Persahabatan yang erat antara Nasuhah [Nasuhah Harlena] dan Aria [Ariana Luthfia] menyebabkan Aria menyimpan niat mahu menyatukan Nasuhah dengan abangnya, Zaen [Zaen Luthfi] dalam ikatan perkahwinan. Dia terlalu sayangkan Nasuhah yang menjadi kawan rapatnya ketika berada di sekolah menengah hingga menginjak ke alam dewasa. Malah disebabkan Nasuhah jugalah dia yang selama ini agak sosial berubah menjadi baik. Perubahan Aria itu sangat disenangi ibu dan ayahnya [Dr. Zakiah dan Dr. Armand].
Lantaran itu, setiap hari Aria menyebut nama Nasuhah dan kebaikan Nasuhah di hadapan Zaen sehingga Zaen berasa jemu dan menjadi marah. Cara Aria, seperti Nasuhah itu terlalu sempurna untuk dijadikan calon isteri. Sedangkan bagi Zaen, kalau Nasuhah itu benar-benar sempurna, Nasuhah tentu awal-awal lagi sudah mempunyai teman lelaki dan mungkin sudah pun mendirikan rumah tangga. Tapi bagi Aria, dia punya alasan yang kukuh. Pertama, dia tidak mahu kehilangan Nasuhah kerana ditakdirkan Nasuhah berkahwin dengan lelaki lain, hubungan rapat yang ada di antara mereka akan berjarak kerana Nasuhah tentu akan melebihkan keluarga sendiri. Kedua, dia tidak mahu terus melihat Zaen asyik bertukar-tukar pasangan hidup. Dia mahu Zaen mendapatkan pasangan yang baik kerana abangnya itu juga baik.
Zaen yang tidak tahan mendengar nama Nasuhah disebut Aria, nekad menghubungi Nasuhah pada suatu hari. Zaen memberitahu Nasuhah yang dia tidak berniat hendak kenal lebih rapat dengan Nasuhah dengan alasan selalunya yang mencari dia perempuan, bukannya dia yang terhegeh-hegeh mencari perempuan. Dia meminta supaya Nasuhah melupakan niat untuk beradikiparkan Aria. Katanya lagi, dia tidak sudi pada Nasuhah dan tidak minat pada Nasuhah. Malah meminta supaya Nasuhah tidak mengganggunya dan jangan mempergunakan Aria demi mendapatkannya.
Nasuhah yang tidak tahu apa-apa, terkejut sangat dengan amaran dan hinaan Zaen. Lantas dia memberitahu yang dia tidak pernah pun berniat hendak menjadi keluarga Zaen kerana tanpa menjadi ahli keluarga pun dia sudah menganggap Aria itu sebahagian daripada keluarga sendiri kerana mamanya [Wan Zainab] dan ibu angkatnya [Hamilah] juga sayangkan Aria. Lagipun dia tidak kenal Zaen kerana ketika dia rapat dengan Aria, Zaen sibuk hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bagi Nasuhah, semoden mana pun negara dan secanggih mana pun teknologi, dia tidak mungkin akan menjadi seperti perigi mencari timba. Dia lebih rela menjadi anak dara tua daripada mengejar lelaki, apalagi lelaki yang lebih segala-galanya dibandingkan dirinya. Katanya lagi, dia sangat hodoh untuk digandingkan dengan Zaen. Zaen yang mendengar kata-kata tenang Nasuhah akhirnya termalu sendiri.
Masa berlalu, Nasuhah cuba melupakan apa yang berlaku. Hubungannya dengan Aria pun tidak terjejas. Hinggalah satu hari, ketika menyambut ulang tahun perkahwinan orang tua Aria, Zaen terpandangkan Nasuhah dan dia jatuh cinta pandang pertama. Dia langsung tidak teringat yang dia pernah memberi amaran dan berkata pada Nasuhah yang dia tidak suka dan minat pada Nasuhah. Atas permintaan Nasuhah, Aria langsung tidak mengatakan apa-apa ketika Zaen hendak tahu siapa sebenarnya Nasuhah. Bagi Nasuhah, dia tidak mahu Zaen mengejarnya kerana rupa paras. Bimbang bila rupanya buruk suatu hari nanti, Zaen akan meninggalkannya.
Sejak hari itu, Zaen mula memerhatikan Nasuhah. Apa saja yang Nasuhah lakukan, diintip. Dia asyik menghubungi Nasuhah, tidak kira siang dan malam termasuk ketika berada di kedai bunga. Di pasar raya pun Zaen sudah berani menjejakinya. Malah dengan selambanya Zaen mengambil baju Nasuhah dengan alasan baju itu akan digunakan jika keadaan mendesak. Tekadnya hanya satu, dia mahu memiliki Nasuhah walau dalam apa cara sekali pun.
