- OgOs - TaNpAmU aKu RiNdU -

July 30, 2010

ASALNYA, dia anak polos yang selalu menceriakan hari-hari mama dan ayahnya. Menjadi penyeri di mata dan penyejuk di hati mereka. Bahkan, dia anak yang tidak pernah menghampakan kerana sejak kecil memang terasuh sifatnya.

Namun sekelip mata semuanya berubah. Anak yang satu itu semakin kurang ajar dan suka mencabar kesabaran orang lain. Tidak lagi menjadi penenang setiap kali kelelahan. Sebaliknya hanya membuatkan setiap yang ada di sisinya kewalahan.

Lantas demi menyedarkan, Zuyyin harus dihukum! Malangnya, hukuman demi hukuman yang diberi hanya membuatkan dia kian tegar. Dia semakin seronok melihat air mata orang lain tumpah kerananya. Istilah kesal langsung sirna dari kamus hidupnya. Bila dugaan ALLAH benar-benar didatangkan padanya dalam keadaan tak terduga, dia rebah dipukul rasa bersalah. Lalu di tengah-tengah jiwanya yang rapuh, Yazzer yang selama ini menjadi musuh tradisi bangkit menghulur tangan. Bagi lelaki itu, saat pembalasan sudah tiba. Dan luka, bukankah luka juga penawarnya? Langkah Zuyyin teragak, namun dia tidak punya pilihan lain selain pilihan yang satu itu kerana dia bukan siapa-siapa lagi.

- DIA mAhA aDIl -

July 29, 2010

BENAR... Maha Suci Allah yang mencipta langit dan bumi. Kala seseorang diambil dari kita, seseorang yang lain pula dikirimkan untuk menggantikan yang telah pergi. Kala kita dalam kesedihan, diberikan juga kita kegembiraan sebagai penawar bagi kesakitan yang kita rasakan.

Ketika ini, hati kat dalam bagaikan dah tak terpujuk. Setiap langkah terasa seperti mengheret beban yang sangat berat. Ada begitu hampir, tapi aku merasakan seperti sangat jauh, jauh dan begitu jauh. Lalu, rasa sedih yang bagaikan dah bernanah dalam hati berganti jadi barah yang kian hari kian melebar kerana penawar yang dicari masih juga gagal ditemui. Penawar itu ada pada seseorang, seseorang yang dah makin menjauh. Dan aku, terus tertanya-tanya sendiri.

Ya, aku sakit sejak kebelakangan ini! Sangat sakit di hati, bukan di tubuh. Dan sakit, sakit kerana memendam sendiri. Tapi kesakitan itu ALLAH balas dengan penawar yang paling manis. Hari ni, masa buka web Alaf 21, buka facebook Alaf 21, melihat “Tanpamu Aku Rindu” ada di situ, air mata macam nak bergenang tapi masih tak bergenang, buat seketika terasa segala sakit yang mencucuk bagaikan dicabut keluar. Syukur... dengan izin ALLAH, sekali lagi nukilan yang aku hasilkan dalam keadaan yang juga sedih atas pemergian nenek tersayang akhirnya menjadi sebuah novel yang lengkap. Masih jelas dalam ingatan, aku taip cerita tu dengan juraian air mata. Pagi nenek selamat disemadikan, malam aku menulis beria-ia. Moga nenek ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

- SeDiH, kEtAwA & aKu –

July 28, 2010

ANEHNYA rasa, sebab... di luar novel dan dunia penulisan, aku seorang yang sangat ceria. Pantang suis kelakar dalam diri tercuit, aku akan ketawa beria-ia, macamlah seronok sangat. Kadang-kadang, orang lain tak ketawa, aku tetap juga ketawa walaupun hanya dengan menonton iklan. Belum lagi kira aku ketawa sorang-sorang dalam kereta hanya gara-gara dengar celoteh DJ radio yang entah apa-apa. Orang merapu pun, dah boleh buat aku ketawa sampai berair-air biji mata. Paling teruk, kadang-kadang sampai hentak-hentak kaki. Dan lebih parah lagi, setiap kali nak bercerita balik kisah-kisah kelakar yang aku alami atau aku dengar pada kaum keluarga atau kawan-kawan, aku akan ketawa bersungguh-sungguh. Sampai-sampai diaorang kata, habiskan ketawa dulu, lepas tu baru sambung cerita. Ada juga masanya aku langsung tak dapat bercerita dan itu akan buat adik-beradik aku sakit hati sebab letih menunggu. Malah, masa menaip ni aku selamba aje ketawa sebab aku rasa kelakar dengan apa yang aku tulis.

