- SeLaMaT hArI lAhIr... -

May 16, 2010

Ya, Happy Birthday Marwati @ Aleya Aneesa. Kalau tahun lepas aku menyambut detik 12.00 malam, 16 Mei 2009 dalam panggung wayang di Mid Valley dengan Bikash, Fida, Ika, Airul, Fauzi dan Syafik sambil ditemani cerita X-Man Wolverine, tahun ni detik yang sama aku sambut dalam kereta. Kali ni hanya ada Fida sebab masing-masing ada hal sendiri. Lepas Fida wish, adik aku call, mak, Aqqif, Kakak, Ina dan Ila bergilir-gilir bercakap sambil merapu yang bukan-bukan dengan ditemani suara Kak Long, tapi mampu membuatkan aku senyum sampai ke telinga. Kemudian dapat SMS daripada ika (isteri adik bongsu aku), Angah, Kak Azie, Bikash, Huda, Diana, Dewi, Chik Anom, Jaja, kawan-kawan penulis, kawan-kawan kat universiti, kawan-kawan sekolah dan mereka yang kenal aku, juga wish perkara yang sama. Sungguh, aku bahagia walaupun hanya dengan secebis kata-kata yang mendoakan kebaikan untuk aku. Hendaknya, mereka juga selalu ada dalam lindungan ALLAH.

Memang kalau nak diikutkan, masa ni aku dah balik kampung. Tapi mengenangkan banyak perkara yang menuntut aku ada di KL, jadi aku terpaksa batalkan niat asal yang aku tahu buat diaorang hampa. Bukan cara aku macam tu, tapi aku betul-betul terpaksa, kalau tak bila masanya kerja angkut-mengangkut tu akan selesai.

Dan dalam banyak-banyak ucapan yang aku dapat, air mata aku bergenang bila dapat MMS aksi anak-anak kak azie yang bersusun 4 orang sambil menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Lahir’ untuk aku. “Terima kasih tak terhingga pada Along (yang ambil gambar), Bab, Zihah, Amat & Mira yang comel bila melentuk ke kanan dan ke kiri macam lalang kena tiup angin, Kak Mar doakan kalian selalu dalam rahmat ALLAH.

Kepada yang wish birthday kat aku, terima kasih sangat-sangat. Kalian sudah menceriakan hariku, terima kasih sekali lagi.

- MeRaH! -

May 14, 2010

Salam Jumaat buat yang sudi berkunjung. Harap kita semua ceria di hari yang nampak tenang dan sangat damai ni. Kali ni sengaja aku pilih tajuk merah, tapi yang pasti merah ni tak ada kaitan dengan sesiapa, baik yang hidup mahupun yang dah pergi. Merah di sini merujuk kepada warna merah semata-mata, tak ada kiasan, tak ada ibarat. Sebenarnya aku bukanlah jenis orang yang terlalu kisah dengan warna. Selama ni kalau beli baju, aku akan fikir warna apa dah ada dan warna apa yang tak ada, yang tak ada tulah yang akan dicapai. Kalau ditanya warna kesukaan aku pun, aku pasti tak dapat menjawab dengan cepat kerana otak bergerak memikirkan apa sebenarnya warna yang aku gemar. Kadang putih, kadang hitam, kadang merah, kadang hijau, kadang coklat & macam-macam lagi. Hanya dalam macam-macam warna tu, aku sangat dekat dengan warna hitam dan putih. Atas alasan apa, aku tak tahu, mungkin senang nak matchkan dengan tudung, agaknyalah.

Dan merah, merah pun bukanlah warna yang aku suka & tak suka, sedang-sedang aje. Tapi aku lebih pilih warna merah dibandingkan warna lain. Merah untuk kitchen cabinet, merah untuk sofa, merah untuk kamera & dinding pink (anak cucu merah), bahkan TV juga aku cari warna merah walaupun akhirnya terpaksa akur dengan hitam atas sebab-sebab tertentu. Entah kenapa aku pilih warna merah, aku tak tahu. Cuma yang aku tahu, mata terpukau, hati terpaut, minda mula membuat keputusan & tangan menghulur dengan peluh yang menitis di dahi, ‘Duit aku terbang lagi’.

