- Ya, SaYa BeRtUaH! -

March 25, 2011

Seorang kawan berkata yang saya beruntung. Katanya, ‘Kerana saya dikelilingi dengan banyak orang yang baik’. Dan jawapan saya, ‘Syukur... saya memang terasa yang saya selalu dikelilingi dengan orang-orang yang baik’. Tak kira sama ada orang-orang tu memang baik sebaik-baiknya, atau hanya baik di depan tapi sebaliknya menikam saya di belakang. Tak kisah. Bagi saya, selagi saya tak mendengar sendiri orang-orang baik itu mengata atau mengumpat saya secara berdepan, orang-orang baik itu akan kekal memegang watak putih di hati dan ingatan saya. Tapinya... jika sekali orang-orang baik itu menggores hati saya sehingga menyebabkan air muka saya jatuh menyembah bumi, watak hitam itu akan kekal di hati dan juga minda saya. Saya manusia biasa, makanya... saya akan memberikan kemaafan jika ada yang meminta kemaafan daripada saya. Tapi memaafkan bukan bermakna saya akan melupakan. Luka, apalagi yang namanya luka di hati, tak begitu mudah untuk disembuhkan. Kalaupun sembuh, saya yakin akan ada parut yang kekal. Atau yang lebih tepat lagi, sekali terkena saya mungkin akan mengenang untuk selama-lamanya.

Terus terang, saya memang tak ada sesiapa di sini. Kalau ada pun, mungkin seorang dua sepupu yang memang langsung tak rapat dengan saya. 5 tahun jadi warga KL, sekali pun kami tak bersua muka. Bahkan masing-masing pun dah terlalu lama tak jumpa. Dan sesekali pernah terdetik di hati, kalaulah saya jumpa mereka apa agaknya ayat pertama yang nak saya luahkan. Tapi hidup adalah realiti, bukan drama TV atau adegan dalam novel yang kita akan terserempak dengan seseorang yang kita kenal berkali-kali. Sungguhpun macam tu, ada juga yang benar-benar berlaku, hanya jumlahnya tak habis pun kalau menggunakan 10 jari.

Berbalik pada tak ada sesiapa tadi, bukanlah tak ada sesiapa yang bermaksud saya sebatang kara dalam dunia ni. Tidak. Sebabnya, saya masih punya sebuah keluarga kecil yang sudah jadi besar, sebuah keluarga yang serba sederhana tapi sarat dengan gembira dan bahagia. Tapi nun jauh di JB. Jauhlah sangat kan? Yang saya maksudkan di sini, di Kuala Lumpur. Saya memang sendiri tapi bila saya memerlukan seseorang di sisi saya, tak kira dalam apa pun keadaan, pasti ada yang datang membantu. Ada kalanya mereka menghulurkan tangan, ada ketikanya mereka meminjamkan telinga dan ada masa-masanya mereka menyuakan bahu pada saya untuk saya bersandar seandainya saya kelelahan dek ujian yang datang bertubi-tubi. Misalnya, ketika saya tercangak-cangak memikirkan apa yang harus saya buat dan mana nak dimulakan dulu, ketika hendak pindah rumah tahun lepas. Saya sebenarnya memang tak tahu apa-apa. Saya jadi orang blur yang mula memikirkan macam-macam. Kemudian muncul seorang demi seorang daripada orang-orang baik itu menghulurkan bantuan. Ada yang sekadar memberikan idea atau pendapat, ada juga yang turut ringan tangan membantu. Bahkan keluarga yang di JB pun datang KL semata-mata sebab nak tolong saya. Dan abang saya pernah berkata pada isteri dia, “Kalau papa dekat dengan dia (merujuk pada saya), papa akan buat semuanya (merujuk kepada soal saya dan pindah rumah). Dia tak payah buat apa-apa, hanya tengok.” Sungguh-sungguh saya terharu dan saya tahu selama ini saya memang agak dimanjakan dan saya tak tahu buat banyak benda yang agak berat. Yang saya tahu cuma menjalankan rutin harian seperti biasa.

Kini alhamdulillah, bulan 6 nanti genap setahun saya duduk di Rumah Pink. Cepat benar masa berlalu, padahal saya terasa yang penat mengangkat barang, berjumpa dengan orang itu dan orang ini, berjalan dari satu kedai ke satu kedai dan macam-macam lagi seperti masih belum hilang. Seperti masih ternampak-nampak rupa saya yang layu setiap kali bangun pagi sebab saya rasa sangat letih. Bahkan masih terdengar-dengar ucapan “Selamat Hari Lahir’ daripada ahli keluarga saya gara-gara saya lama tak balik kampung semata-mata nak uruskan soal rumah. Masa tu saya di dalam kereta sambil ditemani Fida yang dah mencurahkan banyak tenaga untuk saya. Sampai bila-bila jasa Fida akan kekal saya bawa ke mana-mana.

