Bercerita tentang perubahan, sebenarnya yang berubah
saya. Minat saya. Keinginan saya. Impian saya. Yang paling ketara, daripada
seorang tukang karut, terjun menjunam kepada tukang sabun. Lari 360 darjah kan?
Bukannya dah tak minat menulis. Minat dan sangat minat! Barangkali,
minat tu tak akan pernah hilang sampai saya menutup mata. Tapi kerana menulis
itu tak boleh dipaksa-paksa, maka untuk masa ini dan mungkin untuk masa yang
sangat panjang, saya berhenti dulu. Bukan salah masa, bukan salah komitmen yang
saya galas. Bukan! Saya bukan jenis salahkan lantai yang senget bila gerak tari
saya sumbang mambang.
Hakikatnya, memang saya tak mampu menulis untuk saat ini.
Jadinya, diam-diam saya mula beralih arah. Saya buat apa yang saya fikir mampu
menggembirakan dan membahagiakan saya sebab saya selalu percaya, gembira dan
bahagia itu pilihan. Kita yang menciptanya dengan ilham daripada ALLAH. Saya
tak nak seksa diri sendiri demi orang lain. Bukan tak sayangkan pembaca novel
saya, saya sangat sayang kerana tanpa mereka, ALEYA ANEESA bukan sesiapa.
Mungkin cuma seorang penulis yang hanya boleh menulis sebuah diari, mencatat cerita
perjalanan hidup sendiri dan kemudian, juga dibaca sendiri.
Terima kasih, korang semua! Semoga setiap sokongan yang
korang beri pada saya, ALLAH balas dengan seribu kemanisan di dunia dan di
akhirat kelak. Hendaknya, sokongan korang pada saya tak akan pernah berhenti
walaupun sekarang saya jadi tukang sabun.
Ya, memang sekarang ni saya gila menyabun aka buat sabun.
Hati saya selalu teruja setiap kali saya keluarkan sabun-sabun yang jari-jemari
gemuk saya buat daripada acuan. Berkobar-kobar sama macam setiap kali tengok novel
baru saya terbit. Bahkan berdetak-detuk debaran jantung bila saya curahkan
cairan sabun yang memekat ke dalam acuan. Menambah warna dan bau yang harumnya
semerbak, kekadang buat saya rasa khayal. Belum ditambah dengan corak yang
pelbagai. Tak menentu, nampak macam bercelaru... pun tetap mampu buat senyum
saya koyak sampai ke mulut.
Inilah dia... inilah dia kegembiraan dan kebahagiaan yang
seterusnya dalam hidup saya. Mereka bentuk, mencorak gambaran, mencipta formula
demi formula... memang kegilaan saya buat masa ini.
Untuk detik ini, saya dah buat beberapa jenis sabun.
Antaranya tomato, beetroot, susu kambing, charcoal, yogurt, shea butter dan
beberapa lagi, yang saya tau baik untuk makanan kulit ni. Terasa macam lama
benar dan seksa kulit sendiri. Kesian kat dia! Dan lepas belajar buat sabun
daripada orang yang memang berkelayakan, saya baru tau betapa selama ni sabun
yang dijual di luar sana ada banyak bahan kimia dan terlarang. Patutlah kulit
tak putih saya ni makin lama makin bermasalah.
Padan muka saya, kan?