Ada sekali tu, aku nak ceritakan pada diaorang yang aku nampak satu kemalangan, perkataan kesian banyak kali keluar dari bibir aku tapi dalam masa yang sama aku ketawa macam nak rak. Kak long perli aku, “Kata kesian tapi ketawa”. Sebenarnya aku bukan ketawakan kemalangan tu, aku ketawa sebab geli hati tengok kereta tu yang dah terbalik dan lepas tu boleh jalan seperti biasa macam tak ada apa-apa. Macam scene yang selalu aku tengok dalam TV. Tapi masa kat kemalangan tu aku tak ketawa. Terperanjat aje yang ada masa tu, mujur juga tak ada apa-apa yang berlaku pada orang kat dalam kereta tu.

Tapi... yang peliknya, setiap kali tulis novel, cerita-cerita aku semuanya sedih walaupun sebenarnya aku bukanlah nak buat cerita sedih. Langsung tak sama dengan realiti sebenar hidup aku. Nak kata aku dibesarkan dalam keadaan yang serba menyedihkan, mungkin mak atau abah akan humban aku dalam gaung sebab aku dah fitnahkan diaorang. Tak ada sedihnya hidup kami anak-beranak walaupun tak hidup senang-lenang. Semuanya serba sederhana tapi kami sangat bahagia dan gembira dengan cara hidup kami, bahagia dan gembira pun cara kami. Pendek kata, syukur atas rahmat ALLAH yang kurniakan aku seorang mak dan abah yang cukup memahami.

Dua hari berturut-turut aku mula mengembara ke dunia kanak-kanak/ awal remaja. Cuba menyahut cabaran untuk menyudahkan novel kanak-kanak/ awal remaja seperti yang dijanjikan. Tapi bila baca balik apa yang dah aku tulis, terasa macam nak berhenti setakat tu aje, macam tak mampu nak sudahkan apa yang sepatutnya aku kerjakan. Kenapa aku dan kesedihan dalam novel macam tak boleh dipisahkan? Sepatutnya, bila melibatkan kanak-kanak/ awal remaja, aku harus menghidangkan yang muluk-muluk, yang indah-indah, yang gembira-gembira, walaupun kenyataan hidup di atas muka bumi ini tidaklah begitu enteng. Tak ada manusia yang hidupnya hanya di atas, atas dan terus ke atas. Mahu atau tidak, sesekali harus akur bahawa di bawah itu juga perlu demi membina kekuatan dalam diri.

Dan kini, aku masih berkira-kira sama ada mahu meneruskan yang sedia ada, atau berhenti hanya setakat itu. Kalau rasa tak mampu, mungkin aku harus memulakan yang lain dengan mood yang tentu aje lain. Siapa tahu, kali ni aku berjaya mengenyahkan sedih dalam kisah yang hendak disampaikan. Tak mustahil bukan?

- TaK bErTuJuAn -

July 27, 2010

Hidup ni terlalu misteri! Itu yang dapat aku simpulkan petang-petang macam ni. Kadang-kadang kita terasa kita tahu sesuatu, tapi kadang-kadang dalam pada kita rasa kita tahu, kita sebenarnya tak tahu apa-apa langsung. Kadang-kadang kita rasa kita tak tahu apa-apa tapi sebenarnya kita sangat tahu. Hanya kadang-kadang kita sengaja buat-buat tak tahu entah atas sebab apa atau entah hati siapa yang hendak kita ambil.

Sama macam sebuah ikatan antara anak Adam, tak kira ikatan anak-beranak, suami isteri, kawan-kawan dan semua ikatan yang ada dalam dunia ni. Sekejap-sekejap kita rasa kita dah cukup kenal pada orang-orang yang ada di sekitar kita. Tapi ada masa-masanya kita rasa masih ada yang kita tak sempat kenal. Lalu, kita terus tertanya-tanya sendiri sedangkan jawapan yang kita cari tak juga kita jumpa sebab tak ada pada kita. Kalau pun ada, kita tak sedar sebab kita perlu disedarkan oleh orang lain, orang yang ada di sekeliling kita.

