- N3 TERAKHIR, SELAMAT TINGGAL SEMUA... -

N3 terakhir! Tapi bukanlah bermakna lepas ni saya tak akan conteng-menconteng di sini lagi. Tu cuma mukadimah, cubaan untuk menggempakkan diri sendiri yang kadang-kadang entah apa-apa. Mengabaikan blog ini setiap masa, mungkin. Tapi melenyapkan untuk selama-lamanya, untuk masa terdekat ini, insya-ALLAH tak mungkin. Blog ni dah berusia 6 tahun. Ada banyak kisah suka duka yang sengaja saya sisipkan di sini. Bukan diari, tapi sarat cerita seorang saya. Malah diakui, ada di antara N3 di dalamnya yang saya tak ingat ditujukan untuk siapa. Tak malu juga untuk diakui, ada masa-masanya, ada air mata bergenang di hujung mata ketika jari-jemari ini mengetuk keyboard terus-menerus. Ada masa-masanya, saya ketawa dan tersenyum sendiri.

Tajuk di atas, sejujurnya hanya tajuk semata-mata. Dalam erti kata yang lain, N3 ni mungkin N3 terakhir untuk tahun ini. Kenapa? Sebab malam nanti saya nak balik kampung dan jadi orang kampung sehingga tarikh 1 Januari 2014. Kalau dah balik kampung, dengan keadaan rumah Abah & Mak saya yang selalu kecoh dengan suara berbual kami anak-beranak, ditambah dengan jerit pekik anak buah saya seramai 10 orang yang bermaksud, isi rumah tu mencecah angka 23 orang, memang bertuah gila kalau saya dapat menaip N3. Tambah-tambah lagi ipar-ipar saya cukup pantang kalau saya sibuk dengan hal sendiri. Kata mereka, masa balik kampung haruslah digunakan dengan melayan orang di kampung. Bukan layan benda lain termasuk novel sekali pun. Saya ikutkan aje kecuali membaca novel. Kalau bab baca novel saya memang tak peduli pada apa-apa. Laranglah macam mana
pun, saya tak akan ikut.

Sebenarnya saya nak bebelkan apa ni? Entah! Saya sendiri tak tahu. Hanya terasa macam nak menconteng sesuatu. N3 terakhir pada tahun ini. Ikutkan rasa, ada banyak yang nak saya tulis. Tapi tak tahu nak mula dari mana dan kisah mana yang dulu. Apa yang saya tahu, alhamdulillah... 2013 saya lalui dengan banyak kisah. Ada suka dan ada duka.


Untuk keluarga saya, juga syukur tak terhingga saya panjatkan pada ILAHI. Kesihatan Mak Abah dan keluarga saya setakat ini masih baik. Rezeki sentiasa ada dan mereka semua dapat meneruskan hari-hari seperti selalu. Yang berubah, kami dapat lagi seorang bidadari kecil yang sangat comel yang diberi nama Aleesya Izzara yang lahir pada 16 Ogos 2013. Zara lahir pada hari raya walaupun bukan hari raya pertama.
Untuk bidang penulisan, tahun ni berjalan dengan lancar. 4 buah hasil tangan saya dah pun terbit tahun ni. 2 buah novel, DIA TAK TANYA dan CINTAKU BUKAN MURAH [Alaf 21]. Untuk antologi kanak-kanak yang memuatkan karya saya, HEY, DIANA DAH BERUBAH dan GO TASNEEM GWIYOMI [Buku Prima]. Syukur... saya benar-benar bersyukur atas anugerah yang ALLAH beri. Lebih daripada itu, saya berjaya juga menyudahkan sebuah manuskrip baru yang saya beri judul BUKAN CUMA DIA. Sejujurnya saya sangka tahun ni akan jadi tahun yang gagal untuk saya sebab sehingga bulan Oktober, saya masih tak menulis apa-apa. Mujur ALLAH tak pernah lelah memberi saya selalu sangat meminta ni. Tapi jangan ditanya bila tarikh terbitnya sebab saya tak ada jawapan. Kalau dah confirm saya akan maklumkan di sini. Kalau bukan di sini, mungkin di medium yang lain.


Untuk kerja, rela dalam paksa terpaksa juga saya akui betapa tahun ni merupakan tahun yang sangat-sangat ‘berat’ untuk saya dan kawan-kawan yang lain. Tapi dah namanya kerja, hendak atau tak, perlu juga dibuat walau muka dah sebiji macam buah binjai. Belum lagi ambil kira mulut yang tak ubah macam murai tercabut ekor. Malah betapa teruknya saya, bila banyak kali kepala saya asyik berfikir nak berhenti kerja dan terus menulis sepenuh masa. Itu bila fikiran saya tak waras dan rasa marah juga geram membelit otak. Bila dah waras, niat tu mati begitu saja sebab saya tahu dalam keadaan harga barang tak ada satu pun yang turun, semuanya naik memanjang dan kalau boleh naik, naik dan terus naik, saya perlu bertahan walaupun saya macam tak tahan. Kerja saya hanya sebesar guli jika hendak dibandingkan dengan kerja orang lain, barangkali. Dan saya, bukan orang lembik untuk tewas dengan keadaan. Lagipun, saya tak boleh pentingkan diri sendiri. Mak & Abah saya perlu difikirkan melebihi saya memikirkan hati & perasaan saya yang kadang-kadang tak terkawal bila tekanan datang dari pelbagai sudut.

Lagi nak cerita apa ya? Tak tahu! Untuk itu, buat semua yang sudi singgah di ‘rumah’ kesayangannya saya ni, semoga kita semua selalu ada dalam rahmat ALLAH dan disayang DIA sentiasa. Semoga tahun 2014 mampu menjadikan kita manusia dalam erti kata yang sebenarnya. Akhir kata, saya sayang semua... 

BUKAN CUMA DIA | Bab 4

TERTUNDUK Qara mendengar setiap luahan yang diucapkan Syahil. Tidak cukup kuat mahu menatap seraut wajah yang telah bertapak dalam hati dan hidupnya. Ketika ini, ada pelbagai rasa menghunjam hatinya yang paling dalam. Dunianya yang memang tidak indah mana, semakin malap jadinya.

Dulu, Syahil yang beria-ia mengejar dirinya. Setiap alasannya dipangkas dengan mudah. Bila tidak diendahkan, Syahil menggunakan Dhia sebagai orang tengah. Lama-lama hatinya mencair dengan sendiri. Kini, setelah hatinya dicuri, lain pula mahunya lelaki itu.

“Saya minta maaf Qara. Benar-benar minta maaf,” pinta Syahil dengan suara merendah.

Qara terasa matanya panas, namun cepat-cepat dipejamkan rapat. Tidak mahu Syahil melihat betapa murah air matanya. Lelaki tidak punya pendirian tetap seperti Syahil tidak harus ditangisi. Lelaki yang hanya tahu menabur janji tetapi tidak tahu mengotakkannya, tidak boleh dibiarkan berbangga melihat air mata perempuan. Kalau pun air matanya mahu tumpah, biarkan melimpah di belakang lelaki itu.

