KAHWIN DENGAN SAYA? | Bab 5

February 27, 2014


“QARA...” sapa Dhia perlahan. Dia menyentuh bahu Qara yang membelakanginya. Duduk sambil mata terhala tepat ke arah air tasik di Taman Tasik Manjalara  yang tidak beriak. Bila Qara hanya kaku, hatinya bagaikan dipalu. Pelbagai rasa berselirat hebat dalam dadanya. Dia tahu hati Qara luka.

“Qara maafkan aku,” pinta Dhia sungguh-sungguh. Air matanya gugur perlahan-lahan.

Qara angkat muka. Tersenyum seperti selalu, tapi tawar tidak bergula. Syahil baru saja menolak dirinya. Memilih Elma yang kaya sedangkan dia hanya anak yatim piatu yang tak punya apa-apa. Mana mungkin dengan hati yang hiba dia mampu memberikan senyuman manis pada Dhia.

“Duduklah Dhia, kita berbual.” Tempat duduk di sisi, ditepuk-tepuk perlahan. Menggamit Dhia supaya rapat dengannya. Kalau boleh dia mahu meminjam semangat kawan baiknya itu.

“Qara maafkan aku.” Terus Dhia peluk Qara erat-erat. Simpatinya pada Qara melaut, bergabung dengan rasa malu.

Sebelum keluar mencari Qara, sempat dibaling telefon bimbit ke arah Syahil. Mujur saja abangnya itu sempat mengelak. Jika tidak, tentu patah hidung Syahil. Bukan perlahan balingannya tadi. Tidak percaya akhirnya Syahil akur pada ugutan ibu dan ayah mereka.

Antara Qara dan Elma, Syahil memilih Elma. Itu membuktikan kalau Syahil itu tidak punya pendirian. Cakapnya saja yang berapi-api!

“Bukan... bukan salah kau. Jodoh tak ada.”

“Bukan jodoh yang tak ada tapi abang aku jahat. Abang aku kejam pada kau. Abang aku pentingkan diri sendiri.”

“Jodoh bukan manusia yang tentukan Dhia.”

“Tapi abang aku dah kecewakan kau. Aku sedih, aku malu pada kau,” luah Dhia berserta tangis.

“Tak apa, tak apa. Aku tak pernah marah kau dan tak akan pernah marahkan kau. Kalau Syahil patahkan hati aku, tak bermakna kau kena tanggung kesalahan dia. Sebab dia, dia dan kau tetap kau. Kawan aku yang sangat baik. Selalu ada di sisi aku dalam keadaan apa pun,” pujuk Qara pada Dhia.

Air mata Dhia diseka perlahan. Yang dikecewakan Syahil, dia. Tapi yang nampak lebih terluka, Dhia.

“Aku minta maaf Qara. Kalaulah aku tahu. Aku...” Lemah suara Dhia melepasi kerongkong. Dia memang jenis keras hati dan tidak mudah menangis. Tapi bila sesuatu itu melibatkan Qara, air matanya selalu saja jadi murah. Ketika ini pada saat dia memujuk Qara, dia pula yang dipujuk kawannya itu.

Qara geleng. Yang berlaku sudah pun berlaku. Menyalahkan diri tidak akan mengubah keadaan. Hakikatnya, Syahil memilih kemewahan dibandingkan cinta yang mereka berdua kongsikan.

“Tentu ada hikmahnya yang kita tak nampak.”

“Tak patut abang aku buat kau macam ni. Tak patut dia pilih Elma sebab Elma tak mungkin dapat sayangkan dia sama macam kau.”

“Sayang aku hanya sayang. Sedangkan sayang Elma dengan kemewahan. Aku dan Elma bezanya macam langit dan bumi.”

“Kemewahan bukan segala-galanya!”

“Tapi kemewahan dah berjaya buktikan betapa cinta dan kasih sayang tak memberi apa-apa makna.”

“Itu sebab abang aku bodoh!”

“Dia bukan bodoh. Tapi dia memilih untuk tak hidup miskin di sisi aku.”

Tenangnya air muka dan kata-kata Qara, buat Dhia sakit hati. Patutnya bukan itu yang Qara pamerkan padanya. Kawannya itu harus menangis, kemudian bergabung dengannya mengutuk Syahil sehingga puas.

“Yang kau tenang sangat ni kenapa?”

Qara senyum lagi. Kali ini senyumannya jauh lebih ikhlas. Melihat hidung Dhia yang memerah kerana menangis, hatinya tercuit. Bukannya selalu dia dapat melihat keadaan Dhia begitu.

“Kau nampak comel bila menangis.”