Sungguh... kali ni aku puas hati dengan pilihan sendiri. Kalau orang lain nak komen atau tak berapa gemar, aku dengar tapi aku akan ke sisikan sebab dibandingkan orang lain, rasanya aku lebih memilih untuk memuaskan hati sendiri dalam soal yang satu ini sebab dah selalu sangat memuaskan hati orang. Apalah salahnya kalau sekali-sekala memanjakan diri sendiri setelah berhempas pulas bekerja selama ni. Bukannya selalu pun.

Hanya aku berharap, warna merah yang aku pilih tak akan buat aku pening atau gelisah tak menentu sama seperti setiap kali aku tengok seat tempat duduk kereta. Aneh, tapi memang pelik bila aku macam tak boleh nak tengok atau duduk kat seat kereta warna merah. Kalau merah sikit, tak apa, tapi kalau semua merah, kalau dah terpaksa aku akan duduk juga, tapi hati aku ALLAH saja yang tahu. Kalau boleh nak terjun ke luar aje. Selain daripada seat kereta, rasanya aku masih belum ada masalah dengan warna merah.

Dan merah... moga aku akan bertemu damai bersama-samanya (jiwang karat).

- SeLaMaT hArI LaHiR, sAyAnG -

May 12, 2010


Untuk anak buah aku nombor tiga, anak buah paling besar badannya, tapi di mata aku, masih punya senyuman yang semanis gula. Semasa kecilnya, punya ragam yang sangat memeningkan kepala sebab dengan semua orang tak mahu. Dan sekarang, masih juga memeningkan kepala bila dia gatal minta digaru sambil merengek-rengek macam tak dapat barang mainan. Danish Hakim yang baik, SELAMAT HARI LAHIR KE-5 TAHUN. Semoga Danish panjang umur, murah rezeki, selalu ada dalam rahmat ALLAH dan tetap jadi anak yang mampu menjadi penyeri di hati dan penyejuk di mata mama, papa, Arissa dan semua yang ada di sekeliling Danish...

- AkHiR-aKhIr InI... -

May 11, 2010

Memang akhir-akhir ni ada begitu banyak yang nak dibuat, sampai-sampai badan terasa letih & lesu sangat. Dan kalau ikutkan hati terasa macam nak tidur dalam jangka masa yang agak panjang untuk buang segala rasa letih dan lesu yang ada. Tapi bila mengenangkan ada banyak lagi perkara yang tak selesai, terpaksa juga buat-buat tak letih & lesu. Kalau bukan aku, siapa lagi yang nak buat? Lainlah kalau ada keluarga yang duduk dekat-dekat sini dan dalam keadaan macam ni baru selalu terfikir, alangkah bagusnya kalau ada adik-beradik yang tinggal sama tempat dengan aku.

Dalam pada kesibukan yang macam tak ada penyudah, kadang-kadang, tangan terasa gatal nak menaip manuskrip baru yang drafnya dah lama selesai. Ada masa-masanya pula, hati bagaikan digaru-garu nak menyelak novel baru yang ada berpuluh-puluh dalam simpanan sebab aku boleh dikategorikan sebagai manusia yang suka membeli novel baru daripada penulis baru juga. Tapi setiap kali rasa itu datang, cepat-cepat urut dada sambil hati berbisik ‘sabar’. Takkan lari gunung dikejar kata orang dulu-dulu.

Dan dalam masa sibuk membeli itu dan ini demi melengkapkan apa yang tak lengkap dan sepatutnya dilengkapkan, beberapa kali timbul rasa kesal dan tak puas hati dengan diri sendiri atau lebih tepat lagi pilihan sendiri. Sudahnya, malam tak dapat tidur lena sebab asyik terkenang-kenang dan terbayang-bayang. Kelakar dan aneh, tapi itulah aku yang sebenarnya. Keputusan atau pilihan yang dibuat, cepat saja berubah. Seperti kata cikgu BM aku masa form 1 dulu, “Tengok tulisan awak, saya tau awak jenis yang tak tetap pendirian”. Dulu rasa macam tak nak percaya, tapi sekarang aku terpaksa akui walaupun tak rela.