“Saya minta maaf,” ulang Syahil sekali lagi.

“Mudah ya meminta maaf?” sinis Qara perlahan.

“Saya tahu saya dah patahkan hati awak. Tapi saya tak ada pilihan lain lagi. Ayah suruh saya buat pilihan.”

“Awak tak pilih saya.” Usai berkata-kata, Qara tergelak perlahan. Dia mengetawakan kebodohan diri sendiri. Ternyata hatinya tidak begitu berharga, kerana itu Syahil memilih melepaskannya tanpa ada usaha untuk berjuang.

Itukah yang Syahil namakan cinta selama ini?

“Dan awak.... sebenarnya tak pernah pilih saya,” kata Qara bila sunyi mula mengambil tempat.

“Saya pilih awak, Qara!” sangkal Syahil pantas.

“Kalau awak pilih saya, awak rasa hari ni akan wujud ke?”

“Saya pilih awak. Dari dulu sampai sekarang pun saya tetap pilih awak. Tapi ayah yang tak pilih awak. Ibu yang tak pilih awak,” ujar Syahil. Dia mahu Qara tahu yang dia tidak pernah berniat mahu mempermainkan hati dan perasaan Qara. Wanita itu tidak boleh menuduh yang bukan-bukan padanya.

“Dan awak... cuma akur? Langsung tak nak pertahankan saya di mata mereka? Tak peduli pada apa yang kita ada selama ni?”

“Sokongan Dhia tak cukup kuat,” beritahu Syahil kecewa.

Qara terasa jantungnya bagaikan direntap ke luar. Dia sebenarnya berkasih dengan siapa selama ini? Tiba-tiba saja dia terasa seperti tidak mengenali Syahil. Lelaki itu berkata-kata bukan seperti lelaki. Lebih kepada perempuan yang lemah, yang sentiasa mengharapkan sokongan orang lain.

“Kerana sokongan Dhia tak kuat, awak terus mengalah? Saya macam tak percaya yang tengah berdiri depan saya ni awak, Syahil. Lelaki yang saya sayang!”

Syahil terdiam. Pipinya terasa seperti ditampar dengan kata-kata Qara yang sarat terkandung sindiran.

“Saya tak sangka awak selemah ini,” selar Qara tenang.

“Saya tak lemah!” sangkal Syahil. Rasa malunya hilang berganti marah. Dia lelaki dan dia bukan lemah.

“Habis awak nak saya gelar awak apa lepas dengar alasan tak masuk akal awak tu? Saya bercinta dengan awak. Saya kekasih awak, bukan kekasih Dhia. Jadi kenapa pula Dhia yang nak kena pertahankan hubungan kita? Tugas tu sepatutnya tergalas di bahu awak, bukan adik awak.”

“Bukannya senang nak berhadapan dengan ibu dan ayah, Qara.” Syahil masih berusaha membela diri. Dia mahu Qara mengerti.

“Sebab tu awak ambil jalan mudah lepaskan saya dan hubungan kita. Kan?”

“Saya terpaksa! Kalau ibu dan ayah tak kisah, saya tak akan lepaskan awak macam ni. Saya sayangkan awak. Saya tak pernah menipu!”

Tegas kata-kata Syahil. Kata-kata sayangnya juga begitu jelas menampar gegendang telinga Qara. Namun itu semua sudah tidak ada apa-apa makna di matanya. Syahil sudah pun membuat keputusan.

“Apa pilihan yang diberi pada awak?” Qara ingin tahu.

Kalau harus kehilangan Syahil, dia akur walau hatinya luka. Apa gunanya mempertahankan hubungan yang ada jika Syahil serapuh itu? Sedangkan selama ini, dia mengharapkan seorang lelaki yang akan melindunginya dalam apa pun keadaan. Menerima kurang dan lebih dirinya, seadanya. Sayang sekali, rupa-rupanya dia menyandarkan harapan pada bahu yang salah.

“Ayah kata, pilih antara awak dan Elma. Dan kalau saya pilih awak, saya akan hilang harta benda,” ujar Syahil perlahan. Hampir-hampir saja suaranya tidak kedengaran. Dia malu pada Qara, namun dia harus juga berterus terang.

Mahu saja Qara meraung. Sampainya hati Syahil menjual hatinya hanya kerana harta dan kemewahan.

“Adakah cinta saya langsung tak berharga?”

Syahil tertunduk. Dia tahu dia bersalah pada Qara. Tapi demi masa depannya yang masih jauh, dia harus melupakan Qara. Manusia tidak mungkin boleh hidup hanya dengan cinta semata-mata. Cintanya pada Qara akan cuba dialihkan pada Elma dan dia percaya tugas itu tidak sukar. Sejak kecil, dia dan Elma memang sudah saling mengenali. Elma pun memang sudah lama menaruh hati padanya.

“Murah benar ke cinta saya ni Syahil?” tanya Qara bagaikan mendesak.

“Saya tak biasa hidup susah selama ni.”

“Kita masih muda Syahil, kita masih ada masa untuk kumpul harta benda yang awak suka sangat tu,” kata Qara rendah. Dia berusaha menenangkan diri. Baginya, meyakinkan Syahil mungkin usaha yang terakhir. Mana tahu mata lelaki itu akan terbuka dengan kata-katanya.

“Saya dah biasa hidup senang selama ni Qara.”

Apa bezanya tak biasa hidup susah dengan sudah biasa hidup senang?

Qara semakin pasti. Usaha terakhirnya hanya sia-sia. Patutnya dia tahu, pada saat Syahil sudah membuat keputusan, sudah tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi. Hanya menerima meskipun pahit.

“Ulat dalam batu pun boleh makan, apalagi awak yang cukup segala sifat,” sinis Qara kecewa.

Dua tahun menyulam cinta dengan Syahil, inikah penamatnya?

“Awak dah cukup dewasa, dah ada kerjaya yang boleh menjamin masa depan. Patutnya dah tak ada sebab untuk takut pada kesusahan.”

“Hidup tak semudah itu, Qara...”

Kepala Qara menggeleng perlahan. Dia berusaha mengukir segaris senyuman, walau bibir terasa seakan-akan terkoyak. “Hidup ni memang tak mudah, tapi tak juga susah Syahil. Apa yang kita mahukan, kita sendiri yang tentukan. Bukan ibu dan ayah awak, jauh sekali Dhia.”

Syahil terdiam. Mati kata-kata mahu membalas kata-kata Qara yang tidak ada salahnya. Melihat riak keruh wanita itu, hatinya sedih. Dia sukakan Qara, namun dia lebih sukakan kehidupan mewah yang dijanjikan Datuk Kamil jika dia memilih hidup bersama-sama Elma.

“Saya tak nak hidup merempat...”

