SHANA berdiri di hadapan pintu kaca Restoran Murni Discovery yang
tertutup rapat. Kepala dijenguk-jenguk sedikit. Ada! Melihat Thaqif, dia
menggeleng dalam senyuman. Hatinya berdebar-debar sendiri. Kalau tak dikawal,
mungkin dadanya akan pecah dek pukulan jantung yang bagaikan tak mahu
berkompromi dengannya.
Sudah lebih 15 minit dia berdiri di luar restoran. Masih
sibuk memujuk hati supaya bertenang. Namun tetap juga hatinya bimbang. Takut
kalau-kalau hari ini dia bakal menerima maki hamun daripada Thaqif. Siapa tahu
lelaki yang tetap melayannya dengan lembut walaupun selepas dikacau-bilaukan
hidup olehnya, tiba-tiba naik hantu saat terpandangkan rupanya yang tak cantik
mana ini.
“Tapi... aku bukannya nak kahwin dengan dia pun, kan? Kenapa
perlu cuak tak tentu pasal?”
Liur ditelan berkali-kali. Pertanyaan sejak memasuki kereta
tadi, bermain-main lagi di kepalanya. Sungguh... dia bingung!
Separuh hati mahu balik ke Kedai Buku Kasih. Tak ada gunanya
dia ada di sini kerana pada dasarnya, bukan ini yang dia inginkan. Tapi separuh
lagi meminta dia terus berhadapan dengan Thaqif. Kalau bukan dia sebagai kawan,
siapa lagi yang boleh diharapkan?
“Tapi kalau aku dimaki Thaqif, macam mana?”
Kepala, Shana ketuk perlahan dengan jari telunjuk kanan.
Makin buntu jadinya. Kemudian mata dibuang ke hadapan. Kenderaan masih bertali
arus menuju ke destinasi masing-masing. Jarum jam di tangan dipandang sekilas.
Masa tak pernah menanti manusia.
“Alang-alang menyeluk pekasam Shana. Biarlah sampai ke
pangkal lengan.”
Ya, dia anggap saat ini dia sedang membalas kebaikan mereka walau tak pernah minta
dibalas. Dengan lafaz bismillah, dalam langkah yang tenang dia kembali
menggerakkan kaki ke hadapan.
“Hai, abang...” tegur Shana selamba.
Thaqif yang terkejut, pantas panggung kepala. Tajam matanya
menombak anak mata Shana. Mahu merakamkan wajah yang telah merosakkan harinya
selama beberapa minggu ini dalam ingatannya. Tak mahu terlupa walaupun sedikit.
Jujurnya, melihat si gadis bertudung, dia terkedu. Tak percaya hijab yang
dipakai langsung tak mampu menutup malu Shana. Padahal, dia membayangkan gadis
itu bukan seperti ini. Sayang, sangkaannya sasar sama sekali.
Tapi kalau sopan begini, kenapa tingkah sangat berlawanan?
“Kenapa tak datang esok petang aje?” tempelak Thaqif
selamba.
“Ingat memang nak datang esok petang tapi tak sampai hati
pula biarkan abang sorang-sorang hari ni. Itu yang saya datang tu,” balas Shana
selamba. “Manalah tahu, kot-kot abang rindukan saya nanti,” sambungnya masih
dalam nada suara dan air muka yang sama.
“Saya tak ada masa nak berloyar buruk.”
“Loyar baru boleh?”
Membuntang mata Thaqif. Aneh bila Shana langsung tak
terkesan dengan nada kurang mesranya. Tetap juga gadis itu mempamerkan senyuman
meleret. Kemudian selamba saja melabuhkan punggung di hadapannya. Bila mata
Shana tertancap ke arah airnya, cepat-cepat dijauhkan. Tak rela dia berkongsi
minuman dengan gadis yang tak dikenali.
“Tangkai jering betullah abang ni,” ejek Shana selamba. Dia
ketawa-ketawa kecil.
Kuat Thaqif ketap bibir. Geramnya rasa bukan kepalang.
“Siapa abang awak?”
“Abanglah!”
“Tolonglah jangan nak perasan. Adik saya cuma dua!”
“Kalau macam tu jadikan saya adik angkat abang. Boleh?”
“Tak payah!”
“Adik ipar boleh?”
