EBOOK: HUD, SUAMI IRIS (BAB 1)

March 30, 2023

TERASA belakang kainnya dipijak, Iris berpaling ke belakang. Ketika sengihan Hud melebar, dia merengus sakit hati. Tahu, serangan Hud sudah bermula. Tak berlengah walaupun seketika. Sedangkan dia belum pun bersedia, mengatur strategi jauh sekali.

Entahlah! Mindanya masih celaru. Menderita mengenangkan dalam lapan bilion orang di dalam dunia ini, kenapa mesti Hud yang menjadi suaminya. Padahal sesaat pun dia tak mampu berhadapan dengan Hud, apalagi untuk seumur hidupnya.

Dia... rasa payah. Ada masa-masanya, goyah! Tapi Hud, tetap tak akan dibiarkan terus-terusan tersengih seperti detik ini.

“Kau ni dah kenapa?” marah Iris sakit hati.

“Apa? Aku dah buat apa sampai kau nak marah-marah ni?”

“Kau sengaja, kan pijak kain aku?”

“Aku terpijaklah. Sorry...” Mulut Hud berkata maaf tapi kaki masih melekat di atas kain panjang milik Iris. Seinci pun tak bergerak. Sengaja mahu membakar hati Iris. Kalau lagi rentung hati Iris, lagi lapang hatinya.

Janjinya, bermula hari ini Iris tak akan dibiarkan hidup tenang kerana Iris telah mengacau-bilaukan hidupnya, keluarganya.

“Kalau macam tu lepaslah!” Iris cuba menarik hujung kainnya yang masih dipijak Hud.

Namun semakin ditarik, semakin berat.

“Tariklah sendiri,” suruh Hud sambil menayangkan rupa selamba.

“Hud!” Tinggi suara Iris. Sakit hatinya naik berganda.

Hud yang hanya tunduk melihat skrin telefon bimbit, mengangkat muka. Nada tinggi Iris menampar telinganya. Matanya menombak mata Iris yang mencerlang garang.

“Suara tu boleh rendahkan sikit tak? Macam nak bagi sekampung dengar aje gayanya.”

“Tak boleh!” jawab Iris pantas.

“Tak malu kalau orang kat luar dengar suara kau yang tak berapa nak sedap tu?”

“Lantaklah, aku tak peduli! Kalau orang tanya, aku kata kau yang cari fasal dengan aku,” ugut Iris dengan muka berona merah.

Dia masih berusaha menarik hujung kainnya. Tetap juga gagal. Hud nampak bersungguh-sungguh benar hendak menyusahkan hidupnya.

Padahal ketika ini dia sudah cukup letih. Sejak mengenangkan dia dan Hud akan ada ikatan, bakal tinggal sebumbung, sebilik, sebantal, hidupnya tak pernah tenang. Tidurnya asyik terganggu. Malah ada masa-masanya, dia langsung tak dapat melelapkan mata kerana hatinya di dalam merusuh tak menentu. Tak mahu memiliki dan dimiliki Hud.

Hendak lari dari rumah, dia sudah cukup dewasa. Hendak membantah keras-keras, lain pula jadinya nanti.

“Kau memang jenis degil, kan?”

“Kalau kau tak sejenis degil macam aku, lepaskan kain aku.”

“Kalau aku tak nak?” Hud cuba mencabar Iris.

“Aku jerit!” Iris balas cabaran Hud dengan cabaran juga.

“Ingat aku takut?” Hud tak mahu mengalah. Dia suami, dia tak boleh kalah di tangan Iris.

“Ingat aku tak berani?”

Raut Iris yang semakin merah kerana menahan marah, Hud renung dalam. Iris hari ni berbeza dengan Iris yang dia kenal 10 tahun dulu. Iris yang itu, tak pernah berani menatap matanya. Iris yang ini selamba sahaja menjegilkan mata padanya.

Iris yang itu sentiasa nampak selekeh dengan tudung putih sekolah yang senget. Iris yang ini kemas dengan tudung terletak elok di kepala.