Qara tidak tahu sama ada dia patut ketawa ataupun menangis dengan luahan Syahil itu. Dulu, Syahil kata sanggup susah senang bersama-sama dengannya. Sekarang, baru saja digertak, hati lelaki itu kecut.

Lelaki, betullah... lain di mulut lain juga di hati.

“Kenapa awak fikir awak akan merempat kalau hidup dengan saya?”

“Sebab... sebab...” Syahil tidak meneruskan kata-kata. Hanya matanya saja menombak muka Qara. Wanita itu tidak pernah tidak nampak menarik di mata lelakinya. Kalau Qara anak orang berada, hari ini dan detik ini juga dia akan melamar wanita itu menjadi suri dalam hidupnya. Sayangnya, Qara tidak punya apa-apa. Qara hanya anak yatim piatu yang setiap hari membanting tulang empat kerat demi meneruskan kelangsungan hidup.

Kening Qara terjongket. Dia bertanya tanpa suara. Tahu, kalau Syahil meneruskan kata-kata, hatinya akan jadi lebih parah. Tapi dia tetap mahu mendengar. Ditakdirkan hubungan mereka sampai di sini, biarkan segala-galanya jelas. Paling tidak, dia cuba bersikap adil pada diri sendiri.

Sedangkan Syahil hanya bungkam. Bibir ingin menyebut, namun hati bagaikan enggan bekerjasama.

“Kenapa?” Qara tidak mampu terus melihat kebekuan Syahil.

“Tak ada apa-apa,” balas Syahil gugup.

“Terus terang aje. Sekurang-kurangnya saya ada banyak alasan untuk cepat-cepat lupakan awak nanti.”

Syahil renung mata Qara dalam-dalam. Entah kenapa, hatinya terasa seperti tidak dapat menerima kata-kata Qara kali ini.

“Awak nak lupakan saya?”

Sinis Qara membalas renungan Syahil. “Lepas awak tolak saya sebab kemewahan, adakah awak masih berharap saya akan terus ingat awak?” Kepalanya menggeleng. Jauh di sudut hatinya yang paling dalam, dia rasa kesal sendiri. Tidak percaya dia boleh terjebak dengan lelaki yang sangat mementingkan diri seperti Syahil.

Puas aku mengelak daripada ditemukan dengan lelaki begini, sudahnya terkena juga. Ya ALLAH... dugaan-Mu berat, tapi aku akan menghadapinya dengan reda. Aku pasrahkan segala-galanya hanya pada-MU, detik hati kecil Qara sendiri.

“Tak...”

“Jadi apa maksud awak cakap macam tu?”

Hanya gelengan Syahil sebagai jawapan. Dia membuang pandang ke hadapan. Bukan tidak dipujuk Datuk Kamil dan Datin Jalilah supaya menerima Qara. Malah, Dhia ikut sama memujuk. Hanya pujukan mereka gagal. Sebaliknya dia diberikan pilihan yang langsung tidak kena dengan jiwanya.

“Kita dah bersama selama dua tahun Qara. Ada banyak kenangan yang kita kongsi. Boleh ke awak lupakan saya?”

Qara makin tidak faham. Air muka Syahil nampak keruh. Syahil bagaikan tidak rela melepaskan ikatan hati dengannya.

“Boleh saya tanya pada awak sesuatu?’

“Tanyalah...” Lemah saja cara Syahil menjawab. Hilang Qara bermakna separuh daripada hatinya hilang. Tapi kalau hilang kemewahan, dia mungkin akan hilang kewarasan.

“Awak betul-betul sayangkan saya selama ni?”

“Awak ragu-ragu dengan saya?”

Sekelip mata, rupa keruh Syahil bertukar menjadi tegang. Qara boleh marahkan dia, tapi Qara tidak boleh sangsi dengan cintanya.

“Kalau betul awak sayangkan saya, lepaskan kemewahan. Hidup dengan saya dan kita bina keluarga kita sendiri dengan cara kita,” kata Qara menduga.

Keluhan Syahil muntah. Qara menangis dalam hati.

“Saya... saya tak boleh.”

“Kenapa?”

“Saya tak boleh walaupun saya memang nak hidup dengan awak. Keluarga Elma kaya, sedangkan awak tak ada siapa-siapa. Awak cuma anak yatim piatu...” 

Cuma anak yatim piatu? Kenapa itu yang disebut Syahil. Sejak bila menjadi anak tak punya orang tua itu satu hukuman?

Syahil, awak sangat kejam!

“Dulu lagi awak dah tahu yang ibu dan ayah awak tak pernah suka saya berkawan dengan Dhia. Kenapa awak tetap dekati saya?” tanya Qara sebak. Status sebagai anak yatim piatu, ditolak ke tepi.

“Saya ingat saya boleh lembutkan hati ibu dan ayah. Tapi saya silap.”

“Hati saya bukan bola yang awak boleh tendang sesuka hati.”

“Qara...”

Pantas Qara menepis saat terasa jemari kasar Syahil berlabuh di atas bahunya. Kalau dulu dia tidak suka diperlakukan begitu, sekarang lagilah dia tidak suka. Dia mungkin tidak berharta seperti Syahil, tapi dia masih punya harga diri. Biar cintanya dianggap murah, asal dirinya dipandang tinggi.

“Jangan berani sentuh saya!” Sedikit tinggi nada suaranya.

“Maaf...”

Tidak mahu terus membiarkan Syahil mengelar-ngelar hatinya, Qara bangun dengan hati walang.

“Mulai hari ni, saya anggap awak tak pernah muncul dalam hidup saya. Selamat berbahagia di sisi Elma.”

Terus Qara angkat kaki. Namun setitis air matanya gugur juga seiring langkah yang diambil. Selama dua tahun ini, dia rupa-rupanya hanya mengejar bayang. Tuhan...


BUKAN CUMA DIA | Bab 3

MALAM ini entah apa yang tak kena dengan Irham, Haq benar-benar tidak tahu. Puas dipujuk, puas ditepuk tetap juga Ihram tidak berhenti menangis. Kalau berhenti pun, hanya beberapa minit. Kemudian tidak lama selepas itu, tangisan anaknya itu kembali bergema membingitkan suasana.

Hendak dikatakan lapar, sudah berbotol-botol susu disua ke mulut comel itu. Tidak pula Irham menolak. Hendak dikatakan merajuk, awal-awal lagi dia sudah bersedia. Jangan sampai rajuk si kecil berpanjangan. Kembung perut juga rasanya tidak mungkin. Minyak angin sudah disapu awal-awal lagi. Bila ditepuk-tepuk perlahan perut itu, tidak kedengaran seperti berangin.

 “Irham... Irham kenapa ni sayang? Kenapa terus nangis macam ni?” tanya Haq lembut.

Air mata Irham disapu dengan ibu jari kanannya. Kepala anaknya itu diusap-usap penuh kasih sayang. Kalau dibawa ke klinik pun bukannya ada apa sangat yang boleh dilakukan oleh doktor. Lainlah kalau-kalau ada tanda Irham diserang demam panas. Suhu badan Irham pun sedang elok saja bila dirasa dengan tangannya.

