EBOOK: HUD SUAMI IRIS (BAB 2)

March 30, 2023


BERATNYA kaki Iris hendak melangkah masuk, hanya Allah sahaja yang tahu. Tapi menangis air mata darah pun yang terjadi telah terjadi. Tak mungkin dia dapat berpatah balik ke belakang. Kalaupun dia lari, mustahil Hud akan melepaskannya dengan mudah.

“Kalau aku minta cerai Hud nak ke tak nak agaknya?”

“Dalam mimpi pun aku tak akan ceraikan kau!”

Mendengar suara Hud di belakang, pantas Iris berpaling. Entah sejak bila Hud ada di situ, dia tak tahu dan dia malas hendak ambil tahu.

“Cukuplah kau kacau hidup aku, tak payahlah sibuk-sibuk nak atur mimpi aku pula,” balas Iris sambil mencebik.

Tak mahu terus menjadi patung cendana di depan pintu bilik, Iris atur langkah. Lewat ekor matanya, dia tahu Hud mengikutinya. Tapi lantaklah! Ini bilik Hud, ini rumah orang tua Hud. Suka hatilah Hud hendak ke mana pun. Cuma yang menjadi masalahnya, langkah Hud terlalu rapat. Kalau dia berhenti tiba-tiba, memang tubuh mereka bakal berlaga.

Tak mahu mengambil risiko, cepat-cepat Iris memesongkan langkah ke kiri. Bila Hud yang tak bersedia terus ke depan, dia terasa hendak ketawa besar. Geli hati kerana Hud seperti hendak tersungkur.

“Kau nak ketawakan aku, kan?” tanya Hud geram.

Iris dipandang kecil besar, kecil besar. Kalau dia jatuh tadi, memang ditarik Iris sekali. Biar sama-sama jatuh mencium kaki katil.

“Hah... ketawa. Ketawalah!”

Iris terus gigit bibir kuat-kuat. Tak mahu ketawa yang ditahan terburai. Hari ini hari ketiga dia jadi isteri Hud, dia tak mengharapkan yang dia dihalau secepat ini. Atau, inikah jalan untuk dia lari daripada Hud?

“Hah... tak payah! Kalau kau ketawa sampai tercabut usus pun aku tak akan ceraikan kau.”

“Eh macam mana kau tau isi hati aku?”

“Tak payah tengok muka kau pun aku tahu kau tu macam mana orangnya. Jenis tak tahu hormatkan laki,” kutuk Hud tanpa berlapis.

“Tak payah nak acah-acah kenal akulah, Hud.”

“Dulu tu kau...”

“Dah tak payah nak ungkit cerita zaman tok kaduk tu. Ingatan aku dah lama hilang. Kalau ada sak-baki lagi, aku akan hantuk kepala aku sampai pecah. Biar nama dengan muka kau sekali aku lupa,” potong Iris pantas.

Mencebik bibir Hud dengan kata-kata Iris. Mulut Iris yang macam murai tercabut ekor terasa hendak diramas-ramas.

“Kita pindah rumah nak Hud?” ajak Iris tiba-tiba. Dia duduk di birai katil.

“Kenapa? Dah tak sabar nak membina rumah tangga bahagia dengan aku?”

“Taklah! Kalau duduk rumah sendiri, senang sikit kalau kita nak bergaduh hari-hari. Tak ada siapa yang dengar,” balas Iris selamba dengan riak menyampah memandang Hud.

Nak membina rumah tangga bahagia dengan Hud? Tak pernah dia mimpi sejak 10 tahun lalu. Lagipun bahagia apa namanya kalau ikatan ini pun dia tak ingin.

Silap-silap nanti, rumah letaknya di selatan, tangga terbang sampai ke utara.

“Tak nak, aku nak bergaduh dengan kau hari-hari dalam rumah ni.”

“Mama kau tak suka akulah Hud.”

“Jadi?” Kening Hud terjongket.

“Kau nak tengok ke aku gaduh dengan mama kau? Aku rasa aku ni tak penyabar sangat. Aku bukan menantu yang akan nangis tepi bucu katil kalau mak mentua marah-marah atau sindir-sindir aku. Nanti jangan salahkan aku pula kalau aku dengan mama kau bersilat.”

“Kau betul-betul nak menjawab ke kalau mama marah kau?”

“Dengan kau pun aku menjawab, takkanlah dengan mama kau, aku kunci mulut.”

Hud pandang Iris atas bawah. Nampaknya, masa betul-betul telah mengubah Iris. Tapi apa sebenarnya yang telah berlaku? Dia tak tahu kerana selepas SPM, jangankan rupa Iris, nama Iris pun dia lupa.

“Kita duduk rumah sendiri okey?” Iris cuba pujuk Hud sekali lagi. Dia tersenyum lebar, cuba membeli hati Hud.

“Kau buat senyum macam tu pun hati aku tak akan cair.”

Keluhan panjang Iris muntah ke udara. Menyesal menghadiahkan senyuman pada Hud.

