- Rombongan Cik Mar ( 2 )

January 26, 2010

Panjangnya tempoh cerita yang diambil oleh aku. Entahlah... mood menulis di sini makin lama makin berkurang seiring dengan putaran waktu. Banyak cerita, banyak juga malasnya, bukan macam kelapa, makin tua makin berisi (betul ke perumpamaan ni, aku pun dah tak begitu pasti).

Sampai ke hari ni, aku masih ingat macam mana tergocoh-gocohnya kami berkejar ke kaunter di lapangan terbang KK gara-gara takut terlepas flight ke Sandakan, sampai ada yang hampir-hampir menangis sebab takut tinggal. Sebabnya, masa yang ada rasanya macam tak sampai 1 jam. Tapi bila diberitahu flight delay 3 jam entah berapa minit. Huh... tak berbaloi betul, masa yang ada terbuang macam tu aje dengan lepak-lepak sambil makan-makan KFC.

Pukul 3.00 lebih bergerak ke Sandakan, dah ada keluarga Ryn yang menunggu. Alhamdulillah... kami sampai juga ke destinasi, lupa pula nak tanya apa nama kampung Ryn. Letihnya, TUHAN aje yang tahu, lebih letih lagi sebab risaukan abah yang macam seriau naik flight. Depan dia aku ketawa-ketawa sambil cakap kat dia tak ada apa-apa, macam naik bas aje, tapi hati aku rasa kesian sangat, aku dapat rasakan ketakutan dia. Kalau dekat memang aku dah hantar abah balik.

Sampai tu, terus ke rumah Ryn sambil bawa barang-barang hantaran. Hari ni dalam sejarah, aku pergi majlis bertunang dengan jeans dan t-shirt, tak sempat salin baju kurung sebab kami dah lewat lebih tiga jam. Hentam ajelah kata mak masa aku rasa agak serba salah, yelah... mana pernah dibuat dek orang. Yang majlis kahwin dulu, tu kat tempat aku, jadi tak adalah malu benar. Ni... tempat orang. Dan syukur, segala-galanya berjalan dengan lancar. Bulan 6 nanti... insya-ALLAH kalau ada jodoh angah dan Ryn, kami akan ke sana lagi.

Duduk di rumah mak cik Ryn... buat aku terkenang zaman kecik-kecik dulu, masa tu aku selalu mandi sungai. Kena marah pun aku dah tak peduli, kadang-kadang dengan baju sekolah aku jadi badak ari. Sungguh... aku rindu gila dengan zaman yang dah makin jauh aku tinggalkan.











Malam terakhir sebelum balik ke Johor Bahru, sempat lagi sambut birthday DD. Kejutan yang tentu saja DD tak perasan sebab dia sempat merajuk, hehehe... (jangan marah DD, nanti kena jual timbang kilo). Bak kata dia orang, “Biar pecah di mulut, tapi jangan pecah di perut”.

Balik ke Johor Bahru, kali ni baru betul-betul boleh dipanggil Rombongan Cik Mar sebab aku dengan family aku naik flight pukul 3.30 petang, sedangkan family Ryn dah balik awal pagi lagi. Dia orang dah sampai JB, aku, adik & adik ipar aku masih ada di Pasar Filipina beli kuih cincin sebab aku tiba-tiba teringatkan Fida yang nak kuih tu sedangkan aku dah lupa. Akhirnya... kami sampai seperti masa sepatutnya. Cuaca pun agak baik, dan abah pun nampaknya lebih tenang. Bila aku tanya abah, “Bah... bulan 6 nanti abah nak pergi tak?”. Abah jawab, “Tunggu lagi tiga bulan baru bagi jawapan”. Rasanya jawapan tu cukup positif sebab malam sebelumnya abah kata, “Tak nak pergi lagi.”




