SHANA koyakkan gambar yang ada di tangannya kecil-kecil.
Direnung seketika sebelum dilambung tinggi ke udara. Ada yang jatuh di atas
katil, ada yang jatuh di atas permaidani tebal berwarna hitam di kakinya.
Kemudian dia tergelak bagai kurang siuman.
Dia sukakan Raqib. Setiap kali memandang
wajah Raqib jantungnya selalu berdenyut pantas. Rasa yang sama dialami ketika
mula-mula kenal Naim dulu. Melihat senyum dan ketawa Raqib, dia selalu rasa
bahagia.
Namun saat Raqib membuka mulut menyebut
nama Nadra, sekelip mata saja tubuhnya rasa bagai terhempas ke tanah. Sakit
terasa bukan hanya di tubuh, tapi di hati lebih-lebih lagi. Dia ada di hadapan
Raqib, kenapa masih nama Nadra yang lelaki itu sebut dan bukan namanya?
“Raqib jahat! Jahat macam Naim!”
Mata Shana berkaca, kemudian
perlahan-lahan air jernih itu memenuhi kolam matanya, selepas itu melimpah
keluar bila sudah tidak mampu ditampung, lalu mengalir melewati pipi. Menitis
pula membasahi ribaannya.
“Raqib sangat jahat sebab tak nampak aku
di depan mata walaupun aku memang ada. Raqib hanya nampak Nadra...”
Cebisan-cebisan gambar di atas katil
ditolak-tolak dengan hati yang geram. Sekelip mata wajahnya yang tadinya suram
bertukar merah. Ada rasa marah membuak-buak dalam hatinya. Meliar matanya
memandang ke sekeliling katil bercadar biru yang menampung tubuhnya. Melihat
kepingan-kepingan di hujung katil, pantas dia merangkak. Dengan rambut yang
berserabai, dia menolak kepingan-kepingan
gambar tersebut sehingga jatuh ke bawah.
Tajam matanya melihat kepingan gambar
yang tidak mengerti apa-apa itu. Geramnya masih belum hilang. Namun semakin
lama dilihat, semakin jelas wajah Nadra di matanya. Nadra yang tenang. Nadra
yang sedang senyum. Malah semakin diamati semakin jelas telinganya menangkap
ketawa Nadra. Halus saja kedengarannya, tapi meresap sampai ke segenap ruang
hatinya.
“Kau pun jahat Nadra! Sama macam Raqib!
Sama macam Naim! Sama macam isteri Naim!” marahnya pada bayang-bayang Nadra.
Dadanya yang berombak-ombak menahan
amarah, semakin lama semakin perlahan. Kemudian tangisannya pecah lagi. Suasana
yang tadinya aman damai, sedikit bingit dengan esakannya yang kuat.
“Kenapa kau ambil Raqib, Nadra?” rintih
Shana dalam sedu-sedan. Tubuhnya digoyang-goyangkan.
“Ya ALLAH... Shana! Kenapa ni?” tanya
Puan Sri Ratna tiba-tiba. Terkejut melihat cebisan-cebisan kertas putih
berselerak di atas permaidani. Namun dibandingkan cebisan-cebisan itu, hatinya
lebih gusarkan Shana. Anaknya kelihatan semakin laju menggoyang-goyangkan tubuh
dalam keadaan muka yang masih tersembam di lutut. Ada sesuatu yang Shana
katakan tapi tidak mampu diamati. Yang jelas kedengaran hanya nama Raqib dan
Nadra.
Siapa Raqib? Siapa Nadra? Apa kaitan dua
nama itu dengan keadaan Shana pada ketika ini?
Dadanya terasa sakit. Takut membayangkan
keadaan Shana kembali seperti dua tahun lalu. TUHAN... tolonglah! Biarkanlah
anakku ini menikmati hidup seperti orang lain. Lupuskanlah segala luka yang ada
di hatinya, doa Puan Sri Ratna bertalu-talu dalam hati.
Bagi seorang ibu, tidak ada apa yang
lebih menyakitkan dibandingkan melihat air mata anak-anak mengalir di pipi
gara-gara gagal mendapatkan apa yang dimahukan. Betapa kalau boleh, dia mahu
memberikan semua yang Shana mahukan dalam hidup. Tapi sebagai seorang ibu juga,
kemampuannya begitu terbatas. Memaksa Naim kembali ke pangkuan Shana sedangkan
Naim tidak mahu, sampai ke hujung nyawa pun dia tidak akan mampu.
