Showing posts with label DALAM PROSES. Show all posts
Showing posts with label DALAM PROSES. Show all posts

- CeRiTa SeMaLaM -

July 21, 2010

Kata orang semalam dah berlalu, tak usah dikenang kalau sekadar nak menambah gundah di hati. Kata aku, semalam memang pun dah berlalu, tapi semalam yang satu itu, agak kelakar, sedih, gembira, geram, sakit hati dan pendek kata, penuh dengan segala macam ragam yang menduga hati seorang Marwati Wahab @ Aleya Aneesa.

Puku 12.00 malam tepat, 20 Julai 2010! Yang ada di kepala dua raut wajah yang punya tempat istimewa dalam hati aku. Jaja & Siti. Dua manusia yang pernah melakar sejarah dalam hidup. SMS diaorang, ucap selamat hari lahir dan berharap mereka berdua panjang umur, murah rezeki & selalu ada dalam rahmat ALLAH. Untuk Jaja, sepupu merangkap kawan rapat aku dari kecil lagi, yang sama-sama dengan aku dah menggemparkan satu kampung dulu, “ Ja... jarak & waktu tak mungkin menjadi pemisah untuk persahabatan kita. Jauh mana pun awak, kami... kita pergi, satu yang pasti hati kita masih sama & insya-ALLAH akan tetap sama walau ada masa-masanya, kita saling bertingkah. Satu yang awak mungkin lupa, kami sayangkan awak, selalu sayangkan awak.”

Pukul 1.50 pagi, novel Tak Secantik Husna, karya Ainul Hazrah selamat sampat halaman akhir. Pun aku senyum juga sebab aku rasa terhibur dengan novel ni. Tak terlalu berat sampai perlukan aku berfikir, berfikir dan berfikir. Satu yang pasti, aku baca novel ni asalnya semata-mata sebab tajuk novel tu. Nama Husna tu yang menguja aku, tak boleh tak beli sebab nama tu ingatkan aku pada anak buah aku yang pertama, Nurul Husna. Mujur juga cerita tu kena dengan jiwa aku, tahniah pada penulis yang masih belum sempat aku kenal ni. Satu sebab lain, dah terlalu banyak koleksi novel yang belum sempat baca. Jadi, mau atau tidak... aku mesti habiskan sebelum beli yang lain. Cumanya, alahai...

Pukul 5.45 jam bunyi, suruh aku bangun, mandi dan bersiap-siap. Aku sedar, duduk dalam rupa ayam yang dah lama tak makan, tak pun lebih teruk dari rupa ayam tu sendiri. Dalam hati berdetik, “Mengantuknya, malasnya nak pergi pejabat hari ni. Nak sambung tidur lagi”. Tapi nak salahkan siapa bila aku masih gagal buang habit yang satu itu, habit suka menghabiskan novel yang aku baca dalam masa 1 hari macam esok dah tak ada hari lagi. Dah lama nak cuba kikis habit tak elok ni, tapi sampai sekarang mimpi cuma tinggal mimpi semata-mata. Tapi kalau tak habiskan, nanti novel tu kacau tidur yang memang dah macam tidur-tidur ayam.

Lepas tu, masuk bilik air, buka paip. Air tak ada. Setitis pun tak ada! Rasa nak meraung kuat-kuat. Lepas tu dengan hati berdebar-debar keluar dan tengok meter air, manalah tahu ada orang yang saja tak ada kerja, tapi semuanya elok. Sudah, air memang betul-betul tak ada ni! Hati masih berkira-kira nak kerja ke tak, dalam masa yang sama terfikir cuti yang dah tinggal nyawa-nyawa ikan. Tapi takkanlah pula pergi kerja tak mandi. Kenangkan masa yang dah makin berlalu, aku capai mana-mana yang patut termasuk tuala, masukkan dalam beg dan start enjin pergi opis. Dan sudahnya, air kat opis jadi mangsa aku. Mujur juga aku memang aku yang selalu datang awal, kalau tak memang haru.

Pukul 1.00 tengah hari, Ainina yang mendengar bunyi yang lahir daripada pertembungan kepala Annura dan kerusi jati miliknya, ketawa perlahan. Annura dalam tenang, ada masa-masanya pandai juga membuat orang lain ketawa. “Kalau pun tengah bengang, janganlah seksa diri sendiri,” usiknya pada Annura yang tetap juga selamba memandangnya. “Kalau kepala tu sakit, cakap ajelah sakit. Kak long tak ketawakanlah,” sambungnya lagi. Namun usai berkata-kata ketawanya meletus juga.