Sekejap-sekejap pula kita rasa kita tak kenal sedang yang kita rasa kita tak kenal tu ada begitu dekat dengan kita, begitu hampir dengan kita hingga jarak yang jadi pemisah seperti tak wujud langsung. Kalau pun tak dekat dari segi zahir, mungkin sangat dekat, tapi dekat yang namanya di hati. Hanya perlu pejam mata, cuba selami apa sebetulnya yang ada jauh di dalam sana.

Ah... apa sebenarnya n3 aku kali ni? Sungguh... aku sendiri tak jelas dengan apa yang nak aku sampaikan. Hanya terasa nak menulis sesuatu, maka wujudlah n3 yang tak bertujuan ni...

- Fp JuNioR, bOlEhkAh AkU? -

July 26, 2010

Dalam beberapa hari ni, pertanyaan tu bolak-balik dalam hati aku lepas ditimbulkan balik oleh Rehal Nuharis @ Airul. Tak tau boleh ke tak aku kembali dalam novel macam tu walaupun pada asalnya, aku memang bermula dengan novel kanak-kanak @ awal remaja. Novel Atirah itulah buah hati pengarang jantung aku yang pertama. Tempatnya terlalu istimewa dalam hati seorang Marwati Wahab @ Aleya Aneesa. Biar harga tak mahal, biar laku tak banyak, aku tetap berbangga dengannya.

Kalau ditanya pada hati, yup... aku sangat teruja nak menghasilkan novel kanak-kanak @ awal remaja sebab aku seronok tengok cover yang nampak sangat lucu. Tapi bila merenung dalam diri, aku macam tersedar sesuatu. Tersedar, aku seorang novelis yang punya cita-cita yang sangat besar, kalau boleh mahu menulis semua perkara dalam dunia, tapi bersekali dengan kemampuan yang sangat terbatas.

90-95 halaman, rasanya bukanlah terlalu sukar untuk aku sudahkan dalam masa beberapa hari jika kena dengan mood dan masa. Cumanya, tak tahu nak bermula dari mana. Kisah apa yang patut digarap walaupun kalau dihitung pada kisah semalam, zaman kanak-kanak dan remaja aku cukup dengan rempah-ratusnya. Terlalu banyak cerita yang boleh disingkap dan dibukukan. Hanya... aku harus bermula dari mana? Memang nampak mudah, tapi belum pun bermula aku seperti terasa lemas sendiri.

Tapi... biarlah lemas sekalipun, aku tetap akan cuba untuk berenang. Mujur juga aku memang pandai berenang walaupun tak adalah hebat mana. Buktinya, Atirah... inilah pembakar semangat untuk aku teruskan renangan yang mungkin sudah pun terhenti selama tujuh tahun. Kata orang kalau tak dipecahkan ruyung, mana nak dapat sagunya kan? Jadi, aku pilih pecahkan ruyung tu sebelum menikmati kepuasan dalam diri. Hendaknya, ALLAH selalu akan memberikan pertolongan.

- SaHaBaT & pErSaHaBaTan -

July 23, 2010













Mereka dalam gambar tersebut merupakan adik-beradik, sepupu, dua pupu, mak saudara sepupu, anak saudara sepupu dan saudara. Mereka bersaudara dan dalam masa yang sama juga, mereka menjadi sahabat yang persahabatan mereka tentu sekali sukar dirungkai atau difahami. Hanya mereka saja yang faham. Satu yang selalu aku lihat ada pada mereka, masa bermain mereka main sungguh-sungguh sampaikan mereka lupa pada orang dewasa yang berlegar-legar di sekeliling mereka. Bila penat, mereka berhenti, berlari naik ke rumah minum air atau makan, tapi selalunya minta duit minta beli burger, roti bakar atau air. Lepas tu, kembali turun main, main dan main sampai matahari terbenam di barat. Yang tak sama rumah, akan balik ke rumah masing-masing. Mandi, lepas tu datang balik rumah abah dan main, main dan main lagi. Cuma kali ni, tak ada aktiviti gali-menggali tanah, carik-mencarik daun, jauh sekali basikal. Mereka akan main sampai bapa atau ibu masing-masing datang menjemput dengan pujukan kata-kata “Baliklah... dah malam. Nanti esok datang balik”. Tak pun, ada antara ahli dalam rumah aku yang terpaksa menjadi posmen menghantar budak-budak balik rumah masing-masing.

