- CINTAKU TAK MAHAL [BAB 8] -

March 20, 2013

“KORANG berdua duduk dululah ya, aku nak pergi toilet kejap,” kata Afnan selepas mereka bertiga selesai membuat pesanan. Entah di mana silap, hari ini dia asyik hendak berulang-alik ke tandas. Ikutkan hati memanglah rasa letih, tapi tuntutan alam bukannya boleh dipandang ringan. Mujur saja hari ini dia tidak perlu membuat kerja luar. Jika tidak, haru juga dia terpaksa terkejar-kejar.

Raqib hanya menghantar Afnan dengan pandangan pelik. Afnan kelihatan seperti tergesa-gesa benar. Sedangkan Shana, gembira bukan kepalang. Gembira ditinggalkan berdua-duaan dengan Raqib biarpun untuk masa beberapa detik. Baginya, biarlah ada peluang yang sedikit daripada langsung tidak ada.

“Apa kena dengan kawan you tu? Dari pagi tadi lagi I nampak lain macam aje,” tanya Raqib pada Shana. Wajah hitam manis gadis pemilik Kristal Architects itu dipandang dengan senyuman.

“Kawan I? Bukan kawan baik you ke?” balas Shana bahagia. Tiga bulan mengenali Raqib, tiga bulan juga dia yang selama ini mati terasa seperti hidup kembali.

Raqib ketawa. “Ya, kawan baik I merangkap kawan you,” kata Raqib geli hati. Tadinya dia hanya menyakat Shana. Tidak betah hanya saling memandang tanpa ada kata-kata. Kekok rasanya ditinggalkan berdua-duaan dengan gadis itu. Mereka bukannya rapat benar. Kalau bercakap pun hanya atas urusan kerja walaupun dia sedar Shana selalu mencari peluang berbual-bual dengannya. Jika tidak kerana Afnan yang beria-ia mengajak dia makan bersama-sama Shana, mungkin dia tidak ada di sini saat ini.

“Salah makan agaknya,” teka Shana.

“Mungkin juga sebab Afnan tu memang jenis kuat makan. Dia makan apa aje yang boleh dimakan. Tolak batu dengan kayu aje.”

“You mengutuk dia?”

“Jadi, you nak cakap dengan dia?”

Shana menjegilkan mata. Jauh di sudut hati, dia berharap supaya Afnan tidak akan muncul dalam masa yang terdekat. Kalau tidak muncul terus, lebih baik. Dia masih belum puas menatap seraut wajah Raqib. Masih rindu mahu mendengar suara garau milik lelaki yang mirip sekali dengan Naim. Kalaulah Raqib masih belum kahwin, kali pertama Raqib muncul di hadapannya, dia sudah cuba menawan hati Raqib.

Dia tahu Raqib bukan Naim kerana bekas tunangnya itu sudah dua tahun membina keluarga bahagia di atas air matanya di bumi England. Raqib juga tak mungkin akan jadi Naim. Namun matanya selalu melihat Raqib persis Naim. Lantaran itu, dia tetap mahukan Raqib.

Gila! Dia tahu dia seperti tidak waras bila inginkan suami orang. Tapi hatinya di dalam benar-benar mendambakan Raqib. Kemunculan Raqib buat dia yang sudah lama hilang semangat gara-gara patah hati, kembali mahu meneruskan hidup. Lantaran itu, dia selalu mencari peluang untuk mendekati Raqib. Pantang melihat Raqib sendiri, dia cepat-cepat datang. Namun sampai ke hari ini, usaha demi usaha yang dibuat seakan-akan gagal. Raqib tetap juga melayannya seperti melayan kawan-kawan yang lain.

“Kalau you nak mengadu pada Afnan pun I tak kisah. Dialu-alukan dengan senang hati.”

“Jahatnya you ni...”

“Bukan I jahat, tapi I dah tau Afnan tu orang yang macam mana. Setakat hal remeh-temeh ni, dia tak layan punya. Paling-paling dia kata, bukannya luak kalau orang mengata dia di belakang.”

“Kalau kat depan?”

