- BOLEH JADI PADA KAU, AKU, DIA & KITA-KITA... -

Sedikit Pengenalan Tentang Bakal Novel Terbaru ALEYA ANEESA Yang Akan Berada Di Pasaran Dengan Judul CINTAKU BUKAN MURAH:

Seperti selalu, kisah kali ini hanya kisah biasa yang tentunya berlegar-legar di sekeliling hidup kita. Kisah Nadra dan Raqib yang berusaha memaknakan sebuah perkahwinan yang pada asalnya tidak pernah mereka rancang. Namun kalau memang sudah tertulis mereka berjodoh, ibarat ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bertemu juga. Hanya, hakikat hidup nyatanya tak begitu mudah bila kebencian Idlan menjadi punca pada sebuah perbalahan.

Saya fikir, apa yang Idlan rasa pada Nadra, pernah juga dirasakan oleh ramai orang di luar sana walaupun mungkin tidak begitu keterlaluan, atau mungkin juga dalam jangka masa yang singkat sehingga masing-masing dapat menyesuaikan diri. Tidak begitu mudah juga untuk menerima orang luar masuk ke dalam keluarga kita secara tiba-tiba dan itulah yang saya pernah rasa ketika kakak kandung saya berkahwin suatu ketika dulu. Saya rasa kehilangan, rasa seperti apa yang saya miliki bagaikan dirampas orang. Namun rasa itu tidak bertahan lama, hanya beberapa ketika sebelum segala-galanya berjalan seperti biasa.

Ketika itu, saya akui saya hanya takut pada bayang-bayang sendiri. Ikatan perkahwinan yang berlaku bukan bermakna ikatan yang sedia ada terputus sebaliknya hanya memanjangkan silaturahim, apalagi ikatan yang diikat dengan hubungan darah.

Itulah yang sebenarnya saya cuba paparkan dalam novel kali ini. Yang ingin saya tekankan, ketakutan Idlan sehingga membuahkan rasa benci dan marah pada Nadra sebenarnya tidak berasas. Tapi tidak juga dia harus disalahkan kerana keadaan yang membentuk dia sehingga menjadi begitu. Di matanya, Raqib itu ikon bagi menggantikan tempat si ayah yang tidak ada.

Untuk itu, kepada yang masih memiliki ayah dan ibu, bersyukurlah dan hargailah mereka seadanya selagi mereka masih ada. Untuk yang sentiasa ada di belakang saya selama ini, terima kasih. Untuk yang mahu membaca, selamat membaca. Semoga pertolongan dari DIA tak akan pernah berhenti. Sekian.

P/S : JANGAN CARI DI PASARAN SEBAB MASIH BELUM ADA. BILA ADA NANTI AKAN DIMAKLUMKAN...

- BETUL TAK TIPU! HIDUP NI MEMANG PERJUANGAN... -

Salam & helo pada yang mungkin masih berkunjung ke sini walaupun blog ni makin hari terasa sungguh kesepiannya. Banyak habuk dan sawangnya di mata saya. Bukan tak ada cerita nak dikisahkan pada semua. Ada dan sangat banyak cerita saya bermula dari awal tahun hari tu. Tapi tak tercoret rasanya. Mood agak kurang bagus dan kerja pula memang agak ketara banyaknya. Maka keinginan untuk terus berkisah jadi pudar.

‘Hidup ni perjuangan! Sama ada, berjuang untuk terus rasa manisnya sebuah kemenangan atau berjuang untuk kenal kelatnya sebuah kekalahan.’

Tapi... sepotong ayat di atas buat jari-jemari tak runcing saya terasa ringan nak menari di atas dada keyboard ni. Opsss... sedikit jiwang kan bunyi ayat dalam N3 ni? Tak apa kan? Sesekali seorang Marwati Wahab @ Aleya Aneesa jadi jiwang... tak ada masalah, kan? Kalau ada yang rasa macam bermasalah, tutuplah mata dan buat-buat macam tak nampak. Lepas tu pergi dan kemudian datang lagi bila ada N3 yang lain, yang tentu aje menepati selera.

Okey, berbalik pada sepotong ayat tu. Sejujurnya... ayat tu ada saya muatkan dalam novel terbaru saya yang insya-ALLAH akan terbit dalam masa yang terdekat ni. Itu pun kalau tak ada aral melintang. Kalau ada, mungkin mengambil masa sedikit. Tapi hendaknya janganlah ada yang tak terduga datang sebab saya sangat berkobar-kobar. Tak sabar menanti buah tangan saya yang terbaru. Apa lagi kan... yang diharapkan seorang penulis selain daripada melihat manuskrip bertukar menjadi sebuah novel yang sangat cantik.

