- CINTAKU TAK MAHAL [PROLOG II] -

January 2, 2013

BEBERAPA minggu lalu dia duduk di sini, di hadapan Raqib. Malah di tempat yang sama inilah, dia melamar Raqib dengan muka merah padam. Tempat yang sama juga menjadi saksi lamarannya ditolak Raqib tanpa ada pertimbangan hingga air matanya gugur menimpa meja tempat tangannya menumpang ketika ini.

Ikutkan rasa, dia tidak ingin datang sini lagi kerana dia malu, walaupun tidak ada sesiapa yang tahu. Tapi hatinya saat ini benar-benar walang. Tidak tahu harus ke mana lagi kerana hanya padang bola ini yang ada dalam bayangannya.

Along, Raqib... terasa hendak meraung mengenangkan dua nama itu.

“Nadra, saya minta maaf,” pinta Raqib perlahan. Hampir saja suaranya tidak kedengaran.

Tidak mahu terus bungkam mengalahkan batu. Kalau mereka terus diam, sampai bila-bila masalah tidak akan selesai. Kalau Nadra tidak mahu mengalah, biarlah kali ini dia mengalah. Selama ini pun dia jarang hendak mengalah dengan Nadra. Jadi, apa salahnya hari ini dia melakukannya. Tidak mungkin harga dirinya jatuh hanya disebabkan dia menundukkan ego lelakinya di hadapan Nadra.

“Awak nak percaya atau tak, saya tak akan paksa. Tapi... saya tak rela awak kahwin dengan Ghazlan. Dan saya lebih tak rela kenangkan yang awak akan kongsi bantal dengan Ghazlan. Awak tak boleh kongsi bantal dengan dia, dengan lelaki lain pun saya tak akan benarkan.”

Mulut Nadra melopong tiba-tiba Matanya melotot menikam anak mata Raqib yang berdiri di hadapannya dengan rupa tenang. Kemudian bingkas dia bangun, pantas tangannya naik memukul bahu Raqib. Sumpah, dia benar-benar tidak percaya Raqib boleh berfikir sampai sejauh itu. Dia pun tidak pernah memikirkan perkara seumpama itu daripada berlaku.

“Otak kuning!” marah Nadra geram. Tangannya masih berusaha memukul bahu Raqib.

Raqib ketawa perlahan dengan kata-kata Nadra yang sarat dengan kemarahan. Tangan Nadra yang masih bergerak dicapai, digenggam erat-erat. Direnung dalam anak mata Nadra yang kelihatan bersinar-sinar. Sungguh, dia rasa sangat damai hanya dengan memandang sinar di mata Nadra.

Kalau dia sampai kehilangan sinar itu, bagaimana dia dapat bertahan hidup?

“Saya tak tipu, memang itu pun yang saya fikir sebaik aje nampak awak dengan Ghazlan hari tu. Saya tak boleh tidur kenangkan perkara tu.”

“Raqib!”

Raqib letakkan tangan Nadra di atas meja. Tidak mahu terus memegang kerana Nadra bukan haknya. Dia tahu dia sayangkan Nadra. Dia dapat rasakan hatinya menggebu-gebu pada gadis itu. Namun untuk berterus terang dengan Nadra, dia masih belum mampu. Bimbang cintanya ditolak.

“Tadi depan along, awak kata tak nak jadi isteri saya, kan?”

Dahi Nadra berkerut. Tidak mengerti dengan pertanyaan itu, namun dia sudah tenang. Terpukau dengan renungan Raqib yang tajam-menikam. Tapi ada damai dalam renungan itu. Dalam sekelip mata, rasa marah dan sakit hatinya kepada Raqib bagaikan ditarik keluar. Yang ada hanya debaran menggila.

Perasaan apakah ini TUHAN? Tanya hatinya berkali-kali. Cintakah ini? Dia terus menelan liur sendiri, juga berkali-kali.

“Tapi tadi awak tak ada kata pada along yang awak tak nak jadi ibu kepada anak-anak saya, kan?” tanya Raqib perlahan.

“Hah? Apa awak kata?” tanya Nadra terpana. Teka-teki apa Raqib mainkan ni?

Muka Nadra berubah. Rasa peliknya terhadap Raqib terasa menjadi-jadi. Kalau sudah tidak mahu menjadi isteri, bukankah itu bermaksud dia tidak juga mahu menjadi ibu kepada anak-anak lelaki itu? Tidak mengertikah Raqib, atau saja-saja buat tidak faham? Takkanlah Raqib hendak dia melahirkan anak-anak lelaki itu tanpa ada ikatan perkahwinan? Gila!

