saya tak berharap. Saya manusia biasa dan bila bergelar manusia biasa, rasa pengharapan memang tak boleh nak dielakkan. Tapi anehnya, bila harapan saya sahih lebur, saya tak rasa apa-apa. Sampai-sampai... saya fikir, hati saya dah mati ke? Kalau tak mati, kenapa saya tak rasa macam nak nangis atau nak sedih? Ataupun... berkali-kali melalui situasi yang sama, buat saya rasa lali dengan kegagalan yang sama. Hanya... entah macam manalah saya nak membuka mulut bila ditanya mak saya nanti. Adoilah... Puan Mahani Dahli, Ami cuba lain kali ajelah ya kalau masih teringin mencuba. Malunya!

Entahlah! Saya tak ada jawapan pada kemusykilan diri sendiri. Tapi saya suka juga dengan rasa macam ni. Setidak-tidaknya saya tak perlu nak menyeksa diri sendiri, tak perlu nak menitiskan air mata. Saya reda & redah aje apa yang didatangkan pada saya dengan tangan yang terbuka. Saya cuba melapangkan dada, menerima ketentuan ALLAH dengan penuh ketabahan. Selebihnya... saya hanya nak menjalani kehidupan ini seadanya. Saya percaya, rezeki ALLAH ada di mana-mana dan akan didatangkan dengan pelbagai cara. Dalam banyak perkara, mungkin nasib saya tak begitu baik tapi di satu segi saya rasa bertuah kerana dapat buat apa yang saya suka sesuka hati. Tak banyak pun tak apa, cukup hanya dengan sebuah novel setiap tahun dibaca pembaca. Tapi kalau lebih daripada satu, rasa gembira saya jadi berlipat-lipat kali ganda.

PESANAN PENTING : Saya memang tak sedih, tapi... jangan disebut jangan diungkit. Saya tak nak! Burung yang dah terlepas di tangan, tak ada gunanya dikenang. Malu memanglah malu, tapi saya tak akan terus hidup hanya dengan mengenang rasa malu tu.

- NOVEL KEDUA : KASIH ANTARA KITA -

Emelda sama sekali tidak menduga begini lipatan takdir yang dijanjikan untuknya. Namun dia tetap pasrah dan reda dengan setiap ujian yang datang. Yakin... Sesukar mana pun perjalanan hidup, masih ada keindahan dan kemanisan yang akan dikecapi.

Lantaran itu, dia rela bila melihat derita yang ditanggung oleh si kakak. Jika inilah yang dinamakan pengorbanan, dia tahu dia telah melakukan pengorbanan yang tidak ternilai harganya. Masa depan dan harga diri! Namun, apa pilihan yang dia ada?

“Tapi... dalam hidup ini tidak semua yang kita ingini akan kita dapat malah kadangkala kita terpaksa berkorban hati dan perasaan. Apa lagi bila melibatkan perasaan orang lain.”

Akur dengan kata-kata itulah, Emelda akhirnya rela memperjudikan nasib bersama Aril Fatah. Meskipun saat memandang wajah itu tidak ubah seperti melihat kertas putih. Tapi demi Atiea dan Dania, dia tetap mencuba sedaya yang boleh. Walaupun dia tahu, bila kebenaran terbongkar, dia yang akan karam sendiri!

“Benarkah perkahwinan tanpa cinta itu teguhnya seperti sebuah istana pasir? Diusik ombak, pasti akan goyang. Apatah lagi jika gelombang yang tiada taranya.”

Lantas hati kecil Emelda bertanya, “Inikah balasan atas pengorbanan yang kulakukan selama bertahun-tahun ini?”

Sedangkan dalam waktu yang sama, Aril Fatah leka memikirkan kata-kata tulus Hakimi yang lebih kepada cabaran. “Kalau benar sayang, berusahalah untuk mendapatkan cintanya!”

PESANAN PENTING : Novel ni pernah diadaptasi ke drama dengan tajuk CINTA BUAT EMELDA yang ditayangkan di TV3 dalam Slot Akasia. Untuk yang mahu mendapatkan novel saya, boleh berkunjung ke ARRAZI SHOPPE dan KARANGKRAF MALL. Kedua-duanya memiliki kesemua koleksi novel saya. Terima kasih!

- NOVEL PERTAMA : SEMUSIM RINDU -

October 17, 2012

Di sebalik senyumannya... ada tangisan yang panjang. Keperitan hidup menjadi anak buangan membuatkan Hajar Adira begitu berhati-hati. 15 tahun dia cuba membalut luka tetapi sehingga kini luka itu masih berdarah. Selagi parut itu masih ada, kemaafan untuk mereka mungkin tiada. Dulu Hajar pernah mengemis kasih sayang saudara sendiri, kini kasih itu tidak diperlukan lagi. Cukuplah jiwanya menderita dan zahirnya terseksa...

Benarlah... perasaan itu sememangnya sesuatu yang hidup. Hari ini tiada tapi esok mungkin ada. Hari ini ada, mungkin esok tiada. Tapi Hajar tahu perasaannya pada Ikhman tidak akan sirna sampai bila-bila. Bukan senang untuk dia jatuh cinta! Bila sekali perasaan itu bertapak, tiada apa yang mampu menghilangkan rasa cinta walaupun perasaan dendam pernah berapi di dadanya. Sesungguhnya kemaafan adalah dendam yang terindah...

Sungguh... Hajar rindu pada Ikhman. Tapi dia terlalu takut dilukai hingga tanpa sedar dia sebenarnya melukai hati dan perasaannya sendiri. Mungkin ini suratan yang tertulis dalam lipatan hidupnya. Di saat dia baru belajar bertatih untuk menerima dan memberi Ikhman kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, dia dibiarkan terkapai-kapai seorang diri. Dan... yang paling perit dia dituduh menduakan suami sendiri! Inikah balasan ALLAH pada dirinya yang ingkar?

Akhirnya... kata putus harus diambil. Biarpun kasihnya digantung tidak bertali, status sebagai isteri tidak akan sesekali dicemari. Jika perpisahan menjanjikan penyatuan dua hati, dia rela berlari dan terus berlari demi mencari kebahagiaan sendiri. Yang pasti dia tidak mahu menjadi seperti bunga, dihirup madunya kemudian ditinggalkan begitu saja. Apakah Ikhman tahu maksudnya?

PESANAN PENTING : Untuk yang mahu mendapatkan novel saya, boleh berkunjung ke ARRAZI SHOPPE dan KARANGKRAF MALL. Kedua-duanya memiliki kesemua koleksi novel saya. Terima kasih!

- HUJAN, MAK SAYA & KENANGAN... -

October 12, 2012

Kat luar hujan lebat, sesekali kilat nampak terang macam lampu bila malam hari. Macam flash kamera pun ada juga. Cumanya, flash yang ni tak beranilah saya angkat tangan kanan [takut kaku dan dengan muka hitam] dan naikkan dua jari, jari telunjuk dan jari hantu macam yang saya suka buat bila bergambar. Entah apa rasionalnya saya tak tahu, tapi di mana-mana bagaikan sepakat dua jari tu merupakan tanda keamanan atau kedamaian. Atau orang putih kata, peace.

Dan hujan... setiap kali hujan, yang paling saya ingat adalah MAK saya. Kenapa saya ingat dia? Sebabnya... bagi saya, setiap kali hujan turun, Mak saya akan jadi orang yang paling kalut dalam dunia ni. Berbunyi aje guruh di langit, dia tiba-tiba aje jadi sakit perut. Bila pergi toilet, tak rasa apa-apa pula.

Ketika kami kecil, hujan belum pun turun tapi langit dah gelap, dia dah mula terpekik-pekik panggil anak-anak [Abah saya kata, suara awak setiap kali hujan boleh sampai ke ulu tu] dia yang tak tau duduk rumah atau suka main kat luar, balik rumah. Selagi semua tak balik, selagi itulah dia akan ke hulu ke hilir, ke depan ke belakang, ke dalam ke luar. Sedangkan saya pula, gelap aje langit akan berkejar ke padang bola yang letakkan hanya beberapa langkah dari rumah saya. Sambil berlari, sambil berharap hujan akan turun dengan lebatnya. Bila hujan turun lebat, padang yang tak penuh dengan rumput tu, akan berlopak-lopak dengan air. Saya akan duduk kat lopak tu dengan kawan-kawan saya. Kaut-kaut tanah yang berwarna merah. Orang buat istana pasti kat pantai, saya dan kawan-kawan buat istana pasir kat padang. Kadang-kadang jadi, kadang-kadang tak jadi. Kalau jadi tandanya nasib baik, tapi selalunya tak jadi sebab mak saya akan berdiri sambil bercekak pinggang kat hujung padang. Dengan berat hati, saya bangun dengan baju yang dah tak ada warna baju, terus balik dengan muka masam mencuka.