-Rombongan Cik Mar (1)

January 25, 2010

* * *SEBELUM KE SANDAKAN * * *

Asalnya idea datang dari adik ipar aku, katanya bulan Januari 2010 kakak ipar dia balik Sabah sebab memang orang sana. Aku pun kata nak ikut sama, cuci mata ke sana entah untuk kali ke berapa. Kali ni, aku angkut mak, abah, adik ipar, adik aku dan anak dia orang sekali. Saja nak bawa dia orang tengok tempat orang lain sekali sekala, tukar angin. Tapi lepas beberapa bulan kemudian, Abang Ngah kata dia nak bertunang, dan pilihan dia orang Sabah. Pucuk dicita ulam mendatang, terpaksalah dua lagi tiket dibeli, untuk dia dan Pak Long. Yalah, siapa yang nak bercakap bagi pihak kami kalau bukan Pak Long. Tak kanlah aku? Karang tak fasal-fasal aku kata datang jauh-jauh semata-mata nak minta makan, bukan nak minta anak dia orang.

Macam yang dah dijanjikan, pagi Jumaat 15 Januari 2010, aku, mak, abah & Abang Ngah bertolak dari rumah Kak Long ke airport Senai. Pak Long, adik aku, isteri & anak dia orang daripada kampung. Ada lagi beberapa orang, family adik ipar aku yang juga pergi. Pendek kata, memang rombongan Cik Mar, walaupun aku bukan kepalanya. Kami anak-beranak menyibuk nak ikut dia orang, hehehe... Kali pertama aku datang ke airport Senai sebenarnya, dulu ada sekali tapi hanya lalu dekat-dekat situ. Rasanya sama aje macam airport lain.

Hem... idea kering tiba-tiba, tengok gambar ajelah gamaknya...


Dua beradik mengong... itulah yang selalu adik ipar aku gelar kat aku & adik aku ni. Padahal, dia yang suruh kte orang buat aksi gila sikit.

Hasil paksaan aku kat adik ipar aku tu... aku dapat bunga warna merah yang di dalamnya ada coklat. Dari airport Senai sampai ke airport KK sampai ke airport Sandakan, patah balik ke airport Sandakan sampai ke airport KK aku usung bunga coklat tu, sudahnya... coklat tu abah aku yang makan. Uwaaa... abah ni... Itu aje ayat yang boleh aku keluarkan. Mana boleh anak lawan cakap abah dia kan, apalagi bagi anak yang dah puas melawan masa remaja dulu...

Mak selalu aje cool dalam apa juga keadaan. Dan aku harap, sangat berharap untuk seumur hidup mak, mak akan terus cool...

Kalau ikut hati, memang nak bawa semua kaum kerabat aku sebab aku memang suka pun kalau dia orang semua ada. Tapi apakan daya...

Yang sebenarnya, yang nak pergi orang-orang di bahagian depan dan orang yang di bahagian belakang tu suka-suka nak menyibuk...



Ada cerita kelakar dalam ni, tapi biarlah hanya jadi rahsia, aku, Ina dan mak. Kalau orang lain pun sedar, diam-diam sudah...

-Ke Jinjang Pelamin-

January 22, 2010

Untuk salah seorang abang yang aku sayang, sangat sayang, Abang Ngah dan Ryn... tak ada apa yang seorang adik macam aku boleh berikan, melainkan doa semoga ikatan pertunangan kalian kekal hingga ke jinjang pelamin. SELAMAT BERTUNANG ye... ada izin daripada ALLAH, ada umur dan ada rezeki, bulan 6 nanti kita ke Sandakan lagi.

-Selamat Hari Lahir, Sayang...-

Untuk anak buah aku nombor empat, anak buah paling kurus, anak buah paling kepoh, anak buah yang selalu mencuit hati dan anak buah yang dah pandai tunjuk perasaan kat aku (belajar daripada kakak-kakak dan abang dia), Mohammad Aqqif Najmie, SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-2 TAHUN. Semoga Aqqif panjang umur, murah rezeki, selalu ada dalam rahmat ALLAH dan tetap jadi anak yang mampu menjadi penyeri di hati dan penyejuk di mata mama, papa dan semua yang ada di sekeliling Aqqif...