 “Irham tidurlah. Orang semua nak tidur...”

Irham tetap juga menghamburkan tangis. Langsung tidak ada tanda-tanda hendak berhenti. Tangannya terangkat-angkat ke atas. Manakala kaki bergesel-gesel sesama sendiri. Merah padam muka putihnya.

Gusar Haq kian menjadi-jadi. Tidak tahu hendak berbuat apa lagi. Mahu bertanya Hajah Yasirah, dia bimbang uminya itu tidak sudi. Silap-silap, suara leteran uminya yang kuat akan menyebabkan tangisan Irham kian menjadi-jadi. Bukannya dia tidak kenal siapa Hajah Yasirah itu.

Mahu membangunkan Rosnah, dia tidak sampai hati. Sudahlah seharian wanita itu menjaga Ihram, takkanlah tengah-tengah malam buta begini pun dia masih tidak membenarkan Rosnah berehat.

“Anak papa tidurlah. Esok papa kena jumpa client pagi-pagi lagi. Kalau Irham terus nangis macam ni, macam mana papa nak bangun pagi? Kalau papa tak bangun pagi tentu client papa lari. Kalau dia lari, kita nak makan apa nanti? Papa nak beli susu Ihram macam mana? Baju Irham lagi.”

Terus juga Haq berkata. Nada suaranya tetap juga lembut. Tidak guna marah-marah kerana Irham tidak mungkin mengerti. Bukan juga caranya melayan orang dengan kasar, apalagi dengan anak sekecil Irham. Sampai ke hari ini, dia tidak pernah percaya kekerasan mampu melenturkan manusia.

“Irham dengar tak apa papa kata ni?”

“Yang pergi bercakap dengan Irham tu buat apa? Bukan faham pun!” sergah Hajah Yasirah tiba-tiba.

Haq pandang muka pintu yang terbuka luas. Kelihatan tiga kujur tubuh berdiri tegak di situ. Keluhan kasar kedengaran melepasi bibirnya. Kesal kerana tidak menutup pintu.

“Umi...” seru Haq perlahan.

“Kenapa? Salah ke apa yang umi cakapkan ni? Haq cakap sampai mulut berbuih-buih pun Irham tak akan faham. Silap-silap sampai esok pagi pun Irham tak berhenti nangis. Ganggu orang lain nak tidur aje,” marah Hajah Yasirah geram.

Haji Lukman yang berdiri di sisi Hajah Yasirah hanya menggeleng. Tidak suka dengan kata-kata isterinya itu. Sedangkan Akid yang juga ada di situ mengetap bibir. Uminya bukannya mahu membantu, sebaliknya hanya menambahkan keserabutan Haq.

“Suruh Irham diam cepatlah!”

“Yas ni kenapa?”

“Yas pula yang salah? Anak Haq yang buatkan abang tak dapat tidur. Kenapa Yas pula yang abang tegur?”

“Sebab Irham tak tahu apa-apa. Yang tahu tu Yas. Memang padanlah kalau Yas yang ditegur.”

“Eh... abang ni!”

“Tak betul apa yang abang cakap?”

Haq tolak anak rambut yang berjurai ke belakang. Resah bila tangisan Irham bergabung dengan suara umi dan walidnya.  Dan apa yang tidak diingini,  berlaku juga. Kalau boleh, memang dia tidak mahu umi dan walidnya berbalah begitu hanya gara-gara Irham. Itu hanya menyebabkan Hajah Yasirah semakin tidak sukakan Irham. Padahal, dia berusaha keras menempatkan Irham dalam hati uminya itu.

“Isyh... cakap dengan abang ni memang tak ada kesudahan!” protes Hajah Yasirah sakit hati.

Tajam matanya menyorot Irham. Mata anak itu sudah terpejam, namun suara tetap saja nyaring mengalahkan hari siang.

“Itulah Haq! Degil tak nak dengar cakap umi. Sanggup pula kahwin senyap-senyap kat London tu. Tak pernah nak mintak restu umi dan walid, tahu-tahu balik bawak anak. Entah siapa ibu Irham ni agaknya sampai kecik-kecik pun dah pandai susahkan orang. Sekarang dah jadi macam ni, siapa yang susah?”

Haq tersenyum juga walau senyumnya tawar tidak bergula. Kata-kata Hajah Yasirah sangat tajam. Sejak hari pertama dia menjejakkan kaki ke rumah ini bersama-sama Irham dan kini usia anak itu sudah mencecah umur 50 hari, uminya tetap juga tidak jemu-jemu menyebut perkara yang sama.

“Umi kalau tak ungkit benda yang sama tak boleh ke?”

Bulat mata Hajah Yasirah menombak mata Akid. Sakit hati bila Akid selalu saja menjadi pembela Haq.

“Yang Akid melebih kenapa? Macamlah umi cakap pasal Akid!”

“Akid tahu umi cakap pasal abang. Tapi agak-agaklah kalau nak bercakap. Hari dah pagi kot.”

“Suka hati umilah!”

“Daripada umi ungkit benda yang dah berlaku, lebih baik umi tolong abang pujuk Irham. Kalau dia dah tidur, umi pun boleh tidur lena sampai ke pagi. Tak ada lagi orang nak kacau,” kata Akid menyindir.

“Eh... tak ada masa umi nak pujuk! Bukan umi yang suruh dia nangis pun.”

“Cucu umi juga kan?” Akid tidak mahu mengalah.

“Umi peduli apa!”

Haq mengeluh. Muka Haji Lukman ditatap, diam-diam mengharapkan walidnya campur tangan. Dalam keadaan Irham yang masih menangis, dia tidak ada hati melihat umi dan adiknya berbalah. Kalau mahu berbalah pun janganlah sekarang. Dia tidak sampai hati melihat Irham terus menangis begitu.

“Sudahlah tu. Malam-malam pun masih nak bergaduh macam budak-budak. Akid pergi panggil Rosnah, biar dia tolong Haq.”

Akur dengan arahan Haji Lukman, Akid pantas mengayun kaki. Tidak betah berhadapan dengan Hajah Yasirah kala hatinya panas. Bimbang sabarnya tidak mampu terus dibendung kerana uminya semakin hari dirasakan semakin teruk saja melayan Haq dan Irham. Dia tidak punya hati selembut Haq meskipun mereka dilahirkan daripada perut yang sama.

Kemudian Haji Lukman berpaling ke sisi kanan selepas bayangan Akid hilang.  Muka Hajah Yasirah dilihat masam mencuka. Bibir keringnya sengaja dimuncungkan. Dalam keadaan marah begini, isteri yang sudah berpuluh-puluh tahun menemaninya, nampak lebih tua lima tahun.

