- DiA kUrUs, AkU gEMuK sAnGaT eH? -

November 30, 2010

Apa perasaan kalian, bila di pagi yang damai (Damai ke? Kira damailah bila tak ada bunyi bising yang mampu cemarkan telinga), tak ada ribut, x ada salji, tak ada taufan, tak ada twister, Cik Minah dengan wajah ala-ala bulan purnama mengambang 14, tiba-tiba bertanya soalan cepu mas berbentuk lisan yang berbunyi macam ni, “Berapa berat Mar?”. Aku yang tengah cuci cawan dalam keadaan yang juga senyum lebar, terkedu, terkelu & tentu saja terpana (Itukan kata-kata dalam novel, jadi wajib guna untuk mantapkan skill penulisan). Tak sangka Cik Minah akan keluarkan soalan yang tak diduga macam tu, kalau tau mesti dah bersedia jiwa dan raga. Tapi tetap juga maintain dengan senyum yang kali ni ala-ala pelik bercampur aneh sambil dalam hati tanya, ‘Cik Minah ni malam tadi mimpi timbang berat badan ke?’. Atau, ‘Timbang Cik Minah rosak ke?’.

Tapi sebab tak nak hampakan Cik Minah yang nampak macam terdesak sangat nak tahu sebab aku nampak mata dia yang tak nak lari dari tengok aku, aku jawab jugalah sebab bukan susah pun nak sebut angka yang aku dah hafal dalam kepala. Maklumlah, hari-hari timbang berat badan, kalau tak pagi, petang, tak petang tentulah malam, walaupun angka yang tertera tak juga berubah-ubah, makin meningkat adalah. Dalam hati tak henti-henti berdoa, ‘Janganlah Cik Minah ni nak jual produk turunkan berat badan dia kat aku. Aku tak naklah sebab aku rasa aku ni tak adalah gemuk sangat walaupun aku terpaksa mengaku yang pipi aku memang chubby. Lagipun produk yang tahun-tahun sudah pun tak aku makan lagi’. Maklumlah... Cik Minah ni memang dealer tegar satu produk terkenal ni. Satu tempat ni dah tahu agaknya, kalau tak... takkanlah sana sini orang cari Cik Minah.

Cik Minah dengan senyum yang tak lekang, bangga kot sebab body Cik Minah ni slim ala-ala kerengga gitu, “Eh... sama macam berat badan Cik Minahlah”. Aku pun pandanglah Cik Minah atas bawah sambil sengih konon-konon malu sebab badan berat. Dah agak dah... Cik Minah ni saja tau nak malukan aku, tak pun nak kata aku tak pandai jaga body. Tapi tak apalah Cik Minah, aku langsung tak terasa hati sebab kalau dihitung BMI aku, aku masih maintain dan berada pada tahap normal. Kira boleh lagilah makan nasi sehari 2-3 pinggan. Untuk kasi Cik Minah bangga dengan diri sendiri, aku pun pukul hati dia, aku kata, “Umur Cik Minah berapa, umur saya berapa.” Maksudnya, kalau Cik Minah fahamlah, aku tengah puji Cik Minah pandai jaga body walaupun sikit lagi nak pencen. Kalau tak pandai, takkanlah sampai la ni Cik Minah boleh pakai kebaya yang ala-ala primadona tu kan? Tapi yang tu aku tak kata depan dialah, aku hanya cakap dalam hati aje. Bimbang kalau-kalau aku rosakkan mood Cik Minah sepanjang hari.

Aku mengata Cik Minah ke? Tidak! Langsung tak niat macam tu, kalau ada unsur-unsur macam tu, maaflah Cik Minah, tak niat pun. Nanti saya pukul jari-jemari gemuk pendek ni yang tak ada insurans walaupun saya baru aje masuk insurans hari Jumaat hari tu. Dalam insurans tu aku letak nama kak long dan abang chik sebagai waris. Jadi untuk mereka berdua, apa-apa jadi pada aku, semua harta-benda yang aku ada, kalaulah boleh dipanggil harta-benda dan kalaulah memang ada harta-benda, serahkan semua pada mak dan abah ya. Aku cuma pinjam nama korang aje. Alahai... bunyi macam lain macam aje aku ni, macam tinggalkan wasiat aje. Eh... jangan takut! Tak adalah... tak ada apa-apa cuma kalau ada apa-apa yang memerlukan aku isi nama waris, mereka berdua yang aku pilih, kadang-kadang letak nama adik aku. Pendek kata, semuanya adik-beradik. Itu aje dan tak ada sebab lain. Untuk Cik Minah, jangan ada dendam ya, tak elok untuk kesihatan. Kitakan kawan-kawan... ;-)

- GaSiNg! -

November 24, 2010

“Marwati Wahab @ Aleya Aneesa malam tadi mimpi gasing!”, ataupun “Malam tadi dia tu mimpi kena kejar dengan gasing gergasi!”, tak pun “Terjumpa gasing kat mana-mana kot!”. Pasti itu yang bermain-main di kepala kalian sekarang ni bukan? Kan? Kan? Kan? Tidak! Tidak! Dan tidak! Oh... kalau dah lepas tiga kali aku tekankan perkataan ‘kan’ pun kalian tak mahu mengaku, terpaksalah aku pasrahkan diri, tabahkan hati sebab aku baru sedar kenapa aku tak boleh jadi lawyer. Rupa-rupanya aku tak ada kebolehan membuatkan orang mengaku, dalam erti kata lain aku tak mampu mendesak orang. Dan lagi, aku baru perasan bila tak ada yang mengaku itu ertinya emanglah tak ada orang yang peduli pada aku. (Buat muka sedih sambil lap-lap air mata yang tak ada mengalir kat pipi dalam masa yang sama bimbang kalau-kalau ada air liur basi kat bawah dagu walaupun pagi tadi dah mandi bersih-bersih siap guna shower gel jenama Johnson’s Baby yang lembut sampai terasa ala-ala babylah tiap kali lepas mandi).

‘Melampau kan Kiah mak cik yang sorang tu? Akhir-akhir ni, kau perasan tak yang mak cik sorang tu suka membebel yang bukan-bukan kat blog dia? Langsung dah tak ada cerita fasal dunia penulisan dia yang penuh dengan warna-warni. Kau sedar tak Kiah, dia tak masukkan lagi blurb Cubit Kanan Cubit Kiri dalam blog dia? Tak patut betullah dia tu kan Kiah? Geram betul aku!’