Dia masih tertanya-tanya tujuan Raqib berjumpa dengan alongnya. Apa yang Raqib kata, dia tidak mendengar dengan jelas, hanya yang sempat dicuri dengar telinganya adalah kata-kata Fawwaz.

“Awak tak kata tak nak jadi nenek kepada cucu-cucu saya, kan?” Terus Raqib bertanya tanpa mempedulikan pertanyaan Nadra.

Ikutkan hatinya, mahu saja dia menolak anak rambut Nadra yang jatuh di dahi ke belakang. Tapi mengenangkan dia bakal dimakin-hamun Nadra, dibatalkan saja niatnya walaupun matanya terasa agak terganggu. Cukup-cukuplah dia membangkitkan kemarahan Nadra. Jika dia tersilap lagi, silap-silap dia akan kehilangan Nadra terus. Hilang ke tangan Ghazlan? Huh... tidak, tak mungkin sama sekali, detik hatinya geram.

“Hah?” Nadra semakin tidak mengerti tingkah kawan baiknya sejak berpindah ke Taman Saujana Impian itu.

“Awak tak kata yang awak tak nak jadi moyang kepada cicit-cicit saya, kan?” Matanya sengaja dikecilkan sedikit.

Raqib merepek apa ni? Kenapa sampai moyang, segala cucu cicit disebut lelaki itu di hadapannya?

“Apa masalah awak sebenarnya ni? Awak tengah merepek apa ni? Saya betul-betul tak fahamlah.”

“Saya tak ada masalah, Nadra.”

“Dah tu?”

Nafas Raqib tarik dalam-dalam. Matanya masih terganggu dengan anak rambut Nadra yang bergerak-gerak kerana ditiup angin. Kalaulah Nadra tidak kisah, dia mahu menyelitkan anak rambut itu di tepi telinga Nadra. “Nadra...”

Nadra tidak menyahut kerana dia tahu Raqib tidak buta untuk melihat dia ada di situ. Raqib pun tahu dia masih belum pekak lagi.

“Boleh saya selitkan anak rambut awak ke belakang?” pinta Raqib lurus.

Mata Nadra membulat. Lain yang dia hendak tahu, lain pula yang Raqib katakan. Lelaki itu benar-benar memeningkan kepalanya.

“Saya rimas tengok...”

“Tak payah!” bentak Nadra. Raqib fikir dia apa sebenarnya?

“Okey... okey... tak kasi tak apa. But... don’t be angry with me, okey?”

Nadra menarik nafas panjang. Cuaca sudah semakin redup dan dia mahu segera beredar. Tidak mahu terus berdua-duaan dengan Raqib. Senja-senja begini, memang tidak elok kalau masih berada di luar rumah, apa lagi berdua-duaan dengan lelaki yang bukan muhrim baginya.

“Saya nak balik!”

“Awak akan balik lepas awak kata setuju kahwin dengan saya!” tegas Raqib. Apa pun terjadi, dia tidak akan melepaskan Nadra pergi sebelum gadis itu menerimanya.

“Tapi saya kan dah tarik balik lamaran saya tu?”

“Saya tak peduli!”

“Awak mana boleh buat saya macam ni!”

Kepala Raqib menggeleng. Katalah apa pun, dia tetap tidak peduli. “Raqib tak nak Nadra tarik balik lamaran Nadra pada Raqib. Raqib tak setuju.”

“Awak kan dah tolak?”

“Tak, saya terima. Yes... I do!”

Terkelip-kelip kelopak mata Nadra. Dia semakin tidak mengerti dengan kerenah Raqib. Ketika dia bersungguh-sungguh, Raqib menolak. Ketika dia sudah menolak, Raqib pula yang bersungguh-sungguh menerima. Raqib hendak apa sebenarnya?

“Saya nak kahwin dengan awak. Saya...”

“Saya tak setuju!” potong Nadra pantas. Setelah lamarannya ditolak Raqib, dia banyak berfikir. Tidak ada gunanya memaksa kalau Raqib tidak mahu. Perkahwinan tanpa bertiangkan cinta, rasanya mudah goyang walaupun cinta bukanlah segala-galanya. Tidak adil bila dia mengheret Raqib hanya gara-gara Fawwaz menyuruh dia berkahwin dengan Ghazlan.