5.30 petang lepas mandi dan siap semua, on PC dengan niat nak menyambung TDH sebab semangat tengah berkobar-kobar. Tapi tengok keadaan kat luar yang dah gelap, impian hanya tinggal impian. Tiba-tiba rasa takut sendiri, dari atas nampak hujan lebat dengan angin yang kencang sangat sambil diiring dengan bunyi macam siulan. Terus PC aku off balik & impian hanya tinggal impian.

Sudahnya, capai pula mini novel Kak Qaseh Qaisara berjudul Hajat Hati. Macam biasa, Kak Qaseh selalu tahu macam mana nak buat aku ketawa. Walau dia berkisah tentang budak sekolah, hati aku tetap juga tertawan. Sungguh... hari aku semalam berakhir dengan macam-macam cerita.

- BeNaR-bEnAr SeTeNgAh TaHuN-

June 3, 2010

Jun @ setengah tahun 2010 benar-benar dah menjelma. Syukur sampai ke saat ini, aku masih mampu bernafas dan meneruskan hidup yang tak pernah sunyi daripada cubaan dan dugaan. Dan aku tetap berharap, selepas ini aku mampu juga mengharungi hari-hari yang mendatang dengan hati yang lebih lapang kerana yang dinamakan manusia itu tidak pernah tidak diuji oleh DIA yang Lebih Tahu.

Hari ni, genap seminggu aku duduk di rumah baru. Hanya sebuah rumah kecil yang punya banyak tingkat, tapi aku tetap mampu tersenyum senang. Akhirnya selesai juga segala-galanya. Letih memang sangat letih, tapi aku tahu aku bahagia, sangat bahagia. Bila merenung setiap isi rumah, senyuman aku jadi tambah lebar. Hati sering berdetik, “Itu semua aku beli dengan tulang empat kerat sendiri, dengan susah payah tanpa bantuan daripada sesiapa.” Ya, kalau bukan berusaha sendiri, pada siapa lagi nak berharap? Pada orang tua? Mungkin tidak sebab aku tahu tahap kemampuan mereka setakat mana. Lebih daripada itu, cukup-cukuplah selama ini mereka memberi segala yang mereka punya untuk manusia yang bernama anak-anak. Biarlah yang dinamakan anak-anak pula yang memberi pada mereka.

Dan kegembiraan aku tak habis setakat itu bila bonusnya, aku akhirnya kembali berani pegang stereng kereta, setelah bertahun-tahun hanya mampu pandang kereta yang ada dengan hati yang berbuku di dada. Sakit rasanya bila kita ada sesuatu yang patut dan boleh digunakan, tapi kita tak mampu hanya gara-gara peristiwa kecil. Lemah rasanya bila kita ada kereta tapi terpaksa berharap bantuan orang lain. Tapi sungguh, aku memang fobia nak sentuh stereng kereta. Nak kata aku tak bijak, ikut sangat rasa takut atau apa saja, aku tak peduli sebab yang rasa hanya aku, bukan orang lain. Mana ada orang yang beli kereta semata-mata nak pandang?

Tapi sekarang ni, syukur... kemahiran memandu aku memang masih lintang-pukang, parking pun terkial-kial, bawa kereta pun macam siput sedut, kena hon pun tak payah ceritalah, tapi aku tak kisah sebab itu lebih baik daripada langsung tak bawa. Sekurang-kurangnya, aku tak lagi sakit hati setiap kali tengok kereta tu tersadai kat rumah abang aku. Lagipun kesian dia, nak jaga kereta sendiri, nak jaga kereta aku lagi. Dia tak kata apa, tapi aku tak tergamak nak terus bebankan dia. Banyak lagi kerja yang dia boleh buat selain daripada menjaga kebajikan kereta tu. Thanks ya... jagakan kereta Ami selama 3 tahun lebih. Mesti Danish sedih tengok kereta tu tak ada kat garaj rumah dia.

Dan untuk dunia penulisan aku, selepas kisah Zuyyin & Yazzer bertemu titik akhir, aku masih belum memulakan kisah Annura & Dinzley yang drafnya dah lama selesai. Memang akhir-akhir ini aku dah mula menjinakkan diri dengan dua watak utama tu. Harap semakin dekat dengan mereka, semakin mudah untuk aku menyelesaikan misi yang aku cipta untuk mereka. Tapi dalam keadaan sibuk dengan majlis kahwin Angah, mahu atau tidak, aku baru boleh memulakan perjalanan manuskrip tanpa tajuk itu bulan Julai nanti. Harap aku mampu siapkan kisah mereka dalam masa tiga bulan selepas itu dan harap segala-galanya akan berjalan dengan lancar.

- TeMpAt JaTuH lAgI dIkEnAnG... -

May 31, 2010

Khamis, 27 Mei 2010 akhirnya penantian selama setahun dari tempoh booking hingga siap, berakhir sudah. Rela campur tak, aku terpaksa juga ucapkan selamat tinggal pada rumah sewa yang dah memayungi aku selama hampir 4 tahun sejak aku mula jadi warga DBP.