Ohhh... biarlah kalau Minah nak buat aduan rakyat pada Kiah fasal aku yang macam dah lupa diri akhir-akhir ini. Lupa diri? Oh, tidak! Tak mungkin sebab untuk saat ini aku sangat sedar diri, masih tahu kat mana bumi dipijak dan kat mana pula langit yang dijunjung. Aku sayang gila kat Malaysia. (Tapi apa kaitan dengan tanah air pulak ni). Tak kira, aku tak mahu dipanggil lupa diri sebab antara aku dan lupa diri macam tak boleh duduk seguni yang bermakna duduk di dalam guni yang sama. Alah... guni yang dulu-dulu orang buat isi beras tu. Tapi aku rasa lebih manis kalau aku kata yang aku nak beralih angin, lepas aku rasa aku terlalu serius sebelum-sebelum ni sampai benda sekecil hama pun aku besar-besarkan jadi sebesar duit syiling 50 sen. (Betul ke serius?) Hentam sajalah! Tapi sampai bila pula nak merapu macam ni? Tak rasa sia-siakan masa ke? Hem... aku sendiri tak pasti bila tarikh luput pada mood merapu ni akan sampai sebab sekarang ni mood merapu lebih tinggi daripada segala macam mood yang lain termasuk mood menulis novel dan menulis minit kat dalam fail yang terbentang kat depan mata aku ni. Jadi... kalau ada yang rasa tak boleh masuk dengan merapu aku yang tak ada faedah langsung ni, MAAF... mungkin bukan ini blog yang kalian cari. Kalian perlu beralih arah untuk seketika yang belum ada kepastian. (Alahai... tiba-tiba terasa diri emo tak menentulah pulak).

Tapi serius, kalau faedah yang dicari, ilmu yang dimahukan, memang bukan kat sini medannya, bukan juga kat medan selera, tapi Medan Mara kat Jalan TAR mungkin lebih sesuai sebab ada banyak kedai buku dekat-dekat sana yang rata-ratanya bagi 20% diskaun kalau beli novel. Jadi apa tunggu lagi, belilah novel-novel kat sana sebab lebih berbaloi dan tak lupa juga belilah novel yang penulis yang namanya Marwati Wahab @ Aleya Aneesa. Ceh... gaya cakap macamlah kedai-kedai buku kat sana tu lantik aku jadi duta diaorang kan? Ah, tak kisahlah! Blog ni tak sesuai untuk mereka-mereka yang gah, yang tak suka pada perkara remeh-temeh. Contohnya, macam tajuk gasing yang aku beri kat atas tu

Dan gasing, semalam aku tengok iklan Cuti-cuti Malaysia kat TV. Masa tulah nampak satu objek comel yang sejak lahir-lahir lagi aku tahu dah dinamakan gasing. Maknanya, dah terang lagi bersuluh yang bukan aku yang beri nama gasing tu. Kalau kalian rasa nama tu tak sedap, kalian tak boleh saman aku kat mahkamah ya? Tapi pastikan nama baru yang kalian pilih untuk gasing lebih sedap daripada nama yang ada supaya kalian tak terpaksa berjalan sambil letakkan kepala kat dalam baju, atau terpaksa berjalan terhendap-hendap lagak pencuri sebab bimbang dibaling dengan botol, kayu, besi ataupun peti televisyen dan peti ais.


Okey... gasing ni adalah salah satu permainan tradisional masyarakat Melayu. Ada macam-macam bentuk yang kalau disuruh terangkan pun aku tak tahu sebab aku tak pandai main gasing, jauh sekali buat gasing. Bukan tak pernah buat masa zaman kanak-kanak ribena dulu, pernah dan berkali-kali jugalah sebab masa zaman tu aku bukan jenis kanak-kanak yang ayu, sopan dan lagi terpuji orangnya. Aku dibesarkan di tengah-tengah kelompok manusia yang lebih ramai lelaki daripada perempuan, nisabnya mungkin macam ni 1:6, makanya... ayu, sopan dan ala-ala bakal gadis ayu bila dah dewasa nanti memang tak padan DNAnya kalau dipadankan dengan aku. Tapi tak baik menipu tau, jadi aku terpaksa juga mengaku yang dalam nisbah sekecil tu ada jugalah aku main pondok-pondok dan sudah semestinya termasuk main kahwin-kahwin. ;-)

Berbalik fasal gasing tadi, setiap kali cuba buat gasing, setiap kali tulah gasing aku tak jadi. Mungkin lebih sesuai kalau gasing yang dibuat akhirnya bertukar jadi botol, peti surat, sofa, cawan dan yang pasti sama sekali tak ada bentuk yang berkaitan dengan gasing dan keluarganya. Yang selebihnya, tak sempat jadi apa-apa, baru buat tanda pada badan kayu, kononnya yang ni untuk bahagian kepala, badan dan kaki gasing, mak aku dah jerit kuat-kuat sambil rampas parang kat tangan aku dengan wajah merah menyala, tapi taklah sampai keluar api di kedua-dua belah telinga sebab ini kisah realiti bukan dongeng dalam TV okey. Sebab itulah gasing yang aku buat tak pernah jadi sampai aku terpaksa rembat gasing yang abang-abang aku buat. Diaorang rendam dalam gelen dengan alasan yang macam-macam dan aku tak ingat satu apa pun, balik kampung nanti baru tanya semula. Yang aku tau, gasing tu direndam berhari-hari dan ada beberapa buah. Jadi... aku ambil aje yang mana aku suka dan biasanya terpaksa pulangkan balik dengan muka kelat masam ala-ala buah binjai (macam pernah makan) lepas diaorang perasan aku dah songlap gasing diaorang. Itu pun diaorang perasan sebab tiap kali aku pusingkan gasing selalunya kepala gasing akan ke bawah dan kakinya ke atas sehingga mengundang ketawa kawan-kawan yang lain. Isyh... jahat-jahat betul kawan-kawan yang merangkap sepupu-sepupu aku masa tu! Ikut hati memang tak mahu maafkan tiap kali datang raya.

Dan paling sadis sampai tak boleh lupa sampai hari ni, satu petang yang damai (ceh... penulis ni!) adik-adik aku dan sepupu-sepupu main gasing. Masa tu aku dah agak besar agaknya, jadi aku cuma jadi penonton yang paling kecoh. Punya asyik agaknya diaorag main, sedar-sedar... uwaaaaa... aku menjerit macam ternampak hantu sampai mengundang mak ke luar rumah. Mungkin bimbang aku yang dililit dengan tali dan dipusingkan seperti gasing masa tu sebab mainnya tak kecohnya lebih, mana tau ada yang naik darah sebab bengang dikutuk aku. Ohhh... kaki aku dalam tak sedar dah dijadikan medan main gasing budak-budak tu. Elok aje gasing yang dipusing adik aku mendarat kat kaki aku dan sebab tak bersedia, terpaksalah aku meninggikan volume untuk seketika sebelum hujan yang hampir-hampir bah melanda. Sakit gila!