Iris yang itu bila melangkah seperti terketar-ketar ketakutan. Iris yang ini langkahnya penuh gaya dan pesona.

Pesona?

Tersedar dia sedang memuji Iris, Hud mengetuk kepala sendiri. Yakin sesaat tadi, dia kehilangan akal yang waras.

“Hud!” Tinggi lagi suara Iris.

“Kau kalau tak menjerit tak boleh ke?”

Panjang keluhan Iris. Baju yang agak sendat membalut tubuh merimaskannya. Dia mahu mandi, dia mahu rehat, dia mahu tidur dan dia mahu lupa segala-galanya untuk seketika.

Jalan untuk mengelak daripada Hud memang sudah tertutup rapat. Kini, dia isteri Hud dan Hud, suaminya. Mahu atau tak, dia perlu terus mengorak langkah ke hadapan.

Gagal atau berjaya, pun dia malas memikirkannya buat masa ini. Dia sendiri tak pasti, mana satu ukuran kegagalan dan kejayaan untuknya. Terus di sisi Hud atau pergi daripada hidup Hud. Entah, dia letih!

“Dah dululah Hud, aku letihlah.”

“Letih kenapa?”

“Malaslah aku nak cakap dengan kau ni,” balas Iris dalam nada suara yang sedikit lemah. Sejujurnya, tenaganya sudah habis hendak terus berbalas kata dengan Hud. Lalu, perlahan-lahan dia tunduk. Namun belum pun sempat dia menyentuh kasut Hud, Hud pantas bergerak ke sisi kiri.

“Kau cuba buat apa ni Iris?” Hud beriak tegang dengan nada sedikit keras. Terkejut dengan tindakan Iris yang tak diduga.

Pantas Iris berdiri, namun kerana terburu-buru, gerakkannya tersasar sedikit. Mujur lengannya pantas dipaut Hud, lantas dipegang erat. Jika tak, tentu dahinya selamat mencium lantai. 

“Kau ni kenapa Iris?”

“Aku letihlah Hud,” ulang Iris sekali lagi. Lemah nada suaranya. 

“Takkanlah letih sampai nak jatuh?”

“Kepala aku sakit.”

“Apa?”

“Aku ngantuk nak tidur.”

“Nak tidur?”

“Perut aku berbunyi, aku lapar.”

Melihat kerut di muka Iris, dahi Hud ikut berkerut. Tak mengerti mana satu yang menjadi masalah terbesar Iris ketika ini. Letih? Ngantuk? Lapar? Tapi bila melihat keadaan Iris yang sedang memejamkan mata rapat-rapat walaupun dalam keadaan berdiri, dia merasakan ketiga-tiganya sama besar.

Tapi soalnya, Iris hendak melakukan mana dulu?

“Aku nak ayam goreng McD.” Itu yang terpacul di mulut Iris.

“Kenapa kau nak makan benda alah tu masa-masa macam ni?”

“Aku macam dah lama sangat tak makan ayam goreng McD. Aku rasa aku rindu,” balas Iris. Matanya dibuka seketika sebelum dipejamkan kembali.

Untuk jawapan Iris yang tak diduga itu, Hud terasa seperti hendak mengetuk kepala Iris kuat-kuat, biar lebam biru. Tak faham, macam mana Iris boleh rindukan McD sedangkan mata Iris tertutup rapat. Jelas sangat yang mata Iris lebih perlu diambil perhatian dibandingkan perut.

“Lebih baik kau pergi tidurlah. Dah teruk sangat kau ni aku tengok.”

Tangan Iris yang masih dipegang, dilepaskan. Kemudian dia menolak belakang badan Iris. Yang mana satu Iris hendak buat dulu, dia tak peduli kerana bukan urusannya. Dia pun hendak membersihkan dirinya. Rimas dengan baju Melayu putih yang masih membalut tubuh. Walaupun kain yang dipilih mamanya selembut sutera, tetap juga dia rasa tak selesa. 

“Aku nak makan dululah.”

Iris buka mata yang masih berat. Dia memandang tepat ke arah katil yang seperti memanggil-manggil. Ikutkan matanya lebih perlu dibelai dibandingkan perut, tapi mengenangkan Hud juga ada di dalam bilik yang sama, dia akan bertahan.