Sudah ditakdirkan jodoh Naim dengan
perempuan lain, meskipun mengetahui khabar itu sehari sebelum majlis
perkahwinan itu berlangsung. Satu tamparan yang sangat hebat untuk Shana dan
keluarga mereka. Tapi apa daya mereka? Hak mencintai dan tidak mencintai itu
hak individu. Kalau sudah hati Naim tidak ada pada Shana, apa perlunya memaksa?
Sebagai ibu Shana, dia tidak rela membiarkan hati dan perasaan Shana
diperkotak-katikkan. Namun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Shana ternyata tidak kuat menerima kenyataan yang cinta Naim sudah beralih
arah.
“Mama...” panggil Shana dengan suara
yang hiba.
“Anak mama,” ucap Puan Sri Ratna. Kepala
Shana disentuh penuh kasih.
“Shana nak Naim. Shana rasa betul-betul
rindu pada Naim, ma...” Lirih nada suara Shana. Enam hari yang lalu, kalau
perkahwinan dia dan Naim berlangsung, genap dua tahun usia perkahwinan mereka.
Namun dia tidak berasa sedih kerana hatinya gembira membayangkan dia akan
selalu ada di sisi Raqib sepanjang tempoh lima hari di Kuala Terengganu.
Malangnya, apa yang diharap tidak menjadi.
Raqib tidak memandangnya lebih daripada
seorang kawan. Malah, Afnan menganggapnya lebih istimewa dibandingkan dia di
mata Raqib. Dia sedih dan rasa sedih itu buat dia kembali teringat pada Naim
dan kecurangan lelaki itu.
“Sabar, sayang. Banyak-banyak istighfar.
Ingat ALLAH”
“Kenapa Naim tinggalkan Shana, mama? Kenapa
dia kahwin dengan perempuan lain sedangkan dia dan janji pada Shana? Dia tunang
Shana, mama...” rintih Shana terus. Muka diangkat. Pipinya lencun dengan air
mata. Sejak Raqib muncul, dia sudah hampir melupakan Naim. Air matanya juga
sudah lama tidak tumpah buat lelaki yang kini hanya tinggal kenangan. Harinya
yang suram kembali bersinar hanya dengan menyebut sebaris nama Raqib.
Membayangkan wajah Raqib pula buat dia bahagia.
“Jodoh maut, ajal pertemuan bukan ada di
tangan manusia. Shana tahu tu kan?”
“Tapi Naim dah janji nak hidup dengan
Shana. Dia kata tak akan tinggalkan Shana walau apa pun terjadi. Sudahnya...
dia kahwin dengan orang lain.”
Mata Puan Sri Ratna bergenang dengan
air, tapi pantas dikedip-kedipkan. Tidak mahu air matanya gugur di hadapan
Shana. Bimbang air mata yang gugur akan membuatkan Shana semakin hilang
semangat. Sedangkan sepatutnya, dialah yang menjadi penenang dan penguat
semangat satu-satunya anak perempuan yang dia ada itu.
Shana sedang mengalami masa-masa sukar,
dia mahu selalu ada di samping Shana. Biar ramai yang memandang serong pada
Shana selepas perkahwinan tidak jadi itu, dia tetap tidak peduli. Kalau pun
benar Shana mengalami masalah jiwa seperti kata kebanyakan kenalan, dia tetap
mahu Shana merasakan banyaknya kasihnya yang mengalir untuk anak kesayangannya
itu.
“Manusia merancang, tapi ALLAH lebih
tahu. Anak mama tahu kan?” Tetap lembut suara Puan Sri Ratna.
“Tapi kenapa mesti Shana, mama?”
“Sebab Shana kuat sebab tu Shana diuji
dengan ujian yang besar. Bukan semua orang tabah macam Shana.”
Kepala Shana menggeleng pantas
menidakkan kata-kata mamanya. Dia tahu dia tidak sekuat mana.
“Mama tahu Shana anak yang kuat dan akan
terus kuat walaupun dugaan yang datang sangat besar.”
Shana diam. Matanya jatuh ke arah
cebisan-cebisan gambar. Gambar itu dicuci malam tadi, tapi pagi ini sudah tidak
lagi boleh dipanggil gambar. Terlalu asyik merenung wajah Raqib, malamnya dia
bermimpi. Dalam mimpi itu, Raqib nampak sangat gembira duduk di sisi Nadra.
Mereka berdua langsung tidak memandang padanya. Hatinya benar-benar tercarik
luka.
“Shana nak Raqib, mama. Shana nak Raqib.
Muka Raqib sama macam Naim. Shana nak Raqib, ma...”
Raqib? Puan Sri Ratna gigit bibir. Cuba
mencari seraut wajah milik lelaki bernama Raqib.
Jemput melawat di sini : LELAKI ITU DIA
No comments:
Post a Comment