-Pembuka Bicara, Ceh...-

January 21, 2010

Salam pada yang masih sudi berkunjung ke blog yang asyik sepi sejak akhir-akhir ni sebab tuannya sangat-sangat malas nak mencoret. 21 hari tahun 2010 memunculkan diri dalam pada sedar tak sedar. Dan, inilah n3 pertama aku. Bukannya tak ada cerita menarik, sangat banyak sebab semua yang berlaku dan harus dilalui itu bagi aku ada cerita tersendiri, ada istimewanya yang tak mungkin akan terulang, kalau terulang pun, ceritanya tentu saja tidak sama lagi. Hanya jeri-jemari tak runcing ni macam berat nak mengetuk keyboard...

Apa dah jadi dengan aku? Tak ada dan insya-Allah tak ada apa yang berlaku. Kalau ada pun, hanya perkara-perkara rutin yang harus dijalani setiap hari. Jatuh bangun, sakit perit, semuanya lumrah yang harus ditempuhi. Sesekali jatuh tersadung akar, kesannya ada, parutnya jelas kelihatan... tapi hakikatnya, hidup perlu juga diteruskan selagi masih bernafas di atas muka bumi bertuah ini. Apa yang berlaku, tentu saja mematangkan perjalanan hari-hari seterusnya.

Kalau ditanya tentang hidup, rasa-rasanya... hidup aku masih begini-begini saja. Tak ada apa yang berubah, kalau ada pun, tak dapat menjejaskan apa-apa. Kalau tentang dunia penulisan, sampai semalam, aku masih gigih menyudahkan cerita yang dah pun lebih daripada separuh menerima sentuhan jari-jemari ni. Harap aku boleh sudahkan dalam masa terdekat ni, selagi segala-galanya masih berjalan lancar kerana aku manusia yang bekerjasama dengan mood. Hilang mood, maka hanyutlah aku. Novel baru pula, insya-Allah novel terbaru dengan Alaf 21 akan terbit hujung bulan ni, itu pun kalau tak ada aral melintang. Maklumlah, manusia kan hanya boleh merancang, tapi kenyataannya ada DIA Yang Lebih Tahu. Sekian...

-Esok Harinya!-

December 31, 2009

Betul... memang esok harinya kita semua akan melangkah ke tahun baru, Tahun 2010. Pasti ada yang tak sabar menunggu datangnya hari tu, tentu juga ada yang tak mahu tahun 2009 pergi. Masing-masing tentu ada alasan tersendiri. Tapi bagi aku, tahun baru atau lama, tak ada bezanya. Kalaupun yang berganjak mungkin masa sedangkan hidup tetap juga perlu diteruskan. Tetap juga harus menjalani rutin yang tak pernah dan tak akan pernah berhenti. Dan azam... jangan ditanya pasal azam sebab aku manusia yang dah lama tak punya azam (ceh... jiwang karat). Hanya... aku berharap, sangat berharap Tahun 2010 akan lebih baik, lebih bermakna dan lebih menjanjikan kebahagiaan daripada tahun-tahun sebelumnya, untuk aku, keluarga aku, kawan-kawan aku dan semua manusia yang ada dalam dunia ni. Harap juga dunia penulisan aku akan berjalan lancar, lancar, lancar... dan terus lancar...

Untuk semua, SELAMAT TAHUN BARU dan untuk mak dan abah, SELAMAT ULANG TAHUN PERKAHWINAN yang Ke-38 Tahun. Semoga kalian berdua selalu ada dalam rahmat ALLAH.

-2 Hari Lagi!-

December 30, 2009

Ya... 2 hari lagi, segala yang berlaku dalam tahun 2009 akan kekal menjadi sebuah sejarah yang mungkin tak akan terulang lagi. Kalaupun terulang, mungkin sama tapi tak serupa kerana masa yang pergi tak mungkin dapat dibalikkan semula. Mahu atau tak, selamat tinggal tetap harus diucapkan pada tahun 2009.

