QARA berdiri terpaku. Matanya tertancap terus pada seraut
wajah comel yang masih melagukan tangisan pilu. Bingit. Namun langsung tidak
menjejaskan pandangannya. Tetap juga panorama itu kelihatan indah, apalagi bila
satu demi satu butir air hangat mengalir lewat pipi mongel itu.
Sungguh, dia mahu melihat terus
panorama yang sama sampai bila-bila.
“Irham... janganlah macam ni. Sabar sikit ya?
Tunggu papa datang sekejap lagi.”
Bila tangisan semakin kuat, Qara
tergelak kecil. Kemudian dia menghampiri wanita yang tampak kalut memujuk si
kecil.
“Assalamualaikum... perlukan bantuan?” tawar
Qara ikhlas.
Rosnah panggung kepala. Melihat
senyuman terukir di bibir Qara, dia tersenyum kelat. Tudung yang terasa senget
dibetulkan dengan tangan kiri. Namun tangan kanannya tetap memeluk Irham yang
masih selesa membuat konsert tak berbayar. Anak kecil itu kini benar-benar
sudah tidak boleh dipujuk.
“Budak Irham ni merajuk,” luahnya kesal. Salam
yang diberi hanya dijawab dalam hati.
“Merajuk?” Kening Qara hampir
bertaut. Hairan mendengar kata-kata wanita di hadapannya.
“Ya, merajuk sebab lambat
dibuatkan susu. Dia memang tak boleh lambat seminit. Nangis macam nilah. Dah tu
kalau dah nangis bukannya senang nak dipujuk. Ambik masa yang lama,” kata
Rosnah terus.
Qara ketawa perlahan. Geli hati
dengan penjelasan wanita yang masih mengusap-usap kepala anak kecil itu. Kalau
orang tua merajuk, itu memang sudah biasa dia dengar. Tapi anak kecil merajuk,
itu cerita baru untuknya.
“Oh, jadi anak kakak ni merajuk?
Padanlah nangis.”
“Bukan anak Kak Ros tapi anak
majikan Kak Ros.”
“Saya rasa baik Kak Ros buatkan
dia susu, jangan tunggu lagi. Kesian dia ni.” Qara sapu air mata di pipi Irham.
Pipi yang tidak begitu tembam itu benar-benar menarik minatnya. Ikutkan hati
mahu saja dicubit-cubit. Tapi mengenangkan dia tidak sewajarnya berbuat begitu,
dia hanya menggosok-gosok kepala Irham.
“Tunggu papa Irham. Kata sekejap
aje, ni sampai sekarang tak datang-datang lagi. Kalau dia tak ada, siapa yang
nak pegangkan Irham ni?”
Qara membuang pandang ke kawasan
sekitar. Cuba mencari lelaki yang dikatakan papa Irham, tapi kecuali mereka
bertiga memang tidak ada sesiapa. Kalau ada pun, di bawah sana. Itu pun
masing-masing sedang menikmati kemeriahan tersendiri, hasil ciptaan Datuk Kamil
dan Datin Jalilah.
“Nak saya tolong pegangkan budak
comel ni?”
“Boleh ke?” Rosnah serba salah.
Dia tidak mahu menyusahkan wanita itu.
“Kak Ros ada pilihan lain lagi
ke?” duga Qara sambil tersenyum manis.
“Tak ada.”
“Kalau macam tu biar saya pegang
Irham. Kak Ros buat susu dan lepas tu cepat-cepat datang ke sini.”
Rosnah kian teruja, berbesar hati
dengan pertolongan yang ditawarkan. “Tapi...” Hatinya berbolak-balik tiba-tiba.
Qara hulur tangan ke arah Rosnah.
Bersedia untuk mengambil Irham yang masih berada di dalam dukungan wanita itu.
Hatinya sudah tidak sabar mahu menyentuh sekujur tubuh kecil itu. Anak polos
tanpa dicemari dosa, sesiapa yang melihat pun tentu akan jatuh sayang. Apalagi
dia yang memang tidak pernah rasa bagaimana mempunyai seorang adik.