Mahukan Raqib sebagai suaminya, samalah seperti dia merosakkan masa depan Raqib. Mungkin saja Raqib sudah punya pilihan sendiri.

“Nadra...”

“Saya tak nak kahwin dengan awak!”

Keluhan Raqib kedengaran. Dadanya terasa sebu. Begini rupanya bila ditolak orang? Sakit sangat!

“Saya nak juga!”

Kepala Nadra menggeleng laju. Dia jadi takut pada ungkapan Raqib. Ditakdirkan dia gagal menjadi isteri yang baik, bukankah kelak dia yang bakal disalahkan?

“Awak nak terima Ghazlan?”

Nadra tersenyum sinis. “Saya tak cintakan Ghazlan. Awak pun saya tak cinta. Jadi apa bezanya?”

“Sekurang-kurangnya saya bukan buaya!” Panas hati Raqib melihat senyuman itu.

“Biarlah. Itu yang saya pilih, saya tanggunglah nanti!”

Ringan saja tangan Raqib mahu mencepuk Nadra. Gadis itu bagaikan sengaja menyakitkan hatinya. Mungkin masih berdendam gara-gara lamaran yang ditolak. “Percaya cakap saya... saya nak kahwin dengan awak. Saya nak awak jadi isteri saya dan saya nak jadi suami awak. Sekali awak jadi isteri saya, saya akan pastikan sampai bila-bila awak akan jadi isteri saya. Saya tak akan lepaskan awak. Saya tahu saya mungkin bukan orang sempurna, tapi saya akan cuba menyempurnakan rumah tangga kita. Saya janji!” Dia berhenti berkata-kata.

Nadra gigit bibir. Hatinya di dalam terasa sangat sebak.

“Kalau awak setuju, tiga bulan dari sekarang, status kawan akan saya tukarkan kepada suami isteri. Saya akan jaga awak baik-baik. Saya janji!” Kata-kata Raqib mati begitu saja, tidak diteruskan kerana Nadra sudah menangis tersengguk-sengguk. “Nadra...”

“Saya tetap tak setuju sebab saya tak nak jadi perempuan yang melamar lelaki. Saya tak nak melamar, tapi saya nak dilamar...”

Kali ini mulut Raqib yang melopong. Terkebil-kebil biji matanya, antara faham dengan tak faham kata-kata yang Nadra luahkan.

“Sengal!” marah Nadra dalam ketawa bersulam tangisan.

“Hah?” Dahi Raqib berkerut seribu.

“Kalau awak nak saya kahwin dengan awak, lamar saya!”

Tersedar maksud sebenar kata-kata Nadra, ketawa Raqib meletus perlahan. Tidak percaya dia tidak dapat mencerna kata-kata Nadra yang tidaklah berbelit-belit sangat.

“Nadra... will you marry me?”

Nadra mencebik. Tapi sungguh, dalam hati ada lega yang bukan sedikit bertapak. Daripada harus menjadi isteri Ghazlan yang memualkan tekak, lebih baik dia mengabadikan dirinya untuk Raqib. Tidak pedulilah walau Raqib pernah menolak lamarannya dulu. Apa yang penting, Raqib sudah pun melamarnya.

“Nadra...” Raqib kembali resah.

“Yes... I do! I want to be your wife, and I want to live with you forever.”

Entah untuk kali ke berapa hari ini, mata Nadra membulat, mulutnya melopong di hadapan Raqib. Namun Raqib yang melihat, hanya ketawa perlahan. Dadanya yang sempit sejak Nadra mula menjauhkan diri, terasa lapang kini. Dia jadi sangat pasti bahawa mata bulat itulah yang menarik matanya supaya tidak memandang ke lain hati. Terus melekat ke hati Nadra yang selama ini hanya dianggap kawan baik semata-mata.

“Tapi kita tak saling cinta?”

“Berapa banyak orang yang kahwin tanpa cinta tu boleh bahagia?” tanya Raqib kembali. Enggan meluahkan rasa. Biarlah sehingga tiba masanya kelak.

“Yalah... dalam novel pun banyak kisah yang kahwin tanpa cinta tapi akhirnya gembira juga.”

Raqib geleng. Nadra dan novel memang tak dapat dipisahkan. Tapi dia akan menerima Nadra dalam hidupnya, seadanya. Buruk dan baik, supaya mereka saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Selebihnya, dia pasrah!

5 comments: