- QiEsYa NuRqAsRiNa. SeLaMaT dAtAnG -

November 16, 2011


- Sorry ya Mak Tam, Qiesya tak diet lagi, sebab tu nampak macam kembang. Nanti, Mak Tam & Qiesya, kita diet sama-sama ya sebab masa dalam perut Qiesya selalu dengar abang panggil Mak Tam anak gajah. Dan lagi... sorry juga sebab Qiesya pakai lipstik lebih tebal daripada Mak Tam. Qiesya cari juga lipstik warna pink, tapi tak ada sebab tu pakai warna maroon ni -

Kalau dia dah boleh berkata-kata, dia mesti cakap macam ni, “Hai... semua! Nama saya Qiesya Nurqasrina. Umur saya, tak sampai sehari lagi. Saya dilahirkan di Hospital Besar Ungku Tun Aminah, Johor Bahru. Berat saya 3.4 kg dan masa lahir saya pukul 1.00 pagi. Nama mama saya Mazlina Saaban, nama papa saya Hasrul Wahab dan nama abang kesayangan saya, Mohammad Aqqif Najmie. Saya ada seorang mak cik yang comel [mak cik perasan] nama Marwati Wahab atau Aleya Aneesa, tapi saya panggil dia Mak Tam. Saya juga...”

Sayangnya, dia masih tak boleh berkata-kata [kalau dia boleh bercakap, memang dia bayi ajaib] dan satu hari nanti, insya-ALLAH dia akan berkata-kata dan akan tumbuh menjadi anak manis yang akan menjadi penyejuk di mata dan penyeri di hati, bukan hanya bagi keluarga, tapi pada seluruh yang ada di muka bumi ini, yang tentunya akan saling berkaitan dengan hidupnya.

Syukur alhamdulillah, ibu dan anak selamat dalam proses melahirkan dan kelahiran. Dan bagi saya sebagai kakak ipar dan mak cik, tak ada yang lebih penting daripada itu. Ketika melihat nama adik ipar saya terpapar pada skrin telefon malam tadi [bermaksud pagi], saya dah senyum kerana saya dapat agak apa yang mahu disampaikan. Bila mendengar suara adik saya, saya ketawa perlahan. Saat adik saya sebut, “Girl”, saya hanya membalas dengan sebutan, “Alhamdulillah”. Syukur kerana kedua-duanya selamat, syukur kerana segala-galanya dipermudahkan dan syukur kerana impian adik saya mahukan anak perempuan kali ini sudah tercapai. Tapi katanya, kalau diberikan anak lelaki sekali lagi pun, dia tetap bersyukur kerana tiap anak itu adalah anugerah dan setiap satunya pembawa rezeki tersendiri.

Untuk QIESYA NURQASRINA, SELAMAT DATANG ke dunia yang penuh dengan warna-warni ini. Bila besar nanti Qiesya akan kenal dengan sepak terajang dunia. Qiesya akan jatuh dan bangun berkali-kali. Tapi Mak Tam harap Qiesya akan kuat, akan jadi seteguh karang kerana dunia ni bukan tempat orang yang lemah, sayang. Bila kita lemah, kita akan mudah dipijak orang. Untuk Mohammad Aqqif Najmie, tahniah sebab Aqqif sekarang dah jadi abang. Mak Tam harap Aqqif akan jadi abang yang paling best dalam dunia untuk Qiesya, abang yang akan selalu ada untuk Qiesya. Kalau Qiesya kena kuat, Aqqif juga harus lebih kuat sayang kerana Aqqiflah yang akan menghulurkan tangan setiap kali Qiesya jatuh tersadung akar. Untuk anak-anak yang lain, Kakak, Adik, Danish, Naqib, Arissa, Awish & Umaira, doa untuk kalian tak pernah tak ada. Moga kalian semua [9 orang] akan jadi anak-anak yang membanggakan keluarga.

- MaLaM yAnG sEpI... pIpI...-

November 14, 2011

Salam dan selamat malam pada yang belum tidur dan mungkin bakal tidur beberapa detik lagi. Tak kiralah pukul berapa kalian tidur, saya berdoa dan berharap kalian akan mendapatkan mimpi yang indah-indah dan lebih penting daripada itu, kalian akan mendapatkan tidur yang berkualiti. Sedangkan saya sendiri tak ingat dan tak tahu bila agaknya kali terakhir saya mendapatkan tidur yang berkualiti kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya sedar saya tidur dan saya lebih sedar yang saya tak pernah tak terjaga ketika tidur. Kadang-kadang saya terjaga selepas 30 minit saya tidur, kadang-kadang selepas 1 jam, kadang-kadang setiap satu jam, kadang-kadang saya terjaga lima kali sehari, kadang-kadang 4 kali dan kadang-kadang saya langsung tak dapat tidur sampai ke pagi. Hanya berpusing ke kanan dan ke kiri dengan rasa resah dan gelisah. Maklumlah, otak dah kata nak tidur, tapi mata enggan terpejam [sebenarnya otak yang masih mahu bekerja]. Dan saya dah lali dengan keadaan itu dan disebabkan itu juga saya sangat menghargai waktu tidur dan saya sangat suka tidur. Tapi seumur hidup saya, saya tak pernah ambil ubat tidur dan tak berharap untuk mengambilnya.

Okeylah, saya tinggalkan soal tidur saya yang bermasalah. Malam ni saya sekadar mahu menconteng apa yang mahu saya conteng. Tak ada kisah penting pun sebenarnya, hanya jari-jemari gemuk ini [tak runcing] terasa nak menconteng sesuatu di sini, di blog kesayangan saya. Ya… dibandingkan blog dan fb, saya memang lebih sayangkan blog yang ada masa-masanya meriah dengan conteng-contengan saya dan ada masa-masanya pula usang bagaikan tak berpenghuni. Bukannya tak ada tuan rumah, ada dan selalu ada. Hanya tuan rumah lebih selesa menyorok di dalam rumah semata-mata sebab tak ada jiwa nak menconteng.

Bila saya kata saya lebih memilih blog dibandingkan fb, saya kelihatan seperti pilih kasih kan? Ya, saya pun rasa macam tu juga! Tapi nak buat macam mana bila rasa sayang, rasa suka, rasa kasih dan rasa cinta itu datangnya begitu-begitu saja. Tak perlu dipaksa dan tak akan ada yang mampu memaksa, sama macam kita tak suka atau kita bencikan seseorang yang sebenarnya tak ada salah atau masalah dengan kita. Dan saya percaya, semua rasa itu adalah anugerah, tak kira rasa yang positif mahupun negatif. Hanya kalau boleh, rasa negatif tu janganlah dihadirkan dalam jiwa kita. Kalau masih dihadirkan juga, pandai-pandailah kita mengatasinya.