“Adik saya pun tak nak kat awak.”
Shana jongket bahu. Thaqif jelas mempamerkan air muka kurang
mesra. Nampak sangat lelaki itu terpaksa menemuinya. Ikutkan hati, dia hendak
ketawa besar. Tapi jauh di sudut hati, dia rasa lega. Thaqif ternyata tak
seperti yang disangka.
“Sampai hati abang cakap macam tu. Saya bukanlah teruk
sangat pun. Kalau abang kenal saya, saya okeylah. Kalau kita jadi adik ipar dan
abang ipar, abang mesti bangga. Ramai dah yang nak jadikan saya ni menantu
mereka, tapi saya tolak mentah-mentah. Hati saya tak tertarik dengan anak
mereka. Mungkin kita ni berjodoh nak jadi keluarga agaknya tak, abang?” ujar
Shana selamba.
Sengaja dipuji diri sendiri. Mahu melihat bagaimana reaksi
Thaqif. Bila air muka Thaqif berubah sedikit, dia ketawa kecil. Kalaulah orang
lain mendengar kata-katanya, mungkin setahun gelak mereka tak habis.
“Awak ni perasan ya?”
“Ya ke? Abang rasa saya macam tu ke? Saya langsung tak
perasan. Yalah, kita mana boleh nilai diri sendiri. Kalau terpaksa nilai pun
tentu aje nak letak angka yang tinggi-tinggi biar menjulang sampai ke langit.”
Dengan mata memandang Thaqif, dia mengeluarkan bedak di
dalam beg tangan. Pantas saja wajah dilihat di dalam cermin. Lantas, dia
tersenyum manis pada diri sendiri.
Thaqif yang melihat, semakin terkedu. Kelu lidah melihat
betapa bersahajanya aksi-aksi Shana. Langsung tak peduli pada pengunjung yang lain,
walau tak ada yang memandang. Masih-masing leka memenuhkan perut sendiri. Jauh
sekali berasa segan dengan dia yang pertama kali ditemui. Kalau gadis lain,
mungkin akan tersipu-sipu malu dengan muka merona merah.
Kenapa gadis yang satu ini begitu lain tingkahnya?
“Kalau tak boleh jadi adik ipar, jadi ibu tiri abang
ajelah!”
“Mengarut apa ni?” tanya Thaqif geram. Kalaulah mamanya
mendengar, mahu dipenggal kepala Shana.
“Chill bro! Jangan
marah-marah sangat.”
Kuat rengusan Thaqif. Diam-diam, sabar yang hampir bertabur
dikutip satu demi satu. Sudah diingatkan hatinya supaya sabar menangani Shana.
Jangan marah-marah dan tak perlu garang-garang kalau dia benar-benar mahu gadis
itu berhenti daripada mengganggu hidupnya. Hanya perlu bercakap baik-baik
kerana itu lebih berkesan. Namun, ternyata apabila berhadapan begitu, laluannya
seakan-akan sukar. Shana di dalam talian, sama saja seperti Shana di
hadapannya.
“Awak nak apa sebenarnya daripada saya?”
“Nak jadi isteri abanglah! Nak apa lagi?”
“Jangan main-main boleh tak?”
Shana terus tersenyum. Kecil kedua-dua belah matanya kerana
senyumannya yang ikhlas. Kasihan juga melihat Thaqif yang nampak bengang, tapi
dia tak ada pilihan lain lagi. Thaqif harus bersabar dengannya. Mungkin hanya
sekejap, atau mungkin mengambil masa berbulan-bulan lagi. Bertahun-tahun? Tak
mungkin! Hidupnya tak akan disia-siakan begitu saja semata-mata untuk menarik
perhatian Thaqif.
“Saya makan dulu, boleh? Lepas tu kita bincang ya?”
“Tak boleh! Saya nak cepat ni. Kalau awak banyak masa free, jangan ingat orang lain pun sama
juga macam awak,“ bebel Thaqif.
“Dan, saya nak abang belanja saya makan hari ni,” kata Shana
tanpa mempedulikan bantahan Thaqif.
“Awak ingat saya cop duit ke main minta belanja macam tu
aje?”
Bahu Shana terjongket sedikit. Mukanya masih juga
berseri-seri. “Saya tak ada duitlah abang sebab saya kerja biasa-biasa aje.
