- TANPAMU AKU RINDU & BUKAN BIDADARI -

June 20, 2012

“Jarak dan waktu tak mungkin jadi pemisah”

Siapa tahu petikan di atas tu, datangnya daripada novel saya yang mana satu? Ceh... gaya tanya macam dah berbakul-bakul ajekan novel yang dah saya buat. Tak adalah berbakul-bakul sebab saya tak sehebat tu, belas-belas aje novel yang dah saya hasilkan untuk masa ini. Dan kalau ada yang menjawab petikan tu datang daripada novel TANPAMU AKU RINDU, yang mengisahkan tentang Zuyyin Amani dan Yazzer Iqbal. Tentang si gadis kecil yang tiba-tiba aje bertukar menjadi si gadis dewasa yang sombong lagi angkuh, yang digandingkan dengan seorang anak muda yang bangkit demi membuktikan kalau dia mampu mengubah dirinya. Kalau itulah jawapan yang diberikan, saya sayang banyak-banyak pada kalian. Tau kenapa? Sebab kalian sangat peka dengan hasil tulisan saya [padahal, ada dah gambar novel kan?]. Tapi... kalau ada yang tak dapat jawab, jangan bimbang sebab saya sayang juga pada kalian. Cuma, peratus sayang tu kurang sikit. Sikit aje!

Okey berbalik pada tajuk N3 kali ni, itu sebenarnya tajuk drama yang ditayangkan di TV3 malam tadi dalam slot Lestary. Memandangkan drama 3 Janji dah selesai minggu lepas, saya ambil keputusan untuk layan episod pertama Bukan Bidadari. Siapa tahu menarik kan? Lagipun, kalau dah dasar kaki drama, carilah alasan apa pun tetap juga nak tengok drama. Tak tahulah, akhir-akhir ni memang saya dah jadi kaki drama yang agak tegar. Sedangkan sebelum ni, saya seboleh mungkin untuk tak layan drama-drama bersiri sebab saya bimbang terjebak. Bila dah terjebak, sama ada mahu atau tak saya harus layan sampai ke sudah.

Dalam drama bukan Bidadari, melihat Inas dalam drama tersebut, yang terbayang di mata saya, Zuyyin Amani dalam novel TANPAMU AKU RINDU [TAR]. Bukanlah saya membayangkan Nad Zainal sebagai Zuyyin, tidak sama sekali sebab ketika melakarkan bait demi bait dalam TAR, saya tak kenal pun siapa Nad Zainal. Bukan sebab dia tak glamour, saya yang jarang tengok drama. Saya betul-betul kenal dia masa tengok Memberku Hawa secara tak sengaja. Itu pun saya tengok hanya satu episod, tertengok sebenarnya.

Persamaan antara Zuyyin dan Inas, kedua-duanya datang daripada keluarga berada. Kedua-duanya sombong dan suka melakukan aksi-aksi yang tak wajar terhadap orang lain. Lebih daripada itu, kehidupan mereka berdua berubah dalam sekelip mata, kaya kemudian miskin. Hilang kawan-kawan dan hilang tempat berteduh.

Itu antara persamaan, tapi perbezaannya lebih banyak daripada itu. Malah saya yakin, episod 2 dan seterusnya Bukan Bidadari ini tak akan sama lagi dengan TAR, kecuali mungkin semangat yang dimiliki Inas, sama macam semangat yang dimiliki Zuyyin. Bagaimana mereka bangkit daripada kejatuhan, belajar meneruskan kehidupan tanpa harta-benda dan kemudian sedikit demi sedikit insaf akan perbuatan yang telah mereka lakukan, bahkan belajar untuk menghargai orang-orang yang ada di sekeliling mereka.

Betul, cara hidup Zuyyin dan Inas serupa, songsang daripada sepatutnya. Tapi Zuyyin berubah dengan alasan yang hanya dia sendiri tahu, sedangkan Inas jadi begitu kerana kemewahan yang dimiliki. Bagi Inas duit adalah segala-galanya. Dia dimanjakan sedangkan Zuyyin kerap dihukum atas setiap kesalahan yang dimiliki. Mereka berdua sama tapi tak serupa.

Cuma saya terfikir, antara Zuyyin dan Inas, siapa yang lebih kesian. Inas kematian bapa, tapi masih punya ibu [Cuma saya tak pasti ibu kandung atau ibu tiri sebab Inas nampak seperti tak menghormatinya ibunya itu]. Zuyyin juga kematian ayah dan sekali gus kematian ibu juga. Inas masih ada kampung halaman, sedangkan Zuyyin langsung tak diterima keluarga sendiri walaupun keluarganya memiliki harta-benda. Atas sebab itu, Zuyyin terpaksa menumpang di rumah musuh ketatnya Yazzer. Inas benar-benar jadi miskin, sedangkan Zuyyin hanya diajar untuk jadi miskin. Inas mungkin [apa yang saya lihat, mungkin juga salah sebab baru episod 1] dikejar dua lelaki, sedangkan Zuyyin asyik dibuli Yazzer sebagai balas dendam.

Saya tak tahu pengakhiran Inas dalam Bukan Bidadari bagai mana sebab perjalanan drama tu masih begitu jauh, tapi Zuyyin dalam TAR mendapatkan semua yang dia pernah hilang, kecuali ibu dan ayahnya. Bonusnya, dia mendapat Yazzer sebagai suami. Suharti dan Pak Majid [betul ke?], mendapat majikan yang baik selepas Zuyyin berubah. Mak Nah dapat kembali anak yang polos yang pernah dijaga. Malah, persoalan yang asyik menghantuinya bertemu juga dengan jawapannya. Apa persoalan itu, silalah baca TAR kalau sudi. Kalau saya cerita semua, esok-esok TAR tak akan diulang cetak lagi.

Apa pun, tak kisahlah bagaimana TAR dan bagaimana Bukan Bidadari digarap. Yang penting, saya yakin yang mesej yang cuba disampaikan pengarang skrip Bukan Bidadari sama dengan apa yang saya sebagai penulis TAR cuba sampaikan. Semoga kita dapat mengambil apa yang berlaku sebagai pengajaran, ;-)

P/S : JADI ORANG ITU HARUS JANGAN SOMBONG SEBAB APA YANG KITA MILIKI HARI NI BELUM TENTU AKAN KEKAL JADI MILIK KITA SAMPAI BILA-BILA.