Ketika kecil juga, bila hari nak hujan aje Mak saya akan pastikan TV dan segala peralatan elektrik dimatikan. Kalau boleh dengan peti ais sekali nak dimatikan. Tapi orang kata nanti jadi cepat rosak, jadi dia tak matikan. Selain dari itu, jangan harap boleh terpasang. Sekali lagi muka saya dan adik-beradik saya masam mencuka, sebabnya... kadang-kadang kami tengah tengok cerita best tu kat TV. Tak sempat habis pun. Ada masa-masanya, kami buat tak dengar aje, terus aje tengok macam kat luar tak ada langit. Mak saya akan cakap sekali dua, tapi lepas tu... terus dia tutup. Merungut-rungut kami.

Tak cukup dengan tu, semua cermin yang ada ditutup dengan kain. Jadinya, kalau ada kilat, jangan harap-haraplah nak mengintai-intai kalau ada jerawat kat pipi. Tak akan ada peluang langsung. Tapi siapa pun sebenarnya tak teringin nak tengok cermin kalau ada kilat, apa rasionalnya kan nak melawa sedangkan langit kat luar menangis sambil meraung-raung.

Yang lagi tak boleh tahan, dia tak kasi pakai baju merah. Saya jadi ingat pelajaran masa kat sekolah rendah dulu. Tak silap saya dalam buku teks, ada satu kisah seorang budak atau orang tua, dikejar lembu sebab pakai baju warna merah. Entah kenapalah lembu suka warna merah, sedangkan lembu bukannya pergi sekolah. Tapi memang... Mak saya akan suruh tukar baju warna lain.

Tapi... semua tu dulu. Sekarang ni, rasanya Mak dah tak alergi lagi pada hujan. Semua kebiasaan dulu dah tak diamalkan, misalnya jerit panggil anak-anak sebab semua dah tua bangka, cucu-cucu dia pula memang bukan jenis merayap jauh-jauh, apalagi sampai nak main tanah. Dia orang main FB dan PSP atau PS2 aje sebab tak ada orang nak beli PS3. Cermin dia tak tutup, pakai baju warna apa pun dia tak peduli. Yang dia terus alergi bila pasang barang elektrik aje. Yang tu sampai bila-bila pun ta boleh nak dibuang rasanya.

Beberapa hari bercakap dengan dia, bercerita fasal hujan dan kilat yang kerap turun pada waktu petang. Saya kata pada dia, saya tak tutup pun TV. Dia tanya saya, kenapa. Saya jawab, sebab Mak tak ada kat sini. Mak tak boleh nak marah. Kalau Mak ada, confirm Ami tutup. Dia balas lagi, bertuah punya budak. Lepas tu saya hanya ketawa-ketawa sebab gembira dapat kenakan dia, ;-)

- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [14] -

NAJIHAH menutup wajahnya dengan kedua-dua tapak tangan. Tidak mahu Najid terus mengambil gambarnya. Sejak setengah jam yang lalu, entah sudah berapa puluh atau mungkin mencecah ratus aksinya yang dirakamkan Najid. Hobi lelaki itu nampaknya semakin lama semakin menjadi-jadi. Kalau tidak, masakan Najid sampai sanggup memaksanya bila dia tidak mahu ikut Najid ke Menara Tinjau di Hulu Langat ini. Alasan Najid, mahu mencuba kamera DSLR berjenama Nikon D7000 yang baru dibeli semalam.

“Tak payahlah tutup muka. Kalau tutup muka macam tu apa yang Najid dapat tangkap Jiha? Takkanlah Jiha nak Najid tangkap gambar jari-jari Jiha aje?” protes Najid sambil terus memandang Najihah yang duduk santai di kerusi yang disediakan di tengah-tengah Menara Tinjau.

“Tak naklah! Dah banyak sangat gambar Jiha yang Najid tangkap daripada tadi. Najid tangkap gambar lain pulaklah.”

“Najid nak tangkap gambar Jiha dululah dan Najid tak akan berhenti selagi Najid puas hati.”

“Tak naklah...” Najihah terus juga menutup wajahnya.

“Jiha...”

“Tak naklah...”

“Najihah Qadeeja!” Suara Najid tinggi sedikit. Sengaja mahu memancing Najihah supaya mengalihkan jari-jemari yang masih berada di muka.

Najihah mengalihkan sedikit tangannya dan secepat itu dia melihat ada cahaya di matanya. Terus dialihkan tangan yang sejak dari tadi menutup muka. Melihat Najid yang tersengih-sengih seperti kerang busuk, dia terasa seperti mahu menolak lelaki itu ke bawah. Biar kepala Najid pecah. Lantas, bibir diketap rapat-rapat. Mahu memberi tahu Najid yang dia sedang geram walaupun dia tidak bersuara.

“Penipu! Main kotor,” katanya perlahan. Tidak jadi hendak marah bila dilihat Najid kelihatan gembira.

“Jiha tulah. Orang ajak dia datang ke sini sebab nak ambil gambar dia. Ni main tutup-tutup muka pula.” Najid sudah duduk di sisi Najihah. Hari ini Najihah hanya mengenakan sehelai t-shirt berlengan pendek dengan seluar jean berwarna biru gelap. Rambut lurus separas bahu, hanya dibiarkan bebas ke udara. Sesekali rambut itu kelihatan terbuai-buai ditiup angin yang bertiup. Pada wajah Najihah, tidak ada warna-warna sebagai penyeri. Bedak pun tidak dikenakan Najihah ke wajah. Gadis itu hanya berbedak apabila ke pejabat. Lain daripada pejabat, Najihah memang senang membiarkan wajahnya kosong begitu saja.

Tapi tetap cantik!

Di matanya, Najihah selalu saja cantik walaupun hanya mengenakan gaya yang ringkas begitu.

“Dah banyak dah Najid ambil gambar Jiha. Najid ambil gambar orang lain pulaklah,” kata Najihah.

Dahi Najid berkerut sedikit. Mencerun matanya memandang Najihah yang kelihatan hanya selamba. “Najid nak ambil gambar siapa lagi kalau bukan Jiha. Kitakan datang berdua aje?”

Ada juga dia mengajak Ilham ikut dengan mereka tadi, namun bapa saudara Najihah tidak mahu ikut. Kata Ilham, lebih baik tidur daripada membuang masa bersama-sama dia dan Najihah. Dia yang mendengar kata-kata Ilham hanya ketawa besar walaupun Ilham secara tidak langsung mengatakan hobinya itu tidak berfaedah. Tidak mengapa. Ilham memang suka bercakap apa saja, tapi dia tahu yang Ilham lelaki baik.

“Tu... Najid ambillah gambar perempuan tu.” Jari telunjuk dituju ke arah seorang perempuan yang kelihatan terkial-kial menaiki tangga sambil ditemani seorang lelaki yang agak berusia. “Dia nampak cantiklah Najid. Sesuai kalau dipadankan dengan kamera mahal Najid ni,” kata Najihah sambil mata tidak lepas-lepas memandang ke arah perempuan yang mengenakan topi ala-ala perempuan Inggeris zaman dahulu.

Tapi, panas ke sekarang ni?

Mata dibuang ke kawasan sekeliling. Jarum jam di tangan dijeling. Cuaca sudah lama hilang bahang kerana sebentar lagi senja akan berlabuh. Dia dan Najid tadi pun keluar rumah selepas asar.

“Tak cantik pun,” kata Najid pantas.

“Cantiklah!” Tekan Najihah tidak mahu mengalah.

Najid mencebik, kamera Nikon di tangan dibelek-belek dengan penuh minat. Akhirnya, setelah beberapa bulan membuat pertimbangan dengan akal dan hati, dapat juga dia memiliki kemera hitam yang ada di tangannya. Agak mahal, tapi dia rasa puas. Lagipun, bukannya hari-hari pun dia menukar kamera. Inilah kamera DSLR kedua yang dimiliki. Selama ini, dia hanya menggunakan kamera Nikon model lama yang dihadiahkan Najihah ketika berusia 18 tahun.

“Jiha lupa ya apa yang pernah Najid cakap pada Jiha?”

Mata Najihah mencerun ke arah Najid. “Najid cakap banyak pada Jiha. Yalah... kita dah kenal 25 tahun. Mana satu yang Najid maksudkan?”

Najid senyum. Betul juga apa yang dikatakan Najihah. Dalam masa 25 tahun, sudah begitu banyak yang dikatakan pada Najihah. Jika tidak dikatakan yang mana satu yang dimaksudkan, sampai bila-bila pun gadis itu tidak mungkin dapat memahami apa yang mahu disampaikan.