Sungguhpun macam tu, orang-orang baik dalam hidup saya bukan hanya berlegar-legar di sekitar KL, tapi di JB ada, Perak ada, di Kedah ada dan selebihnya di Pulau Pinang. Lain daripada negeri-negeri tersebut, rasanya saya tak ada rapat dengan sesiapa. Saya ingat lagi, dulu... ketika kerja di sebuah kilang di JB masa tunggu keputusan SPM, saya bertemu dengan seorang kakak yang sangat baik hati yang juga selalu ada di sisi saya. Tak tahu mana dia sekarang ni, tapi kebaikan dia tetap kekal dalam ingatan saya. Kemudian di MPJBT, saya bertemu dengan lebih ramai lagi orang baik hati yang sampai bila-bila akan saya ingat. Orang-orang tersebut, Kak Azie, Kak Morni, Kak Niza, Kak Ruby, Kak Leha, Anu, Kak Lin dan beberapa orang lagi. Di DBP, juga ramai orang-orang yang baik hati, Diana, Kak Lah, Kak Odah, Kak Yan, Encik Mat, Ruslan, Shukri, Kak Nor dan ramai lagi. Kawan-kawan penulis juga tak kurang peranan mereka dalam hidup saya, terutamanya Fida (termasuk Dewi, mak Fida), Bikash, Shanika, Airul dan ramai lagi.

Untuk kamu, kamu dan kamu, tak kira bantuan yang diberikan pada saya lahir dalam bentuk apa pun, saya tetap menghargainya kerana tanpa bantuan itu, saya mungkin jadi manusia pincang kerana lumrah manusia harus saling menyokong antara satu sama lain. Sungguh... jasa kamu, kamu dan kamu tak akan terbalas sampai bila-bila, ;-)

- SPM & mAk SaYa -

March 23, 2011

Hari ni dalam perjalanan pergi kerja, terdengar berita yang hari ni result SPM keluar di radio Hot FM. Saya tersenyum sendiri, agak lebar kerana ada sesuatu mencuit hati saya bila soal result SPM ini disebut berulang-ulang kali. Apa perasaan kamu, kamu dan kamu bila tahu result SPM nak keluar? Gementar, gemuruh, gigil, atau... tenang-tenang aje? Kalau gementar, gemuruh dan gigil, kita serupa dan saya kira kita adalah segolongan orang yang boleh dianggap normal kerana punya perasaan macam tu. Tapi kalau tenang-tenang aje, kita memang tak serupa dan kamu, kamu dan kamu bukanlah tidak normal sebenarnya, hanya boleh dikategorikan sebagai golongan istimewa sebab bukan semua orang boleh tenang dalam keadaan genting seperti itu. Makanya, saya ucapkan tahniah kepada kamu, kamu dan kamu yang selalu tenang dalam apa pun juga keadaan. Sungguh... saya kagum!

SPM... selalu mengingatkan saya pada mak saya. Teringat malam sebelum result keluar, saya tanya pada mak saya dengan wajah yang tentu aje dibuat-buat sedih bercampur cuak. Tapi cuak tu bukan dibuat-buat sebab saya memang cuak yang sebetul-betul cuka walaupun sedar yang saya tak belajar betul-betul dan hanya belajar di sekolah semata-mata. Yang pura-pura tu adalah riak sedih sebab saya ada masa-masanya memang boleh jadi pelakon yang baik walaupun pada kebiasaannya saya selalu jadi pelakon yang gagal. Pertanyaan saya pada mak, “Mak... kalau keputusan SMP Ami teruk, mak marah tak?” Mak saya senyum lebar, dia balas, “Kalau dah macam tu, nak marah buat apa. Terima ajelah.” Saya kata lagi, “Betul mak tak marah Ami?” Mak saya geleng dan saya terus tersenyum lebar.

Mak saya... orang kata mak saya garang hanya semata-mata air muka dia yang agak serius. Tapi entah kenapa saya tak pernah melihat kegarangan tu ada pada wajah mak saya. Kalau ada pun ketika saya kecil-kecil. Meningkat aje remaja, saya memang tak pernah kena cubit, jauh sekali pukul. Kalau mak saya marah, mak saya akan diam dan tak berkata apa-apa. Tapi pada akhirnya, dia akan mengalah juga kerana saya ternyata lebih keras kepala daripada dia. Tak kira saya salah atau saya tak salah, saya tetap tak akan bercakap dengan dia kalau hati saya tergores. Kalau duit saya hilang, saya akan memprotes dengan mogok suara pada dia walaupun bukan dia yang ambil duit saya yang tentu aje datang daripada dia. Mak saya yang baik hati tu akan gantikan balik duit saya yang hilang supaya saya tak terus diam. Kalau saya terjumpa balik duit yang hilang tu kemudian, saya tak akan pulangkan duit ganti tersebut sebab saya kata, “Mak dah bagi Ami duit tu, jadi duit Amilah kan?” Mak saya memang tak terkata dengan perangai saya ketika tu.