“Maunya buku lima Afnan naik ke muka orang yang mengata dia tu,” kata Raqib spontan. Ada senyuman di bibirnya. Meskipun baru rapat beberapa bulan, dia tahu Afnan seorang kawan yang baik. Pantang melihat wajahnya serius, cepat saja Afnan bertanya. Malah dengan Afnan juga dia berkongsi cerita tentang Nadra dan Idlan. Bagaikan seorang kaunselor bertauliah, nasihat Afnan untuknya tak pernah tak ada. Dia yakin segala ceritanya selamat di tangan Afnan.

“You tau... you ni kelakar tau!”

“You tau... you orang pertama yang cakap macam tu pada I. Selalunya orang kata I ni serius. Garang macam guru besar!”

Bertambah galak ketawa Shana. Dia benar-benar gembira hari ini. Tidak sia-sia dia mengajak Afnan makan tengah hari. Dia tahu di mana ada Afnan, di situ ada Raqib. Mereka berdua tak ubah macam isi dengan kuku.

“Padahal, tak kenal maka tak cinta kan?” tanya Raqib pada Shana. Dia mengerling jam di tangan. Kali ini nampaknya Afnan mengambil masa yang agak lama. Risau pula dia kalau-kalau sesuatu terjadi pada kawannya itu.

“Ya, tak kenal maka tak cinta,” akui Shana dalam senyuman.

Degupan jantungnya terasa berlari pantas. Malah dia melihat seperti ada bunga-bunga di sekelilingnya. Rasa yang sama dialami ketika bersama dengan Naim, sebelum surat Naim muncul sehari sebelum hari perkahwinan mereka. Surat yang membuatkan dia seperti tidak lagi mahu meneruskan hidup. Lelaki itu dalam diam sudah pun berkahwin ketika melanjutkan pelajaran di England. Sedangkan dia tetap setia menunggu Naim di tanah air.

“Ayat tu selalu juga isteri I kata kat I.”

Isteri! Air muka Shana berubah tiba-tiba. Dalam sekelip mata, rasa gembira dan bahagianya hilang. Sepatah perkataan itu bagaikan sembilu menusuk ke hatinya yang paling dalam. Dia jadi sedar yang duduk di hadapannya bukannya Naim, sebaliknya Raqib. Suami Nadra yang pernah ditemui beberapa kali. Dia malu dengan apa yang dia rasa. Tapi dalam pada malu, ada rasa cemburu menjengah hati.

Dia... suami orang, Shana!

Tapi dia macam Naim. Mungkin ALLAH datangkan dia pada aku untuk gantikan tempat Naim.

Bangun, Shana! Berhenti berharap pada yang tak patut disandarkan harapan. Kau hanya berharap pada padi seberang.

Tapi... dah dua tahun. Cuma Raqib satu-satunya yang mirip seperti Naim. Mana ada orang lain lagi.

“Mana Afnan ni? Lamanya dia pergi. Takkanlah urusan dia masih tak selesai lagi?” ujar Raqib seperti bergumam. Dia tak menujukan kata-katanya pada Shana. Hanya berkata-kata sendiri. Lantaran itu, dia tidak mengharapkan jawapan daripada gadis itu. Kalau dia tidak tahu, Shana tentu lebih tidak tahu lagi. Matanya tertancap ke arah laluan yang telah menelan sekujur tubuh Afnan seketika tadi.

“Jangan-jangan jadi apa-apa pada Afnan tak?” gumam Raqib sekali lagi.

Dahi Shana berkerut. Tajam matanya tertancap ke wajah Raqib yang seperti gelisah. Lelaki itu sudah tidak lagi memandang padanya. “Cara you risaukan Afnan, macam Afnan tu isteri you,” usik Shana dengan senyuman. Dia berusaha melupakan rasa cemburu yang berlegar-legar di ruang hatinya saat mendengar Raqib menyebut perkataan isteri.