- KHAS UNTUK DIA & DIA, BERTABAHLAH! -

June 19, 2012

“ALLAH tak menguji seseorang melebihi batas kemampuan yang dimiliki. Segala-galanya pasti hanya bersifat sementara. Lepas hujan, kalau pun pelangi tak muncul, mentari selalu ada”

Dia & dia... sudah semestinya dua orang kan? Ya, memang dua orang pun dan N3 kali ni memang istimewa buat mereka. Siapa mereka? Biarlah hanya saya yang tahu. Apa yang terjadi, biar juga saya yang tahu. Bukan tak mahu bercerita, mahu dan sangat mahu sebab saya sangat suka bercerita tentang apa saja yang ada kaitan atau tak ada kaitan dengan diri saya [Bukan hal yang buruk-buruk – sila jangan kata saya suka menjaga kain orang ya]. Memang ada hal-hal yang boleh dikongsi untuk tatapan semua orang kerana memang tak ada yang hendak disimpan. Tapi ada juga hal yang seelok-eloknya menjadi koleksi peribadi. Berkongsi dengan yang tak ada kaitan hanya akan mengundang peristiwa lain yang sepatutnya dielakkan.

Dia yang pertama... saya SMS dia dengan tujuan mahu memberitahu kepulangan saya ke kampung tercinta. Kemudian lewat jari-jemari, dia bercerita apa yang berlaku. Saya tak nampak memek muka dia, saya tak nampak mata dia, tapi... saya tahu dia sangat sedih dengan berita yang baru aje dia terima. Dia terasa seperti semangatnya jatuh merudum menyembah bumi. Hilang harapan dalam sekelip mata. Pun bukan untuk dirinya, tapi untuk si kecil yang masih belum mengerti apa-apa, apalagi nak menerokai hidup di masa akan datang.

Sekelip mata, dia yang saya kenal macam dah tak ada lagi. Dia dah jadi orang lain. Sungguh, sejak kenal dia... saya tak pernah nampak dia putus asa macam tu sekali. Dia bukan calang-calang orang kerana saya selalu meminjam semangat dia, kekuatan dia. Tak malu saya katakan yang saya bergelar penulis hari ni pun mungkin bermula daripada dia, disebabkan saya terjumpa sesuatu yang dia tulis. Cita-citanya dulu, mahu menjadi seorang penulis. Anehnya, dia tak jadi penulis, saya yang tak ada cita-cita tu yang jadi.

Saya tak salahkan dia kalau dia tiba-tiba jadi lemah. Perkara tak dijangka muncul, sesiapa pun di tempat dia akan rasakan perasaan yang sama, tak kira walau sekuat mana pun seseorang itu. Tapi saya percaya, dia akan segera bangkit. Dia akan terima apa yang datang dengan tangan terbuka. Saya tahu dia akan berusaha melakukan yang terbaik untuk si kecil. Sebagai orang yang rapat dengan dia, tak banyak yang boleh saya bantu sebab kemampuan saya terbatas, sama macam dia. Hanya yang saya kata pada dia, doa dan berdoalah, jalan tentu ada. Dan kalau benar dia perlukan pertolongan, saya sentiasa ada. Kalau dia mahukan bahu saya, saya akan berikan untuk dia.

Itu kisah dia yang pertama. Dia yang kedua pula... awal-awal lagi dia dah minta pendapat saya sebelum usaha dibuat. Saya dengan rasa teruja berkata, “Buatlah”. Bagi saya, eloklah dia melakukan sesuatu daripada hanya duduk diam-diam. Bukan untuk saya, bukan untuk sesiapa, tapi untuk diri dia sendiri.

Minggu pertama, saya dengar berita gembira tentang dia. Alhamdulillah... mungkin itu permulaan yang baik untuk dia dan hendaknya biarlah berterusan kerana saya lihat semangatnya memang berkobar-kobar kali ni. Bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Tapi rupa-rupanya, hanya sejenak waktu. Tanpa pengetahuan saya, satu demi satu berlaku pada dia. Usaha yang dibuat hampir ranap dek tingkah orang. Hatinya retak kerana kecewa dan hati saya yang mendengar ikut retak. Kasihan!

Dia yang saya kenal, orangnya selamba. Cakap-cakapnya selalu lepas dan ada masa-masanya, saya gelar dia mulut jahat sebab dia selalu lupa kalau kata-katanya agak berbisa. Tapi saya tau, hati dia baik. Tak pernah ambil hati dengan teguran dan kemarahan saya dalam apa pun keadaan. Tetap juga mampu senyum dan ketawa seperti biasa. Secepat mana dia marah, secepat itu juga marahnya reda. Sendiri tanpa perlu dipujuk. Dia jadi macam tu sebab keadaan memaksa dia jadi begitu. Kalau tak, saya yakin dia akan jadi ‘seseorang’ kerana saya percaya dia sangat pandai. Naluri saya mengatakan begitu tanpa ada paksaan daripada sesiapa. Tapi itulah... hendak memutarkan masa, manusia memang tak mampu. Maka, jadilah dia seperti dia hari ini dan dia menerima dirinya seadanya.

Dan saya kata pada dia, “Berhenti aje”. Bukan sebab saya cepat putus asa, tapi saya rasa ego saya tercalar mendengar dia dibuat orang begitu. Tapi nyata dia bukannya serapuh daun mapel. Dia tetap tegar mahu meneruskan usahanya dan saya akhirnya mati kata-kata. Tapi... jauh kat sudut hati saya, saya mendoakan yang baik-baik untuk dia. Saya yakin ALLAH tak kejam pada hamba-NYA. Usaha dia yang tak putus asa tentu akan dibalas DIA. Kalau bukan dengan cara begini, mungkin dengan cara begitu.

Untuk dia & dia... teruslah berusaha dan berdoa. Selebihnya, tawakallah kerana orang sabar tentu ada ganjarannya, ;-)

P/S : JANGAN BERBURUK SANGKA DENGAN DUGAAN YANG DATANG KERANA BARANGKALI DUGAAN TERSEBUT AKAN MENJADI BUAH YANG CUKUP MANIS SATU HATI NANTI.