“Tapi aku nampak kau macam dah tak boleh buka mata dah tu.”

“Tak apa aku boleh tahan lagi.”

“Kejap lagi kau jatuh kalau kau terus berjalan,” ujar Hud tanpa perasaan.

“Memang kau doakan aku jatuh, kan?”

“Gila!” ejek Hud pada Iris. Malas menunggu balasan kata daripada Iris.

Dia memanglah tak suka pada Iris tapi tak juga dia mendoakan yang bukan-bukan untuk Iris. Sekurang-kurangnya, bukan hari ini. Hari lain dia tak berani berjanji kerana di kepalanya ada 1001 idea yang perlu dilaksanakan.

Yang pasti, hidup Iris selepas ni memang tak akan mudah lagi. Tunggulah Iris, desis hati kecilnya.

READY FILE. Berminat boleh klik ORDER HSI



MELEPASKAN RINDU

March 17, 2021

Bila mana jejari tak runcing ni tergerak hati nak menulis sesuatu, tapi akhirnya tulis padam tulis padam dan begitulah seterusnya sampai N3 ni terhasil. Jujurnya tak tahu nak menulis apa. Entahkan skill menulis dah tak ada, entahkan terlalu banyak yang nak ditulis sampai tak tau mana satu yang perlu diluahkan dulu, mana satu yang tak perlu pun nak disingkap untuk entah tatapan siapa.

Tapi ya... inilah dia N3 pertama lepas berapa kurun sepi tanpa berita. Bukan tak ada cerita. Bukan juga terlalu sibuk mengalahkan PM. Ada dan insya-Allah masih ada walaupun kadang terasa juga macam tak ada walau masih ada.

N3 yang pening ya? Haha! Aleya Aneesa dan kepeningan memang berpisah tiada. Dulu kini dan mungkin selamanya beginilah kejadiannya. Tak apa dan tak apa-apalah, asal saja tak susahkan hidup orang lain. Hidup sendiri? Hem... sendiri yang hidup, maka sendirilah yang menanggungnya sampai akhirnya.

Gitu!

Sebenarnya saya tau zaman blog ni dah lama berlalu, walau suatu ketika dulu pernah gagah. Tapi nak lenyapkan blog ni terasa sayang yang amat. Almaklumlah, di rumah yang makin usang ini tersimpan banyak suka duka saya, keluarga yang sangat-sangat saya sayang, kawan-kawan yang datang dan pergi begitu saja dan dunia penulisan yang dah makin jauh saya tinggalkan.

Bukan tak minat lagi menulis. Bukan juga hati tak rindu. Tidak sama sekali! Biar bertahun tak menulis novel, tapi cinta saya pada dunia penulisan tak pernah pudar biar bibir menipu mengatakan saya dah terlalu penat menulis. Seorang penulis, tak mungkin ada perasaan sebegitu. Tapi yalah, kadang sekadar nak menutup mulut dan pengharapan pada yang masih berharap. Dan jauh, sangat jauh dalam hati... saya berharap akan ada hari dan masanya, jejari saya dapat kembali menari di atas keyboard melakarkan sebuah kisah yang dalam manis ada masamnya, dalam kelat terselit madu. Bahkan tentu aje, dalam tangis ada tawa dan begitu juga sebaliknya. 

Saya kan, terkenal dengan gelaran penulis Ratu Air Mata. Walau saya rasa dan fikir, kisah saya tak sedih. Eh, tetap juga ada yang nangis, sampai bengkak-bengkak mata pun ada. Entahlah! Apa yang saya tau, saya cuba memberikan yang terbaik untuk pembaca yang saya sangat sayang, walau saya akui, nak memuaskan hati semua orang itu tak mungkin mampu saya lakukan.

Kadang, A kata ok sangat. B kata bolehlah. C kata pula ko. Kemudian D muncul dengan pandangan tersendiri. Pendek kata, lain padang tentu saja belalangnya lain.