“Eh... you jangan cakap macam tu! Dengar isteri I nanti, masak I nak menjawab dengan dia. Dia tu kalau merajuk, makan masa juga nak pulih. I pula bukannya boleh kalau dia tak cakap dengan I. Rasa macam dunia ni dah berhenti berputar aje.” Usai berkata-kata, Raqib ketawa perlahan. Dia sengaja berlebih-lebihan dalam berkata-kata. Padahal, Nadra kalau merajuk tidaklah seteruk mana. Hanya makan masa tiga hari. Kalau kena cara memujuk, cepat juga rajuk isterinya itu reda. Kadang-kadang tak perlu dipujuk pun, hilang sendiri.

Isteri lagi! Shana terasa semakin berbahang. Cemburu mencanak-canak naik dalam hatinya. Dia mengusik Raqib dengan harapan lelaki itu akan melupakan Nadra seketika, tapi balik-balik Nadra juga yang Raqib sebut. Dalam kepala Raqib tentu hanya ada Nadra.

“Takkanlah dia cemburu sampai macam tu sekali kot?” duga Shana ingin tahu.

“Kan cemburu tu orang kata tanda sayang?”

Raqib ketawa lagi. Kalaulah dapat makan bersama-sama Nadra, tentu rasanya lebih seronok. Tapi jarak yang agak jauh tak memungkinkan dia ke Kajang setiap hari, apalagi pada waktu makan tengah hari. Kalau dia muncul di hadapan Nadra, maknanya ada urusan kerja yang perlu diselesaikan di sana. Jika tidak, dia hanya menghubungi Nadra ataupun Nadra menelefonnya sebelum atau selepas mereka keluar makan secara berasingan di tempat yang juga berlainan.

Shana gigit bibir dalam diam. Ketawa Raqib menyakitkan perasaannya. Lelaki itu nampak sangat gembira.
-------------------------------------------------------------------------------
“RAQIB!” tegur Ghazlan tiba-tiba. Dia berdiri di hadapan Raqib. Sekejap matanya menatap Raqib, sekejap kemudian menatap gadis di hadapan Raqib. Ada senyuman sinis di bibirnya. Kepalanya menggeleng perlahan. Namun jauh di sudut hati, dia akui gadis yang baru pertama kali ditemui itu punya raut wajah yang menarik, walaupun mungkin tidak dapat menandingi Nadra.

“Ghazlan! Lamanya tak jumpa. Sihat?” tanya Raqib ramah. Tangan dihulurkan pada Ghazlan.

“Aku okey aje. Ni... siapa? Girlfriend baru?” tanya Ghazlan selamba. Huluran tangan Raqib langsung tidak disambut.

Raqib pandang Shana yang terkulat-kulat tidak mengerti. Senyuman sinis Ghazlan dibalas dengan gelakkan kecil. Langsung tidak terasa apa-apa kerana dia tahu Ghazlan sengaja mahu menyakitkan hatinya. Dendam Ghazlan gara-gara ditolak Nadra masih belum surut setelah berbulan-bulan masa berlalu. Malah dendam itu bertambah marak bila Nadra memilihnya sebagai pasangan hidup.

Dah jodoh, nak diapakan lagi? Desis hati kecil Raqib.

“Girlfriend? Bukanlah! Ni Shana, kawan satu tempat kerja dengan aku. Aku dah ada Nadra. Dia dah cukup sempurna di mata aku sebagai suami. Aku tak berhajat nak carikan dia kembar. Tak pernah terniat di hati aku walaupun sebesar kuman.”

Kembar yang membawa maksud madu. Tidak tergamak hendak menyebut sepatah kata itu. Bimbang bertukar menjadi doa sedangkan dia tak pernah bermimpi hendak beristeri dua. Menduakan Nadra pula tak ada dalam kamus hidupnya. Adanya Nadra, hidupnya sudah lengkap. Dia tidak perlukan apa-apa lagi, kecuali bidadari-bidadari kecil yang lahir daripada rahim Nadra yang akan menemani hari-harinya dan isterinya itu.

Shana tunduk menekur meja. Hatinya rasa pecah berderai. Raqib nampak teguh dengan apa yang dikatakan.