“Nama saya, Qara Nafisa. Kak Ros
panggil Qara aje. Jangan bimbang, saya ikhlas nak tolong sebab saya tak sampai
hati tengok Ihram terus nangis macam ni.
Saya janji tak akan ke mana-mana dan saya tak akan bawa Irham lari. Kalau saya
lari pun, Kak Ros boleh bawa polis cari saya. Tanyakan aje pada Dhia kat mana
saya tinggal sebab saya kawan baik dia,” terang Qara panjang lebar.
Rosnah gigit bibir. Malu bila
kecurigaannya mampu dihidu Qara dengan mudah. Padahal, dia nampak jelas
keikhlasan terpeta pada wajah berbujur sirih dengan mata bulat itu.
“Ni tawaran terakhir, nak saya
tolong tak? Kalau tak nak tak apa, saya nak turun.” Qara sudah
tersenyum-senyum.
Akhirnya, Rosnah ikut senyum sama.
Hatinya tercuit dengan kata-kata Qara yang sangat selamba.
“Maaflah sebab Kak Ros curiga
tadi.”
“Tak apa, saya faham. Kalau saya
di tempat Kak Ros, saya pun akan fikir perkara yang sama.”
“Nah, ambillah Irham ni. Maaf juga
sebab Kak Ros terpaksa susahkan Qara.”
Sekelip mata, Irham sudah ada di
dalam dukungan Qara. Kejap dia memeluk tubuh Ihram, dibawa rapat ke dadanya dan
didakap erat-erat. Lantas, laju saja bibirnya berlabuh di kepala yang berambut
lebat itu. Terasa tenang mengalir di segenap hatinya. Dalam masa beberapa saat,
anak kecil yang tidak punya apa-apa pertalian dengan dirinya itu berjaya
mengusir galau di hatinya.
“Comel!” Sepatah kata muncul di
bibir Qara.
“Kak Ros tinggalkan dulu ya?”
Hanya anggukan yang Qara balas
sebagai tanda memberi izin. Tumpuannya penuh tertumpah pada Irham yang masih menangis.
Sedikit kesal membenih di hati. Tidak sepatutnya Ihram dibiarkan merajuk
begitu. Seharusnya sebelum tangisan keluar, perut kecil itu sudah dipenuhkan
terlebih dahulu. Anak kecil memang tidak tahu berkata-kata, namun orang dewasa
tentu lebih maklum.
“Lapar ya sayang?” tanya Qara
lembut. Sekali lagi bibirnya mencecah pipi Irham yang masih basah.
Tangisan Ihram terus berlagu.
Matanya tetap mengalir air jernih.
“Tunggu ya, kejap lagi susu Irham
sampai,” pujuk Qara dalam nada suara yang sama. Kepala kecil Irham diusap-usap
penuh kasih.
Macam ni juga agaknya ibu pegang
aku dulu?
Pernah tak agaknya ibu usap-usap
kepala aku penuh kasih sayang macam aku usap kepala Ihram?
Namun pertanyaan itu hanya kekal
sebagai pertanyaan. Ibunya tidak ada untuk memberikan jawapan. Orang-orang yang
pernah menjadi saksi masa kecilnya juga tidak ada. Lalu nafas ditarik
dalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan. Seketika, hatinya kembali
lapang.
“Macam mana ya aunty nak pujuk
Irham ni?” tanyanya perlahan.
Tubuh kecil Irham diletakkan di
atas sofa. Kepala Irham dialas dengan bantal kecil berwarna biru yang memang
ada di situ. Dia menepuk-nepuk tangannya beberapa kali demi menarik perhatian
Irham. Cubaannya berjaya bila mata Irham bulat menyapanya, meski masih berair.
“Lapar ya?” tanya Qara sekali
lagi. “Kesiannya dia. Sabar sikit ya sayang...”
Dikucup lagi pipi Ihram. Bila dia
mengangkat muka, tangisan nyaring Ihram tidak kedengaran lagi. Yang kelihatan
hanya tubuh kecilnya yang sedikit bergegar akibat menahan esakan.
“Sayang dah berhenti menangis? Good boy!” puji Qara senang hati.
