- SYAWAL TERAKHIR... -

August 26, 2014

Hari ni, 26 Ogos 2014 bersamaan dengan 30 Syawal 1435H! Tengok tarikh bulan Islam tu, rasanya semua tahu yang hari ni merupakan hari terakhir dalam bulan Syawal untuk tahun ni. Seperti selalu, masa memang cepat berlalu. Diam-diam, kemeriahan hari raya pertama dah ditinggalkan bersama seribu satu cerita tersendiri.

Masih teringat, masih segar dalam ingatan bertapa anak-anak buah kesayangannya saya seramai 11 orang menggayakan baju masing-masing pada pagi tu. Kecuali, si comel Zalis yang baru berusia 12 hari. Budak comel tu cuma pakai bedung sebab tak ada baju yang sesuai untuk tubuh kecil dia. Dan mereka bersebelas (kecuali kakak dan adik yang dah sekolah menengah), kejap-kejap ketawa, kejap-kejap menangis kerana itulah dunia mereka. Dunia yang tak serumit orang dewasa seperti saya. Dunia yang sepatutnya dinikmati selayaknya usia mereka.

Seperti tahun-tahun sudah, hari raya pertama keluarga saya memang lengkap kerana masing-masing berkahwin dengan orang Johor Bahru juga. Yang kahwin dengan orang Sabah pun, ahli keluarganya dah menetap di tempat yang sama. Syukur alhamdulillah! Hanya petang, kira-kira dalam pukul 6.00 petang, keluarga abang chik saya bertolak ke Negeri Sembilan untuk beraya bersama keluarga kakak ipar saya. Yang lain-lain, tetap ada di rumah abah saya. Terus menikmati hari raya, hari demi hari sehingga cuti raya tamat.

Sepanjang raya tu, saya hanya beraya di 11 buah rumah. Itu pun di rumah sebelah-menyebelah dan keluarga rapat. Sikit, kan? Tapi itulah saya setiap tahun. Padahal dulu, suatu ketika yang telah jauh ditinggalkan, hampir sekampung rumah saya pergi dengan kawan-kawan. Kembung-kembung perut sebab minum air yang pelbagai rasa dan warna. Ada manis, ada tawar. Sampai tengah malam pun kadang-kadang belum tentu dah ada di rumah. Rajin, kan?

Tapi itu ketika zaman remaja menjengah. Masing-masing gigih menunjuk rupa dan tingkah baik pada orang kampung. Atau, kami beraya dengan sebab tertentu dan sekadar ikut-ikutan. Teruknya saya dulu! Cumanya kini, bila diimbas-imbas, segala-galanya hanya tinggal kenangan. Sedangkan rumah kawan-kawan yang dulunya rapat pun saya tak pergi lagi. Entahkan saya yang semakin hilang skill bergaul mesra dengan orang kampung, entahkan saya yang memang memencil sekarang ini. Kononnya, orang KL. Phuiii! Acah aje... bagi saya, KL atau London sekali pun tak akan mampu mengubah seorang Marwati Wahab. Aleya Aneesa pun tak akan berjaya. Saya orang kampung, saya anak nelayan dan hidup saya di darat dan di laut. Paling penting, saya tak pernah lupa di mana tanah yang pernah menyaksikan jatuh dan bangun saya sejak kecil hingga dewasa mengambil tempat dalam kehidupan.

Hanya masa dan keadaan, mungkin juga jarak telah membuatkan banyak benda berubah. Kawan-kawan saya rata-ratanya dah tinggalkan kampung. Hidup di luar dan punya kehidupan sendiri. Sama juga dengan saya. Tapi bila sesekali berjumpa di majlis-majlis tertentu, sapa-sapaan masih wujud. Tanda kami masih sahabat. Dan doa untuk mereka, tak kira siapa dan di mana mereka berada, selagi mereka pernah hadir dalam hidup saya, saya mengharapkan yang baik-baik untuk mereka. Dalam apa pun keadaan, semoga ALLAH selalu ada untuk membantu mereka.

Untuk semua, Selamat Hari Raya Aidilfitri, terakhir untuk tahun ni. Ada umur, ada rezeki, tahun depan saya ucapkan yang lain. Salam sayang...









1 comment:

  1. Assalamualaikum dan singgah sini...tak sedar masa begitu cepat berlalu kn dik...

    ReplyDelete