Cara saya menulis macam orang baik-baik aje kan? Tapi sebenarnya, saya bukanlah baik benar [tapi saya juga bukan orang jahat ya]. Saya manusia yang banyak kekurangan dan boleh dikatakan kerap melakukan kesalahan dalam hidup. Sehabis tenaga pun saya cuba mengusir sikap dan sifat buruk dalam diri saya, tetap juga ada. Hanya jahat saya tak adalah sampai mencuri, merompak, membunuh dan yang sewaktu dengannya. Tapi kalau diberi pilihan, saya lebih memilih mempunyai sikap dan sifat yang baik jika dibandingkan dengan sikap dan sifat yang buruk.

Duduk-duduk di Rumah Pink sambil ditemani TV [saat dan ketika ni, saya sebenarnya sedang menanti tayangan Hawaii Five-0 (S2) kat AXN – episode pertama hari ni], sambil menyanyi lagu kanak-kanak [MALAM YANG SEPI... PIPI, Pak Mat jual nasi...], saya teringat apa yang saya tanyakan pada kawan baik saya, Diana petang tadi, petang sebelum kami berdua menyaksikan teater kanak-kanak yang berjudul “Sang Kancil dengan Gergasi” di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka. Syabas buat adik-adik yang telah menjayakan teater tersebut. Sekolah mana, saya sungguh-sungguh tak ingat. Tapi yang pasti, saya sungguh-sungguh terhibur dan kagum dengan bakat yang ditunjukkan mereka semua. Saya percaya suatu hari nanti, adik-adik inilah yang akan memastikan tanah air tercinta kita ni akan terus maju dan makmur seiring dengan dunia di luar sana.

Balik semula apa yang saya bualkan dengan Diana. Saya tanya dia, “Antara burung dengan rama-rama, mana yang lebih cantik?”. Diana kata, “Saya selalu jumpa dengan rama-rama yang warnanya kusam.” Saya kata, “Masa kecil-kecil dulu, kita jumpa dengan rama-rama yang berwarna-warni.”

Ya… satu ketika dulu, ketika saya masih anak-anak hingusan [sekarang pun berhingus juga sebab selesema], saya dan sepupu-sepupu saya memang suka tangkap rama-rama dan belalang kunyit juga belalang padang. Saya tangkap guna penyeduk [alat yang digunakan untuk menangkap udang] pak cik saya yang saya ambil secara diam-diam. Banyak rama-rama yang kami tangkap, kemudian letakkan dalam plastik. Mula-mula rama-rama tu nampak cantik sangat tapi lama-kelamaan rama-rama tu keras dan kaku sebab tak boleh bernafas sebabnya, ada masa-masanya kami buat lubang pada plastik tu tapi kadang-kadang kami lupa. Jahatnya saya dulu sebab jadi ‘pembunuh’. Tapi masa tu, saya bukannya bijak benar. Yang ada dalam kepala saya, rama-rama tu cantik dan bila dah cantik, haruslah ditangkap dan disimpan. Tapi kalau tindakan saya kejam, saya tau masih ada yang lebih kejam sebab saya pernah tengok rama-rama yang sengaja diawetkan dan dibingkaikan cantik-cantik untuk dijadikan perhiasan. Saya bunuh sebab saya kecil dan otak tak berapa berkembang [ayat bela diri betullah awak ni Aleya Aneesa @ Marwati Wahab], tapi saya percaya yang membingkaikan rama-rama itu tentu aje orang dewasa yang punya akal yang lengkap.

Itu rama-rama, belalang kunyit pula, saya tanggalkan ketingnya sebab keting tu biasanya akan menyebabkan jari-jemari saya luka. Belalang padang pula saya tak tahu apa yang saya buat dengannya, yang pasti saya tak makan ya. Tapi betul, saya suka tangkap belalang padang dengan tangan. Kadang-kadang dapat tangkap, kadang-kadang pula tak dapat tangkap langsung. Tak cukup dengan rama-rama, belalang kunyit dan belalang padang, saya juga tangkap berudu dan macam-macam lagi, kecuali ulat dan seluruh ahli keluarganya. Maaf ya haiwan-haiwan kecil, kalian sangat comel. Tapi maaf, dulu tu… saya bodoh sikit, tak macam sekarang!

Jahat kan saya masa kecil? Atau sebenarnya nakal? Tapi itulah saya, saya yang membesar dengan sungai dan hutan yang tak begitu tebal. Sakit dan luka masa tu, memang tak ada apa-apanya bagi saya. Tiap kali jatuh tersadung akar, saya bangun [akar sebenar, bukan akar yang bermaksud sepak terajang dunia]. Budak kampung, kalau mudah mengaduh memang tak layak digelar budak kampung. Dan seiring dengan putaran waktu, saya membesar macam anak-anak yang lain. Sedikit demi sedikit kenakalan zaman anak-anak saya tinggalkan begitu saja, zaman yang banyak mengajar saya supaya jadi kuat, sekuat tangan kecil saya yang bergayut macam tarzan pada dahan pokok getah di atas bukit. Mujur yang jatuh ke bawah sampai patah tangan kanan sebab dahan patah, kawan saya, bukan saya. Mujur juga turn saya jadi tarzan masa tu dah lepas. Kalau tak mesti abah saya tambah lagi kesakitan saya bila dah baik [orang tua kan memang macam tu, walaupun abah saya bukanlah jenis pantas tangan]. Dan bila satu hari saya balik didukung mak usu saya sebab kaki saya disengat ikan, tak pulak abah saya tambah dengan mencubit atau memukul saya, sebaliknya cepat-cepat saya dibawa ke klinik. Tapi saya bukannya jenis cepat serik, esok-esok saya buat lagi.

Sekarang… kenangan tu dah berpuluh-puluh tahun saya tinggalkan, tapi segala-galanya masih segar dalam ingatan, walaupun saya akui ada yang kian hakis kerana faktor usia yang makin meningkat. Hendaknya kalau umur panjang, saya masih berharap saya masih mampu mengingatkan kenangan-kenangan manis zaman kanak-kanak, biarpun untuk masa 10, 20 atau 30 tahun lagi supaya saya dapat kisahkan segala-galanya pada orang-orang yang dekat dengan saya kelak. Biar mereka mengambil iktibar dan pengajaran atas apa yang pernah saya lalui dulu. Dan lagi, sekarang ini saya tak pernah lagi tengok budak-budak tangkap rama-rama, belalang ataupun main sungai. Sangat rugi!

- 11.11.11, KeSiAn AdIkKu SaYaNg -

November 13, 2011

11.11.11, cantikkan tarikh tu? Ada orang kata, tarikh tu tarikh keramat. Tapi saya tak percaya, bagi saya, tarikh hanyalah sekadar tarikh semata-mata. Kalau dah namanya hanya tarikh, mana mungkin dapat mempengaruhi hidup manusia sebabnya hidup mati kita di dunia ini ditentukan DIA YANG SATU. Mahu yang buruk-buruk untuk hidup kita, maka buruk-buruk jugalah yang akan kita dapatkan. Tapi soalnya, siapa yang hendak yang buruk-buruk berlaku dalam hidupkan? Kalau ada juga, tak tahulah saya nak kata apa pada orang itu.