2009... apa nak dikata tentang tahun ni. Terlalu banyak yang berlaku, ada suka dan ada duka. Tapi yang pasti... tahun ni banyak melihat jatuh bangun aku. Ya... aku jatuh, aku bangun, jatuh lagi dan bangun lagi dan begitulah seterusnya sampai ke hari ini. Kadang-kadang aku terasa macam tak nak bangun pun ada juga, tapi mujur masih ramai yang sudi menghulur tangan, menarik aku supaya tak terus tertiarap gara-gara percaturan takdir. Terima kasih untuk mereka yang tak pernah jemu memberikan sokongan.

2009... antara ketawa dan menangis, rasanya aku lebih banyak ketawa, walaupun ketawa itu bukan bermakna aku suka. Sekurang-kurangnya, aku ketawa sebab aku nak menggembirakan orang yang ada di sekeliling aku. Tapi yang jelas, ada dua peristiwa besar berlaku dalam tahun ni yang membuatkan aku menangis berhari-hari. Sampai-sampai aku pernah bertanya, “Kenapa?” Ah... aku manusia yang khilaf! Sepatutnya aku tak harus bertanya sebab siapa aku kan?

Tapi antara dua peristiwa itu, yang paling berbekas adalah kehilangan nenek. Kehilangan yang tak disangka, rupa-rupanya sangat menyakitkan. Tak ada petanda, tiba-tiba dia pergi buat selama-lamanya tanpa ada pesan. Dan sampai ke hari ini aku masih ralat. Ralat sebab aku berbual-bual dengan dia pada Jumaat (18 Disember 2009), aku duduk dengan dia sambil minum kopi sebab hobi aku memang minum kopi kat rumah dia. Hari tu aku minum dua cawan, tapi anehnya sampai ke saat jari aku bergerak atas keyboard ni aku tak ingat satu pun yang aku bualkan dengan dia. Lebih ralat lagi, aku lebih berminat tengok skrin TV yang menayangkan cerita kartun daripada tatap wajah dia. Padahal, itulah masa yang aku ada untuk tengok dia dekat-dekat sebab lepas tu aku tak akan ada peluang lagi. Ralat juga sebab Sabtu, aku lebih sibuk nak berjoging daripada tengok dia, padahal jarak rumah aku dengan rumah dia tak sampai pun 15 langkah. Kenapa hati aku tak tergerak ke rumah dia Sabtu tu, aku sendiri tak tahu. Ralat aku bertambah bila kenangkan Ahad siangnya, aku dan keluarga aku sibuk berkelah, padahal kalau tak pergi mungkin kami ada masa yang lebih untuk bersama-sama dia.

Cuma sebelum bertolak tu, aku sempat jengah bilik dia, aku tengok dia tidur macam bayi, aku nampak tarikan nafas dia tak seperti biasa. Aku tanya Ucu, “Kenapa nafas Mak Endek macam tu?”. Bila Ucu kata dia memang macam tu dah lama, aku pun tak endahkan sangat. Perkara biasa, apa yang nak dikisahkan. Aku keluar tanpa cuit dia sebab aku fikir tak ada apa yang nak dirisaukan sebab nenek tak sakit. Tapi yang aku tak tahu, hari tu adalah hari terakhir nenek tinggal di dunia ni. Hari terakhir aku dapat tengok wajah nenek.

Sebak dada aku bila kenangkan yang sampai ke saat dah nak pergi, satu-satunya cincin yang ada kat tangan nenek adalah cincin yang aku belikan masa raya hari tu. Nenek tak lucutkan, sedangkan cincin lain dia dah tak pakai. Ya, memang dibandingkan cucu-cucu yang lain, aku lebih rapat dengan nenek. Satu-satunya bilik cucu dia yang pernah jadi tempat tidur dia adalah bilik aku sebab kebiasaan nenek akan lari ke rumah aku bila hari hujan. Mak kata, hari Khamis (17 Disember 2009) itulah kali terakhir nenek tidur dalam bilik aku sebab bermula hari Jumaat, nenek dah tak keluar rumah. Dan aku juga satu-satunya cucu yang peluk dia, cium pipi dia kiri dan kanan. Sambil cium tu aku akan kata, “Pendeknya Mak Endek”. Macam biasa nenek akan tepuk bahu aku. Sekarang ni nenek dah tak ada lagi, tapi selagi aku masih bernafas, aku akan terus mengenang betapa aku pernah punya seorang nenek yang sangat baik. Doa aku untuk nenek, tak akan pernah putus. Al-Fatihah untuk Tijah Mohd. Lazim...

-Puteri Harbour...-

December 29, 2009

Sikap manusia, selalu mengejar yang jauh sebab menyangka yang jauh itu adalah yang sebaik-baik pilihan, sedangkan yang elok ada di depan mata diabaikan. Kenyataan tu tak merujuk pada sesiapa, tapi pada tuan punya jari yang sedang mengetuk keyboard ni. Siapa lagi kalau bukan aku sendiri.

Baru-baru ni, aku, Abang Chik, kakak ipar aku dan Arissa keluar beli barang untuk majlis hari jadi abah. Kami singgah ke Puteri Harbour. Ya ALLAH... cantiknya, itu aje yang dapat aku ucapkan. Dah banyak kali adik aku cakap tempat tu cantik, tapi aku tak pernah peduli. Tempat dekat macam tu siapa yg nak pergi. Yalah... dari kampung aku ke Puteri Harbour tu adalah dalam 7-8 minit. Mungkin sebab tu rasa nak pergi tu tak ada sangat. Lagipun setiap kali nak keluar memang kena lalu, aku jadi tak teruja nak masuk ke dalam. Faktor lain, Puteri Harbour tu masih agak baru dibina.

Tapi lepas ni, aku mesti pergi lagi. Nanti aku nak bawa bekal nasi, ala-ala macam berkelah dan Kak Long pun dah setuju dengan idea aku tu. Tak payah pergi jauh-jauhlah gamaknya lepas ni! Hem... macam Dayang Senandung, dari hitam bertukar putih. Puteri Harbour pula... dari hutan penuh dengan pokok, sekarang dah jadi tempat yang cantik. Aku tumpang bangga...














*** Abaikan tangan yang agak seksa tu dan selipar oren tu...

-Ami Sayang Abah...-

December 27, 2009

Hari ni, 62 tahun lalu dia dilahirkan ke dunia yang penuh dengan warna-warni ni. Pukul berapa, siang atau malam masa kelahirannya, aku tak pernah tanya dan tak tergerak nak tanya. Hanya yang selalu aku tanyakan, macam mana dia masa kecil, masa muda dia dan macam-macam lagi. Dan dia, dia tetap bercerita walaupun dia bukan seorang yang peramah. Dia bukan banyak mulut macam aku yang kadang kala suka sangat merapu itu dan ini pada dia. Tapi dia... dialah hero di hati aku, biar kulit dia gelap dimakan matahari, biar rambut putih lebih banyak dari rambut hitam di kepalanya, biar tangan dia kasar macam berus dawai gara-gara terpaksa menarik bubu, jala, jaring dan macam-macam lagi demi membesarkan anak-anak dia yang seramai 6 orang itu. Dia tetap Hang Jebat di mata aku sebagai anak keempat dia, dan pastinya Hang Jebat juga di mata Kak Long, Abang Ngah, Abang Chik dan adik-adik aku.

Untuk abah yang paling aku sayang, SELAMAT ULANG TAHUN YANG KE-62 TAHUN. Semoga abah panjang umur, murah rezeki, dan seluruh rahmat ALLAH dilimpahi ke atas abah. Ami mungkin bukan anak yang baik, ami mungkin bukan anak yang selalu menggembirakan abah, ami mungkin bukan anak yang dapat menemani abah selama-lamanya, tapi... yang pasti, ami sayangkan abah... sangat sayangkan abah....

