- Bukan Jaminan... -

January 29, 2009

Aku mengenali dia, hanya sekali, aku bertemu dengan dia, hanya sekali, aku berbual-bual dengan dia, hanya dua kali dan aku bersama-sama dia, juga dua hari. Dan, seperti kebiasaan... seperti juga orang lain, di hujung pertemuan, sambil bersalaman, aku akan katakan, ‘jumpa lagi’. Sayangnya, harapan rupa-rupanya hanya tinggal harapan bila dia akhirnya pergi menghadap Pencipta Yang Abadi pada tengah hari, hari Jumaat, 23 Januari 2009.

Ketika dapat SMS mengatakan dia pergi, aku sebenarnya tak tahu macam mana nak bereaksi, tak tahu kata apa yang perlu diungkapkan pada si kakak (kawan aku) dan keluarganya yang masih tinggal. Rasa tak percaya, rasa keliru dan yang lebih tentunya rasa sedih mengenangkan dia hanya seorang gadis berusia 19 tahun. Masih terlalu muda dan tentunya kalau dia masih ada, dia harus melalui jalan hidup yang masih panjang. Tapi seperti yang sering aku bisikkan pada diri sendiri selepas seseorang pergi dari hidup aku dulu, muda bukan jaminan untuk tidak ‘pergi’.

Memang tak mudah menerima hakikat tu, sesiapa pun dalam dunia ni tentu tak sanggup kehilangan orang tersayang, membayangkan pun tentu saja tak mahu. Tapi siapa manusia nak mencabar takdir yang datang? Yang pergi tetap juga akan pergi bila sampai masanya sama ada rela atau tidak. Jadi, hanya kata takziah dan sabar... sabar dan sabar yang dapat aku katakan pada mereka yang masih tinggal, khususnya pada kawan aku tu. Aku tak ada kuasa dan kudrat yang lain daripada itu sebab aku pun hanya manusia biasa. Harapan aku, sebagai anak sulung, kawan aku tu mampu menjadi tulang belakang untuk orang tua dan adik-adiknya yang masih tinggal. Kalau dia lemah, tentu yang lain-lain akan jadi lebih lemah lagi.

Cuma yang pasti, ALLAH memang lebih menyayangi adiknya. Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin! Dan... untuk dia yang telah pergi... Al-Fatihah.

- Genap Setahun -

January 22, 2009

Hari ni 22 Januari 2009, bermakna genap setahun usia Muhammad Aqqif Najmi, genap setahun dia melihat dunia dan genap setahun juga dia menjadi buah hati pengarang jantung keluarga kecil aku yang serba sederhana. Cepatnya dia membesar, cepat lagi masa berlalu dengan seribu satu cerita yang pastinya akan dikenang sampai bila-bila.

Pertama kali tengok si kecil tu setahun lepas, aku cuba juga perhatikan, manalah tahu dia ada ikut muka aku sikit-sikit walaupun hanya berstatus anak buah pada aku. Tapi tak jumpa, muka adik aku pun tak ada. Tapi makin dia membesar, perubahan demi perubahan berlaku, adalah juga rupa adik aku yang selalu aku ejek ‘anak angkat’ dan ‘seorang daripada 10 budak hitam macam dalam lagu tu’ di wajah Aqqif. Dan, bila ada rupa adik aku, secara tidak langsung tentulah ada rupa aku yang adik aku gelar ‘anak buangan yang abah jumpa terselit kat pokok bakau’. Lawak terlampau aku adik-beradik!

Sekarang ni Aqqif dah besar, dah ada gigi dan mula nak bercakap-cakap bahasa Arab kot, tapi masih belum berjalan sebab kaki agak kecil dan badan pun tak begitu besar. Tapi dah boleh dikategorikan sebagai salah seorang budak yang agak nakal dan agresif. Apa pun dan siapa pun Aqqif, aku doakan dia panjang umur, dimurahkan rezeki dan sentiasa berada dalam lindungan ALLAH dan pastinya, mampu jadi anak soleh yang boleh jadi penyejuk di mata dan penyeri di hati orang tua. Amin!



- Cerita 21 Hari -

January 21, 2009

Hari ke 21 bulan Januari 2009! Dalam 21 hari yang berlalu dan aku lalui, apa yang dah berlaku, apa yang aku dapat? Dah bermulakah perjalanan hidup untuk tahun ni, ataupun masih lagi dibawa kenangan tahun 2008, atau barangkali juga, masih terasa seperti ada pada tahun lepas? Entahlah ya, aku pun masih tercari-cari jawapan yang tentu saja sudah ada. Aku kini ada pada tahun 2009, bukan 2008, jauh sekali 1988 atau 1998.

