EBOOK: HUD SUAMI IRIS (BAB 3)

March 30, 2023


“PEREMPUAN sekarang ni memang ramai yang muka tak tau malulah Hud. Sebab nak hidup senang, tergedik-gedik dengan laki orang. Tak kira laki orang tu tua ke muda. Janji boleh dapat duit banyak. Miang gila!”

Terketar sedikit jejari Iris dengan kata-kata Puan Kasmina. Tahu, ibu mentuanya itu sengaja menyindirnya. Sesungguhnya, seawal pagi dihidangkan dengan kata-kata yang pedih, dia tak suka.

“Mama cakap pasal Iris ke?” Hud bertanya kepada mamanya, tapi mata hala ke arah Iris. Senget senyuman sinisnya.

“Iris tak terasa pun,” balas Iris selamba.

“Sebab Iris memang tak tau malu,” selar Puan Kasmina geram. 

Ini menantu atau hantu?

“Bertepuk sebelah tangan mana berbunyi mama. Kena tepuk dua-dua barulah sedap bunyinya.”

Iris capai nasi lemak di dalam mangkuk, lalu disendukkan ke dalam pinggannya. Kemudian diambil sambal udang, dicapai timun dan ikan bilis. Akhir sekali, dia memenuhkan pinggannya dengan kacang tanah goreng.

Puan Kasmina pandang Hud. Tak percaya dengan apa yang telinganya dengar. Iris memang berani.

“Kalau aku miang, papa pun samalah, kan Hud?”

Kali ini, Hud balas pandangan Puan Kasmina. Terkedu sehingga tak tahu hendak membalas apa pada pertanyaan Iris.

Adakah Iris tak bergurau ketika berkata akan membalas setiap kata-kata mamanya?

Iris terus menyuap nasi lemak ke mulut. Lewat ekor mata, dia nampak Hud dan Puan Kasmina yang terkejut dengan kata-katanya. Tipu kalau dia kata dia tak sakit hati dengan anak dan mama itu, tapi disabarkan sahaja hatinya.

Meskipun dua lawan satu, dia akan pastikan mama dan anak itu tak akan menang di tangannya.

“Iris jangan cakap macam tu depan papa!”

“Kenapa tak boleh? Mama cakap bukan-bukan pada saya boleh pula?”

“Ada ke mama sebut nama Iris tadi?”

“Alah... Hud pun tau mama mengata saya. Takkanlah saya, tuan punya badan tak tau pula,” jawab Iris tak mahu mengalah.

“Kenapa nak babitkan aku pula? Lagipun siapa yang makan cili, dialah yang rasa pedasnya.”

“Kau yang sebut nama aku dulu tadi, kan?”

Sesudu lagi nasi lemak, Iris suap ke mulut. Dikunyah sekali, kemudian terus ditelan laju-laju.

“Macam ni ke cara menantu layan mentua?”

“Mama yang mulakan dulu. Kalau mama layan saya baik, saya akan balas 10 kali ganda lebih baik.” Iris masih tak mahu mengalah.

“Maknanya kalau mama layan kau 10 kali jahat, kau akan balas 10 kali ganda juga?”

“Jangankan dengan mama, dengan kau pun sama.”

Sesudu lagi nasi lemak, Iris masukkan ke dalam mulut. Tak sempat kunyah, dia terus menelan. Berkerut-kerut mukanya kerana tekaknya terasa sakit. Kalaulah dia tahu ini yang bakal jadi di meja makan, dia lebih rela menyambung tidur.

“Bini Hud ni teruk betullah,” kutuk Puan Kasmina sambil menjegilkan mata.

Iris telan lagi nasi sesudu dengan rasa geram. Kali ini, dia tersedak sehingga terbatuk-batuk. Tekaknya perit. Anehnya, hatinya di dalam jauh lebih perit dibandingkan tekaknya kala ini.

“Nah... minum air ni,” suruh Hud bila dilihat mata Iris sudah mula berair.

“Tu sebab kurang ajar dengan Hud dan mamalah tu,” ejek Puan Kasmina.

Hud terus menyua air Milo suam kepada Iris. Sakit hati dengan kata-kata Puan Kasmina, Iris tolak perlahan tangan Hud. Dia benci kerana dia tahu Hud berbuat baik begitu untuk menyakitkan hatinya.

“Tak payah nak tunjuk baik. Tak kelakar!” kata Iris sambil menyeka mata.

Sesungguhnya, dia tak pasti air matanya mengalir untuk apa. Adakah kerana tekak yang masih perit? Atau, perkahwinan yang tak pernah dipinta ini?

“Minum ajelah,” suruh Hud terus. Melihat Iris begitu, hatinya jadi tak sampai hati.

