BUKAN CUMA DIA | Prolog

November 29, 2013

MELIHAT Akid duduk santai sambil memeluk lutut di gazebo rusuk kanan rumah, Haq mendekat. Sudah beberapa hari dia berfikir. Solat istikharah juga sudah dibuat berkali-kali. Muka yang akhir-akhir ini sering mengganggu hati dan ingatannya, memang tidak  muncul di dalam tidurnya. Tapi nalurinya jadi semakin yakin. Dia percaya ilham yang ALLAH kirimkan, tidak semestinya melalui mimpi. Kalau benar ada, naluri itu juga salah satu daripada cara-NYA menghantar petanda.

 “Buat apa?” tegur Haq sekadar berbasa-basi. Hatinya berdebar-debar. Bimbang niatnya ditolak. Mungkin lebih bimbang lagi jika Akid mencapai pasu berserta bunga di taman mini Hajah Yasirah, sebelum menghempuk di atas kepalanya.

Tapi kalau Akid ketawa sampai pecah perut, macam mana?

Antara menerima kemarahan Akid setelah mendengar nama calon yang disebut dengan mendengar ketawa adiknya yang entah macam mana gayanya nanti, mana satu yang dia lebih rela dengar?

Sungguh... ketika ini Haq benar-benar tidak senang hati!

“Kau rasa?” Akid mengusik Haq. Melihat rupa abangnya yang lain macam, dia yakin ada sesuatu yang ingin Haq kongsikan. Biarpun jarak dan masa pernah memisahkan mereka berdua selama lebih 12 tahun, tetap tidak banyak perubahan berlaku pada abangnya itu. Haq dilihat masih sama seperti kali terakhir meninggalkan bumi Malaysia.

“Aku ada nak cakap dengan kau sesuatu ni. Penting. Antara hidup dan mati!”

“Aku dah agak tadi lagi, abang. Tapi macam serius aje dengarnya tu. Apa dia?”

“Pandai ya kau baca hati aku,” usik Haq pada Akid. Hatinya masih bolak-balik. Tapi kalau bukan hari ini, bila lagi? Tempoh yang Hajah Yasirah beri sudah semakin hampir. Karang jika terlewat bertindak, putih matanya kerana terpaksa duduk bersanding di atas pelamin dengan isteri yang tidak diinginkan. Kalau jenis baik satu hal juga, tapi kalau dapat kacang hantu? Alamat meranalah hidupnya nanti.

Hidupnya bukan seperti dalam novel atau drama di TV. Tidak rela dia kalau dipaksa kahwin. Buat malu saja!

“Aku adik yang baik. Sebab tu cepat aje boleh baca reaksi kau. Marah kau, sedih kau. Ceria kau, ketawa kau. Bengang kau pun aku tahu! Aku boleh dikatakan hebat jugalah. Mujur aje masa zaman Pak Belalang dulu aku tak hidup lagi, kalau tak memang aku nilah yang confirm akan jadi guru pada Pak Belalang tu,” kata Akid bangga sambil menepuk dadanya berkali-kali. Mukanya jelas terpeta riak.

Haq senggol sedikit rusuk Akid. Adiknya itu memang jenis yang ceria dalam apa pun keadaan. Kaki kelentong pun Akid juga!

“Apa yang kau nak cakapkan tu?”

“Janji kau tak akan ketawa, boleh?” Haq garu-garu kepalanya yang tidak gatal. Hati kembali bimbang.

Bahu Akid terjongket. Dia tidak mahu berjanji kerana tidak mahu dianggap mungkir bila ketawanya meletus nanti.

“Suruh janji pun susah ke?” Haq tidak puas hati.

“Tergantung pada keadaan. Kalau kelakar, aku ketawa. Kalau aku rasa tak kelakar buat apa aku nak ketawa? Kalau cerita kau sedih sampai tahap paling tinggi, takkanlah aku masih nak ketawa, kan? Walaupun aku ni macam ni, aku masih ada hati dan perasaan jugalah, abang.”