Judulnya, asalnya saya beri CINTAKU TAK MAHAL. Tapi atas pertimbangan lain dan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak bertanggungjawab, terpaksa ditukar jadi CINTAKU BUKAN MURAH. Saya sendiri, okey aje dengan judul yang baru tu sebab kedua-duanya datang daripada saya juga.

Dan kalau dihayati erti sepotong ayat itu, betullah... betapa hidup ini sebenarnya sebuah perjuangan. Kalau kita menang, itu memang rezeki kita. Tapi kalau kita kalah, bukan bermakna kita harus kesal seumur hidup. Jangan! Sebaliknya, jadikanlah kekalahan itu sebagai pengajaran supaya pada masa akan datang, kita akan lebih berhati-hati dalam merealisasikan apa juga yang kita mahukan dalam hidup.

Berkata-kata memang mudah kan? Ya, saya akui itu kerana yang bercakap orang lain, sedangkan yang memikul pundak orang lain. Tapi... kenyataannya, kita memang tak akan ke mana-mana dengan hanya mengenang kisah lalu. Sebaliknya, jadikan pengajaran dan ambillah iktibar atas kegagalan kita kerana saya percaya, tak akan ada manusia yang memang memilih jatuh di dalam lubang yang sama berkali-kali. Tidak saya, tidak juga orang lain di dalam dunia ini.

Untuk itu, jika benar kita kita jatuh. Bangun dan terus bangun sehingga pada akhirnya, kita tak akan jatuh lagi kerana kita sudah tahu apa dan di mana tempat sepatutnya kita mengelak.

Sekian...

- CINTAKU TAK MAHAL [BAB 9] -

AFNAN pandang muka Raqib. Lama. Tajam renungan matanya. Kalau boleh tembus, pasti muka Raqib sudah lama berlubang-lubang. Dalam diam dia cuba membaca apa yang ada di fikiran kawannya itu ketika ini. Tapi tidak ada. Riak muka Raqib tetap saja tenang sama seperti tadi, sama juga seperti hari-hari lain.

“Kenapa kau pandang muka aku macam nak telan?” tanya Raqib sambil menjongketkan kening. Cara Afnan merenungnya, nampak sedikit pelik. Dia jadi ingat pada kata-kata Shana di Restoran Rebung tengah hari tadi. Kalaulah Nadra mendengar, pasti Nadra akan mengetawakannya. Kalau Afnan yang tahu, tentu tergolek-golek kawannya itu ketawa kerana geli hati.

Ada ke dikata aku risaukan Afnan macam Afnan tu isteri aku. Apalah Shana, desis hati kecil Raqib.

“Ada apa-apa yang aku tak tahu dan kau patut bagi tahu aku kan?”

“Maksud kau?” tanya Raqib. Jam di pergelangan tangan dikerling. Hari ini dia agak letih, selepas solat maghrib dia mahu pulang. Tak larat hendak menunggu lagi. Jika berterusan bekerja hingga lewat malam, tentu reput tulangnya. Nadra pun sudah banyak kali menegur kerana dia bekerja seperti esok sudah tidak ada hari lagi. Setiap kali itu dia hanya tergelak-gelak menyakat isterinya itu.

Mana ada orang yang suka kerja sampai ke malam. Tapi kerja yang ada menuntut dia supaya mengorbankan sedikit masanya.

“Kenapa lepas aku balik dari toilet tadi, aku tengok Shana nampak monyok aje? Tak ceria macam masa kita baru-baru sampai?”

“Lah... kenapa kau tak tanya dengan Shana aje? Manalah aku tahu,” dalih Raqib.

“Aku dah tanya dia tapi dia kata tak ada apa-apa.”

“Kalau dia kata tak ada apa-apa, maknanya tak ada apa-apalah tu. Lainlah kalau dia kata ada apa-apa. Itu barulah boleh kau nak tahu.” Raqib jawab selamba. Pen di tangan dipusing-pusingkan sesuka hati. Afnan nampak ketara risaukan Shana. Lantas diamati tampang kawannya itu, cuba mencari sesuatu. Namun tidak ditemui. Langsung tidak ada riak yang luar biasa terpeta pada wajah Afnan, kecuali rasa ingin tahu.

“Kau suka pada Shana ya?” tanya Raqib tiba-tiba.

“Hah? Kau gila?”

“Gila kenapa? Kau kosong, dia pun kosong. Kalau dah sama-sama kosong, kau jadikanlah angka yang lain sebab angka kosong nampak tak cantik. Cuma bulat semata-mata. Buatlah angka yang lebih bermakna. Contohnya... 1 + 1 = 3 atau yang sewaktu dengannyalah,” sakat Raqib. Ketawanya kemudian jadi kuat, walaupun dia hanya ketawa sendiri. Afnan hanya menggeleng tidak percaya.