Tapi, sering juga aku lihat mereka bergaduh atau bermasam muka dalam pada bermain. Ada masa-masanya, orang tu kena boikot, ada masa-masanya, orang ni pula yang tak ada kawan dan duduk sepi sendiri sambil mata bergenang dengan air. Beberapa minit lepas tu, kembali semula bermain bersama-sama bagaikan tak ada yang menangis seketika tadi. Pendek kata, secepat mana mereka bergaduh, secepat itu mereka akan berbaik.

Dan aku terfikir, kenapa jiwa kita yang dewasa tak seperti mereka yang polos, walaupun kita berkawan sama macam mereka dan perlukan kawan macam mereka. Kita yang dewasa begitu mudah terasa hati sedangkan kita tahu, tergaris perasaan dalam persahabatan perkara biasa. Lumrah manusia, hari ni mungkin kita menyentuh hati orang, esok lusa hati kita pula disentuh orang. Kita sepatutnya saling memberi dan menerima. Kalau kita berani menyentuh hati orang, sepatutnya kita juga berani seandainya hati kita disentuh. Tapi kenapa kadang-kadang kita lupa kenyataan itu? Kita hanya memikirkan diri kita, sampai-sampai kita lupa, tanpa sedar kita pun ada menyentuh hati orang lain. Jadi, mengapa kita tidak saling memaafkan dan saling melupakan kerana tak ada manusia yang terlepas daripada melakukan kesilapan. Dalam pada kita cuba berbuat yang terbaik, kita pasti tersadung juga sebab kita tak sempurna. Kita rasa orang salah, lantas kita lupa menilik diri. Siapa tahu, kita juga bersalah dan perlu memohon maaf, menjernihkan apa yang keruh. Tapi kenapa... kenapa yang dinamakan orang dewasa itu selalu mahu menjunjung ego sendiri?

Tapi kenapa ya aku menulis tentang sahabat dan persahabatan? Entahlah... mungkin disebabkan hari ni aku rasa sedih. Baru tersedar betapa aku tak ramai kawan sebab aku merasakan dengan jumlah kawan yang beberapa itu, sudah melengkapkan segala-galanya, sudah menandingi jumlah 1000 kawan yang orang lain ada. Satu ketika dulu, aku memang dikelilingi kawan-kawan yang satu kepala. Cumanya, bila dewasa menjengah, masing-masing membawa haluan masing-masing, mencari mana destinasi yang sesuai untuk berlabuh. Sama juga seperti aku yang tercampak jauh di sini tanpa ditemani sesiapa. Ya, aku hanya sendiri di sini tanpa seorang pun saudara-mara. Menjalani hidup sendiri hingga akhirnya aku bertemu dengan seorang demi seorang yang boleh dipanggil sahabat. Sahabat yang boleh sama-sama menangis dan sama-sama ketawa. Sahabat yang boleh berlebih kurang, tidak terlalu berkira dan tidak juga terlalu cepat terasa. Bahkan, selalu juga ada ketika diperlukan. Tak ramai bilangan mereka, tapi... jauh di sudut hati aku sangat menghargai mereka kerana aku sedar, tanpa mereka aku sepi. Dan buat sesiapa saja yang pernah menjadi sahabat aku dan masih menganggap aku sahabat kalian, maaf kalau ada silap yang aku buat, terima kasih, terima kasih dan terima kasih kerana menjadi sahabat pada aku. Ketika mata bertentang mata mungkin kata-kata itu tak terluah. Tapi di sini, di sinilah medannya aku dapat meluahkan kata terima kasih itu.

- CeRiTa SeMaLaM -

July 21, 2010

Kata orang semalam dah berlalu, tak usah dikenang kalau sekadar nak menambah gundah di hati. Kata aku, semalam memang pun dah berlalu, tapi semalam yang satu itu, agak kelakar, sedih, gembira, geram, sakit hati dan pendek kata, penuh dengan segala macam ragam yang menduga hati seorang Marwati Wahab @ Aleya Aneesa.

Puku 12.00 malam tepat, 20 Julai 2010! Yang ada di kepala dua raut wajah yang punya tempat istimewa dalam hati aku. Jaja & Siti. Dua manusia yang pernah melakar sejarah dalam hidup. SMS diaorang, ucap selamat hari lahir dan berharap mereka berdua panjang umur, murah rezeki & selalu ada dalam rahmat ALLAH. Untuk Jaja, sepupu merangkap kawan rapat aku dari kecil lagi, yang sama-sama dengan aku dah menggemparkan satu kampung dulu, “ Ja... jarak & waktu tak mungkin menjadi pemisah untuk persahabatan kita. Jauh mana pun awak, kami... kita pergi, satu yang pasti hati kita masih sama & insya-ALLAH akan tetap sama walau ada masa-masanya, kita saling bertingkah. Satu yang awak mungkin lupa, kami sayangkan awak, selalu sayangkan awak.”