Tak ada hadiah masa hari jadi abah, yang ada cuma sebiji kek, makanan penuh meja hasil tangan Kak Long, Aku, kakak ipar dan adik ipar aku. Dan lagi, ada hadiah doa daripada kami semua untuk abah yang tak pernah putus.

Ini pula, hasil paksaan kami semua walaupun abah nampak tak rela buat macam tu. Terpaksa Aqqif jadi kambing hitam. Nak buat macam mana, nasib abah sebab dapat anak-anak, menantu dan cucu yang agak nakal, tapi baik hati, hahaha... Lagipun, setahun hanya sekali dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jarang kami tak sambut hari lahir abah sebab kami nak menghargai masa yang ada. Abah dah puas berusaha membesarkan anak-anak, bila anak-anak besar, apa salahnya kami pula yang meraikan abah. Kan, bah?

-Ketawa & Menangis-

December 26, 2009

20 Disember 2009 – Anehnya kehidupan bila manusia boleh ketawa tak ingat dan menangis bagaikan nak rak dalam satu hari. Mana taknya, siangnya mula dari dalam kereta lagi aku, adik aku, adik ipar aku, Abang Chik dan kakak ipar aku ketawa terbahak-bahak masa dalam perjalanan menuju ke Tanjung Leman. Semuanya gara-gara adik ipar dan kakak ipar aku yang sibuk bercerita beza masa bercinta dan selepas berkahwin. Betul... memang banyak bezanya dan aku yang mendengar macam biasa mana surut dengan ketawa. Tapi orang kata, bila banyak sangat ketawa, tandanya kita bakal menangis. Betul... balik dari Tanjung Leman, kami betul-betul menangis bila nenek aku pergi malam tu. Ketawa hanya satu hari, tapi menangis sampai berhari-hari.

Rancang berkelah asalnya hanya antara aku, Kak Azie & anak-anak dia dan Zaimah. Bila kakak ipar aku tahu, dia sibuk nak ikut. Jadi alang-alang dia nak pergi lebih baik angkut semua kaum keluarga aku. Kecuali adik bongsu aku dan isteri dia, yang lain-lain semuanya pergi. Sebelum bertolak, singgah dulu rumah kawan abah sebab anak dia kahwin. Hari ni dalam sejarah, aku pergi rumah orang kahwin pakai seluar jeans dan t-shirt. Selamba aje aku cakap pada kawan abah, ‘Tak pakai baju kurung, nak ke lain lepas ni’. Kawan abah yang memang aku kenal sejak kecil, ketawa aje.

Sampai Tanjung Leman dah petang. Makan-makan, mandi dan terus balik sebab hari hujan. Memang sekejap benar kami pergi. Entah sampai dua jam, entah kurang daripada tu pun aku tak pasti sangat. Tapi memang sekejap sangat. Macam nak cukupkan syarat pun ada juga. Aneh... memang aku rasa agak aneh. Lebih aneh lagi, sepanjang jalan balik kami langsung tak singgah mana-mana dan tak ada hati pun nak singgah. Kalau selalu, masa balik biasanya kami singgah cari buah tangan. Tapi syukurlah sebab tak singgah, kalau singgah mungkin kami semua akan kesal berpanjangan sebab tak dapat tatap wajah nenek kali terakhir semasa dia masih bernafas, tak dapat tengok nenek hembuskan nafas terakhir. Terima kasih... terima kasih TUHAN sebab bagi peluang itu pada kami semua.










Dalam kereta nak balik KL, Abang Ngah tanya, "Lepas ni kita nak pergi mana?". Aku balas, "Mana-manalah asalkan pantai cantik." Tapi dalam hati aku sambut, 'Asalkan bila kita balik, tak ada yang tinggalkan kita.'. Untuk arwah nenek... Al-Fatihah!