Tapi tu dulu, semuanya dah berlalu dan dah jadi salah satu kenangan terindah dalam hidup aku yang bergelar anak kampung. Sampai ke hari ni sekali-sekala bila balik kampung, aku intai-intai juga luar rumah. Sayangnya dah bertahun-tahun rasanya aku tak nampak gasing kat mana-mana, jauh sekali budak-budak yang main gasing macam zaman aku dulu. Yang ada hanya budak-budak yang bermaksud anak-anak buah aku dan dua pupu diaorang main basikal dan pondok-pondok sampai terpaksa angkut segala tikar dan pinggan cawan mak aku. Sayangkan? Tapi nak buat macam mana, kemodenan yang dikecapi biasanya datang dengan pelbagai pakej. Dapat satu, maka hilanglah yang satu lagi.

Panjangnya merapu? Ya... aku memang perasan! Apa pun, moga satu hari nanti permainan gasing mula mendapat tempat di hati kanak-kanak walaupun aku tahu boleh jadi juga tak mungkin sebab nak bersaing dengan PSP, PS2-3, internet, bukannya mudah!

- MaRi BeRkAsIh SaYaNg! -

November 22, 2010

Oh... apa korang rasa bila tiba-tiba, rumah korang yang selama ni bising mengalahkan pasar raya, pasar basah, pasar kering, pasar malam, pasar borong dan segala macam jenis pasar tiba-tiba berubah jadi sepi dan sunyi macam dilanda geroda? Sampai-sampai korang terpaksa jengukkan kepala ke ruang tamu sebab rasa hairan sangat? Apa korang rasa? Terkejut badak? Terkujat? Terpana? Terkelu? Terpengsan? Ataupun... korang tak rasa apa-apa sebab rumah korang memang tak bising macam rumah keluarga aku kat kampung? Kalau macam tu keadaannya, tak apa... sebab memang tak salah, masing-masing memang tak sama.

Tapi aku? Malam Raya Aidiladha baru-baru ni memang rasa pelik semacam. Bila jenguk kepala ke ruang tamu, terus buat aksi ala-ala terperanjat walaupun taklah sampai tutup mulut guna jari, lepas tu senyum macam orang tak cukup mulut. Mana taknya, tiba-tiba aje rumah aku yang macam pasar tu bertukar jadi library. Masing-masing yang bermaksud ahli keluarga aku, tak termasuk yang tak tau membaca, landing atas sofa, atas lantai dan kat mana-mana aje, kecuali atas bumbung sebab bumbung bukan tempat yang sesuai diduduki. Kalau nak duduk atas bumbung juga, bersedialah ada untuk jatuh ke bawah mencium tanah sebab bumbung rumah yang tak rata. Kat tangan diaorang ada buah tangan terbaru aku yang berjudul “CUBIT KANAN CUBIT KIRI”. Ohhh... itu sebabnya yang buat rumah abah tiba-tiba ada tema ‘Mari Membaca di Rumah Pak Wahab’.

Wah... rajinnya diaorang kan? Tapi sebenarnya bukanlah ahli keluarga Pak Wahab tu rajin benar membaca, diaorang tu malas dan tak nak langsung sahut kempen membaca yang diseru kerajaan. Diaorang lebih rela tengok bola sepak yang kadang-kadang buat aku geram sebab terpaksa berebut TV. Malam tu diaorang membaca sebab CKCK tu adalah satu-satunya cerita sebenar, tapi... bukanlah cerita fasal orang lain sebab bukan cara aku nak menceritakan hal orang yang tak ada kena-mengena dengan aku, melainkan fasal anak-anak buah aku walaupun bukanlah 100%. Penulis... kalau tak menambah dan mengurang, rasanya mana boleh digelar penulis kan? Dan lagi, sebab sayangkan anak-anak buah akulah, maka novel CKCK ini wujud hari ini.

Dan CKCK... mungkin hanya sebuah naskhah comel yang sesuai dibaca oleh golongan kanak-kanak dan remaja sebab kisahnya berlingkar di sekitar umur mereka. Tapi tak juga bermaksud golongan dewasa tak boleh baca. Boleh sangat dan sangat dialu-alukan sambil dalam hati kata, ‘Belilah banyak-banyak. Kalau boleh beli untuk setiap anak yang kalian ada supaya mereka tak perlu berebut-rebut’. (Huh... perasan, macamlah novel kau sedap benar Kiah?). Kalau ada yang cakap macam tu, tak apa... aku tak kecil hati, jauh sekali rasa diri kurus sebab memang kita semua tak digalakkan perasan atau pun perah sangat. Ingat tu... perangai tak elok tu jangan diamalkan tau, tak molek benar!

Berbalik pada CKCK tadi, golongan dewasa sebenarnya memang dialu-alukan membaca karya comel ni. Kalau bukan untuk diri sendiri, mungkin baca untuk anak-anak yang kalian ada supaya mereka saling berkasih sayang untuk selama-lamanya. Kisahnya hanya kisah biasa, tapi tetap ada secebis pengajaran yang sangat berguna, bukan hanya pada anak-anak tapi juga pada kita orang dewasa sebab bukan hanya anak-anak yang punya ikatan adik-beradik, kita juga ada. Mereka yang digelar anak tunggal jangan kecil hati ya, kalian juga boleh membaca sebab ikatan dalam dunia ni bukan hanya setakat adik-beradik semata-mata tau, ada banyak lagi ikatan yang perlu dipelihara. Jadi... tepuk dada kalian dengan senyuman penuh syukur sambil mulut kata, “Walaupun anak tunggal, aku masih ada ibu ayah dan saudara-mara yang lain. Sebab aku sayangkan mereka, jadi... aku tahu aku layak baca CKCK”. Huh... sekali lagi penulis blog ni perasan sendiri!