Pukul 1.50 pagi, novel Tak Secantik Husna, karya Ainul Hazrah selamat sampat halaman akhir. Pun aku senyum juga sebab aku rasa terhibur dengan novel ni. Tak terlalu berat sampai perlukan aku berfikir, berfikir dan berfikir. Satu yang pasti, aku baca novel ni asalnya semata-mata sebab tajuk novel tu. Nama Husna tu yang menguja aku, tak boleh tak beli sebab nama tu ingatkan aku pada anak buah aku yang pertama, Nurul Husna. Mujur juga cerita tu kena dengan jiwa aku, tahniah pada penulis yang masih belum sempat aku kenal ni. Satu sebab lain, dah terlalu banyak koleksi novel yang belum sempat baca. Jadi, mau atau tidak... aku mesti habiskan sebelum beli yang lain. Cumanya, alahai...

Pukul 5.45 jam bunyi, suruh aku bangun, mandi dan bersiap-siap. Aku sedar, duduk dalam rupa ayam yang dah lama tak makan, tak pun lebih teruk dari rupa ayam tu sendiri. Dalam hati berdetik, “Mengantuknya, malasnya nak pergi pejabat hari ni. Nak sambung tidur lagi”. Tapi nak salahkan siapa bila aku masih gagal buang habit yang satu itu, habit suka menghabiskan novel yang aku baca dalam masa 1 hari macam esok dah tak ada hari lagi. Dah lama nak cuba kikis habit tak elok ni, tapi sampai sekarang mimpi cuma tinggal mimpi semata-mata. Tapi kalau tak habiskan, nanti novel tu kacau tidur yang memang dah macam tidur-tidur ayam.

Lepas tu, masuk bilik air, buka paip. Air tak ada. Setitis pun tak ada! Rasa nak meraung kuat-kuat. Lepas tu dengan hati berdebar-debar keluar dan tengok meter air, manalah tahu ada orang yang saja tak ada kerja, tapi semuanya elok. Sudah, air memang betul-betul tak ada ni! Hati masih berkira-kira nak kerja ke tak, dalam masa yang sama terfikir cuti yang dah tinggal nyawa-nyawa ikan. Tapi takkanlah pula pergi kerja tak mandi. Kenangkan masa yang dah makin berlalu, aku capai mana-mana yang patut termasuk tuala, masukkan dalam beg dan start enjin pergi opis. Dan sudahnya, air kat opis jadi mangsa aku. Mujur juga aku memang aku yang selalu datang awal, kalau tak memang haru.

Pukul 1.00 tengah hari, Ainina yang mendengar bunyi yang lahir daripada pertembungan kepala Annura dan kerusi jati miliknya, ketawa perlahan. Annura dalam tenang, ada masa-masanya pandai juga membuat orang lain ketawa. “Kalau pun tengah bengang, janganlah seksa diri sendiri,” usiknya pada Annura yang tetap juga selamba memandangnya. “Kalau kepala tu sakit, cakap ajelah sakit. Kak long tak ketawakanlah,” sambungnya lagi. Namun usai berkata-kata ketawanya meletus juga.

5.30 petang lepas mandi dan siap semua, on PC dengan niat nak menyambung TDH sebab semangat tengah berkobar-kobar. Tapi tengok keadaan kat luar yang dah gelap, impian hanya tinggal impian. Tiba-tiba rasa takut sendiri, dari atas nampak hujan lebat dengan angin yang kencang sangat sambil diiring dengan bunyi macam siulan. Terus PC aku off balik & impian hanya tinggal impian.

Sudahnya, capai pula mini novel Kak Qaseh Qaisara berjudul Hajat Hati. Macam biasa, Kak Qaseh selalu tahu macam mana nak buat aku ketawa. Walau dia berkisah tentang budak sekolah, hati aku tetap juga tertawan. Sungguh... hari aku semalam berakhir dengan macam-macam cerita.