Jika mahu yang baik-baik berlaku dalam hidup, kita mintalah pada DIA kerana hanya DIA yang dapat memperkenankan permintaan kita. Tapi jangan pula kita meminta semata-mata hingga mengabaikan yang dinamakan usaha. Sebabnya, dalam dunia ini mana ada yang mudah kan? Apalagi jika kita mempunyai impian besar macam impian saya dalam N3, [SAYA PUN ADA IMPIAN TAU!]. Selepas berusaha macam nak rak, kita tawakal lagi kepada DIA. Dengan tawakal itu, saya percaya sama ada usaha yang kita buat akan berjaya atau gagal, sudah tak menjadi soal lagi kerana kita percaya setiap yang berlaku tentu ada hikmah yang hanya akan kita ketahui sehingga detik itu tiba.

Jadinya, saya tolak 11.11.11 sebagai tarikh keramat sebab memang tak ada keramatnya tarikh tu. Tapi saya tak menolak yang tarikh tersebut sangat cantik dan tentu aje sangat mudah untuk diingatkan oleh sesiapa saja [walaupun saya sendiri tak ingat ‘tarikh hari ini’ masa daftar sim card kat Times Square, terpejam celik mata saya sebab nak ingat sampai adik kat kaunter tu senyum simpul]. Sangat sesuai untuk dipilih untuk perkara besar dalam hidup seperti mengadakan majlis pertunangan, perkahwinan dan mungkin banyak lagi. Tapi bila dah dipilih tarikh ‘secantik itu’ dan gagal untuk diingati pada tahun depan atau tahun-tahun berikutnya, memang nak kena belasahlah kan?

Dan berbalik kepada tajuk N3 di atas, 11.11.11, KESIAN ADIKKU SAYANG, memang kesian kat adik pertama saya yang bernama HASRUL tu. Sebenarnya sepanjang hari Jumaat tu, saya menunggu-nunggu juga khabar gembira dari Johor Bahru. Masuk aje hari Sabtu, 12.11.11, saya terasa nak ketawakan adik saya tu sampai guling-guling. Nampak sangat yang adik saya tu tak ada bakat jadi Nujum Pak Belalang [tulah, tak mahu menuntut dengan saya yang pernah jadi guru pada Nujum Pak Belalang]. Saya rasa geli hati sebabnya, masa cuti Hari Raya Aidiladha hari tu, yakin aje dia kata yang anak dia [anak kedua] akan lahir pada 11.11.11. Bila orang kampung kata, orang lain dah bersalin dan ada juga yang dah pergi ke hospital sebab dah sampai masa, itu juga yang dia jawab. Kononnya, anak dia yang masih belum diketahui jantina [kalau perempuan saya suruh letak QISYA macam dalam novel AKU MAHU KAMU tu, tapi belakang bukan KHALESA] tu akan lahir tarikh tu. Sudahnya, sampai ke hari ni adik ipar saya belum bersalin walaupun sedang menunggu hari.

Apa adik saya ingat, memilih tarikh bersalin sama macam memilih tarikh nak bertunang atau nak berkahwin, walaupun memang ada tarikh jangkaan? Kalaulah boleh saya percaya tentu ramai yang dah pilih tarikh-tarikh yang mudah diingat macam 11.11.11. Sayangnya tak boleh! Mak saya kata, “Tak payah risau, sampai masa mesti keluar”. Saya pula tanya adik saya soalan yang tak berapa cerdik, “Kalau sampai 5 tahun tak keluar macam mana?”. Adik saya dengan muka blur kata, “Yang Kak Tam tanya soalan bodoh kenapa?”. Sudahnya saya ketawa besar, saya memang selalu cakap merapu bila dengan adik-beradik saya, dengan kawan-kawan pun saya suka juga cakap yang entah apa-apa macam tu.

Saya tahu dalam beberapa hari lagi, tak pun esok lusa, anak saudara saya yang ke-9 [kopaklah Mak Tam tiap kali menjelang raya, ataupun Mak Tam kurangkan jumlah duit raya tu ya sayang?] akan menjengah dunia. Hendaknya perjalanan melahirkan si emak dan kelahiran si anak, kedua-duanya akan dipermudahkan ALLAH. Harap juga DIA pelihara kedua-duanya nanti. Biarlah emak dan anak, kedua-duanya sihat hendaknya.

- SaYa PuN aDa ImPiAn TaU! -

November 11, 2011

Semua orang dalam dunia ni saya kira ada impian, kecuali anak-anak kecil sebab mereka terlalu kecil. Hendak memikirkan perkara kecil pun masih tak mampu, tak mungkin dapat berfikir impian yang besar-besar macam orang dewasa. Tapi seiring dengan masa yang beredar, anak-anak kecil itu akan tumbuh menjadi anak-anak remaja dan kemudian dewasa yang pasti ada impian yang indah-indah.

Saya pun sama, saya ada begitu banyak impian yang ada antaranya sudah pun dapat dipenuhi. Tapi ada banyak lagi yang belum jadi kenyataan kerana hakikat hidup, manusia ni sebenarnya tak pernah puas. Bila satu keinginan dipenuhi, akan ada banyak lagi keinginan lain yang datang menderu-deru. Kadang-kadang datang macam angin taufan, kadang-kadang datang macam hembusan bayu.

Dan salah satu daripada impian saya ialah mahu MEMILIKI KERETA BARU [Yang konon-kononnya berjenama luar negara]. Hanya MAHU, sedangkan KEMAMPUAN buat masa ni memang TAK MAHU. Puas saya korek-korek, tolak ke sana dan tolak ke sini, kurangkan di situ dan lebihkan di sinun [Ada ke di sinun?] pun, memang tak cukup dan tak akan cukup untuk masa terdekat ini atau mungkin juga setahun dua lagi. Mahu memejamkan mata dan redah aje, saya tak berani kerana saya bukannya jenis suka berumah di tepi pantai. Saya tak memegang prinsip, “Biar papa asalkan bergaya” kerana saya tak boleh hanya memikirkan diri saya semata-mata, ada yang lain-lain harus saya fikirkan. Mereka adalah keutamaan saya dan saya selalu memikirkan mereka melebihi saya memikirkan diri saya kerana tanpa mereka, saya tak mungkin akan menjadi saya seperti hari ini. Tak ada mereka, tak adalah MARWATI WAHAB @ ALEYA ANEESA yang bermakna tak ada juga karya-karya saya.

Macam mengada-ngada kan saya ni? Ada hati mahu kereta baru, padahal Encik Wir saya masih elok walaupun dah banyak dah usianya dan lagi, masih begitu sedikit jasanya pada saya sebab saya hanya menggunakan dia selama 1 tahun 8 bulan kebelakangan ni aje. Itu pun masih ada hati mahu menukar kereta baru.