Dan ingat... muda atau tua, kecil atau besar mana pun kita, “SEHEBAT MANA PUN KITA DALAM MEREMPUH ARUS MASA, KITA TIDAK MUNGKIN DAPAT BERJALAN SENDIRI”. Untuk itu, sayangilah adik-beradik kalian, kalau ada yang tak bertegur sapa sesama sendiri, bertegur sapalah dan mulakanlah dulu kalau pihak yang satu lagi enggan memulakan. Tak akan timbul soal siapa kalah dan siapa menang sebab darah yang mengalir dalam diri kamu, sama seperti darah yang mengalir dalam diri dia. Sayang kalau masa yang berlalu diabaikan begitu saja jika tidak saling berkongsi cerita. Bertegurlah kerana bila kalian saling bertegur, kalian sebenarnya sudah memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada orang tua kalian. Dalam dunia ni, tak ada ibu bapa yang melahirkan anak-anak semata-mata mahu melihat anak-anak mereka saling bertelagah sesama sendiri. Tegurlah... kembalikanlah hak orang tua kalian setelah mereka memberikan hak kalian untuk terus menghirup segarnya udara milik ALLAH.

Untuk anak-anak buah aku, semoga kalian saling menyayangi sesama sendiri dan untuk seluruh anak-anak di dunia ini, moga perjalanan kalian dipermudahkan ALLAH.

- LaMaNyA mEnYePi -

November 16, 2010

Eh... lama tak nampak bayang? Ke mana ke belakangan ni? Huh... sihat lagi rupanya? Ingat dah lupa jalan pulang? Ingat dah hilang ingatan? Ingat dah tak tahu menulis? Tak tahu baca? Lebih kurang... agaknya macam tulah ya soalan-soalan yang bakal keluar bila tengok ada n3 baru kat blog ni. Tak pun macam ni, wah... ada n3 barulah! Aduh... tak sabarnya nak baca n3 baru kat blog ni. Eh... macam mana tak perasan dah ada n3 ni? (Tapi, ya ke ada orang yang akan tanya? Entah-entah siapa pun dah tak peduli sama ada blog ni bersawang atau tak. Bukannya penting mana pun Si MARWATI WAHAB @ ALEYA ANEESA ni. Kata orang, ada tak menambah, tak ada pun tak mengurang. Tapi kalau tak ada yang tanya pun, aku buat-buat macam ada orang tanya jugalah ya, saja nak seronok-seronokkan hati. Konon-kononnya ada yang peduli). Hahahaha...

Sebenarnya, bukanlah menghilang walaupun ni memang n3 pertama bulan ni. Bulan lepas pun ada dua n3 juga. (Isyh... apa ke pemalas benar anak PAK WAHAB ni? Susah-susah ABAH dia hantar pergi sekolah suruh belajar menulis, dia buat-buat lupa yang dia pandai menulis, walaupun menulis yang entah apa-apa). Bukan juga lupa aku masih ada blog yang perlu dijaga dan dibelai macam aku belai kuku yang tak berapa nak cantik ni, bila pandang sekali terus tak ada hati nak pandang lagi sebab jari kontot-kontot, gemuk-gemuk & tak runcing. (Apa ni, tak syukur eh?). Eh... mana boleh tak syukur, tetap syukur sebab ada jari yang boleh guna untuk menulis, suap makanan, cubit kanan cubit kiri, lempang sana lempang sini, tolak situ tolak sinun. (Aduhai... merepek lagi).

Balik semula bercerita, bukannya tak mahu menulis, mahu dan penulis mestilah mahu menulis kan? Kalau tak, mana boleh panggil penulis kan? Mungkin akan dipanggil pelukis, penari, penyanyi atau apa-apa ajelah. (Apa yang kau ni merepek dah Kiah?). Memang ada begitu banyak cerita yang nak disampaikan. Cumanya... mood menulis n3 kat blog sangatlah merundum jatuh sampai ke tahap negatif. Cuba juga tolong diri sendiri, tapi tetap juga macam tak tertolong. Akibatnya, sepilah blog ni sendiri dan sampai satu tahap, terpaksa ditutup untuk pandangan sesiapa termasuk aku sendiri kalau tak ingat ID dan password. Mujur juga otak aku masih elok walaupun lepas makan begitu banyak semut dalam seumur hidup. (Agaknyalah sebab mustahil kan kalau dalam dunia ni ada yang tak pernah langsung termakan semut atau sengaja makan semut. Kalau tak depan mata pun, mungkin kat kedai-kedai makan. Siapa tahu kan?).

Hari ni aku tak mimpi ya, hanya terasa nak menulis aje. Mungkin sebab hari ni nak balik awal, nak balik kampung, atau mungkin juga esok nak raya haji, atau mungkin sebab malam tadi aku rasa macam tak ada mimpi yang datang kacau tidur aku, atau... woha... berapa banyak atau dah?

Alahai... aku tiba-tiba jadi dah tak tahu nak tulis apa lagi walaupun otak macam tepu mintak dikeluarkan. Mungkin lain kali aku akan ceritakan fasal aku dan Korea yang dah jadi kenangan sebab dah lebih dua minggu aku balik daripada bercuti ke negara yang penduduknya mata tak begitu besar, atau dalam erti kata lain sepet. Tapi bukan sepet yang dalam filem tu ya. Ini sepet merujuk kepada mata orang semata-mata, langsung tak ada kaitan dengan yang hidup mahupun yang mati. Jadi maknanya di sini... tak ada sesiapa yang boleh saman aku sebab merepek yang bukan-bukan.

Alahai sudahlah tu, berhentilah membebel yang bukan-bukan wei... jemu nak baca. Mungkin itu juga sekarang ni yang bermain-main di fikiran dan mulut yang sedang membaca n3 ini. Jadi... dengan berat hati termasuk berat badan yang tak nak turun-turun walaupun selepas diet bertahun-tahun dan bersenam setahun atau bertahun-tahun sekali, aku undur diri dulu. Akhir kata, ceh... macam beri ucapanlah pulak. Tapi nak juga ucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA buat yang sudi membaca blog ni, lebih-lebih lagi yang baca blog ni dan novel-novel aku dan seluruh umat Islam di dunia ni. Harap raya tahu ni lebih bermakna dan membawa sejuta rahmat pada kita. Jumpa lagi...

