EBOOK: HUD SUAMI IRIS (BAB 4)

March 30, 2023


IRIS memejamkan mata rapat-rapat. Tak mahu memikirkan apa-apa lagi. Yang dia tahu, dia hendak tidur. Empat malam menjadi isteri Hud, empat malam tidurnya tak lena. Bukan kerana Hud mengganggu tapi dia yang rasa terganggu. Tak selesa sedangkan Hud lena sampai ke subuh. Desisan nafas Hud pun nampak sekata, sama dengan turun naik nafasnya.

Dia pula lebih banyak berjaga daripada tidur. Sekarang, dia hendak tidur. Tentang masa yang Hud bagi, lantaklah. Hatinya masih sakit mengenangkan kejadian di meja makan pagi tadi.

“Woi... kau dah siap kemas ke belum?” tanya Laila sambil melipat baju di tangan.

“Belum.”

“Habis tu bila nak mula kemas? Nak balik pukul berapa pula?”

Mata Iris terbuka tiba-tiba. “Bila kau tanya macam tu, aku rasa macam aku kena halau cara lembut.”

“Merepek!” selar Laila.

“Aku penatlah Laila. Aku nak tidur sini malam ni.”

“Hud bagi ke?”

“Peduli apa aku dengan Hud tu.”

“Berdosa tau tidur sini tanpa izin Hud. Kau, kan pernah kata nak jadi isteri terbaik?”

“Memanglah tapi aku tak kata nak jadi isteri terbaik kalau suami aku nama Hud,” balas Iris dalam nada menyampah.

Dia ingat apa yang dikatakan kepada Laila. Tapi ketika itu, mana dia tahu yang dia akhirnya akan tinggal sebumbung dengan Hud. Selepas ditolak tiga kali, Hud telah dicampak jauh-jauh daripada hidupnya.

“Teruk sangat ke jadi isteri Hud?”

“Jadi isteri Hud dah sangat teruk. Ada mak mentua macam mama Hud, dua kali ganda teruk.”

“Papa Hud?”

“Tu lagi satu hal. Tak tahu apa sebenarnya yang dah jadi, rupanya papa Hud pernah kata nak kahwin dengan aku. Tak ke gila namanya?”

Mulut Laila melopong. “Itu ke punca sampai tiba-tiba Hud masuk meminang kau? Tak nak kau dengan papa dia?”

“Yelah kut. Macamlah aku ni gila harta sangat.”

“Bukan kau memang gila duit ke?” Laila ketawa kecil.

Kenal Iris sejak zaman universiti, dia tahu betapa rajinnya Iris mencari duit. Pantang jika cuti hujung minggu. Bila ditanya untuk apa duit banyak-banyak, Iris hanya kata senang kalau dia hendak makan ayam goreng McD. Tak perlu minta kepada orang tuanya.

Iris yang mendengar kata-kata Laila, ikut ketawa sama. Siapa sajalah di dalam dunia ini yang tak sukakan duit.

“Tapi lantaklah, aku tak nak fikir apa-apa. Nak tidur aje puas-puas. Esok pagi baru aku balik.”

“Kalau Hud...”

“Jangan sebut nama dia, nanti dia datang!”

Iris letak jari telunjuk di bibir. Rimas mendengar nama Hud terus-terusan disebut Laila. Cara Laila, macamlah dia isteri kesayangan Hud. Sedang hakikatnya, pantang bertemu muka ada sahaja kata-kata yang menyakitkan hati, Hud lemparkan padanya.

Kemudian dia bangun. Lambat-lambat langkah diatur menuju ke biliknya. Mata benar-benar sudah tak boleh diangkat lagi.

Tapi masihkah biliknya lagi? Entah, dia tak nak memikirkan tentang itu.

“Jangan kunci pintu!”

Sayup-sayup Iris mendengar jeritan Laila, tapi tangannya sudah pun memulas tombol pintu lalu dikunci rapat. Tak mahu Laila mengganggunya. Malam ini, malam untuk dia mengecas tenaga yang makin kurang. Biar tak lemah bila terpaksa berperang dengan Hud dan Puan Kasmina.

Baru selimut ditarik menutupi dada, telefonnya berbunyi.

‘Masa kau tinggal lagi dua jam aje. Jangan nak mintak masa tambahan pula!’

“Ingat ni main bola ke ada masa tambahan bagai?” bebel Iris sambil mencebikkan bibir. Tapi dia tak membalas WhatsApp Hud.

Saat mata dipejamkan rapat, sekali lagi telefonnya berbunyi.

‘PEREMPUAN GEDIK! KAU NAK BERTAHAN LAMA MANA LAGI? CEPATLAH BERAMBUS DARIPADA HIDUP HUD. DASAR, GATAL!’