- KONONNYA NEWSLETTER ALEYA ANEESA -

"Selagi masih diberikan kesempatan dan kekuatan oleh DIA, jari-jemari ni akan terus melakarkan kata demi kata untuk tatapan semua kerana inilah dunia seorang ALEYA ANEESA"

10 PERKARA TENTANG ALEYA ANEESA

- Nama sebenar Marwati Wahab
- Berasal dari Johor Bahru, Johor
- Mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Sungai Melayu, Sekolah Menengah Sultanah Engku Tun Aminah, Sekolah Menengah Maktab Sultan Abu Bakar dan Universiti Putra Malaysia [UPM]
- Anak ke-4 daripada 6 orang adik-beradik
- Mula menulis cerpen pada usia 16 tahun
- Mula menulis novel pada tahun 2003
- Sudah menghasilkan sebanyak 9 buah novel dengan Alaf 21 dan 3 buah novelet dengan Buku Prima
- Dah lama tak bersukan
- Suka makan dan tidur

10 PERKARA TENTANG KARYA ALEYA ANEESA

- Ada rasa cinta
- Ada sedih dan air mata
- Ada senyum dan ketawa
- Ada hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan
- Ada watak hitam dan putih
- Ada pengajaran dan hiburan
- Ada realiti dan fantasi
- Ada harapan dan impian
- Ada yang suka dan ada juga sebaliknya
- Ada bermacam-macam kisah tentang hidup dan kehidupan manusia

9 TAJUK NOVEL ALEYA ANEESA

- SEMUSIM RINDU – Tentang Hajar Adira & Ikhmal Ajmal
- KASIH ANTARA KITA – Tentang Emelda & Aril Fatah
- JANJIKU BERSAMAMU – Tentang Dhamira Rysda dan Za’iem Ukail
- SEGALANYA UNTUKMU – Tentang Jehanna Aisya & Fahem Ammar
- HANYA DIA TAHU – Tentang Nasuhah Harlena & Zaen Luthfi
- AKU MAHU KAMU – Tentang Qisya Khalesa & Ziyad Fallah
- TANPAMU AKU RINDU – Tentang Zuyyin Amani & Yazzer Iqbal
- KASIH BENAR KASIH – Tentang Annura & Dinzley Amrin
- TERUS CINTAI AKU – Tentang Zalis Najwa & Khilfie

3 TAJUK NOVELET ALEYA ANEESA

- “BUNGKUSAN ITU SEBENARNYA...” [ELLA GADIS PENCEGAH MAKSIAT]
- “MAMA MACAM MANA NI?” [SELAMAT TINGGAL TOKIO HOTEL]
- “SEKARANG AKU KISAH!” [TOLONGLAH JANGAN HUKUM DIA]

P/S : YANG KONON-KONON NEWSLETTER NI SEBENARNYA DIGUNAKAN SEMPENA KARNIVAL KARANGKRAF 2012 BULAN JANUARI YANG LEPAS. DUDUKNYA DI BOOTH SAYA. GODEK-GODEK PC, TIBA-TIBA TERJUMPA. YANG ADA CUMA YANG BERKAITAN DENGAN ALEYA ANEESA, BUKAN MARWATI WAHAB. JADINYA... NOVEL-NOVEL DENGAN NAMA MARWATI WAHAB TAK ADA, ;-)

- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [1] -

June 18, 2012

Dalam cinta tak ada istilah ‘try and error’. Sekali terjebak, harus menelan istilah, ‘I love you’ sampai hujung nyawa.

PANJANG leher Najihah, cuba mencari kelibat Najid di tengah-tengah meja yang banyak tersusun. Meja yang kebanyakannya dipenuhi dengan penghuni yang masing-masing mahu mengisi perut. Waktu tengah hari begitu, kalau keadaan di gerai yang diberi nama Sup Meletup itu lengang, memang satu keajaiban. Lantaran itu, dia lebih memilih makan di VelodromE, Cheras kerana lebih luas dan banyak pilihan, walaupun terpaksa makan di bawah payung, di bawah pokok. Lagipun sudah beberapa hari dia teringin makan ayam kampung di situ. Bahkan air durian belanda dalam gelas besar di sana, selalu saja menarik langkahnya untuk datang lagi, lagi dan lagi.

Tapi Najid pula tidak mahu. Kata Najid semalam sudah makan di situ. Hari sebelum itu pun sudah makan di situ. Takkanlah hari ini pun mahu makan di tempat yang sama juga? Ah... Najid tu memang cerewet! Dia saja yang nak menang, rungut Najihah dengan bibir mencebik sedikit.

Namun menyedari yang dia seperti sedang mengata diri sendiri, cepat saja bibirnya mengukir senyum. Dibandingkan dia dan Najid, sebenarnya dialah yang lebih cerewet. Kalau permintaan Najid satu, permintaannya lebih daripada 10. Pendek kata, selama ini memang Najid lebih banyak mendengar kata-katanya daripada dia mendengar kata-kata lelaki itu.

“Jahat juga aku ni ya?” tanyanya pada diri sendiri.

“Jiha memang jahat pun!” sampuk satu suara garau tiba-tiba dari arah belakang Najihah. “Selama ini mana pernah Najid kata Jiha baik. Jiha aje yang selalu perasan diri Jiha tu baik,” sambung Najid dalam nada suara yang sama.

Najihah berpaling. Melihat seraut wajah Najid yang tersengih-sengih dengan riak berseri-seri, bibirnya memuncung panjang. Teringat yang tadi semasa menghubungi Najid, dia ada mengajak Najid makan ayam kampung di Velodrome, tapi Najid pula beria-ia hendak makan di gerai Sup Meletup. Alasan Najid, mereka berdua sudah lama tidak makan di tempat makan kegemaran Najid itu. Sudahnya, rela dalam paksa dia akur juga pada permintaan Najid. Itu pun selepas Najid mengugut tidak mahu menemaninya ke majlis hari jadi Ai Ling hujung minggu ini.

“Bila masanya Jiha jahat?”

“Selalu!”

“Bila?” Terjegil sedikit mata Najihah. Sudahlah dia sakit hati melihat meja yang penuh dengan manusia. Kini, Najid seperti sengaja mahu membakar perasaannya di tengah-tengah cuaca yang panas membahang.

“Jiha selalu buli Najid. Jiha selalu suruh Najid ikut cakap Jiha. Tapi Jiha nak ikut cakap Najid sekali pun payah.”

“Oh... kiranya ni Najid mengungkitlah ya? Selama ni Najid tak ikhlaslah ya ikut Jiha ke mana-mana?” Dipandang paras Najid yang kemas berbaju kemeja biru laut dan berseluar slack hitam. Lelaki itu selalu saja kemas di matanya kerana Najid memang jenis lelaki yang mementingkan penampilan diri. Bagi Najid, berbelanja lebih sedikit tidak mengapa asalkan hati sendiri puas.