“Kalau Yas tak nak tolong Haq, lebih baik Yas masuk tidur. Yas ada kat sini bukannya membantu apa-apa pun. Buat tangisan Irham makin tinggi aje,” tempelak Haji Lukman selamba. Jika Hajah Yasirah hendak terasa, dia sudah tidak peduli. Isterinya itu bukannya tahu menjaga hati Haq. Cakap-cakap Hajah Yasirah selalu saja lepas seperti bom.

“Abang memang sengaja nak sakitkan hati Yas,” protes Hajah Yasirah.

“Dah tu Yas nak pujuk Irham?”

“Tak ingin Yas!”

“Kalau macam tu lebih baik Yas masuk bilik.” Terus Haji Lukman menolak perlahan tubuh sederhana Hajah Yasirah.

Hilang saja mereka berdua, Haq melepaskan nafas lega. Sekurang-kurangnya tidak perlu dia terus menadah telinga mendengar kata-kata berbisa Hajah Yasirah. Tapinya, hanya untuk saat ini saja. Esok-esok tentu ada lagi. Selagi marah uminya belum reda, selagi itulah dia harus bersabar.

Tapi tidak juga dia mahu menyalahkan Hajah Yasirah. Uminya tidak tahu apa-apa.

“Haq... Irham kenapa?” tanya Rosnah tiba-tiba. 

Haq senyum kelat. Rasa bersalah melihat Rosnah yang muncul bersama-sama Akid. “Nangis tak berhenti. Maaflah saya susahkan Kak Ros lagi. Puas saya pujuk tapi dia tetap juga menangis. Saya dah tak tahu nak buat apa,” luah Haq tenang. Dia tidak kisah mendengar tangisan Irham. Tapi dia tidak mahu ada apa-apa menimpa anak itu. Dia terlalu sayangkan Irham.

“Biar Kak Ros bawa dia tidur dengan Kak Ros ya?”

“Tak apa ke?” Haq serba salah. Mujurlah Rosnah mahu melayan kerenah Irham. Kalau pembantu rumah lain, mungkin awal-awal lagi sudah cabut lari.

“Tak apa,” kata Rosnah sambil tersenyum. Dia terus mencempung tubuh kecil Ihram.

“Terima kasih Kak Ros.”

Rosnah angguk sambil berlalu bersama-sama Irham yang masih menangis.

“Lega?” tanya Akid sambil melabuhkan punggung di sisi Haq. Abangnya nampak sedikit berserabut.

Haq ketawa perlahan. “Tak juga,” balasnya kemudian.

“Kak Ros dah ambil Irham pun tak lega?”

“Nak lega macam mana kalau aku dah susahkan Kak Ros tu. Dahlah sepanjang hari jaga Irham, malam pun nak kena jaga juga,” keluh Haq kesal. Memanglah Rosnah pembantu di rumah mereka, tapi dia tetap tidak sampai hati. Tugas Rosnah menjaga Irham selesai sebaik saja dia balik daripada kerja.

“Kak Ros tak kisah pun, kau tu aje yang risau tak menentu.”

“Kau ingat Kak Ros tu robot ke? Tak tahu nak berehat?”

“Kalau dia robot, kau nak ke bagi dia jaga Irham tu?”

“Memang taklah! Karang berkecai pula anak aku dikerjakan Kak Ros tu sebab robot mana ada perasaan.”

Usai Haq berkata-kata, pecah ketawa mereka berdua. Geli hati membayangkan jika Rosnah benar-benar robot yang tidak tahu erti penat, tetapi langsung tidak mempunyai hati. Namun beberapa detik berlalu, suasana kembali sepi.

“Bila kau nak beritahu umi, bang?”

“Maksud kau?” Haq kembali bertanya tanpa menjawab pertanyaan Akid.

“Aku tahu kau faham apa yang aku tanyakan. Tapi kau sengaja aje tak nak faham.”

Haq meraup muka beberapa kali. Ikutkan hati dia mahu menyuruh Akid kembali ke bilik kerana dia mahu berehat. Tubuhnya terasa benar-benar letih. Matanya sudah benar-benar mengantuk. Akhir-akhir ini rezeki mereka agak murah. Itu bermakna kerja mereka juga  semakin bertambah.

Sejak Irham ada di dalam hidupnya, dia bukan lagi seperti Haq yang dulu. Dia sudah tidak ada masa untuk diri sendiri kerana semua masanya ditumpahkan pada anak kecil itu. Yang memisahkan mereka berdua, hanya waktu kerja. Lain daripada itu, dia milik Irham sepenuhnya.

“Cakap ajelah pada umi. Aku tak sampai hatilah tengok umi asyik sindir kau. Lepas tu ungkit-ungkit pasal Irham. Kau tak sakit hati ke dengar?”

“Tak pun,” jawab Haq selamba.

“Kau jangan nak menipu sangatlah abang. Kalau aku yang tak ada kaitan rasa sakit hati dengar, kau tentulah lagi sakit. Kan?”

Haq senyum. Kepala Akid diketuk dengan hujung jarinya. Bila Akid menolak perlahan bahunya, dia ketawa perlahan. Jarak dan masa tidak pernah mampu memisahkan kemesraan dia dengan satu-satunya adik yang dia ada itu.

“Aku bukan tak nak terus terang dengan umi, tapi kalau aku terus terang lagilah umi naik hantu.”

“Kau tak cuba lagi kan?”

“Tak payah cuba pun aku dah tahu. Kau pun bukannya tak tahu perangai umi tu.”

“Tapi sampai bila kau nak bertahan?”

“Kau jangan risau, aku akan buat sampai umi terima Irham. Itu janji aku.”

Akid mengeluh tidak puas hati. Tidak suka dengan apa yang Haq katakan. Baginya kalau ada jalan mudah, tidak perlu memilih jalan yang sukar.

“Macam mana dengan persiapan perkahwinan kau dengan Dhia? Semuanya okey?” tanya Haq. Dia cuba mengalihkan perhatian Akid. Tahu, adiknya itu berniat baik padanya. Namun dia tidak mahu terburu-buru. Bimbang lain yang diharapkan, lain pula yang bakal terjadi kelak.

“Setakat ni okey aje. Harapnya okeylah terus sampai ke hari langsung nanti.”

“Ada apa-apa yang nak aku tolong?”

Akid geleng. Semuanya sudah disiapkan Hajah Yasirah. Dia tidak melakukan apa-apa.

“Dah ready nak jadi suami orang?” usik Haq sambil tergelak-gelak.

Terus Akid tumbuk bahu Haq. Ketawa Haq terus bersambung. Namun dalam ketawanya yang panjang, dia bagaikan ternampak seraut wajah milik Qara. Qara yang nampak bahagia memegang Irham. Qara yang tenang mengaku ibu kepada Irham. Qara yang merah muka bila penipuan yang dibuat terbongkar dalam sekelip mata. Qara yang berwajah sugul mendengar kata-kata berupa hinaan daripada Datuk Kamil. Dan Qara yang berusaha tersenyum di hadapan Dhia walaupun dia pasti hati Qara retak seribu.