“Kan Najid pernah cakap pada Jiha yang Najid tak akan tangkap gambar perempuan lain selain daripada Jiha? Dah lupa ya?” Tidak banyak kali dia mengungkapkan kata-kata yang sama, tapi dia tetap akan berpegang pada kata-kata itu selagi dia masih waras. Najihah pun, dia yakin akan ingat kata-kata yang pernah diucapkan satu ketika dulu, ketika kamera pemberian Najihah dipeluk erat. Dan semenjak hari itu, selain gambar pemandangan, yang ada dalam simpanannya hanya gambar Najihah dengan pelbagai aksi. Ada gambar Najihah senyum. Ada gambar Najihah ketawa. Ada gambar Najihah masam. Ada gambar Najihah berkerut. Bahkan gambar Najihah dalam aksi yang paling dibenci juga ada, gambar Najihah menitiskan air mata. Sungguh... dia benci melihat tangisan Najihah. Tapi dia tetap juga menyimpan gambar Najihah yang sedang menangis.

“Tak!”

“Bagus...”

“Tapi...” Kata-katanya terhenti. Wajah tenang Najid ditatap dalam-dalam. Dia rasa sangat bertuah kerana memiliki kawan seperti Najid. “Kalau nanti Jiha dah tak dapat temankan Najid, Najid nak ambil gambar siapa lagi?”

“Jiha nak tinggalkan Najid?”

Najihah geleng dengan senyuman. Tidak mengerti mengapa dia harus berkata begitu.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Kamera yang Jiha bagi dah rosak ya?” tanya Najihah sambil memegang kamera baru milik Najid. Semakin lama, dirasakan semakin menarik saja kamera yang dihasilkan Nikon. Padahal tujuh tahun lalu, kamera yang dihadiahkan kepada Najid adalah model terbaru. Bukannya Najid tidak mampu membeli sendiri itu. Setakat sebiji kamera, minta saja pada Datuk Hakkam, mudah saja Najid dapat. Tapi dia yang tidak mahu Najid beli sendiri, kononnya dia mahu menghadiahkan Najid kamera tersebut kalau Najid dapat keputusan yang baik dalam SPM.

“Taklah. Elok lagi sebab Najid jaga baik-baik. Kecuali Najid dan Jiha, mana ada orang lain boleh sentuh kamera tu.”

Najihah sengih. Dia tahu betapa cermatnya Najid menjaga kamera tersebut. Berusia tujuh tahun, tapi kelihatan seperti baru digunakan tiga atau empat tahun saja. “Memanglah elok sebab Najid kedekut. Sesiapa nak pinjam pun Najid tak bagi. Abang pun Najid tak bagi sampai abang merungut-rungut,” ujar Najihah sambil tergelak perlahan.

Pernah Ilham mengugut mahu membaling kamera tersebut ke dalam longkang jika Najid tetap tidak mahu memberikan bapa saudaranya itu pinjam. Tapi Najid tetap juga degil. Tetap juga enggan memberi Ilham pinjam. Kata Najid, Ilham boleh pinjam apa saja tetapi tidak boleh pinjam kamera yang dihadiahkan Najihah.

“Mana Najid ada kedekut.”

“Tak percaya tanya abang,” balas Najihah selamba.

“Abang tu kalau Najid bagi pinjam bukannya tau jaga elok-elok. Silap-silap masa Najid bagi elok, abang pulangkan jadi tak elok pulak. Siapa yang susah nanti? Najidlah yang susah.”

Bibir Najihah mencebik, menyakat Najid. “Kalau abang rosakkan, abang mesti ganti baliklah. Macamlah Najid tak kenal abang.”

“Itu yang Najid tak nak tu.”

“Kenapa?”

Najid senyum. Mungkin Najihah atau Ilham tidak tahu betapa sayangnya dia pada kamera pemberian Najihah. Lantaran itu, memang tidak diberikan sesiapa memegang kamera itu. Najihah hendak meminjam untuk dibawa ke mana-mana pun dia tidak izinkan. Kalau Najihah hendak mengambil gambar, dia harus ada di hadapan gadis itu. “Sebab kalau abang ganti lain, itu dah jadi lain. Dah jadi bukan Jiha yang bagi.”

Najihah tahu Najid memang sayangkan kamera yang dia beri. Jika tidak, masakan Najid menjaga beria-ia.

“Kalau tak rosak, Najid buang ya?”

“Wei... ingat Najid kejam sangat ke?”

“Dah tu, Najid bagi orang ya?” duga Najihah lagi. Dia tidak percaya kalau Najid akan memberikan kamera itu kepada orang lain.

“Taklah!”

“Habis tu kenapa beli baru?” tanya Najihah bila semua dugaannya tidak tepat. Hatinya tercuit melihat Najid yang bersungguh-sungguh menidakkan semua dugaannya. Kalau dia dituduh bukan-bukan pun tentu akan geram juga.

“Saja nak cuba yang baru. Kan dah tujuh tahun Najid guna kamera yang Jiha bagi tu,” terang Najid tenang. Angin yang berhembus sekali-sekala terasa begitu mendamaikan, apalagi cuaca kelihatan sudah semakin hilang cahaya. Sebentar lagi, malam akan melabuhkan tirai.

“Kalau Najid dah tak nak kamera tu lagi, bagi pada Jiha boleh?”

Dahi Najid berkerut. Wajah tenang Najihah ditatap dalam-dalam. Ada senyuman di bibir nipis milik Najihah. Bibir itu walau tidak dicalit dengan lipstik, tetap juga seperti memakai lipstik.

“Nak buat apa Jiha dengan kamera tu?”

“Tak ada nak buat apa-apa. Jiha hanya nak simpan buat kenangan. Kamera tu macam dah banyak sangat ambil gambar Jiha. Jadi...”

“Tak boleh!” potong Najid pantas sebelum sempat Najihah menyudahkan kata-kata. Betul apa yang Najihah kata. Memang kamera yang ada bersama-samanya selama tujuh tahun itu sudah berjasa banyak kepadanya. Bahkan kalau hendak dihitung, kamera itu lebih banyak merakamkan gambar Najihah dibandingkan gambar pemandangan. Dia tidak mungkin akan memberikan kamera itu kepada orang lain, hatta Najihah sekalipun. Dia terlalu sayangkan kamera yang masih dijaga elok itu.

“Kenapa?”

“Tak boleh!” Tegas Najid.

“Tapi kan... Najid dah ada kamera baru. Buat apalah simpan kamera yang dah boleh masuk muzium tu.”

Kepala Najid menggeleng. “Najid sayang kamera tu dan kalau Jiha suruh pilih antara kamera tu dengan kamera ni, Najid akan tetap pilih kamera tu.”

Kening Najihah hampir bercantum. “Kamera ni mahallah. Dah beli mahal-mahal nak buat apa pulak pilih yang tak berapa nak mahal tu walaupun masa dulu memang mahal juga. Sekarang ni aje agaknya harga dah turun.”

“Tapi kenangan yang kamera tu beri tak ada dijual di mana-mana.”

Najihah ketawa perlahan, bahu Najid ditumbuk. “Melankolik,” katanya perlahan. Namun jauh di sudut hatinya yang paling dalam, dia terharu dengan apa yang Najid kata. Dia tahu Najid menghargai pemberiannya. Dia yakin, kalau pun dia tidak ada kelak Najid akan menjaga kamera yang diberi nama Kiki itu elok-elok seperti Najid menjaga diri sendiri. Malah sama seperti Najid menjaga dia sejak mereka kecil lagi.

PESANAN PENUH KASIH SAYANG : Kisah Najih & Najihah ini insya-ALLAH akan diterbitkan awal tahun depan oleh ALAF 21, ;-)

- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [13] -

October 5, 2012

PINTU ditutup rapat. Kemudian, dia menyandarkan tubuhnya pada pintu yang langsung tidak mengerti apa-apa. Jauh sekali memahami segumpal hati yang dimiliki setiap manusia di atas muka bumi ini. Lalu, mata dipejamkan rapat-rapat dan nafas dihela dalam-dalam sebelum menghembus perlahan-lahan.

“Gila!” katanya dalam keadaan mata yang masih tertutup rapat. “Hilang akal agaknya,” katanya lagi.

“Gila? Siapa yang hilang akal Najid?” tanya Datuk Hakkam dengan dahi berkerut. Dia berdiri tidak jauh daripada Najid. Pelik melihat Najid yang masih tidak berganjak dari pintu. Lebih pelik lagi bila Najid berkata-kata dalam keadaan mata tertutup. Kata-kata yang Najid lafazkan juga entah apa-apa. Entah siapa yang menjadi mangsa Najid kali ini, dia benar-benar tidak tahu.

Najid cakap fasal Jiha ke? Tapi kalau bukan Jiha siapa lagi?

“Jiha!”

Datuk Hakkam senyum lebar. Najihah dan Najid memang tidak ubah seperti anjing dengan kucing. Anehnya, bila masing-masing tidak bertemu muka, mulalah mempamerkan air muka resah. Pendek kata, Najihah dan Najid memang tidak boleh dipisahkan. Persahabatan berpuluh-puluh tahun menjadikan mereka berdua saling memerlukan antara satu sama lain.

