“QARA...” sapa Dhia perlahan. Dia
menyentuh bahu Qara yang membelakanginya. Duduk sambil mata terhala tepat ke
arah air tasik di Taman Tasik Manjalara
yang tidak beriak. Bila Qara hanya kaku, hatinya bagaikan dipalu.
Pelbagai rasa berselirat hebat dalam dadanya. Dia tahu hati Qara luka.
“Qara maafkan aku,” pinta Dhia
sungguh-sungguh. Air matanya gugur perlahan-lahan.
Qara angkat muka. Tersenyum
seperti selalu, tapi tawar tidak bergula. Syahil baru saja menolak dirinya.
Memilih Elma yang kaya sedangkan dia hanya anak yatim piatu yang tak punya
apa-apa. Mana mungkin dengan hati yang hiba dia mampu memberikan senyuman manis
pada Dhia.
“Duduklah Dhia, kita berbual.”
Tempat duduk di sisi, ditepuk-tepuk perlahan. Menggamit Dhia supaya rapat
dengannya. Kalau boleh dia mahu meminjam semangat kawan baiknya itu.
“Qara maafkan aku.” Terus Dhia
peluk Qara erat-erat. Simpatinya pada Qara melaut, bergabung dengan rasa malu.
Sebelum keluar mencari Qara,
sempat dibaling telefon bimbit ke arah Syahil. Mujur saja abangnya itu sempat
mengelak. Jika tidak, tentu patah hidung Syahil. Bukan perlahan balingannya
tadi. Tidak percaya akhirnya Syahil akur pada ugutan ibu dan ayah mereka.
Antara Qara dan Elma, Syahil
memilih Elma. Itu membuktikan kalau Syahil itu tidak punya pendirian. Cakapnya
saja yang berapi-api!
“Bukan... bukan salah kau. Jodoh
tak ada.”
“Bukan jodoh yang tak ada tapi
abang aku jahat. Abang aku kejam pada kau. Abang aku pentingkan diri sendiri.”
“Jodoh bukan manusia yang tentukan
Dhia.”
“Tapi abang aku dah kecewakan kau.
Aku sedih, aku malu pada kau,” luah Dhia berserta tangis.
“Tak apa, tak apa. Aku tak pernah
marah kau dan tak akan pernah marahkan kau. Kalau Syahil patahkan hati aku, tak
bermakna kau kena tanggung kesalahan dia. Sebab dia, dia dan kau tetap kau.
Kawan aku yang sangat baik. Selalu ada di sisi aku dalam keadaan apa pun,”
pujuk Qara pada Dhia.
Air mata Dhia diseka perlahan.
Yang dikecewakan Syahil, dia. Tapi yang nampak lebih terluka, Dhia.
“Aku minta maaf Qara. Kalaulah aku
tahu. Aku...” Lemah suara Dhia melepasi kerongkong. Dia memang jenis keras hati
dan tidak mudah menangis. Tapi bila sesuatu itu melibatkan Qara, air matanya
selalu saja jadi murah. Ketika ini pada saat dia memujuk Qara, dia pula yang
dipujuk kawannya itu.
Qara geleng. Yang berlaku sudah
pun berlaku. Menyalahkan diri tidak akan mengubah keadaan. Hakikatnya, Syahil
memilih kemewahan dibandingkan cinta yang mereka berdua kongsikan.
“Tentu ada hikmahnya yang kita tak
nampak.”
“Tak patut abang aku buat kau
macam ni. Tak patut dia pilih Elma sebab Elma tak mungkin dapat sayangkan dia
sama macam kau.”
“Sayang aku hanya sayang.
Sedangkan sayang Elma dengan kemewahan. Aku dan Elma bezanya macam langit dan
bumi.”
“Kemewahan bukan segala-galanya!”
“Tapi kemewahan dah berjaya
buktikan betapa cinta dan kasih sayang tak memberi apa-apa makna.”
“Itu sebab abang aku bodoh!”
“Dia bukan bodoh. Tapi dia memilih
untuk tak hidup miskin di sisi aku.”
Tenangnya air muka dan kata-kata
Qara, buat Dhia sakit hati. Patutnya bukan itu yang Qara pamerkan padanya.
Kawannya itu harus menangis, kemudian bergabung dengannya mengutuk Syahil
sehingga puas.
“Yang kau tenang sangat ni
kenapa?”
Qara senyum lagi. Kali ini senyumannya
jauh lebih ikhlas. Melihat hidung Dhia yang memerah kerana menangis, hatinya
tercuit. Bukannya selalu dia dapat melihat keadaan Dhia begitu.
“Kau nampak comel bila menangis.”
“Qara!” Pantas jari Dhia mencubit
Qara. Dalam keadaan berhati walang pun Qara masih ada hati membuat lawak.