“Baru-baru kahwin memang semua lelaki akan cakap macam tu. Kalau dah lama nanti, entah macam mana ya? Sayang pun melayang agaknya. Silap-silap bukan tambah satu tapi dua atau tiga,” sinis Ghazlan.

“Itu lelaki lain, bukan aku.”

“Aku lelaki, Raqib. Aku tahu apa yang lelaki nak dalam hidup. Tak ada lelaki yang puas hanya dengan satu perempuan.”

Raqib diam beberapa detik. Laluan Afnan dipandang lagi, namun kawannya itu tetap juga tidak muncul-muncul. Ketika ini dia lebih bimbangkan Afnan dibandingkan kata-kata Ghazlan yang seperti sengaja mencabar kesabarannya. Namun sabarnya langsung tidak terburai. Tak mahu melatah dengan kata-kata orang yang terluka jiwa. Tapi apa yang nak dikisahkan sangat? Bukannya Ghazlan pernah bercinta dengan Nadra. Yang ada hanya tepukan sebelah tangan yang langsung tak bersambut. Sepatutnya Ghazlan tidak patut rasa sebarang kecederaan emosi.

“Tak semua lelaki macam tu. Kau tak boleh anggap semua lelaki sama kalau pun kau salah seorang daripada mereka.” Tenang saja cara Raqib berkata-kata.

Kali ini Shana terasa impiannya berkecai menjadi debu. Sedihnya hati di dalam bukan kepalang. Sesiapa pun tak tahu, sejak Raqib muncul dia pernah berangan-angan mahu menumpang sedikit kasih lelaki itu. Tapi bila Raqib nampak begitu setia pada Nadra, dia jadi tidak pasti lagi. Namun hendak menarik diri, dia seakan-akan tidak mampu pada saat hatinya memang sudah tertarik.

“Tak payah nak berlagak baik sangatlah, Raqib!”

“Aku bercakap bukan untuk tunjukkan yang aku baik depan kau sebab aku tak akan dapat apa-apa pun. Tapi aku berharap dalam hidup aku, biar Nadra seorang aje yang jadi isteri aku. Biar Nadra seorang saja yang pegang hati aku. Aku pun tak pernah bermimpi nak pegang hati perempuan lain kecuali Nadra. Minta dijauhkan perkara macam tu berlaku dalam rumah tangga aku dan Nadra.”

Senget bibir Ghazlan kerana tersenyum sinis. Tidak percaya pada pengucapan Raqib. Mana ada lelaki di dalam dunia ini yang cukup hanya dengan satu perempuan. Mula-mula memanglah setia, tapi bila sudah bertahun-tahun masa berlalu, pasti bosan menjengah juga. Saat itu, cinta yang ada pun pergi begitu saja.

Dia memanglah betul-betul sukakan Nadra. Itu pun dia tidak berani berjanji dia akan setia sampai bila-bila pada Nadra jika ditakdirkan Nadra jadi miliknya. Untuk masa beberapa bulan, atau setahun dua, dia akan setia. Bila masa berlalu, dia yakin hatinya akan berpaling pada yang lain. Lagi Nadra tidak tahu menjaga penampilan diri, lagilah hatinya cepat jatuh cinta pada perempuan lain. Sejak dari kecil dia memang sangat mementingkan penampilan diri. Sesiapa yang hendak berpasangan dengannya, harus juga kelihatan cantik dan menarik.

“Jangan yakin sangat! Takut-takut nanti kau terpaksa telan kata-kata kau sendiri. Masa tu baru kau tahu langit tu tinggi atau rendah.”

“Kau tahu apa yang ada dalam hati aku sekarang ni lepas dengar kata-kata kau sejak tadi lagi?”

Kening Ghazlan terjongket. Dia tidak mahu memberikan sebarang jawapan. Bukannya dia dan Raqib sedang bermain teka-teki ketika ini. Entah apa malang nasibnya bertemu dengan Raqib, dia sungguh-sungguh tidak tahu. Kalaulah dia tahu Raqib tidak ada apa-apa hubungan dengan perempuan yang tidak dikenali itu, dia tidak akan memunculkan dirinya. Dia mahu menyakitkan hati Raqib, tapi nampaknya hati dia sendiri yang sakit dengan ketenangan suami Nadra itu.