Dulu-dulu saya sebenarnya tak peduli pun pada yang dinamakan kereta. Lepas beli Encik Wir pula, saya jadi lebih tak peduli pada kereta. Pandang kereta, saya rasa sakit hati! Apa ertinya saya peduli pada kereta kalau kereta yang ada pun saya tak boleh nak bawa? Balik-balik hanya menumpang kereta orang dan kalau dah hidup menumpang, kadang-kadang menjeruk rasa sendiri selama bertahun-tahun. Sampai masa bila dah tak tahan, terpaksa berpaling pada kawan yang lain.

Tak tahu nak tulis apa lagi. Jom... kita cuci mata sebab nak memiliki mungkin tak semudah kita membeli sebungkus kacang cap tangan kat kedai. Dan saya sendiri, MUNGKIN akan dapat memiliki salah sebuah daripada kereta tersebut [Entah bila kurun agaknya kalau dapat pun?], ataupun langsung TAK MUNGKIN sebab saya kena ukur baju kat badan sendiri. Berangan tak salah kan? Tak kena bayar pun. Kalau dapat, saya kira saya bertuah dan kalau tak dapat pun tak apa-apa. Ini cuma sebahagian daripada impian saya dan setiap impian, siapa kata akan berakhir dengan kita menggenggam impian itu kan?







- KeCuAlI dOkToR dInZleY -

November 10, 2011

Hari ni saya cuti! Eh... bukan cuti tapi MC. Kiranya ini adalah MC saya yang kedua, yang bermaksud dah 2 kali dalam tahun ni, tahun 2011, saya terpaksa menjejakkan kaki ke lantai klinik. Padahal habis aje tahun 2010 dulu, saya bertekad tak mahu berjumpa dengan yang dinamakan doktor kerana kalau boleh saya tak mahu ditimpa sakit. Tapi pertengahan puasa tahun ni nampaknya tekad hanya tinggal tekad bila Encik G atau nama penuhnya GASTRIK tanpa segan silu mendatangi saya tanpa ada sebarang alasan.

Ya... didatangi Encik G memang tak seronok langsung. Takkanlah seronok kalau sampai ada rasa-rasa nak berguling-guling sebab tak tahan. Ada juga rasa-rasa nak termuntah tapi bila pergi singki tak ada pula yang keluar. Ada pulak rasa-rasa nak meraung-raung macam orang kehilangan orang tersayang [Selalu dengar orang sebut mati laki]. Dan lebih daripada itu, ada juga rasa-rasa nak radak perut sendiri, mengambil Encik G dan memijak-mijak Encik G yang jahat itu sambil menyanyi lagu hip hop [Ya sangatlah tu nak menyanyi lagu hip hop, padahal nak menyebut perkataan hip hop terasa macam tak sampai hati aje aku ni] dengan harapan Encik G tu akan pergi dan tak akan toleh lagi ke belakang. Sayangnya, itu hanya impian. Hakikatnya, bila saya terlebih makan, terkurang makan, tak makan atau makan seperti biasa, ada masa-masanya tetap juga Encik G datang menyapa. Cuma kedatangannya taklah teruk macam hari tu dan selagi tak teruk, selagi tulah saya boleh berlapang dada dan berlega hati. Yang penting, masih mampu berdiri dan berjalan. Kalau dah sampai rasa tak mampu nak berdiri dan berjalan, saya memang takut. Maklumlah, saya kan sebatang kara di sini, menumpang pula di negeri orang [Ya-ya sangatlah kau tu!]. Tapi betul, jujurnya saya sangat takut kalau sakit di sini, walaupun saya tahu ada kawan-kawan yang mungkin akan peduli pada saya. Kalau di Johor Bahru rasa takut tu taklah banyak mana sebab ada keluarga. Saya tak malu mahu menyusahkan mereka [Benar-benar anak, adik & kakak yang jahat kan?].

Dan semalam... sekali lagi saya mencemar duli memijak lantai klinik sebab tak sihat. Rasanya sejak Selasa lagi saya dah rasa ada yang tak kena dengan diri sendiri. Terjaga tengah malam, tekak rasa sakit yang amat. Gelojoh aje cara saya minum air masak. Bila bangun pagi tetap juga rasa yang sama. Saya yakin saya Encik S atau lebih mesra dipanggil SELESEMA sebab selalunya memang macam tu. Rabu tu [semalam], saya melangkah ke pejabat dengan Encik S yang dah melekat kat hidung. Aduhai... saya sangat tak suka pada Encik S, sama macam saya tak suka pada Encik G. Tapi nak buat macam mana, Encik S nampaknya begitu sukakan saya sampaikan dihembus berkali-kali dengan tujuan menghalau pun, tetap juga tak mahu pergi. Sampai ke petang pun saya masih cuba bertahan di pejabat, walaupun terasa ada orang main pingpong dalam kepala. Balik aje terus mandi, ambil ubat dan saya terus tertidur sakan. Sedar-sedar dalam pukul 4.00 pagi. Tengok hp di ruang tamu yang saya tinggalkan macam tu aje, ada miss call, ada SMS. Saya hanya memandang tapi tak membalas apa-apa sebab dah terlalu lewat dan kepala saya pun masih tak boleh berfungsi dengan baik.

Sudahnya saya tak pergi kerja tadi pagi sebab saya tak larat. Kepala sakit, tekak sakit, hidung berair, batuk, sakit bahu dan demam bagaikan berjanji-janji datang menyerbu saya. Akhirnya, sekali lagi saya terpaksa menjejakkan kaki ke lantai klinik dengan muka berserbai sebab siap ala kadar aje. Karang kalau saya bersolek sakan, doktor pulak sakit sebab terkejut beruk [Macamlah selama ni kau jenis bersolek bagai kan?]. Lagipun saya tak laratlah nak bersolek dalam keadaan rasa tak tentu arah.

Itu pun baran juga rasa dalam hati bila doktor tak ada, katanya doktor cuma ada pukul 10.30 pagi. Saya tak faham kenapa klinik bukak pukul 9.00 pagi, doktornya pula datang pukul 10.30 pagi. Kalau bukak pukul 9.00 pagi, doktor datanglah pukul 9.00 pagi juga. Ini tak, mentang-mentanglah dia doktor, ikut suka hati aje nak datang pukul berapa. Nak datang pukul 10.30 pagi, bukaklah klinik pukul 10.30 pagi juga. Macamlah pesakit tak ada kerja nak menunggu dia aje. Kalau ada rasa nak mati, agaknya dah mati dalam klinik tu sebab menunggu doktor. Tapi sebab saya malas dah nak ke klinik lain, saya tunggu jugalah dengan hati berbuku dengan rasa geram dan sakit hati. Dan si doktor bertuah itu bukannya datang pukul 10.30 pagi, tapi pukul 11.00 pagi.