Dia pula bukan jenis seperti Najid. Baginya, berbelanja lebih atau berbelanja kurang tidak penting. Yang lebih penting, hatinya suka dan puas. Maksud cantik itu pun sangat universal, cantik pada satu orang tidak semestinya cantik pada orang yang lain. Jadi, dia mahu ambil pendekatan memilih apa saja yang hatinya berkenan. Cakap-cakap orang tidak mahu dipedulikan kerana dia tidak akan ke mana-mana jika terlalu memikirkan soal itu.

“Tak kata tak ikhlas pun,” balas Najid selamba. Ada senyuman nipis di ulas bibirnya. Geli hati melihat muncung Najihah yang sudah semakin ke depan.

Dipandang kawasan sekeliling, meja-meja yang ada semuanya dipenuhi dengan manusia yang kelihatan enak menjamu selera. Sedangkan dia dan Najihah, masih berdiri di bawah pokok di hadapan gerai Sup Meletup. Bukannya tidak ada gerai lain yang kosong, cuma dia tidak terasa hendak makan di tempat lain. Sejak daripada pagi, tekaknya teragak hendak makan di situ. Jadi kalau harus menunggu seketika, bukanlah masalah besar baginya.

“Kalau dah mengungkit tu, sahlah Najid tak ikhlas. Kalau ikhlas mesti tak cakap apa-apa punya.”

Najid ketawa kecil. “Marah?” tanya Najid dengan suara tenang. Najihah memang cepat naik angin, tapi secepat mana angin Najihah naik, secepat itu jugalah angin itu akan reda. Tidak perlu menunggu sampai berhari-hari. Ditemani Najihah hampir 25 tahun, membuatkan dia cukup kenal dengan Najihah. Kalaupun bukan kenal 100%, hampir 80%.

“Tengok... tengok tu! Semua meja dah penuh. Macam mana kita nak makan?” rungut Najihah geram.

Najid terus juga ketawa. Rambut Najihah yang ditiup angin yang berhembus sekali lalu, dipandang. Gadis itu bukan hanya comel, tapi sangat manis dipandang. Bukan sekali dua bila keluar dengan Najihah, dia perasan yang Najihah kerap dipandang orang terutama sekali lelaki yang tentu saja sukakan perempuan berwajah menarik seperti Najihah, tapi banyak kali. Jika dia tidak ada di sisi Najihah, dia yakin yang gadis itu tentu saja sudah dihampiri awal-awal lagi.

“Alah... Jiha sabar sikitlah. Kejap lagi mesti dia orang tu tinggalkan meja. Takkanlah nak duduk situ sampai ke petang kan?”

“Tapi perut Jiha dah laparlah,” rungut Najihah geram.

“Tipu.”

“Tipu apa pulak? Dahlah datang lambat, suka-suka hati dia aje kata kita tipu.”

“Alahai... lambat lima minit pun nak berkira ke? Kadang-kadang tu Jiha buat Najid tunggu sampai setengah jam. Najid tak merungut pun.”

Bulat mata Najihah merenung Najid. Bibirnya diketap kuat. “Yang Najid asyik nak mengungkit aje dari tadi ni apa hal?”

Hatinya masih terasa. Beria-ia dia merayu Najid supaya mereka makan ayam kampung hari ini. Tapi Najid tetap juga tidak mahu. Padahal dibandingkan gerai Sup Meletup dengan gerai ayam kampung di Velodrome, gerai ayam kampung lebih hampir dengan pejabat Najid. Entah apa yang sedap benar dengan sup yang dijual di gerai Sup Meletup itu, dia sendiri tidak tahu. Tapi bukanlah bermakna dia tidak suka makan di gerai kesukaan Najid itu, hanya hati yang sakit buat dia sengaja melupakan kesedapan sup yang bukan sekali dua dinikmati itu.

“Yang Jiha nak marah-marah daripada tadi kenapa?”

“Mana ada Jiha marah!”

“Tu... yang muka merah tu apa kalau bukan marah?” Jari telunjuk sengaja ditudingkan ke pipi Najihah yang jelas sudah bertukar warna. Tapi sebenarnya dia sendiri tidak pasti, merah itu tanda marah atau kesan daripada cuaca yang berbahang. Hendak dikata kesan pemerah pipi, mustahil kerana Najihah bukannya jenis gadis yang suka bersolek beria-ia. Kalau ada pun, gadis itu hanya memakai bedak nipis dengan bibir yang hanya dioles dengan pelembap.

Kalau dah cantik, tak solek pun cantik juga, detik hati Najid dalam diam.

Namun senyuman di bibirnya melebar tiba-tiba. Dalam keadaan tidak selesa begini, sempat lagi dia memuji Najihah dalam hati. Hanya pujiannya pada gadis itu ditelan dalam hati. Tidak pernah diluahkan sekali pun kerana dia merasakan tidak ada perlunya dia memuji Najihah. Najihah juga bukannya jenis suka dipuji. Silap-silap, dia mendapat cubitan Najihah sebagai upah atas pujian yang diberikan.

“Najid senyum-senyum ni kenapa? Najid mengata Jiha dalam hati ya?”

“Wah... sejak bila Jiha jadi bomoh ni? Boleh baca-baca hati Najid?”

“Najid jangan... Jiha dah panas ni. Karang Jiha...”

“Abang cari meja kosong ke? Dah ramai pengunjung yang balik. Abang boleh pilih mana-mana meja kosong.”

Serentak Najid dan Najihah menoleh ke arah suara yang menyapa. Hilang terus kata-kata yang mahu Najid luahkan pada Najihah. Kemudian dia membuang pandang ke kawasan sekitar. Benar, sudah banyak meja yang kosong. Mungkin masing-masing sudah kenyang dan mula kembali ke destinasi masing-masing.
--------------------------------------------------------------------------------
“Masih marah lagi?” tanya Najid sebaik saja makanan mereka sampai. Wajah Najihah yang sudah tidak memerah dipandang dalam-dalam. Ada senyuman memujuk di ulas bibirnya. Dia tahu marah Najihah tidak akan ke mana-mana. Mereka sudah lama berkawan rapat dan rapatnya hubungan mereka sama seperti rapatnya hubungan ayahnya dengan papa Najihah. Lantaran itu berpuluh-puluh tahun pun, mereka tidak pernah berpindah rumah. Tetap juga rumah papa Najihah di hadapan rumah ayahnya, walaupun baik ayahnya, mahupun papa Najihah mempunyai rumah lain.

Najihah mencapai sudu dan garpu yang ada di hadapannya dengan wajah tidak ceria. Sengaja tidak mahu peduli pada kata-kata Najid yang bernada lembut. Sengaja juga menunjuk protes pada Najid walaupun geram dan sakit hatinya surut sebaik saja mencecah punggung di kerusi.