Tapi biar apa pun, aku rasa bukannya nak buat perkara yang sama banyak kali dalam seumur hidup, jadi apalah salahnya kalau kali ni aku berhabis sedikit asalkan aku puas hati. Tak kisahlah kalau tak cantik atau menarik di mata orang, yang penting sedap di hati dan mata sendiri kerana itu hak aku. Lagipun... bukankah cantik dan menarik itu sesuatu yang subjektif? Cantik di mata seseorang, belum tentu cantik juga di mata 10 orang yang lain.

- SeLaMat HaRi IbU... -

May 10, 2010

Mungkin... air muka dia nampak garang & serius. Bahkan, dia mungkin tak tahu bercakap lemah-lembut dan bermulut manis macam orang lain. Tapi aku tahu, adik-beradik aku tahu & kami tahu betapa dia yang nampak garang dan tak pandai bermulut manis itu punya sifat penyayang yang tentu saja tak ada tandingannya. Punya jiwa yang selembut kapas dan sanggup berbuat apa saja demi insan-insan bergelar ‘anak’. Malahan, sanggup menolak ke tepi kepentingan diri demi kami adik-beradik. Dan sungguh... aku menghargai setiap pengorbanannya walau bibir tak pernah mengungkapkan kalimah keramat itu.

Untuk insan yang paling aku sayang dalam dunia ini, Mahani Dahli. Tak ada kata apa yang sesuai untuk dicoretkan untuk menggambarkan apa yang ada di sudut hati, melainkan perkataan, “Ami terlalu sayangkan mak”. Moga setiap titis pengorbanan mak pada kami adik-beradik akan dibalas dengan selaut rahmat daripada ALLAH. Selamat Hari Ibu, mak... Semoga Semua Kebahagiaan dan kegembiraan akan jadi milik mak.

Selamat Hari Ibu juga untuk ibu-ibu yang ada di dunia ni, moga rahmat ALLAH selalu ada di sisi kalian.

- HaMpIr SeTeNgAh TaHuN -

Cepatnya masa berlalu, sedar-sedar dah sampai bulan Mei dan bulan depan, Jun. Itu bererti tahun 2010 sudah ada dipertengahan, sudah setengah tahun juga kita melalui tahun yang tentunya ada cerita dan makna tersendiri dalam hidup setiap manusia yang masih mampu menghirup segarnya bumi ALLAH.

Bagi manusia bernama aku pula, ada beberapa impian yang nak aku capai dalam hidup sudah pun tercapai, walaupun ada yang langsung tidak disangka. Belum pun sampai akhir tahun, aku sudah mampu menarik nafas lega, mampu tersenyum syukur dengan semua kurniaan yang ALLAH beri pada aku.

Tapi dalam banyak impian yang aku simpan, salah satunya nak tengok Angah punya hidup sendiri. Dan hati aku betul-betul tersentuh, bila Angah akhirnya selamat mengakhiri zaman bujang. Walaupun terus terang aku kata, hujung tahun lalu, kami anak-beranak tak pernah fikir yang hari ini Angah sudah pun menjadi suami orang pada 1 Mei 2010. Tapi kalau dah itu kehendak DIA, begitu jugalah jadinya. Sekurang-kurangnya rasa bersalah aku pada Angah dah lupus sebab aku tahu Angah pasti bahagia hari ni dan sebagai bonusnya, abah & emaklah yang lebih gembira.

Pun begitu, tak juga sepanjang 5 bulan kebelakangan ni, aku cuma senyum & ketawa, gembira & bahagia semata-mata sebab bukan hidup namanya kalau hanya berjalan di atas garis lurus saja. Ada masa-masanya, kaki terasa lesu nak terus menapak, hati terasa goyah nak terus bertahan sebab aku hanya manusia biasa yang ada kurang & lebih sama macam orang lain. Tapi bila mengimbas banyak perkara dalam dunia ini, rasanya aku tak layak untuk mempersoalkan apa yang berlaku. Kalau aku rasa perit, aku tahu ada yang lebih perit lagi. Apa pun, semoga semua manusia dalam dunia ni ada dalam lindungan ALLAH.