Lepas ambil ubat, saya pun balik sebab yang ada dalam kepala saya hanyalah bantal, katil dan selimut. Hati bertekad lagi, kalau boleh sampai hujung tahun ni saya tak mahu jumpa doktor lagi, KECUALI DOKTOR DINZLEY [Apa kaitan?]. Ya... ya... saya tahu Doktor Dinzley tu doktor haiwan dan lagi hanya wujud dalam novel saya, KASIH BENAR KASIH, tapi... alahai, sekali-sekala bagilah saya peluang untuk berangan sikit. Insya-ALLAH saya tak akan jatuh macam Mat Jenin sebab saya tak panjat pokok kelapa. Memang dulu-dulu saya suka panjat pokok, saya panjat pokok rambutan, jambu, manggis, mangga, getah dan banyak lagi. Tapi tak pernah sekali pun saya panjat pokok kelapa sebab pokok kelapa macam susah aje nak panjat sebab tak ada cabang-cabang. Jadinya, tugas panjat pokok kelapa saya serahkan pada MONYET secara rasminya.

Dan ketika N3 ini ditulis, demam saya dah kebah, batuk dah kurang. Hanya sakit kepala dan Encik S aje yang masih setia. Apa pun, saya harap semuanya pergi sebelum saya ke China nanti sebab saya tak larat nak menggendong mereka nanti. Tolong pergi dengan segala hormatnya ya kamu berdua...

- WuJuD kE BFF yA? -

November 9, 2011

Saya tak ingat banyak tentang zaman kanak-kanak saya, walaupun saya akui bukan semua kenangan masa tu saya dah lupakan. Ada yang masih segar dalam ingatan sampai ke hari ini dan pastinya tak akan saya lupakan sampai bila-bila sebab memang tak boleh pun kalau nak dilupakan. Hanya faktor umur yang dah makin beranjak ke depan dan faktor masa yang dah makin jauh meninggalkan saya, membuatkan banyak kenangan tak begitu penting sudah saya terlupakan.

Tapi… biar banyak kenangan dah semakin pudar daripada ingatan, biar masa semakin jauh ke depan, satu hal yang saya selalu pahatkan di hati, ikatan persahabatan itu letaknya juga di tempat yang tinggi. Hanya mungkin letaknya di tangga kedua, selepas ikatan kekeluargaan. Dan sampai ke hari ini, walau kawan saya bersilih ganti kerana saya sudah melalui banyak fasa perubahan dalam hidup sama seperti orang lain juga, saya tetap ingat pada setiap yang pernah menggelar saya sebagai kawan mereka. Ada yang saya akui, saya hanya ingat pada wajah mereka tapi tidak pada nama. Ada juga yang saya ingat nama semata-mata sedangkan wajah mereka langsung tak mampu mata dan minda saya imbas. Bahkan ada juga yang asalnya jadi kawan, kemudian tak lagi jadi kawan. Dulunya bukan kawan, kini dah pun jadi kawan baik.

Satu ketika dulu, saya mengaku yang saya pernah mengagung-agungkan sahabat dan ikatan persahabatan. Dan sekarang ini pun sebenarnya saya masih memandang tinggi pada yang dinamakan sahabat dan persahabatan kerana ikatan mulia itu bukannya boleh dijual beli semudah kita membeli ikan di pasar. Hanya kini rasa tu dah tak sama lagi kerana saya percaya dalam apa pun keadaan, perlu ada had dan batas yang tak boleh dilanggar sesuka hati. Saya dah tak mahu melanggar batas-batas had yang ada macam dulu-dulu. Cukup-cukuplah satu ketika dulu saya memegang ikatan persahabatan terlalu ketat sehingga saya lupa ada ikatan yang lebih penting daripada itu.

Lebih daripada itu, saya bukan lagi anak-anak kecil mahupun anak remaja yang baru hendak mengenal hidup kerana dalam umur sebegini, macam orang lain juga, saya dah pun melalui banyak perkara yang ada masa-masanya memang dah dijangka hadirnya, di masa yang lain pula langsung tak diduga. Jatuh dan bangun tanpa saya sedar dah pun jadi asam garam dalam hidup saya dan semua itu membuatkan saya lebih matang hari demi hari dalam menempuh sebuah kehidupan.

Itu, saya yang sudah pun hampir bongkok tiga. Bukan anak saudara saya yang baru hendak belajar hidup. Belajar untuk mengenal kawan dan dalam masa yang sama ikut kenal lawan. Tapi memandang dia, saya jadi ingat pada diri sendiri. Hendak menyalahkan dia kerana dia yang menyebabkan diri sendiri dianiaya orang dan ditikam kawan sendiri dari belakang, terasa tak adil kerana dalam seumur dia dulu, saya juga selalu menganggap kawan segala-galanya. Ditikam berkali-kali dari belakang pun, tetap juga saya akan melebihkan kawan daripada adik-beradik dan orang tua sendiri. Bagi saya, bila saya susah merekalah yang akan tampil membantu, sanggup susah dan senang bersama-sama saya. Saya lupa pada peribahasa, “carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga”, lupa pada “air dicencang tak akan putus”, lupa pada ‘cubit paha kanan paha kiri terasa” dan banyak lagi.

Tapi biarlah... yang berlaku dah pun berlaku. Walaupun anak saudara saya menangis dikerjakan kawan baik sendiri, masa yang dah berlaku tak mungkin dapat dibalikkan kembali. Mujur juga warna yang hitam dah saya putihkan walaupun sehari semalam saya mencari jalan sebab jalan yang ada bagaikan dah tertutup rapat. Satu yang saya pegang, kalau kita benar ALLAH pasti akan tolong dan sepanjang membuat ‘kerja-kerja’ pembersihan semalam, saya memang menempuhi kesukaran. Saya tak kenal kawan dia dan saya tak boleh nak cam muka kawan-kawan dia dengan baik dan saya hanya mengikut gerak rasa semata-mata. Tapi hati saya dalam masa yang sama berdetik, “Ya ALLAH... kalau anak saudara aku tak salah, tolonglah mudahkan segala-galanya.”

Dan ALLAH itu memang MAHA BERKUASA, akhirnya saya berjaya juga dengan bantuan daripada DIA. Hendaknya anak saudara saya akan mengambil apa yang berlaku sebagai pengajaran. Berkawan memang tak salah, tapi janganlah sampai meletakkan 100% kepercayaan pada yang dipanggil kawan. Simpanlah sedikit untuk diri sendiri supaya tak mudah dijatuhkan orang. Tapi hati saya di dalam bertanya, benar-benar WUJUD KE BFF YA? Kalau betul ada, kenapa ada istilah kawan makan kawan ya?