Pernah satu ketika mak saya kata pada mak cik saya, “Jaja kalau salah atau tak salah, tetap akan tegur kau. Tapi dia (merujuk pada saya dengan menyebut nama yang tak boleh saya sebut di sini) jangan harap nak mengalah. Selagi kita tak tegur dia, selagi itulah dia akan jadi batu.” Dan kemudian mak cik saya akan jawab, “Tapi dia (merujuk pada saya dengan menyebut nama yang tak boleh saya sebut di sini) walaupun tak nak mengalah, tetap dengar kata juga. Jaja pula... dimarah macam mana pun, nanti-nanti buat lagi”.

Ya... itulah kisah kakak dan adik yang tension dengan perangai anak masing-masing, yang masing-masing bila berbual selalu lupa melihat kiri dan kanan. Padahal di kiri dan kanan itu ada saya dan Jaja yang selalu memasang telinga. Sudahnya kami berdua ketawa dalam diam. Memang tak dapat dinafikan saya dan Jaja nakalnya melebihi nakal kaum keluarga kami yang lain. Pendek kata, nama kami memang selalu melekat di kepala orang kampung. Bahkan kata mak dan mak cik saya pada kawan mereka satu ketika dulu, ketika kawan mereka mengatakan anak mereka nakal. Mak dan mak cik saya kata, “Tak senakal anak kami berdua. Sampai malu nak keluar rumah jumpa orang lain”. Jahat kan saya? Opsss... bukan jahat sebab saya tak mengaku saya jahat. Tapi kalau orang kata saya degil dan nakal, itu lebih sesuai dan saya boleh terima. Dan ayat mak dan mak cik saya itu keluar hanya gara-gara saya dan Jaja bergaduh dengan kawan sekolah kami dan berkesudahan dengan saya diheret balik oleh pak cik saya dengan amaran keras setelah tangan kiri saya terseliuh sebab jatuh dan hidung saya bercalar kekal. Baiknya seorang ibu, walaupun malu... tangan kiri saya tetap diurut.

Dan SPM... sebetulnya saya tak mengharapkan apa-apa pada keputusan SPM saya. Bahkan saya tak pernah pergi tuisyen dan tak juga mengulang kaji pelajaran walaupun saya tahu saya akan menghadapi peperiksaan besar. Kalau ada pun saya buka buku depan mak saya semata-mata. Dia pergi, saya berangan. Bukan sebab saya dah pandai dan saya tahu saya agak lemah dalam banyak mata pelajaran, perlu bekerja keras. Bukan juga sebab saya tak pandai, tapi saya memang tergolong dalam kategori malas, atau lebih tepat lagi sangat malas. Memang dah tekad dalam hati saya yang saya tak nak sambung belajar lagi, ada benda lain yang nak saya buat lepas habis SPM, benda yang tentu aje boleh buat seisi rumah saya berasap. Apa bendanya tak perlulah ditulis di sini, buat malu diri sendiri aje.

Bila result SPM betul-betul ada di tangan, saya terkaku sekejap. Kalau diikutkan tahap kemalasan saya, saya layak dapat keputusan yang lebih teruk daripada itu. Mak saya terkedu bila saya kata dapat keputusan macam tu. Bahkan abang saya kata pada mak saya, “Tak sangka kan budak tu boleh dapat keputusan macam tu.” Huh... tengok saya masa tu, semua orang tak sangka saya akan dapat keputusan sedikit baik, walaupun keputusan saya tak sebaik mana sebenarnya, hanya cukup makan. Cumanya, pasti dia orang dah awal-awal agak yang saya akan dapat keputusan yang sangat teruk. Hahahaha...

Tapi lepas tu saya kata kat mak saya yang saya tak nak belajar lagi. Mak saya kata, “Bila kerja ponteng sesuka hati, belajar pun tak mahu. Habis saya nak jadi apa?” Saya tetap kata tak mahu belajar sebab saya dah tak minat nak belajar, tak ada hati sebab hati saya dah ke lain. Tapi sudahnya... saya terpaksa ikut cakap mak saya sebab sekeras mana pun hati saya, saya tetap juga seorang anak dan disebabkan tu, saya hilang satu peluang. Saya kecewa, sangat kecewa sebenarnya pada waktu itu... tapi masa tu saya hanya memandang sehala, hala yang tak pasti. Dan kalau saya tetap dengan keras hati saya masa tu dan mak saya tetap kekal dengan lembut hati dia, saya yakin saya akan terlepas lebih banyak peluang yang tak pernah saya fikir dan nak lihat masa tu. Bahkan mungkin n3 ni tak akan ada hari ni. Kamu, kamu dan kamu juga tentu tak akan kenal saya.