Tapi sampai ke hari ini, dia tidak tahu apa sebenarnya yang telah berlaku. Perbualan Datuk Kamil dan Qara, hanya sedikit yang singgah di telinganya. Pun begitu, dia kagum. Qara tidak melatah mendengar kata-kata berbisa Datuk Kamil. Kalau orang lain, mungkin lelaki bergaya itu bakal dihadiahkan lima jari.

“Aku  nk tidur dah. Kau pun tidur juga. Mata kau dah merah tu.”

Kata-kata Akid mencantas pergi bayangan Qara. “Yalah, selamat malam. Jangan mimpi hantu,” usik Haq pada Akid.

Bila Akid menunjuk tangan kanan yang sudah dikepal, dia tersenyum sambil menggeleng. Akid mudah marah, tapi adiknya itu punya sekeping hati yang sangat baik.

JODOH TAK BODOH

Salam dan hai... pada yang tersinggah di sini. Kenapa ‘ter’? Tentulah sebab saya dah lama tak conteng-menconteng di sini. Bila dah lama, maknanya orang pun tak mahu datang. Balik-balik yang dilihat, N3 yang sama. Siapa yang tak bosan, kan? Kalau saya pun saya akan mengeluh atau mencebik depan PC atau laptop atau HP atau yang seangkatan dengannya. Tak pun pengsan berkali-kali sebab bosan.

Dan kenapa saya... tiba-tiba jadi ramah jari-jemari hari ni? Tentulah sebab saya rasa sangat-sangat-sangat rindukan blog ni. Kalaulah ‘dia’ orang, mahunya ‘dia’ maki-hamun saya sebab saya tak pedulikan ‘dia’ berbulan-bulan lamanya. Tak termasuk N3 manuskrip terbaru tu. Tapi apa nak buat, akhir-akhir ni kehidupan saya memang tak seperti biasa. Busy jadi berkali-kali ganda. Kerja dan dunia penulisan, sama-sama naik. Selebihnya... tetap juga rutin berjalan seperti biasa.

Lagipun terasa ada sesuatu yang menuntut untuk dikeluarkan hari ini. Dalam erti kata yang lain ALEYA ANEESA a.k.a.  MARWATI WAHAB ingin meluahkan perasaan. Mungkin mewakili diri sendiri, mungkin juga mewakili ramai orang yang seangkatan di luar sana. Kalau nak kata minta simpati, pun boleh!

“Saya memang susah nak trust woman, especially yang dah agak berumur. Mesti something wrong dengan attitude dia

Ayat bertulisan merah tu, dah dua hari asyik bolak-balik dalam kepala saya. Malah ketika jari-jemari debab saya ni menari-nari rancak di atas keyboard pun, masih juga ayat yang sama berdansa tak ingat dunia mengganggu-gugat jiwa yang memang tak reti duduk diam sejak akhir-akhir ni. Sama sibuk macam tuannya juga.

Kejam tak ayat tu? Kejam? Tak kejam? Siapa yang jawab ‘tak kejam’ orang tu saya rejam nanti. Rejam dengan apa, nantilah saya fikirkan. Kalau dengan buah getah? Ringan. Kapas? Lagilah mengarut! Bulu ayam? Sadis! Kulit kacang? Mengong! Kalau batu-bata okey, tak? Oh... saya pun dah jadi kejam juga. Kan? Okey... kita tinggalkan soal rejam-merejam tu sebab saya tak akan buat sebab saya bukan orang kejam pun. Jahat... jauh sekali!

Tapi sejujurnya, ayat tu buat saya sentap. Terasa. Sebabnya, macam mana nak menyangkal pun hakikatnya memang umur saya dah banyak, tapi tak adalah sampai 100 tahun. Kalaulah 100 tahun masih tulis blog, sah... sayalah orang tua paling sporting dalam dunia ni. Patut diberi pujian tinggi melangit ni sebab rajin. Mengarut, kan?

Jadinya sebagai orang yang masuk dalam kelompok itu, saya ada sebab untuk terasa yang hati saya bagaikan dicarik-carik halus. Tapi saya tak nangis okey sebab saya tak lahir masa musim hujan. Sebaliknya saya ketawa-ketawa aje sambil kepala geleng-geleng masa baca. Ada juga merungut-rungut geram.  Tak adil bila orang membuat kesimpulan begitu pada golongan yang tak kahwin pada umur yang sepatutnya sudah memiliki suami/isteri dan anak-anak.

Tahu kenapa? Kerana jodoh itu rahsia ALLAH yang misteri. Makin nak dirungkai, makin bertemu jalan buntu. Ya... kita berhak untuk suka, sayang atau cinta siapa saja yang kita rasa nak. Bahkan mungkin kita pernah jatuh cinta berkali-kali dalam seumur hidup tapi kalau ALLAH kata orang itu bukan jodoh kita, siapa kita nak mempersoalkannya. Kan? Saya akur, ALLAH tak memberi mungkin kerana ada kurang yang perlu diperbaiki. Tapi bukanlah kerana perangai buruk semata-mata. Saya mungkin taklah sebaik mana walaupun saya tak juga jahat. Saya manusia yang dibekalkan dengan ‘kesedangan’ dalam segenap segi. Saya tak buruk, saya tak cantik. Saya tak baik, saya tak jahat. Saya tak gemuk, saya tak kurus. Saya tak putih, saya tak hitam. Saya tak pandai, saya tak bodoh.

Cumanya, ada aje orang yang saya lihat baik dan sempurna serba-serbi di mata dan di hati saya, tapi tetap juga sendiri sampai ke akhir hayat. Kenapa? Itu juga rahsia ALLAH kerana dia lebih tahu mana yang baik dan mana yang buruk untuk kita. Barangkali, ALLAH mahu dia menjaga orang tuanya. Memperbaiki diri supaya lebih bersedia dan bertanggungjawab. Masih belum stabil dalam menguruskan kehidupan. Atau... seribu sebab yang lain.

Jadi sebagai manusia biasa, siapa kita nak menjatuhkan hukuman pada orang lain? Kenyataannya... kita juga tak sempurna. Jika sudah memiliki suami/isteri dan anak-anak, bersyukurlah atas bonus yang diberi. Namun jangan sesekali memperlekehkan kekurangan orang lain.  Itu tak baik! Tahu kenapa, apa yang kita ada itu bukan milik mutlak kita. Jika DIA nak mengambil, siapa kita nak menahan. Kan? So... sila jangan kejam sangat pada orang!

Dan tajuk di atas, sebenarnya langsung tak ada kaitan. Maaf kalau agak kasar. Tapi... jodoh tak bodoh, yang bodohnya bila manusia merasakan memiliki suami/isteri dan anak-anak itu penamat pada sebuah kebahagiaan. Lupa yang harus dijaga bukan hanya hati-hati yang ada dalam hati mereka, tapi hati-hati yang di luar hati mereka juga.