Apa pun, saya harap satu hari yang belum pasti, saya akan dengar atau lihat di mana-mana, “Eh... Aleya Aneesa ada novel barulah! Dan untuk yang tersinggah di sini, marilah mendoakan hari itu sampai ya.

Salam Sayang,

Aleya Aneesa, 17/3/2021


SABUN HANDMADE ALEYA ANEESA

January 18, 2019



Masa berubah, manusia berubah. Mungkin daripada jahat kepada baik, atau daripada baik kepada jahat. Tapi eh... janganlah jadi jahat. Teruk sangat kalau sampai jadi macam tu. Selebihnya, doa dan berdoalah biar yang baik-baik aje didatangkan pada kita.

Bercerita tentang perubahan, sebenarnya yang berubah saya. Minat saya. Keinginan saya. Impian saya. Yang paling ketara, daripada seorang tukang karut, terjun menjunam kepada tukang sabun. Lari 360 darjah kan?

Bukannya dah tak minat menulis. Minat dan sangat minat! Barangkali, minat tu tak akan pernah hilang sampai saya menutup mata. Tapi kerana menulis itu tak boleh dipaksa-paksa, maka untuk masa ini dan mungkin untuk masa yang sangat panjang, saya berhenti dulu. Bukan salah masa, bukan salah komitmen yang saya galas. Bukan! Saya bukan jenis salahkan lantai yang senget bila gerak tari saya sumbang mambang.

Hakikatnya, memang saya tak mampu menulis untuk saat ini. Jadinya, diam-diam saya mula beralih arah. Saya buat apa yang saya fikir mampu menggembirakan dan membahagiakan saya sebab saya selalu percaya, gembira dan bahagia itu pilihan. Kita yang menciptanya dengan ilham daripada ALLAH. Saya tak nak seksa diri sendiri demi orang lain. Bukan tak sayangkan pembaca novel saya, saya sangat sayang kerana tanpa mereka, ALEYA ANEESA bukan sesiapa. Mungkin cuma seorang penulis yang hanya boleh menulis sebuah diari, mencatat cerita perjalanan hidup sendiri dan kemudian, juga dibaca sendiri.

Terima kasih, korang semua! Semoga setiap sokongan yang korang beri pada saya, ALLAH balas dengan seribu kemanisan di dunia dan di akhirat kelak. Hendaknya, sokongan korang pada saya tak akan pernah berhenti walaupun sekarang saya jadi tukang sabun.

Ya, memang sekarang ni saya gila menyabun aka buat sabun. Hati saya selalu teruja setiap kali saya keluarkan sabun-sabun yang jari-jemari gemuk saya buat daripada acuan. Berkobar-kobar sama macam setiap kali tengok novel baru saya terbit. Bahkan berdetak-detuk debaran jantung bila saya curahkan cairan sabun yang memekat ke dalam acuan. Menambah warna dan bau yang harumnya semerbak, kekadang buat saya rasa khayal. Belum ditambah dengan corak yang pelbagai. Tak menentu, nampak macam bercelaru... pun tetap mampu buat senyum saya koyak sampai ke mulut.

Inilah dia... inilah dia kegembiraan dan kebahagiaan yang seterusnya dalam hidup saya. Mereka bentuk, mencorak gambaran, mencipta formula demi formula... memang kegilaan saya buat masa ini.  
 Tak tau dan selama ni memang tak pernah ambil tahu betapa proses membuat sabun itu tak semudah membuka balutan sabun, membasahkan badan dengan air dan kemudian menggosok sabun ke serata badan. Sangat payah! Tapi dek kerana payah itu, saya makin teruja dan mungkin dah sampai tahap gian. Rasa yang sama saya pernah alami sebagai pembaca dan penulis novel.

Untuk detik ini, saya dah buat beberapa jenis sabun. Antaranya tomato, beetroot, susu kambing, charcoal, yogurt, shea butter dan beberapa lagi, yang saya tau baik untuk makanan kulit ni. Terasa macam lama benar dan seksa kulit sendiri. Kesian kat dia! Dan lepas belajar buat sabun daripada orang yang memang berkelayakan, saya baru tau betapa selama ni sabun yang dijual di luar sana ada banyak bahan kimia dan terlarang. Patutlah kulit tak putih saya ni makin lama makin bermasalah.

