- BERBANGGALAH DENGAN KEJAYAAN KAWAN KITA... -

July 1, 2014

Kawan itu datang dan pergi mengikut musim! Itu... pendapat saya dan pendapat itu tak semestinya disokong kerana saya tak pernah meminta sokongan daripada sesiapa. Saya bukan calon pemimpin dalam pilihan raya, calon ketua kampung atau calon ketua pelajar jauh sekali. Jadinya, sebaris ayat itu bukan bertujuan untuk memancing undi ya. Sila jangan salah faham. Tak dibenarkan sama sekali okey!

Saya tak akan kata begitu kalau saya tak mengalaminya. Sebabnya, kawan sekolah rendah, kawan sekolah menengah, kawan universiti dan kawan kerja, semua orang yang berbeza. Kalau pun ada yang sama, jumlahnya boleh dikira dengan jari sepuluh milik saya ni.

Tapi... meskipun pendapat saya tu kedengarannya sangat kejam, saya tak pernah mengharapkan yang tidak-tidak berlaku pada kawan-kawan saya tu. Bahkan saya tak pernah lupa mendoakan mereka, tak kira walau di mana mereka berada dan apa juga yang buat.

Saya akui, saya jarang bertemu atau mungkin tak jumpa langsung dengan kawan-kawan daripada zaman sebelum kerja. Tapi kalau terjumpa atau berjumpa, insya-ALLAH saya akan tegur kalau perasan kerana tak ada apa yang mampu membuatkan saya mendongak ke langit sehingga lupa pada rumput yang menjadi lantai tempat kaki saya berpijak.

Lupa diri. Bongkak. Riak. Itu... bukan prinsip hidup saya. Lagipun, apa aje kejayaan yang dah saya capai sehingga saya nak bersikap seperti merak kayangan. Setakat jadi penulis cabuk. Di mana hebatnya seorang penulis? Tak ada. Yang ada, hanya sedikit kelebihan yang mungkin tak ada pada segelintir orang kerana kerja menulis itu bukan satu kerja yang mudah walau nampak seperti sesenang membaca ABC bagi orang yang reti membaca.

Dan sebagai seorang kawan, walau saya bukanlah seorang kawan yang baik. Tapi ditakdirkan ada antara kawan-kawan saya yang bermusim-musim itu berada nun jauh di atas dan di hadapan saya, atau dalam erti kata yang lain lebih segala-galanya dibandingkan saya yang banyak kurang ni, saya akan rasa bangga dengan pencapaian mereka. Saya akan turut bergembira kerana kejayaan mereka walau di celah-celah kejayaan itu, kewujudan saya dah tak ada lagi. Bukannya, kehebatan kawan saya itu menjadikan saya menjarakkan diri atau perlahan-lahan menarik diri daripada kehidupan mereka.

Tahu kenapa? Kerana dalam kamus kawan, tak ada istilah iri hati atau sakit hati dengan kejayaan kawan-kawan yang lebih berjaya. Yang ada hanya, rasa tumpang gembira dan diam-diam mahu mencapai kejayaan seperti mereka. Kalau pun tak melebihi mereka, cukuplah setara dengan mereka kerana setiap manusia itu punya hak untuk mengubah diri asal saja perubahan itu dibuat demi kebaikan, bukan kejahatan.

Menjarakkan diri atau menjauhkan diri kerana konon-kononnya, kawan kita lebih hebat daripada kita, itu... tak masuk akal. Tak boleh diterima langsung kerana kita secara tak sedar sebenarnya telah menunjukkan kelemahan diri kita. Pertama, kita tak percaya pada kebolehan diri kita sendiri. Kedua, kita takut pada persaingan yang sihat. Ketiga, kita tak boleh lihat kawan kita lebih daripada kita. Dan keempat dan lebih kejam, kita dalam diam rasa cemburu dengan kawan kita sendiri. Atau dalam bahasa yang lebih kasar, kita tak mahu kawan kita lebih daripada kita walaupun kelebihan itu dicipta atas usaha kawan kita sendiri, bukannya dia berjaya atas usaha memijak kepala kita.

Tak adil, kan bila kita menjatuhkan hukuman pada yang bukan berhak mendapatkan hukuman tersebut? Dan tepuklah dada, kemudian tanya hati dan akal yang sihat, betulkah tindakan yang dah kita buat, meminggirkan diri kerana kawan kita lebih hebat daripada kita? Jawapannya, ada dalam diri kita kerana kita boleh tipu orang tapi kitalah yang menentukan siapa kita. Salam Ramadan ketiga daripada saya, ;-)

No comments:

Post a Comment