Seperti tadi, Iris tetap menolak. Tajam matanya merenung Hud.

“Minumlah!”

“Degil!” Puas Kasmina terus memandang Hud yang nampak beria menyuruh dan Iris yang terus menolak.

“Aku kata tak nak tu tak naklah.” Usai berkata, Iris terus terbatuk-batuk.

Kali ini, Hud terus suakan cawan ke mulut Iris. Bila Iris menolak, dia menekan sedikit cawan itu ke bibir Iris sehingga isterinya itu tak mampu lagi menolak. Saat air melepasi kerongkong Iris, dilihat setitis air mata Iris mengalir di hujung mata. Entah kenapa hatinya terasa seperti tercucuk duri.

Rasa apa ni? desis hati kecil Hud. Dia menggeleng sekali. Bila Iris menolak perlahan tangannya, dia meletakkan cawan di hadapan.

“Tak payahlah layan Iris tu baik-baik Hud. Dia bukan sukakan Hud pun. Hati dia, dia dah bagi papa.”

“Hud pun tak suka kat Iris, mama. Terpaksa aje.”

“Tak habis-habis lagi ke? Depan rezeki pun tak berhenti bercakap,” sindir Iris sambil menjeling Hud.

Dia baru hendak berasa terharu kerana Hud memberikannya air Milo tadi. Kini, rasa terharu itu dicampak jauh-jauh. Benci pula dia mengenangkan air mata yang gugur. Patutnya perit macam mana pun tekaknya, dia perlu bertahan. Sakit macam mana pun hatinya, dia perlu mempamerkan rupa selamba.

“Yang tersedak tadi tu Iris, bukan mama.”

“Saya malaslah nak ulang banyak-banyak kali. Kalau mama nak tahu, saya tak pernah pun ada hati pada papa.”

“Ingat mama nak percaya?”

“Kalau mama tak nak percaya terpulanglah. Tapi jangan mama anggap apa yang mama percaya tu betul. Ya, memang saya gilakan duit sebab orang gila pun suka duit. Tapi kalau sebab duit aje saya nak kena serahkan hati saya, badan saya kat orang tua sebaya ayah saya, minta maaf... saya tak sanggup!”

Panjang lebar kata-kata Iris, namun setiap butir kata itu Hud dengar dengan jelas. Sungguh, dia terkejut dengan keberanian Iris membalas kata-kata mamanya. Padahal di matanya, mamanya itu sudah cukup garang. Kalau dulu, pantang jika dia tersilap kata atau tingkah, cepat sahaja jejari mamanya mencubitnya.

Nampaknya betul-betul Iris yang duduk di sisinya ini berbeza dengan Iris yang pernah duduk di meja bersebelahan dengannya di zaman sekolah dulu.

“Tu mulut kata lain hati kata lainlah tu. Ingat mama bodoh ke nak percayakan Iris?”

“Kalau tak percayakan saya, tak apalah. Tapi takkanlah mama tak percaya pada suami sendiri?”

“Sebab papa kata sendiri kat mama, papa nak kahwin dengan Iris!”

Berdesing telinga Iris dengan kata-kata Puan Kasmina kali ini. Selama ini memang dia baik dengan Tuan Malek. Tapi layanan bapa mentuanya itu lebih kepada anak dan bapa. Diakah yang tak sedar selama ini? Atau, bapa mentuanya itu sebenarnya yang salah faham?

“Mana papa? Saya nak tanya papa sendiri.”

“Dah keluar awal pagi tadi. Patah hati sebab kau jadi menantu dia tak?”

“Gila!” selar Iris pada Hud. Katalah dia kurang ajar pun, dia tak peduli. Sabarnya ada batas. Kalau dilanggar, dia balas.

“Mulut kau ni kan...”

“Habis tu mulut kau dengan mama macam mana pula? Seteruk-teruk aku ni aku tak mengata orang. Bukan macam kau dan mama, mengata depan-depan. Lagi satu, aku pun ada taste juga. Daripada goda papa, lebih baik aku goda lelaki kaya yang lebih muda dan handsome. Sedap mata aku pandang.”

“Gatal!” ejek Puan Kasmina.

Sedangkan Hud, terkunci kata. Mulut Iris memang berbisa. Tapi dalam masa yang sama, dia geli hati dengan jawapan Iris. Kalaulah papanya mendengar apa yang Iris kata, pasti hati papanya yang retak seribu kerana cinta tak kesampaian, pecah seribu.

Mamakah yang salah faham? Iriskah yang cuba menipu?

Entah, dia tak tahu! Yang dia tahu, Iris kini isterinya dan dia suami Iris.

READY FILE. Berminat boleh klik ORDER HSI

No comments:

Post a Comment