Lebar senyuman di bibir Raqib. Dia langsung tidak mempedulikan Shana yang masih bungkam. Tidak mengerti apa yang berlaku. Biarlah gadis itu hanya membuat tafsiran sendiri. Paling penting, dia mahu Ghazlan tahu kalau dia bergembira dan berbahagia mendapatkan Nadra sebagai isteri.

“Aku syukur sangat bila Nadra pilih aku dibandingkan kau. Sebab aku tak dapat bayangkan macam mana hidup Nadra ditakdirkan dia pilih kau. Mungkin Nadra akan jadi perempuan paling kesian dalam dunia ni sebab dapat suami tak setia. Pantang nampak perempuan berdahi licin. Padahal.. kecantikan luaran bukannya ada apa-apa. Sampai masa semuanya akan berkedut juga Ghazlan.” Dia sengaja menghentikan kata-katanya. Mahu melihat reaksi Ghazlan. Bila lelaki itu terpinga-pinga, dia rasa puas hati. Orang seperti Ghazlan tak perlu dilayan dengan cara yang kasar. Tentu tidak akan berkesan kerana di dalam hati itu sudah terpalit dendam kesumat padanya. Di mata Ghazlan, pasti dia perampas Nadra.

“Kau tahu, Nadra... bukan hanya cantik kat luar, tapi kat dalam juga. Aku bahagia jadi suami dia. Rasa beruntung sangat-sangat!” Dia sengaja berkata begitu demi membangkitkan rasa sakit hati Ghazlan. Biarlah Ghazlan membuat andaian sendiri kerana perkataan dalam yang dimaksudkan boleh saja membawa pengertian yang berbeza. Terpulang pada Ghazlan bagaimana hendak membuat tafsiran pada kata-katanya.

Ghazlan menyumpah dalam hati. Ikutkan hati mahu saja ditumbuk muka Raqib. Dia tahu Raqib sengaja mahu membakar hatinya. Sudahlah sepanjang kenal Nadra, dia langsung tidak dapat menyentuh isteri Raqib itu walaupun sekadar di jari-jemari. Puas dicuba tetap juga tidak berjaya kerana Nadra pandai mengelak. Setelah Nadra bergelar seorang isteri, impiannya jadi makin jauh dan terus menjauh. Tak mungkin Raqib akan membiarkan dia mencuit Nadra walaupun di hujung kuku. Silap-silap lumat dia dicencang Raqib.

“Shana, you tunggu sini sekejap I nak pergi tengok Afnan. Entah-entah dia perlukan bantuan. Aku jalan dulu, Ghazlan...” Dia terus berlalu begitu saja. Separuh hatinya meluat dengan pendirian lelaki seperti Ghazlan yang jelas-jelas bukan tipikal lelaki setia. Tapi separuh lagi hatinya puas kerana dapat mengenakan Ghazlan dalam tenang. Merah padam pada wajah itu menggamit rasa lucu. Rasa hendak ketawa cepat saja mengambil tempat. Mujur juga dia pandai mengawal.

Mujur Iha lamar abang, kalau Iha kahwin dengan Ghazlan, Iha mesti merana. Mungkin akan jadi bertambah kurus, detik hati Raqib sambil berjalan pantas. Namun hatinya lega bila Afnan muncul di hadapannya tiba-tiba.

“Sorry, bai... ramai pula orang kat toilet tadi,” ucap Afnan tiba-tiba.

Raqib yang melihat riak serba salah sahabatnya itu, hanya tersenyum nipis. Bersyukur kerana Afnan baik-baik saja.

2 comments:

  1. Hello Aieya, even though my bahasa sebelum Merdeka, da out of tune, I enjoyed reading your this interesting posting, love your humour too.
    Have a great week and keep a song in your heart.
    Lee.

    ReplyDelete
  2. nice..suka sangat dengan pendirian Raqib..lelaki setia...susah nak cari lelaki seperti itu kini.

    ReplyDelete