Kata-kata Akid kedengaran polos benar di telinga Haq. Tapi bila melihat tampang adiknya itu, Haq berani kerat jari yang Akid akan ketawa besar. Ketika Akid memberikan cadangan supaya dia berkahwin dengan Qara, mentah-mentah ditolak. Dia dan Qara? Gila! Memang tidak masuk di akal langsung. Kini bila dia sudah terdesak dan tidak punya apa-apa pilihan, yang dia nampak hanya seraut wajah. Itu saja satu-satunya jalan yang ada. “Umi paksa aku kahwin,” kata Haq senafas. Laju macam kereta api.

“Apa?” Mata Akid membulat. Antara percaya dengan tidak percaya.

“Umi... suruh... aku... kahwin!” Sepatah demi sepatah Haq sebut. Reaksi Akid sedikit menjengkelkannya. “Umi...”

Belum pun sempat Haq meneruskan kata-kata, Akid sudah terbaring sambil menekan-nekan perut. Ketawa besarnya membingitkan suasana petang yang  agak damai. Hatinya bagaikan digaru. Haq yang sudah setua itu, dipaksa kahwin oleh umi mereka? Di mana letak rasional dan logiknya? Sungguh... dia tidak pernah memikirkannya!

“Kan... sebab tu aku suruh kau janji tadi,” protes Haq. Akid memang suka bereaksi berlebih-lebihan.

Terus juga ketawa Akid kedengaran. Mata yang berair diseka dengan belakang tangan. Tidak tahu dia harus berterima kasih pada siapa kerana telah menceriakan hatinya kala ini. Haq yang menyampaikan berita kelakar itu? Atau, Hajah Yasirah yang memaksa anak sulung yang telah belajar sampai ke London, berkahwin dengan calon pilihan yang entah siapa-siapa? Yang jelas, tentu tidak serupa dengan selera Haq.

“Umur kau ni berapa, abang? Bukan dah 30 tahun ke?”

“Taklah, mana ada! Umur aku bukannya 30 tahun tapi 3 tahun. Sebab itulah mama tak sabar-sabar nak suruh aku kahwin. 3 tahun kan dah cukup besar untuk pegang tangan tuk kadi?” sindir Haq pada Akid, geram. Bila baru ketawa Akid akan reda?

Okey, sorry! Jangan marah-marah nanti masa bersanding muka kau bakal kedut sana-sini. Tak macholah, bro!” sakat Akid sambil memekup mulut sendiri. Jangan sampai ketawanya pecah sekali lagi.

“Kau ni...” Haq tarik sedikit rambut Akid.

Akid tersengih-sengih sambil menepis tangan abangnya itu. “Habis kau setuju?”

“Macam mana aku tak setuju kalau umi sampai main ugut-ugut bagai. Macamlah aku ni dah terdesak benar kot,” rungut Haq tidak puas hati. Kalau di hadapan Hajah Yasirah, dia hanya mengunci mulut. Tapi bila bersama-sama Akid, macam bertih goreng mulutnya mengadu perihal umi mereka itu.

Kening yang tiba-tiba terasa gatal, Akid garu perlahan. Kalau dia di tempat Haq, dia pun susah hati juga. Hajah Yasirah itu, bukannya mereka tidak tahu. Kalau putih katanya, maka putihlah jadinya. Kalau hitam, jangan ada sesiapa yang berani membantah. Jika dengan dia, berdebat dulu baru kata-kata umi mereka itu dia ikut. Haq pula, belum Hajah Yasirah membuka mulut, sudah mengangguk setuju.

Itulah bezanya dia dengan Haq. Cuma yang serupa, mereka sama-sama menyayangi Hajah Yasirah. Itu umi yang telah mengandung dan melahirkan mereka ke dunia ini!

“Kau nak kahwin dengan calon pilihan umi ke, bang?”

Tolonglah... tolonglah jangan cakap ya, abang. Aku tak nak tengok hidup kau menderita. Umi tak pandai pilih calon menantu!