Dan tahun ni, setelah 21 hari berlalu... alhamdulillah, setakat ni semuanya berjalan lancar walaupun agak sibuk dengan kerja dan penyediaan laporan SKT dan Penilaian Prestasi yang baru selesai semalam. Hem... laporan yang sedikit, tapi terlalu rumit rasanya sebab setahun hanya dibuat sekali. Kalau hari-hari buat, mesti boleh disiapkan semudah melagakan ibu jari dan jari hantu hingga akhirnya kedengaran bunyi ‘pap’. Tapi mujur juga, lepas pening-pening kepala akhirnya siap juga.

Perjalanan hidup pula, masih macam biasa dan entah bila akan berubah. Rutinnya, bangun pagi pukul 5.50 pagi, pergi kerja pukul 6.45 pagi, sampai opis pukul 7.00 pagi, mula kerja 7.30 pagi, balik kerja pukul 4.30 ptg, pukul 5.10 ptg sampai rumah dan tidur sekitar 11.00 malam.

Perkembangan penulisan, syukur... setakat ini pun masih berjalan lancar. Minggu lepas dapat berita yang manuskrip novel yang aku hantar pada Alaf 21 dah selesai nilai. Tapi jangan ditanya bila tarikh terbit, aku tak ada jawapan yang pasti dan tak berani juga nak beri jawapan selagi novel belum ada di pasaran. Cuma berani kata, novel untuk tahun ni ‘pasti’ ada.

Manuskrip baru pula... pun syukur juga sebab sekarang ni rasa mood sangat bagus, sudi bekerjasama lepas agak lama mogok tahun lepas. Sebenarnya, aku pun agak pelik dengan mood ni, sebab masa aku menulis agak cacamarba. Aku menulis seawal 7.00-7.30 pagi, lepas tu 1.00-2.00 petang, kemudian 5.30-6.30 petang, sambung lagi 8.00-10.30 malam. Hari-hari macam tu, kecuali kalau aku letih. Tapi kesannya, hujung minggu aku lebih banyak tengok TV daripada menulis. Dan manuskrip ni, kiranya aku lunaskan hutang pada sesiapa yang pernah masuk Teratak Ana (sekarang dah tak ada lagi) dan pernah baca cerpen ‘CINTA SEBATANG PEN OREN’ yang tak selesai. Aku sedang berusaha selesaikan dan rasanya siap tak lama lagi.

Kesimpulan yang aku dapat, aku ‘sangat tak sesuai’ menghasilkan karya secara online, sebabnya... aku menulis ikut mood dan lebih malang lagi, aku buat orang tertunggu-tunggu. Tak ke kejam namanya tu? Aku memang ‘tak gembira’ buat macam tu, cuma masa tu nak cuba-cuba, orang boleh terima ke tak, sudahnya usang macam tu sedangkan orang tertanya-tanya. Cukuplah percubaan sampai setakat tu aje. Hanya yang pasti, satu dah selesai dan bakal terbit, satu hampir selesai. Dan dua lagi yang tak selesai, aku akan selesaikan juga walaupun ambil masa. Insya-Allah!

- Bayar Hutang -

January 19, 2009

Kena tagged lagi? Huh... entah dah berapa banyak yang aku tak jawab, aku pun tak berapa nak ingat. Tak taulah kenapa, tapi yang ni anggap ajelah aku nak tebus semua kegagalan yang sebelum-sebelum ni. Untuk Fieda dan Shanika... hem, bolehlah kot yang ni.

1. Do you think you are hot?
Taklah... suam-suam kuku aje...

2. Upload your favourite picture of you.

3. Why do you like that picture?
Sebab ni kira gambar yang paling baru. Lagi satu, nampak macam perasan sendiri sebab mamat sebelah tu langsung tak pedulikan aku...


4. When was the last time you ate pizza?
Rasanya dah agak lama sangat, sebelum puasa tahun lepas....

5. The last song you listened to?
Matahariku, Agnes Monica... masa siap-siap nak pergi kerja tadi.

6. What are you doing right now besides this?
Semak manuskrip...

7. What name would you prefer besides this?
Betullah... tak berapa nak jelas. Tapi macam orang lain, kena tag lima orang, ya? Tapi siapa yang nak jadi insan terpilih ni? Hentam sajalah ye...