Namun Nasuhah langsung tidak berminat dengan Zaen. Kata-kata amaran dan hinaan Zaen tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Dia mula merasakan Zaen satu gangguan dalam hidupnya dan dia mula kehilangan ketenangan. Desakkan mama dan ibu angkatnya yang mahu dia berkahwin dan mempunyai anak pula membuatkan dia lebih tertekan. Dalam masa yang sama Nasuhah dan keluarganya baik dengan Amirul yang merupakan pekerja di kedai bunga milik mamanya. Mereka bersimpati pada Amirul yang terpaksa membesarkan tiga orang adik selepas kematian orang tua mereka. Salah seorang daripada adik Amirul mengalami Autisme.
Satu hari ketika singgah di kedai bunga, Zaen melihat Nasuhah berbual-bual mesra dengan Rezuan dan itu membuatkan Zaen cemburu tapi hanya mendiamkan diri. Hinggalah satu hari Rezuan muncul di pejabat Zaen dan meminta supaya Zaen menjauhi Nasuhah kerana Nasuhah milik dia. Saat Rezuan meninggalkan pejabat, dia melihat Aria memegang lengan Rezuan dan mereka berjalan sering. Bertanya pada Aria, Aria mengatakan yang Rezuan sudah lama menjadi kekasihnya. Tapi Nasuhah tidak tahu kerana dia mahu membuat kejutan sebab Rezuan pernah menjadi kawan mereka masa di universiti. Zaen rasa pelik, antara Nasuhah dan Aria, siapa sebenarnya pilihan Rezuan. Hanya yang dia pasti, Rezuan bukan lelaki baik kerana cuba merapati dua sahabat baik itu dalam masa yang sama.
Bila Zaen cuba mendapatkan kepastian daripada Nasuhah, dia berbohong mengatakan Rezuan itu teman lelaki dia demi menyakitkan hati Zaen. Terperanjat dengan luahan itu, Zaen mula berasa sakit hati dan sedikit dendam tapi dalam masa yang sama tidak mahu Nasuhah dipermain-mainkan Rezuan. Lalu dia mengada-adakan cerita yang tidak ada dengan menjadikan baju Nasuhah yang diambil sebagai bukti. Pada mama dan ibu angkat Nasuhah dikatakan yang dia dan Nasuhah telah melakukan perbuatan sumbang dan dia mahu bertanggungjawab. Cerita itu menyebabkan kemarahan mama dan ibu angkat Nasuhah. Mereka malu dengan apa yang sudah Nasuhah buat. Bila Nasuhah meminta Zaen menerangkan kisah sebenar, Zaen enggan. Pertengkaran mereka membongkar kisah Rezuan dan Nasuhah dan itu amat mengecewakan Aria, namun dia tidak mengatakan apa-apa. Untuk Nasuhah dia sanggup berkorban.
Demi meyakinkan mama dan ibu angkatnya yang dia difitnah Zaen, Nasuhah menerima lamaran Rezuan yang selama ini menggunakan Aria semata-mata mahu mendekati Nasuhah. Akibatnya, Aria membawa diri ke luar negara dan Zaen kecewa kerana tidak dapat memiliki Nasuhah. Mulanya dia masih berkeras mahu menjadikan Nasuhah isterinya, tapi niat itu dibatalkan saat mengetahui yang dialah yang terlebih dahulu menolak Nasuhah dalam hidupnya. Dia yang memberi amaran dan menghina Nasuhah tanpa mengetahui siapa sebenarnya Nasuhah. Dia benar-benar malu dengan perbuatannya.
Sehari sebelum melangsungkan perkahwinan dengan Rezuan, Nasuhah mendapat tahu daripada kawan seuniversiti yang selama ini Rezuan bercinta dengan Aria. Barulah dia mengerti kenapa Aria seperti mengelakkan diri daripadanya. Terasa diri seperti kawan makan kawan, Nasuhah... |HANYA DIA TAHU - ALEYA ANEESA|
PESANAN PENUH KASIH SAYANG : Untuk yang belum pernah baca, boleh mendapatkan gambaran kisah hidup ZAEN & NASUHAH di sini... ;-)
salam akak..saya dah ada & baca cerita ni..so sweet psl freindship aria dengan nasuha..and.,..saya dah ada DIA TAK TANYA..belum sempat explore dan sangat tak sabar!!congrate kak..semoga terus berkarya
ReplyDeleteAkak! saya dah baca novel ni ^^ best best !!
ReplyDelete