“Esok kita makan ayam kampung okey?”

Wajah Najihah yang keruh, tiba-tiba saja bersinar-sinar bagaikan dihadiahkan sejambak bunga mawar. “Betul? Betul esok Najid tak akan ubah fikiran? Tak akan kata, ‘kita makan ayam kampung tu lain kali ajelah’?” tanya Najihah bersungguh-sungguh. Di bibirnya ada senyuman lebar. Suka hati dengan apa yang Najid katakan tadi kerana esok dia tidak perlu memujuk Najid seperti biasa. Entah apa yang sedap makan di Velodrome itu, dia sendiri tidak tahu, sama seperti dia tidak tahu apa yang sedapnya dengan sup di Sup Meletup. Walaupun banyak meja, tempatnya pun kalau hendak diikutkan, tidak begitu selesa kerana kalau lambat, mereka terpaksa makan di bawah payung besar di bawah pokok. Tapi kalau boleh memang hari-hari dia mahu makan di situ.

Najid ketawa sedikit kuat. Memang sudah diduga reaksi Najihah awal-awal lagi. Kemudian dia turut mencapai sudu dan garpu. Sesuap nasi goreng ayam masuk ke mulutnya. Nikmatnya rasa bila keinginan terpenuhi.

“Tiba-tiba aje cerah ya muka Jiha?” usik Najid bersahaja. “Hilang keruh yang tadi macam tak nak hilang.”

“Tak boleh ubah fikiran ya. Kalau esok Najid kata tak jadi, taulah Jiha macam mana nak buat.”

“Jiha nak buat apa kat Najid?” Najid pandang wajah Najihah yang juga sudah mula menyudu makanan ke mulut. Kalau dia memilih nasi goreng ayam dengan semangkuk sup campur sebagai hidangan tengah harinya hari ini, Najihah pula hanya memilih mihun sup. Makanan kegemaran Najihah jika datang ke situ. Jenuh dia menyuruh Najihah menukar menu, namun gadis itu tetap juga tidak peduli.

“Jiha belasah Najid cukup-cukup,” balas Najihah selamba. Mata sengaja dibulatkan sebagai tanda amaran buat Najid.

“Jiha cukup kuat ke nak belasah Najid?” duga Najid sambil angkat kening sebelah.

Najihah ketawa kecil. “Jangan ingat Najid ada black belt Jiha takut ya. Jiha pukul rambang aje nanti sampai Najid tak boleh nak mengelak.”

Semakin besar ketawa Najid. Teringat dulu, dia dan Najihah sama-sama masuk kelab tekwando. Sampai separuh jalan, Najihah menarik diri kerana menyampah dengan jurulatih yang mengajar mereka. Kata Najihah, jurulatih mereka itu gatal dan merenyam. Sudahnya, hanya dia saja yang dapat tali pinggang hitam. Sedangkan Najihah selamba saja berkata dengan adanya dia, Najihah sudah tidak perlukan tali pinggang hitam itu lagi kerana dialah yang akan menjadi tali pinggang hitam untuk Najihah.

Najihah... gadis sebayanya itu memang banyak tingkah. Tapi banyak mana pun tingkah Najihah, tetap Najihah juga yang dicari bila susah mahupun senang. Begitu juga sebaliknya.

“Apa fasal Najid lambat tadi?” tanya Najihah tanpa memandang Najid. Nada suaranya biasa-biasa saja. Bukannya hendak marahkan Najid kerana dia sekadar ingin tahu semata-mata. Memang Najid jarang terlewat kalau sudah berjanji. Tidak seperti dia yang sentiasa saja lewat walaupun sudah berjanji beria-ia. Mujur saja Najid seorang yang penyabar, tidak cepat naik darah dan angin sepertinya.

“Lima minit ajelah. Itu pun nak berkira ke?”

“Jiha tanya ajelah, bukannya nak marah Najid pun. Itu pun nak sentap tak tentu fasal.”

Najid mencapai air tembikai miliknya. Dia tahu makan bersulam air memang tidak elok, tapi cuaca yang panas membahang menuntut dia melakukan amalan tidak elok itu. Kalaulah ayahnya melihat, pasti dia akan ditegur dan Najihah tentu akan mengetawakannya sambil mengangkat ibu jari kanan sebagai tanda ‘padan muka’.

“Tadi ada meeting. Papa Jiha banyak pula cakap hari ni. Selalunya kalau ada meeting cepat aje habisnya.”

“Weh... mengata papa Jiha ya. Tak baik betul Najid ni tau.” Usai berkata-kata, tangan Najid yang berlabuh di atas meja dipukul perlahan. “Kalau macam tu Najid kerja aje dengan ayah,” sambung Najihah sambil menjongket kening berkali-kali.

“Jiha nak ke kerja dengan papa?” duga Najid.

Seketika, pandangan mereka bertaut. Mereka seolah-olah berkata-kata tanpa suara, namun masing-masing seakan-akan sudah mengerti. Beberapa detik kemudian, ketawa kedua-duanya meletus sedikit kuat. Memang agak janggal, tapi kenyataannya Najid bekerja dengan papanya dan dia pula bekerja dengan ayah Najid.

“Jiha tak dapat bayangkan kalau Jiha kerja dengan papa. Mesti Jiha tak dapat belajar banyak benda. Silap-silap Jiha datang pejabat tapi goyang kaki aje nanti,” kata Najihah sebaik saja ketawa mereka reda.

“Najid pun tak nak. Ayah tu... Jiha tahu ajelah. Semua benda tak boleh, tak macam papa. Sporting!”

- MAK TAM, MAK TEH, MAK TAM... -

June 17, 2012

MeNgUbAh SeSuAtU yAnG dAh BiAsA tAk TeRlAlU mUdAh

Balik kampung! Hah... itu memang saya sebab saya dan balik kampung memang tak boleh dipisahkan. Kalau boleh hari-hari pun saya nak balik kampung. Tapi kedengarannya macam melampau kan? Bila hari-hari balik kampung, orang tak panggil balik kampung tapi orang panggil duduk kat kampung. Tapi tak kisahlah, balik kampung atau duduk kampung sekali pun, yang penting kampung.