1. Diana
2. Fatin Nabila
3. Airul
4. Kak Fatin
5. Kak Azie

8. Who is no. 1?
Kawan yang selalu jadi mangsa, kena dengar aku nyanyi lagu kanak-kanak...

9. No. 3 is having relationship with?
Siapa ya, Airul? Akak nak tau juga...

10. Say something about no. 5
Seorang kakak yang sangat baik hati dan selalu makan hati dengan tingkah aku...

11. How about no. 4?
Bakal menerima cahaya mata lagi...

12. Who is no. 2?
Penulis yang ada blog warna hijau dan sangat seronok kawan dengan dia...

-Hijau Biru Kuning, Tetap Warna Kehidupan-

January 15, 2009

Jam baru pukul 5.20 petang, tapi aku dah lama sampai kat rumah, sejak pukul 5.00 lagi. Lega sangat jalan okey hari ni, tak macam hari-hari lain, kalau tak mesti tak sampai lagi kat rumah sekarang ni. Itu baru mukadimah... rasa nak bercerita tapi tak tahu nak mula dari mana. Hentam sajalah!

Pagi tadi dapat SMS, alhamdulillah... khabar yang aku tunggu selama 15 hari kebelakangan ni akhirnya terjawab sudah. Lebar aje senyuman aku sebab sebelum tu memang agak berdebar-debar. Asyik terfikir, lepas ke tidak? Tapi nampaknya tak perlu aku terus meneka dan buat andaian yang bukan-bukan lagi, sampai kepala rasa nak meletup. Bimbang pun ya juga. Syukur sangat, lepas ni dah boleh tarik nafas lega untuk tahun ni. Tahun-tahun akan datang, tunggu dulu, bila sampai tahun tu barulah fikir macam mana nak buat.

Tapi rasa seronok hari ni tak bertahan lama, makin masa beranjak makin rasa tak tenteram. Mula rasa macam nak mengamuk sebab tension. Tapi soalnya, apa yang nak aku tensionkan? Kerja yang agak memburu ke? Masa yang agak cemburu ke? Antara kedua-duanya, mana yang lebih aku pilih? Entah, tak ada jawapan. Cuma rasa, memang tak best langsung sepanjang menunggu detik 4.30 petang. Mujur juga detik tu sampai juga dalam pada aku leka menghadap manuskrip drama yang tebalnya 1100 muka surat. Entah bila nak habis, aku pun tak tahu.

Tapi bila difikir-fikir balik... huh, kesimpulannya hari ni, aku tak suka atau lebih tepat lagi, sangat tak suka dengan orang yang berlagak dan perasan bagus sebab tiap-tiap yang bagus itu tentu ada tak bagus di mana-mana sebab manusia tak ada yang sempurna, hanya DIA yang sempurna, tak ada selain DIA. Jadi hari ni juga, aku nak ingatkan diri sendiri, jangan kerana merasakan orang lain kecil, maka kita sewenang-wenangnya bersikap tuan. Bak kata orang, kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa (betul ke ni sebab aku tak berapa pasti) Apa pun, ingat tu Marwati Wahab @ Aleya Aneesa! Hem... sesi merepek dah habis, tak ada idea lagi nak tulis apa. Tapi itu ke puncanya aku jadi sedikit mengong hari ni? Jongket bahu! Jumpa lagi di sini pada sesiapa yang sudi berkunjung. Semoga tahun ni tak menghampakan sesiapa.

- Sorry Naik Lori -

January 7, 2009

Selamat malam! Jam sekarang dah lebih pukul 10.00 malam. Sebenarnya, mata dah agak mengantuk, tapi rasa macam tak nak tidur lagi. Sekurang-kurangnya, biarlah sampai habis N3 ni sebab sekarang ni hati rasa macam tak berapa best. Yang sebetulnya, aku baru aje habis basuh baju tapi guna mesinlah. Masa tengah sidai tu, tiba-tiba nampak baju t-shirt warna hitam. Bukan baju aku sebab baju aku takkanlah sekecil tu. Bila aku angkat baju tu, tengok dalam-dalam... panjang aje aku senyum. Baju Danish Hakim! Tapi lama-lama aku macam dah tak sanggup nak senyum lagi dah. Nak menangis pun ada juga...