“Qara!” Pantas jari Dhia mencubit Qara. Dalam keadaan berhati walang pun Qara masih ada hati membuat lawak.

Halus ketawa Qara. Lengannya yang dicubit Dhia, diusap-suap perlahan. Mengharap perit yang terasa segera hilang. Namun sedikit pun dia tidak marahkan Dhia. Salahnya dia kerana bergurau tidak kena masa.

“Mana kau tahu aku ada kat sini?”

“Gerak hati aku kata kau ke sini.”

“Terima kasih,” ucap Qara perlahan. Hatinya didatangi sebak. Mungkin dari banyak sudut, dia tidak bernasib baik. Tapi sekurang-kurangnya, dia punya seorang kawan yang selalu ada untuknya.

“Untuk apa ucapan terima kasih itu?”

“Sebab kau selalu ada.” Parau nada suara Qara. Sedaya mungkin, dia menahan tangis.

Mata Dhia kembali memerah. Kedua-dua tangan Qara digenggam erat. Dia terlalu sayangkan Qara. Untuk kawan baiknya itu, dia sanggup melakukan apa saja. Malah kalau Qara mahukan Akid, dia sanggup beralah. Tapi dia tahu Qara tidak mungkin berbuat begitu kerana Qara juga mahu melihat dia gembira.

“Qara...”

Qara menghela nafas panjang dan melepaskannya berat. Mata dihalakan jauh di hadapan. Yang kelihatan hanya kosong.

“Kau okey?” Dhia tahu dia bertanyakan soalan bodoh. Mana ada orang yang baru putus cinta akan okey dalam sekelip mata. Tapi lidah tidak bertulang miliknya memang sukar diajar.

“Pernah kau kenal sesiapa yang mati lepas putus cinta?”

“Tak pernah.”

“Aku pun tak pernah dengar lagi. Maknanya, aku pun tak akan mati hanya sebab putus cinta.”

Qara ketawa perlahan, namun bibir Dhia hanya terkunci. Tidak sampai hati hendak ikut ketawa kerana dia tahu ketawa Qara, ketawa orang yang terluka. Kawannya itu bukan ketawa sesungguh hati.

Abang, kenapa abang tergamak buat Qara macam ni? Kesian Qara...

Perlahan-lahan ketawa Qara mereda. Canggung pula rasanya bila dia hanya ketawa sendiri. Sedangkan Dhia memandang mukanya dengan pandangan simpati yang melimpah-ruah. Lalu, kedua-dua tapak tangannya dibawa ke muka. Diraup beberapa kali dengan harapan segala kesedihannya akan pergi. Malangnya, sedihnya kekal seperti tadi.

Lemah saja gerakkannya ketika meletakkan kepalanya di atas lutut.

“Qara...” panggil Dhia perlahan.

“Hati aku, hati aku luka Dhia,” luah Qara perlahan. Muka masih disembamkan ke lutut. “Tapi hati aku luka bukan sebab putus cinta. Hati aku luka sebab Syahil tolak aku sebab kemewahan,” luah Qara tersekat-sekat. Bibir matanya terasa panas. Sekuat mana pun dia, dia masih punya hati dan perasaan.

Bukan tak pernah dia berangan-angan punya sebuah keluarga bahagia bersama-sama Syahil. Selalu. Kini, semua angan-angannya ranap.

Dhia yang mendengar gigit bibir. Kalau Syahil ada di hadapannya, dia berjanji akan menghadiahkan abangnya itu dengan buku limanya. Biarkan Syahil jatuh tersembam dan tidak boleh bangun lagi.

“Salah aku ke bila ALLAH pilih aku untuk jadi anak yatim piatu?”

Tidak ada balasan kata daripada Dhia. Air matanya sudah bergenang di sekitar mata. Kalaulah Syahil melihat keadaan Qara ketika ini, tentu abangnya akan menarik semua kata-kata yang menjadi racun bagi Qara.

“Tak ada seorang pun manusia dalam dunia ni yang minta dilahirkan sebagai anak yatim piatu. Tapi kalau dah ALLAH tetapkan macam tu, siapa aku nak tolak takdir yang datang?”

Bahu Qara sedikit bergegar. Dia berusaha menahan tangis, namun gagal juga. Dua tahun bertemankan Syahil. Hidup dengan bayang-bayang lelaki itu. Kini dia harus belajar mengenyahkan bayang-bayang itu. Memang bukan mudah, tapi dia harus melakukannya. Syahil dan cerita cinta mereka harus dibakulsampahkan. Tidak ada ruang dalam hatinya untuk menyimpan cinta yang tidak ada harga.