Diangkat kembali tubuh Irham dan
didakap erat-erat. Dia tidak tahu bagaimana rupa orang tua Irham, tapi Irham
memang anak kecil yang comel. Bila dewasa kelak, dia yakin Irham akan digilai
ramai perempuan.
Namun menyedari betapa jauh dia
berfikir, dia ketawa kecil.
“Entah apa-apalah yang aunty
fikirkan ya Irham?”
Bila tangan Irham yang terangkat
tersentuh pipi kirinya, Qara terasa seperti hendak menangis. Teruja bercampur
terharu. Inilah pertama kali ada anak kecil menyentuh pipinya. Sejuk sentuhan
jemari halus itu terasa mencecah hingga ke hatinya.
“Mungkin lepas ni kita tak akan
jumpa lagi. Tapi aunty doakan Irham akan jadi anak yang sangat baik. Mampu
menyejukkan setiap mata yang memandang. Mampu juga jadi penyeri di hati semua
orang,” bisik Qara sebak. Sayangnya terasa tumpah pada anak yang tidak tahu
apa-apa itu.
Lantas, sekali lagi kepala Irham
menjadi mangsa bibirnya.
“Ehem...”
Kepala, Qara angkat. Kelihatan
seraut wajah asing di hadapannya. Redup pandangan itu membuatkan dia serba
salah.
Papa Irham ke ni? Detik hati
kecilnya cuak. Bimbang kalau-kalau dituduh mahu menculik Irham. Rosnah pula
tidak ada untuk menjadi pembela dirinya.
“Anak ke?” tanya lelaki itu
tiba-tiba.
Lega hati Qara bukan kepalang.
Soalan itu membuktikan yang pemilik suara garau itu bukannya siapa-siapa dengan
Irham.
“Ya, anak saya.”
“Comel!” puji Haq dengan muka
tenang. Matanya memandang terus pada wanita yang sedang memegang sekujur tubuh
kecil. Dia tidak menipu bila berkata betapa panorama itu benar-benar indah di
matanya sebagai seorang lelaki. Kedua-duanya nampak seperti serasi. Diam-diam,
dia berharap si kecil memandang padanya. Namun hatinya hampa, sedikit pun anak
kecil itu tidak peduli walaupun selepas mendengar suaranya.
“Terima kasih,” balas Qara
ringkas.
“Nama apa?”
“Irham.”
“Irham aje?”
Dahi Qara sedikit berkerut. Tidak
mengerti dengan pertanyaan lelaki itu.
Haq tergelak kecil. Geli hati
dengan kerut yang jelas terpeta. Langsung tidak dapat diselindungkan lagi.
“Maksud saya, namanya cuma Irham ke? Sebabnya, kan dah jadi trend masa
sekarang, nama anak-anak kalau tak dua atau tiga memang tak sah. Kadang-kadang tu ada yang
sampai empat,” hurai Haq panjang.
“Irham aje.” Usai berkata, Qara
gigit bibir perlahan. Dia tahu menipu tidak elok, tapi ringan saja mulutnya.
Lagipun, bukannya lelaki itu tahu yang Irham bukan anaknya. Selepas ini,
jangankan lelaki itu, Irham pun tidak akan ditemui lagi. Lantaran itu, biarkan
untuk masa beberapa detik, dia mengiktiraf dirinya sebagai ibu kepada Irham.
“Oh... ya juga ya? Nama Irham tu
pun dah cukup sedap.”
Qara hanya diam. Dia berharap
lelaki peramah itu segera pergi. Sudah tidak ada apa-apa lagi yang hendak
dibualkan kerana mereka berdua saling tidak mengenali. Tangisan Irham pun sudah
reda. Ibu jari kanan sudah ada di dalam mulut kecilnya. Lebih daripada itu, dia
bimbang Rosnah muncul dan pembohongannya terbongkar begitu saja.
Kalau itu sampai terjadi, di mana
hendak diletakkan muka?
“Haq? Kenapa lambat benar
datangnya?” tegur Rosnah tiba-tiba. Di tangannya, ada botol susu berisi susu
suam milik Irham.
Haq? Adakah nama lelaki itu Haq?
Qara telan liur. Nada Rosnah yang mesra membuatkan dia cuak. Jika Rosnah kenal
lelaki itu, bermakna lelaki itu juga tahu siapa sebenarnya Irham di sisinya?