Makanya, saya syukur... syukur sangat sebab mak saya bertegas waktu tu. Mak saya dah buat hidup saya alami banyak perubahan, sampai bila-bila pun saya tak akan lupa yang saya pernah menarik muka masam hanya semata-mata menyangka peluang saya dah tertutup. Tapi saya lupa, bila satu peluang tertutup tak bermakna peluang-peluang yang lain juga turut tertutup. Dan kesimpulannya, saya gembira dan bahagia dengan hidup saya sekarang ini dan sebagai bonus, saya bukan lagi anak degil dan keras kepala. Saya sudah jadi anak yang sangat memahami walaupun ada masa-masanya agak sukar dimengertikan ;-)

- KeMbAlI tErGaNgGu NaMpAkNyA -

March 15, 2011

Semalam... akhirnya, bagaikan siput sedut merayap kat batang pokok bakau, saya memulakan draf untuk manuskrip baru yang saya beri judul “Boleh Saya Sayang Awak?”. Malangnya, sentuh aje keyboard, tak ada apa yang keluar dan mampu dikeluarkan. Rasa kat dalam diri, sangat hampa sebab macam dah berkobar-kobar lepas hampir tiga bulan hidup seperti puteri raja yang tak ada apa-apa nak dibuat. Balik kerja terus on TV, melayan cerita, mandi & buat apa-apa yang patut kecuali menulis manuskrip baru. Tapi tak nak mengaku kalah dengan diri sendiri, Dan lagi... konon-kononnya lepas pergi bercuti, mood menulis mestilah baik. Makanya, saya cuba juga paksa diri. Tapinya... hanya tiga bab saya mampu buat. Sakitnya hati masa tu TUHAN aje yang tahu.

Rasa merajuk dengan diri sendiri buat saya kemas laptop masa tu juga, tutup TV dan bercadang nak tarik selimut. Lagipun semalam hati saya rasa agak rusuh, eh... bukan hanya semalam tapi dah beberapa hari dan semalam bagaikan klimaks bagi kerusuhan tu. Tapi bila habis sesi menjawab soalan penting di hp, saya tak jadi tarik selimut. Sebaliknya saya tolak semua bantal atas katil ke tepi, capai buku nota dan pen, dan... jari-jemari gemuk saya mula menarikan tarian rentak yang pelbagai yang hanya saya tahu.

Tepat pukul 10.30 malam, saya bubuh titik pada hasil tulisan saya. Hem... 19 bab, rasanya saya dah boleh tidur dengan lena sebab bagi saya, itu pun dah dikira lebih daripada cukup. Kalau itulah hasilnya, kemik jari-jemari pun saya sanggup sebab saya jenis yang menekan bersungguh-sungguh bila menulis. Disebabkan itulah tulisan saya tak cantik dan saya tulis sangat lambat hingga saya tertinggal banyak nota penting masa kuliah dulu. Mujur juga saya ada ramai kawan-kawan yang baik hati dan sanggup berkongsi apa saja termasuk nota kuliah. Hehehehe... ;-)

Pagi tadi, sebelum pukul 7.00 pagi saya dah salin yang saya tulis di PC dan rehat tadi, saya dapat juga menaip draf untuk beberapa bab . Tak banyak sebab masa yang terhad, tapi kata orang biar ada sikit daripada tak ada langsung kan? Kenapa saya ambil masa yang lama hanya untuk buat draf? Bukannya susah pun buat draf manuskrip. Mungkin itu yang bermain di minda kamu, kamu dan kamu. Tapi... saya memang jenis yang ambil masa berhari-hari hanya semata-mata nak siapkan draf satu-satu manuskrip. Kadang-kadang ambil masa sampai seminggu. Sebabnya, saya sentiasa memastikan draf yang saya buat itu detil, Bukan untuk sesiapa, tapi sekadar untuk memudahkan saya sendiri dalam proses menaip manuskrip kelak. Dan saat ni, saya masih berfikir... ada berpuluh-puluh bab lagi yang harus saya masukkan dalam draf manuskrip BSSA. Entah apa yang saya nak masukkan saya sendiri masih belum habis fikir walaupun secara keseluruhan kisah bagaimana yang saya mahu sudah pun ada di kepala. Hendaknya balik nanti, mood saya ok supaya saya tak perlu menulis di atas kertas kerana saya rasa menaip di Pc atau laptop lebih laju daripada menulis menggunakan pen.