Halus ketawa Qara. Lengannya yang
dicubit Dhia, diusap-suap perlahan. Mengharap perit yang terasa segera hilang.
Namun sedikit pun dia tidak marahkan Dhia. Salahnya dia kerana bergurau tidak
kena masa.
“Mana kau tahu aku ada kat sini?”
“Gerak hati aku kata kau ke sini.”
“Terima kasih,” ucap Qara
perlahan. Hatinya didatangi sebak. Mungkin dari banyak sudut, dia tidak
bernasib baik. Tapi sekurang-kurangnya, dia punya seorang kawan yang selalu ada
untuknya.
“Untuk apa ucapan terima kasih
itu?”
“Sebab kau selalu ada.” Parau nada
suara Qara. Sedaya mungkin, dia menahan tangis.
Mata Dhia kembali memerah.
Kedua-dua tangan Qara digenggam erat. Dia terlalu sayangkan Qara. Untuk kawan
baiknya itu, dia sanggup melakukan apa saja. Malah kalau Qara mahukan Akid, dia
sanggup beralah. Tapi dia tahu Qara tidak mungkin berbuat begitu kerana Qara
juga mahu melihat dia gembira.
“Qara...”
Qara menghela nafas panjang dan
melepaskannya berat. Mata dihalakan jauh di hadapan. Yang kelihatan hanya
kosong.
“Kau okey?” Dhia tahu dia
bertanyakan soalan bodoh. Mana ada orang yang baru putus cinta akan okey dalam
sekelip mata. Tapi lidah tidak bertulang miliknya memang sukar diajar.
“Pernah kau kenal sesiapa yang
mati lepas putus cinta?”
“Tak pernah.”
“Aku pun tak pernah dengar lagi.
Maknanya, aku pun tak akan mati hanya sebab putus cinta.”
Qara ketawa perlahan, namun bibir
Dhia hanya terkunci. Tidak sampai hati hendak ikut ketawa kerana dia tahu
ketawa Qara, ketawa orang yang terluka. Kawannya itu bukan ketawa sesungguh
hati.
Abang, kenapa abang tergamak buat
Qara macam ni? Kesian Qara...
Perlahan-lahan ketawa Qara mereda.
Canggung pula rasanya bila dia hanya ketawa sendiri. Sedangkan Dhia memandang
mukanya dengan pandangan simpati yang melimpah-ruah. Lalu, kedua-dua tapak
tangannya dibawa ke muka. Diraup beberapa kali dengan harapan segala
kesedihannya akan pergi. Malangnya, sedihnya kekal seperti tadi.
Lemah saja gerakkannya ketika
meletakkan kepalanya di atas lutut.
“Qara...” panggil Dhia perlahan.
“Hati aku, hati aku luka Dhia,”
luah Qara perlahan. Muka masih disembamkan ke lutut. “Tapi hati aku luka bukan
sebab putus cinta. Hati aku luka sebab Syahil tolak aku sebab kemewahan,” luah
Qara tersekat-sekat. Bibir matanya terasa panas. Sekuat mana pun dia, dia masih
punya hati dan perasaan.
Bukan tak pernah dia
berangan-angan punya sebuah keluarga bahagia bersama-sama Syahil. Selalu. Kini,
semua angan-angannya ranap.
Dhia yang mendengar gigit bibir.
Kalau Syahil ada di hadapannya, dia berjanji akan menghadiahkan abangnya itu
dengan buku limanya. Biarkan Syahil jatuh tersembam dan tidak boleh bangun
lagi.
“Salah aku ke bila ALLAH pilih aku
untuk jadi anak yatim piatu?”
Tidak ada balasan kata daripada
Dhia. Air matanya sudah bergenang di sekitar mata. Kalaulah Syahil melihat
keadaan Qara ketika ini, tentu abangnya akan menarik semua kata-kata yang
menjadi racun bagi Qara.
“Tak ada seorang pun manusia dalam
dunia ni yang minta dilahirkan sebagai anak yatim piatu. Tapi kalau dah ALLAH
tetapkan macam tu, siapa aku nak tolak takdir yang datang?”
Bahu Qara sedikit bergegar. Dia
berusaha menahan tangis, namun gagal juga. Dua tahun bertemankan Syahil. Hidup
dengan bayang-bayang lelaki itu. Kini dia harus belajar mengenyahkan
bayang-bayang itu. Memang bukan mudah, tapi dia harus melakukannya. Syahil dan
cerita cinta mereka harus dibakulsampahkan. Tidak ada ruang dalam hatinya untuk
menyimpan cinta yang tidak ada harga.