Sebenarnya ikutkan hati, saya memang agak letih sebab hujung minggu lepas saya dah bergerak ke 3 buah negeri dalam masa yang singkat [Negeri Sembilan – Perak – Pahang]. Tapi kenangkan hari Jumaat hari tu, hari ulang tahun kelahiran Mak saya yang ke-58 [Mak dah makin berumur, kedut pun dah banyak tapi sebanyak mana kedut di wajah Mak, sebanyak tu juga rasa sayang Ami pada Mak], saya tolak ke tepi rasa letih tu. Bukan hari-hari, setahun sekali aje hari lahir Mak saya muncul. Letih, bila-bila masa aje boleh saya singkirkan. Cukup makan, cukup tidur, cukup rehat, maka... dengan sendirinya letih tu pergi.

Sebenarnya, tak ada sambut apa pun. Mak saya bukannya suka benda-benda macam tu. Tapi sebagai anak-anak Mak, kami ingin menghargai Mak dengan cara kami. Jadinya, malam tu, hujung-hujung waktu sebelum pukul 12.00 malam daN hari lahir Mak berakhir, abang saya beli sebiji kek dan saya beli KFC sebab ringkas dan mudah. Duduklah kami ramai-ramai depan Mak dengan muka masing-masing berseri-seri. Alhamdulillah... tak macam tahun-tahun lain, tahun ni saya ada di sisi Mak tepat pada hari lahir dia.

Esoknya, memandangkan Mak saya ada kursus mandikan jenazah, saya pun pergi jalan-jalan cuci mata dengan adik dan adik ipar saya. Bawa sekali 4 orang anak buah saya. Baru 4 orang, bukan 9 orang. Kalau 9 orang ikut, memang alamatnya saya pengsan dalam keadaan berdiri sebab tak larat. Pening tu! Belum lagi saya kata jangan, dia buat juga. Saya kata sabar, eh... dia buat tak tau aje. Memang dasar anak-anak buah bertuah. Asyiklah Mak Tam... Mak Tam... Mak Tam...

Dalam pada kalut tu saya tiba-tiba terfikir sesuatu. Saya fikir, “Kenapa dia orang panggil saya Mak Tam? Kan, lebih bagus kalau dia orang panggil saya Mak Teh?” Sebabnya, Mak Tam tentu aje merujuk kepada Mak Hitam. Kalau Mak Teh, sudah semestinya Mak Putih. Hitam dan putih, bukankah lain kesannya? Bila dipanggil Mak Teh, tentulah saya perasan yang kulit saya putih. Sedangkan kalau dipanggil Mak Tam, dah tentulah saya rasa kulit saya serupa arang. Kulit saya ya, bukan kulit orang lain. Kepada orang lain, silalah jangan terasa hati sebab saya berkisah tentang diri saya, bukan orang lain.

Tapi... rasanya dah terlalu lambat kalau nak mintak anak-anak buah saya yang seramai 9 orang tu tukar panggilan untuk saya. Apalagi, bila adik-adik saya awal-awal lagi dah isytiharkan nama saya sebagai Kak Tam. Jadinya, kalau panjang umur, nampaknya dalam seumur hidup saya ni, saya akan kekal dipanggil Mak Tam dan Kak Tam. Tak kisahlah kan? Bila didengar dan disebut-sebut banyak kali, Mak Tam dan Kak Tam... nampak macam okey juga tu. Hahaha... ayat pujuk hati sendiri!

P/S : GELARAN APA PUN SEBENARNYA TAK BEGITU PENTING SELAGI TAK MEMBERIKAN KONOTASI BURUK, YANG LEBIH UTAMA... RASA HORMAT PADA ORANG YANG KITA BERIKAN GELARAN ITU.

- SAYANG SEBESAR DUNIA -

June 15, 2012

KaLaU aDa SeBuTiR mUtIaRa DaLaM hIdUp SaYa, DiAlAh OrAnGnYa~


Untuk Mak tersayang, SELAMAT HARI LAHIR, MAK. Semoga Mak panjang umur, murah rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan paling penting selalu ada dalam rahmat ALLAH. Ami sayang sangat-sangat kat Mak, ;-)

MOOD : Tak sabar nak balik kampung, nak tengok muka Mak. Rindu walaupun baru tengok hujung minggu lepas...

- RAPUH DALAM LANGKAH... -

June 14, 2012

BeRsAmA mAsA, lUkA @ kEcEwA pAsTi SeMbUh

Tak percaya? Atau... tak nak percaya? Tak apa dan tentu aje tak apa-apa sebab tak kena bayar, sama macam kalau kita berangan ala-ala Mat Jenin. Tapi bagi saya yang dah berkali-kali terluka, saya percaya dengan apa yang saya tulis. Bahkan, saya juga percaya akan ada yang yakin dengan kata-kata tu. Cuma kalau merujuk pada saya, berkali-kali luka tu bukanlah merujuk pada luka dan kecewa sebab putus cinta, putus kasih atau putus sayang. Adalah putusnya dalam tiga yang saya sebut tu, tapi tak adalah banyak-banyak kali sebab saya bukannya jenis macam tu. Saya manusia yang cepat serik dan tak mudah untuk membiarkan rasa terikat wujud dalam diri saya. Kenapa? Jangan ditanya sebab saya sendiri tak ada jawapan yang pasti.

Luka dan kecewa yang saya maksudkan bersifat umum, bukan hanya merujuk pada kasih sayang antara lelaki dan perempuan yang pada asalnya tidak ada ikatan atau dalam bahasa yang lebih mudah, girlfriend – boyfriend semata-mata. Tapi juga merujuk pada luka kerana kecewa bila saya tak dapat apa yang saya nak. Apa yang saya nak, mungkin juga seseorang, sesuatu benda atau juga sesuatu yang sifatnya tak boleh disentuh, tapi dapat dirasa dan yang merasakannya hanya saya sendiri-sendiri dan dalam ruang yang juga sendiri-sendiri.

Saya tahu bagaimana rasanya bila luka dan kecewa menghantui diri. Kadang-kadang luka dan kecewa tu saya terima dengan hati yang tenang, siap dengan senyum dan ketawa bagaikan tak ada apa-apa yang akan berlaku. Mungkin sejak awal-awal lagi saya dah menjangkakan yang saya hanya memuja bulan. Kadang-kadang saya terima dengan hati separuh rela dan separuh tak rela. Mungkin sejak awal-awal saya dah menjangkakan peluang saya 50-50 untuk dapat apa yang saya mahu. Dan kadang-kadang, saya langsung tak dapat terima. Mungkin situasi ketiga berlaku kerana saya terlalu berharap supaya dapat seseorang atau sesuatu itu. Sedangkan kesudahannya, saya luka dan kecewa sendiri.