- AlAhAi AbAh... -

May 7, 2010

Rasa syukur sangat bila mak kata abah dah okey dibandingkan beberapa hari lepas. TUHAN aje yang tahu masa baca SMS adik ipar aku, rasa macam nak terbang pulang masa tu juga. Ya, aku tau sangat abah ada gout, tapi selalunya tak pernah serius. Kali ni sampai perlu dipapah & lebih mengharukan darah tinggi abah naik mendadak. Dan aku hampir-hampir meradang (ya, mak kata aku memang cepat meradang) bila mak kata abah jatuh masa buang air yang memenuhi bot (air hujan). Kenapalah sampai seteruk itu? Dengan keadaan badan abah yang besar, aku tak tahu macam mana rasanya sakit abah bila jatuh. Kalau aku ada, aku tak sanggup nak tengok, sama macam abah yang tentu saja tak sanggup tengok anak-anak dia jatuh masa kecil.

Kesian abah! Tapi soalnya dah berapa kali aku adik-beradik kata yang abah dah tak perlu pergi laut lagi sebab dah seluruh hidup abah tumpahkan ke laut tu selama ni semata-mata nak besarkan aku adik-beradik. Tapi susahnya nak menasihati orang tua, sama seperti susahnya nak mendapat jawapan positif daripada abah bila dikatakan abah tak boleh makan ini, abah tak boleh makan itu kalau tak nak gout abah datang.

Benar kata orang, memberi nasihat pada anak kecil lebih mudah daripada orang dewasa kerana orang dewasa asasnya lebih banyak makan garam daripada orang muda. Bukti ada depan mata, aku tentu saja tak akan menyangkal. Tapi di sisi yang lain pula, kalau bukan masa ini, bila lagi abah boleh menikmati semua makanan yang mungkin satu ketika dulu tak pernah pun dia rasa. Inilah masanya! Cumanya... makan salah, tak beri makan pula macam tak kena.

Gout... entah apa sebenarnya ubat bagi penyakit ini? Dah puas abah berubat, macam-macam cara digunakan bagi memastikan gout tu nyah dari hidup abah, tapi gout tu dah jadi macam bayang-bayang bagi abah, macam gula-gula getah yang melekat pada kaki seluar pun ya juga. Pantang tersilap makan sikit, datanglah gamaknya. Apa pun, aku harap lepas ni abah akan sihat, sihat... dan sihat terus. Memang kedengarannya mustahil kan, tapi aku hanya berharap dan selebihnya aku serahkan segala-galanya kepada DIA Yang Lebih Tahu kerana hanya DIA yang tahu rahsia alam. Dan mimpi dua malam lepas, aku berharap & sangat berharap tak akan jadi kenyataan sebab aku terlalu sayangkan abah.

- Novel Comel...-

March 31, 2010


Syukur, alhamdulillah... pertolongan daripada ALLAH memang tak berhenti dan pasti tak akan berhenti selagi manusia tahu bagaimana nak memanfaatkan & menghargai setiap pertolongan yang diberikan. Novel comel dengan judul “SUDI JADI CINTAKU” ini mungkin hanya sebuah kisah biasa, tentang sepasang anak ADAM, sama seperti kisah-kisah dalam novel yang lain. Tapi bagi aku yang menghasilkannya, aku tahu di dalam novel secomel ini ada kasih sayang, ada persahabatan, ada pengharapan, ada kekecewaan & ada rasa yang pelbagai.

Menghasilkan novel secomel ini, sebetulnya bukan kepakaran aku. Tangan mula menaip, tapi terasa ada kurang di sana sini, ada lompang di sana sini & yang paling ketara, tidak ada kepuasan seperti menghasilkan novel-novel sebelum ini. Tapi aku gagahkan juga, tetap juga mencabar kebolehan diri sendiri. Hasilnya, lahirlah novel comel yang hanya setebal 119 halaman ini.

Untuk mereka yang ada dan selalu ada di sisi, terima kasih sangat, untuk pembaca budiman, sokongan kalian sangat dihargai. Tegurlah dengan ikhlas & berhemah jika ada kurang di mana-mana supaya aku dapat memperbaiki kelemahan diri, tapi jangan dikeji sehingga semangat yang ada merundum jatuh. Memang bagi penulis, teguran itu asam garam sebuah kehidupan, tapi tidak mustahil juga teguran yang berbaur kejian itu hanya membunuh jiwa seorang penulis. Dan selebihnya, jika satu jari menuding ke arah orang, jari yang selebihnya menghala ke arah kita. Salam sayang buat semua, sekian...

