- BUKAN REVIEW PUN, SEKADAR PANDANGAN -

July 7, 2012

Kartun? Secara jujurnya saya bukan kaki kartun, apalagi sampai nak tengok cerita kartun kat panggung wayang. Terasa macam membuang duit aje. Baiklah tengok kat rumah! Tapi bila memang dah tak ada cerita nak tengok, saya pejam mata dan pilih. Sedap tak sedap, belakang kira asalkan tiket dah ada di tangan. Sebenarnya, ada aje cerita lain tapi sebab nak tengok dua cerita sekali gus, jadi kenalah sesuai dengan masa.

Cerita ni di mata saya, sangat comel. Saya sukakan rambut watak utama yang diberi nama Merida yang keriting, berserabut dan berwarna merah. Tapi saya lebih suka karakter yang dibawa. Dia seorang yang berani dan keras kepala, malah... dia tahu apa yang dia nak. Berani berterus terang kerana dia tahu dia tak mahu apa yang diatur untuknya. Dalam hidup ni, berapa orang macam dia? Saya juga sukakan, mak Merida yang tegas demi kebaikan anaknya. Ayah Merida yang sangat kelakar dan adik-adik Merida yang sangat-sangat comel sampai ada rasa nak picit-picit. Masa mereka jadi anak beruang, terbit rasa nak bela anak beruang macam mereka bertiga. Lebih daripada itu, saya suka jalan cerita yang disampaikan. Meskipun kartun, ada pengajaran tersendiri. Betapa marahnya seorang ibu, melihat anak disakiti, dia tetap mempertahankan anak yang menjadi punca kemarahannya.

Filem ni rasa nak tengok dan tak tengok sama banyak. Kalau dapat tengok ok, tak dapat tengok pun saya tak akan meraung berguling-guling macam perempuan hilang perasaan. Apa yang bestnya cerita ni? Entah! Apa yang tak best? Entah juga! Cuma yang pasti, kisahnya agak menarik juga, ditambah dengan perkataan mengerikan ada di dalamnya. Dan selebihnya, saya suka tengok Dominic Cooper yang pegang watak Henry Sturgess yang jadi mentor kepada Abraham Lincoln. Kata ‘Mek’ dia suka tengok raut muka Si Henry tu, saya pun kata perkara yang sama. Memang sedap mata memandang. Alamak, terkena penyakit gatal-gatallah pulak saya dan ‘Mek’.

Terus terang kata, saya tak tahu pun filem ni wujud kat alam maya ni. Masa nak tengok Si Mael Lambong, saya nampak poster. Nampak ada muka Zizan Razak dan Awie, hati saya menggeletek-geletek nak tengok. Tak tahu kenapa, saya memang suka sangat kalau Awie berlakon cerita komedi. Bagi saya, dia sangat kelakar, apalagi bila digandingkan dengan Zizan. Kalau dia berlakon ala-ala Sembilu, mungkin saya tak akan tengok. Cerita-cerita macam tu dah tak jadi kegilaan saya lagi. Zaman ala-ala jiwang karat dah tak sesuai untuk saya, saya dah tinggalkan lama dulu dah.

Dan Baik Giler ni, bagi saya... isi ceritanya ada. Hanya tak dikembangkan dengan baik, entah atas alasan apa. Kalau benar nak tekankan tentang rasa fobia lepas kejadian yang menimpa adik Afik yang meninggal depan dia akibat dilanggar kereta, tekankan sungguh-sungguh rasa fobia itu. Bukannya sedut sana sikit, sedut sini sikit dan kemudiannya digabungkan menjadi sebuah kisah yang pada akhirnya, bila saya keluar panggung wayang, saya rasa blur sendiri. Saya sebenarnya tengok filem apa tadi? Kenapa filem tu jadi macam tu?

Dalam zaman yang dah caca-marba ni, Afik tak dapat bezakan orang puji dengan orang keji? Tak ke pelik tu? Dia bukan orang tua, dia orang muda yang berjawatan tinggi pula tu. Seharusnya, dia tahu bahawa bila orang kata dia kat dia, “Awak ni baik gila”, itu bermakna orang tu puji dia. Sebaliknya dia beranggapan orang keji dia kerana dia baru ‘baik daripada gila’. Macam tak logik sangat. Ada ke siap rujuk Kamus Dewan untuk menterjemahkan makna tu. Dalam Kamus Dewan tak adalah makna macam tu. Malah, siap jumpa pakar bahasa bagai barulah boleh nak faham. Adoilah... makna macam tu hanya ada pada anak-anak zaman sekarang. Itu belum masuk lagi dengan heroin, kenapa mesti dia? Dialognya sebiji-sebiji macam ada skrip depan mata. Tapi saya masih bertahan menonton memandangkan saya ada lagi satu filem nak tengok, walaupun mulut saya dah merungut-rungut. Kalau tak, mungkin suku perjalanan cerita saya dah angkat kaki sambil tak paling lagi. Kisah jenis apa ni? Kenapa mesti ada kisah sebegini? Kuikuikui...

- JANGAN AMBIL PADANG KAMI -

July 6, 2012

Ya... kaki drama datang lagi. Sayalah tu! Kalau bukan saya, buat apa nak menulis kat sini kan? Dah sah-sahlah ni ‘rumah’ saya. Tentu aje nak bercerita fasal saya dan siapa-siapa atau apa-apa aje yang berkaitan dengan saya. Tapi sesekali, ada jugalah saya menconteng tentang orang lain yang langsung tak ada kaitan dengan saya. Kalau ada pertaliannya pun, saya sekadar pemerhati tegar.