“Tak nak aku! Calon umi mesti macam umi juga. Takut pula aku nanti yang jadi lembu kena cucuk hidung.”

Leganya hati Akid bukan kepalang. Daripada kahwin dengan calon Hajah Yasirah yang mungkin tidak tahu mengalah dan bersikap queen control, baiklah membujang sampai ke tua. Yang tak ada mungkin isteri, tapi hidup tentu aman damai. Kalau ada isteri tapi menyakitkan hati pun tidak guna juga. Belum pun tua agaknya sudah berkedut di sana sini kerana menjeruk rasa sendiri.

“Habis tu macam mana? Kau ada calon sendiri ke?”

Haq geleng-geleng. Dengan Akid tidak ada apa yang hendak disorokkan. Kalau sorok pun, lambat-laun adiknya itu akan tahu juga.

“Kat pejabat tu tak ada satu pun ke yang berkenan kat hati kau? Nurin yang duduk Bahagian Akauntan tu macam suka aje dengan kau.”

Bibir Haq mencebik sedikit. Seraut wajah hitam manis milik Nurin melintas. Pantas kepala digeleng-gelengkan. Gadis itu pantang melihat dia, cepat-cepat menghimpit. Kadang-kadang sudah dekat pun mahu lebih dekat. Kalau dia jenis yang tidak kisah, agaknya cepat-cepat Nurin duduk di atas ribanya. Belum lagi mengambil kira solekkan di muka yang seperti Opera China. Memang taklah!

“Maizatul, setiausaha walid?”

“Skema. Aku tak berkenan.”

“Nonis?”

“Aku...”

“Tak payah, tak payah. Budak tu macam juling air sikit aku tengok. Tak sesuai dengan kau,” pintas Akid pantas.

Haq tumbuk bahu Akid. Kalau pun Nonis itu juling air, tidak perlulah Akid sampai mempamerkan aksi begitu. Ditakdirkan Nonis tiba-tiba muncul, pasti kecil hati gadis pendiam yang murah dengan senyuman itu. Mana ada orang di dalam dunia ini yang minta dilahirkan dalam keadaan yang kurang sempurna. Semua itu kerja ALLAH.

Sorry... tak sengaja.” Akid malu sendiri, pada Haq dan juga Pencipta Abadi. Siapa dia hendak menjadi hakim terhadap ciptaan ALLAH? Hakikatnya, dia juga tidak sempurna mana. Ada kurang dan lebih di sana dan sini yang perlu diperbaiki. Bahkan, banyak juga yang sampai ke hari ini tidak dapat diperbetulkan. Dia perlu lebih istiqamah dengan niat yang telah dibuat.

“Jangan sampai terlepas kata lain kali,” tegur Haq tenang.

Akid angguk, dia mengerti dan akan berusaha untuk menjaga mulutnya daripada bercakap yang bukan-bukan tentang orang lain. “Razilah, client yang selalu berurusan dengan kau tu?”

“Mintak simpang!”

Kalau sudah baju saja ketat seperti sarung nangka, singkat hingga mencecah paha dan hampir-hampir mempamerkan apa yang tidak patut dipamer, memang awal-awal lagi tersingkir. Dia mahu mencari isteri, bukannya model pakaian berjenama. Jauh sekali si seksi yang mampu membuat golongan lelaki menoleh berkali-kali kerana tidak puas hanya dengan sekali pandang. Tidak, bukan calon begitu yang diimpikan!

“Kalau semuanya kau tak mahu. Habis tu siapa yang kau nak ni?”

Haq diam seketika. Sekali lagi bertanya pada diri sendiri, manalah tahu kalau-kalau hatinya sudah berubah selepas mendengar banyak nama perempuan yang disebut Akid. Namun, masih juga organ bertuah itu memberikan jawapan yang sama. Tetap juga seraut wajah manis itu yang bertamu. Diakah?

“Aku nak perempuan yang namanya kau tak sebut tadi.”

Kening Akid terjongket, semakin tidak faham. “Siapa?”