“Hem... siang tadi mama Hud kata aku miang, ni kekasih Hud pula kata aku gatal. Lantak koranglah. Hati tengah patahlah tu.”

Nombor yang tidak dikenali itu, disekat. Kemudian dia matikan telefon bimbitnya. Dia mahu bermimpi mengejar pelangi, walau dia tahu payah.

 

TERKEJUT, bingkas Iris bangun. Telinganya bingit mendengar pintu yang diketuk bertalu-talu. Sesekali kedengaran seperti ditendang perlahan. Anehnya, tak pula dia mendengar suara sesiapa.

Laila ke di luar sana?

Ke Hud dah sampai ni?

Dengan rasa kecewa kerana tak sempat pun bermimpi mengejar pelangi, Iris atur langkah. Lalu kunci pada pintu dibuka. Panjang keluhannya bebas ke udara saat raut masam mencuka Hud menyapa mata.

“Kau buat apa buka pinta lambat sangat?” tanya Hud dalam nada geram.

“Tidur!” Sepatah Iris balas. Dia meraup mukanya beberapa kali.

“Tidur?”

“Ngantuk, aku tidurlah.”

Terjegil mata Hud menatap Iris. Bila Iris dilihat menapak ke dalam bilik, dia menutup pintu bilik rapat. Tak mahu suara dia dan Iris sampai ke telinga Laila.

“Kan, aku bagi kau masa tiga jam aje? Macam mana kau boleh sampai tidur?”

Iris jeling jam dinding berwarna putih. Jarum jam tepat ke angka 9.00 malam. Lama juga dia tidur. Tapi anehnya, letihnya masih bersisa.

“Dahlah tidur, hp pula mati. Kau sengaja nak cabar aku ke apa ni?”

“Aku ngantuklah Hud sebab tu aku tidur.”

“Kalau ngantuk, balik rumahlah. Siapa yang suruh kau tidur kat sini?”

Apa bezanya tidur sini ke tidur sana? Sama ajelah bagi aku.”

“Aku ni suami kau tau?”

“Jadi?”

Geram Hud dengan kata-kata dan tingkah Iris yang selamba. Tak berasa bersalah walaupun sebesar zarah. Padahal, dia langsung tak dapat melelapkan mata bila Iris tak dapat dihubungi. Bimbang kalau-kalau Iris tertimpa musibah dalam perjalanan balik ke rumah.

“Kau kalau mati sekarang, masuk neraka sebab melawan aku,” marah Hud.

Perkataan neraka sedikit menjentik hati Iris. Seberani mana pun dia melawan Hud, tetap juga dia takut masuk neraka kerana matlamat orang Islam, tentunya Syurga Firdaus tanpa hisab.

“Kalau macam tu aku minta maaf tapi kau tak boleh masuk rumah anak dara macam ni. Orang nampak, macam-macam pula dikata nanti.”

“Aku tak peduli!”

“Kau memang degil!”

“Lantaklah. Yang aku tahu aku cari isteri yang baru nikah dengan aku tapi isteri aku tak reti-reti cari jalan balik sampai terpaksa kena susul.”

“Aku dah minta maaf, kan? Nak ungkit lagi buat apa?”

“Lain kali kau buat lagi macam ni memang kau sengaja mencari fasal dengan aku.”

Nada Hud yang masih berselirat marah, buat Iris terasa seperti sedang diugut. Sedangkan Hud bukannya suka padanya. Dia balik atau tidak sepatutnya Hud tak terjejas apa.

“Kau risaukan aku ya Hud?” 

“Dalam mimpi kau mungkin ya. Tapi realitinya jangan harap. Kau ada atau tak ada, aku tak peduli. Tapi telinga aku bingit nak dengar papa membebel. Susah hati agaknya buah hati dia ada kat luar malam-malam buta.”

Hud tipu bila dia menyebut nama papanya. Yang sebenarnya, memang dia risaukan Iris. Inikah yang dialami semua suami di dalam dunia ini? Tapi aku tak sayangkan Iris, kenapa perlu ada rasa macam ni?

“Aku nak tidur sini malam ni.”

“Bangun! Ikut aku balik sekarang. Aku tak nak kena marah dengan papa sebab kau.”

Benci betul Iris dengan kata-kata Hud. Sudah dijelaskan yang dia tak pernah ada hati pada papa Hud, tetap juga Hud dan Puan Kasmina tak mahu percaya.

“Aku tak kemas barang lagi.”

“Tinggalkan semua. Nanti aku beli baru.”

Tak peduli pada Hud, Iris terus mengemas bajunya. Tak mahu terhutang budi dengan Hud. Lagipun perkahwinan cara dia dengan Hud, entah sampai bila agaknya boleh bertahan. Dia tak mahu ada apa-apa kenangan dengan Hud, termasuk sehelai baju.

READY FILE. Berminat boleh klik ORDER HSI

No comments:

Post a Comment