Sesungguhnya, jelingan Puan Kasmina terlalu mengerikannya. Bukan juga dia takut, hanya sahaja dia mahu menjaga hatinya sendiri. Baginya, Hud pun sudah cukup menjengkelkan, apalagi kalau anak dan mama bergabung. Hidupnya yang tenang memang bakal huru-hara.

“Kalau macam tu, apa kata kau bagi aku terus tinggal kat rumah Laila? Hujung minggu aku balik sini.” Satu lagi idea Iris lontarkan dengan harapan disambut Hud, walaupun dia tahu mustahil.

“Tunggu aku gila baru aku setuju dengan idea kau yang juga gila.”

“Fikirlah dulu,” pujuk Iris tapi nada suaranya tegas.

“Kau ingat aku kahwin dengan kau untuk gembira dan bahagiakan kau ke? Dah tentulah tak! Jadi, kau jangan harap aku akan ikut semua idea merapu kau tu. Fokus aku sekarang ni hanya satu, nak seksa hidup kau”.

Hud renung Iris yang masih duduk di hadapannya dalam-dalam. Cuba mencari sesuatu tapi dia tak jumpa. Iris seperti langsung tak terkesan dengan kata-katanya. Takut atau sedih, tak juga terpeta pada wajah Iris.

“Kalau semua tak boleh, esok aku nak ambil barang kat rumah Laila.”

“Itu...”

“Kalau semua tak boleh, baik kau pergi dapur ambil pisau dan tikam aje aku banyak-banyak kali. Biar hati kau puas,” cantas Iris pantas. Malas hendak mendengar penolakan Hud sekali lagi.

“Kau mana boleh mati mudah macam tu.”

Sakitnya hati Iris dengan riak selamba Hud. Nampaknya Hud benar-benar sedang mengotakan kata untuk menyeksanya.

Ini baru tiga hari, kalau tiga bulan? Tiga tahun? Tiga puluh tahun? Eh, tak ingin aku hidup dengan Hud sampai lama macam tu sekali, desis hati kecil Iris.

“Aku tak kira, kau bagi ke tak bagi esok aku tetap akan pergi rumah Laila.”

“Kau degil ya Iris?”

“Dah tu semua barang aku kat situ takkanlah nak ambil pun tak boleh. Tak perlulah nak jadi kuku besi macam Hitler sangat,” sindir Iris.

“Kau samakan aku dengan Hitler?” Mata Hud terjegil.

“Kalau tak nak aku terus gelar kau macam tu, bagi aku pergi esok.”

“Aku hantar!”

“Kalau macam tu tak payah. Aku pakai aje baju tidur singkat dan jarang kat dalam rumah ni, biar semua orang tengok. Mama kau mesti suka tengok aku macam tu nanti, kan?” ugut Iris sengaja menghentikan kata demi menyakitkan hati Hud.

Bila kembang kempis hidung Hud kerana geram, dia terasa hendak ketawa besar. Padahal, jangankan baju tidur singkat dan jarang, baju tidur yang sopan pun dia tak ada. Kalau ada pun hanya disimpan kemas. Dia lebih selesa tidur memakai baju t-shirt dan seluar sukan. 

“Kau tak akan berani.” Hud seakan-akan mencabar Iris.

“Kau cabar aku?” Iris balas cabaran Hud.

Hud membesarkan matanya. Iris nampaknya benar-benar tak takut padanya. Setiap patah katanya, dipatahkan Iris dengan mudah. Bahkan ada masa-masanya, dia bercakap tiga patah perkataan, Iris jawab dengan 30 kata. Lebih laju, lebih tajam kata-kata Iris.

“Aku bagi kau masa tiga jam aje esok. Kalau lebih dari tiga jam, aku sendiri yang akan cari kau.”

“Aku tahulah!”

Bila Hud hilang ditelan pintu bilik air, Iris capai telefon bimbit yang berbunyi di atas almari solek. Aplikasi WhatsApp diklik. Melihat nombor yang tak dikenali, dahinya sedikit berkerut. Namun belum pun mindanya membuat keputusan, jari telunjuk kanan sudah pun memainkan peranan.

‘HEI... PEREMPUAN GEDIK, BERAPA LAMA LAGI KAU NAK SIMPAN HUD HAH?’

“Perempuan gedik dipanggilnya aku?” tanya Iris dengan riak berkerut. Sakit hati digelar begitu. Ditulis pula dengan huruf besar.

“Simpan Hud? Apa dia fikir Hud tu guni beras ke apa nak simpan-simpan bagai?” tanya Iris lagi, pada diri sendiri. Hanya kali ini dia tergelak kecil, geli hati dengan kata-katanya sendiri.

Dia tak tahu siapa yang menghantar teks WhatsApp kepadanya. Hanya kesimpulannya, orang itu mungkin bekas kekasih Hud atau boleh jadi masih lagi berstatus kekasih.

Tapi soalnya, untuk apa mereka berkahwin kalau sekeping hati Hud telah dihuni? Untuk menyeksanya seperti yang Hud kata? Hud... memang tak waras!

Tapi lantaklah, yang penting dia dapat modal baru untuk menyakitkan hati Hud.

READY FILE. Berminat boleh klik ORDER HSI

No comments:

Post a Comment