- CeRiTa OkToBeR -

October 11, 2010

Cepatnya masa berlalu, diam tak diam dah 10 bulan tahun 2010 berjalan. Cuma tinggal 2 bulan lagi untuk sampai ke tahun baru, tahun 2011. Tapi dalam banyak-banyak bulan, rasanya bulan ni adalah bulan ‘sakit’ untuk aku. Opss... bukan bermakna aku selalu sakit sepanjang Oktober ni. Tidak! Alhamdulillah... sepanjang bulan ni kesihatan aku berjalan dengan sangat baik, hendaknya biarlah berterusan.. Cuma yang agak menggusarkan, selera makan aku meningkat naik, naik yang amat sangat dan secara tidak langsung badan aku pun macam dah naik banyak. Entahlah... sekarang ni semua benda nampak sedap, rasa nak makan. Setiap minggu tangan aku gatal nak ke dapur, buat nasi goreng, masa lauk yang mudah-mudah dan buat kuih yang selama ni tak ada dalam agenda hidup aku. Hanya anehnya semua kuih yang aku buat berkaitan dengan tepung kastard. Minggu ni puding jagung, minggu lepas puding susu koktel, minggu sebelum tu puding berkuah koktel. Lepas ni entah puding apa agaknya sebab stok tepung kastard memang banyak kat rumah. Tapi sungguh... aku rasa sangat suka setiap kali dapat buah kuih-kuih tu.

Berbalik pada ‘sakit’ tadi, ‘sakit’ yang aku maksudkan bila aku terpaksa beradu dengan masa hanya gara-gara senaskhah manuskrip setebal 595 halaman. Dalam masa tak sampai 20 hari, aku perlu sudahkan editing untuk novel tu sebab minggu terakhir bulan ni aku akan bercuti seminggu. Untuk siapkan mss tu dari A-Z dengan masa yang ada, rasanya satu jangka masa yang sangat singkat pernah aku ada. Dan lebih penting daripada itu, aku tahu aku tak mampu sudahkan sebab aku tahu setakat mana kemampuan aku. Sebab sedar diri, mahu tak mahu terpaksa juga buat kerja lebih masa. Keluar pukul 7.30 malam, tapi sampainya dekat pukul 8.30 malam sebab makin malam, KL rupa-rupanya makin banyak kereta kat jalan.

Hari-hari sampai rumah pukul 8.30, rasanya badan aku macam dah tak bermaya, lesu macam biskut lemau. Kalau boleh, buka aje pintu terus nak baring kat situ juga dan tak nak fikirkan apa-apa lagi. Mengada-ngada kan? Ada orang tu, lagi lambat balik tapi tak mengeluh pun. Tapi... itu orang lain, bukan aku yang rutinnya sampai opis pukul 7.00 pagi dan 5.00 dan ada kat rumah. Aku tak cukup kuat, dalam erti kata lain jarang kerja teruk-teruk termasuk kat rumah kampung. Bukan manja, cuma memang dah terasuh macam tu dan bila terpaksa buat sesuatu yang lebih daripada biasa, aku mudah lesu, mudah letih mengalahkan terpaksa angkat kayu balak. Dan bila satu kerja tak selesai, datang pula pruf CKCK, aku rasa sangat terdera. Sikit aje pembetulannya, hanya dalam keadaan genting macam ni, otak aku stuck macam tak boleh guna. Yang sikit tu mampu buat aku rasa semakin lemah. Bimbang tak mampu siapkan dalam masa yang ditetapkan. Tapi... aku cuba buat yang terbaik. Hendaknya aku dapat serahkan pada editor esok.

Apa pun... aku harap segala-galanya selesai sebelum aku cuti. Hendaknya, perjalanan nanti sentiasa dirahmati ALLAH...

- RaYa & KeNaNgAn –

October 4, 2010

Salam pada yang sudi menjengah. Hari ni 25 Syawal dan ini adalah n3 pertama aku. Malaskan? Ya... nak atau tak, terpaksa juga mengaku yang sejak kebelakangan ni aku tau begitu rajin update blog. Malah, n3 untuk raya pun tak ada walaupun selalunya seminggu selepas raya aku dah mula menceritakan serba sedikit tentang raya sebab aku boleh dikategorikan sebagai manusia yang sukakan raya. Sebabnya, raya aku selalu penuh dengan kegembiraan dan kebahagiaan. Hendaknya biarlah berkekalan sampai bila-bila walau dalam cara yang mungkin berbeza. Dan alang-alang dah menyentuh tentang raya, biarlah aku imbas balik apa yang berlaku semasa raya, lagipun... bulan raya kan masih ada.

Raya tahun 2010, untuk keluarga aku perjalanannya masih sama macam tahun-tahun sebelumnya. Cuma tahun ni, ahli keluarga aku bertambah lagi. Sehari sebelum raya, bertungkus-lumus di dapur dengan berbagai-bagai aktiviti yang agak memenatkan. Kerja terakhir aku, isi beras dalam ketupat. Itu tugas aku sejak beberapa tahun lalu, hanya tahun ni dikongsikan dengan Ika, adik ipar aku. Tak banyak, tapi aku rasa jemu sangat. Cadangnya lepas tu nak isi kuih dalam balang, sudahnya... yang isi cuma Ika sebab aku layan TV.

Raya pertama, siap-siap macam biasa. Balik solat raya, mula makan segala macam benda yang ada atas meja. Sesi bergambar beria-ia sekeluarga macam orang tak pernah jumpa kamera. Masing-masing sibuk nak menayangkan baju. Tapi... tahun ni tak pergi rumah nenek sebab nenek dah tak ada. Kami hanya duduk kat rumah tunggu mak cik-mak cik aku dan anak-anak buah mak dan abah datang rumah. Sedih sangat masa mak cik aku kata kat mak, “Mak dah tak ada, sekarang ni, kaulah yang jadi mak kami sebab kau yang tua.” Aku terus nangis masa tu. Yang lain-lain pula, tak payah nak katalah, masing-masing merah mata. Tahun pertama tanpa nenek, rasanya sangat tak sama. Petang sikit, barulah kami pula yang beraya rumah mak cik-mak cik aku sekitar situ. Lepas tu balik dan sambung tidur semula. Dan kesudahannya, tahun ni aku habis agak banyak untuk duit raya budak-budak, walaupun aku hanya bagi pada yang terdekat aje.

Hanya sepanjang raya pertama tu, hati aku tersentuh sangat bila kakak yang baru berjalan raya hilang duit raya. Sudahlah ini tahun pertama dia beraya betul-betul kat kampung, sebelum ni kami tak kasi dan tahun lepas pun ikut-ikut kawan-kawan sebelum balik dengan alasan letih. Tak banyak yang hilang sebab sebelum keluar raya tu, masing-masing dah serahkan duit raya pada orang tua masing-masing. Kalau tak, memang kami yang meraung sama sebab, dapat kat rumah abah pun dah agak banyak sebab jumlah yang diberi agak besar. Tapi... bagi anak-anak seusia dia, tentu yang hilang itu sangat bermakna sebab susah payah dia berusaha berjalan, beri salam dari rumah ke rumah.. Kalau tak, takkanlah dia nangis beria-ia sebab hampa sangat. Tapi... benda dah terjadi, nak diapakan lagi? Mungkin yang terjadi dapat dijadikan pengajaran pada dia dan adik-adik dia yang seramai 6 orang tu. Apa pun, aku syukur masih berpeluang menyambut raya tahun ni.