- Bertahun Sudah...-

March 4, 2010

Kalau nak dihitung, rasanya sejak kita dilahirkan hingga ke saat ini kita sudah bertemu dengan begitu banyak orang. Ada yang kita hanya berjumpa sekali, kemudian pertemuan sekali itu berakhir begitu saja tanpa ada pertemuan demi pertemuan seterusnya. Ada juga yang kita berjumpa selama bertahun-tahun sehingga tak mampu dihitung dan kesudahannya, tetap juga berakhir sampai setakat hari terakhir. Ada yang dulunya kita berjumpa selama bertahun-tahun, kemudian hilang begitu saja seiring dengan putaran masa yang bergerak dan akhirnya tanpa disangka-sangka, kita kembali bertemu tanpa perlu dirancang kerana perancangan manusia tak mungkin dan tak akan mungkin dapat mengatasi perancangan DIA Yang Lebih Tahun.

Itulah yang berlaku pada aku atau mungkin ramai juga di luar sana. Lebih 12 tahun aku tinggalkan Sekolah Menengah Engku Tun Aminah (SETA) dan lebih 10 tahun zaman Maktab Sultan Abu Bakar (EC) dah pun berlalu. Habis sekolah, habis semuanya termasuk erti sebuah persahabatan. Dan aku terus juga melangkah walau sesekali hati tercuit saat kenangan-kenangan manis bergelar pelajar sesekali melintas di mata dan minda. Ada begitu banyak kenangan manis yang aku tinggalkan dan ada masa-masanya langsung aku lupakan begitu saja kerana tuntutan masa dan keadaan.

Hanya beberapa bulan kebelakangan ini, ramai daripada kawan-kawan yang dah aku lupakan kembali muncul. Semuanya gara-gara FB! Ya... teknologi moden memang tak dinafikan ada begitu banyak kepentingan dan kebaikan. Setelah bertahun-tahun masa berlalu, bagi aku tak perlu bercakap berjela-jela atau mengungkit semua cerita lalu, cukup hanya saling bertanya khabar walaupun hanya di alam maya. Itu pun dah cukup menggembirakan aku, dah sebagai bonusnya... yang dulunya tak begitu rapat pun masih saling boleh bertegur sapa dan ingat-mengingati. Ada juga yang dah lupa pun yang kami pernah satu kelas, nak bertanya malu dan yang jadi mangsa gambar kelas yang masih dalam simpanan.

Tapi terkilan masih juga ada, sampai sekarang aku gagal cari kawan-kawan rapat aku. Entah kat mana agaknya Haizah, Siti Hajar, Nani dan Mas ada sekarang ni? Sungguh, aku rindukan diaorag.

Dan cakap fasal pertemuan tak disangka, dua hari lepas, aku jumpa balik dengan cikgu Sastera aku masa tingkatan 6, Puan Syamsul Mardiah kat DBP. Kebetulan dia jumpa dengan seorang kakak di bahagian aku dan aku cam juga muka dia. Puan Syamsul masih sama macam dulu, hanya selepas 10 tahun masa berlalu, dia jadi agak kecil atau sebenarnya aku yang dah membesar dengan jayanya. Ah... tak kiralah apa pun, yang penting aku jumpa balik dengan cikgu aku walaupun dia mungkin dah tak ingat aku. Terlalu ramai murid dia, tak mungkin ingat semuanya. Dalam pertemuan singkat tu, kami sempat bertanya khabar dan cerita tentang suami dia yang dah ‘pergi’ sebenarnya bukan cerita baru untuk aku kerana aku memang pernah dengar cerita itu. Sekarang dia dah menetap di KL. Dan yang lebih membuatkan aku terkedu, rupa-rupanya Kak Gee (Fauziah Ashari) itu adik ipar dia. Hem... kecilnya dunia ni.

Tapi yang buat aku ketawa besar, dia tanya aku macam mana nak tulis novel (bukan aku cakap aku penulis novel sebab aku tak pernah cakap pada orang, kakak tu yang bagi tahu dia). Aku jawab. ‘Saya buat macam yang cikgu ajar’. Dan soalan bonus, ‘Dah kahwin?’. Sekali lagi aku ketawa besar, ‘Tak ada orang nak saya’. Habuannya, aku dapat cubitan kat lengan. Puan Syamsul... aku dah begitu dewasa masih juga nak cubit. Tapi bila difikirkan balik, ini bukan pertama kali aku kena cubit dengan dia, dah berkali-kali masa kat kelas dulu dan rasanya dalam kelas tu aku sorang aje yang kena cubit. Malu kan umur 18-19 tahun masih kena cubit?