Padan muka saya, kan?





PROJEK BARU ALEYA ANEESA

September 21, 2018


Bukan hati tak teringin, bukan masa begitu cemburu, atau keadaan mengekang keinginan. Tidak dan tidak! Saya juga tak nak menyalahkan sesiapa sebab memang tak ada sesiapa pun yang bersalah. Memang sejak bergelar Mrs. Eskandar segala-galanya jadi berubah. Yang paling ketara, jari-jemari gomoks ni macam merajuk tak berkesudahan. Puas diketik-ketik kat keyboard, tapi yang mengalir cuma rasa hampa. Mungkin, terlalu lama berehat maka semuanya jadi serba tak kena.

Atau... jeng, jeng! Mungkin untuk masa ini ada benda lain yang lebih mengujakan saya. Ya, itulah dia! Lately ni saya macam seronok gila menyabun aka membuat sabun sendiri. Dan kerana kegilaan yang betul-betul gila tu, saya sanggup bayar sana bayar sini demi mendapatkan ilmu. Cumanya, untuk saat ni semuanya saya belajar dalam kelas online dan setakat ni dah beberapa jenis sabun berjaya saya buat dengan jayanya. Ada kaler biru, hijau, kuning, hitam dan beberapa jenis lagi. Ada untuk kulit kering, berminyak, sensitif dan adalah yang saya tak berapa nak ingat.

Dan esok, kalau tak ada aral saya akan masuk kelas buat sabun yang harganya boleh bayar sebulan hutang kereta. Tapi demi ilmu yang bermanfaat, saya pejamkan mata menuntut ilmu dengan orang yang berwibawa biar esok-esok saya tak digelar tukang sabun internet. Saya tak akan benarkan diri digelar macam tu. Lebih daripada itu, dalam kelas tu kami bukan sekadar diajar buat sabun tapi formula dalam hal-hal berkaitan sabun dan formula itulah yang sangat mahal bagi saya. Alang-alang belajar, saya nak dari A to Z. Biar nanti-nanti saya berupaya buat formula sendiri demi diri sendiri dan orang-orang yang sudi.

Kenapa saya beralih arah? Tentulah sebab saya tau usia saya semakin meningkat dan sikit hari lagi saya bakal mereput dimakan hari. Ceh! Taklah sampai macam tu sekali. Cumanya, sekarang ni saya lebih terpanggil untuk lebih menjaga kebersihan dan kesihatan diri sendiri. Saya nak kawal bahan-bahan kat dalam sabun tu. Mana yang tak elok, saya tepis. Mana yang elok saya tarik-tarik biar rapat rapat dan terus rapat.

Lagipun bila usia makin beranjak ke depan, perubahan kulit saya jadi sangat ketara. Kering, berminyak dan kekadang tak pasti kulit jenis apa yang saya ada. Tapi biarlah, perlahan-lahanlah saya cuba buat yang terbaik. Sekurang-kurangnya, sekarang ni saya lebih tau tentang hal-hal berkaitan dengan sabun. In shaa Allah, saya akan kongsikan kepada yang teringin nak tau. Tapi dalam masa yang sama, saya still berdoa yang satu hari nanti saya dapat kembali menarikan jari-jemari saya dalam dunia penulisan novel. Em... dah dulu ya. Sayonara!

Salam sayang,
Aleya Aneesa aka Miss Writer’s Block

TERIMA KASIH KERANA MELAHIRKAN ENCIK, MAK!

July 10, 2018


7 Julai 2018! Ya, masih lagi cerita 7 Julai 2018. Ada apa yang sebenarnya dengan 7 Julai 2018? Hem... dah tentulah ada sesuatu selain daripada Majlis Pertunangan Umi aka adik ipar saya. Sebenarnya, pada tarikh yang sama, 64 tahun dulu mak mentua saya aka mak Encik selamat dilahirkan ke dunia ni.