Dia sengaja memukul hati Afnan walaupun dia tahu Shana bukan cita rasa Afnan. Kawannya itu hanya mahukan pasangan yang sederhana. Bertudung tetapi tidak terlalu lemah lembut, bukannya seperti Shana yang tidak bertudung tapi sangat lemah lembut dan bersopan santun ketika berkata-kata. Bukanlah bermakna Afnan mahukan teman hidup yang sosial. Tidak. Tapi Afnan mahukan perempuan yang tahu berdikari dan boleh membawa diri walau dalam apa pun keadaan.

“Keluarga aku besar. Kalau pilih yang lemah lembut, nanti adik-adik aku buli dia. Kalau pilih yang terlalu agresif, takut pula adik-adik aku yang kena buli. Jadinya pasangan aku nanti biarlah yang sedang-sedang aje.”

Itu alasan Afnan dan dia tahu alasan itu memang logik. Dia yang hanya ada seorang adik, kadang-kadang pening dengan tingkah Idlan, apalagi Afnan yang mempunyai lima orang adik. Tentu pening Afnan berganda-ganda dibandingkannya.

“Shana tu okey jugalah.”

“Untuk kau mungkin sesuai tapi untuk aku tak. Kalau aku nak cari pasangan hidup, Shana bukan orangnya.”

“Wei... aku dah kahwinlah! Lagilah tak sesuai dengan Shana tu.” Sedikit terjerit suara Raqib.

“Lelaki ada tiga lagi kuota, apa yang nak dirisaukan sangat kawan?”

Raqib baling pen ke arah Afnan. Geram dengan kata-kata kawannya itu. Kalau Nadra dengar, tentu bertelur dahi Afnan dibelasah isterinya itu. Nadra memang bukan termasuk dalam kategori perempuan yang lemah lembut. Tidak juga boleh dipanggil seorang yang agresif kerana Nadra tidak pernah berkasar dengan sesiapa. Tapi kalau sudah sakit hati, dia yakin Nadra boleh saja berubah menjadi singa.

“Dengar dek bini aku, mahunya kau masuk ICU hari ni. Takut-takut kau tak sempat nak mengucap nanti.”

Afnan mencebikkan bibirnya. Mujur dia sempat mengelak, kalau tidak memang bergaris mukanya akibat balingan Raqib yang tidaklah sekuat mana. Dia hanya bergurau. Bukanlah benar-benar memaksudkan kata-katanya. Sekadar mahu menyakat Raqib yang lebih dulu mengusiknya. Melihat betapa sengsara ibunya selepas ayahnya berkahwin lain dan kemudian meninggalkan mereka adik-beradik, dia sungguh-sungguh tidak berharap ada perempuan di dalam dunia ini yang dimadukan suami yang tidak bertanggungjawab.

Bukanlah dia menolak hakikat poligami. Tidak. Dia tahu kalau poligami itu tidak salah di sisi agama. Tapi apalah ertinya poligami kalau yang merasakan nikmat perkahwinan itu hanya sebelah pihak, sedangkan pihak yang lagi satu berendam dengan air mata. Bimbang kelak ada pula bahu yang rebeh kerana gagal berlaku adil pada kesemua isteri yang dimiliki. Ketika itu, barulah tinggi rendah langit dapat diukur.

Dia bukan bercakap kosong, tapi dia bercakap berdasarkan pengalaman yang dilalui selama ini.

“Sorry, bai... just kidding! Jangan bagi tahu Nadra. Tak nak aku pergi pejabat dengan dahi benjol.”

Seketika ketawa Raqib dan Afnan bergema memecahkan suasana. Ramai yang sudah pulang ke rumah melayan kerenah isteri atau suami, juga anak-anak. Hanya tinggal beberapa orang lagi yang masih tekun menyiapkan kerja, selain mereka berdua.

“Betul kau tak tahu kenapa Shana tiba-tiba diam tadi?”

“Kau nampak macam sangat mengambil berat pasal Shana. Tapi bila aku nak kenenkan kau dengan dia, kau tak nak pula.”

“Aku seriuslah!”

Raqib langsung tidak terkesan dengan nada serius Afnan. Mengenali Afnan dengan lebih rapat, dia mula kenal Afnan itu jenis orang yang bagaimana. Terlalu cepat terasa hati, bukan Afnan orangnya.