- TaNpAmU aKu RiNdU -

July 20, 2010

ASALNYA, dia anak polos yang selalu menceriakan hari-hari mama dan ayahnya. Menjadi penyeri di mata dan penyejuk di hati mereka. Bahkan, dia anak yang tidak pernah menghampakan kerana sejak kecil memang terasuh sifatnya.

Namun sekelip mata segala-galanya berubah. Anak yang satu itu semakin kurang ajar dan semakin tahu mencabar kesabaran orang lain. Tidak lagi menjadi penenang setiap kali kelelahan. Sebaliknya hanya membuatkan setiap yang ada di sisinya kewalahan.

Lantas demi menyedarkan, Zuyyin harus dihukum! Malangnya, hukuman demi hukuman yang diberikan, hanya membuatkan dia kian tegar. Dia semakin seronok melihat air mata orang lain tumpah kerananya. Istilah kesal langsung sirna dari kamus hidupnya.

Bila hukuman ALLAH benar-benar didatangkan padanya dalam keadaan tak terduga, dia rebah dipukul rasa bersalah. Lalu di tengah-tengah jiwanya yang rapuh, Yazzer yang selama ini menjadi musuh tradisi, bangkit menghulur tangan.
Bagi lelaki itu, saat pembalasan sudah tiba. Dan luka, bukankah luka juga penawarnya? Langkah Zuyyin teragak, namun dia tidak punya pilihan lain selain pilihan yang satu itu kerana dia bukan siapa-siapa lagi.

- TaK aDa ApA pUn -

July 19, 2010

Salam & selamat pagi pada sesiapa aje yang ada di muka bumi ni. Sebetulnya, tak ada apa yang nak dicoretkan hari ni. Hanya... jari-jemari terasa nak mengetuk keyboard, mencoretkan sesuatu yang entahkan apa.

Tapi bolehkah... bolehkah kalau aku katakan yang di ketika ini rasa gembira sangat? Hajat tercapai, rasanya semua orang layak untuk bergembira. Untuk rasa gembira tu, aku nak bagi dedikasi sikit, dedikasi atas apa yang aku capai sampai setakat ini dan bakal aku capai suatu ketika nanti yang entah apa dan entah bila.

DEDIKASI

Buat keluargaku:
“Semangat kalian, kekuatanku.”

Buat Nur Zaika, Ryna Irdawatty, Arissa Izzayani & Muhammad Hafiy Darwisy:
“Selamat datang ke dalam keluarga Wahab. Insya-ALLAH, kalian akan berbahagia.”

Buat kawan-kawan yang selalu wujud ketika diperlukan:
“Tanpa kalian, aku sepi.”

Buat Ahli Kelab Alaf 21 dan pencinta novel:
“Terima kasih, terima kasih & terima kasih..”

Buat Semua:
“Jangan pernah membuat kesimpulan sebelum mencari kebenaran kerana yang dipandang mata, belum tentu sahih.”

Huh... sungguh, aku kekeringan idea. Tak tahu apa yang nak ditulis walaupun memang terasa ada yang nak ditulis, ada banyak...

- SeLaMaT hArI lAhIr SaYaNg... -

July 12, 2010

3 Julai 2010, Arissa Izzayani, anak abang chik aku genap setahun. Cepatnya masa berlalu. Ingat lagi, aku dapat SMS tentang kelahiran dia masa tengah kursus ESQ. Bagi aku, jauh dalam hati aku, kelahiran dia... penuh dengan kontroversi, penuh dengan pelbagai rasa yang susah untuk digambarkan. Kenapa? Biarlah hanya menjadi rahsia peribadi yang sampai ke saat ini, susah sangat nak lupa walaupun aku dah memaafkan segala-galanya.

Selepas setahun, sekali lagi muncul perkara baru atau kontroversi baru gara-gara nak sambut atau tak sambut birthday Arissa. Macam artis budak kecil ni sebab setiap tahun ada aje kontroversi yang wujud sebab dia. Dan aku, aku yang jauh di mata tapi dekat di hati, selalu aje jadi penghubung. Ikut pening, sama macam diaorang di Johor Bahru sana. Keluarga aku, macam-macam hal.