“Kenapa Najid kata Jiha gila? Kali ni apa pula yang Jiha dah buat pada Najid agaknya ya?”

Najid tersengih-sengih. Najihah tidak berbuat apa-apa padanya. Hanya dia terasa Najihah seperti sudah hilang akal bila tetap bertegas mahu berkahwin secepat mungkin. Kata-katanya langsung tidak diendahkan Najihah. Gadis itu seolah-olah menganggap kalau perkahwinan itu hanya sebuah permainan. Permainan yang pernah mereka berdua mainkan ketika kanak-kanak dulu.

“Najid buli Jiha ya?” duga Datuk Hakkam. Najid ada masa-masanya tidak boleh dipercayai.

“Mana ada! Ayah ni main tuduh-tuduh aje,” sangkal Najid tidak puas hati.

“Dah tu yang Najid tersengih-sengih kenapa? Setahu ayah, Najid cuma akan sengih macam tu kalau dapat menyakat Jiha. “

“Kali ni taklah. Najid tak buat apa pun kat Jiha tu.”

“Habis tu kenapa yang sampai terkeluar perkataan gila dan hilang akal tadi tu? Najid baru balik dari rumah Jiha kan?”

Bukannya dia tidak nampak Najid keluar tadi. Dia nampak dengan jelas. Tidak perlu ditanya pun dia sudah tahu ke mana destinasi Najid. Berseluar track bottom dan berbaju t-shirt, tidak mungkin Najid hendak keluar ke mana-mana. Anak bujangnya itu tidak akan keluar rumah jika tidak berpenampilan sempurna, kecuali jika hendak ke rumah Najihah. Najid itu sejak daripada kecil lagi memang suka bergaya. Tidak seperti Najihah yang asal boleh saja asalkan tidak selekeh dan comot.

“Jiha tu memang dah gila ayah,” kata Najid dengan wajah serius.

Dahi Datuk Hakkam berkerut. Kurang senang dengan kata-kata Najid yang kedengaran agak kasar. Kalau Najihah mendengar, tentu gadis itu akan kecil hati. Sekeras mana pun hati Najihah, Najihah tetap seorang perempuan yang punya hati yang lembut dan mudah tersentuh.

“Najid... tak baik cakap Jiha macam tu,” tegur Datuk Hakkam sambil menggeleng.

“Betul ayah, Jiha memang dah hilang akal agaknya.” Tekan Najid sungguh-sungguh.

“Apa yang Jiha dah buat?”

“Jiha tiba-tiba aje dah tak sabar nak kahwin. Kalau boleh nak kahwin dalam masa yang terdekat ni. Tak ke gila namanya tu?” kata Najid bersungguh-sungguh dengan air muka yang juga serius. Kemudian, tanpa disuruh lancar bibirnya menceritakan kisah Najihah yang melihat kemesraan Munirah dan Syukri. Air muka Najihah yang berseri-seri ketika bercerita dengannya turut dikatakan kepada ayahnya.

Kepala, Datuk Hakkam goyangkan berkali-kali. Tanda, dia mengerti dengan apa yang diceritakan Najid.

“Gila kan ayah? Hilang akal kan?”

“Taklah,” balas Datuk Hakkam selamba. Dia berpaling dan mengatur langkah. Punggung dilabuhkan di sofa berwarna coklat.

“Kenapa ayah rasa tak?” Najid tidak berpuas hati. Dia ikut melabuhkan punggung di hadapan ayahnya.

Senyuman Datuk Hakkam hadiahkan buat Najid. “Jiha nak kahwin, apa yang gilanya? Ayah rasa niat Jiha tu tak ada yang salah. Nak dirikan masjid, tak ke itu satu niat yang memang dituntut? Lainlah kalau Jiha nak anak tapi tak nak kahwin. Itu barulah boleh dipanggil gila,” ujar Datuk Hakkam tenang. Najihah hendak menjadi seorang isteri, baginya itu satu khabar gembira.

Kenapa Najid pula yang kelihatan seperti tidak puas hati?

Mata Najid membuntang. Tidak percaya yang ayahnya ikut menyokong niat Najihah yang dirasakan gila. “Masalahnya ayah, Jiha nak kahwin semata-mata sebab dia nak cuba. Dia siap kata, kalau perkahwinan dia berjaya ok. Kalau gagal pun ok. Yang penting dia nak cuba!”

Datuk Hakkam ketawa perlahan. Geli pula hatinya melihat Najid yang nampak bersungguh-sungguh. Atau lebih tepat lagi, bersungguh-sungguh mahu meyakinkannya kalau niat Najihah benar-benar gila. Anaknya itu seolah-olah mengajak dia supaya turut sama tidak bersetuju dengan niat Najihah. Kalau boleh, jangan ada sesiapa pun yang menyokong Najihah.

“Yang lagi melampau ayah, Jiha tu calon pun tak ada lagi. Cuba ayah cakap kat Najid, tak ada calon macam mana nak kahwin?”

“Dah sampai seru agaknya.”

Bibir Najid mencebik. Dia tidak dapat menerima kata-kata ayahnya kali ini. “Itu bukan sampai serulah ayah tapi Jiha tu sengaja nak cari penyakit. Ingat kahwin ni perkara main-main ke? Ingat macam main pondok-pondok masa kecik-kecik dulu ke?” Tegang raut muka Najid. Dia benar-benar tidak setuju dengan niat Najihah yang dirasakan hanya bersifat sementara.

Najihah nak kahwin sekarang? Tidak mungkin! Kalau pun mungkin, dia tahu Najihah akan menyesal kerana Najihah masih belum bersedia. Sebagai kawan rapat Najihah, dia tidak akan membenarkan Najihah menganiaya diri sendiri. Dia akan menentang niat gadis itu selagi mampu.

Najihah nak marah? Lantaklah!

“Yang Najid nak marah-marah sangat kenapa? Cemburu?” usik Datuk Hakkam dalam senyuman.

Sekali lagi Najid cebik. Cemburu? Tidak ada maknanya! “Kalau Jiha aje perempuan yang tinggal dalam dunia ni, Najid tetap tak akan pilih dia.”

“ALLAH tak suka orang takbur Najid,” tegur Datuk Hakkam tenang. Dia tidak pernah mengajar Najid bersikap takbur. Malah dia selalu mengingatkan Najid agar menjadi manusia yang rendah hati. “Jangan nanti ALLAH balikkan hati Najid sudahlah. Bimbang esok-esok memang Najid tak boleh hidup kalau tak ada Jiha,” sambung Datuk Hakkam masih dalam nada yang sama. Sejak dari lahir hingga berusia 25 tahun, dialah yang mendidik Najid. Dia tahu didikannya berjaya kerana Najid tumbuh menjadi anak muda yang baik. Tapi tidak tahu di mana silap, hari ini Najid seakan-akan lupa pada ajarannya.

“Maaf ayah, Najid tak niat macam tu. Najid cuma tak puas hati dengan Jiha. Jiha betul-betul melampau kali ni. Najid risaukan dia.”

“Jiha main-main aje tu. Najid pun tak payahlah simpan dalam hati sangat. Pergilah tidur, dah lewat dah.”
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Isyh! Dia yang gila, kata kita pula gila,” rungut Najihah sambil menghempas punggungnya kasar di sisi Datuk Bazli. Hatinya bengkak dengan perkataan gila yang keluar dari ulas bibir Najid. Berani benar Najid mengata dia gila hanya semata-mata kerana dia mahu mencuba masuk ke alam perkahwinan.

Jadi isteri, ada suami? Apa yang tak kena? Kat mana pula gilanya niat yang disimpan?

Najid memang melampau!

“Siapa pula yang gila kali ni?” tanya Ilham dan Datuk Bazli serentak. Kemudian mereka dua beradik saling berpandangan dan ketawa kecil. Selepas itu, barulah kembali memandang Najihah yang sudah menarik muncung panjang.

“Najidlah tu,” duga Ilham. Perangai Najihah dan Najid, memang sudah tersimpan kukuh dalam koceknya.

“Memang Najid tu dah gila, abang!”

Datuk Bazli geleng kepala. Kata-kata Najihah memang pedas. Kalau Najid, ada-ada saja yang tidak kena di mata anak gadisnya itu. Tapi kalau lama tidak melihat Najid, laju saja Najihah berlari ke rumah depan. Lupa kalau diri bukan lagi anak kecil yang boleh bertindak sesuka hati. Puas ditegur dan diingatkan, sudahnya Najihah tetap juga ke sana jika mahu bercerita dengan Najid. Langsung tidak menyempat-nyempat. Pun begitu, dia tidaklah melarang sungguh-sungguh. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana di rumah Najid ada Mak Minah, pembantu rumah Najid yang menetap di situ bersama-sama Pak Bakar, suami Mak Minah.