BUKAN CUMA DIA | Bab 2

MUKA Qara masam mencuka. Dalam hati tidak putus-putus mengutuk diri sendiri. Kalau dia tidak gatal-gatal mengaku Ihram itu anaknya, tidaklah dia mendapat malu. Tapi kata sudah terlepas. Pembohongannya terbongkar dalam masa beberapa minit. Tidak. Ketika bibirnya mengaku, ketika itu jugalah Haq tahu kalau dia menipu.

Mulut ni pun, kenapa perlu berbohong? Bibir ditepuk perlahan.

Namun saat seraut tampang Syahil menyapa matanya, ada senyuman di bibir nipisnya. Dada yang seakan-akan sendat dengan rasa malu, terasa lapang tiba-tiba. Lantas kaki dihalakan ke arah Syahil. Mahu menatap seraut wajah kesayangannya itu. Seingatnya, termasuk hari ini sudah lebih dua minggu mereka berdua tidak bersua muka. Ada-ada saja alasan Syahil ketika diajak berjumpa. Kali terakhir, Syahil berkata terpaksa ke Hong Kong.

Sungguh, dia rindukan Syahil!

Belum pun langkahnya mendekat, kelihatan Elma merapati Syahil. Langkah kaku tiba-tiba. Air mukanya berubah keruh. Dada yang tadinya lapang, kini bagaikan mahu pecah bila lengan Syahil dipegang Elma, sedangkan Syahil hanya tersenyum. Langsung tidak menolak.

Sampai bila agaknya Elma akan menjadi bayang-bayang Syahil? Sampai bila juga dia harus menahan diri melihat tingkah Elma yang keterlaluan bila berada dekat dengan Syahil?

“Kau dah nampak kan?”

Qara berpaling. Seraut wajah dengan senyuman sinis, buat dia menggigit bibir. Kenapa Datuk Kamil harus muncul ketika ini?

“Kau dah nampak dengan mata kau sendiri betapa mesranya Syahil dan Elma, kan?” Sekali lagi Datuk Kamil bertanya dalam nada menyindir. Puas bila Qara yang selalu tenang, nampak sedih. Memang ini yang mahu dilihat sejak di bibir Syahil asyik meniti nama Qara. Anak yatim piatu yang baginya tidak akan memberikan apa-apa keuntungan padanya.  Hanya bakal membuatkannya rugi.

Makin kuat Qara menggigit bibir. Sakit. Tapi itu saja yang dia boleh buat setiap kali berhadapan dengan Datuk Kamil dan Datin Jalilah.

“Datuk sihat?” Qara cuba mempamerkan senyuman.

Bibir Datuk Kamil mencebik. “Cuba alih topik?” sindir Datuk Kamil tanpa menjawab soalan Qara. Baginya, tidak penting.

“Dhia jemput saya datang,” kata Qara perlahan, meskipun tidak ditanya. Tidak mahu dianggap tersua-sua datang ke majlis makan malam orang kaya. Dia sedar siapa dirinya. Kalaulah dia tahu situasi ini yang perlu dihadapi, dia tidak akan datang biar Dhia merayu dengan cara apa pun.

Berapa kali dia hendak membiarkan air mukanya dipijak Datuk Kamil dan Datin Jalilah? Bimbang, lama-lama dia tak mampu mengangkat kepala di hadapan mereka berdua kelak.

“Kalau pun Dhia jemput kau datang, tak boleh ke kau tolak?”

Diam. Qara tidak tahu harus membalas apa. Seboleh mungkin ditenangkan air mukanya.

“Saya dah cuba tolak. Tapi Dhia tetap nak saya datang.”

Senget bibir Datuk Kamil kerana meluat. Dipandang Qara atas bawah sambil menggeleng. Kecuali nama yang tampak moden, dia tidak nampak apa-apa keistimewaan ada pada Qara. Syahil dan Dhia saja yang buta.

“Majlis macam ni tak sesuai untuk kau. Orang macam kau patut pergi kenduri doa selamat aje. Entah apa yang bagusnya dengan kau sampai Dhia tu sayang sangat pada kau, aku betul-betul tak habis fikir. Kau guna-gunakan anak aku ya?” tuduh Datuk Kamil dengan muka geram.

“Astaghfirullah al-Azim...”

“Dulu Dhia, sekarang Syahil. Apa yang kau dah buat pada anak-anak aku?” Tajam pandangan Datuk Kamil.

“Saya tak buat benda syirik macam tu Datuk. Saya...”

“Kau ingat aku ni bodoh sangat nak percaya cakap orang macam kau?”

“Saya...”

“Kalau kau tak guna-gunakan anak-anak aku, kau ingat Dhia dan Syahil akan pandang muka buruk kau ni?” Jari telunjuk Datuk Kamil membuat bentuk bulat, hala ke muka putih bersih milik Qara. Dia benar-benar bencikan wanita ini. Kerana Qara, dia merasakan Dhia dan Syahil semakin hari semakin berubah saja. Tidak lagi mahu mengikut arahannya kalau dirasakan tidak betul. Gemar pula membantah kata-katanya.

“Saya tahu Datuk tak akan percaya pada kata-kata saya. Tapi saya masih tahu dosa dan pahala.”

“Jangan nak berceramah depan aku!” tingkah Datuk Kamil perlahan tapi tegas. Tidak mahu suaranya sampai ke pendengaran tetamunya. “Ceramah murahan kau tu tak akan mampu buat aku terpedaya.”

Qara tarik nafas panjang, kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Lewat ekor matanya, dia menjeling Syahil yang masih berbual-bual mesra dengan Elma. Langsung tidak sedar akan kehadirannya. Jauh sekali menjadi pembelanya di hadapan Datuk Kamil yang tampak begitu garang. Ikutkan hati dia mahu menangis, tapi menangis di hadapan Datuk Kamil tidak mungkin. Cukup-cukuplah selama ini dia dipandang rendah oleh orang tua itu.

“Kalau Datuk rasa saya salah, saya minta maaf...”

“Aku tak nak maaf kau tu, tapi aku nak kau tinggalkan Dhia. Tinggalkan Syahil sebab aku nak dia kahwin dengan Elma!”

“Saya sayangkan Dhia. Saya sayangkan Syahil.”

“Pergi mati dengan sayang kau tu!” Gelas berisi air oren sengaja digoyang-goyang perlahan. Qara di hadapannya dilihat kecil besar saja. Bahkan dia terasa seperti sudah menjirus air di tangannya ke muka Qara. Biar basah lencun, biar malu di mata semua orang. Tapi mujur dia masih sedar situasi ketika ini. Memalukan Qara dia tidak kisah, namun memalukan diri sendiri, tidak mungkin.

Terpejam mata Qara mendengar sepatah perkataan yang cukup berbisa itu. Sebenci itukah Datuk Kamil padanya?

“Aku...”

“Uncle Kamil,” tegur satu suara garau tiba-tiba.