Jangan Ambil Padang Kami [JAPK]... ini salah satu drama kegemaran saya. Apa yang ada pada drama ni? Kalau dilihat pada para pelakon, setakat Beto Kusyairy, Izreen, Elfira Loy, Naim Danial, Syazwan Zulkifli, Shera Ayob, Izzue Islam dan beberapa pelakon lain... apalah hebat sangat kan? Memanglah tak ada hebat mana pun. Lainlah kalau ada Aaron Aziz, Lisa Surihani, Maya Karin, Yana Samsudin, Shaheizy Sam dan yang lain-lain. Tapi... di mata saya, mereka tetap ada keistimewaan dengan cara mereka tersendiri. Tak perlu jadi orang lain kan untuk rasa diri istimewa? Cukup hanya jadi diri sendiri.

JAPK... hanya sebuah kisah biasa untuk orang dengan pakej yang juga biasa-biasa juga, macam saya juga. Bukan kisah golongan datuk-datin ataupun tengku-mak engku. Ia berkisar tentang perjuangan dan kisah hidup 7 sahabat [Zain, Nik, Arai, Murat, Mai, Juju dan Akmar] yang berusaha untuk menyelamatkan sebuah padang bola di kawasan flat mereka daripada dibangunkan oleh peneroka.

Sejak tahu tentang berita itu, mereka bertujuh sepakat mempertahankan padang tersebut. Sanggup juga turun naik pejabat Dewan Bandar raya Kuala Lumpur [DBKL] dan berjumpa sesiapa saja demi padang kesayangan mereka itu. Bagi mereka, padang itu hak mereka kerana mereka membesar di situ, walaupun hakikatnya mereka langsung tak berhak kerana tanah tersebut bukan milik mereka.

Mahukan tanah yang bukan milik kita, rasa-rasanya macam tak patut, kan? Dah sah-sah bukan hak kita! Tapi... agaknya kalau kita berada di tempat mereka pun kita akan merasakan perkara yang sama. Yalah, hari-hari bermain di padang yang sama tanpa ada gangguan, tiba-tiba aje dah tak boleh main. Kalau saya, saya pun marah walaupun saya sebenarnya tak layak pun untuk rasa marah.

Tapi itulah mereka bertiga. Saya sebagai penonton di luar TV, sejujurnya kagum dengan semangat mereka. Memanglah hanya sebuah cerita rekaan yang tak ada kaitan dengan yang hidup dan mati. Tapi saya sukakan semangat dan usaha mereka. Mereka sanggup bermati-matian demi mempertahankan apa yang mereka mahu. Dalam pada itu, mereka jatuh kemudian bangkit kembali, kemudian jatuh bangkit lagi dan begitulah sampai ke sudah.

Kisah seorang demi seorang antara mereka bertujuh yang disentuh, buat perjalanan hidup mereka jadi lebih menarik. Setiap seorang daripada mereka, ada sikap dan kisah tersendiri. Mai dengan kisah sosialnya sebelum datang ke flat Seri Bayu, Arai dengan sikap suka berjudi dia, Akmar dengan perangai tomboi dia, Juju dengan sikap dan gayanya yang unik dan ala-ala gedik, Nik dengan minat yang terlalu mendalam dalam bidang bola sepak, Murat yang kecil-kecil cili padi dan Zain yang selalu tenang dan selalu memainkan peranan sebagai seorang ketua. Pendek kata, setiap mereka ada kisah lalu yang tersendiri. Tidak ketinggalan kisah penduduk yang lain, ada orang gila, ada pencuri baju dalam, bertenet di tempat sunyi dan macam-macam lagi. Malah dengan kisah tersebutlah hubungan mereka jadi lebih akrab.

Sepanjang menonton JAPK ni, saya ada masa-masanya rasa gembira sangat sampai tersenyum-senyum dengan aksi lucu mereka. Ada masa-masanya berkerut dahi sebab rasa pelik dan sangatlah tak patut apa yang dah mereka buat. Ada masa-masanya merungut-rungut sebab rasa tak puas hati. Lebih-lebih lagi dengan sikap ahli JKK flat yang merasakan perjuangan mereka bertujuh sangatlah tak berbaloi-baloi. Bahkan, ada macam-macam lagi reaksi yang dah saya pamerkan.

Bagi saya JAPK merupakan salah sebuah drama yang agak menarik kerana di dalamnya ada persahabatan, ada semangat perjuangan, ada persatuan yang menguji rasa tanggungjawab, soal kemiskinan, soal gejala sosial dan ada macam-macam lagi yang boleh dijadikan pengajaran dalam hidup kita. Dan kesimpulannya, kalau rasa apa yang dipaparkan boleh dijadikan panduan, capai, pegang, genggam erat-erat dan bertindaklah seperti mereka kalau itu untuk kebaikan. Kalau tak, pandang dan jangan jadi seperti mereka ;-)

- HIDUP NI TAK MUDAH, TAPI TAK JUGA SUSAH -

July 5, 2012

1] Aktiviti : Seminar Sejarah Perlembagaan Malaysia : ‘Di Antara Sejarah & Tuntutan Semasa’

2] Tempat : Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman Putera, Jalan Sato’ Onn, Kuala Lumpur.

3] Masa : 9.00 pagi – 40.30 petang.

4] Tindakan : Puan Marwati, puan dicalonkan menghadiri seminar ini. Terima kasih.

Item No. 1, No. 2, No. 3! Sungguh, saya langsung tak ada masalah. Bahkan kalau ada sesiapa aje dalam dunia ni nak buat seminar, bengkel, kursus, wacana atau apa saja yang sewaktu dengannya, selagi sesuatu itu berkaitan dengan ilmu pengetahuan, memang saya alu-alukan dengan penuh kasih sayang.