Sakit! Ya... saya akui dengan senang hati yang setiap kali rasa luka dan kecewa itu datang, sakitnya susah nak diterangkan atau digambarkan. Mulalah muka yang manis jadi kelat, senyum pun hilang dalam sekelip mata. Makan jadi tak kenyang dan tidur bagaikan satu tempoh penyeksaan yang panjang sebab saat mata ditutup yang kelihatan hanya darah yang mengalir daripada luka yang tak dapat dilihat dengan mata. Kemudian tiba-tiba aje jadi sedikit pendiam daripada biasa. Hilang diksi nak menyusun kata. Hanya murung mengenangkan nasib diri yang mungkin tak begitu bernasib baik atau juga belum bernasib baik jika hendak dibandingkan dengan orang lain.

Bahkan dalam masa-masa murung tu, saya mula menilik diri. Menggali dan terus menggali demi mencari kekurangan diri sehingga saya tak dapat apa yang saya nak. Kemudian mula membuat kerja banding-membanding yang berkesudahan dengan saya, lelah sendiri dalam mencari sesuatu yang tak ada kepastian. Resam manusia mungkin, sering kali cuba menolak kelemahan diri sendiri. Satu sikap yang sepatutnya tak ada dalam diri setiap manusia.

Tapi... seluka mana dan sekecewa mana pun saya, saya tahu lama-kelamaan 2 rasa tu akan beransur-ansur pergi seiring dengan munculnya siang dan malam. Hingga bila sampai masanya, luka dan kecewa saya sembuh juga dengan sendirinya. Tanpa perlu ada yang memujuk kerana ada masa-masanya, pujukan yang saya terima hanya membuatkan diri saya rasa lebih lemah dan saya terus tak mahu keluar daripada rasa murung yang saya rasa. Mahu kekal begitu kerana semangat yang ada bagaikan dah ditarik ke luar. Tak baik kan? Tapi itulah saya, seorang manusia biasa yang lengkap dengan pakej kurang dan lebih macam orang lain juga.

Hanya, tidak juga bermakna bila luka dan kecewa sembuh, saya terus lupa. Tidak! Meskipun ada yang berkata Melayu mudah lupa, saya tetap tak mudah lupa pada yang dinamakan luka dan kecewa. Buktinya, ada luka dan kecewa yang pernah saya alami bertahun-tahun dulu. Dah sembuh! Tapi sampai ke hari ni, saya tak pernah lupa. Tetap kenang sebagai perisai diri. Malah ada ketika-ketikanya, saya senyum dan ketawa sendiri bila teringatkan luka dan kecewa yang dah makin menjauh tu.

Untuk itu kawan-kawan, mari kita tak terlalu memandang serius sesuatu perkara itu. Jalanilah hidup ini apa adanya kerana DIA tak menduga seseorang itu melebihi kemampuan yang dimiliki. Rasa luka dan kecewa itu boleh, tapi jangan sampai 2 rasa tu memamah hancur diri kita. Semoga kita semua selalu dirahmati ALLAH... ;-)

P/S – ANTARA LUKA DAN KECEWA TAK DAPAT MEMILIKI SESEORANG, DENGAN LUKA DAN KECEWA TAK DAPAT MEMILIKI SESUATU, MANA YANG LEBIH SAKIT SEBENARNYA? ;-)

- BUKAN WAJAH ITU... -

June 12, 2012

PaNdAnG cErMin, YaNg KeLiHaTaN wAjAh LaIn

Bukan sekali, bukan dua kali, bukan tiga kali dan bukan juga 10 kali. Tapi... mungkin beratus-ratus kali, atau juga beribu-ribu kali. Kita pandang cermin di depan mata kita, tapi yang kelihatan bukan wajah kita. Sebaliknya wajah lain! Cuma mungkin, hari ni wajah Si A, esok wajah Si B, lusa wajah Si C, tulat wajah Si D dan sampai habis A-C pun, akan tetap muncul wajah yang lain, lain dan lain. Tak kiralah wajah siapa pun yang muncul. Yang pastinya, bukan wajah kita!

Apa yang saya tulis ni? Macam mengarut kan? Tapi... TIDAK! Saya bukan mengarut. Saya menulis tentang, kenyataan. Sebuah hakikat yang semua orang akan hadapi, termasuk diri saya sendiri. Tapinya, tak mungkin kan kita tengok cermin kita nampak orang lain? Macam menipu pun ia juga. Ya, saya akui itu! Cumanya... saya tak menulis tentang apa yang tersurat, saya menulis apa yang tersirat.

Wajah yang saya maksudkan, bukannya wajah kita. Seraut wajah yang orang pandang, orang tau itu kita. Bahkan kadang-kadang, cukup dengan melihat belakang kita, atau melihat gaya berjalan kita, orang tau itu memang kita, tak boleh nak tipu lagi dah. Tapi wajah yang saya maksudkan, wajah yang menjadi cerminan diri kita, iaitu sikap dan sifat kita. Dan cermin pula, bukanlah cermin jernih yang boleh membias muka kita. Bukan cermin itu!

Sebenarnya, yang nak saya katakan, kita sering kali melihat kesalahan dan kesilapan orang lain, kemudian kita bilang satu demi satu. Kita bagaikan bangga kerana dapat melakukan hal sebegitu. Malah, kadang-kadang kita rasa puas dapat mengumpul salah dan silap orang. Anehnya kita tak sedar yang sebenarnya kita turut melakukan kesilapan dan kesalahan yang sama. Tapi kita tak pernah nampak apa yang dah kita lakukan. Balik-balik yang salah dan silap itu orang lain.

Kita selalu mengeluh bila orang tu buat macam tu, orang ni buat macam tu. Kita sibuk nak menegur dengan alasan konon-kononnya kita berhak menegur, sedangkan kita pun buat macam tu juga. Tapi kita tak sedar apa yang dah kita buat, atau pun kita buat-buat tak sedar dan sengaja membutakan mata juga hati daripada memandang. Alasan kita, mungkin... sebab kita ‘lebih besar’ atau ‘lebih hebat’. Tapi apa ertinya kita ‘lebih besar’ atau ‘lebih hebat’ kalau kita sebenarnya ‘sangat kecil’. Sedangkan, kalau benar ‘lebih besar’ atau ‘lebih hebat’, sepatutnya kita harus bertingkah ‘lebih besar’ atau ‘lebih hebat’ juga. Misalnya, kalau kita suruh ‘orang kita’ datang awal, kita harus lebih awal daripada mereka. Kita suruh ‘orang kita’ jadi rajin, kita harus jadi lebih rajin daripada mereka. Kita suruh ‘orang kita’ datang, kita harus lebih rajin datang daripada mereka. Bukannya sebaliknya!