- SeLaMat HaRi RaYa –

September 9, 2010

HARI ni 9 September 2010, bermakna dah 30 hari umat Islam berpuasa dan esok adalah hari kemenangan, semua akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dan aku... hari ni dah selesa duduk kat kampung. Betul kata orang, tak ada yang lebih selesa selain daripada ada di tengah-tengah keluarga sendiri. Syukur, aku masih berpeluang menyambut raya dengan keluarga tahun ni.

Perjalanan puasa tahun ni, seperti tahun-tahun lalu tetap berjalan dengan lancar. Hanya mungkin, bagi aku tahun ni agak istimewa sebab banyak pertama kali. Antaranya,

- Pertama menyambut puasa di rumah sendiri – rasanya seronok sangat sebab bebas nak buat apa pun.

- Pertama kali memasak untuk juadah puasa walaupun hanya masak nasi dan lauk yang paling simple, makaroni yang selalu jadi makanan budak-budak tapi sangat masuk dengan selera aku, mi kuah lada hitam yang rasanya menjadi walaupun percubaan pertama dan sebelum buat tu telefon letak kat telinga, minta mak resipi – rasanya gembira sangat sebab dapur aku, tak ada siapa yang nak jeling-jeling manja kalau aku selerakkan.

- Pertama kali seluruh kaum keluarga aku (keluarga kecil aku) datang rumah dan berbuka puasa sama-sama. Kelakar memang kelakar masa tu sebab, pinggan tak cukup, cawan tak cukup bantal pun tak cukup, pemanas air aku rosak dan lebih kelakar lagi baru aje beberapa jam diaorang datang, pintu bilik air terkunci dari dalam dikerjakan anak buah aku – rasanya bahagia sebab diaorang insan-insan kesayangan aku walaupun asyik nak jerit anak-anak buah aku yang banyak ragam dan kerenah.

- Pertama kali berbuka puasa di Tapah, rumah FIDA – rasa sangat selesa, rumah orang tapi rasa macam rumah sendiri, keluarga orang tapi rasa macam ada kat tengah-tengah keluarga sendiri.

- Pertama kali berbuka puasa di rumah sendiri dengan BIKASH, SHANIKA, FIDA, AIRUL dan SYAFIK – rasanya kelakar sebab semuanya beli kecuali lauk sayur yang sempat aku campak-campak.

- Pertama kali juga berbuka di rumah sewa FIDA dan SHANIKA – rasanya boleh tahan sedap masakan SHANIKA, tak macam aku yang masih belum confident jamu diaorang dengan air tangan sendiri.

- Pertama kali pergi Menara KL walaupun dah bertahun-tahun jadi salah seorang daripada warga KL – rasa agak berbaloi walaupun tiketnya agak mahal untuk masa yang hanya beberapa minit sebab naik pun dah lewat sangat.

- Pertama kali menjalani ibadah puasa tanpa nenek tersayang. Sungguh... sepanjang puasa ni aku selalu teringat air kopi nenek yang sangat best, yang selalu dihabiskan aku sebab aku hantu kopi. Anehnya, aku cuma minum kopi kat kampung, rumah aku dan NENEK, kat KL kalau ada pun sekali dua aje sepanjang lima tahun ni walaupun aku boleh minum hari-hari kalau aku nak, tapi hati tak pernah atau jarang sekali nak. Padahal kat kg, aku boleh habiskan satu jag sorang-sorong, tanpa perlu ada kerjasama daripada orang lain – rasanya sangat sedih sebab aku dah dapat bayangkan suasana raya pertama kami yang tentu tak sama macam raya-raya sebelum ni. Mesti tak ada gelak ketawa kami yang gelakkan NENEK sebab nenek tak suka bergambar dan kami suka pula curi-curi gambar dia, suka peluk-peluk dia bila bergambar dan aku... aku rasa sangat rindu nak cium pipi dia. YA ALLAH... cucurilah rahmat-MU selalu pada arwah NENEK...

- Pertama kali aku berbuka puasa berteman daripada keluarga dan kawan-kawan daripada tahun-tahun sebelum ni – rasa riang aje hati sebab diaorang tak pernah kering dengan cerita, ada-ada aje yang mampu undang senyum dan ketawa aku yang memang suka ketawa.

- Dan lebih daripada itu semua, pertama kali juga aku drive ke kampung semalam. – rasa agak berdebar-debar, ditambah pula dengan hujan yang kejap lebat kejap renyai. Tapi syukurlah, akhirnya selamat juga sampai. Hendaknya nanti selamat juga balik ke KL semula.

Persiapan raya tahun ni pun biasa-biasa aje, sama macam tahun-tahun sebelum ni. Baju MAK dan ABAH semuanya dah aku beli. Opss... diaorang beli sendiri, aku hanya keluarkan duit aje! Aku pula... tahun ni aku lebih pilih kain cotton buat baju raya, tak tahu kenapa tapi aku memang gila kain cotton akhir-akhir ni. Semua kain cotton nampak cantik kat mata aku walaupun ada orang kata tak cantik. Persiapan rumah pula, untuk rumah aku tak ada buat apa sebab baru pindah dan semuanya masih elok walaupun tak sempat tempat langsir baru. Kat rumah kg, aku dah beli cat dan tikar getah baru. Tak tahulah macam mana bila dah siap sebab tak tengok lagi. Entah-entah tak siap kot sebab masa aku beli tu dah lewat benar.

Untuk juadah raya, mungkin masih sama, cuma aku kata kat MAK, “Tahun ni tukarlah menu, kalau selalu rendang daging, tahun ni tolonglah ayam. Daging tu ambik pulak tempat ayam, buat kari. Ayam nak rasa juga jadi rendang.” Mula-mula tu MAK macam tak nak, tapi aku ulang-ulang benda yang sama sampai MAK pun mungkin jemu dan mak kata okey. Lagipun kan dah ada rendang paru, kira okey apa kalau buat rendang ayam. Memang setiap tahun raya rumah aku ada kari ayam. Sebabnya, abah tak boleh kalau tak ada pulut kuning pagi raya. Jadi... pulut kuning tu lawannya tentu kari. Dan aku pasti tahun ni mesti menu hari raya yang sama, pulut kuning, ketupat, nasi impit, rendang ayam, rendang paru, kari daging, lodeh, kuah kacang, sambal tumis sotong dan lontong (ni makanan kegemaran aku pagi raya). Tapi... boleh aje jadi ayam tu tetap kari dan daging tu tetap rendang. Sebabnya, MAK aku kadang-kadang ikut senang dia juga dan aku akhirnya akan kata, “Ikut MAK nak buat apa.”