- TaKkAn AdA yAnG sEpErTiNyA lAgI –

November 4, 2011

Saat jari-jemari tak runcing ni ketuk keyboard untuk tulis N3 kali ni, sebenarnya saya terasa sangat letih. Kalau sekarang ni saya ada di rumah saya pasti dah terlepek kat mana-mana sudut kat rumah saya. Mungkin atas katil, mungkin atas sofa, mungkin kat lantai dan mungkin juga buka-buka aje pintu, saya terus landing depan pintu tanpa fikir panjang atau senonoh atau tak senonohnya perbuatan saya tu, sebab saya betul-betul dah tak larat lagi. Macam tak logik kan bunyinya? Macam teruk benar aje keadaan saya kan?

Tapi betul... bila saya kata saya letih, maknanya saya memang benar-benar letih. Letih yang bukan hanya sekadar di fikiran semata-mata, tapi bersambung sampai ke tubuh yang kemudiannya mula menjejaskan hati saya. Sebab itu saya sangat berharap pada saat-saat ‘kecederaan’ macam ni, adanya pengertian daripada apa dan siapa aje yang ada di sekitar saya. Apalagi bila letih ni pun bukannya baru hari ni atau minggu ni saya pegang, tapi sejak sebulan yang lalu. Letih yang macam penyakit menular, yang sesuka hati menular dalam diri walaupun seboleh mungkin menolak.

Dan yang membuatkan saya letih, tak lain dan tak bukan adalah ‘kerja’ yang saya galas selama ni. Mesti ada yang kata, apalah yang penat sangat dengan kerja edit-mengedit manuskrip kan? Bukannya kena angkat kayu balak pun. Bukan kena pecahkan batu pun. Ya... sangat betul! Saya setuju dengan kata-kata tu sebab selama ni saya pun anggap kerja yang saya buat sejak 6 tahun dulu taklah sesusah mana walaupun ada masa-masanya, mulut marah-marah juga dan hati merungut-rungut juga. Tapi... manuskrip kali ni memang sangat-sangat menguji kesabaran. Kalau silap pertimbangan, memang menitis air mata. Bukan sebab sedih, tapi sebab saya tak tahu macam mana nak perbaiki apa yang dah pun dihidangkan di hadapan saya. Betulkan begini, tak kena. Betulkan begitu, maksudnya hilang. Malah ada ketikanya saya jadi tertanya-tanya, apa yang nak disampaikan? Kalau saya yang mengedit susah nak faham, macam mana dengan pembaca?

Ada begitu banyak juga ayat yang perlu diteliti dan ada sangat banyak perkataan yang tak pernah saya dengar sepanjang umur saya hingga memaksa saya berteman sentiasa dengan Si Maroon atau nama manjanya Kamus Dewan Edisi 4. Belum lagi masuk perkataan Indonesia yang sangat banyak sampai-sampai saya fikir, yang menterjemah ni rakyat Malaysia, atau rakyat Indonesia? Tapi... mujur juga saya sangat akrab dengan Sinetron Indonesia, maka sedikit sebanyak memang membantu saya dalam pemilihan kata-kata yang sesuai.

Awalnya ketika memegang kerja tu, saya senyum. Saya sangka masa sebulan tu dah sangat panjang. Tapi baru baca perenggan kedua, saya dah terasa susah nak tarik nafas. Saya tak boleh betulkan ayat yang ada. Kata hati saya, “Baru dua bab dah sesusah itu, macam mana saya nak selesaikan untuk beratus-ratus bab yang lain?’. Dan ternyata kata hati saya tepat, dalam sebulan ‘bermesra’ dengan kerja ni, saya terasa saya hilang kebebasan. Gaya saya memang tetap bebas, tapi hati dan fikiran seakan-akan terkurung dalam ruang yang penuh dengan wayar berselirat di mana-mana. Tiap langkah yang saya ambil, fikiran saya asyik berfikir cara macam mana nak ‘mencantikkan’ sesuatu yang ‘sangat buruk”. Bahkan dalam senyum dan ketawa pun, minda saya masih berjalan. Bimbang kalau-kalau saya tak mampu menyudahkan tugas yang diberi, apalagi masa pelancaran dah semakin dekat.

Sampai sejam yang lepas, saya masih juga terasa berdebar-debar sebab janji hantarnya hari ni. TUHAN aje yang tahu betapa kalau boleh saya mahu menarik diri di saat akhir dan berkata yang saya tak mampu menyudahkan kerja saya. Tapi tak boleh, mahu atau tidak kena juga teruskan sebab saya dah bersetuju sejak awal.

Dan sepanjang sebulan ni, entah berapa puluh kali agaknya saya terasa nak termuntah kerana tekanan yang datang dari dalam diri, walaupun hakikatnya tak ada pun apa-apa yang mampu saya keluarkan. Bahkan bukan hanya saya tapi yang memegang ‘projek’ ni, semuanya terasa mahu muntah dan sentiasa dikejar bimbang. Lebih teruk lagi, jadual makan saya yang memang tak terurus, jadi semakin hancur. Kadang-kadang tengah-tengah membaca, badan saya menggigil dan terasa panas tiba-tiba. Ya, saya tahu itu tandanya Encik G mahu menyapa. Terpaksalah cepat-cepat saya bancuh air milo dan buat muka kesian sebab mintak biskut kering kawan. Kadang-kadang pula saya cepat-cepat sumbat coklat dalam mulut, walaupun saya sebenarnya bukanlah peminat coklat. Tapi tak kisahlah, paling penting Encik G tak terus ikut langkah saya. Sebabnya, Encik G bila datang, tiga hingga empat hari pun belum tentu pergi walaupun dah dihambat dengan rotan bernama ‘ubat’.

Tapi mujurlah, sejam yang lepas kerja saya sampai juga ke titik akhir. Saya dah pun menyerahkan kerja tersebut kepada yang berhak. Rasa sangat lega, walaupun di sisi lega ada rasa penat tak terhingga yang entah berapa hari agaknya akan hilang. Ini pun di kedua-dua bahu saya, ada rasa pedih menjalar. Mungkin saya kena ikut cakap seorang kakak di sini. Katanya, balik nanti ambil lada hitam, bunga cengkih dan garam batu, kemudian goreng tanpa minyak, letak dalam sehelai kain dan tuamkan ke bahu saya ni. Saya akan cuba dan saya kena juga cari penawar untuk ulser di bawah lidah yang juga nak ‘bermesra’ dengan saya. Cemburu ulser tu pada rasa pedih di bahu saya, sebab tu dia datang walaupun saya tak panggil.

Tapi tak kisahlah, yang penting kerja saya dan selesai. Cuma saya harap, pada masa-masa akan datang, ‘TAKKAN ADA YANG SEPERTINYA LAGI’. Sepertinya di sini tentulah merujuk kepada manuskrip yang dah saya cuba cantikkan seberapa cantik yang mungkin. Kalau pun masih ada cacatnya, saya akan cuba baiki masa pruf nanti. Dan terlanjur dan menconteng ni, saya ambil kesempatan ni untuk ucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA kepada semua umat Islam tak kira di mana saja berada. Hendaknya kita semua diberkati ALLAH dalam semua perkara yang kita buat.