Tiba-tiba rasa rindu sangat kat Danish Hakim. Rindu yang bercampur dengan rasa kesal. Teringat, hal minggu lepas, dalam LRT. Aku tertepuk mulut dia agak kuat, bukan sengaja pun tapi sebab tindakan yang spontan, tepukan tu jadi agak kuat untuk budak sekecil 3 tahun 7 bulan. Sebenarnya masa tu aku terperanjat sangat, dia yang seronok menyakat aku, mengatakan aku 'gajah' dan 'kedebab' dan aku yang dikutuk cuma ketawa dan senyum, (aku pun selalu ejek dia anak gajah), tiba-tiba sebut perkataan lain, perkataan 'k*****' yang disebut sebaik saja seorang perempuan berbangsa India masuk dan duduk di hadapan kami. Lepas tu, LRT berhenti kat stesen Masjid Jamek. Aku terus jalan, tapi bila aku toleh dia tak gerak-gerak, abang aku datang pun dia macam tak nak bangun. Aku tengok dia dah banjir. Sudah! Kuat benar ke aku tepuk tadi? Abang aku malas cakap banyak, terus aje dukung.

Keluar aje LRT, dia melalak lagi kuat, cakap aku yang buat. Dan, memang aku pun yang tepuk mulut dia tadi. Sudahnya, habis baju aku ditarik-tarik, rasanya kena pukul juga, marah sangat agaknya. Tapi abang aku marah dia balik sebab buat aku macam tu sedangkan aku biarkan aje dia pukul aku. Beberapa minit juga dia tak layan aku. Tapi nak pujuk dia, aku belikan dia kereta mainan. Budak-budak... lama mana boleh marah? Budak-budakkan polos, tak macam orang dewasa. Tapinya... aku yang dah tua bangka ni, sampai sekarang asyik teringat-ingat dan kesal tak sudah. Tapi sungguh! Aku memang tak sengaja masa tu. Patutnya aku tegur aje sebab tukan lagi elok. Lagipun... aku, walaupun depan anak-anak buah aku memang agak garang dan nampak garang tapi aku tak biasa atau jarang angkat tangan. Macam mana hari tu boleh terlepas, entahlah...

Dan bila tengok lagi sekali baju hitam Danish Hakim sebelum tutup pintu, aku macam nampak budak debab tu duduk tepi aku. Betul-betul tempat aku berdiri tadi. Teringat lagi, dalam pada aku dah tepuk mulut dia sampai nangis pun, esoknya dia masih nak duduk di kampung sebab ada aku. Dan sepanjang cuti aku yang agak panjang tu, dia langsung tak balik rumah dia. Sayang sangat dia kat aku agaknya, hehehe...

Untuk Danish Hakim dan anak-anak buah aku yang lain (Kakak, Adik Nana & Aqif) yang tentunya tak baca apa yang aku membebel ni untuk masa terdekat ni, moga jadi anak-anak yang baik, beriman, soleh & dan solehah. Kat mana pun kalian, Mak Tam doakan yang baik-baik untuk kalian. Sayang sangat kat korang berempat!

- Salam -

January 6, 2009

2009… yeah! Sampai juga akhirnya. Cepatnya masa berlalu, antara sedar dengan tak sedar, antara mahu dengan tak mahu, antara pasti dengan tak pasti, di penghujung, tiba juga kedatangan tahun yang masih belum pasti apa kesudahannya. Hendaknya, biarlah tahun ini lebih bermakna, lebih manis dan lebih membawa banyak erti dalam diri setiap manusia dalam dunia ini. Tahun lepas? Hem... macam tahun-tahun yang dah jauh kita tinggalkan, kata orang... yang berlalu biarkan saja berlalu sesuai dengan peredaran masa. Tapi setiap yang berlalu itu, tentunya ada suka dan duka, ada baik dan buruk, ada ketawa dan air mata. Pendek kata, ada pro dan kontra. Dan sebagai orang yang ada fikiran dan hati, apa kata yang baik kita jadikan teladan dan yang buruk pula kita jadikan sempadan. Mahu atau tidak, suka atau tidak, kita harus terus bergerak ke depan.