12 Julai 2010, hari ni, Nurul Hannah, anak kak long aku genap 9 tahun. Huh... diam tak diam, adik dah genap 9 tahun hari ni. Kat mata aku, masih terbayang-bayang betapa kuatnya tangisan dia 9 tahun dulu sampai seisi rumah tak dapat tidur. Budak kecil yang kami gelar adik ini, keletahnya tak sama macam orang lain. Lainnya dia, selalu mencuit hati kami sampai kadang-kadang boleh buat kami naik darah. Paling rapat dengan mak sebab setiap kali balik kampung, dia tidur dengan mak dan abah aku. Setiap kali nak balik semula ke rumah dia, dia akan cium mak aku berkali-kali, pergi ke kereta, patah balik dan cium lagi mak aku berkali-kali.

Bila dia kata, dia selalu mengharapkan orang ikut cakap dia. Kalau tak, dia akan buat konsert sampai semua tak larat nak dengar. Sekarang dia dah besar, dah pandai bergaduh dengan aku. Dah pandai menjeling-jeling dan lebih penting daripada itu, dah pandai mengkritik aku. Kadang aku dikata begini, kadang aku dikata begitu. Bahkan, ada masa-masanya atau selalu juga, aku jadi musuh tradisi dia. Pantang tersilap, masing-masing mula nak bercakar. Hahaha... seronok apa sesekali bergaduh dengan budak-budak.

Tapi tak kisah apa kontroversinya Arissa setiap tahun, tak peduli betapa kerapnya aku bergaduh dengan adik, paling penting... jauh di dasar hati aku yang paling dalam, mereka berdua selalu ada tempat khas dalam hati aku. Sempena hari lahir mereka berdua, aku berdoa... berharap moga mereka berdua panjang umur, murah rezeki, selalu ada dalam rahmat ALLAH dan selalu jadi penyejuk di mata dan penyeri di hati kami anak-beranak.

- MaJlIs KaHwIn AnGaH dI sAnDaKaN (3) -

July 9, 2010

Terasa nak bercerita, tapi tak tahu apa pula yang nak diceritakan. Moga seluruh kebahagiaan akan jadi milik Angah dan Ryn...













- SeLePaS 4 bUlAn -

July 8, 2010

Aku dah kembali meramahkan jari-jemari dan minda yang seperti dah 4 bulan tak aku gunakan di tempat yang betul. Bukanlah langsung tak gunakan, cuma untuk perkara-perkara yang tak ada kaitan dengan dunia penulisan. Masa dan minda sepanjang 4 bulan kebelakangan ni banyak aku habiskan pada rumah kecil yang baru aje aku duduki, juga pada majlis kahwin angah yang baru 2 minggu lepas selesai. Syukur tak terhingga pada DIA kerana kedua-dua perkara berjalan dengan lancar, sangat lancar.

Akhir bulan Mac, kisah Zuyyin & Yazzer selamat sampai titik akhir (memang sengaja tulis nama watak sebab mudah diingat). Lepas kisah mereka, memang niat nak berhenti untuk seketika dan paling lama pun mungkin hanya 3 bulan. Bimbang makin lama masa yang aku ambik, makin berkarat otak dan makin besar 'M' kat kepala. Tapi perancangan aku nyata tersasar kerana tempoh 3 sudah pun menjadi 4. Manusia kan, ada masa-masanya selalu gagal, apalagi manusia tersebut adalah aku.

Masuk bulan Julai, aku dah mula buka balik PC, tak guna laptop sebab aku lebih selesa menulis guna PC, lagipun laptop aku dah setahun lebih jadi orang kampung. Lepas raya mungkin baru jadikan orang KL balik. Mula-mula bukak PC, main game dan internet dulu. Kali kedua bukak pun masih main benda yang sama. Kali ketiga, pun sama juga. Entah kali ke berapa, baru mula menekan-nekan keyboard, taip satu demi satu dan akhirnya, dalam minggu ni dah dapat dalam hampir 25 halaman. Kalau dicantumkan semuanya sebab kisah yang masih tak bertajuk ini pun aku pernah jadikan e-novel (suku juga, hehehe), adalah dalam 143 halaman. Agak banyak bagi aku yang selalu saja merangkak-rangkak dalam menyiapkan sesebuah novel.

Sekarang ni, aku masih mencari-cari sesuatu dalam kisah yang wataknya aku gelarkan sebagai Annura & Dinzley. Tapi... masih belum bertemu dengan apa yang aku cari. Mungkin perlu lebih banyak masa ‘bermesra’ supaya rasa yang aku cari tu muncul dengan sendiri. Dan insya-ALLAH tak lama lagi akan muncul, sama macam ketika aku menyudahkan novel-novel yang lain. Draf yang ada pula, tentu akan memudahkan perjalanan dua watak tu.