Cumanya... saya baru aje dalam proses membuat draf untuk BSSA semalam, belum pun mula menulis, tapi... tidur saya dah kembali terganggu. Huh... itulah masalah saya sebenarnya. Bermula aje proses membuat draf, bererti bermulalah juga tidur yang tidak lena bertambah-tambah tak lena untuk saya dan yang pasti akan berterusan sehingga manuskrip tersebut siap. Macam-macam kan? Tapi itulah saya dan saya terima apa aje adanya, paling penting saya diberikan kesihatan yang baik sepanjang proses menggarap BSSA dan apa saja kisah yang mahu saya garap kelak.

- YaNg MaNiS mAsAm Je -

March 14, 2011

Bangun-bangun aje daripada tidur hari ni, hati saya berdetik, “Mood menulis saya macam dah kembali semula”. Benar kata kawan baik saya Bikash, selepas bertemu dan beramah mesra dengan ‘kita-kita’ tempoh hari, mood menulis memang kembali membara. Hanya dibandingkan dia, saya tak mahu menabur pasir pada bara tu sebab saya bimbang bila ditabur pasir, mood yang ada langsung terpadam. Sekali terpadam saya mungkin harus menunggu beberapa bulan lagi untuk menyalakannya kembali. Dan dia... saya tahu dia bukannya saja-saja nak berbuat begitu, ada tugas yang harus diselesaikan terlebih dahulu. Selepas itu dia pasti kembali menulis seperti biasa. Kan Bikash? ;-)

Disebabkan mood seperti ada, walaupun draf masih belum ada. Saya terfikir yang kali ini saya mahu menulis kisah yang agak manis dan masam. Tidak terlalu pahit dan tidak juga terlalu meruntun hati. Pendek kata, yang sedang-sedang aje. Rasa-rasanya saya dah banyak buat cerita air mata walaupun saya selalu tak rasa saya membuat cerita sedih untuk tatapan pembaca. Tapi bila ramai yang berkata cerita saya selalunya sedih, bererti memang saya dah banyak menyedihkan pembaca saya di luar sana. Maaf ya kamu, kamu dan kamu. Untuk itu saya cuba beralih angin sedikit. Mungkin percubaan saya bakal menjadi, mungkin juga tak menjadi sebab saya belum pun mencuba. Boleh jadi saya berjaya, boleh juga jadi gagal. Yang manis dan masam itu nantinya siapa tahu bakal menjadi yang pahit dan pilu. Dalam penulisan segala-galanya mungkin berlaku kerana kadang-kadang saya mahu menulis begini, tapi bila siap jadinya begitu pula.

Tapi yang jelas, saya tak akan buat cerita komedi atau cerita lawak sebab saya tak pandai walaupun saya kadang-kadang ingin mencuba juga. Kalaupun dalam novel ada aksi-aksi komedi atau lawak, saya membuatnya dengan cara sendiri. Entahkan mampu membuahkan senyum di bibir pembaca kerana hati mereka sedikit tercuit, entahkan membuahkan kerutan di dahi mereka kerana lawak saya tak menjadi atau tak sampai, saya sungguh-sungguh tidak tahu. Sebetulnya saya di dalam novel dan saya di luar novel bezanya bagai langit dan bumi. Di luar saya seorang yang sangat tak serius kerana saya memang jenis yang suka merapu tak tentu hala, tapi di dalam novel saya berubah menjadi seorang yang sangat serius. Di luar saya sangat suka ketawa, di dalam novel watak-watak saya selalu menangis. Sangat berbeza!

Kali ni saya nak beri tajuk “BOLEH SAYA SAYANG AWAK?” pada manuskrip saya yang baru. Watak pula saya beri nama Najid dan Najihah. Bagaimana cerita bermula, apa konflik yang saya nak buat, semuanya masih tinggal tanda tanya dalam hati saya. Yang dah ada cuma blurb dan prolog semata-mata, juga sedikit sinopsis untuk panduan saya sendiri. Hal-hal lain masih saya fikirkan sehingga saya benar-benar jumpa dengan yang terbaik. Saya harap saya dapat menyudahkan kisah mereka secepat saya sudahkan kisah Zalis dan Khilfie dalam “BUKAN MEMUJA BULAN”, boleh cuba baca di di sini. Kali ini juga saya akan pastikan saya akan jadi seorang yang tekun kerana selepas ini saya mahu menggarap pula kisah Tajul dan Qhalis yang dalam kepala saya, saya nak beri judul "DIA TAK BERTANYA". Apa-apa pun, saya berharap dan akan selalu berharap pertolongan daripada DIA tak kan pernah putus untuk saya dalam berkarya dan dalam semua yang saya lakukan dan bakal lakukan, ;-)

- BoLeH sAyA sAyAnG aWaK? -

March 11, 2011

Orang lain bercinta, mereka tidak. Dunia mereka hanyalah sahabat dan persahabatan. Bagi mereka, cinta hanya dongeng dalam kisah-kisah yang mereka dengar dan baca. Tak wujud di alam realiti. Ada tak menambah, tak ada juga tak mengurang.