Jujurnya, saya dah wish pada mak secara bertentang mata. Saya kata, Selamat Hari Lahir Mak. Semoga mak panjang umur, murah rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan selalu dirahmati Allah. Dan doa tu kemudian diaminkan Encik, ayah mentua dan kakak ipar saya. Hendaknya semua doa tu dikabul DIA.

Tapi sebenarnya, yang tak tersebut dek lidah tak bertulang saya ni, saya nak cakap pada mak mentua saya macam ni, “Terima kasih mak sebab dah lahirkan Encik ke dunia ini. Tahniah, sebab mak dah melahirkan anak yang sangat baik di mata dan hati saya. Saya syukur sebab dialah jodoh saya, mak.”

Untuk mak, semoga yang baik-baik aje yang didatangkan Allah selepas ini. Doa saya untuk mak, in shaa Allah tak akan berhenti.

SELAMAT BERTUNANG, UMI!

7 Julai 2018, alhamdulillah majlis pertunangan adik ipar saya, Umi berjalan dengan lancar seperti yang dirancang kami sekeluarga. In shaa Allah tak ada aral melintang, November 2018 nanti, satu-satunya bunga yang tinggal dalam keluarga kami bakal bergelar isteri orang. Hoyeh... saya sangat gembira!

Dan saya, sebelum bertunang 3 tahun dulu selalu fikir satu-satunya dugaan orang bertunang, orang ke-3. Tapi salah! Orang ke-3 cuma salah satu daripada 1001 sebab yang ada dalam dunia ni. Ada banyak lagi sebab dan sebab-sebab itu lebih dahsyat daripada dugaan orang ke-3. Kenapa saya tulis macam ni? Hem... tentulah sebab saya pernah bertunang dan syukur, kami tak diuji dengan kehadiran orang ke-3. Kalau tak, entahlah!

Ya memang tak ada orang ke-3 dalam hidup kami ketika itu dan hendaknya biarlah sampai mati, tapi dugaan untuk kami tetap ada dan dugaan itu ternyata lebih hebat daripada dugaan orang ke-3. Apa dia? Biarlah jadi rahsia kami berdua dan in shaa Allah kami akan bawak hingga ke akhir hayat. Cukuplah saya kata, 2 bulan terakhir sebelum bertukar status bujang kepada isteri/suami orang, depan orang kami senyum, kami ketawa tapi hati kami nangis. Dan belakang orang, kami nangis dan terus nangis sampai akhirnya, alhamdulillah... 18 Mac 2016, kami selamat dinikahkan. Syukur, sampai ke saat ini kami bahagia, bukan... kami sangat bahagia. Doa kami di setiap akhir solat, biarlah ikatan perkahwinan kami kekal bersambung hingga ke Jannah.


Untuk Umi, bertahan dan bertabahlah sepanjang menjalani tempoh 4 bulan ni sebab dugaan untuk Umi dan GG, akak yakin akan ada. Hendaknya, Umi dan GG tak mudah mengalah walau apa pun yang bakal terjadi. Doa akak, Umi dan GG akan berbahagia dan bergembira hingga Jannah. 






SALAM 2018 YANG BARAKAH

July 6, 2018

N3 pertama di tahun yang telah melepasi separuh perjalanan. Macam tak kena pun ada rasanya. Tapi biarlah, terlanjur mood nak menconteng sesuatu datang, saya layankan aje. Tak salah dan tak mungkin jadi kesalahan. Itu saya pasti! Yang saya tak berapa pasti, ada lagi ke yang sudi jengah rumah yang sangat-sangat usang ni? Mungkin ada dan mungkin juga tak ada.

Tapi tak kisahlah, yang penting ada usaha menconteng. Hari ni! Esok lusa belum pasti sebab masa sekarang ni begitu cemburu. Jenuh dipujuk-pujuk. Eh… dia tak datang-datang juga. Sudahnya, biarlah sebab sesuatu yang dipaksa biasanya tak menjadi. Kalau jadi pun, entah apa-apa hasilnya. 