“Tapi... tapi Syahil tak fikir
macam tu. Bagi dia, status anak yatim piatu tu bagaikan hukuman seumur hidup
untuk aku. Dia takut hidup melarat di sisi aku,” luah Qara terus.
Meluncur laju air mata Dhia. Sedih
Qara bermakna sedih dia juga.
“Dia kata keluarga Elma kaya...”
“Qara, jangan luah kalau tu akan
buat kau lebih sakit,” larang Dhia.
“Aku tak apa-apa. Kau jangan
bimbang.”
Sejujurnya Dhia sudah tidak
sanggup mendengar luahan Qara. Luahan itu terasa menikam tajam ke hatinya. Dia
rasa bersalah pada Qara walaupun dia tidak pernah mengharapkan Syahil mengejar
Qara. Dia bimbang ditakdirkan hubungan Qara dan Syahil tidak ke mana, dia dan
Qara akan bermasam muka.
Hatinya gusar tiba-tiba. Apakah
selepas hari ini, dia dan Qara akan memilih haluan yang berbeza? Mungkinkan
kerana kecewa dengan Syahil, Qara membalas rasa kecewa itu padanya?
Kepala Dhia menggeleng laju,
walaupun Qara tidak melihat.
Dia tidak mahu hilang Qara hanya
semata-mata disebabkan sikap pentingkan diri Syahil.
“Qara... Qara...” Dhia
goyang-goyangkan bahu Qara, keras. Dia mahu melihat muka Qara.
Namun Qara terus mengeraskan
badan. Dia malu jika Dhia melihat tangisannya yang seperti tidak mahu berhenti.
Syahil hanya teman lelakinya, bukan tunang jauh sekali suami. Patutnya dia
tidak boleh menangis begini gara-gara ditinggalkan lelaki itu.
“Qara... Qara pandang aku!” desak
Dhia.
“Jangan dulu Dhia. Biarkan aku
macam ni sekejap,” pinta Qara perlahan.
“Tak boleh! Kau kena pandang aku,
Qara.”
Qara menggeleng dalam keadaan yang
tidak berubah. Kepalanya terasa berdenyut-denyut sedikit. Mungkin kerana dia
sudah terlalu banyak mengalirkan air mata hari ini. Malah diam-diam di ketika
ini, dia berharap air matanya mengering terus. Dia sudah tidak mahu menangis
lagi sampai bila-bila.
Tapi itu mustahil kerana dia hanya
manusia biasa. Qara Nisa yang memang akan menangis bila terasa hati dicarik.
“Qara jangan macam ni. Tolonglah!
Tolonglah jangan tinggalkan aku sebab abang aku. Tolonglah Qara...”
Tangan Dhia sudah melepaskan bahu
Qara. Laju jari-jemarinya menyeka pipinya.
“Kau... kau tak boleh buat aku
macam ni Qara. Bukan aku yang suruh abang aku pilih Elma. Bukan aku,” luah Dhia
sambil menangis.
Qara sapu pipinya dengan belakang
tangan. Kata-kata Dhia agak aneh di telinganya. Lantas kepala dipanggung.
Lencun air mata di pipi kawan baiknya itu membuatkan dahinya sedikit berkerut.
Dia, atau Dhia yang ditinggalkan
Syahil?
“Dhia...”
Laju Dhia memegang lengan kanan
Qara. Tidak mahu Qara meninggalkannya, melupakan persahabatan mereka selama
bertahun-tahun. Tajam matanya yang berair merenung mata Qara yang merah.
“Jangan hukum aku sebab abang aku,
Qara. Aku tak salah...”
Dahi Qara makin berkerut. Dengan
tangan kirinya, dia menyapu air mata Dhia yang bagaikan tidak mahu berhenti
mengalir.
“Bila masa aku nak hukum kau?”
“Kau tolonglah jangan tinggalkan
aku, Qara. Kalau kau tak ada, aku nak kawan dengan siapa?”
“Kau merepek apa ni Dhia?” Hatinya
sedih, tapi tercuit juga dengan repekkan Dhia yang tidak difahami.
“Tolonglah...”
“Dhia... aku kenal kau lebih lama
daripada aku kenal Syahil. Datanglah 10 orang Syahil pun dalam hidup aku dan
kemudian seorang demi seorang patahkan hati aku. Tetap juga itu tak akan
mengubah apa-apa. Kau, kawan aku dunia dan akhirat.”
“Betul?”
“Demi ALLAH!”
Terus Dhia memeluk sekujur tubuh
kurus tinggi milik Qara, sekali lagi.
“Semoga ALLAH selalu menjaga kau,
Qara...” bisik Dhia perlahan di tepi telinga Qara.
“Dan semoga ALLAH jagakan kau
melebih DIA jaga aku,” balas Qara sedikit tenang.
No comments:
Post a Comment