Orang lain berkahwin kerana cinta, mereka berkahwin kerana mahu mencuba. Mahu melihat benarkah dunia perkahwinan itu indah seperti kata banyak orang. Gagal tidak mengapa, berjaya juga tidak apa-apa. Yang mereka tahu, mereka mahu masuk ke dalam dunia yang belum pernah mereka jelajahi itu.

Orang lain bahagia, mereka mula huru-hara. Ada-ada saja yang tak kena di mata. Yang remeh-temeh mula kelihatan besar. Yang selalunya biasa mula menjadi luar biasa sehingga keluarbiasaan itu menjadi api yang membakar diri. Rajuk yang sepatutnya tidak ada, jadi ada. Marah yang selalunya tidak wujud, mula wujud. Dan damai, bagaikan sumpahan yang tak mahu melekat dalam diri mereka kerana bermain dengan soal hati dan perasaan. Sudahnya, seorang ke timur, seorang ke barat.

Itu kisah Najid dan Najihah yang suka mencuba. Bagi mereka, makin banyak mencuba, makin banyak cabaran dalam hidup. Namun mereka lupa kalau dalam cinta tak ada istilah ‘try and error’. Sekali terjebak, mereka harus menelan istilah, ‘I love you’ sampai hujung nyawa.

- BeRhArAp & HaRaPaN -

March 8, 2011

Saya kira, dalam dunia ni bukan hanya saya seorang saja yang pernah berharap dan tentu saja punya harapan supaya apa yang saya harapkan akan jadi kenyataan. Saya tak ingat dalam seumur hidup ini, berapa kali saya berharap. Tapi yang jelas saya pernah berharap pada banyak benda yang tak semua jadi kenyataan. Entahkan separuh, entahkan suku daripada harapan saya sudah terpenuhi. Atau boleh aje jadi lebih daripada itu sudah saya dapatkan. Mungkin dengan usaha keras, mungkin juga dengan keajaiban daripada ALLAH.

Tapi... ada juga situasi di mana saya berharap, sangat berharap. Tapi harapan saya akhirnya jadi debu kerana sudah jadi lumrah yang bukan semua benda dalam dunia ni boleh kita miliki. Ada masa-masanya, saya nangis bila harapan saya tak kesampaian. Ada masa-masanya, air mata saya tak mampu pun titis ke bumi walaupun kecewa saya setinggi gunung. Ada ketika-ketikanya, saya ketawa bila saya tahu saya gagal. Mungkin kerana dari awal-awal lagi saya sudah menjangka itu yang akan saya terima. Saya seperti sudah menyediakan payung sebelum hujan. Contohnya, ketika belajar dulu, saya selalu merungut setiap kali bas yang saya tunggu tak datang. Kemudian saya jadi lebih marah bila bas datang berderet-deret ketika saya tak perlukan bas tu. Ada ketika-ketikanya, hendak tersenyum pun bibir saya seakan-akan lumpuh. Mungkin kerana saya seperti pasti yang saya akan berjaya dan di akhirnya, saya rupa-rupanya hanya mampu menggenggam bayang. Dan bila saya buka tapak tangan, hanya kosong yang menanti.

Ada juga situasi bila harapan saya berkecai, saya jadi serik. Lalu, jadilah saya manusia yang berhenti berharap macam lagu popular yang dinyanyikan kumpulan dari Indonesia satu ketika dulu. Tak seronok pun menunggu buah yang tak jatuh-jatuh sebenarnya. Dan bila saya kembali kuat, harapan yang dah saya kubur sekali lagi menjelma depan mata tanpa saya duga.

Kenapa selalu macam tu ya? Bila kita berharap, kita tak dapat. Tapi bila kita dah berhenti berharap kita seakan-akan dapat apa yang pernah kita tak dapat satu ketika dulu. Dan seringnya... kita jadi tidak pasti harus berbuat apa selepas itu. Sebahagian hati kata ‘ok’, sebahagian lagi masih berkata ‘tak ok’. Lalu... jadilah kita seperti manusia di atas pagar. Ke kanan tidak, ke kiri juga tidak.