“Jiha ni... kalau Najid ada-ada aje yang tak kena,” tegur Datuk Bazli tidak senang. Kalau dia jadi Najid, agaknya lama dulu sudah ditinggalkan Najihah. Biar sendiri tidak berkawan.

“Papa ni... kalau Najid semuanya betul. Kalau Jiha aje semuanya tak betul. Jiha ke Najid anak papa ni?” rengus Najihah dengan wajah cemberut. Geram, gara-gara Najid dia sekali lagi ditegur papanya.

“Bukanlah macam tu, tapi kan tak elok kalau kita gelarkan orang macam-macam, apalagi dengan gelaran yang tak manis macam tu.”

“Dia gelar Jiha gila boleh pulak!”

Ilham yang mendengar nada protes Najihah ketawa. “Sebab Jiha ada masa-masanya memang tak betul,” sampuk Ilham selamba.

“Abang ni...”

Terus terburai ketawa Ilham. Dia sudah begitu dewasa, tapi setiap kali berhadapan dengan Najihah, dia pasti kembali jadi tidak dewasa. Entah kenapa, hatinya selalu rasa tidak senang kalau tidak menyakat Najihah. Dibandingkan melihat Najihah duduk diam-diam, dia lebih suka kalau Najihah marah-marah sampai merah muka. Dibaling dengan apa-apa saja yang ada di tangan Najihah pun dia sanggup, asalkan pada akhirnya anak saudaranya itu menghentak kaki seperti anak kecil.

“Kali ni kenapa dia kata Jiha gila?” tanya Ilham ingin tahu.

Datuk Bazli hanya menggeleng. Ilham memang suka membakar perasaan satu-satunya anak yang dia ada itu. Tapi jauh di sudut hati, dia tahu Ilham terlalu sayangkan Najihah. Ada masa-masanya, rasa bimbang Ilham pada Najihah lebih menggunung dibandingkan dia sebagai bapa Najihah. Pantang Najihah balik lambat tanpa memberitahu, Ilham pasti bersikap seperti cacing kepanasan. Muncul saja Najihah di muka pintu, terus Ilham membebel-bebel sampai Najihah merungut-rungut.

“Jiha kata Jiha nak kahwin,” jawab Najihah selamba.

Sekali lagi ketawa Ilham kedengaran. Bersungguh-sungguh dia ketawa kerana rasa geli hati. Kalau itulah sebabnya, bukan hanya Najid yang akan mengatakan Najihah gila, dia pun terasa hendak tumpang sekaki juga.

“Yang abang ketawa kenapa? Salah ke kalau Jiha kata Jiha nak kahwin?”

Tajam pandangan mata Najihah menikam wajah Ilham yang masih juga ketawa. Beberapa hari lalu, Najid mengetawakan niatnya. Hari ini pula, abangnya itu. Esok-esok entah siapa pula yang akan mempamerkan reaksi yang sama? Ayah Najid? Papanya? Lambat-lambat mata dihalakan pada papanya. Mujur juga air muka papanya hanya biasa-biasa saja.

“Jiha nak kahwin dengan siapa? Najid?” duga Ilham dalam gelak-gelak.

“Tak ingin!”

“Mulut celopar sangat. Esok-esok Jiha kahwin dengan Najid betul-betul, baru tahu,” kata Ilham sedikit serius. Dalam sekelip mata, ketawa-ketawanya yang seperti tidak mahu reda, hilang begitu saja.

“Yang abang suka sangat cakap macam tu kenapa? Tu macam doakan Jiha kahwin dengan Najid aje, tahu tak?” marah Najihah. Ilham dijeling tajam. Dia merasakan Ilham seperti sengaja mahu mencabar kesabarannya. Kalaulah Ilham itu adiknya, memang ada yang dapat lima jarinya hari ini.

“Apa salahnya kalau dengan Najid pun,” usik Datuk Bazli.

“Tak ingin!”

Kepala Datuk Bazli menggeleng, namun bibirnya mengukir senyum. Kalau dibiarkan, mahunya perang dunia sebentar lagi. Anak gadisnya dengan adiknya itu memang tidak boleh berdekatan, pasti ada-ada saja yang tidak kena. Memang bising! Tapi kalau tidak ada mereka berdua, dunianya sunyi. Mujur juga Juhani dengan rela hati meninggalkan Najihah padanya, kalau tidak entah macam manalah dia hendak meneruskan hidup.

“Najid cemburu tak Jiha?” usiknya lagi pada Najihah.

“Tak ada maknanya papa. Dia tu saja aje sakit hati kalau Jiha kahwin dulu daripada dia.”

“Susah sangat Jiha kahwin ajelah dengan Najid tu, mesti tak timbul isu siapa kahwin dulu dan siapa kahwin kemudian.”

“Abang!” Najihah pantas bangun sambil bercekak pinggang.

Ilham ikut bangun, kemudian pantas berlari naik ke atas sambil ketawa besar. Dia memang suka menyakat Najihah. Kalau dulu sampai Najihah menangis barulah dia berhenti mengusik anak saudaranya itu. Tapi sekarang Najihah sudah besar, dia rasa tidak sesuai lagi kalau menyakat anak saudaranya itu sampai keluar air mata. Najihah pun sudah tidak gembeng macam dulu. Tapi perangai cepat marah Najihah, tetap juga belum hilang.

- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [12] -

October 2, 2012

NAJIHAH yang duduk bersandar pada tiang gazebo yang dibuat daripada batu-bata, dilihat terus ralit dengan novel berjudul Kasih Benar Kasih di tangan. Langsung tidak sedar kedatangannya yang tanpa diundang. Padahal, sudah hampir 10 minit dia berdiri di sisi gadis itu, meskipun tidak begitu hampir.

Tengok daripada cara Jiha baca novel tu, kalau pencuri datang pun Jiha tak akan sedar, detik hati kecil Najid.

Ada senyuman di bibirnya. Novel di tangan Najihah itu dia yang belikan kerana dia tahu selain daripada menonton drama atau filem Korea, Najihah sangat sukakan novel. Lantaran itu, setiap bulan dia pasti membelikan Najihah novel. Kadang-kadang Najihah mengucapkan terima kasih, kadang-kadang gadis itu mengambil novel di tangannya, kemudian berlalu begitu saja selepas menghadiahkan dia dengan senyuman gembira sambil memegang novel di tangan. Tapi dia tidak pernah kisah. Ada atau tidak ucapan terima kasih daripada Najihah, baginya sama saja. Paling penting dia dapat membuatkan Najihah gembira. Senyuman Najihah sudah memadai untuk dia merasakan pemberiannya dihargai. Sejak dari mereka kecil, dia selalu berusaha untuk membuahkan senyum dan ketawa di bibir gadis itu. Dia paling tidak suka melihat air mata Najihah titis, untuk alasan apa sekali pun. Tidak tahu kenapa, tapi melihat Najihah bersedih, dia selalu terasa hatinya turut sedih.

“Jiha kasihan...”

Sampai bila-bila pun dia memegang kejap kata-kata yang diucapkan ayahnya bertahun-tahun dulu. Dia tahu ayahnya tidak menipu kerana bertahun-tahun dulu, ketika mereka berdua masih bersekolah, dia selalu melihat air mata Najihah gugur. Pantang kalau ada kawan-kawan mereka bercerita tentang ibu. Ketika itu, dialah yang akan menjadi tukang pujuk Najihah, walaupun yang sebenarnya dia juga tidak ada ibu. Sedangkan Najihah, masih punya mama. Hanya mama Najihah selalu tidak ada ketika diperlukan.

Sedap benar ke novel tu sampai Jiha masih juga tak perasankan aku?

Dia terus berdiri tegak. Masih memerhatikan Najihah yang seperti larut dalam dunia novel yang sedang dibaca. Entah apa yang Najihah rasa ketika membaca novel tersebut, dia tidak tahu. Mungkin Najihah terasa seperti watak utama dalam novel tersebut, atau ketika ini ada sesuatu yang lain memonopoli minda gadis itu.

Munirah, barangkali!

Atau, kegembiraan dan kebahagiaan Munirah!

Tapi gila! Benar-benar tidak masuk akal bila Najihah mahu menamatkan zaman bujang yang tentu sekali tidak ada dalam perancangan gadis itu, hanya semata-mata disebabkan Najihah melihat kegembiraan dan kebahagiaan Munirah. Lainlah kalau memang keinginan itu datang kerana Najihah sudah punya teman istimewa.

Tapi soalnya, mana ada! Setiap detik, setiap hari yang menjadi teman rapat Najihah hanyalah dia. Jiha... memang selalu tak logik!

Langkah digerakkan dua tapak. “Hah!” Kuat lantai tempat Najihah duduk santai, ditepuk. Sengaja mengejutkan gadis itu. Melihat novel di tangan Najihah tercampak di hadapan gadis itu, Najid ketawa kuat. Dia terduduk di sisi Najihah sambil menepuk-nepuk lantai. Berair-air matanya kerana geli hati dengan reaksi di luar kawalan Najihah. Mujur juga dia tidak berdiri di hadapan gadis itu, jika tidak pasti kepalanya benjol dihentam novel berwarna coklat cair dan pink itu.

“Najid!” jerit Najihah kuat. Serentak dengan jeritannya yang mengalahkan halilintar membelah bumi, dia menumbuk bahu kanan Najid sekuat-kuat hatinya. Laju gerakkan jantungnya kerana terlalu terperanjat dengan sergahan Najid. Entah sejak bila Najid ada di situ, dia benar-benar tidak perasan kerana larut dengan bacaannya. Kalau dia tahu, tentu awal-awal lagi dia sudah bersedia.

Najid terus juga ketawa walaupun bahu kanannya terasa sedikit sengal.

“Najid ni, tak baik tau buat Jiha macam ni. Kalau Jiha ada sakit jantung mesti Jiha dah jadi arwah.”

Semakin kuat ketawa Najid. Wajah masam-masam kelat Najihah mencuit hatinya. Mata yang berair disapu dengan belakang tangan. Dia hanya mahu membuatkan Najihah sedar akan kehadirannya. Mana dia tahu begitu sekali reaksi Najihah tadi. Kalaulah dia dapat merakamkan kekalutan Najihah tadi, tentu lebih geli hati. Terlalu teruja membuatkan dia lupa.

“Ketawa... ketawalah. Kalau Jiha betul-betul arwah nanti Jiha jadi hantu cekik leher Najid biar sama-sama jadi arwah,” sungut Najihah. Novel yang terkelepek di hadapannya dicapai, lantas diusap-usap penuh kasih. Gara-gara Najid, tidak fasal-fasal novel Kasih Benar Kasih yang tidak bersalah itu menjadi mangsa campakkannya. “Najid ni memanglah, memang kurang asam jawa betullah,” sambung Najihah lagi. Dia mengetap bibir, tanda geram. Ikutkan hati mahu saja dia menghadiahkan buku lima ke muka kacak Najid. Biar lebam macam kentang yang dikupas tapi tidak direndam dengan air.

“Emonya,” ejek Najid dalam sisa-sisa ketawa yang masih ada.

“Banyaklah Najid punya emo!”

Ketawa Najid mati begitu saja. Novel di tangan Najihah dicapai, dilihat-lihat cover novel tersebut. Melihat arnab putih dalam cover itu, dia tersenyum. Comel saja cara arnab itu berdiri. Kemudian dibalikkan, membaca ringkasan cerita di bahagian kulit belakang. Kata Najihah, tulisan-tulisan kecil berwarna hitam itu dipanggil blurb. Dia memang tidak tahu istilah itu jika Najihah tidak memberitahu. Sampai bila-bila pun dia tentu akan menggelar ringkasan cerita itu sebagai sinopsis.

“Macam menarik aje cerita ni. Kisah apa?”

“Najid pandai bacakan? Jadi kalau Najid rasa nak tahu, baik Najid baca sendiri. Malas Jiha nak cerita. Kalau Jiha cerita pun nanti Najid acuh tak acuh walaupun Najid yang tanya,” jawab Najihah sambil menjeling tajam pada Najid. Melihat air muka Najid saat ini, ringan saja tangannya mahu mencekik leher lelaki itu.

Najid ketawa. Tahu, sakit hati Najihah masih belum hilang lagi. Tegang pada air muka Najihah adalah bukti yang nyata. Lalu, novel tersebut diserahkan kembali pada Najihah. Mulanya memang dia tidak berniat mahu ke rumah Najihah, tapi bila melihat lampu gazebo menyala, terus dia mengorak langkah. Lampu gazebo di rumah Najihah tidak akan menyala kalau bukan Najihah duduk di situ.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Tadi Jiha berangan ya sampai tak sedar kedatangan Najid?” sakat Najid sambil tergelak-gelak. Dia ikut bersandar di sisi Najihah. Baju tidur lengan pendek dengan seluar panjang bercorak kartun yang dipakai Najihah membuatkan dia menggeleng berkali-kali. Sudah dikatakan yang Najihah sudah begitu dewasa, tidak sesuai memakai baju tidur bercorak begitu. Tapi seperti angin lalu, kata-katanya langsung tidak diendahkan Najihah.

“Diri Jiha, suka hati Jihalah nak pakai apa pun!”

Itu pula balasan kata-kata Najihah bila dia terus juga menegur baju tidur yang dipakai Najihah.

“Kalau abang bising sangat, abang belikanlah Jiha baju tidur yang baru. Barulah Jiha tak pakai baju tidur corak kartun macam ni.”

Itu pula yang Najihah jawab bila yang bising-bising itu Ilham.

Tapi itu hanya jawapan Najihah. Bahkan dia percaya, kalau pun Ilham membelikan Najihah baju tidur yang lain, lambat-laun gadis itu tetap akan mengenakan baju tidur bercorak kartun. Bukannya mudah mahu mengubah kebiasaan Najihah kerana Najihah itu hampir sama dengan batu dan besi.

“Mana ada!”

“Habis tu takkanlah reaksi Jiha sampai macam tu sekali? Habis tercampak novel. Baik mujur tak kena atas kepala Najid.”

“Kalau novel ni kena atas kepala Najid, lagi bagus!” Novel di tangannya dibuat-buat seperti hendak dilemparkan ke arah Najid.

Najid membesarkan matanya. Sengaja mahu menakut-nakutkan Najihah walaupun semenjak mereka berdua kecil, Najihah memang tidak pernah takut padanya. Kadang-kadang bila dia bising-bising marahkan Najihah, Najihah hanya tersengih-sengih sambil menjongketkan kening. Saat ini pun, yang dia lihat Najihah tersenyum nipis sambil menggoyang-goyangkan kepala.

“Tapi tadi, Jiha memang berangan kan?”

“Taklah... mana ada Jiha berangan. Jiha tengah khusyuk baca novellah tadi tu. Pandai-pandai aje kata Jiha berangan. Najid fikir Jiha nak jadi Mat Jenin ke apa?” ujar Najihah dalam nada yang mula kendur.

“Ya sangatlah tu baca novel. Entah-entah dalam kepala tu ada banyak yang Jiha fikirkan,” sangkal Najid.

“Tak percaya sudah!” Najihah juga enggan mengalah. Tadi memang dalam kepalanya tidak ada apa-apa. Seluruh tumpuannya hanya diberikan pada novel yang sedang dibaca kerana membaca novel sambil memikirkan perkara lain, memang tidak berbaloi. Silap-silap dia tidak tahu apa yang mahu disampaikan penulis. Sedangkan dia percaya, dalam sesebuah novel itu ada nilai pengajaran yang boleh dijadikan iktibar.

Tapi ketika ini, mindanya mula digayut sesuatu. Dia kembali teringatkan air muka Munirah yang kelihatan berseri-seri tiga hari lalu. Malah, seri itu seperti menarik-narik dirinya supaya ikut sama masuk dalam dunia Munirah.

“Hah... kan betul Najid cakap tadi. Jiha bukannya baca novel tapi Jiha berangan kan? Isyh... saja aje tak nak mengaku.”

“Tadi taklah,” kata Najihah sambil ketawa.

“Apakah itu bermaksud beberapa saat tadi Jiha memang tengah berangan?” duga Najid sambil tergelak-gelak. Dan dalam sekelip mata, ketawanya dengan Najihah bergabung menggamatkan suasana di halaman rumah Najihah. Kalaulah Ilham ada, pasti bapa saudara Najihah akan berdiri di hadapan mereka berdua sambil bercekak pinggang. Kemudian Ilham akan membebel-bebel mengatakan mereka berdua membuat bising.

“Jiha nak kahwinlah, Najid...” kata Najihah setelah ketawanya reda. “Jiha nak rasa apa yang Munirah rasa.”

Kata-kata Najihah kali ini, kembali mengundang ketawa besar Najid. Masuk hari ini, sudah tiga hari Najihah mengulang kata-kata yang sama. Langsung tidak jemu-jemu. Gadis itu seperti begitu nekad dengan keputusan yang dibuat. Padahal sebagai orang yang rapat dengan Najihah, dia tahu yang perkahwinan dan Najihah, untuk saat ini kalau digandingkan sangat tidak sesuai. Usia 25 tahun yang Najihah galas, bukan bermakna Najihah boleh melakukan apa saja.

Kalaulah abang dengar Jiha nak kahwin ni, mahu dia ketawa tiga hari tiga malam, desis hati Najid geli hati.

“Najid ketawa kenapa? Najid rasa Jiha tak layak jadi isteri orang ya?”

Tanpa berselindung, Najid pantas mengangguk berkali-kali. Dia tidak perlu berbohong semata-mata mahu menjaga hati gadis yang nampak bersungguh-sungguh di hadapannya itu. Soal nikah kahwin, bukannya perkara main-main. Dia pun tidak mahu Najihah main-main dalam soal serius begitu. Silap pertimbangan, silap membuat keputusan, hidup Najihah yang akan merana.