Rumah tu mungkin hanya rumah flat, tapi... rumah flat tulah yang jadi tempat aku berlindung dari panas dan hujan. Memang bukan rumah baru, tapi... aku selesa, sangat selesa tinggal di situ. Penghuninya silih berganti, ada Tina, ada Ika, ada Biha, ada Ros & ada Kak Zie, tapi aku tetap setia di situ, menjalani hidup seiring dengan penghuninya yang hanya sama pada rambut, tapi pasti lain di hati.

Di bilik kecil itulah, aku menjalani rutin harian. Di situ, aku tidur, aku membaca & paling penting, itu jugalah tempat aku menulis hampir setiap hari bila mood ada di tengah-tengah kesibukan yang melanda. SEGALANYA UNTUKMU, HANYA DIA TAHU, AKU MAHU KAMU, SUDI JADI CINTAKU... semuanya lahir di bilik yang sama.

Dan di bilik yang sama, ada tawa, ada tangis, ada suka & ada duka. Bahkan pernah jadi saksi bertapa aku pernah baring & berharap aku akan terus tertidur selama 3 hari. Anehkan? Tapi aku hanya manusia biasa yang ada masa-masanya rebah dengan ujian yang datang, lalu berharap pada sesuatu yang tak sepatutnya jadi nyata. Tapi syukur... sampai ke hari ini aku masih bernafas dengan selesa. 3 hari yang aku harapkan masa jiwa kacau, tak pernah muncul & aku harap tak akan pernah muncul.

Apa pun, aku harap... di tempat baru ni, hidup yang bakal aku jalani akan lebih bermakna. Jatuh & bangun, lumrah hidup... tapi kalau pun memang jatuh, aku harap aku akan bangun, bangun & terus bangun sebab kenyataannya, hidup tetap perlu diteruskan selagi masih bernyawa.

- AkU, kAk EmI & nOvEl -

May 26, 2010

Aku tak kenal dia siapa & dia tentu juga tak kenal aku dengan baik sebab selama ni kami hanya berbalas senyum, aku cakap aku nak makan apa dan dia macam biasa tetap setia dengan pen dan kertas di tangan dengan soalan, “Adik nak makan apa hari ni?”. Tapi yang aku pasti, namanya Emi sebab aku dengar orang panggil dia dengan panggilan itu, jadi sejak detik itu, aku kenali dia dengan panggilan Kak Emi. Lagi yang aku jelas, dia salah seorang daripada warga Indonesia yang ramai di Malaysia, datang dengan niat mahu membantu keluarga di kampung.

Semalam, macam biasa aku datang ke kedai makan yang sama. Memang niat nak berjumpa dia. “Novel apa ni?” Dia tanya pada aku & aku balas, “Ambillah... saya bagi Kak Emi”. Riak wajah dia nampak terkejut, tapi dia tersenyum. “Banyaknya! Nak bagi Kak Emi ke?” Aku senyum, “Ambillah... novel-novel ni saya tulis sendiri. Esok saya dah tak duduk sini lagi.” Dia capai tiga buah novel yang aku hulur, aku tengok mata dia berkaca. Entahkan terharu, entahkan sedih aku tak pasti, tapi berkali-kali juga tangan dia mengelap mata. Hanya yang aku tahu, aku selalu nampak dia dengan senaskhah novel di tangan. Katanya masa aku tanya dulu, dia suka baca novel & masa tu aku cuma senyum tanpa mengulas apa-apa. Tapi diam-diam aku tekad, kalau aku tak duduk lagi di situ, aku akan bagi dia novel sebab selama beberapa tahun tinggal di situ dan makan di kedai yang sama, layanan dia pada aku tak pernah kurang, tetap juga melayan pesanan aku dengan senyuman walaupun riak penat jelas tertera di wajah.

Sekarang, salah satu niat yang dah aku simpan lama, dah tertunai. Mungkin itu hanya pemberian kecil yang tentu saja tak akan memberi makna apa-apa, tapi sekurang-kurangnya pemberian kecil tu dah buat dia tersenyum lebar masa aku tinggalkan kedai tu dengan sebungkus mi hailam di tangan. Pesan dia pada aku, “Nanti kalau terserempak dengan Kak Emi, adik tegur-tegurlah ya?” Aku tetap juga tersenyum, selama ni dia memang tak pernah tahu pun nama aku, jauh sekali tahu yang aku penulis. Tapi sebab lepas ni dia mungkin tak akan jumpa aku lagi, aku tebalkan muka juga (walaupun rasa malu sangat) bagi tahu supaya dia tak pelik bila aku beri tiga buah novel yang ditulis oleh penulis yang sama.