Tapi apa yang nak saya sampaikan sebenarnya ya? Hehehehe. Entahlah, saya sendiri pun tak pasti arah n3 saya kali ni. Anggap ajelah saya sedang dalam mood merapu ye, ;-)

- SaYa, KaMu & KiTa-KitA -

March 4, 2011

Tak ada n3 sebenarnya nak dicoretkan hari ni walaupun saya memang ada terasa hendak mencoret sesuatu kerana esok dan lusa atau mungkin bersambung sampai ke hari Isnin, tak ada apa yang akan saya coretkan di sini. Ya, saya akui yang saya memang malas menulis blog pada hari cuti. Kadang-kadang menulis novel juga saya malas. Habis bila saya menulis? Jawapan saya, bila saya rasa nak menulis dan bila mood menulis saya menggebu-gebu menyentak diri. Ceh... ayat novel tu, hehehe...

Dan... apa yang saya harapkan, moga perjalanan saya dan ‘kita-kita’ esok diberkati dan hendaknya kami selamat pergi dan selamat juga kembali pada tarikh dan masa sepatutnya. Saya akan cuba melaung dalam hati, memanggil mak dan abah saya yang tentunya ada di seberang sana dan tentunya sibuk dengan urusan masing-masing. Harap-harap mereka berdua mendengar ya, walaupun saya memanggil tanpa suara, ;-)

Untuk kamu yang akan menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada 7 Mac 2011, tak kira apa jadi, tak kira bagaimana jadi, tak kira tak jadi dan macam memang tak jadi pun... saya tetap mendoakan kamu baik-baik saja di sana. Hendaknya, kamu dapat apa yang kamu inginkan dalam hidup. Hendaknya semua doa kamu akan dijadikan nyata oleh DIA. Dan bila berdekatan dengan DIA, mungkin membuatkan banyak perkara berubah dalam hidup kamu selepas ini. Tak apa dan tak akan apa-apa. Doa saya, moga kamu selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air. Moga perjalanan yang suci itu akan selalu diberkati ALLAH, ;-)

- SuKa & DuKa HiDuP -

March 3, 2011

Tajuk macam klise kan? Dah selalu orang guna, bahkan mungkin ada yang rasa nak termuntah darah bila tengok tajuk kat atas tu. Tapi tak kira, muntah darah ke, muntah pasir ke, muntah air ke atau muntah pelangi sekali pun, saya tetap nak menulis juga tentang suka dan duka ni, hari ni dan tentu aje ketika ni. Sebabnya, saya berpegang pada prinsip, “Tulis apa yang kita tahu dan kita nak tulis. Bukan apa yang kita kurang tahu atau tak tahu atau sebab paksaan atau sekadar nak jaga hari orang lain’. Alahai... berapa banyak atau dah!

Istimewa sangat ke suka dan duka saya selama empat hari yang berlalu ni? Tidaklah macam tu sekali. Cumanya... sedar tak sedar hari ni dah masuk hari Khamis. Empat hari bekerja sudah berlalu, tinggal lagi satu hari lagi, iaitu esok. Tapi sepanjang empat hari ni, rasa macam dah banyak benar perkara berlaku pada yang namanya Marwati Wahab @ Aleya Aneesa ni. Apa dia? Hem... bukanlah apa-apa sangat, tak penting pun. Tapi sebab jari-jemari saya terasa gatal nak menaip, maka wujudlah n3 mengarut ni.

Okey... Isnin, saya memulakan minggu ni dengan perasaan yang sarat dengan debaran yang menggila. Menanti dan terus menanti seperti orang yang menanti bulan jatuh ke riba. Kesimpulannya, hampa! Balik ke rumah, rasa macam nak mengamuk aje. Maklumlah... saya hanya manusia biasa yang kurang dengan kesabaran walaupun selama ni saya jenuh melatih diri supaya bersabar. Lepak-lepak depan TV sambil tengok Drama Hindustan kat Zee Variasi, diulang sekali lagi Drama Hindustan ya, bukan filem. Oh... Kak Long dan Mak saya memang tak patut sebab mereka berdua sudah pun mengangkat sepanduk berbunyi begini, “MARI MENONTON DRAMA HINDUSTAN BERMULA PUKUL 5.00 PTG SAMPAI PUKUL 6.30 PTG”, yang berkesudahan dengan kebanyakan keluarga saya terus melekat di kaca TV, termasuk saya. Padahal, dulu saya mengutuk sakan pada mereka berdua. Saya kata, “Dahlah cuma 30 minit setiap satu drama. Lepas tu close-up muka pelakon setiap satu je dah 15 minit. Tak berbaloilah”. Tapi sekarang ni, saya dah ketulahan kerana banyak sangat mengutuk. Itu pun gara-gara saya tertengok setiap drama tu masa kat kampung beberapa bulan dulu. Makanya... jadilah saya seperti mereka. Tapi sampai ke hari ni saya tetap tak puas hati sebab masa yang terlalu pendek dan close-up yang bagi saya sebenarnya tak perlu ada. Bagilah satu jam ke, berbaloi juga rasanya.