Dan… ini pun sedang dikejar masa. Jadinya, berhenti dulu. Ada umur, ada rezeki, muncul lagi. Untuk yang masih setia, terima kasih. Untuk yang dah tak setia, tak apa-apa. Bukan salah sesiapa bila jari-jemari gemuk saya ni kian hari, kian malas bekerja. Adios!

AKU MILIKMU (PERTAMA, 2005)

September 15, 2017


Wairah mempunyai kekasih bernama Aizam. Mereka sudah lama berkawan sejak kecil lagi. Hubungan itu telah diketahui oleh ibunya tetapi ayah Wairah tidak setuju dan minta Wairah memutuskan hubungan dgn Aizam. Pelbagai cara ayahnya lakukan utk memisahkan mereka hinggalah pada suatu hari Aizam telah ditangkap berkhalwat dgn gadis bernama Lin. Hancur hati Wairah bila mendapat tahu berita itu.

Akhirnya, wairah membuat keputusan utk ke Kuala Lumpur dan menetap di rumah sepupunya bernama Anisyah. Anisyah telah bertunang dgn Nasir dan nasir mempunyai seorg kawan karib bernama Ikhmal. Sebaik saja Ikhmal memandang wajah Wairah, dia sudah mula tertarik. Namun bagi Wairah, hatinya telah tertutup utk lelaki.

Pelbagai cara dilakukan oleh Ikhmal utk memikat hati Wairah dan pada masa yg sama kekasih lamanya, Aizam datang menagih kasih. Seringkali dia menelefon menyatakan hasrat hatinya. wairah bingung memikirkan. akhirnya dia membuat keuptusan melanjutkan pelajaran ke luar negara tanpa pengetahuan Aizam dan Ikhmal. biar kedua-duanya tak dapat.

Setelah 3 tahun menuntut ilmu, Wairah pulang ke tanah air. Kepulangannya disambut oleh seorg lelaki. siapa lelaki itu? Adakah lelaki itu Adnan, ayah Wairah atau aizam mahupun kamal?

APA INI?

September 14, 2017


Hem... nilah yang dinamakan sebuah perjuangan. Perjuangan seorang isteri. Perjuangan seorang anak. Perjuangan seorang menantu. Perjuangan seorang kakak. Perjuangan seorang adik. Dan antara semua itu, saya melihat banyak impian. Semoga ALLAH kabulkan...

CINTA BERALIH ARAH

August 14, 2017

Salam dan Hello, hello, hello. Lama tak jumpa ya? Hem… macam pernah jumpa pun kan? Tak kisalah! Cuma nak bagitahu walaupun orang mungkin tak nak tau. Kahkah! Lepas ni, kononnya nak cuba rajin-rajinkan jari-jemari gumuks ni untuk tulis n3 kat sini. Maklumlah, dah lama benar blog ni sendu dengan cerita. Tuanya bukannya sibuk tapi saja buat-buat sibuk dan kadang-kadang menyibuk. Hoho!

Dan cerita hari ni... tak ada apa yang penting sangat pun. Tapi tajuk n3 ni dahsyat tak? Kan? Tapi jangan risau, tak ada kaitan dengan yang hidup mahupun yang dah pun meninggal dunia. Saya saja buat gempak dan gempar.  

Cinta beralih arah tu, tak merujuk pada orang. Cuma merujuk pada apa yang menjadi rutin pemakaian atau penggunaan barang-barang seharian. Yelah, lately ni banyak produk kecantikan di pasaran sampai tak tahu mana yang ok dan mana yang tak ok. Mana yang sesuai dengan kulit kita dan mana yang tak sesuai dengan kita. Apalagi kulit muka saya yang sangat sensitif ni. Pantang silap sikit, kering kat hujung bibir kiri dan kanan. Kat tepi-tepi hidung pula, menggelupas kulit. Tak lama lepas tu, kedua-dua bahagian yang sensitif tu bertukar lebam. Dan saya pun, nangis laju-laju tepi bucu katil sampai  lebam tu pulih dengan sendirinya, beberapa hari atau beberapa minggu kemudian. Cari produk lain, kesannya sama dan sama dan sama sampailah jumpa 1 produk ni. Pencuci tak sesuai dengan muka saya tapi krimnya, serasi bersama gitu. Lama guna sampailah ada khabar angin kata produk tu ada bahan sekian-sekian dan saya nangis lagi kat bucu katil meratapi nasi. Adeh... saya tipu!