Benar-benarkah dia papa Irham?
Muka Qara panas tiba-tiba. Terasa
darahnya kering semacam. Yakin, sangkaannya kali ini benar belaka.
“Maaflah Kak Ros, saya dah cuba
datang awal tadi tapi tiba-tiba aje ada kerja urgent.”
“Irham mengamuk,” adu Rosnah
sambil tersenyum. “Mujur ada Qara ni tolong Kak Ros. Kalau tak, sampai sekarang
pun Kak Ros yakin dia tak akan berhenti nangis. Tahu ajelah Irham tu, kalau
nangis mana boleh dipujuk. Haq aje yang boleh buat dia berhenti nangis.”
Haq berpaling melihat Irham yang
masih berada di dalam dukungan Qara yang masih duduk di sofa. Bila Irham masih
tidak peduli padanya, dia mengalihkan pandangan ke arah Qara yang langsung
tidak mengangkat muka. Menyedari kulit putih bersih itu memerah, dia terasa
seperti hendak ketawa besar.
“Tengok tu, langsung Irham tak
pedulikan Haq. Suka benar dia kat Qara.”
Qara yang mendengar kata-kata
Rosnah, terasa hendak melenyapkan diri ketika ini juga.
“Tulah, tadi lagi saya pelik.
Selalu tu kalau dengar suara saya, cepat aje Irham cari. Hari ni langsung tak
peduli.”
Ketawa kecil Rosnah kedengaran.
Dia semakin menghampiri Qara yang masih pegun di sisi Ihram.
“Qara...” bahu Qara disentuh
perlahan.
Lambat-lambat Qara angkat kepala.
Kelat senyuman yang dihulurkan kepada Rosnah.
“Maaf ya, Kak Ros susahkan Qara,”
pinta Rosnah sekali lagi.
“Tak apa Kak Ros. Hal kecil aje.”
Hampir tidak terkeluar suara Qara mengenangkan Haq masih ada di situ.
“Terima kasih. Bagi Irham pada Kak
Ros, biar Kak Ros bagi dia susu.”
Qara menyerahkan Irham pada Rosnah
walaupun hatinya terasa berat. Ikutkan hati, tidak mahu diserahkan Irham pada
sesiapa. Masih belum puas memeluk anak comel itu. Dalam sekelip mata, Irham
berjaya membuatkan dia rasa sayang pada anak kecil itu. Namun dia bukannya
siapa-siapa di sisi Irham.
“Nilah... papa Irham.” Rosnah
ramah memperkenalkan Haq pada Qara.
“Terima kasih tolong jagakan
Irham.”
Qara hanya angguk. Tidak ada suara
mahu membalas. Yang diinginkan, pergi daripada pandangan Haq saat ini juga.
Berharap pada masa akan datang, mereka tidak akan dipertemukan sekali lagi.
“Tapi nama dia bukan hanya Irham,
tapi Irham Firdaus...”
Qara merasakan mukanya semakin
tebal. Dalam senyuman, Haq ternyata sedang mengenakannya.
“Ya... ya, nama yang sedap.”
Tersekat-sekat suaranya. Kemudian dia memandang Rosnah yang sedang memangku
Irham. Matanya tertumpah lama ke raut muka Irham yang rakus menyedut susu.
Segan pada Haq yang masih memerhatikannya, dia hanya menyentuh pipi Irham.
“Jadi budak baik ya Irham
Firdaus,” katanya perlahan. Ada sebak bergulung-gulung dalam hatinya. “Saya
pergi dulu Kak Ros,” pintanya pada Rosnah. Kemudian dia terus melangkah laju.
Hatinya ralat kerana tidak dapat mencium Irham untuk kali terakhir.
Jadi budak baik ya Irham Firdaus,
bisiknya dalam hati. Sekali lagi.
comei
ReplyDeleteterima kasih. teruskan membaca ya... ;-)
ReplyDeleteNak lagi.haha
ReplyDeleteNak lagi.haha.
ReplyDeleteSweet~~ agaknya akak nak terbit x ni? Teruskan tulis ye.. Chaiyok~
ReplyDelete