Tapi... melihat pada item No. 4, rasa lemah mula mengambil tempat. Adoilah... saya ni memang teruk sikit. Bukanlah saya tak suka menambahkan ilmu pengetahuan. Tentulah saya suka sebab saya ni manusia yang tak berapa nak berilmu walaupun sepanjang hidup tak henti-henti belajar. Tapi tidaklah secara formal sebab pelajaran secara formal saya dapat kali terakhir pada tahun 2003. Cumanya, nak keluar daripada ‘sini’ pada hari bekerja, memanglah saya sangat-sangat tak rela. Ada begitu banyak yang nak saya buat. Cumanya, bila namanya arahan.. okey, saya pergi ajelah tanpa banyak bantahan. Saya siapa kan? Kalau dah orang ‘bawah’ tu buat ajelah cara orang ‘bawah’.

Dengan bantuan seorang adik baik hati, bergeraklah saya ke sana tepat pukul 8.00 pagi. Mujur ada seorang kawan di sana. Maka, dengan dialah saya duduk. Kalau dia tak ada, mahu juga saya mati kutu. Itu pun, penceramah buka aje mulut, seperti biasa mata saya pun tertutup rapat. Entahlah, saya ni pantang orang berceramah, mulalah mata tertutup rapat. Memang mata saya tak boleh berkompromi langsung. Jadinya, tak hairanlah bila cikgu saya tegur, katanya virus dah masuk dalam kepala saya sampai saya mudah mengantuk. Apalagi, line U-mobile macam hidup segan mati tak mahu ketika di sana. Pelik betul, tengah-tengah bandar line tu boleh pulak macam nak tak nak aje adanya.

Dapat SMS daripada seorang kakak, mata saya kembali segar. Kemudian berbual dengan kawan di sebelah, bercerita tentang hidup dan kehidupan. Tentang mulut-mulut orang yang ada masa-masanya seperti tak berhati dan berperasaan. Saya tahu, dia ada kesusahan sama seperti saya. Berkahwin 6 tahun tapi tak ada anak dengan tak berkahwin pada usia dah mencecah ke bongkok tiga, ‘kesusahannya’ tetap sama, kan? Masalahnya tetap sama, kan? Mulut orang!

Benar kata dia, dalam kes saya dan dia, ada dua jenis manusia. Jenis pertama, bertanya tanpa ada maksud apa-apa. Pertanyaan jenis ini disertakan dengan nada dan intonasi yang di dalamnya tak sinis dan tak berbaur ejekan. Memang sekadar bertanya semata-mata. Malah langsung tak mengundang rasa rendah diri dan kecil hati. Tak seperti pertanyaan jenis kedua yang niatnya memang seperti menghina. Mungkin, mungkin juga tak berniat nak menghina. Tapi sebab intonasi dan nadanya yang berlainan, tetap juga kedengaran seperti hinaan. Kemudian, perlahan-lahan rasa terhina itu bertukar menjadi rasa marah, geram, kecil hati dan serba kurang.

Tapi... inilah hidup dan kehidupan. Mengawal atau hendak menutup mulut manusia bukannya mudah seperti menutup mulut tempayan. Itu pun, di banyak rumah sekarang ini, tempayan pun tak ada. Kebanyakannya dah digantikan dengan bekas lain yang tak memerlukan tenaga yang banyak ketika mengangkat. Untuk kakak tu, bersabar dan bertabahlah. Insya-ALLAH rezeki dia untuk punya anak akan ada suatu hari nanti. Saya doakan yang baik-baik untuk dia, ;-)

- AGAR-AGAR HATI -

N3 apa ni? Adakah saya sedang mencipta satu resipi baru yang berasaskan hati? Kalau benar, hati lembu, hati ayam, atau hati manusia yang jadi pilihan saya sekarang ni? Tidak! Semua teka-tekaan itu tak benar sama sekali kerana sekarang ni saya tak berada dalam mood memasak. Mood masak-masak kek dan agar-agar dah lama saya tinggalkan. Saya bagi mood-mood itu cuti kerana saya mengharapkan mood tulis-tulis datang, walaupun belum datang sepenuhnya lagi. Bila mood-mood yang disuruh pergi tu saya panggil balik, itulah masanya mood main masak-masak saya datang kembali. Masa tu, saya akan jadi manusia paling rajin membeli buku resipi yang pembeliannya dibuat secara bermusim, mengikut mood saya. Tak pun saya akan jadi peminat setia Encik Google demi mencari yang dinamakan resipi.

Apa maksudnya N3 saya hari ni? Sungguh, saya sendiri tak begitu jelas apa yang nak saya tuliskan ketika ini. Hanya, saya terasa seperti nak menulis sesuatu tentang HATI. Hati yang tentu saja merujuk kepada hati manusia, bukannya hati yang lain selain daripada hati itu semata-mata.

Saya tahu, setiap orang di dalam dunia ni dibekalkan hati yang tak serupa. Ada yang hatinya sekeras kerikil, ada yang sedang-sedang dan ada juga yang memiliki hati seperti agar-agar. Sebab itu, banyak kejadian-kejadian yang tak diingini dan yang diingini berlaku.

Saya sendiri, rasa-rasanya... memiliki semua jenis hati itu. Ada masa-masanya, hati saya sekeras kerikil. Itu terjadi bila keputusan sudah dibuat dan saya merasakan apa yang saya buat itu betul, walaupun kadang-kadang betul yang saya rasa sebenarnya tak betul pada orang lain. Ada masa-masanya, hati saya sedang-sedang aje. Itu berlaku bila peluang betul dan salah, sama besar kuasanya. Kiranya, betul atau salah tindakan yang saya buat, kesan dan akibatnya tetap sama. Lain ketikanya pula, hati saya akan jadi selembik agar-agar. Keadaan ini terjadi bila melibatkan rasa simpati dan kasihan.