Masa tengok TV tulah tiba-tiba dapat panggilan seorang kawan, katanya ada barang atas meja saya. Oh... saya dah mula tak senang duduk. Ikutkan hati, nak aje saya balik semula ke office, tapi mengenangkan jalan yang pasti sesak, saya suruh lagi diri sendiri bersabar. Mujur malam tu tidur saya sangat lena.

Selasa, sampai saja office, debaran semalam hilang berganti perasaan gembira. Syukur atas semua yang ALLAH berikan. Di lain masa, saya harap ALLAH akan tetap tolong saya. Menjelang petang, ah... rasa gembira berkocak sedikit. Benarlah, suka lawannya memang duka. Dalam pada gembira, dugaan tak dijangka datang bergolek menghempap kepala. Rasa sedih dan gembira bergumpal jadi satu. Ya... rasa agak sakit, tapi saya tahu DIA lebih tahu apa yang terbaik dan tak terbaik untuk saya. Walaupun ada masa-masanya saya rasa seperti tak larat memikul beban yang ada di pundak, DIA tahu yang saya masih mampu memikulnya. Jadinya... dugaan itu diberikan lagi, lagi dan lagi.

Sekarang ni, dua hari berlalu sudah. Yang itu, itu... masih kejap di pundak saya dan saya tak tahu pun macam mana nak selesaikannya. Tadi pun Adik Ipar saya bertanyakan soalan yang sama, semalam Mak saya, dua hari lepas Adik Ipar saya yang lagi satu. Oh... cerita itu dah jadi macam pisang goreng panas dalam keluarga saya. Saya hanya menunggu Kak Long buka mulut dan saya pastinya terpaksa membuat penjelasan yang sama sekali lagi dan seterusnya menghampakan dia. Tapi saya tak pula terasa hendak menangis sebab saya bukannya cengeng sangat sebenarnya. Hanya untuk hal-hal tertentu aje air mata saya mudah gugur. Saya juga tak rasa marah pada sesiapa sebab saya tahu, mereka gembira dan mahu yang lain-lain juga merasakan kegembiraan yang sama. Cumanya... manusia hanya mampu merancang sedangkan ada DIA sebagai perancang utama. Kalau DIA kata tidak, maka tidaklah dan kalau DIA kata ya, maka saya dan kalian, kita... sudah boleh menarik nafas lega, ;-)

p/s - Kalau rajin singgah sini ya, kalau rajinlah. Tapi... tak ada yang menarik pun. Cuma saja aje nak tambah bilangan blog. Baru buka lagi blog tu. Eh... di samping tu, bagi yang tak pernah baca karya saya mungkin boleh berkenalan dengan karya-karya saya. Bagi yang dah pernah baca dan dah berhenti membaca, siapa tahu kamu akan tertarik hati sekali lagi. Bagi yang masih dan mahu membaca lagi, lagi dan lagi...terima kasih berjuta-juta lemon tau. Ada yang baru ya. Cumanya... tak adalah satu buku lengkap, hanya sesi berkenal-kenalan dengan watak-watak yang ada. Selebihnya, sila dapatkan dalam bentuk buku kalau dah diterbitkan... ;-)

- KuTiP-kUtIp dAlAm TDS -

March 1, 2011

- Kau dan aku, kita berkongsi rasa yang sama

-Tak ada yang mahu jatuh di tempat yang sama berulang-ulang kali

-Mengapa perlu ada air mata yang tumpah kalau benar cinta itu berharga?

-Masa yang terlalu panjang membuatkan hatinya kehilangan getaran

-Adanya kau di sisiku, tak ada yang lain kuharapkan

-Semakin aku ingin menjauh, semakin hatiku mahu tetap di sisimu

-Walau tak seiring, hati kita tetap satu

-Kenapa dia muncul tika hati sudah diserahkan pada yang lain?

-Seiring putaran waktu mereka pasti akan saling menyayangi

-Bukan dia yang memulakan tapi kenapa hanya dia yang menerima hukuman?

-Duri yang ditinggalkan masih kejap tertusuk di hati

-Semakin dia kata tidak cinta, semakin cintanya tersimpul mati

-Datanglah bidadari sekalipun, cintanya tak akan pernah berpaling

-Berteduh di bumbung yang sama, tapi mereka menyulam mimpi berbeza

-Kerana simpati cintanya tergadai, kerana simpati dia mencarik luka perasaan itu

-Setiap orang pasti akan bahagia. Cuma... tergantung bagaimana kebahagiaan itu diwujudkan. Ada orang bahagia dengan hidup sendiri dan ada orang pula bahagia bila bersama-sama orang lain

-Dalam pada ingin menjaga hati insan-insan kesayangannya, dia rupa-rupanya tanpa sedar menoreh luka hati sendiri

-Dia karam sendiri kerana memilih berenang di lautan yang sarat dengan gelombang ganas