Jadi, SELAMAT TAHUN BARU (2009) DAN SALAM MAAL HIJRAH (1430 H) untuk yang datang menjengah dan masih setia di sini. Lewatkan? Yup, agak lewat tapi yang pasti bukannya terlalu lewat bukan? Nak buat macam mana... aku memang selalu ketinggalan kereta api. Bukannya apa, baru dua hari naik kerja lepas bercuti selama 11 hari. Mood buat kerja pun rasanya masih berkobar-kobar. Maklumlah, awal-awal tahun ni, otak masih fresh. Tengah tahun mungkin turun sikit dan akhir tahun... jangan-jangan hilang terus. Eh, janganlah hendaknya macam tu. Tak elok simpan azam yang bukan-bukan macam tu. Tahun ni aku nak jadi orang baik, kalau pun tak baik banyak, cukuplah kalau dapat baik sikit. Tak best pun kalau jadi orang jahat. Apalagi kalau benar-benar jahat.

Azam tahun ni? Soalan yang agak sukar nak dijawab setiap kali orang tanya. Sebab memang tak ada jawapan yang benar-benar pasti, kalau pun samar-samar tu tentu ada. Dan rasa-rasanya, dah agak lama juga aku ni tak benar-benar berazam, dah hampir bertahun-tahun dah pun. Tahun ni pun macam tak ada juga agaknya. Aku pun malas nak fikir panjang-panjang tentang benda ni. Bagi aku, cukuplah kalau dapat hidup seperti mana adanya, dapat terus menjalani hidup yang entah tak tahu di mana titik akhirnya dan dapat terus jadi diri sendiri.

- Diana & Nor -

December 24, 2008

Hem... cepatnya masa berlalu, sedar-sedar hari ni dah hari rabu. Lagi berapa hari, tahun 2009 dah nak sampai. Aduh... banyaknya lagi azam yang tak tercapai. Tapi soalnya, apa azam aku untuk tahun ni? Aku tak ingat dan tak tahu dengan jelas apa yang aku nak. Cuma, tahun 2008 dah jadi saksi betapa manusia bernama Marwati Wahab @ Aleya Aneesa ini pernah jatuh dan bangun berkali-kali dalam tahun ni.

Hendaknya nanti, pengalaman dan kenangan jatuh dan bangun itu akan menjadikan aku seorang manusia yang kuat, tabah dan cepat sedar diri. Bak kata orang, 'kalau tangan tak sampai... jangan pernah bermimpi nak memetik bintang di langit.

Dan sempena hari baik dan cuaca yang cerah ni, mood pun sangat selesa hari ni, aku nak ucapkan ‘SELAMAT HARI LAHIR’ untuk Diana dan Nor. Semoga manusia-manusia yang baik dengan aku ni, panjang umur, murah rezeki dan sentiasa ada dalam rahmat ALLAH. Umur berapa ye cik kak dan cik adik? Oh... sentiasa seventeen! Tak kisahlah kan, janji rasa muda selalu.

- Selasa Yang Tak Menentu -

December 23, 2008

Menjengah ke satu blog yang dah lama tak dijengah. Hati rasa tersentap, bersalah sangat-sangat. Tapi benarkah memang aku bersalah? Kalaulah dapat diundur masa... tapi yang akan terjadi? Apa yang nak dibuat? Atau, kesudahannya akan lebih elok atau sebaliknya? Soalan-soalan tu asyik bermain-main di kepala aku. Rasanya lebih banyak rasa kesal datang, lebih banyak keinginan untuk undur masa timbul. Malah seringnya kata, ‘kalaulah aku tak buat macam tu’, ‘kalaulah aku buat macam ni’, ‘kalaulah tau jadi macam ni’ dan segala-galanya bermula dengan kata ‘kalau’ semata-mata dan berakhir dengan sesuatu yang tak dijangka. Tapi yang pasti, mesti seronok kalau masa dapat diputar kan? Tentu yang berakhir dengan kesan baik akan dipilih dan itu bererti kesan buruk akan ditolak jauh-jauh. Sayangnya, siapa manusia nak cabar takdir yang datang?

Tapi sungguh, kalau memang boleh diundurkan masa, ada banyak perkara silap yang akan aku betulkan supaya apa yang berlaku hari ini tak berlaku dan tak akan berlaku sepanjang hayat. Supaya apa yang aku kesalkan kini, tak akan pernah singgah dalam kamus hidup seorang manusia bernama aku. Bukan bermakna tak ada rasa syukur dengan apa yang aku rasakan saat ini. Bukan itu maknanya, sebab masih ada begitu banyak perkara yang boleh dikatakan bukan kesilapan dan aku rasa bersyukur sangat berlaku dalam hidup ni.