Antara ketiga-tiga jenis hati itu, saya sangat tak berharap hati saya akan jadi seperti agar-agar. Sebabnya, kadang-kadang saya tahu apa yang saya buat itu tak patut saya buat. Saya seperti meletakkan diri saya ke jurang yang saya sendiri tahu sangat berbahaya. Rasa tak rela, tapi hati terus menekan. Bahkan saya turut menjerumuskan pihak yang satu lagi ke jurang yang lebih dalam daripada diri saya sendiri. Tapi hati agar-agar itu, tetap juga mahu bertahan kerana rasa kasihan dan simpati, sampai akhirnya saya tahu saya dah tak boleh bertahan. Namun akibat sudah terlajak ke hadapan, mahu berpatah kembali... saya seperti tak sanggup, rasanya lebih sukar daripada memanjat pokok, kemudian terjun daripada pokok tersebut. Bimbang saya hanya akan memburukkan keadaan. Sepertinya, saya menambahkan kerosakan pada keadaan yang dah sedia rosak.

Namun, keputusan perlu juga dibuat. Timbang tara harus dilakukan demi kebaikan, setidak-tidaknya untuk diri sendiri. Bukan mahu jadi manusia pentingkan diri sendiri. Tak. Hanya, soal hidup dan kehidupan bukan boleh dipandang enteng. Tak mahu gara-gara terdesak, semua yang melintas depan mata, harus dicekup. Tak mungkin kerana saya bukannya manusia nekad yang tak ada tekad.

Untuk itu, saya selalu berharap saya tak ada hati agar-agar ini. Tapi kalau tak ada, saya bimbang pula saya jadi manusia yang tak ada rasa kemanusiaan. Itu pun saya tak mahu juga kerana manusia yang tak ada rasa kemanusiaan rasa-rasanya tak patut dipanggil manusia, sebaliknya lebih elok kalau dipanggil tunggul mati.

Apa lagi ya yang nak saya kisahkan? Tak tahulah, walaupun saya terasa ada begitu banyak yang nak saya kisahkan. Tiba-tiba otak saya yang biasanya tak berhenti bekerja, jadi stuck. Jadinya, saya berhenti dulu. Kalau rajin, nanti-nanti saya membebel lagi, ;-)

- KEHILANGAN ...-

July 4, 2012

Saya percaya dalam dunia, semua orang pernah rasa kehilangan. Mungkin hilang barang-barang yang sangat disayangi, hilang pangkat yang selama ini dikejar-kejar, hilang darjat yang dibangga-banggakan, hilang status yang dipegang, hilang harta benda yang dikumpul bermati-matian dan hilang seseorang dalam hidup.

Saya tak tahu orang lain, tapi... saya sendiri, dalam banyak-banyak kehilangan yang saya tuliskan di atas, bagi saya, hilang seseorang dalam hidup merupakan kesakitan yang paling hebat. Kalau jiwa tak kuat dan pegangan kita rapuh, kita mungkin akan tersasar daripada landasan yang selama ini jadi tempat kita berpijak.

Seseorang yang saya maksudkan, bukan semata-mata kekasih. Tapi boleh jadi juga ibu bapa, atuk nenek, adik-beradik, anak-anak saudara, saudara-mara, kawan-kawan, juga sesiapa aje yang pernah dekat atau pernah berlegar-legar di sekitar kita.

Kenapa saya berani katakan yang hilang seseorang lebih sakit daripada hilang yang lain-lain? Sebab saya, manusia yang belajar daripada pengalaman. Hilang barang-barang, hilang status dan harta benda, itu adalah hilang yang bagi saya tak ada apa-apanya. Mungkin untuk masa beberapa detik, rasa sakit hati itu muncul. Normallah kerana saya juga manusia biasa. Kalau langsung tak rasa apa-apa, itu namanya saya ni pelik. Kehilangan pangkat dan darjat, saya masih tak rasa lagi. Pangkat sebab sampai sekarang ni saya masih ada di takuk lama walaupun ada masa-masanya, rasa macam dah tak larat berada ‘di sini’. Darjat pula, mungkin sampai bila-bila pun tak akan hilang kerana pada asalnya, saya bukan golongan raja-raja, datuk-datin atau anak datuk-datin, syed-syarifah atau yang sewaktu dengannya. Maka, tak perlu risau kalau-kalau darjat yang dijulang itu pergi begitu saja.

Saya masih ada Mak Abah, saya masih ada adik-beradik dan saya masih ada anak-anak buah. Mereka dunia saya dan mereka kelemahan saya. Saya tak tak mahu ditinggalkan mereka dan saya mengharapkan mereka akan diberikan umur yang panjang. Banyak yang nak saya buat untuk mereka dan sampai ke hari ini saya tak punya banyak ruang dan peluang.

Tapi itu bukan bermakna saya tak pernah kehilangan. Saya pernah hilang nenek yang sangat saya sayang. Satu-satunya nenek yang sempat saya kenal dengan mendalam. Seorang atuk saya meninggal ketika saya belum dilahirkan. Seorang lagi meninggal masa saya umur 3 tahun. Seorang lain nenek pula, meninggal ketika umur saya 8 tahun. Jadinya, mereka bertiga agak jauh daripada saya dibandingkan nenek yang satu itu, yang melihat saya membesar sehingga umur saya mencecah 29 tahun.