“Aku tak tahu kenapa Shana tiba-tiba berubah. Mula-mula dia elok aje berbual-bual dengan aku masa tunggu kau. Mungkin dia takut agaknya tengok aku dengan Ghazlan tadi. Ghazlan pun satu, entah macam mana boleh muncul agaknya. Mujur juga Nadra tak ada, kalau tak maunya mata dia, aku korek sebab tengok isteri aku tu,” terang Raqib tenang. Kepala disandarkan di kerusi. Dia menarik nafas panjang sebelum melepaskan perlahan. Tiba-tiba dia rasa rindu pada Nadra. Mungkin gara-gara pertemuan tanpa dirancang dengan Ghazlan. Sakit hatinya bukannya sedikit saat melihat Nadra ada bersama-sama Ghazlan satu ketika dulu.

Harap-harap hari ni Iha tak bawa balik kerja, boleh minta tolong picit bahu aku. Penat gila!
--------------------------------------------------------------------------------
“SENYUM kenapa pula ni? Kau bayangkan apa ni? Kau bayangkan yang bukan-bukan pasal Shana ya?” sergah Afnan tiba-tiba. Pelik bila Raqib tiba-tiba saja tersenyum bahagia. Dia tahu Raqib sedang membayangkan sesuatu. Namun dia tidak dapat menerobos ke minda kawan baiknya itu.

“Shana? Bayangkan Shana?”

“Yalah... kita tengah bercakap pasal Shana bukan tadi?”

Raqib tersenyum sendiri. Kelakar kerana masih sempat memikirkan Nadra pada saat Afnan ada di hadapannya. Menuntut sebuah penjelasan daripadanya. Lebih kelakar lagi bila Afnan menyangka dia sedang membayangkan Shana, padahal yang ada di dalam bayangannya Nadra.

Bayangkan Shana? Oh tidak! Dia mungkin bukan lelaki baik, tapi dia tidak mungkin membayangkan perempuan lain. Daripada membayangkan Shana, lebih baiklah dia membayangkan Nadra yang jelas-jelas sudah menjadi miliknya. Bukan hanya milik dalam angan-angan.

“Kita memanglah tengah bercakap pasal Shana, tapi yang ada dalam bayangan aku isteri aku. Nadra!”

Afnan terkedu sesaat. Kagum dengan kesetiaan Raqib. “Kau memang sangat sayangkan Nadra kan?”

“Eh, dia isteri aku! Kalau bukan dia siapa lagi yang aku nak sayang?”

“Harap untuk masa 20 tahun lagi, masih juga Nadra yang ada dalam bayangan kau. Bukan perempuan lain. Kalau itu sampai terjadi, kau kena dengan aku,” kata Afnan bagaikan mengugut.

“Jangan risau, insya-ALLAH kau tak akan ada peluang untuk kenakan aku selagi aku masih waras.”

Untuk masa beberapa detik, hanya sepi yang menemani mereka berdua. Namun minda Afnan sudah menerawang jauh. Yang kelihatan di matanya, seraut wajah ibunya yang semakin hari semakin menua. Ada garis-garis usia pada wajah kesayangannya itu. Garis-garis yang menampakkan kalau usia ibunya semakin lanjut. Hanya garis-garis itu sedikit pun tidak menampakkan kecacatan di matanya sebagai seorang anak.

“Bertahun-tahun aku nampak betapa sengsaranya ibu aku sejak ayah aku kahwin lain walaupun wajah dia selalu ada senyuman. Tapi aku tahu, senyum tak bermakna dia gembira dan bahagia. Aku yakin dia terluka dengan apa yang dah ayah aku buat. Apalagi ayah aku tinggalkan beban yang bukan sikit untuk dia pikul. Bukannya senang nak besarkan anak-anak yang berjumlah lima orang seorang diri.” Parau nada suara Afnan. Dia menekur meja dengan rasa yang hiba.

Kalaulah dia punya kuasa, dia akan pastikan ayahnya tidak akan berpaling pada perempuan lain. Tapi siapalah dia! Hakikatnya dia seorang anak yang masih belum mengerti apa-apa. Tak banyak yang dia tahu tentang hidup dan kehidupan pada ketika itu. Hanya yang dia tahu, hatinya rasa seperti dikelar pada saat tangan ibunya memegang kaki ayahnya dengan harapan ayahnya tidak akan meninggalkan mereka.

Tapi ayah tetap juga ayah. Petang itu ayahnya pergi tanpa sedikit pun berpaling ke belakang. Sampai ke hari ini pun ayahnya tak pernah muncul.

“Ayah kau tak pernah balik?” Raqib ingin tahu. Banyak lagi tentang Afnan yang belum diketahui dengan jelas. Dia tidak akan mendesak kalau Afnan tidak mahu bercerita.