Cumanya ada sesetengah perkara yang bila difikirkan balik, rasa agak kesal, perkara yang sepatutnya tak pernah terjadi, yang kalau diberi pilihan sekarang ini, aku lebih rela tak buat. Bukan juga tak suka atau benci, tapi kesal kerana banyak keputusan yang pernah aku buat dan pilih satu ketika dulu menyebabkan rasa terhukum hari ini sebab tak dapat lari lagi walaupun terasa sangat nak lari jauh-jauh tanpa perlu menoleh ke belakang sambil berkata, ‘lantaklah, apa nak jadi, jadilah’. Malah lebih dari itu, orang lain yang tak sepatutnya terlibat turut terseret sama dan mendapat kesannya pada hari ini.

Alangkah baiknya kalau mulut begitu mudah mengatakan ‘ya’ pada perkara yang memang boleh kupikul di pundak dan ‘tidak’ pada perkara yang memang dah dikenal pasti tak dapat terus memegangnya satu ketika nanti. Sekurang-kurangnya tak perlu rasa terbeban dan membebankan, tak perlu rasa terikat dan mengikat, tak perlu rasa salah dan dipersalahkan. Tapi aku, selalu tak pernah atau kurang memikirkan hari depan. Hanya tahu menghadapi hari ini dengan anggapan itulah titik tapi lupa yang titik hari ini bukannya hanya bertanda satu kerana esok masih ada, tapi bertanda tiga yang bererti kehidupan bukan berakhir hari ini, sebaliknya bersambung sehingga nadi masih berdenyut.

- Jumaat Yang Bingung -

December 19, 2008

“Tu kat luar tu, composer lagu ke?” Aku tanya Diana sambil berkemas barang. Cadangnya, aku dan Diana nak pergi KL Sentral masa rehat.

“Siapa?” Diana tanya aku balik.

“Alah… siapa nama dia tu… Marzuki Ali.”

Dengar aje nama tu, Diana ketawa sambil tengok muka aku. “Marzuki Ali tu bukan penulis awak ke?”

Kali ni aku pun ketawa sama. Teringat muka Marzuki Ali yang buku puisinya berjudul ‘Bungkau Rimba Hujan Tropika’ yang baru aje terbit. Entah macam mana nama penulis tu yang aku ingat sedangkan dah sah muka yang berdiri di kaunter bahagian bukan muka penulis yang dah beberapa kali aku jumpa. “Habis tu siapa?”

“Fauzi Marzuki la,” kata Diana confident. Padahal, dia pun belum tengok siapa yang aku maksudkan. Tapi aku anggap aje apa yang Diana cakap tu betul walaupun tak pasti betul atau tidak. Lepas tu, kami pun mula keluar lepas cakap dengan Nadia ke mana destinasi kami. Bimbang kalau ada yang tercari-cari, tak pun bimbang sampai lewat ke pejabat.

“Hah… tulah dia.” Aku berbisik sambil kami masuk ke dalam lift. Kebetulan memang orang yang aku maksudkan ada di sana. Entah kenapa agaknya, aku rasa muka orang tu sangat biasa aku tengok. Cumanya, aku tak ingat siapa. Dalam lift pun kami senyap aje sambil otak terus berfikir tentang perkara yang sama. Tapi kosong, memori aku langsung tak ingat siapa sebenarnya orang tu. Tapi yang pasti aku tahu aku pernah tengok.

Keluar aje lift. “Saya dah tahu siapa orang tu?” Diana dah tak sabar-sabar kejar aku yang keluar dulu.

“Siapa?” Aku memang dah tak sabar. Otak rasa sakit sebab tak dapat jawapan bagi soalan yang ada kat hati.

“Itu bukan staf DAWAMA ke?”

Macam digeletek-geletek, pecah ketawa kami di lobi DBP hari ni. Hilang rasa malu sebab memang dah tak boleh nak tahan lagi. Pantas ingatan aku melayang kat meja bulat yang ada di DAWAMA setiap kali meeting visual kulit buku diadakan. Sah… memang betul apa yang Diana katakan. Patutlah aku rasa pernah jumpa, rupa-rupanya memang pun. Macam mana boleh lupa, aku tak pasti. Hanya yang pasti, sepanjang-panjang jalan pergi ke KL Sentral ketawa kami memang tak berhenti. Sampai Diana kata, dia terasa macam nak ketawa guling-guling macam ikon yang ada kat YM. Sampai tiba masa nak balik rumah pun, sempat lagi kami ketawa. Harap-harap lain kali, kami tak teka orang yang bukan-bukan selagi tak pasti. Kalaulah orang tu tahu, alangkah malunya.