Dengan dia, saya kenal bagaimana ertinya jadi seorang cucu. Dengan dia, saya belajar rasa cucu itu disayang lebih, cucu ini disayang kurang. Tapi sebenarnya rasa-rasa itu datang ketika rajuk datang. Padahal, mungkin nenek saya tak berniat. Dengan dia juga saya rasa bagaimana dibebel dan harus menadah telinga mendengar kemarahan dia. Malah dengan dia juga, saya rasa hidup saya lengkap walau tak beratuk. Pendek kata, kami memang sangat-sangat rapat. Bila dia pergi, saya rasa macam ada ruang kosong dalam hati saya. Awalnya rasa susah nak terima sebab dia kesayangan semua orang, anak-anak dan cucu-cucu dia yang sangat ramai. Saya pernah tanya pada Mak saya, “Mak sedih tak mak Mak dah tak ada?” Saya nampak beratnya helaan nafas Mak saya dan saya akur, walaupun Mak saya sendiri dah jadi nenek kepada 9 orang cucu, sayang dia pada mak dia, tetap juga tak pernah kurang.

Tapi beberapa tahun sebelum nenek saya pergi, saya pernah rasa satu lagi kehilangan. Kehilangan yang buat saya rasa betapa saya sendiri kerana ketika saya terima berita kehilangan dia, saya ada di sini. Di satu tempat di mana saya hanya sendiri, tanpa ada sesiapa yang sangat dekat. Masa tu, saya rasa dunia saya berhenti berputar, kekal statik di atas paksi yang sama. Yang ada, cuma sunyi dan sepi. Kosong, kosong & kosong, ada di mana-mana. Malu nak mengaku, tapi saya terpaksa akui yang separuh daripada hati saya ikut hilang. Macam jiwang karat kan kedengarannya? Tapi... memang itu pun yang saya rasa. Saya sangka saya dah jadi orang tak penting, sebab tu dia tiba-tiba hilang macam tu aje. Rupa-rupanya, hilangnya dia... hilang yang kekal.

Mujur, di celah-celah kesedihan dan bila saya rasa macam tak boleh buat apa-apa sebab sedih dan terkejut sangat, panggilan Mak saya bagaikan rahmat tak terhingga. Naluri seorang ibu. Dia yang biasanya telefon saya seminggu sekali [Jumaat malam], tiba-tiba tergerak hati telefon saya hari Isnin. Pada dia, saya luahkan semua yang terbuku, semua terkilan dan semua kesal dalam keadaan suara tenggelam timbul. Dia tetap juga setia mendengar, walaupun dia tak kenal siapa sebenarnya dia yang pergi dalam hidup saya. Yang dia tahu, saya dah mula pandai bergayut mengalahkan monyet. Ya, saya tak mengatakan apa-apa kerana saya fikir belum sampai masa. Entah berapa jam agaknya dia tadahkan telinga dia untuk saya, saya tak ingat. Tapi saya mendapatkan kembali kekuatan saya walaupun tak sebanyak mana.

Kemudian... hari demi hari, saya membina kekuatan. Sesekali terkenang, nanar juga rasanya. Terbit juga tangis tanpa pengetahuan sesiapa kerana saya, selalu aje ceria. Hanya... seiring dengan putaran masa, segala-galanya seakan-akan kembali pulih. Bukan mahu melupakan, tapi saya harus melakukannya demi perjalanan hidup yang masih jauh. Melupakan dia tak semudah ABC, tapi mengingatkan dia terus hanya akan membuatkan saya menyalahkan apa yang didatangkan pada saya. Sungguh... saya tak mahu menjadi manusia yang mempersoalkan takdir yang didatangkan pada saya.

Tahun ni, genap 6 tahun dia pergi. Saya tahu dia pun dah makin menjauh. Tapi peritnya kehilangan, mungkin tak akan saya lupakan sampai bila-bila. Orang lain pun saya yakin akan rasakan perasaan yang sama. Cumanya, tergantung pada diri kita sama ada kita mahu kekal di dalam ‘ruang’ itu atau kita mahu keluar dari ‘ruang’ yang memenjarakan diri kita sehingga kita menutup ruang dan peluang yang masih tertinggal untuk kita. Tapi yang sangat pasti, semalam hanya kenangan sedangkan hari depan, itulah penentu hidup kita. Tanya hati, “Apa sebenarnya yang kita mahu?” Mungkin di sana... jawapannya ada!

- SELAMAT HARI LAHIR! -

July 3, 2012

3 JULAI 2012 - "SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-3 TAHUN. MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, JADI ANAK DAN ADIK YANG BAIK DAN HENDAKNYA SELURUH RAHMAT ALLAH AKAN JATUH PADA ARISSA IZZAYANI"

PESANAN PENUH KASIH SAYANG PADA ARISSA – Sorry juga ya sebab tahun ni Mak Tam tak ada idea nak membebel panjang-panjang macam tahun lepas sebab tahun ni tahun malas Mak Tam. Tapi nak bagi tahu yang Mak Tam SAYANG SANGAT kat Arissa. Jadi budak pandai ya, sayang...

- MANUSIA BERJIWA HAIWAN! -

July 2, 2012

“Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan, patah tangan dan kaki kiri hingga terpaksa ditahan di wad kanak-kanak Hospital Sultan Ismail (HSI), dipercayai didera pengasuh di sebuah rumah di Taman Bukit Dahlia di sini, Jumaat lalu

Kecederaan mangsa, Muhammad Zafran Anaqi Muhammad Razali atau Zafran dikesan bapanya, Muhammad Razali Hamzah, 32, ketika membawanya keluar dari rumah pengasuh yang juga jirannya kira-kira jam 12.30 tengah hari.”