“Aku harap dia tak balik sampai bila-bila.”

“Kau tak rindu dia?”

“Rindu aku pada dia hakis tiap kali aku terbayang mata ibu aku titis dengan air. Rindu aku pergi bila aku nampak peluh menitis di pipi dia gara-gara nak dapatkan sesuap nasi untuk kami anak-beranak.”

Ada sebak berladung dalam hati Raqib mendengar kata-kata Afnan yang nampak seperti sangat terseksa. Ayahnya sudah lama pergi, sama seperti ayah Afnan walaupun cara mereka pergi tak sama. Ayahnya pergi kerana menyahut panggilan ILAHI, sedangkan ayah Afnan pergi kerana mengikut perempuan lain. Dia tahu sakit yang dia rasakan kerana pemergian ayahnya tak sama seperti sakit yang Afnan rasa. Sakit sahabatnya itu tentu lebih dalam hingga bertahun-tahun masa berlalu pun, Afnan tetap ingat.

“Kau dendam pada dia, Afnan?”

Hanya geleng yang Afnan berikan. Raqib yang memandang agak tersentak. Tidak percaya dengan jawapan tanpa suara itu. Dia menyangka Afnan akan mengatakan yang sampai bila-bila pun dendam di hati sahabatnya itu tak akan hakis, biarpun nyawa bakal terpisah daripada badan.

“Jadi apa yang kau rasa pada dia?”

“Terus terang kata, hati aku pada ayah aku dah benar-benar kosong. Marah tak, sakit hati tak, suka tak, rindu pun tak. Aku tak dapat terima dia lagi, Raqib. Kalau dia muncul depan mata aku sekarang ni, mungkin aku akan buat-buat tak kenal dan tak nampak. Kalau aku terlanggar bahu dia, aku akan cakap maaf dan kemudian pergi macam memang tak ada darah dia dalam tubuh aku.”

Terus terang Afnan kedengaran agak kejam di telinga Raqib. Tapi dia tak mahu menganggap yang bukan-bukan pada sahabatnya itu. Dia tahu dari mana asal usul perasaan kosong itu. Afnan tidak mungkin membenci orang, apalagi ayah sendiri tanpa ada sebab-musabab yang kukuh.

“Mesti kau kata aku jahat kan? Anak tak kenang budi?” Hambar senyuman Afnan. Raqib atau sesiapa saja boleh membuat andaian. Namun yang memikul beban, pundak mereka sekeluarga, bukan pundak orang lain. Lantaran itu dia tak peduli pada pandang orang terhadapnya.

“Tak pun!” balas Raqib selamba.

Mata Afnan membulat. Tidak percaya melihat senyuman Raqib.

“Kita tak perlukan masa yang lama untuk kenal hati budi seseorang itu, Afnan. Mungkin kita baru rapat beberapa bulan, tapi hati aku dapat rasa yang kau bukannya jahat mana. Kalau tak, takkanlah kau beria-ia suruh aku jaga Nadra baik-baik. Kalau kau jahat mestilah kau sokong kalau aku nak duakan isteri aku tu. Kan, kata orang hanya lelaki yang memahami hati lelaki yang lain. Tapi dalam hal poligami ni kau nampak sangat-sangat tak setuju.” Terjongket-jongket kening Raqib.

Kali ini Afnan pula yang membaling Raqib dengan pen. Pun dapat dielak sahabatnya itu. Pada saat dia serius, boleh pula Raqib membuat kelakar.

“Jangan duakan dia, Raqib. Kesian. Kalau dia ada anak nanti, lagilah kesian.”

Terharu mengambil tempat dalam hati Raqib. Kalau Nadra yang mendengar, tentu mata isterinya itu akan bergenang.

“Insya-ALLAH tak akan. Kalau langkah aku sasar, kau ketuk kepala aku kuat-kuat biar aku sedar diri.”

“Kalau kau tak ingatkan pun, aku memang berbesar hati nak ketuk kepala kau. Bila lagi kan?”

“Hampeh kau!”

Pecah ketawa mereka berdua menggamatkan suasana.



- SELAMAT HARI LAHIR UNTUK SAYA... -

Terima kasih pada ALLAH yang memberikan saya nafas hingga ke hari ini. Terima kasih pada Mak dan Abah yang telah melahirkan saya ke dunia ini. Sampai hujung nyawa, jasa kalian tak mungkin terbalas. Untuk saya, Marwati Wahab @ Aleya Aneesa, SELAMAT HARI LAHIR. Semoga rahmat ALLAH makin bertambah hari demi hari... ;-)