Apa pun, aku berharap & akan terus berharap yang pertolongan daripada ALLAH akan selalu ada untuk aku dalam menyudahkan kisah yang baru bermula ini. Harap juga aku tak pancit di perjalanan. ;-)

- MaJlIs KaHwIn AnGaH dI sAnDaKan (2) -

July 7, 2010

Sabtu - pagi di Sandakan, pagi di Semenanjung... entah kenapa rasanya lain sangat, walaupun ini bukan pertama kali berkunjung ke Sabah, tak juga kali pertama di Sandakan. Tapi sungguh, memang asing sekali rasanya. Mungkin sebab jam masih awal, tapi cuaca dah terik semacam. Hari ni tak ada aktiviti apa. Mak dan yang lain-lain (orang tua) pergi pekan Sandakan (kalau boleh dipanggil pekan). Cari ikan masin dan tengok tempat orang, katanya. Aku dan yang muda-muda (kalau boleh dipanggil muda) tak ikut sebab aku dah pernah pergi. Lagipun, kalau semua pergi, siapa pulak yang nak jaga budak-budak kecil. Bimbang kurang kawalan, ada yang terjun dalam air, kalau pandai berenang tak apa, tapi semuanya kalau tenggelam, memang confirm tak timbul lagi.

Sepanjang siang tu, rasanya perut dah ketat. Aku tak pasti sangat, tapi yang jelas keluarga Ryn di Sandakan sangat pemurah. Selagi ada makanan kat dapur, selagi tulah kami disogok dengan makanan. Sampai-sampai terpaksa kata, “Cukuplah tu, dah kenyang sangat”. Pun diaorang masih tetap menghidangkan kuih dan minuman. Itu belum dikira anak-anak buah aku yang berjalan meniti titi dalam langkah yang begitu berhati-hati, semata-mata nak beli makanan ringan dan air. Cuaca hari tu pulak, panas sangat. Mungkin sebab kami duduk di kawasan yang sekitarnya hanya ada air. Tapi sesekali duduk macam tu, seronok, ada kelainan. Bukanlah air sungai, air laut terlalu asing bagi aku, tidak... sebab aku anak nelayan yang tentu aje dibesarkan di tempat yang hampir serupa. Cuma bezanya, kami tak berumah di atas air. Dan rumah Kak Nani, tuan rumah yang jadi tempat kami menginap, rasanya selesa sangat. Besar dan cukup muat untuk keluarga besar kami. Kat rumah ni, kami bebas buat apa aje yang kami nak, tak ada yang marah, tak ada yang larang.

Malam, kami ke rumah sebelah, rumah pengantin. Majlis bermula dengan ukur emas (istilah ni aku tak berapa tau). Cuma yang aku lihat, Ryn yang dah berbaju pengantin pijak dulang yang kalau tak silap aku ada beras dan kapak (kalau salah pandang, maaf). Lepas tu diukur pulak dengan rantai emas yang dah disambung-sambung, panjang setinggi Ryn. Otak aku berjalan dan dengan selamba badak mulut bertanya pada orang di sebelah, “Memang kena buat macam ni ke?”. Entah siapa menjawab, “Bukan semua. Yang ni niat sebab majlis nikah bulan lepas berjalan dengan lancar”. Aku angguk tanda mengerti. Nazar, barangkali.

Lepas tu majlis khatam al-Quran bermula. Selesai, majlis batalkan air sembahyang, entah kali ke berapa sebab diaorang dah nikah dan masa tu tentu dah ada acara batalkan air sembahyang. Bila tengok budak-budak kecil berebutkan telur yang dah dihias cantik, aku terkedu sekejap. Wah... meriah juga yang adat orang Bugis ni! Bila ada yang memberi pada kami, rasa terharu, rupa-rupanya... ada yang peduli ya pada orang asing.




Pengantin keluar untuk acara seterusnya. Tepung tawar... satu adat yang aku kira ada di mana-mana, tak kira di Sabah, tak kira di Semenanjung. Cuma uniknya di Sabah, nama yang akan ke depan diambil terlebih dulu, adalah kira-kira dalam 7 orang. Yang kelakarnya, habis semua akhirnya dipanggil termasuk aku. Hari ni dalam sejarah, terasa macam mak pengantinlah pulak. Tapi memanglah kalut rasanya bila terpaksa ke depan. Malu gila!