Tapi jujurnya, lepas dapat berita yang tak pasti sahih ke tak sahih tu saya terus stop pakai. Kulit saya memang sangat-sangat sensitif, saya tak berani nak ambil sebarang risiko. Cukuplah sejak habis belajar kat universiti sampai kerja kat sini, mungkin 2 ke 3 tahun juga saya ulang-alik semata-mata nak buat rawatan muka. Sakitnya, ya... ampun! Jerawat kena picit, kena laser lagi! Duit yang terbang, kalau kumpul-kumpul dah boleh beli iPhone 7 beberapa bijik agaknya. Tapi akhirnya, muka saya jadi elok balik dalam tahun 2006. Syukur!

Dan sekarang saya ambik keputusan untuk beralih arah demi kesihatan muka sendiri. Hari ni... masuk hari ke-5 saya guna sabun tu. Setakat 5 hari ni, dengan izin ALLAH kulit saya macam ok-ok aje dan saya sangat puas hati. Tak kering, tak gatal-gatal dan tak menggelupas macam kebanyakan produk yang saya pakai untuk pertama kali sebelum-sebelum ni. Bukan juga produk-produk tu tak bagus, kulit saya aje yang manja tak menentu.

Selain sabun tu, saya ada guna serum untuk muka manja saya ni. Kenapa saya tetiba pakai serum ni? Tentulah sebab faktor umur saya yang dah makin meningkat, hampir bongkok tiga. Perlahan-lahan, kulit saya macam mula dibayangi jeragat. Uwaaa! Saya sangat susah hati dengan jeragat tu walaupun makan saya tetap kenyang macam selalu. Makin lama, yang saya nampak, jeragat mula makin jelas. Oh... saya nangis belakang almari sebab sedih. Kulit saya dah mula teruk. Hehe! Dan hari ni, masuk minggu ke-4 saya gunakan serum tu. Alhamdulillah... saya nampak ada perubahan pada muka sendiri. Hari-hari saya asyik jeling cermin. Rasa tak percaya, tapi memang jeragat dah makin pudar daripada sebelum ni. Saya happy dan saya akan teruskan pakai serum ni sampai puas hati walaupun kesannya mungkin tak sepantas serum yang ada kat pasaran tu.

Sebenarnya, sabun dan serum tu dibuat sendiri aka homemade aka organik. Tak ada nombor KKM dan semua sijil bagai, tapi in shaa ALLAH selamat digunakan sebab tak ada bahan kimia, pewarna dan yang seangkatan dengannya. Tapi halal! So, saya cakap awal-awal ya, bagi yang memerlukan sijil-sijil tu semua sebelum gunakan kat muka, maaf... korang tak sesuai untuk sabun dan serum ni. Sila cari di ‘rumah’ lain. Cuma sesuai untuk yang nak beralih arah daripada produk yang mempunyai pelbagai bahan yang kita tak tahu apa kepada produk organik. Atau, yang dah cuba macam-macam tapi masih tak selesai masalah yang dihadapi. Cubalah, manalah tahu... ini yang korang perlukan, pun dengan izin ALLAH juga.

Apa nama produk tu, tunggulah dulu! Bagi saya praktikkan kat muka sendiri dan beberapa orang terdekat dengan saya, ala-ala mencari testimoni gitu sebelum mula merakus. Ecececeh! Kalau betul sesuai, in shaa ALLAH saya akan bercerita lebih lanjut untuk dikongsikan dengan semua. Biar sama-sama dapat memuaskan hati dan muka sendiri. Kalau tak sesuai, biarkan habis takat kat sini aje sebab dah tak ada point penting untuk dikisahkan.  Saya tak nak aniaya orang!

Okey, sampai sini dulu ya. Jumpa lagi. Adios!