- BeRaKhIr SuDaH yA! -

November 2, 2011


Seperti yang dirancang, Mini Karnival Karangkraf [MKK] yang bertempat di Plaza Angsana, BERAKHIR SUDAH pada 30 Oktober 2011, dua hari lalu. Saya yang diminta hadir pada 29 Oktober 2011 [Sabtu], sesungguhnya rasa sangat bertuah. Bukan aje sebab Johor Bahru tu tanah kelahiran saya yang membolehkan saya ‘menyelam sambil minum air’, pergi MKK, dapat juga balik jumpa mak, abah dan kaum keluarga yang lain, tapi bertuah sebab dapat melihat betapa meriahnya suasana MKR. Itu pun saya hanya menjejakkan kaki pada hari Sabtu, sedangkan saya mendapat tahu yang hari Jumaat juga sambutan daripada pengunjung sangat menggalakkan. Bahkan hari Ahad juga dengar-dengarnya pembaca tetap juga ramai yang datang.



Awalnya terasa cuak juga bila diminta hadir, maklumlah KASIH BENAR KASIH sudah pun berusia 4 bulan. Bukan novel baru dan sebab bukan novel baru tentu tak ramai yang akan mendapatkannya kerana yang menggelar diri mereka pembaca novel ALEYA ANEESA mungkin [mungkin ya] sudah mendapatkan KBK awal-awal. Kalau ada pembaca novel ALEYA ANEESA, yang tak sempat mendapatkan KBK awal-awal, jangan marah ya sebab dalam kurungan tu saya dah menulis perkataan ‘mungkin ya’, [;-)]. Tapi sebab Siri MERAH CINTA KITA [MCK] yang 3 daripada 5, ada karya yang ditulis saya [MCK 1, MCK 2 & MCK 5], rasa cuak tu saya tepis ke tepi, ke depan, ke belakang dan ke mana-mana aje. Lagipun, bukan setiap bulan pun ada MKK ni dan inilah pertama kalinya diadakan di Johor Bahru, walaupun saya pernah juga hadir di tempat yang sama atas jemputan kedai buku BADAN CEMERLANG bersama-sama kawan-kawan ALAF 21 yang lain.

Pada hari yang dijanjikan, rasa cuak saya hilang juga. Ternyata saya sebenarnya hanya takut pada bayang-bayang sendiri. Fikir saya tak akan ada orang yang mahukan tanda tangan saya, tapi saya silap. Malah, ada juga pembaca yang membeli 2 ke 4 buah novel hasil tangan saya sekali gus. Tak kurang juga anak-anak remaja yang comel-comel dan manis-manis berdiri di hadapan saya semata-mata minta saya conteng sesuatu pada Siri MCK bertajuk “ELLA GADIS PENCEGAH MAKSIAT”, “SELAMAT TINGGAL TOKIO HOTEL” & “TOLONGLAH JANGAN HUKUM DIA”. Kenapa tiga buah saja? Sebabnya, dalam ketiga-tiga buku tersebut, ada tertulis nama ALEYA ANEESA. Tapi kalau ada yang bawa MCK 3 & MCK 4, mahukan tandatangan saya, saya tetap akan melakukannya dengan senang hati. Tak kisahlah kalau tak ada nama saya pun. Yang penting, Siri MCK laku macam goreng pisang panas, ;-)



Dan antara ramai-ramai yang datang, saya rasa terkejut melihat orang yang tak saya jangka kehadirannya turut ada sama, semata-mata sebab saya. Rasa kaku seketika, sebelum saya cepat-cepat bangun menerpa dia. Saya cium tangan dia, saya dakap tubuh dia dan saya cium pipi dia macam saya cium pipi mak saya. Saya lihat mata dia bergenang dengan air jernih. Dan penghujungnya, saya juga merah mata sebab sebak melihat dia yang seperti dah makin jauh, jauh dan jauh daripada jangkauan tangan saya. Ini bukan pertama kalinya, situasi sama berlaku. Dah beberapa kali dan kali terakhir dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Itu pun saya dan dia terserempak secara tak sengaja di Kip Mart Tampoi. Saya dapat rasakan dalam hati dia ada rasa ralat yang bukan sedikit, mungkin sama macam perasaan yang saya galas bertahun-tahun lamanya. Perasaan yang dalam tak sedar sebenarnya mampu membuatkan semangat terasa seperti jatuh ke takat paling rendah. Tapi... apa nak dikata bila yang dinamakan manusia itu tugasnya hanya mampu merancang sedangkan ada DIA sebagai perancang utama. Saya reda dengan apa yang berlaku dan harap rasa ralat yang ada di hatinya juga akan beransur-ansur pergi biarpun 12 tahun masa dah pun berlalu. Bagi saya, dia tetap saya anggap seperti ibu sendiri biarpun impian yang saya pegang kejap-kejap dulu, kini dah saya lepaskan bebas ke udara.


Apa pun, saya ucapkan terima kasih berjuta-juta lemon pada yang sudi menjengah saya di MKK tempoh hari. Harap kalau ada lagi dan kalau saya dipanggil lagi, sudi-sudikanlah diri menjenguk-jenguk saya lagi ya... ;-)

- TeRuS cInTaI aKu... -

October 28, 2011

CINTA tak berbalas, rasanya sakit sangat. Tapi malu yang terasa saat semuanya terbongkar, lebih menyakitkan sampai aku pernah berharap yang aku akan terus tidur, tidur dan terus tertidur selama tiga hari tiga malam, kalaupun bukan untuk selama-lamanya. Sungguh... hati di dalam sudah tidak mampu mengenang sesuatu yang sudah terlepas daripada genggaman. Atau lebih tepat lagi, tidak pun pernah ada di genggaman selama ini. Ya... aku hanya memuja bulan!

Tapi... alangkah indah jika bulan yang dipuja itu benar-benar menjadi milikku, milik yang abadi.

Sayang sekali hakikat hidup, tidaklah seenteng itu. Jarak aku dan bulan yang terlalu jauh tidak memungkinkan tangan menggapai. Kenyataannya, bukan semua keinginan akan jadi nyata. Aku reda, aku terima apa yang berlaku walaupun dalam reda, ada pelbagai rasa bergolak dalam diri. Bukan sehari, bukan sebulan, bukan setahun, bukan juga sepuluh tahun! Tapi hampir menjangkau 20 tahun aku menunggu dia. Menunggu dia yang langsung tidak ingat padaku setelah dia pergi.

Bertemu dia kembali, memang impianku selama ini, semenjak dia pergi. Tapi bertemu dia dengan hati yang sudah dipenuhi dengan nama gadis lain, mimpiku tiba-tiba jadi gerhana. Hampa yang terasa seperti tidak mampu kutanggung lagi. Namun... aku terus ke depan. Pada dia, aku cuba berlagak tenang walau dalam tenang aku menjadi pelarian.