Dia sayangkan Najihah dan sebagai kawan, dia tidak mahu Najihah menyesal di kemudian hari. Lantaran itu, dia mahu Najihah sedar. Bukan hanya mengambil jalan mudah hanya selepas melihat Munirah hidup bahagia dan gembira selepas bergelar isteri. Itu Munirah yang jelas-jelas sudah punya keluarga bahagia. Sedangkan Najihah, nasib gadis itu tidak ada sesiapa pun yang boleh meramal. Berkahwin kerana cinta sama cinta pun ramai yang gagal, apa lagi kalau berkahwin kerana mahu mencuba.

Tidak nampakkah Najihah apa yang dia cuba sampaikan?

“Najid fikir Jiha ni teruk benar ke sampai Najid rasa Jiha tak layak?” Perlahan saja nada suara Najihah. Sedih pula dia bila Najid berkata dengan penuh yakin. Dia perempuan, sampai satu masa kelak, dia juga mahu punya suami dan anak-anak yang comel. Jadi, apa masalahnya kalau dia berkahwin sekarang? Tidak pedulilah dia berkahwin atas sebab apa pun, yang penting nanti-nanti, kehidupan yang dipilih saat ini juga yang akan dilalui.

“Bukanlah macam tu maksud Najid. Najid cu...”

“Dah tu?” potong Najihah pantas.

Najid nampak muka serius Najihah. Entahlah, Najihah sedang dirasuk hantu apa, dia sungguh-sungguh tidak tahu.

“Lantak Najidlah kalau nak ketawa pun, Jiha tetap dengan niat Jiha. Dapat aje lelaki yang sesuai dengan Jiha, Jiha nak terus kahwin,” kata Najihah tegas.

Ketawa Najid terus terhenti. Dia terasa kali ini yang Najihah tidak main-main. “Gila!” Sepatah perkataan itu meluncur laju dari ulas bibirnya.

“Gila tak gila, Jiha tak peduli! Apa jadi pun Jiha nak cuba juga kahwin. Berjaya ok, kalau gagal pun ok. Yang penting, Jiha nak cuba!”

“Gila!”

- CINTAKU TAK MAHAL [BAB 5] -

October 1, 2012

RAQIB memandang pen hadiah hari ulang tahun kelahirannya yang ke-27 penuh minat. Hadiah pemberian Nadra yang kini menjadi barang kesayangannya. Sekejap-sekejap pen tersebut digenggam, seketika genggamannya dibuka. Kemudian digenggam lagi, selepas itu dibuka kembali. Beberapa minit berlalu, dia masih juga melakukan perkara yang sama.

Lambat-lambat keluhan panjang keluar dari bibirnya. Jiwanya masih kacau bilau, sama seperti semalam walaupun Nadra sudah berjaya dipujuk. Itu pun bukannya mudah untuk mencairkan sekeping hati yang kini telah menjadi miliknya. Hampir-hampir saja dia mengangkat bendera putih tanda menyerah. Namun desakkan hati membuatkan dia terus sabar dan bertabah memujuk isterinya itu.

Boleh saja kalau dia mahu membiarkan hati Nadra yang rajuk itu terpujuk sendiri kerana ketika mereka belum bergelar suami isteri, itulah yang Nadra lakukan. Tapi menunggu hati Nadra sejuk bermakna dia harus menunggu tiga hari lagi. Sedangkan sekarang ini, tidak mendengar suara Nadra dalam jangka masa yang singkat pun dia jadi tidak tentu arah, apalagi kalau sampai tiga hari. Kalau tak kena gaya, tiga hari lagi Nadra akan kembali ke asal tapi dia pula yang nanar.

Idlan... bisiknya perlahan, tiba-tiba. Tubuh disandarkan santai. Mata lantas dipejamkan rapat-rapat. Dalam diam dia mengharap supaya kacau bilau yang terasa dalam jiwa meninggalkannya. Bimbang gara-gara diburu emosi, kerja-kerja pejabat tidak dapat disudahkan dengan baik.

Iha! Kali ini, nama Nadra pula yang dibisikkan. Wajah keruh dan sayu Nadra ketika meninggalkan bilik Idlan pagi semalam, bagaikan terbayang-bayang di ruang matanya. Dia tahu Nadra sedih dengan kata-kata Idlan. Malah dia sendiri pun terkejut kerana Idlan tergamak berkata begitu pada Nadra yang kini sudah menjadi isterinya. Bukan lagi kawan baiknya sejak bertahun-tahun dulu.

Salahnya dia! Bukannya dia tidak tahu apa yang berlaku antara Nadra dan Idlan sejak tiga bulan lalu. Dia bukannya buta untuk melihat segala-galanya. Telinganya juga masih belum pekak. Tapi dia sengaja buat-buat tidak tahu, buat-buat tidak nampak apa yang berlaku. Malah dia berkata apa saja yang terlintas di mindanya demi menyedapkan hati Nadra supaya tidak menganggap yang bukan-bukan pada Idlan.

Bukannya dia berat sebelah. Tidak. Dia diam kerana dia sayangkan Nadra dan Idlan. Tidak mahu kerana campur tangannya, hubungan yang memang tidak begitu baik akan bertambah genting.

Lantaran itu, dia selalu mengabaikan apa saja yang dikatakan Nadra tentang sikap Idlan. Jika Idlan membuka mulut mengadu tentang Nadra, pun dia buat-buat dengar sebelum membiarkan begitu saja. Langsung tidak menyebut apa-apa pada Nadra. Memang apa yang kedua-duanya katakan, habis di situ saja. Tidak ada tindakan susulan yang dibuat kerana dia merasakan tidak perlu berbuat apa-apa.

Menegur Idlan, hanya akan membuatkan Nadra lega dan menegur Nadra pula cuma akan memuaskan hati Idlan. Dia tidak mahu memuaskan hati salah seorang daripada mereka.

Lebih daripada itu, dia selalu yakin Nadra mampu menyelesaikan masalah yang datang dengan baik. Suatu hari nanti, Idlan pasti tunduk juga pada Nadra kerana isterinya itu penuh dengan kasih sayang. Kalau Nadra itu miskin dengan kasih sayang, tidak mungkin dia mampu menukarkan status kawan kepada isteri dengan begitu mudah.

“Hoi... kau berangankan apa sampai lupa terus pada aku yang tercongok depan mata kau ni?” tegur Afnan sedikit menyergah.

Raqib tersentak. Memandang Afnan yang mempamerkan muka serius, dia tersengih-sengih sendiri. Malu pada Afnan dan diri sendiri terasa sama banyak. Terlalu hanyut memikirkan tentang Nadra dan Idlan, dia jadi lupa pada Afnan.

“Sorry, bai! Aku betul-betul lupa kau ada kat sini. Otak aku serabut sikit.”

“Serabut lagi? Bukan tadi kau kata yang Nadra dah okey ke? Dah tak merajuk macam semalam. Kau nak serabutkan apa lagi ni Raqib?” tanya Afnan tak mengerti.

“Memanglah Nadra dah okey dengan aku. Tapi dia masih tak okey dengan Idlan tu. Bila-bila masa aku yakin mereka berdua akan perang lagi,” kata Raqib bagaikan mengadu. Bukannya dia mahu menagih simpati pada Afnan yang menjadi kawan baiknya sejak berpindah ke ibu pejabat. Tapi dia perlukan seseorang untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. Meskipun dia lebih senang bercerita dengan Nadra, tapi bukannya cerita yang satu ini kerana melibatkan Nadra sendiri.

“Kau kata dah nasihatkan Idlan. Takkanlah tak pulih lagi?”

Kepala Raqib menggeleng laju. Keluhannya kedengaran lagi. Malah lebih keras. Masam muka Idlan ketika dia keluar beriringan dengan Nadra tadi buat dia rasa tidak sedap hati.

“Apa maksud gelengan kau tu?”

“Aku memang dah nasihatkan dia semalam lepas Nadra pergi kerja. Tapi Idlan tak bercakap sepatah pun dengan aku. Dia dengar cakap aku tapi buat macam tak dengar. Lepas tu selamba aje dia cakap yang dia nak turun bawah sebab lapar. Langsung tak pandang pun muka aku,” ujar Raqib kesal.

“Kenapa dia jadi macam tu pula?”

“Aku sendiri tak tahu. Selalunya kalau dengan aku dia memang banyak cakap. Tak sangka pula semalam dia boleh kunci mulut dia ketat-ketat.”

Kening Afnan berkerut. Pelik pula dengan perangai adik lelaki Raqib. “Kau cakap dalam nada yang marah-marah ke?”