Saya tak tahu berita tersebut lebih lanjut kerana saya ambil petikan itu dari status seorang rakan di FB pagi tadi. Ada banyak lagi yang ditulis, tapi saya hanya ambil setakat itu semata-mata. Saya juga tak tahu kesahihannya lebih lanjut. Hanya saya ada juga dengar berita yang sama di Hot FM, juga pagi tadi. Dalam kemeriahan bola sepak Spain vs Italy, mereka masih sempat update kezaliman yang berlaku pada anak kecil yang langsung tak tahu apa-apa.

Yang nak saya sentuh bukanlah penderaan yang berlaku pada si kecil itu semata-mata, atau si kecil-si kecil yang lain. Tapi yang nak saya sebut, betapa manusia hari ini dah makin hilang kemanusiaan di tengah-tengah hiruk-pikuk dunia yang makin celaru. Kalau benar masih punya rasa kemanusiaan, tak mungkin tak tahu membezakan seorang anak manusia yang bernyawa dengan seekor anak lipas atau seekor anak semut.

Alangkan lipas atau semut, kadang-kadang tak sampai hati nak dibunuh tanpa sebab, inikan pula nak mendera anak-anak yang polos. Saya sungguh-sungguh tak faham kenapa ada manusia sebegini. Patutnya, mereka yang tak berhati dan berakal ini tak perlu wujud di atas muka bumi kerana hadirnya mereka hanya menyusahkan orang lain. Dan, kalau mereka perlu dijatuhkan hukuman, jatuhkanlah mereka dengan hukuman yang seberat-beratnya supaya yang masih punya hati dan akal dapat menjadikan apa yang berlaku pada mereka sebagai iktibar. Biar lain kali berfikir dulu sebelum bertindak.

Bagi ibu bapa kandung – mengajar anak-anak, memang perlu tapi ajaran yang diberikan biarlah secara berhemah dan berpada-pada. Kalau pun perlu menaikkan tangan, janganlah sampai keterlaluan hingga mencederakan. Untuk apa ketika mereka sakit, kita berusaha mahu menyembuhkan mereka, sanggup mengeluarkan wang ringgit dengan alasan kita-sayang-anak-kita. Tapi pada saat mereka sihat, kenapa perlu disakitkan mereka? Kenapa tak dibiarkan aje mereka terkedang tak berdaya di atas katil.

Bagi pengasuh – korang diamanahkan untuk menjaga anak orang, maka pikullah amanah yang diberikan dengan bersungguh-sungguh. Kalau rasa tak sanggup menghadapi kerenah anak-anak yang pelbagai, tak perlu kata sanggup ketika ditanyai. Carilah sumber pendapatan yang lain kerana korang tak layak. Berikan amanah tersebut pada yang layak dan ikhlas mahu menjadi pengasuh. Lebih daripada itu, apa rasanya kalau anak korang pula yang didera, diseksa atau dizalimi? Kalau sekarang korang tak ada anak dan korang tak rasa apa-apa, sampai satu masa korang akan rasa juga bila korang benar-benar bergelar ibu atau bapa. Masa tu, korang lihatlah cermin dan kata pada cermin, “Dulu pun aku buat perkara yang sama pada anak orang”.

Ya, saya percaya... memang ada masa-masanya manusia tak dapat kawal perasaan dan rasa marah, apalagi bila masalah datang sebesar gunung datang dan bergabung pula dengan tingkah anak-anak yang sukar nak diramal. Makin dikata jangan, makin galak mereka beraksi kerana itulah anak-anak kecil. Maka, lahirlah kejadian-kejadian kejam serupa itu. Tapi... biar stress dan dilanda emosi sehebat mana pun, pandai-pandailah beringat, belajarlah mengawalnya. Masalah yang datang tak akan selesai hanya dengan mematahkan kaki dan tangan anak-anak kecil atau menghantuk kepala si kecil ke dinding atau ke mana-mana saya objek keras. Kalau pun puas, rasa-rasa kejam itu hanya akan datang seketika waktu. Bila yang dizalimi itu cedera, maka... bersedialah untuk menanggung akibat kerana negara kita masih punya undang-undang.

Dan jahat, balasannya tentu saja jahat kerana hidup ini adil. Hari ini menyeksa anak orang, esok lusa anak-anak kita pula diseksa orang. Moga semua anak-anak dalam dunia ini akan dilindungi ALLAH. Untuk anak-anak buah saya, Mak Tam doakan yang baik-baik untuk kalian, moga nasib kalian selalu baik...

- AKHIRNYA TOMOK TERKELUAR -

Hari ni... saya layan lagi Masterchef Selebriti Malaysia [MSM] entah untuk ke berapa kali agaknya sebab dah banyak kali sangat saya layan, sampai sendiri pun tak sampai hati nak kira. Tapi bukan juga bermakna ada hari yang saya tak terlepas pandang. Ada, banyak kali juga saya terlupa dan buat-buat lupa. Tapi yang buat saya sedikit frust tapi tak tertonggeng, minggu lepas saya terlepas drama Bukan Bidadari gara-gara tengok MSM. Memang lupa terus. Padahal selalu, kalau tengok MSM, saya mesti tukar-tukar channel. Entah apa merasuk, Selasa lepas saya tengok dalam keadaan yang sangat khusyuk.

Patutnya saya tak perlu frust sebab bukannya tak boleh tengok kat TONTON pun, boleh aje kalau mahu. Cuma saya aje yg ngada-ngada tak mahu. Nak juga tengok kat TV3 tu. Sudahnya, saya tak tahu apa jadi pada episod kedua Bukan Bidadari tu. Mujur ada seorang adik yang sudi jadi tukang karut untuk saya. Berkisahlah dia dari mula sampai awal.