Hem... panjangnya membebel fasal raya, tak nak sambung dah sebab takut orang jemu. Untuk itu, DI HARI dan BULAN yang MULIA ni, aku... MARWATI WAHAB @ ALEYA ANEESA, menghimpun sepuluh jari MEMOHON AMPUN dan MAAF, ZAHIR dan BATIN pada SEMUA yang HATI dan PERASAAN mereka PERNAH AKU SAKITI sama ada DALAM SEDAR mahupun TAK SEDAR. Aku tahu yang aku hanya manusia biasa yang sarat dengan kelemahan, maka... MAAFKANLAH AKU. Aku juga nak ucapkan SELAMAT HARI RAYA pada semua yang PERNAH, MASIH dan MUNGKIN TAK KENAL aku. Hendaknya, RAYA TAHUN NI AKAN MEMBAWA SINAR UNTUK KITA SEMUA.

- MaK, sAyA pEnAt SaNgAt... –

August 26, 2010

KENAPA diam? Selalunya... awak tak macam ni? Awak selalu senyum, awak selalu ketawa dan awak selalu bercerita sebab awak penuh dengan cerita yang boleh cuit hari orang di sekeliling awak. Walaupun awak sedih awak tetap boleh hiburkan orang sekeliling awak sebab awak tak ubah macam lilin yang sanggup bakar diri demi terangkan alam. Kenapa sayang?” tanya mak dengan suara penuh kasih, sarat dengan cinta.

Dia senyum. Hambar saja senyuman yang dihadiahkan buat mak yang tetap menatap wajahnya dengan pandangan sayang. “Mak, saya penat sangat,” kata dia dalam nada suara yang sukar dimengertikan. Ada sedih, ada pilu dan ada macam-macam rasa membelenggu diri saat ini.

“Penat kenapa nak?” Mak seperti selalu, tak pernah mahu melihat anak yang dikandung selama 9 bulan 10 hari ditimpa musibah. Kalau boleh diganti tempat si anak, mahu saja mak menggantikan asal saja anak tersayang dapat terus senyum dan ketawa seolah-olah di dalam dunia yang serba fana ini tidak ada yang namanya duka dan air mata.

Dia pejam mata rapat-rapat seketika, kemudian lambat-lambat dibuka kembali. Kalaulah boleh dipinjam kekuatan mak, memang dia mahu meminjam kerana mak selalu tenang dalam apa pun keadaan. Dia pernah cuba jadi macam mak, tapi sudahnya dia lelah, dia letih sendiri kerana dia tidak setabah mak. “Saya penat beralah mak walaupun kadang-kadang saya tau saya pun salah juga. Penat ada dalam kongkongan orang sebab saya bukan budak kecil lagi, percayakan saya sekali-sekala. Penat berusaha memberi yang terbaik walaupun saya tau saya ada banyak kurang. Penat jaga hati orang sedangkan orang lupa saya pun berhati juga. Penat melayan perkara remeh-temeh yang tak patut wujud tapi sengaja dibesar-besarkan,” adunya dengan suara hampir-hampir tak kedengaran. .

“Anak mak... kenapa tak pernah cakap sebelum ni? Mak sangka, awak baik-baik saja.” Ada genangan air di bibir mata mak. Hatinya terhiris mendengar keluhan anak itu.

“Saya dah cuba buat yang terbaik, mak. Tapi kenapa tak pernah cukup? Salah saya ke kalau saya tak boleh nak kata sayang, rindu dan cinta pada orang? Salah saya ke bila saya sekali-sekala dalam gigilan jari-jemari dan mulut, cuba luahkan juga sebagai membalas ucapan orang? Salah saya ke bila saya tak sama macam orang lain yang mudah meluah kata-kata yang melibatkan hati dan perasaan?”

Mak senyum. “Bukan semua orang boleh ungkap perasaan. Mak tahu awak bukan jenis tu sebab setiap kali mak kata, ‘Jaga diri baik-baik’, awak cuma balas kata-kata mak tu dengan kata, ‘Mak pun sama’, walaupun jauh kat sudut hati awak, awak nak ucap ayat yang sama macam mak ucap. Tapi tak boleh sebab awak dan mak tak sama, awak dan orang lain pun tak sama.”

“Tapi kenapa ramai orang tak fikir macam mak? Bila sesekali saya cakap saya sayangkan orang ni, kenapa mesti orang tu kecil hati pada saya? Saya cakap saya sayangkan orang tu, orang ni terasa hati pada saya. Padahal... saya nak jadi orang yang penuh dengan kasih sayang. Bukan hanya pada orang tertentu. Tapi pada semua orang yang tak pernah tak pedulikan saya...”

Mak capai tangan dia, mak usap penuh cinta. Kemudian mak tolak sedikit rambut dia yang berjurai, “Sayang... jadilah diri awak sendiri. Tak perlu ikut orang, tak perlu terlalu memikirkan orang selagi awak tak buat salah. Hati awak... awak yang tahu. Bila awak sudah melayan orang dengan baik, itu sudah cukup. Kalau ada yang masih terasa hati, biarlah... awak tak boleh kawal hati orang sama macam orang tak boleh kawal hati awak, diri awak. Jadilah diri awak... jangan jadikan diri awak orang lain semata-mata nak jaga hati orang.”

Mak sudah melangkah pergi, namun kata-kata mak tersemat rapi di hati. Ya... jadilah diri sendiri!

- DiTiNgGaLkAN vS mEnInGgAlKaN -

August 23, 2010

DITINGGALKAN dan meninggalkan! Dalam dua hari ni minda sering bertanya dua perkataan tu, membanding-bandingkan mengikut logik dan rasa, mana yang lebih sesuai. Tapi… jangan salah faham dulu. Bukannya aku ditinggalkan kekasih, atau aku meninggalkan kekasih. Bukan sebab tu n3 ni lahir. Bukan! Tak ada kaitan langsung. Tapi n3 ni main dalam kepala gara-gara aku baru aje ditinggalkan keluarga aku Ahad lepas. Jangan salah faham lagi ye… aku tak dibuang mereka dan aku berharap tak akan dibuang mereka kerana hanya mereka yang aku ada. Dan mereka pun hanya ada seorang aje anak, adik dan kakak nama MARWATI, tak ada dua atau tiga.