Kita bukan si ibu ketam yang sibuk hendak mengajar anak berjalan lurus sedangkan diri sendiri senget tak sudah-sudah. Tapi kita manusia yang diberikan hati dan perasaan yang diikat dengan akal fikiran dan budi pekerti yang membezakan kita dengan makhluk lain, lebih-lebih lagi haiwan.

Harta, kemewahan, pangkat dan darjat... tak lebih daripada daki dunia semata-mata. Tak guna kita jadi ‘hebat’ kalau secara tak sedar kita sebenarnya mengundang cakap-cakap tentang kita di belakang. Sering kali, kita sangka orang tak kisah, tapi kita tak tahu orang terasa hati dengan kita. Sering kali, kita sangka orang terima, tapi hakikatnya orang menerima dengan rasa tak ikhlas, terpaksa demi meneruskan sebuah kelangsungan hidup.

Tapi itulah... berapa kali kita sedar hakikat yang dalam dunia ni bukan hanya kita berhati dan berperasaan? 1 kali? 2 kali? 3 kali? 4 kali? 5 kali? Atau... kita tak penah sedar. Tapi soalnya, sampai bila kita nak jadi macam ni? Sampai seorang demi seorang meninggalkan kita sebab kecewa dengan kita? Atau... sampai semuanya pergi dan langsung tak tinggal?

Kenyataannya, hidup tanpa orang-orang yang menyenangi kita, rasanya sangat sukar dan tentu aje tak bermakna. Dan kesal yang datangnya terlalu lewat sebenarnya tak memberikan apa-apa keuntungan kerana memutarkan masa tak pernah ada dalam kamus hidup manusia seperti kita, ;-)



P/S : TOLONG INGATKAN SAYA KALAU SAYA TERLUPA SEBAB SAYA SELALU ALPA...

- SETELAH 3 TAHUN -

June 11, 2012

~DuLu TeRpAuT, sEkArAnG pUn HaTi TeTaP tErPaUt~

Kali pertama saya datang ke Cameron Highlands tiga tahun dulu. Sungguh, saya rasa sangat-sangat suka! Walaupun, orang kata keadaannya dah banyak berubah jika nak dibandingkan dulu. Sejuk pun tak lagi. Kalau sejuk pun bila malam datang. Ya, yang tu saya akui sebab saya tidur guna stoking dan sarung tangan yang saya beli. Mujur beli, kalau tak memang tak dapatlah saya tidur. Tapi mana saya tau apa bezanya dulu dan ketika tu [tiga tahun dulu] sebab dulu saya tak pernah datang.

Lepas tu saya selalu simpan niat nak datang lagi, lagi dan lagi sebab hati saya dah terpaut dengan tempat yang sangat menarik tu. Di mata saya yang guna cermin mata nilah, mata orang lain saya tak tahu. Tapi ternyata, nak datang ke tempat yang sama berulang-ulang kali, walaupun tak memerlukan tiket kapal terbang, taklah semudah mana. Jadinya, dalam masa tiga tahun kebelakangan ni, yang datang cuma niat semata-mata sedangkan yang empunya niat, terus tertinggal di belakang.

Sampailah bila tiba-tiba aje mulut tersebut pada abang dan kakak ipar saya tentang Cameron Highlands. Kakak ipar saya teruja dan plan tu terus saya ajukan pada Fida masa kami sampai di rumah dia. Bila dia kata okey, saya pun ikut teruja sama. Buat plan gila macam ni, memang saya dan Fida cukup pakar.

Cecah aje lantai Cameron Highlands tu, banyak kenangan yang menderu-deru dalam otak saya yang tak sebesar belon dan tak juga sekecil otak burung unta ni. Memang dulu, tidurnya hanya semalam, jalan-jalannya dua hari. Tapi memang banyak sangat yang masih saya ingat sampai hari ni.

Persamaan 3 tahun lepas dengan datang kali ni;



- Sebelum pergi, tidur rumah Fida.

- Singgah di tempat-tempat yang sama.

- Masih ada Fida dan Dewi.

- Seronoknya tetap sama walaupun orangnya bertukar.

- Bergambar ala-ala model yang dah lama tak pernah habis

Perbezaan 3 tahun lepas dengan datang kali ni;



- Dulu ada Abah, Bikash, Ika, Ana dan Airul, tak ada abang, kakak ipar dan anak-anak buah saya.

- Dulu dalam perjalanan singgah di Lata Iskandar, kali ni tak singgah sebab kejar masa.

- Dulu tidur semalam, kali ni tak tidur sebab esoknya ada nak ke tempat lain.

- Dulu riuh dengan suara sumbang saya dan kawan-kawan menyumbangkan suara, kali ni masih riuh tapi dengan cerita-cerita yang tak pernah habis.

- Dulu tak jumpa dengan pasangan pengantin yang ambil gambar kat ladang teh, kali ni ada. Cantik sangat!

- Dulu ada makan tengah hari, kali ni tak ada. Masing-masing jadi kenyang bila kenangkan masa yang tak cukup.

- Dulu saya tak beli barang banyak, tapi kali ni saya beli mengalahkan orang tak pernah datang. Hahahaha...

- Dulu saya yang memang suka bergambar, bergambar beria-ia, tapi kali ni, saya dah ada pesaing yang bernama si cilik Arissa Izzayani. Pantang tengok orang bergambar, cepat-cepat dia lari sebab nak masuk sekali. Ohho... bakat saya nampaknya dah ada pewaris. Kuikuikui...

Rasa-rasanya ada banyak lagi persamaan dan perbezaan yang boleh saya kutip dan kemudian lepaskan di sini, tapi... cukuplah tu. Apa pun, ada masa dan rezeki... saya nak datang lagi. lagi & lagi... ;-)



P/S : ADA SESIAPA YANG NAK BAWA SAYA KE SANA LAGI TAK? SAYA... PASTI DENGAN SENANG HATI NAK IKUT... ;-)

- PASTI ADA HIKMAHNYA -

June 6, 2012

“ALLAH memberikan ujian kerana DIA mahu mengangkat darjat manusia. Mula-mula dia berikan ulat bulu dan kita terasa gatal. Tapi kemudian DIA berikan pula rama-rama yang cantik sebagai ganti ulat bulu”.

Ya... saya sedih! Tapi dalam dunia ni, semua orang tak lari daripada ujian. Mulanya memang terasa sakit, tapi nanti-nanti tentu ada ganjarannya kerana ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk setiap manusia, ;-)