“Tapi... tapi Syahil tak fikir macam tu. Bagi dia, status anak yatim piatu tu bagaikan hukuman seumur hidup untuk aku. Dia takut hidup melarat di sisi aku,” luah Qara terus.

Meluncur laju air mata Dhia. Sedih Qara bermakna sedih dia juga.

“Dia kata keluarga Elma kaya...”

“Qara, jangan luah kalau tu akan buat kau lebih sakit,” larang Dhia.

“Aku tak apa-apa. Kau jangan bimbang.”

Sejujurnya Dhia sudah tidak sanggup mendengar luahan Qara. Luahan itu terasa menikam tajam ke hatinya. Dia rasa bersalah pada Qara walaupun dia tidak pernah mengharapkan Syahil mengejar Qara. Dia bimbang ditakdirkan hubungan Qara dan Syahil tidak ke mana, dia dan Qara akan bermasam muka.

Hatinya gusar tiba-tiba. Apakah selepas hari ini, dia dan Qara akan memilih haluan yang berbeza? Mungkinkan kerana kecewa dengan Syahil, Qara membalas rasa kecewa itu padanya?

Kepala Dhia menggeleng laju, walaupun Qara tidak melihat.

Dia tidak mahu hilang Qara hanya semata-mata disebabkan sikap pentingkan diri Syahil.

“Qara... Qara...” Dhia goyang-goyangkan bahu Qara, keras. Dia mahu melihat muka Qara.

Namun Qara terus mengeraskan badan. Dia malu jika Dhia melihat tangisannya yang seperti tidak mahu berhenti. Syahil hanya teman lelakinya, bukan tunang jauh sekali suami. Patutnya dia tidak boleh menangis begini gara-gara ditinggalkan lelaki itu.

“Qara... Qara pandang aku!” desak Dhia.

“Jangan dulu Dhia. Biarkan aku macam ni sekejap,” pinta Qara perlahan.

“Tak boleh! Kau kena pandang aku, Qara.”

Qara menggeleng dalam keadaan yang tidak berubah. Kepalanya terasa berdenyut-denyut sedikit. Mungkin kerana dia sudah terlalu banyak mengalirkan air mata hari ini. Malah diam-diam di ketika ini, dia berharap air matanya mengering terus. Dia sudah tidak mahu menangis lagi sampai bila-bila.

Tapi itu mustahil kerana dia hanya manusia biasa. Qara Nisa yang memang akan menangis bila terasa hati dicarik.

“Qara jangan macam ni. Tolonglah! Tolonglah jangan tinggalkan aku sebab abang aku. Tolonglah Qara...”

Tangan Dhia sudah melepaskan bahu Qara. Laju jari-jemarinya menyeka pipinya.

“Kau... kau tak boleh buat aku macam ni Qara. Bukan aku yang suruh abang aku pilih Elma. Bukan aku,” luah Dhia sambil menangis.

Qara sapu pipinya dengan belakang tangan. Kata-kata Dhia agak aneh di telinganya. Lantas kepala dipanggung. Lencun air mata di pipi kawan baiknya itu membuatkan dahinya sedikit berkerut.

Dia, atau Dhia yang ditinggalkan Syahil?

“Dhia...”

Laju Dhia memegang lengan kanan Qara. Tidak mahu Qara meninggalkannya, melupakan persahabatan mereka selama bertahun-tahun. Tajam matanya yang berair merenung mata Qara yang merah.

“Jangan hukum aku sebab abang aku, Qara. Aku tak salah...”

Dahi Qara makin berkerut. Dengan tangan kirinya, dia menyapu air mata Dhia yang bagaikan tidak mahu berhenti mengalir.

“Bila masa aku nak hukum kau?”

“Kau tolonglah jangan tinggalkan aku, Qara. Kalau kau tak ada, aku nak kawan dengan siapa?”

“Kau merepek apa ni Dhia?” Hatinya sedih, tapi tercuit juga dengan repekkan Dhia yang tidak difahami.

“Tolonglah...”

“Dhia... aku kenal kau lebih lama daripada aku kenal Syahil. Datanglah 10 orang Syahil pun dalam hidup aku dan kemudian seorang demi seorang patahkan hati aku. Tetap juga itu tak akan mengubah apa-apa. Kau, kawan aku dunia dan akhirat.”

“Betul?”

“Demi ALLAH!”

Terus Dhia memeluk sekujur tubuh kurus tinggi milik Qara, sekali lagi.

“Semoga ALLAH selalu menjaga kau, Qara...” bisik Dhia perlahan di tepi telinga Qara.


“Dan semoga ALLAH jagakan kau melebih DIA jaga aku,” balas Qara sedikit tenang.