Ditinggalkan dalam konteks aku, aku ditinggalkan sorang-sorang bila keluarga aku terpaksa balik semula ke Johor Bahru lepas dua hari tinggal di rumah aku. Dua hari yang sangat melelahkan sebab dari abah sampai cucu dia yang paling bongsu ada, tapi penuh dengan kegembiraan dan kebahagiaan. Lelah sebab dua hari berturut-turut bawa diaorang shopping sampai tangan kaki rasa nak tercabut. Gembira dan bahagia sebab bukan hari-hari diaorang datang, bukan juga selalu dapat berkumpul di KL ni dan rasa-rasanya inilah pertama kali semuanya datang sama-sama. Bahkan, terasa rumah aku yang selalu sunyi penuh dengan senyum dan ketawa ceria, jeritan dan pekikan. TUHAN… aku betul-betul suka dengan dua hari yang baru aje berlalu.

Tapi… ditinggalkan dan meninggalkan… rupa-rupanya rasa kedua-duanya berbeza sekali sebab aku dah mengalami kedua-duanya. Ditinggalkan, ternyata rasanya sangat sakit sampai-sampai dalam tak sedar, air mata menitis. Cengengkan? Yup… untuk manusia yang tak ada siapa-siapa kecuali kawan-kawan di KL ni, cengeng memang patut ada. Kalau pun tak pada orang lain, pada aku semestinya ada. Dua kali ditinggalkan banding aku meninggalkan diaorang berpuluh-puluh kali, tapi yang dua kali tu cukup untuk dijadikan sebagai kayu ukur betapa ditinggalkan rasanya sangat sakit. Bukan juga diaorang datang KL dua kali, berkali-kali...cumanya selalunya aku mesti ikut diaorang balik JB. Lepas tu macam biasa, aku akan tinggalkan diaorang dengan senyuman sambil tangan melambai-lambai sebagai tanda perpisahan.

Kelakar kan? Sebab bukan baru sebulan dua aku tinggal sendiri di bumi yang dah tak begitu asing untuk aku ni, dah menjangkau 5 tahun bulan September ni. Tapi tetap juga rasa sedih bila tengok tangan-tangan melambai ke arah aku. Teringat pesan ADIK BONGSU aku, katanya, "Jangan nangis ye kalau kitaorang balik". Aku pula kata dengan yakin, "tak ada maknanya AKAK nak nangis, macam tak biasa". Tapi sudahnya, banjir... hahahaha, tak malu! Dan kalaulah diberi pilihan… aku lebih pilih meninggalkan daripada ditinggalkan. Kejamkan bunyinya? Tapi ditinggalkan memang tak best langsung, sangat tak sesuai dengan aku.

- MaSaK? aLaHai... -

August 20, 2010

DIAM tak diam, dah 10 hari seluruh umat Islam menyambut Ramadan, bulan yang penuh keberkatan. Dan aku, hem… pun dah 10 hari berpuasa. Setiap hari berbuka puasa seadanya, 7 hari makan sendiri, 1 hari makan bertemankan FIDA, DEWI dan BIKASH di rumah sewa FIDA dan 2 hari makan bertemankan FIDA dan DEWI di Tapah. Satu hari beli di Bazar, 1 hari beli di kantin DBP, 2 hari berbuka di kampung FIDA, 1 hari di rumah sewa FIDA dan selebihnya masak sendiri di rumah.

Rajin? Oh… tidak sangat! Cuma sejak ada dapur sendiri ni, aku semakin ringan tangan walaupun yang aku masak hanya makanan-makanan simple yang tentunya akan mengenyangkan perut sendiri. Syukur juga sebab aku hantu sayur, jadi makanan-makanan seharian aku hanya berkisar pada sayur dan keluarga sayur, ayam, udang, daging atau sotong yang dimasak campak-campak aje. Kalau orang memilih mungkin tak lalu, mujur juga selera aku tak rencam sangat. Kalau tak kena berguru dengan Chef Wan gamaknya.

Jangan ditanya pasal kari, asam pedas atau masak lemak cili api pada aku sebab aku memang bukan ahli dalam bidang masak, walaupun bahan-bahannya mungkin… ditekankan sekali lagi mungkin, aku tahu. Hanya tak begitu pasti. Nak kata aku tak pandai masak? Ya... aku mengaku! MAK aku seorang suri rumah sepenuh masa, jadi... sejak kecil aku tak perlu risau fasal masak-memasak sebab perut aku sentiasa kenyang. Hanya perlu pergi dapur, buka periuk dan lepas tu, telan apa yang ada dengan gembiranya. Bukan juga aku langsung tak tolong, adalah sikit-sikit. Hanya entahlah... setiap kali aku kata nak belajar masak, MAK akan kata, “Tak payah. Nanti-nanti pandai sendiri”. Jadi, apa yang aku nak balas? Sudahnya... sampai ke hari ni skil memasang aku memang tak boleh dibanggakan. Hancur!

Jangan tak percaya, ada 1 hari tu mungkin berapa belas tahun lepas, aku masak nasi... masa tu tanak kat dapur dan kebetulan MAK jaga KAK LONG dalam pantang rumah mentua dia seminggu. Sudahnya... bukan cuma nasi yang rentung, dengan periuk-periuk sekali aku buang. Konon nak membantu, tapi sudahnya semua tak boleh pakai. Esoknya dan hari-hari seterusnya, aku dah tak perlu masak sebab mak cik aku, Mak ANOM akan hantar makanan untuk kami makan adik-beradik. Lawak... sampai ke hari ni rasa geli hati bila balik, MAK tanya, “Periuk tu kenapa tergolek belakang rumah?” Aku balas selamba, “AMI buang sebab hari tu masak nasi hangit”. MAK kata lagi, “Takkanlah sampai buang periuk.” Aku... diam tak terkata, sengih aje sebagai balasan.

Tapi sekarang, bolehlah masak sikit-sikit, semakin mahir jugalah kalau boleh dikata macam tu. Jangan tak percaya juga bila atas kabinet dapur aku ada banyak buku resipi. Kononnya betul-betul nak tajamkan skil masak-memasak walaupun sampai ke hari ni masih juga belum berkesempatan. Tapi itulah... masih ada hati nak belajar buat kek walau sampai hari ni, pun tak belajar-belajar lagi. Nantilah... ada rezeki ada umur tentu tak ke mana-mana.

Membebel? Hem... bolehlah dikatakan macam tu. Jadi, aku stop takat di sini dulu. Lain kali ada kesempatan sambung lagi...