Dan semalam, akhirnya... Tomok, salah seorang daripada peserta MSM terkeluar dalam ujian penyingkiran. Sebak dia ketika hendak berkata-kata, buat saya rasa sebak juga. Sangat emo kan saya ni? Selalunya saya tak rasa apa pun. Sengih aje sebab siapa yang terkeluar bukan urusan saya sebab saya pun kalau disuruh menjadi salah seorang daripada mereka, pasti akan jadi orang yang terawal terkeluar, lebih awal daripada Dr. Faiz tu. Yang saya tau, saya tengok mereka sekadar tengok semata-mata sambil mulut mengkritik atau mengomen di luar TV tanpa sampai ke pendengaran mereka.

Bukan juga bermakna saya minat Tomok. Tidak. Cuma dulu-dulu masa zaman muda remaja, ada jugalah saya layan-layan lagu dia dengan New Boyz. Kalau sekarang dengar lagu yang sama, mahu juga saya gelak guling-guling sebab lagu mereka sangatlah dah tak masuk dengan jiwa saya. Maklumlah, jiwa orang tualah katakan. Tapi... bagi saya seorang yang tak mahir dalam bidang nyanyian, dibandingkan dulu dengan sekarang, vokal Tomok dah banyak meningkat. Kalau korang rasa saya salah, diam-diam sudah. Itu kan hanya pendapat saya yang dengar radio masa pergi dan balik kerja semata-mata.

Terus terang saya kata, melihat Tomok memasak, saya sebenarnya yakin tak yakin aje dia pandai masak, macam saya juga. Buktinya, dia selalu terpilih dalam ujian penyingkiran. Hanya nasib dia selalu baik bila kerap lulus dalam ujian tersebut. Tapi dalam yakin tak yakinnya saya, saya tetap kagum dengan semangat yang dibawa. Dia nampak bersemangat, humble dan mahu belajar. Bukan macam sesetengah peserta yang nampak seperti tahu semua jenis masakan. Tapi bila masak, ada aje komen yang diterima. Kalau dah tahu, kalau dah selalu masak, patutnya komen yang datang sikit-sikit aje. Ini tak, kadang-kadang komennya lebih teruk daripada yang Tomok terima.

Apa pun, sekurang-kurangnya Tomok dah selesaikan tugas yang digalas dengan jayanya. Dah berusaha sebaik mungkin, semampu yang dia tahu. Cuma... dalam pertandingan pastinya ada menang dan ada kalah. Kalau semuanya nak menang, siapa agaknya yang sudi jadi kalah, kan? Sama macam hidup kita, ada naik ada turun, ada pasang pasti ada surutnya juga, ;-)

- LALALALA... MAEL LAMBONG! -

July 1, 2012

Hajat tercapai! Itu yang saya rasa sesudah keluar panggung Jumaat malam hari tu. Akhirnya, niat nak tengok Mael Lambong [ML] jadi kenyataan. Memanglah jadi kenyataan kalau kita nak jadikan kenyataan, kan? Dan, tak akan jadi nyata kalau kita tak nak nyatakan niat tu.

Saya tengok ML tu hari Jumaat malam, pukul 11.00 malam dengan seorang adik baik hati bernama Fida. Dengan dia, saya rasa segalanya mungkin sebab saya dan dia, memang sekapal dalam banyak keadaan. Termasuk sekapal dalam bab-bab yang tertipu-dengan-pandangan-mata. Ingatkan okey tapi tak okey. Saya tak akan review ML tu sebab saya bukan pengulas filem dan tak tahu pun nak menjadi pengadil untuk bidang yang saya langsung tak terlibat. Kalau ada pun, itu hanya pandangan dari kaca mata seorang penonton.

Dan sebagai penonton yang sukakan hiburan, saya sukakan ML. Terus terang kata, memang ML sangat kelakar, bagi saya. Dari mula sampailah ke akhir, saya ketawa tak henti-henti. Ada-ada aje aksi yang lucu yang dipertontonkan, bukan hanya datang daripada Zizan Razak yang bawa watak Mael Lambong, tapi daripada watak-watak lain juga, termasuklah rival Mael Lambong sendiri, iaitu Tiger yang dilakonkan oleh Taiyuddin Bakar. Alah... yang berlakon drama Apa Celop, yang jadi kawan kepada Kamal Adli. Pendek kata, sepanjang ML berlangsung, saya betul-betul lupa apa yang ada di fikiran saya, termasuk kejadian beberapa minit sebelum saya tengok ML. Opsss... sebenarnya, sebelum tengok ML, saya tengok sebuah lagi filem bernama Baik Gila yang juga dilakonkan oleh Zizan. Tapi yang itu, akan saya ceritakan dalam N3 yang lain kerana ketika-itu-ada-rasa-yang-lain, tak seronok kalau diceritakan di sini.

Secara jujurnya, saya sukakan ML bukan semata-mata kerana kelakarnya filem itu. Tidak. Tapi ada beberapa sebab yang lain. Kalau diamat-amati, dalam kelakarnya ML tu, ada sesuatu yang kita boleh jadikan iktibar kerana hidup ini memang begitu.

Pertama, semangat dan usaha Mael Lambong untuk mengubah dirinya. Daripada anak kampung yang menjadi mangsa keadaan hanya gara-gara tak berharta, dia membawa diri dan kemudian bangkit menjadi si penarik kereta. Memanglah kerja sebagai penarik kereta tu tak adalah hebat mana hinggakan boleh dikagumi. Tapi sekurang-kurangnya, dia berusaha untuk mengubah diri dan dia berusaha mendapatkan rezeki yang halal. Cuma yang tak patut dicontohi, dia menggunakan ringtone tipu untuk menakut-nakutkan orang. Menipu tu, kan tak baik!