“Taklah. Dia dahlah nampak panas dengan Nadra, takkanlah aku nak panaskan lagi dia. Aku cuba bercakap dalam nada yang tenang walaupun hati aku memang dah panas masa tu. Ada ke dia cakap depan-depan Nadra yang Nadra tu bukan siapa-siapa dalam rumah umi aku tu. Siap kata yang Nadra tu orang luar. Kalau aku jadi Nadra pun aku marah dan kecil hati juga. Tapi entahlah adik aku tu, aku sendiri jadi tak faham...”

Melihat Raqib yang nampak tegang, Afnan ketawa perlahan. Geli hati kerana Raqib yang dia kenal rapat sejak tiga bulan lalu, tidak pernah lagi mempamerkan air muka begitu. Tapi bukanlah dia kenal Raqib baru-baru ini. Sesekali ada juga mereka berjumpa bila ada kerja-kerja yang memerlukan mereka bekerjasama kerana bernaung di bawah payung syarikat yang sama. Bahkan, dia juga kenal Nadra walaupun tidak rapat.

“Kenapa kau ketawa?” Raqib tidak puas hati. Pada saat hatinya serabut, Afnan masih ada hati mengetawakannya.

“Muka kau teruk, bai...”

Raqib sentuh muka sendiri. Kemudian dia ketawa perlahan bila sedar kedunguan sendiri. Macamlah dengan menyentuh mukanya, dia boleh melihat betapa teruknya air mukanya.“Hampeh betullah kau ni, Afnan!”

Semakin besar ketawa Afnan. Seketika ketawa mereka berdua bergabung menggamatkan bilik pejabat Raqib. Dalam sekelip mata rupa tegang Raqib hilang. Meluahkan perasaan pada seseorang memang ada kebaikannya, dibandingkan dengan hanya memendam rasa sendiri-sendiri. Silap perhitungan, boleh rosak fikiran kerana hanya terkumpul di ruang yang sama.

“Mujur juga semalam masa aku kata pada Nadra yang aku dah tegur Idlan, dia tak tanya apa-apa. Buatnya dia tanya Idlan cakap apa lepas kena tegur dengan aku, dah tak fasal-fasal aku kena buat ayat bohong sebab tak nak kecilkan hati dia lagi.” Raqib bercerita selepas ketawa mereka reda.

“Nasib baik, kalau tak buat menambahkan dosa kau aje nak tipu wife sendiri.”

“Raya nanti aku minta maaflah betul-betul kat bini aku tu,” balas Raqib dalam senyuman.
--------------------------------------------------------------------------------
“TAPI... aku rasa macam peliklah sikitlah Raqib,” kata Afnan sebaik saja mereka berdua meninggalkan Restoran Yusof Haslam. Selepas beberapa jam berlalu, kepalanya masih memikirkan tentang Nadra dan Idlan. Isteri dan adik lelaki Raqib itu benar-benar telah mengganggu ketenangannya. Kini dia terasa seperti terbeban dengan masalah yang menimpa kawannya itu. Hendak dilenyapkan begitu-begitu saja pun seperti tidak boleh.

Kening Raqib sedikit terjongket. Dia bertanya tanpa suara. Jalannya sedikit perlahan. Perut yang kenyang buat matanya mengantuk, apalagi dalam keadaan cuaca yang terasa panas membahang. Dalam kepalanya ketika ini, dia membayangkan katil yang saban hari menampung tubuh dia dan Nadra. Kalaulah dia dapat melelapkan mata, tentu tidurnya lena sampai ke petang.

“Fasal Nadra dan Idlan.”

Raqib menoleh Afnan seketika. Kini dahinya pula yang berkerut sedikit. “Kenapa dengan Nadra dan Idlan?” Dia sengaja melupakan apa yang berlaku kerana tidak mahu mindanya terus serabut, tapi nampaknya Afnan masih belum selesai. Masih memikirkan isteri dan adiknya.

Afnan sedikit tersengih. “Yalah.. aku tengok cara Idlan macam nak bersaing dengan Nadra untuk rebut perhatian kau. Kau kata, dulu pun masa kau kawan dengan Nadra, Idlan macam tak suka tapi lepas kau kahwin dia jadi lebih tak sukakan Nadra. Macam jealous pun ada juga,” kata Afnan mengeluarkan apa yang berlegar-legar di kepalanya berserta dengan andaiannya sekali.

Bukan baru semalam dia tahu masalah yang dihadapi Raqib, tapi sejak sebulan yang lepas. Ketika itu pun dia sudah membuat kesimpulan sendiri tapi tidak pernah diluahkan pada Raqib kerana bimbang andaiannya salah. Tapi selepas apa yang terjadi semalam, telahannya jadi lebih kuat.

“Wei... adik aku lelakilah!” Mata Raqib sedikit melotot. Tidak dapat menerima apa yang Afnan katakan.

“Siapa yang kata adik kau tu perempuan. Nama pun dah sah-sah Idlan, bukannya Idlanina.”

“Dah tu? Kalau lelaki cemburukan lelaki lain sebab berebutkan perempuan yang sama, itu aku biasa dengarlah. Tapi adik ipar cemburukan kakak ipar? Macam mengarut aje! Apa ke halnyalah Idlan nak cemburukan Nadra tu. Dah sah-sah yang Nadra tu wife aku, kenapa pula Idlan nak cemburu? Jangan kau nak kata yang Idlan pun ada hati dengan Nadra sudahlah ya. Karang kau pula yang kena cepuk dengan aku,” ugut Raqib. Dia tidak dapat menerima andaian yang dibuat Afnan. Tidak pernah pun terlintas perkara itu di kepalanya.

“Eh... aku bukannya mengarutlah.”

“Maksud kau, Idlan tak puas hati dengan Nadra sebab aku?”

“Ya! Aku cakap berdasarkan apa yang aku dengar dari mulut kau. Tak mungkin Idlan tak sukakan Nadra tanpa sebab dan tak mungkin ada sebab lain selain daripada kau. Cuma mungkin kau tak perasan.”

“Takkanlah kot, Afnan! Adik aku tu baru 16 tahun. Tak mungkin dah berfikir jauh sampai macam tu sekali.”

Muka Raqib yang serius, Afnan pandang. Kalau dia di tempat Raqib pun dia tidak akan dapat menerima dengan mudah. Adik kandung tidak suka pada isteri sendiri, macam tak logik pun ada juga. Tapi di sisi yang lain, Raqib harus menerima pendapatnya dengan tenang. Kalau tak benar, tak apa-apa. Kalau benar, Raqib harus berusaha untuk menyelesaikan masalah yang ada sebelum semakin meruncing dan tidak boleh diselesaikan lagi.

“16 tahun, bukan 6 tahun, kawan. 16 tahun tu dah peringkat remaja yang tahu serba sedikit tentang hidup. Malah dah belajar tentang hidup dan kehidupan. Dah tahu rasa cemburu bila terasa hak dia dirampas orang lain. Dah tau juga rasa suka pada seseorang yang dia berkenan. Aku ada ramai adik-beradik, Raqib. Mungkin aku tak tahu semua perangai mereka, tapi apa yang kau alami aku dah biasa alami. Cumanya mereka cemburu sesama sendiri. Aku kan, bujang lagi?” luah Afnan tulus. Sempat juga dia membuat lawak di akhir kata-katanya kerana melihat muka Raqib yang keruh.

Dia bukan mahu menakut-nakutkan Raqib. Tapi itu memang kenyataan hidup. Raqib mungkin tidak tahu kerana Raqib dan Idlan hanya dua beradik. Dia pula punya lima orang adik yang masing-masing punya ragam dan perangai tersendiri. Sesungguhnya, bukannya mudah menjadi anak sulung.

“Aku rasa macam tak percaya aje. Takkanlah Idlan tak puas hati dengan Nadra? Nadra bukannya jahat pun.”

“Kau satu-satunya abang dia, kan?”

Raqib angguk. Masih memikirkan kata-kata Afnan yang masih belum dapat diterima sepenuhnya, walaupun jauh di sudut hati dia terkesan juga.

“Ayah kau meninggal dah lama. Masa dia kecil lagi. Tak mustahil dalam bayangan dia, kau tu macam ayah dia. Kau pun layan dia baik aje selama ni. Bila Nadra ada, mungkin dia terasa perhatian kau pada dia jadi kurang.”

“Tapi aku dah lama berkawan dengan Nadra. Aku layan dia sama aje macam dulu.”

“Tapi dia tak pernah layan Nadra dengan baikkan selama kau berkawan dengan Nadra?”

Raqib mengeluh perlahan, pandangan dibuang ke sisi. Hatinya kembali bergalau. Kalau diimbas-imbas tingkah Idlan selama ini, kata-kata Afnan memang boleh diterima pakai. Idlan memang tak pernah menegur Nadra. Balik-balik yang dilihat, Nadra selalu cuba untuk menarik perhatian Idlan.

“Tak payah mengeluh sangat. Tiap masalah ada jalan penyelesaiannya.