Tapi nak buat macam mana, bila ditanya aku jawab tapi macam nak dengan tak nak aje, muka bosan memanjang, bila disuruh baca ke depan, aku ke depan dengan buku di tangan tapi mata terjegil, muka garang dan mulut berkicau-kicau marahkan seorang kawan yang dari mula masuk hingga habis sekolah suka sangat menyakat aku. Ada aje salah aku yang dicari dan pantang pula kalau tengok aku duduk diam. Sampai aje aku kat muka pintu, dia dah tersengih macam kerang busuk, nampak jahat dan bencinya aku masa tu TUHAN aje yang tahu (dari hari pertama pun aku memang dan ‘meluat’ kat dia, meluat dengan cara dia memandang, kenapa... sampai sekarang ni aku tak ada jawapan, hanya dendam dan benci tu dah tak ada). Yang tak masuk akal, dia kata, ‘Wah... Mar pakai beg baru tapi... ada bau minyak bot!’, ‘Semalam aku nampak kau kat KOMTAR, kau pegang tangan adik kau eh? Berdosa tau buat macam tu!’ dan ‘Encik Anuar... Mar jatuh cinta kat cikgu?’ Kurang asam kan bunyinya tu, taulah aku pergi sekolah naik bot, mana ada aku pegang tangan adik aku dan paling penting, tak ada pula aku kata suka kat cikgu Sejarah Asia Tenggara tu. Pendek kata, dia akan jadi sejahat-jahat makhluk kalau aku datang dan sebaik-baik umat bila aku tak datang. Kata Net, ‘Kesian dia, kau tak ada dia nampak bosan aje’. Aku pula dengan muka sombong, ‘Eh... pergi matilah dengan dia!’. Macam selalu Net ketawa, dia cakap satu hari nanti aku akan kahwin dengan ‘dia’ tu dan aku pula, ‘Tak ingin!’.

Tapi tu cerita lama, bertemu semula dengan Puan Syamsul aku jadi ingat semua kenangan dulu-dulu dalam beberapa hari kebelakangan ni. Sungguh... jasa Puan Syamsul, Encik Romli dan Puan Zaleha, aku akan ingat sampai mati. Itulah 3 orang cikgu Sastera yang mungkin dah buat cinta aku pada dunia PENULISAN makin bercambah. Semoga semua guru-guru yang pernah mengajar aku dulu akan selalu ada dalam lindungan ALLAH. Amin!

-AMK, Selepas 33 Hari-

March 2, 2010

Aduhai... makin lama makin jarang aku tulis N3, bermakna makin usang juga blog ni. Bukan tak ada cerita, bukan sibuk mengalahkan PM, tapi perkataan ‘M’ terasa makin besar di kepala. Puas dinyahkan, akhirnya tetap juga nak jadi teman setia yang tak perlu dibayar gaji.

Hari ni genap 33 hari AMK ada di pasaran. Setakat ni, banyak feedback yang aku terima daripada pembaca. Alhamdulillah... AMK nampak macam boleh diterima. Ada yang memuji, tapi syukur masih belum ada yang mengeji. Tapi macam SR, KAK, JB, SU, US, BDH dan HDT, AMK juga ada kekurangan yang tersendiri. Itu pun aku dapat daripada pembaca juga, pembaca yang tentu sekali peka. Maklumlah... mana ada penulis yang perfect sebab yang bernama penulis itu pun tetap manusia biasa yang tak terlepas daripada membuat kesalahan. Jadi, aku anggap kekurangan itu sebagai satu komen membina yang perlu aku ambil perhatian supaya pada masa akan datang ia tak terulang lagi.

Kepada sesiapa yang sudi membaca AMK dan sudi pula buat review tentang AMK, terima kasih sangat dan usaha yang dilakukan sangat dihargai dan dialu-alukan. Hendaknya pada masa-masa akan datang, sokongan daripada semua tetap akan berterusan sebab dunia penulisan penulis bernama Aleya Aneesa @ Marwati Wahab, tak akan ke mana-mana jika tidak ada sokongan daripada anda.