Minggu lepas, kalau
tak silap saya, ramai yang bercerita tentang pokok kurma yang berbuah di Kelantan.
Saya yang jarang ambil tahu hal-hal di TV tak tahu sangat tentang itu. Cuma ada
juga kawan-kawan yang bercerita di depan dan belakang saya di pejabat. Masing-masing
rasa teruja sampai, lebih-lebih lagi kawan saya yang berasal dari Kelantan dan
saya pun ikut teruja sama. Maklumlah, perkara jarang berlaku di Malaysia. Diam-diam,
dalam hati teringin juga nak tengok dengan mata sendiri. Tapi bila mengenangkan
jarak antara Kelantan dan KL yang agak jauh, saya batalkan ajelah niat tu.
Mungkin kalau ada rezeki, satu hari nanti sampai jugalah saya ke sana. Yang
pasti bukan dalam jangka masa yang terdekat ini. Bukan saya tak pernah jejak
bumi Kelantan, pernah. Hanya jejakkan kaki semata-mata sebab nak tengok pokok
kurma yang berbuah, aduhai... saya mungkin belum sampai ke tahap serajin itu.
Tapi... kuasa ALLAH
itu memang tak pernah terfikir oleh manusia. Kalau memang rezeki saya, tak kira
berada di mana, tetap juga rezeki saya. Balik ke JB hujung minggu lepas. Balik
dua hari aje pun, tapi itu pun dah buat saya rasa syukur sangat-sangat. Dapat juga
berbuka puasa dengan keluarga saya. Dan berkumpul dengan mereka, satu
kegembiraan dan kebahagiaan yang tak mungkin dapat dikutip di mana-mana.
Berbalik soal tadi,
ketika dalam perjalanan menuju ke Mydin dengan adik dan ipar saya, dia orang
bagi tahu saya yang pokok kurma di Kota Iskandar berbuah. Saya? Tentulah tak
percaya sebab kalau betul berbuah tentu dah kecoh dan semua orang tahu. Lagipun
adik dan adik ipar saya tu bukannya boleh percaya sangat, kaki sakat dan auta
nombor satu tu. Berkali-kali diyakinkan saya, berkali-kali saya tak percaya
sampailah adik saya berhenti betul-betul di depan pokok kurma yang berbaris
sepanjang jalan.
Ya ALLAH...
kagumnya saya dengan kekuasaan ALLAH. Ternyata mereka berdua tak auta saya kali
ni. Jelas kat mata saya buah-buah kurma yang bergugus-gugus dengan warna kuning
bergayut. Terkedu jugalah saya. Lepas tu saya dengan rasa berkobar-kobar kata, “Berhenti,
berhenti! Akak nak bergambar. Akak nak bergambar”. Sudahnya, adik saya layankan
juga. Sanggup patah sekali lagi demi nak penuhkan permintaan kakak dia yang
lebih teruja daripada orang yang tanam pokok-pokok kurma tu agaknya.
Walau buahnya tak
masak lagi, tak dapat pun nak pegang sebab agak tinggi, jauh sekali nak
masukkan ke dalam mulut, saya dah rasa sangat gembira. Dalam masa beberapa hari
saja berhajat, akhirnya ALLAH perkenankan hajat tersebut tanpa perlu bersusah
payah. Tak kisah sama ada di Johor atau Kelantan, yang penting saya dapat
tengok pokok kurma berbuah dengan mata saya sendiri. Bukan hanya mendengar
cakap-cakap orang semata-mata. Dan lebih daripada itu, jarak pokok-pokok kurma
tersebut dengan rumah abah saya, hanya beberapa kilometer dan hanya mengambil
masa tak sampai pun 10 minit.
Kalau nak diikutkan
hati, saya sebenarnya teringin juga nak petik buah kurma tu. Tapi memandangkan agak
tinggi dan saya memerlukan tangga untuk melakukannya, saya batalkan niat tak
suci tu. Silap-silap, kalau staf MPJBT membuat rondaan, ada yang terpaksa
diangkut ke balai polis walaupun saya bekas pekerja mereka 10 tahun lalu.
Apa pun, saya rasa
gembira kerana bagi saya pokok kurma berbuah di Malaysia merupakan satu
keajaiban daripada ALLAH, biarpun ada banyak lagi andaian negatif yang dibuat kerana jika kita melihat sesuatu itu dengan pandangan negatif, maka negatiflah jadinya. Jika positif, maka positiflah sudahnya. Itu hal orang dan saya tak nak ambil tahu hal yang tak berkaitan dengan saya.
Yang saya tahu, saya dah tengok pokok kurma berbuah di Johor Bahru. Hanya itu!
No comments:
Post a Comment