Datuk Kamil berpaling ke belakang. “Umair Haq!” Terus air mukanya berubah ceria. Pantas dia menjabat tangan Haq. Tidak sangka Haq sudi datang ke rumahnya. Pertama kali bersua tempoh hari, dia sukakan Haq. Anak muda seusia Syahil itu dilihat matang dan berkarisma. Tidak ubah seperti Haji Lukman.

“Uncle sihat?” tanya Haq ramah sambil bibir mengukir senyum. Dia berdiri berhadapan dengan Datuk Kamil. Namun matanya dapat melihat seraut wajah Qara yang masih memejamkan mata, membelakangi ayah Dhia itu. Pada raut Qara, seakan-akan ada garis kesedihan yang sangat dalam. Sedangkan ketika memegang Ihram tadi, wajah wanita itu nampak berseri-seri.

Seketika, mata hitam pekat milik Qara terbuka perlahan-lahan saat telinganya dihidangkan dengan suara asing. Menjurus terus ke anak mata Haq yang bening, merenungnya. Untuk masa beberapa saat, masa seakan-akan terhenti. Yang ada, hanya sunyi dan sepi.

Langsung kejadian memalukan di tingkat atas tadi hilang daripada ingatannya. Yang dia tahu, hatinya terasa sangat sedih. Hinaan Datuk Kamil seolah-olah tertusuk sampai ke hatinya.

“Uncle sihat. Haq apa khabar?”

Haq kembali memandang Datuk Kamil. Qara terpanar seketika sebelum kembali berpijak di dunia nyata. Dengan hati yang libang-libu, dia memesongkan langkah. Mahu mencari Dhia sebelum meninggalkan rumah agam ini. Tidak betah terus berada di tempat yang tidak mahukan kehadirannya. Bimbang dimaki-hamun di hadapan Haq. Cukuplah malunya pada Haq hanya setakat ini saja.

Lagipun, di sini bukan dunianya. Hanya demi Dhia, ditambah rasa rindu pada Syahil, digagahkan juga kaki walau tahu kedatangannya tidak pernah dialu-alukan.

Inikah rasanya bila diri tak punya apa-apa?

Ketika berpaling ke sisi kiri, Syahil masih bergelak ketawa di sisi Elma. Langsung tidak sedar akan kehadirannya. Hati yang kecil semakin mengecil jadinya. Terasa mahu marah, tapi tidak tahu pada siapa. Bukan salah sesiapa, malah tak ada orang pun yang memaksa dia memberikan hatinya pada Syahil. Dia yang murah hati memberi bila lelaki itu meminta.

Cinta memang buta. Tidak! Bukan cinta yang buta, dia yang tidak tahu mengukur baju di badan sendiri.

“Dhia...” panggil Qara perlahan.

“Qara! Kau ke mana? Puas aku pusing satu rumah cari kau tadi,” ujar Dhia. Hatinya lega bila akhirnya bertemu juga dengan kawan baiknya itu.

“Tak ke mana-mana. Ada aje. Dah lama sampai Akid?” tanya Qara sekadar berbasa-basi. Jangan diri dianggap sombong.

“Lama juga,” balas Akid dengan senyuman.

“Ada jumpa abang? Dia cari kau tadi.” Kepala Dhia terjenguk-jenguk, cuba mencari kelibat Syahil.

“Tak ada,” bohong Qara. 

“Tak ada? Kau tunggu dengan Akid kat sini, biar aku cari abang.”

Baru Dhia mahu mengayun langkah, lengannya dipegang Qara. Tidak mahu Dhia mencari Syahil kerana tingkah Dhia sukar dijangka. Melihat Elma memegang lengan Syahil, tidak mustahil suasana yang memang riuh-rendah dengan tetamu Datuk Kamil akan jadi bertambah kecoh.

“Tak payahlah Dhia. Nanti-nanti ajelah aku jumpa dengan Syahil tu.”

“Kenapa?” Dahi Dhia berkerut. Hairan melihat Qara yang kelihatan sedih meskipun di bibir kawan baiknya itu, masih ada senyuman. Bertahun-tahun menjadi kawan Qara, dia tahu membaca air muka Qara. Saat ini, dia yakin Qara sedang menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya.

“Tak ada apa-apa,” dalih Qara.

“Kau tak gembira datang sini?”

“Tak adalah,” sangkal Qara.

Muka Dhia muram. Dia tahu Qara tidak suka datang ke rumahnya, apalagi menghadiri apa-apa majlis di sini. Tapi kerana dia, Qara datang juga.

“Ada kau jumpa sesiapa ke tadi?” tanya Dhia menduga.

Qara geleng laju-laju. Hari ini saja, sudah berkali-kali dia berbohong. Entah berapa banyak dosa sudah tercatat di bahu kirinya, dia tidak tahu. Tapi dia tidak ada pilihan lain. Biarlah dia diam daripada Dhia dan Syahil berperang lagi hanya gara-gara kewujudan Elma di antara dia dan abang Dhia itu.

“Ada orang marah kau?” Tanpa sebab, tidak mungkin Qara yang tadinya ceria berubah laku.

“Tak adalah. Kau ni suka sangatlah sangka yang bukan-bukan. Buat malu aku depan Akid aje.”

Qara ketawa, namun Dhia dapat merasakan yang ketawa Qara tidak ikhlas. Mata Qara yang selalu mengecil bila ketawa, tidak kelihatan. Itu bermakna Qara ketawa sekadar mahu menjaga hatinya.

“Kau tipu aku kan?”

“Mana adalah. Kau ni...”

“Ayah aku atau ibu aku kali ni?” desak Dhia sakit hati. Geram pula bila Qara hanya tenang.

“Dhia...” tegur Akid lembut. Tidak suka Dhia terus memprovokasi Qara seperti itu.

Dhia pandang muka Akid. Tidak puas hati kerana Akid menegurnya sedangkan dia tahu ada sesuatu telah berlaku.

“Dhia, aku nak balik dah ni. Kepala aku sakit,” kata Qara.

Qara mencubit tangan kirinya kuat. Demi melepaskan diri daripada desakkan Dhia, sekali lagi dia terpaksa berbohong. Dia sungguh-sungguh tidak suka dengan apa yang telah dia buat.

“Kau belum makan pun lagi. Nak balik pula dah!” Dhia jelas tidak puas hati. Dia tahu Qara sengaja beralasan.

“Kau janganlah macam ni Dhia.” Qara serba salah. Dia pandang Akid sambil menaikkan sedikit kening kiri, mengharap Akid membantunya. Namun Akid hanya mempamerkan muka selamba.

“Aku tak kira, kau kena makan dulu sebelum balik.” Lengan kanan Qara, Dhia capai.

“Aku sakit kepala ni.”

“Aku tak peduli!”

“Aku dah kenyang.”

“Kau bercakap lagi, aku merajuk panjang dengan kau nanti.” Makin kuat Dhia menarik lengan Qara. Hatinya sakit bila Qara tidak henti-henti memberikan alasan.