Kedua, rasa setia antara Mael Lambong dan Rozie. Biar pun terpisah selama 5 tahun, rasa cinta mereka tak pernah mati. Bahkan, kejadian yang berlaku dan bantahan keluarga Rozie juga tak mampu mematikan cinta mereka. Yang tu saya puji sebab sepatutnya jadi orang kita pun ada rasa setia, tak kira pada kekasih atau yang lain daripada itu. Cuma yang tak patut dicontohi, Rozie sanggup larikan diri sebab cinta dia pada Mael Lamong.

Ketiga, sikap menipu untuk mendapatkan sesuatu patut dinyahkan dalam hidup sebab confirm tak berkat. Kalau dah kita buat jahat, tentu kita akan dapat balasan. Kalau tak di dunia, di akhirat pasti ada. Tapi dalam Mael Lambong, orang jahat dapat balasan dalam cerita tu juga. Maksudnya mereka tak terlepas begitu saja.

Keempat, jadi orang itu harus jangan terlalu lurus hingga begitu mudah digula-gulakan orang, macam yang terjadi pada Si Mael Lambong. Tapi agaknya, kalau kita di tempat dia, kita juga akan melakukan dan percaya pada perkara yang sama.

Kelima, pangkat dan harta-benda bukanlah segala-galanya kerana semua itu tak akan dinilai DI SANA nanti.

Sebenarnya ada banyak lagi yang boleh kita kutip dalam ML semasa kita gelak-gelak tu. Itu pun kalau kita benar-benar mahu mengutip. Kalau kita sekadar nak ketawa-ketawa tanpa mahu berfikir, maka yang kita dapat hanyalah ketawa-ketawa semata-mata.

Apa pun, kalau disuruh memberi bintang pada ML, saya tak akan beri kerana saya takut bintang saya kurang penjurunya kerana kurangnya ilmu saya dalam bidang perfileman. Tapi kalau ditanya sama ada, saya nak tengok ML lagi atau cukup sekali, saya akan kata saya nak tengok banyak kali lagi, ;-)

- DATANG DAN PERGI... -

Hai... 1 Julai 2012! Itu ajelah yang mampu saya ucapkan pada 1 Julai, anggap 1 Julai macam orang aje. Pada 30 Jun, selamat tinggal. Dan bila munculnya 1 Julai 2012, bermakna Jun baru aje melabuhkan tirainya. Dalam tak sedar, setengah tahun baru aje berlalu meninggalkan kita.

Apa korang rasa bila Jun benar-benar dah pergi? Suka? Tenang? Sedih? Atau... terasa ada banyak benda yang belum sempat korang buat? Saya sendiri, saya pilih untuk rasa pilihan yang terakhir sebab rasa-rasanya pilihan itu yang sesuai untuk diri saya.

Macam biasa, saya mungkin dah tak ada azam yang besar-besar. Terlalu banyak menyimpan azam dan kebanyakannya berlalu macam angin yang menyapa sebelum pergi, saya jadi takut nak simpan azam yang besar-besar. Takut kecewa sendiri. Bimbang patah hati lagi, lagi dan lagi bila impian tak jadi nyata. Tapi walaupun tak ada azam yang besar-besar, azam yang kecil-kecil tetap ada. Bukan manusia namanya kalau hanya menjalani hidup ini tanpa ada apa-apa rasa. Bila tak ada azam atau impian, saya rasa seseorang itu akan hilang ghairah untuk meneruskan hidup. Apa maknanya hidup kalau macam tu bhai?

Apa pun, azam ya, bukan Encik Azam. Ada aku kisah azam atau Encik Azam, mungkin itu yang korang kata bila baca N3 ni. Tak apa, saya tak marah pun. Tapi betullah... memang banyak yang saya rasa saya nak buat masa awal tahun dulu. Macam-macam plan saya atur, kemudian simpan kejap-kejap. Harapan saya, bila sampai masa saya akan laksanakan satu per satu lengkap dengan strategi. Sudahnya, ada antara plan tak bertulis di atas kertas tu terkubur macam tu aje. Dah tak ada jalan lagi untuk diperbaiki, apalagi bila plan tu melibatkan orang lain.

Memanglah ada lagi setengah tahun, Julai – Disember. Tapi nak tak nak, saya kena lepaskan juga sebahagian daripada plan yang mungkin penting dan mungkin juga tak begitu penting dalam hidup saya. Mana yang boleh dibawa bermula Julai hingga hujung tahun, saya akan bawa dengan senang hati. Bukanlah bawa semata-mata, bawa dengan niat mahu melaksanakannya. Kalau bawa tapi tak nak jadikan kenyataan, baik tak payah bawa. Buat menambahkan beban di bahu aje gamaknya. Mana yang rasa-rasanya masih sangat jauh untuk diteruskan, maka saya akan bawa ke tahun hadapan, insya-ALLAH jika ditakdirkan nyawa saya masih panjang. Kalau pendek, tak boleh nak kata apa sebab jodoh pertemuan, ajal maut semuanya terjadi atas kehendak ALLAH. Manusia merupakan hamba-NYA, lalu tugas kita tetap tunduk kepada DIA.

Kepada korang yang juga punya azam, tak kiralah besar-besar atau kecil-kecil, saya doakan korang dapat capai azam tu. Ditakdirkan gagal jadi milik korang, jangan putus asa kerana bila korang putus asa, hidup macam dah tak ada ertinya lagi. Pasakkan kat hati yang suatu hari nanti, azam korang akan jadi kenyataan, ;-)