Gambar itu... sekeping gambar itu, tanpa sedar membongkar hati yang lama kusimpan. Lantas, aku pergi... tak mungkin terus menunggu keajaiban tiba. Tapi, jika memang sudah tertulis dia milikku, tidak ada siapa mampu menghalang. Dan semalam... secara rasminya, dia... dia yang bernama Khilfie itu menjadi suami kepada aku yang bernama Nurzalis Najwa.

Untuk dia... saya mahu awak berjanji, berjanjilah yang awak akan terus cintai saya sehingga denyut nadi awak yang terakhir.

- BuKaN yAnG dIiNgInKaN tApI yAnG dIpErLuKaN -

October 24, 2011

"Kuminta kepada ALLAH setangkai bunga segar tetapi diberi-Nya kaktus yang berduri. Kuminta kepada-Nya kupu-kupu tetapi diberi-Nya ulat yang berbulu. Namun kemudian kaktus itu berbunga, indah sekali. Dan ulat pula bertukar menjadi kupu-kupu, cantik sekali. Begitulah jalan ALLAH, sentiasa hadir pada masanya. ALLAH tidak memberi apa yang kita harapkan, tetapi DIA memberi apa yang kita perlukan. Terkadang kita sering resah dan kecewa tetapi di sebaliknya ALLAH telah mengatur yang terbaik untuk kehidupan kita..."

Tak tahu kata-kata indah itu datang dari mana dan daripada siapa, tapi sungguh... maknanya terlalu besar untuk kita yang bergelar MANUSIA. Terima kasih tak terhingga pada entah siapa yang tentunya punya jalan fikiran yang sangat cantik dan pasti sangat menghargai sesuatu yang telah diberikan padanya. Pasti juga selalu bersyukur dengan segala sesuatu yang diturunkan oleh DIA yang MAHA TAHU.

Memegang kata-kata indah tersebut, saya cuba untuk menerima apa saja yang didatangkan pada saya dengan berlapang dada dan berlega hati. Saya yakin kalau dalam perjalanan yang agak panjang ini, saya terasa saya ‘sakit’ dengan segala onak dan ranjau yang terpaksa saya tempuhi, saya yakin pasti ada yang lebih sakit daripada saya, bahkan mungkin kesakitan mereka berlipat-lipat kali ganda jika hendak dibandingkan dengan saya. Dan... jika saya diletakkan di tempat mereka, saya pasti awal-awal lagi sudah rebah menyembah bumi kerana saya sebenarnya tidak sekuat mana.

Dan saya tahu, ALLAH tidak akan menguji hamba-NYA melebihi kemampuan yang dimiliki kerana itu janji DIA pada yang bernama manusia. Buktinya, sebagai hamba yang selalu mengikut kata hati dan selalu juga berajakan nafsu dalam diri, sering kali saya rasa saya dah tak cukup kuat dengan ujian demi ujian yang didatangkan pada saya, dan ada masa-masanya saya seakan-akan mahu mengangkat kedua-dua tangan sambil berkata, “Saya menyerah sebab saya dah tak tahan lagi”. Tapi pada akhirnya saya mampu menghadapi segala-galanya, walaupun ketika dalam proses menghadapi apa yang berlaku, bibir seakan-akan tidak mampu lagi mengukir segaris senyum pun.

Ya... saya hanya manusia biasa yang didatangkan dengan pakej yang lengkap oleh DIA. Maksudnya, ada baik dan buruk, ada kurang dan lebih, sama macam orang lain juga. Kalau hari ini saya berkata yang saya cukup kuat, esok-esok tidak mustahil bibir yang berkata ‘cukup kuat’, akan berkata ‘tidak kuat lagi atau tidak cukup kuat’.

Kelihatannya saya seperti tidak tetap pendirian kan? Ya... saya akui ada ketikanya saya memang tidak tetap pendirian. Semakin banyak ujian didatangkan pada saya, semakin goyah pendirian yang saya pegang. Tapi mujur juga, dalam goyah itu... masih ada tangan-tangan yang sentiasa bersedia menarik saya daripada terus tersungkur mencium tanah, menyerahkan bahu mereka untuk saya bersandar untuk beberapa ketika, setidak-tidaknya sehingga saya mampu berdiri tegak seperti hari-hari yang sudah pun saya lalui selama hayat saya.

Saya tahu dan saya yakin kalau yang menghulurkan tangan dan bahu itu adalah mereka-mereka yang ikhlas dan tidak pernah berbelah bahagi menjadi tulang belakang saya. Sampai ke saat ini saya selalu berusaha untuk mengikhlaskan hati menerima mereka semua dalam hidup saya, meletakkan mereka di sudut hati saya yang paling dalam sebagai tanda kalau saya menghargai kehadiran mereka dalam hidup saya.

Saya yakin setiap orang menunjukkan keikhlasan mereka dengan cara yang berbeza. Ada yang membuktikan keikhlasan dengan kata-kata, ada juga yang lebih senang dengan perbuatan semata-mata kerana bibir terlalu berat hendak menjadi penghubung pada dua jiwa. Tapi saya tak kisah dan tak mahu peduli, cukup jika orang baik dengan saya dan saya seboleh mungkin mahu membalas keikhlasan mereka walaupun tidak pada semua keadaan dan masa.

Benar, saya tahu keikhlasan itu terlalu sukar untuk diselami. Bahkan ada yang berkata kalau mencari keikhlasan sama seperti mencari seekor semut hitam di malam hari. Agak mustahil! Tapi biarlah... walau sesukar mana pun, walau tidak semudah menaiki tangga menuju ke tingkat 2, saya tetap mahu berterima kasih pada yang selalu ada di sisi saya selama ini. Keikhlasan memang tidak dapat disukat ditimbang dengan neraca, tapi cukuplah kalau hati di dalam merasakan wujudnya ikhlas dalam diri. Kecil atau besar skalanya, tidak apa-apa kerana kuncinya adalah IKHLAS.

Dan saya tahu, tanpa mereka-mereka, sebenarnya saya sendiri tidak pasti sama ada saya mampu terus bertahan sampai ke tahap ini atau tidak. Walau jatuh dan bangun bagaikan ‘makanan’ bagi saya, saya tetap bersyukur. Walau ada kalanya saya rasa terkilan kerana selalu tidak mendapatkan apa yang saya inginkan, saya tetap mahu bersyukur kerana sesungguhnya ALLAH memberi BUKAN YANG DIINGINKAN TAPI YANG DIPERLUKAN. Hanya sebagai manusia biasa, kita sering terlupa akan hakikat itu, kalau pun kita ingat sering kali juga kita buat-buat lupa kerana sememangnya, inilah fitrah manusia biasa seperti kita semua, ;-)