Gaji pun tentu tak banyak macam abang. Murah hatilah sikit dengan saya hari
ni.”
“Tak nak!”
“Saya lapar. Lapar sangat ni. Kalau gastrik saya datang,
macam mana? Abang nak dukung saya bawa pergi klinik kalau saya tak boleh jalan?
Saya ingatkan abang siap-siap yang saya ni bukan ringan sangat. Berat saya 50
kg. 50 kg tau! Bukannya 5 kg. Saya ulang lagi, 50 kg. 5...”
“50 kg. Cukuplah sebut tu! Saya masih belum pekak lagi. Pagi
tadi pun saya dah korek telinga lepas mandi,” potong Thaqif pantas.
“Saya nak makan!”
“Saya tetap tak nak tunggu.”
Air muka Shana berubah sugul. Bedak di atas meja diletakkan
kembali di dalam beg tangan dalam gerakkan yang lambat-lambat. Otaknya ligat
berfikir tentang banyak perkara. Thaqif yang tak marah-marah itu bukanlah
begitu mudah untuk ditundukkan. Nampak keras kepala dalam tenang. Muka pun
langsung tak manis seperti gula. Sukar juga hendak beralah pada perempuan.
“Kalau macam tu tak payah makanlah. Biar ajelah saya kebulur
sepanjang hari ni. Kalau saya mati, saya jadi hantu saya cekik abang sebab
kedekut dengan saya. Harapkan gaya aje macam ada duit berkepuk-kepuk. Minta
belanja makan sepinggan pun berkira macam Haji Bakhil.”
“Mana awak tahu duit saya ada berkepuk-kepuk?”
“Tengok pun dah tau,” kata Shana sambil menjuihkan bibir.
“Dia nilah!”
Thaqif gamit seorang pelayan supaya menghampiri mereka.
Tanpa bertanya apa yang Shana mahu makan, dipesan nasi lemak kukus untuk gadis
itu. Baginya, itu sajalah makanan yang paling cepat boleh dihidangkan.
“Terima kasih, abang,” ucap Shana ikhlas.
Langsung Thaqif tak membalas. Tubuhnya disandarkan di
kerusi. Air epal yang belum diminum, hanya dipandang. Otaknya kosong. Namun
saat melihat Shana sudah mula mencapai sudu dan garpu, dia melepaskan keluhan
panjang. Kesal kerana berada di sini, saat ini. Sepatutnya, diabaikan saja
permintaan Shana yang mahu bertemu dengannya. Tapi berterusan menerima gangguan
daripada gadis itu, dia tak tahan. Dunianya yang aman damai mahu dikembalikan.
Lantaran itu, dia ada di sini sudahnya.
“Makan, bang...” pelawa Shana.
Thaqif hanya diam. Diperhatikan saja cara Shana menyuap
makanan ke dalam mulut. Nampak begitu tertib dan lemah lembut. Tak gelojoh dan
terburu-buru seperti kata-kata yang gadis itu keluarkan setiap kali berbicara
dengannya. Bila sesekali mengelap mulut dengan tisu, jemari-jemari runcing itu
nampak bergerak perlahan. Gemalai seperti lalang yang ditiup angin.
Lalang ditiup angin?
Diakah yang baru aku kata lembut seperti lalang ditiup
angin?
Tak mungkin! Gadis tak malu ini tak mungkin seorang yang
lemah lembut. Sopan santun jauh sekali.
“Alhamdulillah...” ucap Shana, lalu menolak pinggannya ke
hadapan. Kemudian, air laici di dalam gelas dicapai dan disedut perlahan.
Sedar, daripada tadi tingkahnya diperhatikan Thaqif. Dia rasa kurang selesa
dipandang begitu. Namun sengaja dibuat seperti sedang makan seorang diri.
Thaqif hanya dianggap seperti patung lilin.
“Kenapa tak habiskan makanan awak tu? Kata lapar benar
tadi,” sinis Thaqif sambil mencebikkan bibir.
“Dah kenyanglah sebab tu tak habis.”
“Membazir tu sedara syaitan, tahu? Lagipun... awak ingat
senang ke saya cari duit sampai awak sia-siakan nasi lemak kukus tu?”
No comments:
Post a Comment