- SaYa PuN aDa ImPiAn TaU! -

November 11, 2011

Semua orang dalam dunia ni saya kira ada impian, kecuali anak-anak kecil sebab mereka terlalu kecil. Hendak memikirkan perkara kecil pun masih tak mampu, tak mungkin dapat berfikir impian yang besar-besar macam orang dewasa. Tapi seiring dengan masa yang beredar, anak-anak kecil itu akan tumbuh menjadi anak-anak remaja dan kemudian dewasa yang pasti ada impian yang indah-indah.

Saya pun sama, saya ada begitu banyak impian yang ada antaranya sudah pun dapat dipenuhi. Tapi ada banyak lagi yang belum jadi kenyataan kerana hakikat hidup, manusia ni sebenarnya tak pernah puas. Bila satu keinginan dipenuhi, akan ada banyak lagi keinginan lain yang datang menderu-deru. Kadang-kadang datang macam angin taufan, kadang-kadang datang macam hembusan bayu.

Dan salah satu daripada impian saya ialah mahu MEMILIKI KERETA BARU [Yang konon-kononnya berjenama luar negara]. Hanya MAHU, sedangkan KEMAMPUAN buat masa ni memang TAK MAHU. Puas saya korek-korek, tolak ke sana dan tolak ke sini, kurangkan di situ dan lebihkan di sinun [Ada ke di sinun?] pun, memang tak cukup dan tak akan cukup untuk masa terdekat ini atau mungkin juga setahun dua lagi. Mahu memejamkan mata dan redah aje, saya tak berani kerana saya bukannya jenis suka berumah di tepi pantai. Saya tak memegang prinsip, “Biar papa asalkan bergaya” kerana saya tak boleh hanya memikirkan diri saya semata-mata, ada yang lain-lain harus saya fikirkan. Mereka adalah keutamaan saya dan saya selalu memikirkan mereka melebihi saya memikirkan diri saya kerana tanpa mereka, saya tak mungkin akan menjadi saya seperti hari ini. Tak ada mereka, tak adalah MARWATI WAHAB @ ALEYA ANEESA yang bermakna tak ada juga karya-karya saya.

Macam mengada-ngada kan saya ni? Ada hati mahu kereta baru, padahal Encik Wir saya masih elok walaupun dah banyak dah usianya dan lagi, masih begitu sedikit jasanya pada saya sebab saya hanya menggunakan dia selama 1 tahun 8 bulan kebelakangan ni aje. Itu pun masih ada hati mahu menukar kereta baru.

Dulu-dulu saya sebenarnya tak peduli pun pada yang dinamakan kereta. Lepas beli Encik Wir pula, saya jadi lebih tak peduli pada kereta. Pandang kereta, saya rasa sakit hati! Apa ertinya saya peduli pada kereta kalau kereta yang ada pun saya tak boleh nak bawa? Balik-balik hanya menumpang kereta orang dan kalau dah hidup menumpang, kadang-kadang menjeruk rasa sendiri selama bertahun-tahun. Sampai masa bila dah tak tahan, terpaksa berpaling pada kawan yang lain.

Tak tahu nak tulis apa lagi. Jom... kita cuci mata sebab nak memiliki mungkin tak semudah kita membeli sebungkus kacang cap tangan kat kedai. Dan saya sendiri, MUNGKIN akan dapat memiliki salah sebuah daripada kereta tersebut [Entah bila kurun agaknya kalau dapat pun?], ataupun langsung TAK MUNGKIN sebab saya kena ukur baju kat badan sendiri. Berangan tak salah kan? Tak kena bayar pun. Kalau dapat, saya kira saya bertuah dan kalau tak dapat pun tak apa-apa. Ini cuma sebahagian daripada impian saya dan setiap impian, siapa kata akan berakhir dengan kita menggenggam impian itu kan?







2 comments: